You are on page 1of 9

Latar belakang Ahmad Boestamam.

Dalam sejarah politik tanah air, nama Ahmad Boestamam begitu dikenali sebagai salah
seorang daripada pejuang gerakan nasionalisme terutamanya sejak tahun 1930-an sehingga
1970-an. Nama sebenar beliau adalah Abdullah Thani bin Raja Kecil namun lebih dikenali
dengan nama Ahmad Boestamam. Beliau dilahirkan pada 30 November 1920 di kampung
Behrang Ulu, Tanjung Malim Perak dan meninggal dunia pada 19 January 1983. Bapanya Raja
Kecil merupakan seorang perantau dari Tanah Datar Minangkabau. Beliau mempunyai dua
orang kakak iaitu Rasunin dan Ramlah. Pada usia enam tahun, Beliau memasuki Sekolah
Melayu Behrang Ulu, sebuah sekolah Melayu dan kemudiannya, pada tahun 1933, beliau
memasuki Anderson School, Ipoh. Ahmad Boestamam tamat Darjah Lima dan lulus dengan
Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas ("Special Malay Class", SMC) Beliau
merupakan tokoh radikalisme Melayu Perak yang terbilang seangkatan dengan tokoh-tokoh lain
seperti Ibrahim Hj. Yaakub, Dr. Burhanudin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Samsiah Faqeh
dan lain-lain tokoh. Nama Ahmad Boestamam diilhamkan daripada nama Subhas Chandra
Bose iaitu seorang pemimpin liga kemerdekaan India.

Namanya juga terbilang dalam persada politik Negara dan angkatan politik seperti
PKMM, API, PUTERA, PRM, SOCIALIST FRONT, Parti Marhaen dan Parti Keadilan
Masyarakat ( PERKEMAS). Kehadiran beliau dalam persada politik Tanah Melayu telah
meletakkan beliau sebagai tokoh pembangkang yang dihormati dan disegani kawan dan
lawannya. . Beliau dipenjarakan sebanyak tiga kali iaitu pertama 7 Disembar 1941-17 Februari
1942, kali kedua pada 1948-1955 dan kali ketiga pada 14 Februari 1963- Ogos 1967.
Keseluruhan adalah lebih kurang 12 tahun beliau dipenjarakan. Pencapaian tertinggi beliau
dalam politik adalah memenangi pilihan raya umum dalam tahun 1959 di kawasan Parlimen
Setapak menentang sahabat lama beliau iaitu Asiah Ghani dan dilantik menjadi Ahli Parlimen
1959-1964. Jasa dan sumbangan beliau dalam bidang politik pernah mendapat anugerah
daripada Yang Dipertuan Negeri Sarawak, Dato Patinggi Abdul Rahman Yaakub pada tahun
1976 yang membawa gelaran Datuk. Beliau bersara daripada arena politik pada tahun 1978
dan meninggal dunia pada 19 Januari 1983.

Sepanjang hidup Ahmad Boestamam, beliau berjaya menghasilkan tidak kurang


daripada 15 buah novel dalam penulisannya. Antara bukunya yang terkenal termasuklah
Sorotan Sosialis ( 1981), Lambaian dari Puncak (1983) , Merintis Jalan ke Puncak (1971), Tujuh

1
Tahun Malam Memanjang (1976), Rumah Kaca Digegar Gempa (1969) dan juga Api dan Air
Mata (1967).

Perjuangan politik Ahmad Boestamam lebih kepada perjuangan haluan kiri atau lebih
dikenali sebagai pendekatan radikal. Beliau menterjemahkan idea-idea dan pandangan politik
melalui pelbagai pendekatan seperti lapangan penulisan dan juga perjuangan politik.
Perjuangan beliau dalam usaha membebaskan rakyat Tanah Melayu daripada belenggu
penjajah British dapat dibahagikan kepada dua tahap iaitu melalui penulisan beliau dan juga
perjuangan melalui gerakan atau parti iaitu melalui Angkatan Pemuda Insaf (API). Pendekatan,
kritikan dan kepimpinannya lebih terserlah melalui perjuangan politik berhaluan kiri atau lebih
dikenali sebagai pemikiran aliran radikalisme.

Perjuangan Ahmad Boestamam

Pada pandangan saya , saya bersetuju dengan pandangan yang mengaitkan Ahmad
Boestamam dengan politik berhaluan kiri. Ahmad Boestamam, dalam perjuangan politiknya
dapat memperlihatkan beliau lebih kepada perjuangan gerakan yang berhaluan kiri. Gerakan
berhaluan kiri ini lebih dikenali sebagai radikal yang bermotifkan penentangan untuk mengusir
penjajah British keluar dari Tanah Melayu. Radikalisme mempunyai pengertian yang berbeza
mengikut waktu, keadaan dan sudut pandangan. Perkataan radikal berasal dari Latin, Radix
yang membawa maksud akar umbi. Radikalisme merupakan semangat perjuangan yang
membela masalah akar umbi masyarakat yang meliputi aspek ekonomi dan sosial. Pada
kebiasaanya golongan radikalisme memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Di Tanah
Melayu sendiri terdapat banyak gerakan yang memilih jalan untuk tidak bekerjasama dengan
pihak penjajah dan ini menyebabkan mereka digelar dan dicop golongan berhaluan kiri. Walau
apapun dasar dan ideologi perjuangan gerakan berhaluan kiri namun matlamat mereka adalah
satu iaitu untuk menggugat kedudukan British sebagai penjajah di Tanah Melayu.

Salah satu cara perjuangan Ahmad Boestamam dalam usaha memberikan kesedaran
politik dalam kalangan rakyat Melayu adalah melalui penulisan beliau. Seperti kebanyakan
aktivis politik sezamannya, beliau adalah wartawan akhbar yang sangat prolifik 1. Pendekatan
radikal melalui penulisan dalam akhbar sangat penting untuk memberikan kesedaran kepada
bangsa Melayu di Tanah Melayu. Kaedah penulisan ini sangat berkesan dalam menyampaikan
maklumat yang boleh membakar semangat bangsa Melayu untuk menentang penjajah British.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan kaedah ini lebih rancak selepas Perang Dunia

1
Seorang penulis yang menghasilkan banyak karya, dan hasil tulisan.

2
Kedua. Penglibatan banyak tokoh radikal dalam bidang kewartawanan dan kesusteraan telah
memberikan impak yang baik dalam dasar perjuangan radikal Melayu.

Berbekalkan semangat kesedaran untuk membela bangsa Melayu beliau dan beberapa
tokoh politik lain telah bertindak untuk merampas pejabat dan mengambil alih pejabat
Percetakan Perak Shimbun dalam bulan Ogos tahun 1945. Ia dilakukan tanpa mengeluarkan
model. Peristiwa ini berlaku sewaktu peralihan pemerintahan Jepun, MPAJA dan British.
Kesempatan ini telah dipergunakan oleh mereka untuk mengambilalih pejabat percetakkan dan
kemudahan yang terdapat di situ. Pengambilalihan ini telah memudahkan mereka menerbitkan
akhbar sendiri. Berikutan dengan itu pada bulan Ogos tahun 1945 di Ipoh, Perak talah
diterbitkan sebuah akhbar golongan radikal Melayu di Perak. Penubuhan secara rasmi akhbar
Suara Rakyat ini diadakan pada Ogos 1945.

Dengan adanya akhbar Suara Rakyat ini segala perasaan ketidakpuasan hati telah
diluahkan tanpa rasa takut. Sebagai seorang penulis dan pengarang, Ahmad Boestamam telah
mengutarakan pelbagai idea dan pendapat tentang kemunduran dan perlunya bangsa Melayu
bangkit untuk membela bangsa sendiri. Bidang kewartawanan yang diceburi sejak awal lagi
membantu mematangkan perjuangan radikalisme beliau. Idea dan pemikiran beliau amat
bernas dan dapat menyentuh hati para pembaca. Ketajaman dan kelantangan idea ini
diluahkan dalam bentuk penulisan. Ketajaman idea-idea beliau telah membuatkan beliau
sentiasa diawasi oleh pihak British. Akhbar Suara Rakyat dipergunakan sebaik mungkin demi
untuk menyedarkan orang Melayu. Mereka mengkritik tindakan-tindakan British yang difikirkan
kejam dan tidak demokratik. Ketajaman dan ketegasan penulisan Ahmad Boestamam pada
masa itu dapat dilihat dalam tulisan ini: “kami membidas, kami membidas tanpa kulit. Kalau
kamu mengkritik, kami mengkritik kami mengkritik sehebat-hebatnya. Kata-kata ‘kejam’, ‘tidak
demokratik’ dan seumpamanya menjadi permainan kami hari-hari”..

Perkembangan akhbar Suara Rakyat sangat menggalakkan dan mendapat sambutan


yang baik. Perkembangan ini mendorong mereka menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris demi
untuk menarik minat bangsa asing dan golongan elit Melayu untuk membacanya. Justeru itu,
akhbar Voice of The People telah diterbitkan pada bulan Oktober 1945. Ia merupakan
terjemahan akhbar Suara Rakyat. Isi dan kupasannya adalah sama, pedas dan menyengat.
Perkara ini dilakukan demi untuk mewujudkan kesinambungan perjuangan kepada lapisan elit
dan berpelajaran dalam masyarakat Melayu. Idea dan pemikiran yang diutarakan melalui
akhbar Suara Rakyat dan Voice of The People telah membuka mata masyarakat Melayu.

3
Lantaran itu mereka telah memikirkan bahawa perlunya wujud sebuah parti politik Melayu yang
benar-benar dapat memasuki gelanggang politik Tanah Melayu. Sesungguhnya promosi melalui
akhbar Suara Rakyat ini telah membuka mata masyarakat Melayu, bertapa pentingnya
penubuhan sebuah parti Melayu untuk menyuarakan segala tuntutan.

Sebagai seorang pemimpin gerakan berhaluan kiri Ahmad Boestamam mula


menonjolkan keradikalan beliau semenjak di bangku sekolah lagi iaitu melalui penglibatan
beliau dalam bidang kewartawanan. Beliau berjiwa radikal, memiliki semangat kental yang
sanggup menghadapi apa jua rintangan bagi mencapai tujuan politik bangsa Melayu dalam
penulisan beliau yang tajam dan bernas. Selain itu, tindakan beliau dan rakan-rakan lain
merampas pejabat percetakkan memperlihatkan tekad beliau untuk menyalurkan idea dan
pemikiran beliau melalui akhbar dan penulisan. Lantaran penglibatan beliau dalam bidang
politik dan perjuangan menuntut kemerdekaan telah membuatkan beliau menjadi perhatian
British. Nama beliau juga tersenarai dalam kategori perancang utama gerakan radikal
menentang British.

Propaganda yang dimainkan oleh Suara Rakyat telah berjaya mendapat sambutan
daripada masyarakat Melayu di seluruh negara. Malah mereka mengalu-alukan kehadiran
PKMM serta menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu. Anak-anak muda
Perak telah memulakan langkah tersebut. Selepas Tanah Melayu dikosongkan oleh Jepun,
penguasaan PKM telah menyebabkan Ahmad Boestamam dan beberapa tokoh lain
menubuhkan PKMM. PKMM merupakan parti politik pertama yang memperlihatkan penglibatan
beliau secara langsung pada tahun 1945. Ahmad Boestamam sanggup menubuhkan parti-parti
politik demi untuk menjayakan cita-cita politiknya. PKMM merupakan parti politik pertama yang
memperlihatkan penglibatan beliau secara langsung pada tahun 1945. Kemudian pada tahun
1946 beliau menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf ( API). Dalam parti API ini kepimpinan beliau
lebih terserlah.

API ditubuhkan di Ipoh pada bulan Februari 1946 di bawah pimpinan Ahmad
Boestamam. Pertubuhan badan politik API ini dilihat paling ekstrim yang dianggotai oleh
barisan pemuda yang bersemangat tinggi. Pergerakkan politik ini membara persis api yang
sedang marak dan membakar semangat para pemuda da pemudi Melayu. Lantaran itu, ia
mengambil nama API yang membawa maksud Angkatan Pemuda Insaf. Walaupun API pada
asalnya merupakan sayap pemuda PKMM dan AWAS sebagai sayap wanita namun
keradikalan yang ditunjukan oleh API menyebabkan ia dipisahkan dan menjadi pergerakkan

4
politik yang tersendiri. API ditonjolkan sebagai sebuah badan politik Melayu yang paling radikal,
dan berbekalkan semangat anti penjajahh seperti tercatat dalam buku Ahmad Boestamam iaitu
Testament Politik Api. Penulisan beliau dalam karya ini boleh membakar semangat anggota
API. Ia ditafsirkan sebagai sebuah buku politik yang menghasut dan mampu membakar
semangat pemuda Melayu.

Di bawah pimpinan Ahmad Boestamam penubuhan API merupakan suatu usaha politik
untuk bersedia dalam apa juga situasi sekiranya diperlukan. API dilengkapkan dengan pakaian
seragam serba putih dan berlilitkan kain merah tertera perkataan API di lengan. Gambaran API
oleh Abdul Majid Salleh , bekas anggota API; ‘’Pemuda yang diberi nama API iaitu (Angkatan
Pemuda Insaf ) dilengkapkan dengan pakaian seragam (complete uinform) iaitu seluar putih,
kemeja putih lengan panjang berkocek dua tertutup dan bersongkok putih ( songkok ala
tentera), dilatih mereka berbaris dan mempunyai lagunya sendiri bertajuk ‘darah rakyat’ iaitu
lagu patriotik (ala perang )” Ahmad Boestamam berjaya menjadikan API lebih ditakuti oleh
Kerajaan British terutama dengan dasar terbukanya menentang penjajahan British dan
menuntut kemerdekaan dengan darah, serta cita-cita mencantumkan Negeri-negeri Melayu
dengan Indonesia”.

Selain itu, penggunaan slogan sering kali dapat membakar semangant anak-anak muda.
Dalam perjuangan Ahmad Boestamam dalam API, ia menggunakan slogan Merdeka Dengan
Darah. Melalui slogan sahaja kita dapat memastikan aliran perjuangan mereka yang ternyata
lebih kepada haluan kiri. Ternyata penggunaan slogan yang tegas dan keras ini didahului oleh
golongan yang lebih radikal. Bagi PKMM pula ia menggunakan slogan Merdeka yang dilihat
mampu untuk menakutkan pihak penjajah pada masa itu. Slogan-slogan ini mempunyai makna
yang tersendiri dan mampu menakutkan membakar semangat anak-anak muda pada masa itu.

Selain penggunaan slogan, perjuangan Ahmad Boestamam dalam API turut mencipta
beberapa buah lagu berunsurkan patriotik. Lagu-lagu seperti Darah Rakyat dan Dari Barat ke
Timur menyelitkan seni kata yang mampu menaikkan semangat patriotik bangsa Melayu yang
menghayatinya. Jika diperhatikan daripada seni kata lagu Darah Rakyat , terdapat suatu
kelainan daripada lagu-lagu patriotik yang lain. Lagu ini dipenuhi dengan lagu alunan irama
pembakar semangat kerana melaluinya ia dapat mengingatkan kisah perjuangan sebelum
terpenjara. Bagi mereka yang mendengarnya semangat mereka seolah-olah sedang membara.
Lagu patriotik API ini sering berkumandang dalam setiap aktiviti API seperti majlis perjumpaan

5
dan juga setiap kali latihan API dijalankan. Ia juga sering didengarkan dalam setiap perayaan
API, bertujuan untuk menanamkan semangat anti British.

Lagu patriotik API ini mempunyai 2 versi iaitu catatan Abdul Majid Salleh dan catatan A.
Samad Ismail. Senikata lagu Darah Rakyat adalah seperti berikut ( catatan Abdul Majid Salleh ):

Darah rakyat masih berjalan,

Menderita sakit dan miskin,

Padanya datang pembalasan,

Rakyat yang menjadi hakim,

Ayuh! Ayuh! Bergerak sekarang,

Merah panji-panji kita,

Merah warna darah rakyat,

Merah warna darah rakyat.

Walaupun terdapat dua versi lagu Darah Rakyat tetapi tidak mencacatkan isi
kandungan dan juga maknanya. Kedua-dua versi lagu tetap mampu membakar semangat
mereka yang mendengarnya. Angkatan Pemuda Insaf yang diterajui oleh Ahmad Boestamam
merupakan sayap kanan PKMM tetapi telah bertindak memisahkan sayap pemuda dari PKMM
kerana inginkan sebuah pertubuhan yang lebih radikal kerana pada anggapan mereka di
bawah kepimpinan Dr. Burhanuddin tidak mungkin PKMM menjadi lebih radikal dan dapat
menggugat kedudukan penjajah British mahupun UMNO. Pengistyhiran darurat pada 16 Jun
1948 serentak dengan penguatkuasaan Akta Darurat 1948 menyebabkan banyak tokoh radikal
Melayu telah ditangkap termasuklah Ahmad Boestamam. Pada tahun 1955 semua tokoh yang
ditangkap dibebaskan. Bagi Ahmad Boestamam, selepas beliau dibebaskan pada 1955 ia
meneruskan perjuangannya.

Selepas dibebaskan pada tahun 1955 beliau telah menubuhkan Parti Rakyat Malaya.
Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang Melayu dengan menggunakan ideologi
sosialisme-marhaenisme ciptaan Sukarno. Dengan kerjasama dengan Parti Buruh Malaya,
beliau berjaya membentuk Socialis Front ( SF ) yang akhirnya menjadi salah satu parti

6
pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Penubuhan PRM
merupakan kesinambungan perjuangan Ahmad Boestamam. Menurut Ramlah Adam (1994 )
Ahmad Boestamam merupakan seorang pejuang berhaluan kiri yang sangat berani. Keberanian
ini digambarkan dalam petikan ini : “namun semua hanya semantara sahaja. Kelincahanya
berpolitik datang semula. Beliau hanya dapat bertahan lima tahun sahaja. Sifat jinaknya itu
akhirnya hilang ditelan semangat berpolitiknya yang kuat. Sekali beliau radikal, tidak mungkin
menjadi kanan. Itulah Ahmad Boestamam”.

Itulah ungkapan kata-kata yang diberikan kepada beliau apabila beliau bertindak
menubuhkan Parti Rakyat Malaya ( PRM), di Kuala Lumpur selepas keluar dari kem tahanan
politik British pada tahun 1955. Melalui peristiwa ini dapat disimpulkan bahawa Parti Rakyat
Malaya ( PRM) yang ditubuhkan adalah kesinambungan perjuangan tokoh-tokoh KMM dan juga
PKMM yang berhasrat untuk terus berhadapan dengan pihak penjajah British. Mereka
merupakan pejuang yang menjiwai semangat kebangsaan Melayu dalam kalangan mereka ini.
Lantaran kemerdekaan yang belum tercapai menyebabkan mereka terpanggil untuk
meneruskan perjuangan yang belum selesai.

7
Penutup

Secara kesimpulanya, sebagai seorang yang disegani sepanjang hidupnya, Ahmad


Boestamam telah menunjukkan sifat nasionalis yang sukar diganti kerana semangat radikal
beliau untuk memajukan orang Melayu dan bukan Melayu tiada tolok bandingnya. Di samping
itu, perkembangan politik Ahmad Boestamam juga menggambarkan satu tempoh atau keadaan
politik yang begitu penting dalam era peralihan kepada proses kemerdekaan negeri-negeri
melayu. Tapi kini, sejarah perjuangan Ahmad Boestamam bagaikan terkubur bersama
jasadnya. Memulakan kerjaya sebagai wartawan Ahmad Boestamam menjadi pemimpin politik
radikal yang cukup disegani. Sumbanganya dalam persada politik Tanah Melayu juga cukuup
terserlah. Penglibatan beliau juga cukup menyedarkan rakyat Melayu tentang pentingnya untuk
berjuang demi mendapatkan kemerdekaan di tanah air sendiri.

Walaupun beliau memilih pendekatan berhaluan kiri namun sumbangan dan jasanya
dalam lapangan politik negara dan Tanah Melayu tidak dapat disangkal. Kehidupan sebagai
politikus lebih menonjol daripada beliau menjadi wartawan. Ahmad Boestamam mengakhiri
sisa-sisa hidupnya sebagai penulis bebas dan meninggal dunia akibat sakit barah paru-paru.
Maka tamatlah perjalanan hidup seorang tokoh politik yang sangat dinamik, menarik serta
berliku-liku dalam kehidupannya dan politik Malaysia khasnya. Beliau menghembuskan nafas
terakhirnya pada 19 Januari 1983 jam 10.07 pagi dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam
Gombak, Kuala Lumpur.

Walaupun Ahmad Boetamam lebih kepada gerakan yang lebih kepada haluan kiri
namun penglibatan gerakan berhaluan kiri dalam sejarah perjuangan anti British telah
mencorakkan perjalanan sejarah perjuangan menentang penjajah lebih menarik. Peranan yang
dimainkan tokoh pejuang seperti Ahmad Boestamam membuat pihak British ingat bahawa
bangsa Melayu yang dijajah boleh bersatu dan bertindak bagi berhadapan dengan penjajah
demi untuk mempertahankan negara, bangsa dan agama.

8
Bibliografi

Abdul Rahman Haji Ismail (2007). Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Ampang/Hulu
Kelang: Dawama Sdn Bhd

Ishak Saat (2007). Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam: Karisma Publication.

Ruslan Zainnudin (2003) ( Edisi Kedua). Sejarah Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Rustam A. Sani (1998). Ayahku, Ahmad Boestamam. Diperolehi pada Februari 15, 2010
daripadahttp://arissani-rustam.blogspot.com/2006/09/ayahku-ahmad
boestamam.html

Diperolehi daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Angkatan_Pemuda_Insaf pada Februari 17,

2010

Diperolehi daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Ahmad_Boestamam pada Februari 17, 2010.

You might also like