You are on page 1of 3

Ros perlu kasih sayang

Mawar yang cantik perlu penjagaan rapi.

SESIAPA saja akan tertarik dan jatuh cinta jika memandang bunga mawar mekar di
kelilingi pepohon renek dan rumput menghijau di laman.

Namun, untuk menanam sendiri mawar di laman, ramai yang mengelak kerana
berpendapat pokok berkenaan sukar dijaga dan perlu penjagaan rapi.

Seorang pengurus syarikat yang mengusahakan tanaman ros secara khusus, Encik
Kamal Kamaruddin, menyangkal pendapat berkenaan sebaliknya menyatakan
penanaman pokok mawar mudah jika anda mengikut prosedur dan cara penjagaan
yang betul.

“Kita perlu lahirkan rasa cinta jika mahu menanam mawar sebagaimana bunga
berkenaan sering dikaitkan sebagai lambang cinta,” katanya yang sudah empat tahun
mengusahakan tanaman mawar dan kerja penyelenggaraan taman bunga berkenaan di
sekitar Selangor.

Beliau memberikan beberapa tip bagi penanaman mawar dan menasihatkan mereka
yang berminat menanam pokok berkenaan tidak menggunakan baja kimia kerana ia
boleh menyebabkan pokok tidak sihat.

“Menanam mawar perlulah belaian dan kasih sayang, jadi gunakan bahan semula jadi
serta elakkan penggunaan air dan baja berlebihan,” katanya.

Bagi mereka yang mahu membina laman mawar perlulah memastikan tanah yang
digunakan sesuai iaitu adanya campuran tanah kompos yang mengandungi sabut
kelapa, pasir, sekam dan tanah bakar.

Sebelum mula menanam, bersihkan kawasan dan buang batu-batu kecil kerana akar
mawar sangat sensitif. Bunga mawar juga tidak boleh ditanam berselang seli dengan
pokok atau tumbuhan lain.

Seeloknya, taman mawar hanya dikhususkan untuknya saja kerana akarnya sensitif
dan tidak boleh berselirat dengan akar pokok lain. Pokok mawar juga dikategorikan
sebagai pokok manja yang tidak boleh bersaing dengan pokok lain.

Selepas tanah dibersihkan dan dicampurkan dengan tanah kompos, dan tanam anak
pokok bunga seperti biasa. Kemudian, pokok berkenaan perlu disiram dua kali sehari,
pagi dan petang. Air yang disiram mesti sampai ke atas bukannya hanya semburan
biasa yang hanya terkena kepada daun.

Kamal berkata, seeloknya untuk pokok mawar dalam pasu air perlu membasahi tanah
bagi membolehkan akar mendapat air secukupnya.

Selepas itu, pokok perlu di baja dan disiram dengan ubat semburan seminggu sekali.
Baja khas yang terdiri daripada isi ikan, kulit udang, sayuran, serbuk soya dan ekstrak
sawit.

Baja berkenaan dihasilkan sendiri Kamal dan hanya boleh diperoleh di kedainya saja
manakala semburan daripada bahan organik dihasilkan untuk mengelakkan serangan
virus, daun nampak lebih segar dan bertindak sebagai anti fungus.

Baja berkenaan akan dapat mengelakkan dahan menjadi kurus, pokok lebih tahan
lama, pokok tidak berbunga dan atau daun mengalami masalah seperti kering,
kekuningan dan bergulung.

Katanya, baja juga tidak boleh digunakan berlebihan dan jika boleh elak
menggunakan baja kimia atau kumbahan seperti tahi ayam dan kambing kerana ia
tidak membantu menyihatkan pokok sebaliknya mengurangkan jangka hayat pokok
mawar.

Baja najis haiwan biasanya panas dan membawa pelbagai virus yang boleh
mencacatkan daun dan bunga.

Pokok bunga mawar memerlukan cahaya matahari dan air mencukupi. Namun, air
berlebihan tidak baik untuk pokok.

Beliau berkata, ada beberapa kesalahan yang kerap dilakukan mereka yang menanam
pokok mawar. Antaranya, menanam pokok mawar berselang seli atau mencampurkan
dengan pokok lain, menggunakan racun serangga dan baja kimia, air berlebihan dan
kurang baja.

Oleh kerana, mawar dikategorikan sebagai pokok manja, maka ia perlu dicantas dan
tanah digembur selalu. Namun tanah tidak perlu digembur terlalu dalam kerana boleh
mencederakan akar.

Seeloknya, pokok dicantas setiap kali selepas bunga gugur dan dahan yang dicantas
perlulah sepanjang enam ruas daripada tangkai bunga gugur atau kira-kira 15.2
sentimeter.

“Ramai yang merungut, dahan yang dicantas terlalu panjang dan boleh memendekkan
pokok. Namun, mereka tidak tahu, jika formula itu digunakan pokok akan lebih cepat
berbunga. Setiap dahan yang dicantas akan cepat membawa tunas baru yang turut
mengeluarkan kudup bunga,” katanya.
Fakta: Mawar

# Dikenali juga dengan nama ros.

# Saiz bunga mawar di Malaysia dan di Eropah tidak sama kerana perbezaan cuaca.
Saiznya lebih besar di negara beriklim sejuk.

# Mawar ada pelbagai warna termasuk biru, hijau lembut dan hitam. Di Malaysia,
mawar yang biasanya dijumpai berwarna merah jambu lembut. Namun, mawar
berwarna merah, kuning dan putih menjadi pilihan ramai.

# Teknologi dalam industri penanaman pokok menyaksikan pokok mawar boleh


dikacukkan dan menghasilkan warna yang pelbagai seperti mawar ungu merah jambu,
mawar merah kuning dan mawar kuning jingga.

# Mawar disukai ramai dan sangat cantik untuk penyeri laman. Selain baunya yang
harum, mawar menjadi pilihan ramai kerana sering diterjemahkan sebagai lambang
kasih sayang. Dari segi ekonomi, permintaan pokok mawar melebihi daripada bunga
yang lain, digunakan dalam haruman, hiasan dan makanan

# Satu masa dulu di Eropah, bunga mawar menjadi bunga penting untuk taman
larangan Istana.

# Ada pelbagai jenis mawar di dunia. Namun, ia dikategorikan dalam tiga jenis utama
iaitu Mawar Liar, Mawar Taman Tradisi dan Mawar Taman Moden

# Setiap warna bunga mawar membawa makna atau lambang yang berbeza. Malah,
masyarakat barat percaya, warna bunga membawa makna tertentu. Warna merah
bermaksud romantik dan lambang kasih sayang dan cinta, manakala mawar kuning
bererti kebebasan dan sering menjadi hadiah untuk ucapan tahniah atas kejayaan, ibu
baru atau persahabatan.

You might also like