You are on page 1of 3

Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn

Sina
Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau dikenali sebagai Avicenna di dunia
barat merupakan salah seorang pakar sains dari Iran yang hidup antara tahun 980 - 1037
M.

Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 M. Pengajian
peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu,
beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh,
dan perubatan.

Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi
beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun
mahaguru ilmu tersebut.

Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub
Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran
dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-
Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fi al-Tibb


telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa
Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun,
buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah
dijadikan sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan
sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar
perubatan.

Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul (Remedies for The
Heart) yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah
menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk
mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan
sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik,
astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh
sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai
tahap kemuncak (zenith) iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang
diceburinya.

Di samping menjadi puncak dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki
kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam
bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah
yang mengandungi hasil sastera kreatif.

Ibnu Sina

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang
ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang
membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh
aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu,
pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani
khususnya Hippocrates.

Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah,
lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut
teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat
unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan
apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun


teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia
perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina
telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.

Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah,
air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan
kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu
Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan
penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga
memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses
penyembuhan.
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina
mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat
bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu
pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan
mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka
dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali
telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada
kepercayaan Yahudi dan Nasrani.

Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah,
Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud"
ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara
sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada
"Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.

Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia
berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan
bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab
kesempurnaan dan ketinggian-Nya.

Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab
"Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim
atasan.

Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu
percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang
berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli
Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.

Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap


kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina
dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan
kesengsaraan di syurga atau neraka.

Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam
perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh
dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam
Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi
kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi
(al-Farabi).

You might also like