You are on page 1of 2

ARKIB : 05/01/2011

UUM dan UMS tandatangan MoU

KUBANG PASU 4 Jan. - Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sabah
(UMS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyokong usaha kerajaan
memantapkan lagi integrasi nasional di kalangan rakyat semenanjung Malaysia dengan Sabah
dan Sarawak.

Naib Canselor UUM, Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kandungan MoU itu antaranya
berkaitan program pertukaran pelajar yang bertujuan mendedahkan pelajar dengan pengalaman
baru serta menghasilkan jaringan sosial lebih baik antara kedua-dua universiti.

"Banyak yang akan dapat dipelajari oleh pelajar UUM dan UMS melalui program ini kerana
pelbagai bentuk program boleh dirangka bagi mencapai matlamat integrasi nasional.

"Antara program yang boleh diadakan adalah menyertai program homestay, tinggal bersama ibu
dan bapa angkat serta program mengenali budaya dan adat resam sepanjang dalam program
mobiliti pelajar ini," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan
UMS di Hotel EDC UUM di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr.
Kassim Md. Mansur; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr.
Ahmad Faiz Abd. Hamid dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM,
Prof. Dr. Rosna Awang Hashim dan Penolong Naib Canselor Kolej Bisnes UUM, Prof. Madya.
Dr. Mahamad Tayib.

Menurutnya, usaha awal itu dilakukan dengan penghantaran pelajar dari Semenanjung Malaysia
ke Sabah selama satu semester bagi memupuk semangat 1Malaysia dan memahami dengan lebih
mendalam konsep integrasi nasional yang sebenar.

Jelasnya, pelajar daripada kedua-dua universiti itu akan berada selama empat hingga enam bulan
bermula semester depan 2011 untuk membolehkan mereka mengambil beberapa kursus di
samping menyertai aktiviti peringkat universiti serta mempunyai peluang mengenali budaya dan
adat resam negeri masing-masing.

"Kita bukan sahaja hendak menukar pelajar tetapi staf akademik dan pentadbiran juga akan
diberi pendedahan yang serupa bagi membolehkan mereka mempelajari sesuatu yang baru di
Sabah dan Semenanjung Malaysia," ujarnya.

Mustafa berkata, UUM akan terus menggalakkan program mobiliti pelajar kerana mereka perlu
diberi pendedahan yang betul serta menyedari kepentingan pertukaran budaya, adat resam serta
menimbulkan rasa keyakinan pelajar untuk berjauhan daripada keluarga apabila berada di Sabah.
Sementara itu, Dr. Kassim berkata, kerjasama itu amat baik kerana pelajar UMS juga perlu
dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk belajar dalam persekitaran yang baru serta
mendedahkan mereka dengan ilmu dan kawan baru.

"UMS dan UUM boleh melaksanakan banyak perkara secara bersama seperti penyelidikan,
pertukaran pelajar dan staf serta kerjasama ini akan melahirkan semangat 1Malaysia dan
memantapkan integrasi nasional.

"Saya lihat kepakaran kedua-dua pihak boleh digembleng untuk kepentingan bersama kerana
usaha berterusan akan menghasilkan kejayaan yang baik bagi kedua-dua universiti ini," katanya.

You might also like