You are on page 1of 13

Pendahuluan

Kebelakangan ini, rancak polimik mengenai pendidikan di media cetak dan elektronik
dan banyak reaksi dan tafsiran diberi dalam pendekatan dan dasar pendidikan negara.
Pendidikan bagi sesebuah negara menjadi peranan semua. Pihak kerajaan, sekolah, ibu bapa
dan masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama menentukan pendidikan berlaku dengan
seimbang dan sempurna. Bagi kerajaan memang menjadi tanggungjawabnya menyediakan
prasarana, latihan perguruan, kurikulum yang baik, buku teks dan bahan latihan yang bermutu.
Bagi ibu bapa, mereka tidak harus berpendapat bahawa pendidikan harus bermula dan berakhir
di sekolah.

Peranan ibu bapa jauh lebih penting menjadi asas dan tapak didikan dan latihan
sebelum anak-anak memasuki sekolah secara formal (Sidek Baba, 2009). Tempoh umur dari
pertama anak-anak lahir sehingga akil baligh merupakan tempoh kritikal yang memerlukan
sentuhan dan perhatian supaya kasih sayang sentiasa subur terhadap anak-anak. Contoh
teladan harus menjadi keutamaan dalam rumah,adab dan sopan juga sentiasa disemaikan
terhadap mereka. Apabila anak-anak tidak mengalami masalah kelompangan dan keciciran di
rumah, sekolah bakal mendidik anak-anak yang bersedia untuk belajar dan menjadi cemerlang
kerana sekolah dan guru menyediakan kurikulum yang sesuai untuk membentuk minda, hati
dan jasmani para pelajar.

Kepercayaan terhadap guru perlu ada dan hubungan guru dengan ibu bapa dan
masyarakat perlu kukuh. Sekiranya wujudnya konflik dan prasangka buruk terhadap guru ia
adalah petanda bahaya. Jurang yang terdapat harus diikuti dengan dialog dan komunikasi
harus berlaku supaya salah faham dapat dijernihkan. Di sinilah pentingnya Persatuan Ibu Bapa
dan Guru ( PIBG ) menghubungkan dua faktor yang penting dalam menjayakan pendidikan
anak-anak iaitu guru dan ibu bapa.

Oleh itu, amat penting ibu bapa mempunyai keazaman tinggi untuk terlibat sama dalam
proses pendidikan. Penglibatan aktif ibu bapa dalam PIBG boleh menimbulkan kesedaran
bahawa tanpa kerjasama ibu bapa kecemerlangan sekolah tidak akan tercapai. Ibu bapa yang
memahami kesukaran guru untuk mendidik anak-anak yang datang dari pelbagai latar belakang
akan mengerti bahawa tanpa persefahaman ibu bapa akan menyebabkan guru tidak melihat
para murid sebagai anak mereka sendiri.
Definisi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

Persatuan Ibu Bapa dan Guru ditubuhkan dibawah peraturan 4, dan anggotanya terdiri
daripada:

a) Semua guru yang mengajar dalam sekolah itu


b) Ibu bapa kepada murid yang belajar dalam sekolah itu
c) Guru Besar atau Pengetua sekolah sebagai anggota ex-officio atau Penasihat
Persatuan

Warganegara Malaysia yang tidak mempunyai anak atau jagaan yang belajar dalam
sekolah itu tetapi berminat menjadi anggota persatuan boleh memohon sama ada kepada
Pegawai Pelajaran Daerah atau Pegawai Pelajaran Bahagian atau Pendaftar (bagi sesuatu
negeri yang tidak mempunyai Pegawai Pelajaran Daerah atau Pegawai Pelajaran Bahagian)
untuk menjadi anggota.

Tujuan-tujuan persatuan ialah:

a) Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan
murid-murid dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah
b) Untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan
keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka.
c) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar-tukar fikiran dan
maklumat mengenai pendidikan.
d) Untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu
sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka
pada amnya.
e) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah untuk berusaha menambah
kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan
kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

PIBG mempunyai falsafah, konsep dan dasarnya yang tersendiri. Antara falsafah PIBG
ialah ianya merupakan suatu jambatan yang menghubungkan dan mendekatkan antara rumah
dan sekolah dan antara ibubapa dengan guru untuk membolehkan ibubapa bekerjasama
dengan guru secara baik dalam melatih dan mendidik anak-anak untuk menjadi manusia yang
berguna.
Konsep PIBG pula ialah sebagai sebuah institusi, PIBG hendaklah memainkan peranan
yang lebih aktif untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang paling disukai dan digemari
oleh murid-murid dan institusi sekolah itu hendaklah dijadikan gedung ilmu di mana murid-
murid, ibubapa, dan guru bersama-sama dapat menimba ilmu pengetahuan, pengalaman, dan
latihan kemahiran kerana di sekolahlah tempat seseorang murid menghabiskan satu pertiga
daripada umur remaja mereka.

Manakala dasar PIBG pula ialah ianya merupakan suatu badan yang boleh
menggabungkan tenaga untuk mencapai pendemokrasian peluang pendidikan kepada semua
murid, tanpa mengira kaum, agama, keturunan, taraf hidup, pekerjaan dan latar belakang
seseorang ibubapa. PIBG tidak boleh dan tidak sepatutnya dijadikan forum untuk tujuan politik
mana-mana pihak. Di samping itu, PIBG haruslah mengadakan kerjasama yang erat antara
semua pihak bagi melahirkan suatu tenaga yang bersatu padu dengan tujuan untuk memberi
pendidikan yang paling tinggi untuk mencapai kecemerlangan pelajar dari segi mental, sosial
dan jasmani.

Jika dikaji tentang tujuan penubuhan PIBG, ibu bapa dan guru sepatutnya memainkan
peranan yang penting untuk meningkatkan tahap pendidikan di sekolah. Sekolah juga
seharusnya melibatkan ibu bapa dengan lebih aktif dalam perancangan program kurikulum dan
kokurikulum di sekolah. Selain daripada itu, penglibatan aktif daripada PIBG juga boleh
membantu sekolah mengurangkan masalah disiplin.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru ini merupakan satu badan yang cukup besar peranannya.
Persatuan ini sebenarnya cuba mempertaut dan mengeratkan hubungan para ibu bapa dengan
sekolah. Badan ini bertindak sebagai saluran kedua menggerakkan aktiviti yang boleh
membantu kecemerlangan pelajar. Perkongsian idea dan kerjasama memberi laluan mudah
untuk melaksanakan apa-apa sahaja aktiviti yang akan mewujudkan situasi menang-menang.
Persoalannya, sejauh manakah PIBG sesebuah sekolah berperanan dalam membantu sekolah
tersebut? Umumnya, dilihat daripada pengalaman lalu, kehangatan kehadiran PIBG hanya
pada mesyuarat tahunan sahaja, itu pun kadang kala kehadiran ibu bapa dalam mesyuarat
tersebut amat mendukacitakan. Ini memperlihatkan peranan PIBG tidak begitu menggalakkan
kerana sokongan daripada ibu bapa amat menyedihkan. Satu lagi cabaran dalam kerjasama
antara pihak sekolah dengan ibu bapa ialah membantu para pelajar menjadi manusia yang
berjaya dari segi akademik dan sahsiahnya.
Fungsi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Dalam Meningkatkan Kualiti Pendidikan

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diwujudkan di setiap sekolah. Pada hari ini, PIBG
dianggotai oleh guru-guru, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak di sekolah
berkenaan. Pada kebiasaannya sekolah mengutip yuran daripada pihak penjaga sebagai
sumber menggerakkan persatuan. Mesyuarat Agung PIBG diadakan sekali setahun untuk
memilih ahli-ahli jawatankuasanya. Pengerusi PIBG selalu dilantik di kalangan ibu bapa
sementara pengetua bertindak sebagai penasihat dan seorang guru bertindak sebagai
setiausaha.

Fungsi jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan persatuan dan
membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjanan Persatuan, tanpa
bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan,
Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di
bawahnya (Md. Zuki Hashim, 2008).

Sambutan terhadap kegiatan PIBG adalah berbeza-beza antara sekolah. Terdapat PIBG
yang aktif dan ada yang kurang aktif. Persoalan yang selalu dibangkitkan ialah mengapakah
terdapat banyak PIBG yang tidak bergerak cergas dalam menjayakan aktiviti-aktiviti sekolah
sedangkan PIBG dapat memberikan sumbangan-sumbangan yang besar terhadap kemajuan
sekolah. Sebagai contoh PIBG dapat membantu menyelesaikan masalah salah laku pelajar,
dapat membantu dalam kerja-kerja amal dan dapat membantu mencari sumber kewangan bagi
pihak sekolah. Untuk menjawab persoalan ini, sebagaimana peranan pengetua dalam komuniti,
pemimpin sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk mengaktifkan PIBG. Pengetua yang
berkesan akan melibatkan PIBG dalam usaha-usaha mencapai hasrat sekolah.

Di samping faktor kepimpinan pengetua, adalah penting bagi PIBG untuk mempunyai
pasukan ahli jawatankuasa yang bersedia dan berminat untuk menjayakan program-program
sekolah. Kepimpinan PIBG yang berinovasi dapat merancang pelbagai strategi untuk
menentukan kejayaan. PIBG misalnya tidak hanya melibatkan mereka yang mempunyai anak
yang bersekolah untuk aktiviti-aktivitinya. PIBG sepatutnya melibatkan juga ahli-ahli komuniti
yang bukan terdiri daripada ibu bapa untuk bergiat dalam membantu program PIBG. Terdapat
ramai ahli komuniti yang terdiri daripada mereka yang tiada anak, anak sudah tamat sekolah
atau yang masih bujang yang mungkin berminat dalam aktiviti-aktiviti berbentuk
kemasyarakatan. Oleh itu terpulanglah kepada kepimpinan PIBG menjalankan fungsi dan
peranan masing-masing selaras dengan kedudukan mereka dalam persatuan.
Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah
antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak
apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa lebih percaya
akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak
dari situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali disalahkan untuk
segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin di
kalangan pelajar. Ekoran itu, mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru
tertentu. Namun dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan.
Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu menjernihkan
suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para
pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat
kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan
menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan
berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan
sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar,
malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi.

Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai
terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai
terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum. Susulan
daripada itu, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi
mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak persatuan
juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan
tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan
terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Kejadian memukul, mengancam, memusnahkan kereta dan membakar rumah guru


merupakan gejala yang boleh mematahkan semangat guru. Tindakan PIBG membela nasib
guru yang menjulang amanah ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan selesa ketika
bertugas. Ini secara tidak langsung dapat membantu sekolah meningkatkan pencapaian dalam
semua bidang.
Selain itu, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah,
misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan
sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan
antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini
mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud kerjasama
lain antara mereka. Dengan itu, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah akan
berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang
berkualiti pada masa hadapan.

Di negara ini, PIBG mula ditubuhkan pada awal tahun 1970-an berdasarkan kepada
“Kaedah-kaedah Persatuan Ibu Bapa – Guru, 1973”. Malangnya, sejak PIBG ditubuhkan
hinggalah pada masa ini, ia tidak aktif dan tidak memainkan peranan yang penting seperti yang
diharapkan. Kini dengan adanya Akta Pendidikan 1996, anggota PIBG telah diperluaskan
kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi ahli. Walaupun PIBG ini sangat penting
untuk sekolah dan ibu bapa sendiri tetapi masalahnya ialah kenapa tidak semua ibu bapa
terlibat secara langsung?

Satu sebab penting kenapa ibu bapa tidak terlibat secara langsung atau tidak aktif ialah
mereka tidak faham sejauh manakah peranan PIBG dan bagaimanakah PIBG boleh membantu
anak-anak dan mereka sendiri. Walaupun sebahagian kecil daripada ibu bapa memahami
tujuan dan matlamat PIBG, tetapi orang ramai yang boleh menganggotai PIBG masih tidak jelas
dan tidak tidak faham sepenuhnya peranan PIBG.

Justeru, pegawai dalam perkhidmatan pendidikan perlu didedahkan dahulu tentang


tujuan dan matlamat PIBG dan mereka ini pula menghebahkan kepentingan PIBG kepada ibu
bapa dan orang ramai yang bakal menjadi ahli. Sekiranya pengetua, guru besar dan guru-guru
merasakan organisasi sekolah itu penting, dan organisasi sekolah itu amat berguna untuk
murid-murid dan ibu bapa, maka pastikan ibu bapa dijemput untuk menjadi anggota yang aktif.
Sebaliknya, apabila pengetua memikirkan dirinya hanya penasihat (ex-officio) dan tidak
berminat untuk menarik ibu bapa menjadi ahli yang aktif, maka tujuan murni PIBG tidak akan
tercapai sama sekali. Sekiranya ini terjadi, para ibu bapa tidak akan rasa pentingnya PIBG dan
mereka lebih suka membuat kerja lain yang pada fikiran mereka lebih berfaedah. Selain dari
itu,terdapat di kalangan pengetua atau guru besar yang khuatir peranan PIBG melampaui batas
dan boleh mempengaruhi mereka dalam aspek pentadbiran. Oleh itu, pengetua dan guru besar
mestilah tegas dan sampaikan mesej dengan sejelas-jelasnya tentang peranan PIBG supaya
tidak terkeluar daripada landasan yang sepatutnya.

Bagaimana hendak “memasarkan” PIBG?


 Siapa mahu menjadi ahli PIBG?
 Apa untung jadi ahli PIBG?
 Siapa mempunyai masa untuk mesyuarat PIBG?
 Adakah orang bujang boleh menjadi ahli PIBG?

Di atas adalah antara soalan yang kerap ditimbulkan oleh orang ramai mengenai Persatuan
Ibu Bapa dan Guru. Ramai orang tidak tahu dan tidak faham peranan PIBG sekolah. Justeru
sekiranya sekolah hendak menarik lebuh ramai ibu bapa dan orang ramai untuk menjadi ahli,
maka tenaga yang lebih gigih diperlukan untuk meramaikan ahli-ahli terutama yang baru.

Banyak juga ahli PIBG mengalami reaksi pertama yang berbeza apabila berada di sekolah
dan berhadapan dengan pihak pentadbir sekolah. Sekiranya ibu bapa merasai pengalaman
yang positif, mesra dan menyeronokkan, berkemungkinan besar mereka akan menjadi ahli
yang aktif. Oleh itu usaha yang berterusan hendaklah sentiasa disuburkan untuk kepentingan
sekolah.

Perkara yang lebih utama ialah semua pengetua dan guru besar hendaklah menyedari
betapa pentingnya PIBG seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 dan apa yang
sepatutnya dibuat oleh mereka ialah “memasarkan” PIBG iaitu dengan cara mengeluarkan surat
edaran, membuat hebahan tertentu, mempromosi dan juga mengiklankannya melalui laman
web.

Pentingnya Komitmen Ibu Bapa Terhadap Sekolah

Komitmen individu yang terlibat dalam sesebuah organisasi merupakan pra-syarat bagi
kemajuan organisasi itu. Sekolah merupakan sebuah organisasi yang amat penting. Bagi
sesebuah sekolah, kita tidak seharusnya memberi penekanan kepada komitmen guru dan staf
yang terdapat di situ sahaja kerana kejayaan sesebuah sekolah bergantung juga kepada
komitmen daripada ibu bapa dan para pelajarnya.
Azami (1999) menyatakan beberapa faktor yang dikenalpasti dan memberi pengaruh
kepada komitmen ibu bapa terhadap sekolah. Salah satu daripadanya ialah faktor peribadi ibu
bapa. Dalam konteks penyertaan ibu bapa di sekolah, pengupayaan dapat diertikan sebagai
peluang untuk mengadakan permuafakatan dengan pihak sekolah dalam membuat keputusan
dan pengawalan aktiviti sekolah (Griffith, 1996). Oleh yang demikian apabila seseorang itu
diberi peluang untuk turut serta dalam menentukan keputusan, maka dijangkakan dia lebih
komited kepada keputusan yang telah diambil, lebih bermotivasi untuk melaksanakannya dan
lebih berpuas hati.

Banyak penyelidikan menunjukkan bahawa keputusan ahli akan bertambah baik apabila
mereka merasai bahawa mereka dapat mempengaruhi dalam menentukan keputusan.
Walaupun membuat keputusan itu mengambil masa yang lebih panjang, ia akan menghasilkan
komitmen yang lebih besar terhadap keputusan yang dibuat. Dengan perkataan lain,
pengupayaan adalah persepsi ibu bapa terhadap permuafakatan mereka dengan sekolah dan
terhadap pengawalan aktiviti sekolah. Kesediaan ibu bapa untuk turut terlibat dalam proses
membuat keputusan berkait rapat dengan dengan tahap pengupayaan yang diberikan oleh
sekolah. Namun, didapati sukar untuk menarik minat ibu bapa melibatkan diri dalam membuat
keputusan kerana budaya profesional sekolah yang tidak mendorong mereka.

Menurut Mohd Ismail Othman (2006), kajian yang pernah dibuat membuktikan bahawa
penglibatan ibu bapa di sekolah boleh meningkatkan pencapaian akademik. Manfaat yang
diperoleh termasuklah pencapaian gred yang lebih baik, kedatangan yang memuaskan,
menyiapkan kerja-kerja rumah dan lebih banyak dan pelajar lebih bersikap positif dan
bermotivasi. Untuk mendapat hasil yang positif, guru-guru hendaklah menyesuaikan jadual
kerja yang melibatkan ibu bapa supaya mereka dapat membantu program di sekolah.
Kebanyakan ibu bapa tidak pernah dijemput untuk menyertai program pendidikan di sekolah.
Ibu bapa hanya dipanggil apabila anak-anak mereka menghadapi masalah disiplin atau
masalah pembelajaran.

Masalah Penglibatan Ibu Bapa di Sekolah

Pada masa sekarang boleh dikatakan ramai ibu bapa tidak mempunyai masa yang
cukup untuk berkomunikasi atau berhubung dengan anak-anak di sekolah. Kebanyakan mereka
sibuk dan mengutamakan pekerjaan harian daripada tanggungjawab memahami pendidikan
anak-anak. Ada juga yang melepas tangan kepada pihak sekolah. Walaupun sesetengah
sekolah pernah memanggil ibu bapa dalam perjumpaan rasmi tetapi tidak sampai 50% yang
hadir (Mohd. Salleh Lebar, 1998).

Satu lagi yang menjadi masalah kekurangan minat ibu bapa untuk mengunjungi sekolah
ialah pihak sekolah tidak pandai merancang sesuatu program. Sekiranya ada hari penyampaian
hadiah, kebanyakan pihak sekolah memilih atau menyediakan hadiah kepada murid-murid yang
pandai sahaja. Manakala yang pernah menjadi ketua murid, yang rajin datang ke sekolah dan
juga yang menunjukkan akhlak yang mulia tidak diberi hadiah. Itulah yang menyebabkan pada
hari-hari penyampaian hadiah, hanya dihadiri oleh ibu bapa yang anak-anaknya menerima
hadiah sahaja.

Sikap pihak sekolah yang kurang memberi tumpuan terhadap penglibatan ibu bapa di
sekolah juga menyebabkan hubungan kedua-dua belah pihak menjadi renggang. Pihak sekolah
merasakan penglibatan dan campur tangan ibu bapa adalah tidak berfaedah dan membuang
masa. Lebih-lebih lagi sebarang keputusan, pihak sekolah terpaksa merujuk kepada Jabatan
Pendidikan Negeri dan tidak mengambil kira pendapat ibu bapa. Keadaan bertambah buruk
sekiranya Guru Besar atau Pengetua mempunyai sikap ego dan ingin menunjukkan kekuasaan
dalam pengurusan pentadbiran sekolah.

Ada juga ibu bapa enggan datang ke sekolah kerana perbezaan budaya. Boleh
dikatakan ramai ibu bapa yang berbangsa Cina yang mempunyai anak-anak bersekolah di
sekolah menengah kurang berminat untuk menghadirkan diri ke sekolah pada hari-hari tertentu.
Sebagai gantinya, mereka sedia untuk memberi derma kepada sekolah untuk membuat
pelbagai projek.

Cara Mempertingkatkan Hubungan Ibu Bapa Dengan Sekolah

Untuk memberi manfaat kepada ibu bapa dan sekolah adalah dicadangkan beberapa
langkah yang proaktif meliputi aktiviti berikut :

a) Guru membantu ibu bapa dalam perkara berkaitan dengan teknik penjagaan anak

b) Menggalakkan ibu bapa berkomunikasi dengan sekolah mengenai anak mereka


c) Memberi cadangan atau pilihan supaya ibu bapa membantu sekolah secara sukarela

d) Mengedarkan berita-berita sekolah kepada ibu bapa dan bukan terhad kepada murid
sahaja. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menegtahui maklumat yang sebenarnya.

e) Menggalakkan guru-guru banyak terlibat dengan aktiviti luar sekolah yang mana banyak
masyarakat melibatkan diri.

f) Mengadakan agenda-agenda yang menarik semasa PIBG mengadakan mesyuarat.

g) Mengajak ibu bapa merangka program-program baru dan ia tidak terikat semasa
mesyuarat PIBG sahaja. Guru Besar pula hendaklah melantik kumpulan petugas atau
task force agar dapat merancang sesuatu aktiviti yang berfaedah dan dapat
menjalankan tugas dengan berkesan. Kumpulan tersebut terdiri daripada Guru Besar,
Penolong Kanan dan juga Bendahari PIBG.

h) Kakitangan sekolah hendaklah pandai berhubung dan melayani masalah ibu bapa.

Pentingnya Komitmen Guru Terhadap Sekolah

Guru sebagai ahli profesional perlu menunjukkan sikap profesionalisme dan budaya
kerja yang bermutu tinggi. Guru juga perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang
diamanahkan dengan betul dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Situasi ini jelas
menggambarkan perwatakan guru yang berdedikasi dan wajar diteladani oleh pelajar.

Ini kerana dalam era globalisasi, tugas guru menjadi bertambah berat. Guru tidak lagi
berperanan sebagai pengajar sahaja, malah tugas guru mencakupi bidang mendidik,
mengasuh, merancang dan membentuk generasi yang diingini dan seimbang daripada segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu, penerapan nilai-nilai murni di dalam diri pelajar
penting kerana ia dapat memupuk ke arah budaya penyayang di sekolah. Contoh nilai murni
yang membantu mewujudkan budaya penyayang di sekolah adalah hormat-menghormati, kasih
sayang, adil, jujur, kerjasama, sederhana, syukur, semangat bermasyarakat dan sebagainya.

Earl V. Pullias (1997) di dalam bukunya, Guru Adalah Segala-galanya, mencirikan sifat
guru yang perlu dimiliki bagi melaksanakan hasrat sistem pendidikan ke arah sekolah
penyayang. Ciri pertama yang dinyatakan adalah guru sebagai pembimbing. Guru adalah
pembimbing pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana guru
bertanggungjawab menentukan tujuan yang sesuai dengan keperluan serta kemampuan
pelajar. Nilai murni yang dapat diterapkan dalam situasi ini adalah keadilan dan kasih sayang.
Guru menunjukkan sikap sentiasa mengambil berat dan memberikan perhatian kepada semua
pelajar. Guru juga perlu bijak memainkan peranan dengan mendekati pelajar bagi membentuk
sifat penyayang antara guru dan pelajar.

Guru juga merupakan pendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu
bersikap tenang dan sabar, sesuai dengan etika perguruan. Hal ini disebabkan pelbagai
kemungkinan dapat berlaku semasa guru berhadapan dengan pelajar dalam proses mengajar
dan belajar, sama ada di dalam ataupun di luar bilik darjah. Malah guru juga berkewajipan
menyelesaikan pelbagai masalah pelajar yang terlibat dengan kes-kes disiplin yang semakin
rumit. Keadaan ini menuntut sikap guru yang baik hati dan rasional dalam mengatasi masalah.
Guru juga perlu sentiasa menghargai pelajar. Guru perlu memberikan kata-kata semangat,
dorongan dan pujian kepada pelajar.

Di samping itu, guru turut memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai
pembimbing dan pendidik, malah berperanan penting menjadi role model dan teladan yang baik
kepada para pelajar dengan memiliki sahsiah yang baik. Sikap guru yang bertanggungjawab,
baik hati, adil, bersikap terbuka dalam menangani pelbagai perkara dan sentiasa mengambil
berat hal para pelajar menjadikan guru itu disenangi, dihormati dan disayangi oleh pelajar-
pelajarnya.

Kesimpulannya, guru-guru perlu mengetahui bahawa para pelajar diibaratkan seperti


kain putih. Menjadi tanggungjawab guru-guru mencorakkan mereka sama ada dengan warna
yang berwarna-warni seindah pelangi ataupun dengan warna hitam, sekelam masa hadapan
yang menyedihkan. Kerjasama ibu bapa juga penting kerana mereka adalah agen sosialisasi
terdekat yang memainkan peranan awal bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan.

Pengaruh Anggota dan Pemimpin Masyarakat terhadap PIBG


Tidak semua ahli masyarakat dan ibu bapa murid adalah ahli PIBG.
Walaubagaimanapun dokongan kita sebagai anggota masyarakat dan pemimpinnya terhadap
PIBG adalah faktor utama yang mempengaruhi taraf dan keberkesanan kerjasama di antara ibu
bapa dan guru. Dokongan sedemikian akan hanya dapat diwujudkan jika mereka yang cintakan
pendidikan anak-anak berganding bahu bersama PIBG dan institusi sekolah membangunkan
kesedaran masyarakat bahawa PIBG itu satu organisasi penting untuk masyarakat.

Masyarakat perlu disedarkan bahawa ahli jawatankuasa (AJK) PIBG memberi


sumbangan masa dan tenaga mereka yang berharga secara sukarela demi kepentingan anak-
anak anggota masyarakat. Semangat mereka untuk menyumbangkan tenaga akan sentiasa
segar jika anggota dan pemimpin masyarakat memberi penghargaan dan turut bersama-sama
terlibat dalam program/aktiviti PIBG. Masyarakat haruslah disedarkan bahawa AJK PIBG
memerlukan ransangan terus menerus. Penyertaan beramai-ramai dalam program/aktiviti PIBG
dan tindak balas yang menunjukkan mereka mengambil berat dan penuh kemesraan adalah di
antara beberapa ransangan yang perlu diberi perhatian oleh anggota masyarakat.

Bagi mengatasi masalah yang mungkin timbul disebabkan oleh masyarakat, PIBG
dengan kerjasama sekolah haruslah mewujudkan sistem informasinya sendiri. Berita PIBG
berkala sama ada bulanan atau dwi-mingguan yang diedarkan melalui murid, masjid dan surau
boleh memberi informasi kepada masyarakat. Masyarakat kemungkinan bersikap lepas tangan
kerana mereka kurang mendapat informasi tentang PIBG.

Kesimpulan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam
mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan
langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim
pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu bapa dan guru
berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan semasa dan metod
meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu
dengan tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar.

Cabaran kini dan mendatang dalam pendidikan di sekolah menuntut kita memerlukan
PIBG yang matap organisasinya, sekaligus mempunyai pelan tindakan dan perancangan
jangka panjang yang memungkinkannya berfungsi secara aktif dan betul serta tepat kepada
sasarannya. PIBG memerlukan kehadiran pemimpin dan pengikut berwibawa serentak. Dengan
adanya pemimpin dan pengikut sedemikian, pelbagai perancangan dan tindakan yang
dilaksanakan boleh mencapai kejayaan yang diinginkan. PIBG seperti inilah yang boleh menjadi
tunjang kemajuan sesebuah sekolah.

Sesungguhnya, PIBG dan sekolah ibarat “aur dengan tebing” yang perlu saling
membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat
ditingkatkan. Oleh itu, ibubapa, guru dan anggota masyarakat haruslah bekerjasama
memberikan sumbangan sama ada dari segi tenaga, kewangan mahupun idea dengan ikhlas
tanpa mencari kepentingan diri bagi meningkat kualiti pendidikan di Malaysia.

You might also like