You are on page 1of 4

KONSEP IBADAH DALAM ISLAM

 
OBJEKTIF
1.      Ahli usrah memahami tentang konsep ibadah di dalam Islam.
2.      Ahli usrah memahami bagaimana sesuatu amal perbuatan dapat mencapai status ibadah.
3.      Ahli usrah memahami kepentingan ibadah dalam membina ummah.
 
KANDUNGAN
1.      Pengertian ibadah bahasa dan istilah
2.      Hubungan aqidah dan ibadah
3.      Ruang lingkup ibadah dalam Islam
4.      Pengkhususan ibadah umum dan khusus
5.      Syarat amal untuk mendapat status ibadah
6.      Salah faham terhadap pengertian ibadah
7.      Kepentingan ibadah dalam membina ummah
 
PENGERTIAN IBADAH
 Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam
bukunya Asas-asas Islam seperti berikut:
 Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat
 Istilah : Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya, ibadah ialah
pengabdian dir sepenuhnya kepada Allah subhaanahu wa taaala.
 Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah:
  Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang
telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya
beribadat kepadanya. (Al-Baqarah:1-2)
 
HUBUNGAN AQIDAH DAN IBADAH
 Bila seseorang itu telah mempunyai aqidah yang kukuh maka:
         Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada Allah sebagaimana firman Allah:
Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu. (Adz-
Dzariyat:56)
Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadat kepada Allah semata-mata,
menghambakan diri dengan sepenuhnya kepada Allah dan hikmah diciptakan jin dan
manusia.
         Menolak segala kepatuhan dan ketaatan yang selain dari ketaatan kepada Allah.
Firman Allah:
 Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk
menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah thoghut. (Al-Nahl:36)
 Thoghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain Allah.
         Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah
 
RUANG LINGKUP IBADAH DALAM ISLAM
 Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila
diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan
menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.
 Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh
kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum
mereka kembali bertemu Allah di hari pembalasan nanti.
 Hakikat ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:
  Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha
Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Al-
Mulk:2)
 Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang
Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh
Allah dalam tempoh tersebut.
 
PEMBAHAGIAN IBADAH UMUM DAN KHUSUS
 Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:
         Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana  yang terkandung di
dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti
tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.
 Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan
oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi
wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan
terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
  Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)
         Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan
semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia
dalam kehidupan sehariannya.
 
SYARAT AMAL UNTUK MENDAPAT STATUS IBADAH
 Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat
supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:
         Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak
bercanggah dengan hukum tersebut.
         Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.
         Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh
Rasulullah:
Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan
memperelokkan kerjanya. (Muslim)
         Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan
ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas
orang lain dan merampas hak-hak orang.
         Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan
melaksanakan ibadah-ibadah umum.
 
SALAH FAHAM TERHADAP PENGERTIAN IBADAH
 Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain
atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak
terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-
orang tertentu.
 Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh
konsep asing ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian  besar daripada
masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang
menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga
di kalangan ummat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya
menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah.
Malah terdapat juga orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan
langsung dengan urusan masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan.
Semua ini adalah tanggapan-tanggapan yang amat salah.
 
HIKMAH DAN FALSAFAH IBADAH SOLAT, PUASA, ZAKAT, DAN HAJI
         Solat
Dalam solat jelas tergambar ibadah lisan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, bertakbir,
bertasbih dan berdoa. Demikian juga dengan ibadah perbuatan dengan berdiri, duduk, ruku
dan sujud. Terdapat di sana ibadah aqal dengan berfikir, dan merenung makna Al-Quran. Di
sana terdapat ibadah hati dengan ikhlas, khusyu mencintai Allah dan merasakan Allah
senantiasa memerhati dan mengamati amal hambaNya.
 Solat juga menjadikan seseorang itu benar-benar menyedari kedudukannya sebagai hamba
Allah. Setiap kali dia bertakbir, maka ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah.
Rasa takut dan berharap terhadap Allah yang ditanam oleh ibadah solat ini akan memimpin
di dalam seluruh hidupnya hinggakan seluruh tindak-tanduknya dipengaruhi oleh sifat-sifat
yang terkandung di dalam solat tersebut.
         Zakat
Zakat bereti kesucian dan kebersihan. Ini bererti kesucian dan kebersihan jiwa seseorang
mukmin tidak mungkin dapat dicapai tanpa dia memberikan hak saudara-saudaranya yang
miskin terhadap harta bendanya melalui zakat. Oleh itu di dalam Islam zakat adalah satu
asas persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap mementingkan diri sendiri yang selalu
menjadi punca kelemahan sesuatu masyarakat. Zakat adalah di antara asas penting bagi
penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertaqwa.
         Puasa
Matlamat utama puasa ialah supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah
subhaanahu wa taaala. Sebagaimana firman Allah:
  Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
Dalam ibadah puasa, orang-orang beriman dilatih supaya bersedia untuk berkorban demi
untuk kepentingan Islam melalui menanggung kesusahan, kelaparan, kedahagaan dan
keletihan. Puasa yang disyariatkan sebulan penuh bertujuan untuk meningkatkan dalam diri
mukmin daya juang, keikhlasan dan sifat konsisten (istiqamah) yang mana kesemuanya akan
menambahkan ketaqwaan kepada Allah subhaanahu wa taaala.
         Haji
Allah telah berfirman:
  Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan
datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis
unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (Al-
Hajj:27)
 Seseorang Mukmin yang telah melalui seluruh proses haji ini kan kekal bersama-sama
pengalaman melaksanakan ibadah tersebut. Hinggakan kesannya tidak akan hilang selama
bertahun-tahun. Malahan hatinya akan sentiasa rindu untuk terus berkunjung semula ke
Tanah Suci demi untuk mencurahkan rasa kecintaannya kepada Allah di Baitullah.
 
KEPENTINGAN IBADAH DALAM MEMBINA UMMAH
Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikannya kepada seluruh ruang lingkup kehidupan
manusia sehingga manusia dibanjiri dengan kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang
benar-benar khusyu akan mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga ia merasakan
jijik untuk dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran. Sebagaimana
firman Allah:
   Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-
Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah
dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
(faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-
Ankabut:45)
 Ruh yang dibawa oleh sistem zakat pula mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan
orang-orang beriman. Orang yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambah
rezeki adalah dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan
mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke jalan Allah iaitu dengan
memberikan sedekah dan membayar zakat dan jihad fisabilillah.
 Tujuan utama puasa pula ialah untuk mewujudkan taqwa kepada para mukmin. Puasa yang
mengukuhkan sifat taqwa di dalam jiwa mukmin akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan
sepenuh hatinya dalm melaksanakan segala perintah Allah, sanggup melakukan tugas-tugas yang
berat dalam mentaati Allah dan lebih mengutamakan kepentingan ummat Islam daripada
kepentingan peribadinya.
 Manfaat haji yang besar adalah dorongan bagi seluruh ummat Islam mengukuhkan kesatuan
Muslim. Kesatuan ummat Islam merupakan tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat
memimpin ummat manusia.
 Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat
melahirkan ummah yang kuat, bersatu dan diredhai oleh Allah subhaanahu wa taaala.
 
BAHAN RUJUKAN
1.      Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah
2.      Al-Ibadah Fil Islam Dr Yusuf Al-Qardhawi

http://noradila.tripod.com/skimatarbiyyahipij/id95.htma

You might also like