You are on page 1of 6

PERASAAN TAKUT DI KALANGAN KANAK-KANAK

Penulis : Hamid Arshat

Perasaan takut memang sering menyelubungi kanak-kanak.  Ada kanak-kanak yang takut pada
binatang-binatang seperti ular, tikus, anjing dan lipas. Ada pula yang takut pada air, keadaan
gelap atau berada di dalam ruang yang kecil dan sempit seperti lif. Sesetengah bayi pula
mudah berasa takut pada orang berjanggut, bercermin mata, bertopeng atau  yang bersuara
garang dan lantang.

Objek atau keadaan  yang ditakuti oleh kanak-kanak berbeza mengikut usia mereka. Kanak-
kanak yang berusia satu hingga dua tahun sering berasa takut pada suasana gelap, bunyi
mercun, bunyi guruh yang kuat atau binatang seperti semut, lipas dan anjing.  Kanak-kanak
yang berusia empat tahun ke atas pula mungkin sering dilanda perasaan bimbang apabila
memikirkan soal kematian dan penyakit yang mungkin menimpa ibu bapa mereka.  Perasaan
takut boleh menguasai fikiran anak akibat daripada beberapa perkara.  Ibu bapa sendiri
mungkin secara tidak sengaja menimbulkan rasa takut dalam diri si anak apabila mereka
mempamerkan perasaan takut mereka terhadap sesuatu benda itu di hadapan anak mereka.

Bayangkan satu keadaan di mana seorang anak sedang bermain seorang diri di halaman
rumahnya.  Tiba-tiba seekor anjing menerpa ke arahnya dan menyalak-nyalak. Dia sudah pasti
akan menangis ketakutan. Peristiwa ini mungkin akan sukar dilupakan dan perasaan takut
terhadap anjing akan terbawa-bawa sehingga dewasa.

Bayi juga mempunyai perasaan takut. Saya pernah melihat karenah seorang kanak-kanak kecil
yang telah diberi suntikan pelalian. Pengalaman yang 'menyakitkan' ini kekal dalam
ingatannya.  Walaupun dia telah sembuh, perasaan takut terhadap doktor masih wujud. Apabila
dia dibawa ke hospital untuk dirawat, dia mungkin akan teringat-ingat peristiwa ini sehingga
setiap kali dibawa masuk ke dalam bilik doktor, dia akan  meraung ketakutan.

Memang menjadi suatu perkara yang lazim kanak-kanak berusia dua tahun ke atas tidak mahu
tidur seorang diri kerana takut.  Seorang ibu yang datang ke klinik saya menceritakan karenah
anaknya yang tidak mahu tidur seorang diri dalam biliknya kecuali jika ditemani. Alasannya: dia
takutkan hantu! Apabila ibunya memberitahu  bahawa hantu tidak wujud, dia akan berkeras
mengatakan bahawa  hantu memang ada di dalam almari atau dibawah katil
biliknya.  Seterusnya, dia akan mengatakan yang hantu itu akan menjelma apabila ibunya tiada
bersama-samanya. Berbagai-bagai alasan yang diberikan agar ibunya tidur bersama-
samanya.  Perasaan takut memang lazim terdapat di kalangan kanak-kanak dan tidak perlu
dikhuatirkan sangat kerana ia akan hilang secara beransur-ansur.

Tetapi, ibu bapa dan ahli keluarga kanak-kanak tersebut tidak seharusnya pula menakut-
nakutkan si anak dengan kisah-kisah hantu atau sebarang cerita yang boleh menimbulkan rasa
takut si anak.  Apa yang sering berlaku ialah ibu atau bapa cuba memaksa anak mematuhi
sesuatu perintah dengan cara menakut-nakutkan anak itu. Contohnya, 'Jangan masuk ke dalam
bilik itu, ada hantu". Maka, tidak hairanlah jika perasaan takut ini akan terus bersarang dalam
jiwa kanak-kanak itu apabila dia sering diingat-ingatkan tentang hantu dan benda-benda yang
menakutkannya.

Saya sering juga bertemu kanak-kanak yang  serta-merta menangis ketakutan apabila dibawa
masuk ke dalam bilik saya untuk diperiksa. Ini mungkin ada kaitannya dengan pengalaman
yang menyakitkan yanag pernah dialaminya sewaktu menjalani  pemeriksaan-pemeriksaan
sebelum ini seperti suntikan, ujian darah, prosedur lumbar punture dan sebagainya. Kanak-
kanak perlulah sentiasa ditemani oleh ibu bapanya apabila menjalani pemeriksaan doktor
kerana persekitaran di hospital merupakan suasana asing baginya dan dia mudah berasa
cemas. Ibu bapa adalah pelindung anak.  Hospital kanak-kanak yang dibangunkan pada masa
kini memang direkabentuk bagi memuatkan tempat tidur dan ruang rehat untuk ibu bapa.

Kanak-kanak yang takutkan doktor perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri.  Doktor kanak-
kanak yang berpengalaman biasanya akan tahu bagaimana memujuk dan mendapatkan
kemesraan kanak-kanak sebelum melakukan prosedur-prosedur atau pemeriksaan-
pemeriksaan yang mungkin boleh menimbulkan perasaan takut dalam dirinya.

Berbagai-bagai kaedah digunakan untuk mengatasi masalah takut di kalangan kanak-


kanak.  Saya teringat seorang kanak-kanak yang takut  dengan alat penyedut sampah (vacuum
cleaner).  Si ibu sangat suka melihat anaknya menangis sambil berlari ketakutan
mendapatkannya setiap kali dia mendengar bunyi penyedut itu. Akibatnya, si anak berasa
cemas setiap kali berhadapan dengan sebarang jenis alat penyedut, sama ada di rumah atau di
kedai-kedai sehingga merunsingkan ibunya pula.  Untuk menghilangkan perasaan takut si anak
terhadap alat itu, pada peringkat awal, dia dibenarkan bermain-main dengan beberapa
bahagian alat itu.
 Setelah selesai bermain dengan kesemua bahagian alat itu, dia kemudiannya dibenarkan
memicit butang suis tanpa menyambungkan alat itu pada bekalan elektrik.  Akhirnya, suis
elektrik itu dipasang dan si anak dibenarkan memetik butang yang boleh menggerakkan alat
penyedut sampah tersebut. Dengan memetik suis itu, dia mula yakin yang dia boleh mengawal
alat penyedut sampah.  Akhirnya, perasaan takut terhadap alat itu akan beransur-ansur hilang.

Seorang kanak-kanak yang berusia 2 1/2 tahun  yang takutkan suasana gelap boleh dibiarkan
bermain-main dengan suis lampu untuk menyesuaikan diri dalam keadaan terang dan gelap.
Jika ada lampu meja di sisi katilnya, dia boleh digalakkan menutup suis lampu sendiri sebelum
tidur.  Mungkin beberapa hari sebelum itu dia dibenarkan tidur dengan lampu terpasang. Dia
akan diberikan pujian dan galakan apabila dia sudah boleh tidur dalam biliknya tanpa lampu
terpasang. Perasaan takutnya terhadap suasana gelap akan hilang secara beransur-ansur.

Ada  seorang bayi berusia 1 1/2 tahun yang dikatakan sangat takut pada bunyi guruh.  Setiap
kali terdengar bunyi guruh, dia tidak berhenti-henti menangis teresak-esak. Setiap kali turun
hujan yang disertai ribut petir, dia akan menangis berpanjangan sehingga tertidur.  Satu cara
yang disarankan untuk mengurangkan perasaan takut bayi itu terhadap bunyi guruh ialah
dengan memainkan pita rakaman bunyi guruh di hadapannya sewaktu cuaca terang-
benderang.

 Pada mulanya, bayi itu menangis bila mendengar bunyi guruh pada pita rakaman itu tetapi
lama-kelamaan dia akan dapat menyesuaikan dirinya dengan bunyi tersebut walaupun  apabila
bunyi dikuatkan. Dengan cara ini, lama-kelamaan bayi akan tetap tenang walaupun hujan turun
disertai petir berdentum.

Teringat saya pada seorang kanak-kanak berusia 2 tahun yang dibawa berjumpa saya untuk
mendapatkan rawatan.  Sebaik sahaja ternampak anak patung besar di dalam bilik saya, dia
tiba-tiba menjerit ketakutan.  Si ibu menyatakan bahawa anaknya amat takut pada anak-anak
patung  yang besar. Itulah sebabnya dia tidak menyimpan anak patung di rumah. Apabila
diselidik lebih lanjut, barulah saya faham punca yang menyebabkan si anak berasa takut.

Sewaktu dia kecil lagi, abangnya sering mengacu-acukan anak patung besar di hadapannya
sambil menakut-nakutkannya. Dia kerap menangis teresak-esak berpanjangan. Satu program
'desensitisasi' telah dicadangkan.  Sebuah anak patung yang kecil diberikan padanya untuk
bermain-main.  Apabila telah berasa selesa, dia diberikan patung yang lebih besar sedikit
saiznya. Proses ini akan berterusan dan dengan cara ini perasaan takutnya terhadap anak
patung yang besar akan hilang.

Program seperti ini pernah dijalankan ke atas seorang kanak-kanak yang takut pada kucing dan
hasilnya amat berkesan sekali. Pada peringkat awal, dia diberi peluang untuk melihat dari jauh
anak kucing dalam sangkar sambil diberitahu bahawa anak kucing itu amat takut kepadanya.
Dia digalakkan untuk memikir tentang cara yang baik untuk menolong anak kucing yang
'ketakutan ' itu. Dia menyatakan bahawa dia mesti berjalan perlahan-lahan sambil menghampiri
sangkar itu dan mencangkung serta bercakap-cakap dengan suara yang perlahan supaya tidak
menakutkan kucing itu.

 Apabila dia sudah berasa selesa melihat anak kucing itu, dia disuruh menggambarkan dalam
fikiran yang dia sedang menepuk-nepuk badan anak kucing itu. Dengan persetujuannya, anak
kucing itu dikeluarkan dari sangkar tersebut dan dia dibenarkan mengurut-ngurut dan menepuk-
nepuk badan binatang itu. Dengan cara ini, dia dapat bermesra dengan anak kucing itu sambil
menghilangkan perasaan takutnya terhadap binatang berkenaan.

Perasaan takut di kalangan kanak-kanak kecil biasanya akan hilang apabila mereka meningkat
dewasa dan ibu bapa tidak perlulah berasa terlalu rungsing terhadap perkara ini. Mereka perlu
faham bagaimana perasaan takut boleh wujud di kalangan kanak-kanak dan mengambil
langkah-langkah yang berkesan untuk mengurangkan dan menghilangkan perasaan takut
tersebut.

Kanak-kanak yang berusia empat tahun ke atas lebih matang fikirannya. Berbagai -bagai cerita
yang boleh direkanya. Kadangkala , cerita -ceritanya boleh mendatangkan perasaan takut pada
dirinya sendiri. Saya pernah bertemu seorang kanak -kanak berusia 5 1/2 tahun yang dibawa
oleh ayahnya ke klinik untuk mendapatkan nasihat  tentang tingkah lakunya yang berubah
dalam tempoh dua minggu kebelakangan. Si anak dikatakan tidak mahu berenggang dengan
ayahnya. Setiap pagi dia akan menangis apabila ayahnya hendak pergi kerja. Lazimnya , si
ayah akan meninggalkannya di tadika dan terus pergi ke pejabat tetapi dalam masa dua minggu
yang lepas , dia tidak mahu ke tadika. Dia tidak mahu ayahnya pergi kerja dan akan meraung
apabila ditinggalkan.

Ayahnya hairan dan runsing dengan perubahan tingkah laku anaknya. Pemeriksaan fizikal ke
atasnya tidak menunjukkan sebarang kelainan. Saya mulalah berbual -bual dengannya tentang
keadaan di tadika, kawan-kawan dan minatnya. Apabila ditanya jika ada sesuatu yang
membuatnya sedih, dia menyatakan bahawa dia berasa takut dan tidak boleh tidur malam
kerana khuatir bahawa ayahnya akan mati !! Bila ditanya mengapa dia boleh berfikir begitu, dia
menyatakan bahawa dia tidak mengerti mengapa seseorang mesti mati dan tidak kembali lagi.
Kebetulan pula, dia telah dibawa oleh ibu bapanya menziarahi neneknya yang baru meninggal
dunia. Ayahnya mula faham mengapa perangainya berubah dalam masa satu atau dua minggu
itu. Dia mula meluahkan segala perasaanya. Dalam pada itu, perkara hidup dan mati telah
diterang mengikut cara yang dia faham dan boleh terima. Perbualan seterusnya tertumpu
kepada tadika , guru dan kawan -kawannya. Rancangannya pada hari-hari seterusnya
dibincangkan bersama-sama dan dia menyatakan bahawa dia ingin kembali ke tadika kerana
berminat dengan aktiviti-aktiviti di situ. Sejak hari itu, tingkah laku si anak kembali normal dan
dia tidak lagi berasa cemas apabila berenggang dengan ayahnya.

Dalam salah satu lawatan ke pusat perkembangan kanak -kanak TIMANG LPPKN, saya
melihat satu peristiwa di mana seorang kanak-kanak berusia dua setengah tahun meraung
sekuat-kuat hatinya kerana tidak mahu berpisah dengan ibunya yang terpaksa
meninggalkannya di bawah jagaan pengasuh. Kanak -kanak mudah berasa cemas apabila
ditinggalkan di tempat yang terasing baginya atau di bawah jagaan orang-orang yang tidak
dikenalinya.

 Pengasuh yang cekap dan berpengalaman tentang karenah kanak-kanak akan dapat
mengawal keadaan. Dengan penuh rasa yakin, dia akan mengambil anak itu daripada
pangkuan si ibu dan terus membawanya masuk ke bilik di mana kanak-kanak lain sedang asyik
bermain dengan alat-alat permainan. Dia akan memberi sepenuh perhatian pada anak itu dan
menggunakan alat-alat pemaianan untuk menarik minat si anak. Dia tidak akan beredar
sehingga si anak berasa benar-benar selesa dan mesra dengan keadaan sekelilingnya.
Perasaan cemas apabila dipisahkan  daripada  ibunya akan reda apabila si anak sudah yakin
dan mesra dengan pengasuhnya.

 Kadangkala, perasaan takut seseorang itu terhadap sesuatu benda atau binatang akan
berterusan sehingga dewasa. Ambil contoh seorang dewasa yang takut pada anak kucing. Dia
tidak faham mengapa dia bersikap demikian dan tidak pula tahu bagaimana cara mengatasi
keadaan tersebut. Setiap kali mendengar bunyi anak kucing mengiau, dia seolah-olah hilang
pertimbangan. Wajahnya menjadi pucat, bulu romanya berdiri tegak, jari-jemarinya menggeletar
dan dia berasa cemas. Apabila diselidik , ternyata bahawa perasaan takutnya itu telah bermula
sejak usianya dua tahun lagi. Sewaktu dia terjaga dari tidur , dia mendapati seekor anak kucing
sedang tidur di atas dadanya. Ini menyebabkan dia terperanjat dan lari dari ketakutan sambil
menjerit -jerit sekuat hatinya.

Kejadian itu tidak luput dari fikirannya. Setiap kali ternampak anak kucing , perasaan takutnya
akan timbul. Lama kelamaan , terjalinlah perasaan takut ( phobia ) terhadap anak kucing.
Semakin lama , semakin sukar untuk menghilangkan perasaan takut itu. Dia memerlukan satu
program desensitisasi untuk mengatasi masalah yang dialaminya. Perasaan takut ini seelok
-eloknya dirawat sewaktu seseorang itu masih kecil lagi .

Perasaan takut memang sering terdapat di kalangan kanak -kanak tetapi kebanyakannya akan
hilang dengan sendiri. Ibu bapa perlulah mengetahui bagaimana timbulnya perasaan takut itu
dan bagaimanaia boleh berlanjutan. Ia perlulah dianalisa untuk mengetahui asas
kewujudannya. Kanak-kanak yang mengalami perasaan takut boleh dipulihkan dengan
menggunakan strategi psikologi. Ibu bapa ingin anak -anak mereka menjadi dewasa dengan
penuh keyakinan diri tanpa sebarang perasaan takut yang tidak berasas ( irrational fears ). Jika
anak anda mempunyai perasaan takut yang agak keterlaluan , eloklah dapatkan nasihat ahli
psikologi atau pakar kanak-kanak yang arif tentang masalah tingkah laku kanak-kanak
supaya  keadaan ini dapat dipulihkan seberapa segera.

You might also like