You are on page 1of 5

REFLEKSI

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana saya telah berjaya


melaksanakan Bina Insan Guru(BIG) sesi pertama bagi tahun 2009. BIG yang telah
kami lalui ini telah dilaksanakan di Pulau Poh, Tasik Kenyir. BIG yang mengambil
masa selama 4 hari 3 malam ini benar-benar telah memberi saya banyak input yang
amat berguna kepada saya untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian
terutamanya kehidupan saya dalam profesion perguruan.

Selama mengikuti BIG ini, saya telah menempuh banyak cabaran, dugaan dan
halangan yang telah diberikan dari para pensyarah pembimbing tanpa saya sedar
semua cabaran dan halangan ini semua sebenarnya mempunyai motif yang sangat
besar. Setiap perlakuan kami ketika mengikuti BIG, para pensyarah pembimbing
sentiasa awasi dan sentiasa memberi bantuan supaya kami dapat mencapai motif
tersebut.

BIG yang buat pertama kali bagi saya ini telah banyak memberi saya ilmu
pengetahuan yang tidak ternilai harganya dan amat sukar diperolehi jika BIG ini tidak
dilaksanakan. Nilai-nilai murni juga telah berjaya diserap dan saya amat bertuah
kerana BIG ini telah banyak memberi saya peluang untuk menilai keupayaan diri
saya dari segi persedian untuk menjadi seorang guru yang proaktif, fleksibel dan
berkeyakinan tinggi.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan dalam BIG ini ialah berkayak, “water
confident”, “jungle trecking”, latihan dalam kumpulan(LDK), memancing, masakan
rimba, kawad kaki, “BBQ”, dan malam persembahan. Pada mata kasar, boleh
dikatakan semua aktiviti yang dilakukan ini dilihat seperti satu aktiviti untuk
berseronok. Namun, saya yakin bahawa semua aktiviti ini mempunyai motif tersendiri
dan hanya kami semua yang perlu lihat, kaji, dan aplikasikannya nanti.

Pada hari pertama, sebelum bertolak kami semua seramai 82 orang guru pelatih
telah dibahagikan kepada 6 kumpulan. Jika dilihat pada mata kasar, pembahagian
kumpulan ini mungkin untuk memudahkan sesuatu kerja sahaja. Namun, motif
utamanya adalah untuk memberi peluang kepada kami semua bergaul,
berorganisasi, dan bekerjasama dengan mereka yang saya tidak sempat kenal lagi
sebelum ini. Keadaan ini jika dilihat dengan lebih terperinci adalah bertujuan untuk
membiasakan guru pelatih dengan keadaan sebenar profession perguruan yang
sebenarnya memerlukan seseorang guru itu berkomunikasi, bersosial dan bekerja
dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai ragam dan perangai. Pendedahan
seperti ini menjadikan saya lebih bersedia apabila saya ditugaskan di tempat baru
dimana tiada siapa lagi yang saya kenal sebelum ini.

Pada sebelah malamnya, Latihan Dalam Kumpulan(LDK) pula dilakukan. LDK yang
dijalankan telah banyak membantu saya untuk lebih yakin apabila bercakap
dihapadan ramai. LDK ini telah membantu saya untuk lebih berani melontarkan idea-
idea saya dan bersedia untuk mendengan kritikan atau pandangan dari pihak lain.
Aktiviti ini juga telah membentuk saya menjadi seorang yang lebih peka dan fokus
terhadap seseorang yang melontarkan idea atau sedang berhujah. Semua ini
penting bagi saya kerana latihan seperti ini adalah satu perkara yang pasti dilalui
oleh seorang guru. Sebagai contoh apabila bermusyuarat saya pasti diberikan
peluang untuk bercakap dan memberikan idea kepada ahli lain dan mendengar idea-
idea dari orang lain. Tanpa nilai murni seperti ini, pasti saya tidak mampu untuk
bekerjasama dengan guru-guru lain dan gagal meneruskan agenda mesyuarat.

BIG ini juga telah berjaya membantu saya menjadi seseorang yang lebih yakin
kepada kebolehan diri sendiri dan bersemangat melaksanakan sesuatu. Ketika
aktiviti “water confident”, saya terpaksa menyelam didalam air dan berenang di Tasik
Kenyir. Walaupun saya tidak pandai berenang dan takut pada mulanya,namun begitu
dengan tunjuk ajar pensyarah dan juga semangat yang diberikan oleh rakan-rakan
saya akhirnya berjaya melakukannya juga. Kini saya berasa lebih yakin untuk
melakukan sesuatu kerana bagi sekarang saya faham bahawa sesuatu perkara yang
mungkin sukar dilakukan pasti saya boleh lakukan sama ada seorang diri mahupun
dengan tunjuk ajar dari orang lain. Perkara yang menjadi tunjang utama adalah
semangat yang datang dari dalam diri dan jika saya mempunyai semangat itu, saya
yakin saya mampu melakukan perkara yang sukar. Jika dilihat dari segi yang lebih
luas, perkara ini amat penting kerana sebagai seorang guru saya pasti akan
diberikan pelbagai tugas sama ada dalam sekolah atau diluar sekolah. Jadi dengan
adanya pendedahan seperti ini yang banyak membantu saya untuk lebih yakin
menghadapi tugasan, saya pasti akan lebih berusaha untuk melaksanakan tugasan
yang diberikan itu dengan sempurna dan jayanya.

Selain itu, saya juga dilatih untuk menjadi lebih bertolak ansur antara satu sama lain.
Sebagai contohnya, pada setiap malam kami dalam satu kumpulan telah bergilir-gilir
berkawal dikawasan khemah bermula dari jam 12 tengah malam sehingga jam 6
pagi. Akiviti ini yang dilihat amat memenatkan telah berjaya dilakukan apabila kami
semua bertolak ansur untuk sama-sama berkawal mengikut jadual yang telah
ditetapkan oleh ketua kumpulan. Saya dan seorang lagi rakan yang telah diberikan
tugas untuk berkawal pada jam 3 pagi telah berkawal di sekitar khemah bagi
menjaga keselamatan setiap ahli dari apa juga perkara yang mungkin boleh
membawa padah. Aktiviti seperti ini tidak mungkin berjaya jika ada ahli kumpulan
yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu berkawal apabila tiba giliran mereka
tiba. Saya yakin, suatu hari nanti pasti saya akan diberikan tugas oleh pihak atasan
bersama guru-guru lain untuk melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan kami
bertolak ansur supaya matlamat perkara tersebut dapat dicapai. Pendedahan awal
ini telah menjadikan saya lebih bersedia menghadapi semua perkara itu.

Kreativif dan fleksibel juga merupakan perkara penting dalam diri seorang insan
bergelar guru. Ketika menghadiri program BIG ini, saya telah dilatih untuk menjadi
seorang yang lebih fleksibel dan kreatif dalam menghadapi sesuatu perkara. Ketika
melakukan persiapan bagi malam persembahan, kami semua telah berjaya
mewujudkan satu persekitaran yang meriah dan bertepatan dengan malam
persembahan. Masa yang singkat yang diberikan untuk melakukan persiapan itu
menyebabkan kami semua lebih kreatif memberi idea bernas dan fleksibel dengan
suasana hutan tanpa kemudahan-kemudahan yang ada seperti di institut. Dekorasi
yang dilakukan menggunakan item-item yang berada dihutan dan pelbagai lagi
perkara yang dilakukan bagi memeriahkan lagi majlis menjadikan pemikiran saya
lebih terbuka kerana semua ini menuntut tahap kreativiti yang amat tinggi. Perkara ini
pasti saya dapat aplikasikan suatu hari nanti apabila saya dihantar untuk mengajar di
sekolah terutamanya di sekolah yang infastrukturnya kurang baik dan alat bantu
mengajar yang terhad. Saya yakin bahawa, dengan pemikiran kritikal yang hebat
pasti saya dapat mereka satu alat bantu mengajar yang hanya terdiri dari item-item
yang berada di kawasan sekitar sahaja. Semua ini pasti berguna dan membantu
pelajar dalam pembelajaran mereka.

Pengalaman mengikuti program BIG juga banyak mengajar saya untuk


berkomunikasi dan bekerja dalam satu organisasi. Sebelum bertolak ke Tasik Kenyir,
kami semua iaitu seramai 82 orang guru pelatih telah dibahagikan kepada 6
kumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan pula masing-masing diberikan satu tugas
pada satu masa seperti ketua, setiausaha, tukang masak, penolong tukang masak,
tugas-tugas khas dan lain-lain lagi. Sistem yang diketengahkan di BIG ini ialah
sistem putaran atau “rotation” tugas. Hal ini memberi peluang kepada setiap ahli
kumpulan untuk merasai memegang setiap jawatan dalam kumpulan. Perkara ini
amat berkesan kerana sistem yang dibentuk oleh pensyarah pembimbing ini
bertujuan untuk memberi peluang kepada kami semua untuk menjadi pemimpin dan
orang yang dipimpim. Pendedahan ini merupakan satu pendedahan positif yang
memberi impak besar kepada saya terutama apabila saya menjadi ketua kumpulan.
Ketika itu saya sedar bahawa tugas menjadi seorang ketua amat berat kerana
semua kebajikan, tugas dan banyak perkara lagi menjadi satu tugas ketua.
Pengalaman berorganisasi ini akan saya manfaatkan sepenuhnya sama ada di
institut atau ketika berada di alam pekerjaan kerana saya sedar bahawa ada ketika
saya akan menjadi pemimpin dan ada ketika saya akan menjadi mereka yang
dipimpin. 

Aktiviti pagi iaitu akiviti berkawad di padang juga mempunyai objektif tersendiri.
Berdasarkan pemerhatian saya ketika di BIG, saya dan rakan-rakan semua telah
diajar untuk menepati masa dalam melakukan aktiviti. Ketika berkawad pada sebelah
pagi, tepat jam 7.30 pagi kami semua mesti berkumpul di padang kawad. Arahan
yang diberikan oleh pensyarah merupakan satu lagi latihan yang saya lihat satu
usaha bagi membentuk guru pelatih menepati masa. Perkara ini penting kerana
sebagai seorang bakal guru dan seorang guru, masa memainkan peranan penting
dalam kehidupan. Ketika di insitut atau di sekolah nanti, saya perlu berada di sana
sebelum jam 7.45 lagi dan ini bermakna untuk sampai kesana saya perlu bersiap
dengan lebih awal. Jika dilihat sekarang, ramai guru pelatih sama ada lelaki atau
perempuan yang datang lewat ke kuliah dan ini merupakan satu fenomena yang
amat merungsingkan pensyarah. Pendedahan di BIG ini telah merubah saya dan
rakan-rakan lain supaya menepati masa sama ada ketika ke kuliah ataupun
mengaplikasikannya dalam kehidupan 
seharian kami.

Selama 4 hari 3 malam saya mengikuti program BIG ini, begitu hebat saya rasakan
kekuatan mental dan fizikal saya telah diuji. Bermula dari bahang panas matahari,
kesejukan air tasik kenyir, kepenatan meredah hutan dan banyak lagi aktiviti yang
sangat mencabar telah saya lalui. Pendedahan sebegini saya anggap satu
pendedahan yang amat baik bagi saya kerana dengan cara inilah saya dan rakan-
rakan dapat mengukur sejauh mana ketahanan diri kami sendiri. Persediaan dari
segi mental dan fizikal amat penting kerana kami semua sebagai bakal pendidik
belum pasti lagi kemana arah kami seterusnya apabila tamat belajar di institut
perguruan ini. Mungkin kami dihantar ke kawasan bandar, tetapi mungkin juga kami
akan diarahkan untuk mengajar di kawasan jauh ke pedalaman. Pendedahan
sebegini membolehkan kami semua mengukur sejauh mana tahap dan kemampuan
diri kami sama ada kami sudah bersedia untuk mengembara ke sekolah yang
mungkin juah ke pelusuk rimba atau belum.

Akhir sekali, saya sangat bersyukur kerana telah melalui program BIG ini yang telah
banyak memberi saya pengetahuan, menguji mental dan fizikal diri saya dan yang
paling penting dapat membantu diri saya bagi membina jati diri seorang pendidik
yang berkarisma tinggi. Saya berharap pada BIG yang seterusnya, saya akan lebih
banyak menimba pengalaman dan ilmu bagi mencapai matlamat saya untuk menjadi
seorang pendidik yang gemilang.

You might also like