You are on page 1of 10

TUHFATUL IKHWAN FI TAJWID AL-QURAN :

SYEIKH ISMAIL BIN ABDUL MUTHALIB ASYI

Oleh :

Hafizullah Bin Mohamed Nawawi

Pendahuluan

Penyelidikan pertama terhadap ulama yang berasal dari Aceh ini dimulai dengan pengesanan

artikel-artikel karya beberapa orang ulama yang beliau kumpulkan dalam satu kitab yang cukup

terkenal di dunia Melayu yang diberi judul olehnya ``Jam'u Jawami'il Mushannafat''. Selain itu

juga kitab yang diberi judul oleh beliau dengan ``Tajul Muluk''. Setelah itu dijumpai pelbagai

judul karya beliau sendiri dan beberapa buah kitab yang disemakkannya.

Dalam fail surat Syeikh Ahmad al-Fathani 1323 Hijrah - 1325 Hijrah dijumpai beberapa lembar

surat Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mekah, kepada Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi di

Kaherah, Mesir. Dari surat- surat itu dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul

Muthallib al-Asyi itu adalah termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau dilantik oleh

Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi Ketua Pelajar-Pelajar Melayu di Kaherah, sedang Syeikh

Muhammad Tahir Jalaluddin dilantiknya sebagai Ketua Pelajar Putera Diraja Riau di Kaherah

juga. Dipercayai bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi adalah sebagai Ketua

Pelajar Melayu di Kaherah yang pertama sekali. Ada pun perintis jalan orang Melayu yang

pertama belajar di Masjid Al-Azhar ialah Syeikh Ahmad al-Fathani (tahun 1292 Hijrah sampai
1299 Hijrah). Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani kembali ke Mekah beliau menggalakkan murid-

muridnya belajar di Mesir terutama sekali di Al-Azhar. Maka sangat ramai pelajar kita yang

berasal dari dunia Melayu pergi ke Mesir itu. Selain Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh

Muhammad Tahir Jalaluddin Minangkabau termasuk peringkat awal ke Mesir juga di antaranya

ialah: Syeikh Ahmad Tahir Khathib Kerue (Lampung), Syeikh `Abdur Razzaq bin Muhammad

Rais Lampung, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, dan ramai lagi.

Pendidikan

Pendidikan asas di Acheh tidak dapat diketahui secara pasti. Dari tulisannya sendiri yang

termaktub dalam cetakan Zahratul Murid karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani, beliau

menyebut, ``Adapun salasilah haqir Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi, maka telah mengambil

talqin zikir dan bai'ah daripada Syeikh Muhammad `Ali. Ia mengambil daripada Syeikh

Muhammad As'ad. Ia mengambil daripada Syeikh Sa'id....'', dan seterusnya sama dengan

salasilah Thariqat Syathariyah versi Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Tidak jelas ``Syeikh

`Ali'' yang disebutkan nya dalam salasilah itu, apakah berasal dari Acheh atau tempat lainnya.

Yang menjadi kemusykilan ialah apabila kita semak kembali bererti ``Syeikh `Ali'' itu

mempunyai guru yang sama dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, kerana Syeikh Daud

bin `Abdullah al-Fathani juga menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Muhammad

As'ad itu. 

Syeikh `Ali al-Asyi adalah ulama Acheh yang seperguruan dengan Syeikh Daud bin `Abdullah

al-Fathani. Syeikh `Ali al-Asyi lebih muda dari Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani,
kemungkinan beliau berumur panjang sehingga Syeikh Ismail al-Asyi sempat menerima thariqat

daripadanya. Sebaliknya Syeikh Ahmad al-Fathani tidak sempat bertemu dengan Syeikh Daud

bin `Abdullah al-Fathani, yang menjadi murid ulama Patani itu ialah Syeikh Muhammad Zain al-

Fathani (ayah beliau).

Pentashih Karya Acheh

Sumbangan yang besar Syeikh Ismail al-Asyi ialah mentashihkan kitab-kitab karya ulama

Acheh. Beliau adalah orang yang pertama memberi catatan nota beberapa kosa kata dari bahasa

Acheh diberikan maknanya ke bahasa Melayu yang umum digunakan pada masa itu. Jadi bererti

aktiviti tashih kitab Melayu/Jawi yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu,

bahagian penelitian bahasa Acheh disemak oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Syeikh Ismail al-Asyi

mulakan melibatkan diri dalam usaha bersama Syeikh Ahmad al-Fathani itu sejak dulu lagi,

bersama-sama dengan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani, Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani,

Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, ketiga-tiganya merupakan orang kepercayaan Syeikh

Ahmad al-Fathani dalam semua permasalahan tashih. Kitab-kitab yang ditashihkan oleh Syeikh

Ismail al-Asyi pada peringkat awal dikumpulkan dalam Jam'u Jawami'il Mushannafat ialah:

1. Hidayatul `Awam karya Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin Acheh. 

2. Faraidh al-Quran, tanpa nama pengarang.

3. Kasyful Kiram karya Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.


4. Talkhishul Falah karya Syeikh Muhammad Zain 

5. Syifaul Qulub karya `Arif Billah Syeikh `Abdullah Acheh.

6. Mawaizhul Badi'ah karya Syeikh `Abdur Rauf Fansuri 

7. Dawaul Qulub karya Syeikh Muhammad bin Syeikh Khathib Langien.

8. I'lamul Muttaqin karya Syeikh Jamaluddin bin Syeikh `Abdullah.

Cetakan awal kitab di atas diusahakan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah. Halaman

terakhir cetakan ke lapan, 1320 H/1902 M disebutkan bahawa pada cetakan itu ditambah dua

naskhah lagi iaitu, Fathul `Arifin, Paal Kamalullah dan Paal Nabi S.A.W. Syeikh Ismail al-Asyi

mencatatkan, ``... dan ditashihkan dengan cermat dan ditaruhkan pula pada tepinya hasyiah iaitu

tafsir kalam yang susah jadi mudah''. Maksudnya bahawa beliau memberi nota bahasa Acheh

disesuaikan dengan maknanya dengan bahasa Melayu, dan memberikan huraian pada kalimat

yang tidak jelas. Pada cetakan yang kemudian dari cetakan tersebut terdapat puisi Syeikh Ismail

al-Asyi 18 bait yang terdiri dari dua rangkap-dua rangkap. Kitab yang diusahakan oleh Syeikh

Ismail al-Asyi itu mendapat sambutan masyarakat luas di dunia Melayu, sampai sekarang masih

banyak diajar dan masih mudah mendapatkannya di kedai-kedai kitab. 


Dalam kitab yang berjudul Tajul Muluk terkumpul pula beberapa buah karangan, juga

diusahakan oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Cetakan awal yang telah ditemui ialah yang diusahakan

oleh Mathba'ah al- Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Pada mukadimah Tajul

Muluk terdapat 34 bait puisi Syeikh Ismail al-Asyi yang terdiri dua rangkap-dua rangkap. Syeikh

Ismail al-Asyi memulakan kumpulan Tajul Muluk dengan karya Syeikh `Abbas al-Asyi yang

berjudul Sirajuz Zhalam, yang membicarakan ilmu hisab dan falakiyah. Pada akhir kitab Sirajuz

Zhalam karya Syeikh `Abbas al-Asyi, Syeikh Ismail al-Asyi mencatat, ``Maka telah selesai

hamba salin kitab ini dalam negeri Mekah yang Musyarrafah pada masa hijrah Nabi S.A.W 1306

tahun, pada hari Sabtu, pada 28 hari bulan Rabiulawal ... `` Kitab terakhir dalam Tajul Muluk

ialah yang berjudul Hidayatul Mukhtar karya Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani.

Manuskrip

Sebuah karya Syeikh `Abdus Shamad bin `Abdur Rahman al-Falimbani yang berjudul Zahratul

Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid yang sebelumnya hanya ditemui manuskripnya saja, dalam

bulan April 1993 saya temui cetakannya, pada halaman terakhir terdapat silsilah Syeikh Ismail

bin `Abdul Muthallib al-Asyi dan beliau juga menyalin silsilah Thariqat Qadiriyah dan Thariqat

Syathariyah Syeikh `Abdur Rauf al-Fansuri, ditashihkan oleh Syeikh Idris bin Husein al-

Kalantani. Saya buat kesimpulan bahawa kitab Zahratul Murid karya Syeikh `Abdus Shamad al-

Falimbani itu diusahakan bersama-sama Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh Idris bin Husein al-

Kalantani, dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah Makkah, 1331


Hijrah/1912 Masehi.

Karya Dan Pemikiran

Selain karya yang bercorak tashih seperti tersebut di atas, Syeikh Ismail al-Asyi juga

menghasilkan karya sendiri, di antaranya yang telah ditemui ialah:

1. Muqaddimatul Mubtadi-in, diselesaikan pada hari Rabu, 30 Safar, di Mekah, tanpa menyebut

tahun. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1307 Hijrah/1889 Masehi. Pada halaman

tercantum 19 bait puisi beliau yang terdiri dua rangkap-dua rangkap.

2. Tuhfatul Ikhwan fi Tajwidil Quran, diselesaikan pada waktu Dhuha hari Jumaat dua likur

Jamadilawal 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah,

Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Terdapat lagi cetakan Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1324

Hijrah/1906 Masehi.

3. Fat-hul Mannan fi Bayani Ma'na Asma-illahil Mannan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893

Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 Hijrah/1893

Masehi.

4. Fat-hul Mannan fi Hadits Afdhal Waladi `Adnan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893

Masehi. Hanya diketemukan cetakan Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, 1379

Hijrah/1960 Masehi yang diusahakan oleh Haji Muhammad bin Ahmad, Kampung Gong,
Kelantan, dengan catatan, ``Dengan izin waris pengarangnya dan anak muridnya yang di Mekah

al-Mukarramah pada tahun hijrah 1377.''

Kesimpulan bahawa karya Syeikh Ismail al-Asyi meliputi beberapa disiplin ilmu, ialah `aqidah

(Muqaddimatul Mubtadi-in), tajwid (Tuhfatul Ikhwan), hikmah dan fadhail (Fat-hul Mannan,

nombor 3), hadis (Fat-hul Mannan, nombor 4), bahasa (pada kitab-kitab yang ditashhihnya) dan

sastera (puisi), yang berbentuk syair dua rangkap-dua rangkap. Syair yang digubahnya dalam

bahasa Melayu memang indah susunan bahasanya, tetapi sayang kadang-kadang bercampur

dengan bahasa Acheh yang sukar difahami oleh masyarakat dunia Melayu umumnya.

Contoh beberapa bait syair Syeikh Ismail al-Asyi, ialah:

``Wahai ikhwan yang Muslimin,

orang yang yakin akan Rabbana,

Karangan ini intan ku karang,

segala manikam himpun di sana.'' 

(Jam'u Jawami'il Mushannafat)

``Barang siapa tiada makrifat, 


segala ibadat tiada guna.

Kitab ini baik sekali,

makrifat Rabbi di sini nyata.'' 

(Muqaddimatul Mubtadi-in)

Metode Penulisan Syeikh Ismail Al Asyi Dalam Kitab Menterjemah Tuhfatul Ikhwan Fi

Tajwid Al-Quran

Syeikh Ismail memulakan tulisannya dengan memuji Allah dan selawat ke atas nabi Muhammad

s.a.w. beliau juga ada menyebut tentang harapan beliau semasa beliau menterjemahkan kitab

Tuhfah Ikhwan fi Tajwid Quran. Beliau harap supaya kitab ini menjadi salah satu kitab yang

boleh memberikan manfaat kepada sesiapa yang membacanya. Selain itu beliau juga ada

menterjemahkan nama kitab ini.

Beliau memulakan terjemahan pada bab isti’alah. Beliau mendatangkan beberapa wajah

bacaan isti’alah serta dalil. Beliau juga ada menyebut beberapa pandangan tentang isti’alah ini.

Selepas itu beliau menterjemahkan bab Basmallah, bab ini tidaklah panjang hanyalah beberapa

ayat sahaja. Beliau sambung pula kepada bab “Lam Ta’rif” yang mana membincangkan tentang

“lam syamsiah” dan “lam Qamariah”.beliau menerangkan dengan terperinci dengan

mendatangkan sekali beberapa contoh. Kemudian beliau membicarakan tentang bab “ Hukum
Nun mati dan Tanwin”. Dalam bab ni beliau membahagikan kepada beberapa fasal untuk

dijadikan tajuk kecil. Beliau menerangkan dengan teliti dan mengemukakan banyak contoh

untuk pembaca mudah memahami. Dalam bab ni juga beliau ada membincangkan tentang “mim

mati” dan juga turut berbincang perihal “idgham mutamasilain, mutajasilain dan mutakaribian”.

Pada akhir bab ini beliau ada memasukkan perbincangan mengenai “Huruf-Huruf

Qalqalah”. Selepas itu beliau susuri dengan bab “Mad wal Qasri”. Dalam bab ini beliau ada

mendatangkan beberapa baca qiraat untuk membezakan baca imam qiraat serta cara

membacanya. Beliau menulis dengan teliti cermat sekali, huraian yang ringkas tetapi padat.

Senang untuk memahami cara bacaan imam qiraat. Akhir kitab ini beliau membincangkan

tentang bab yang paling asas iaitu bab” Makraj Huruf Dan sifatnya” dalam bab yang panjang ini

beliau mengajarkan cara menyebut makraj huruf dengan betul dan tepat serta mendatangkan

beberapa kalimah untuk dijadikan contoh. Selain itu juga beliau ada mendatangkan pendapat

imam yang besar dalam bab ini seperti Imam Jazari. Dalam bab ini terdapat tiga hadis, tetapi

hanya satu hadis sahaja beliau menyebut perawi yang tertinggi dalam sanad itu. Selain itu

beliau juga tidak menyebut darjat hadis keduanya itu dan juga tidak menyebut dari mana beliau

ambil hadis itu.

Kesimpulan

Kitab ini membicarakan tentang tajwid al-Quran yang mana hanya asas sahaja beliau

tekankan, tetapi kesemuanya padat dan senang untuk para pembaca mengambil pengajaran

daripada kitab ini. Diharapkan para pembaca dapat sedikit ilmu daripada kitab ini dan

mengembangkan ilmu daripada kitab ini.


TARTIL AL-QUR'AN

IQEU3317

TUHFATUL IKHWAN FI TAJWID AL-QURAN :

SYEIKH ISMAIL BIN ABDUL MUTHALIB ASYI

NAMA PELAJAR : HAFIZULLAH BIN MOHAMED NAWAWI

( IEJ 080074)

You might also like