You are on page 1of 5

Seorang guru harus mempunyai pelbagai cara dan kaedah dalam mempersembahkan pengajaran kepada para pelajar dan

tidak hanya terikat kepada satu set pengajaran sahaja. Definisi kaedah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah perancangan atau prosedur yang perlu diamalkan oleh semua guru bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang sistematik,terancang dan teratur. Bagi pengajaran kemahiran mendengar dalam Bahasa Arab, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi memastikan kaedah yang digunakan bersesuaian dengan kehendak diri pelajar. Kaedah mendengar memerlukan seorang pelajar mendengar dengan teliti apa yang disampaikan oleh guru. Di samping itu, guru yang dapat menyediakan konteks pembelajaran yang sihat, yakni konteks pembelajaran yang menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif dalam interaksi bahasa dapat membantu pelajar belajar bahasa dengan lebih berkesan. Terdapat beberapa kaedah mengajar yang berkesan bagi pengajaran kemahiran mendengar dalam Bahasa Arab yang boleh digunakan bagi dijadikan teknik mengajar. Antaranya ialah: KAEDAH PENCERITAAN Kaedah ini adalah salah satu kaedah yang berkesan bagi digunakan oleh guru dalam pengajaran. Tujuan kaedah ini adalah melatih kemahiran mendengar di kalangan pelajar di samping mengulang sebut fakta daripada cerita yang disampaikan oleh guru. Bagi pelaksanaan kaedah penceritaan ini, guru perlu menyediakan ringkasan dan fakta cerita serta alat-alat yang diperlukan bagi menerangkan fakta itu. Penceritaan yang dipilih perlu selari dengan objektif pengajaran supaya cerita yang disampaikan bukan sekadar cerita tetapi maklumat yang berkaitan dengan topik perbincangan yang dapat membantu pelajar supaya lebih memahami dan mendalami sesuatu pengajaran. Sebagai contoh, guru memilih sesuatu cerita berdasarkan pengalaman peribadi, keluarga, rakan-rakan ataupun cerita berdasarkan hal ehwal semasa sebagai kaedah bagi memudahkan guru menyampaikan topik pengajaran.. Kaedah ini juga boleh digunakan oleh pelajar sebagai membantu guru dalam

memperkembangkan isi pengajaran. Guru akan meminta pelajar membuat persediaan bagi menceritakan sesuatu kepada kelas dengan memberikan masa yang sesuai bagi membuat

persediaan dan persembahan. Guru berperanan memastikan cerita yang disampaikan oleh pelajar adalah cerita yang mempunyai mesej berkaitan dengan topik pengajaran yang sebenarnya. Langkah-langkah yang perlu diikuti bagi memastikan kaedah penceritaan ini berjaya melatih kemahiran mendengar ialah langkah pertama, cerita-cerita yang dipilih itu sewajarnya adalah cerita-cerita yang positif, baik dan dapat mempengaruhi pelajar atau menumpukan perhatian. Kedua, pastikan cerita itu adalah cerita-cerita yang belum didengar ataupun hanya segelintir sahaja di kalangan pelajar yang pernah mendengarnya. Ketiga, penceritaan yang hendak disampaikan itu juga perlu ada kaitan antara reality kehidupan harian pelajar dengan pengajaran yang ingin disampaikan. Keempat, cerita yang dipilih perlulah cerita yang dapat menimbulkan minat dan motivasi pelajar. KAEDAH SOAL JAWAB Kaedah ini adalah sejenis interaksi pengajaran dan pembelajaran antara guru dengan pelajar dan antara pelajar dengan pelajar. Kaedah ini akan dapat membangkitkan kecergasan dan menggalakkan pemikiran di kalangan pelajar. Ia dapat membantu pelajar dalam mengingat kembali segala fakta dan pengajaran guru. Disamping itu, kaedah ini juga dapat melatih kemahiran mendengar para pelajar kerana para pelajar perlu memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap persoalan yang akan dilontarkan oleh guru. Soal jawab dapat dilakukan sepanjang masa pengajaran, sama ada pada peringkat awal, tengah ataupun akhir bagi menguji dan menilai tahap kognitif pengetahuan ataupun pemahaman. Walau bagaimanapun soal jawab tidak perlu terpesong daripada objektif pengajaran dan bukannya bersoal jawab secara luas dan terbuka tanpa mengetahui perkaitan dengan topik pengajaran. Sebagai contoh, guru boleh menyoal pelajar berkaitan kesediaan pelajar bagi memulakan pembelajaran pada peringkat awal pengajaran, sama ada pada peringkat pendahuluan ataupun peringkat set induksi. Seterusnya bagi melihat kefahaman pelajar berkaitan isi-isi yang sudah disampaikan,kaedah ini juga dapat boleh dipraktikkan.

Selain itu, perkembangan isi pengajaran juga boleh dilakukan oleh pelajar melalui jawapan kepada soalan daripada guru. Kaedah ini bukan hanya terhad pada interaksi antara guru dengan pelajar sahaja, sebaliknya pembelajaran juga boleh berlaku hasil daripada soal jawab di kalangan pelajar itu sendiri berkaitan apa yang dipelajari dan apa yang masih belum difahami. Jawapan dan soalan yang diberikan oleh pelajar akan memberikan kesan yang lebih baik sekiranya guru dapat membimbing dengan berkesan. Ini adalah kerana pembelajaran secara rakan sebaya akan memberikan kefahaman yang lebih baik kepada sesetengah pelajar. Kesimpulannya, kaedah soal jawab ini amat berkesan dalam pengajaran kemahiran mendengar dalam Bahasa Arab. KAEDAH ULANGAN Pendekatan kaedah ini ialah melakukan pembacaan ataupun mengingat sesuatu perkara secara berulang kali ataupun berterusan. Kaedah ulangan ini dapat menajamkan daya ingatan dan menambahkan kefahaman pelajar apabila diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini berpusatkan kepada guru dan pelajar. Ianya perlu dijalankan dengan teknik yang sesuai mengikut topik pengajaran supaya ia tidak menjadi aktiviti yang membosankan. Kaedah ulangan yang betul adalah guru akan mengulang sebanyak tiga kali berturut-turut berkaitan sesuatu perkara yang ingin ditegaskan. Hal ini dilakukan supaya pelajar dapat mendengar dengan jelas apa yang hendak disampaikan oleh guru dan sekali gus dapat meningkatkan kefahaman serta menguatkan daya ingatan. Kaedah ulangan dapat memberi peluang kepada pelajar supaya bersedia menerima pengajaran dan menguatkan daya ingatan dan kefahaman. Kaedah ulangan boleh dilakukan oleh guru dalam peringkat pengajaran yang sama ataupun guru membuat pengulangan sesuatu perkara dalam peringkat pengajaran yang berbeza. Contohnya, membuat pengulangan pada isi pengajaran pada awal sesi pengajaran, pada peringkat akhir pengajaran ataupun membuat pengulangan sesuatu perkara dalam peringkat yang sama. Langkah-langkah yang perlu diikuti bagi memastikan kaedah penceritaan ini berjaya melatih kemahiran mendengar ialah langkah pertama, guru perlu menentukan objektif pengajaran dan

dapat mengenal pasti sesetengah perkara yang ingin ditegaskan kepada pelajar dan aspek yang memerlukan daya ingatan dan kefahaman yang lebih oleh pelajar. Seterusnya, pengulangan dilakukan oleh guru semasa memberikan penjelasan, sama ada dengan menyebut sendiri secara berulang-ulang ataupun meminta penyertaan pelajar bagi mengulang semula apa yang diterangkan. Pengulangan yang dibuat oleh guru akan memberi kefahaman kepada pelajar berkaitan perkara tersebut. Sekiranya pelajar sendiri yang membuat pengulangan, maka semasa proses pengulangan itu berlaku, pelajar sudah membuat peneguhan dalam aspek kemahiran mengingat dan memahami sesuatu perkara. Umumnya kita semua mengetahui dan mengakui bahawa bakat, kebolehan dan daya ingatan yang baik hanya akan timbul dan terjadi pada seseorang apabila mereka melakukan aktiviti tersebut secara berulang-ulang dan berterusan. Melakukan aktiviti secara berulang kali dan berterusan akan dapat meningkatkan kefahaman dan menguatkan daya ingatan serta memberi impak yang positif bagi pengajaran kemahiran mendengar dalam Bahasa Arab. KAEDAH PANDANG DENGAR (AUDIO VISUAL) Kaedah ini juga merupakan kaedah yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini dinyatakan oleh Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj sepertimana dalam firmanNya dalam Surah Al-Isra ayat 1. Kesimpulan dari ayat tersebut, Rasulullah telah dibawa berjalan dari Makkah ke Baitul Maqdis pada suatu malam, diperlihat dan didedahkan kepada pelbagai peristiwa dan kejadian sepanjang pengembaraannya. Peristiwa-peristiwa yang diperlihatkan itu berkaitan rapat dengan ilmu dan pendidikan yang boleh mewujudkan insan beriman dan bertakwa. Justeru itu, Baginda bukan sahaja diisrak dan dimikrajkan bahkan diperlihatkan pelbagai peristiwa menerusi penyaksian pancainderanya yang diinterpretasikan semula oleh Jibril dengan kata lain pengembaraan yang merangkumi kisah-kisah serta gambaran yang menjelaskan kisah tersebut agar dapat menguatkan lagi daya ingatan dan keyakinan Rasulullah (S.A.W). Kaedah pengajaran ini melibatkan penggunaan dua pancaindera utama secara aktif iaitu mata dan telinga. Kesepaduan penggunaan kombinasi antara dua deria ini dikatakan sangat berkesan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dalam Bahasa Arab. Pengajaran akan menjadi lebih berkesan kerana pelajar bukan sahaja akan mendengar

bahkan turut melihat pada masa yang sama. Situasi ini akan dapat mengukuhkan lagi daya ingatan pelajar terhadap pelajaran yang diterima melalui pendengaran disamping memudahkan mereka terus memahami pengajaran tersebut. Walaubagaimanapun, guru seharusnya berhati-hati menggunakan kaedah ini kerana guru perlulah menguasai terlebih dahulu kemahiran menggunakan alat audio dan visual supaya proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar. Selain itu, guru juga perlulah memastikan bilik darjah berada dalam keadaan kondusif dan selesa di samping bahan pengajaran yang ingin disampaikan jelas dan menarik.

You might also like