You are on page 1of 9

MATLAMAT DAN PERINGKAT-PERINGKAT PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

KEMAHIRAN MEMBACA Pengenalan Membaca adalah merupakan salah satu kemahiran bahasa yang terpenting dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu khususnya. Kemahiran membaca kebiasaannya diperolehi setelah murid menguasai kemahiran lisan (mendengar dan bertutur). Menurut Kamus Dewan membaca membawa maksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Secara mudahnya, membaca ialah kebolehan seseorang menterjemahkan lambang-lambang bertulis yang bermakna kepada bunyi bahasa dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu.

Matlamat kemahiran membaca Dalam pengajaran kemahiran membaca, terdapat dua matlamat yang perlu difokuskan serta perlu dicapai iaitu pertama untuk tujuan serta merta dan kedua tujuan lanjut. Tujuan serta merta adalah untuk membolehkan murid membaca dan memahami sesuatu bahan yang digunakan. Dalam konteks boleh membaca ini, ia bermaksud murid mampu membaca sesuatu bahan bacaan yang diberi dengan cepat, tidak teragak-agak, boleh membaca dengan serta merta dan tidak mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan bahan bacaan tersebut. Bukan itu sahaja, malahan ia bermaksud murid boleh membaca bersendirian tanpa bergantung kepada bantuan guru atau atau orang lain. Sementara itu, boleh memahami pula membawa maksud murid boleh menangkap makna atau maksud setiap perkataan dan ayat yang mereka baca. dalam aspek ini, murid sudah boleh melahirkan idea mereka sendiri serta menggunakan perkataan mereka sendiri untuk menyatakan apa yang mereka telah baca. Selain itu, terdapat beberapa tujuan lain bagi tujuan serta merta yang telah dibincangkan di atas iaitu seperti bertujuan untuk membolehkan muridmurid membaca dengan bunyi atau sebutan dan intonasi yang betul. Justeru, ia juga dilaksanakan supaya murid dapat membaca secara senyap tanpa merasa sebarang gangguan.

Guru juga dapat menimbulkan minat mahu membaca ke dalam diri murid sebagai hiburan dan mengisikan masa lapang serta menambahkan ilmu pengetahuan mereka. Akhir sekali, murid akan dapat menanamkan ke dalam diri mereka sikap suka dan mahu membaca terus menerus dan mereka juga akan mencari makna, pengertian dan mengambil tauladan daripada apa yang mereka baca. Matlamat yang kedua iaitu tujuan lanjut bermaksud murid memperolehi pelbagai pengetahuan setelah mereka menguasai tujuan serta merta. Dalam tujuan lanjut, murid dapat memperbetul fahaman mereka salah serta membandingkan fikiran dan pengalaman orang lain untuk menyelesaikan masalah hidup mereka sendiri. Apabila telah sampai ke tujuan lanjut ini, murid seharusnya telah dapat berfikir dan melahirkan idea serta buah fikiran mereka dengan cara yang lebih teratur dan baik. Murid yang telah berjaya menguasai kemahiran membaca dengan baik dapat merapatkan diri dengan orang di sekeliling mereka dengan berinteraksi dan menyertai sebarang aktiviti masyarakat yang sememangnya memerlukan kemahiran membaca. Terdapat empat matlamat bagi tujuan lanjut iaitu yang pertama ialah membaca sebagai alat untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman setelah murid keluar dari sekolah. Kedua, tujuan ini dapat merapatkan lagi diri murid dengan masyarakat dan memudahkan mereka untuk mengikuti perkembangan alam dan manusia. Selain itu, matlamat tujuan lanjut juga ialah supaya murid dapat meluaskan fahaman serta membetulkan idea-idea yang salah dengan cara membuat perbandingan dengan orang lain. Akhir sekali, tujuan lanjut membolehkan murid memperoleh pelbagai bahan-bahan bacaan yang boleh dijadikan panduan kepada hidup mereka dengan cara mengambil pengajaran daripada perkara-perkaran baik yang dilakukan oleh orang lain. Huraian di atas menerangkan tentang matlamat pengajaran kemahiran membaca yang telah di spesifikkan kepada dua iaitu tujuan serta merta dan tujuan lanjut. Selain daripada yang telah dijelaskan, matlamat pengajaran kemahiran membaca juga boleh dilihat secara kasar dan umum. Secara rumusnya, terdapat beberapa tujuan dan matlamat membaca iaitu supaya murid boleh mengenal huruf, menyebut nama dan bunyi huruf. Kemudian, guru dapat melatih murid untuk membaca dengan sebutan, tekanan, nada dan intonasi yang betul. Selepas itu, murid dapat memahami bahan yang dibaca dan dapat menggunakan perkataan sendiri untuk menyatakan pemahaman mereka terhadap bahan bacaan tersebut. Selain itu, murid yang telah menguasai kemahiran membaca juga boleh membaca secara senyap tanpa sebarang gangguan sekelilingnya. Setelah semua tujuan-tujuan di atas tercapai, seterusnya kita

mengharapkan supaya dapat menanamkan sikap suka membaca atau menjadikan sikap suka membaca sebagai amalan atau hobi setiap murid tidak kira tahap umur mereka. Sesungguhnya, aktiviti membaca yang dijadikan sebagai hobi bukan sahaja dapat mengisi masa lapang, malah dapat menambahkan pengetahuan serta mengurangkan masalah-masalah dalam kalangan murid. Kesimpulannnya, secara ringkas dapatlah dikatakan bahawa kemahiran membaca bertujuan untuk mendapat maklumat, pengetahuan dan fakta sesuatu perkara. Melalui kemahiran membaca, murid dapat mempelajari pelbagai bidang ilmu yang lain dan mendapat pelbagai pengetahuan yang penting kepada kehidupan seharian mereka.

Peringkat-peringkat pengajaran kemahiran membaca Terdapat lima peringkat dalam pengajaran kemahiran membaca dan peringkat ini harus diajarkan dengan teliti bagi mencapai beberapa objektif kemahiran membaca. Objektif yang dimaksudkan ialah objektif kemahiran membaca yang terdapat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang mana terdapat enam objektif utama yang telah ditetapkan. Pertama, kemahiran membaca diajarkan supaya murid dapat membaca pelbagai perkataan, frasa dan ayat secara mekanis dengan sebutan dan intonasi yang betul. Kedua, supaya murid dapat membaca dan memahami perkataan dan frasa yang mengandungi perkataan dua atau tiga suku kata, diftong, vocal berganding, digraph dan konsonan bergabungn dengan betul. Ketiga, supaya murid dapat membacakan ayat tunggal daripada pelbagai bahan bacaan dengan sebutan yang betul. Keempat, supaya murid dapat membaca dan memahami maklumat yang tersurat daripada pelbagai bahan untuk mengenal pasti idea utama dan membuat klasifikasi dengan betul. Kelima, supaya murid dapat membaca, memahami dan menaakul maklumat dalam bahan grafik dengan betul dan memindahkan kepada bentuk bukan grafik. Keenam, supaya murid dapat membaca dan memahami pelbagai bahan bacaan secara didik hibur untuk memperkaya kosa kata dan menambah pengetahuan. Lima peringkat yang dinyatakan dalam pengajaran kemahiran membaca ialah, peringkat menyediakan murid, peringkat mendirikan asas, peringkat melatih membaca dan memaham (peringkat mencapai kemahiran membaca), peringkat melatih membaca untuk menghiburkan hati dan meneroka maklumat bagi menambah pengetahuan, serta peringkat membina dan memperkukuh sikap gemar membaca dan mengamalkan budaya membaca.

PERINGKAT MENYEDIAKAN MURID Peringkat pertama, peringkat menyediakan murid, ialah langkah pertama yang perlu guru lakukan. Dalam peringkat ini, guru perlu mengetahui dan mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan dengan latar belakang murid. Hal ini penting sebelum memulakan pengajaran bacaan kerana guru perlu mengenal pasti potensi murid (kekuatan dan kelemahan murid), perasaan, minat, bakat dan juga sejauh mana tahap penguasaan bahasa murid yang hendak diajar. Perkara-perkara ini penting kerana ia menjadi penanda aras kepada guru untuk menyediakan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca yang sesuai untuk murid supaya objektif-objektif kemahiran membaca dapat dicapai. Dalam peringkat menyediakan murid, guru perlu bijak menggunakan pendekatan mesra murid supaya murid berasa selamat dan seronok berada di sekolah untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang oleh guru. Sebelum boleh mula mengajar, guru perlu menggalakkan murid untuk meningkatkan keyakinan diri mereka dan belajar mempercayai orang di sekeliling supaya proses pembelajaran dapat berjalan dengan lebih lancar dan baik. Seandainya masih ada murid yang mengalami masalah dalam kemahiran lisan, guru tidak seharusnya meneruskan juga pengajaran kemahiran membaca kerana mereka tidak akan berminat terhadap pengajaran itu. Guru perlu memastikan murid sudah boleh bertutur dengan baik dan guru perlu menggunakan pendekatan yang lebih menarik dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas. Terdapat beberapa tujuan utama dalam peringkat menyediakan murid. Pertama, peringkat menyediakan murid diadakan untuk menimbulkan keinginan dan minat murid untuk meluaskan pengalaman yang sedia ada. Ilmu yang sedikit boleh bertambah jika murid berminat untuk belajar walau hanya sedikit perkara yang diajar dan ilmu juga boleh tidak ada perubahan atau berkurang sekiranya murid malas atau tidak mahu belajar perkara lain menyebabkan ilmu sedia ada tidak digunakan dan menjadi tidak berguna. Tujuan kedua ialah untuk melatih murid-murid supaya boleh memerhati sesuatu dengan baik dan cuba mengecamkannya. Apabila guru telah berjaya menarik minat murid untuk belajar sesuatu benda, guru seterusnya akan dapat melatih murid untuk melihat sesuatu perkara atau benda dan ilmu tersebut akan tersimpan kemas dalam kotak fikiran mereka. Hal ini penting untuk memberi pendedahan kepada murid tentang langkah-langkah mendapatkan sesuatu ilmu.

Seterusnya ialah untuk memberikan peluang kepada murid-murid supaya merapatkan diri dengan guru dan tidak takut kepada guru. Hal yang demikian dapat menimbulkan sikap berani dan yakin. Apabila guru berjaya mendekati murid, guru akan mendapat kepercayaan daripada murid itu dan ini akan memudahkan lagi proses pengajaran berlangsung. Murid tidak seharusnya belajar kerana mereka takut kepada guru sebaliknya mereka perlu belajar atas dasar rasa minat dan keinginan untuk belajar. Tujuan terakhir bagi peringkat menyediakan murid ialah untuk membina tabiat gemar membaca dan menghargai apa yang dibaca. Walaupun pada peringkat ini murid masih tidak boleh membaca, namun murid perlu dirangsang sejak awal supaya mereka berminat untuk memulakan pelajaran dan minat itu seharusnya berterusan sehingga murid berjaya menguasai kemahiran membaca seterusnya dijadikan amalan kehidupan mereka pada masa hadapan. Jika ada tujuan dan matlamat, maka langkah-langkah untuk mencapai tujuan sesuatu perkara itu juga perlulah ada. Bagi menyediakan murid untuk membaca, terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan oleh guru. Pertama, guru perlu banyak bermain dan berkomunikasi dengan murid seperti berbual-bual, soal jawab secara tidak formal tentang keluarga, rakan, minat serta kehidupan harian mereka. Guru perlu belajar berkawan dengan murid supaya dapat memperoleh kepercayaan daripada mereka. Murid seterusnya akan berasa tidak kekok dan segan dengan guru. Kedua, guru boleh mengadakan pelajaran ringan seperti menyanyi, berlakon, bercerita, bersajak, dan seumpamanya. Aktiviti seperti ini sangat sesuai dijalankan kepada murid kerana kebanyakan daripada mereka sangat suka aktiviti yang lebih santai dan tidak memerlukan mereka memerah otak untuk berfikir. Bukan sahaja menyeronokkan, malahan aktiviti seperti ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri murid bahkan menonjolkan bakat yang ada pada murid. Ketiga, guru juga perlu membina asas bahasa murid-murid melalui pertuturan. Sebagai contoh, guru menyuruh murid untuk bercerita tentang ahli keluarga, rakan-rakan, cita-cita dan hobi mereka. Guru mesti memberi galakan dan bimbingan yang sewajarnya supaya murid-murid mempunyai inisiatif untuk bertutur dan berkongsi idea dan pengalaman mereka. Semakin banyak murid bercerita, semakin baik pengajaran kerana murid gembira untuk bercerita tentang diri mereka. Namun, guru harus memastikan setiap murid diberi peluang untuk bercerita agar tidak ada yang tercicir.

Langkah keempat pula ialah guru perlu menambahkan perbendaharaan kata yang penting dan perlu dari semasa ke semasa kepada murid. Bagi langkah ini, guru boleh membekalkan dua atau tiga perkataan baru kepada murid dalam sehari. Tidak perlu banyak, tetapi yang lebih penting ialah murid dapat memahami dan mengingati apa yang mereka pelajari setiap hari.

PERINGKAT MENDIRIKAN ASAS BACAAN Peringkat pengajaran kedua ialah peringkat mendirikan asas bacaan. Mendirikan atau menyediakan asas bacaan memerlukan guru mengambil kira beberapa perkara. Untuk mendirikan asas bacaan murid, guru perlu memastikan pemilihan ayat, rangkai kata, perkataan, suku kata dan huruf dipilih dengan teliti dan mendalam supaya pengajaran yang dijalankan menjadi lebih menarik, berkesan serta tidak membosankan murid. Jika guru dapat menarik minat murid, ia adalah merupakan satu kelebihan dan bonus kepada pengajaran guru tersebut. Dalam peringkat ini, terdapat beberapa perkara penting yang harus ditekankan oleh guru sebelum memulakan pengajaran. Pertama, guru perlulah memilih bahan-bahan pengajaran yang sesuai dan menarik. Contohnya guru menggunakan bahan bantu mengajar yang bersaiz besar dan berwarna warni sesuai dengan kegemaran murid-murid. Bahan pengajaran perlu dikawal dan disusun dengan baik supaya guru dapat merancang penggunaan bahan bantu mengajar dengan lebih teratur. Guru perlu sentiasa ingat untuk mengajar murid-muridnya dengan perkataan, rangkai kata dan ayat yang mudah terlebih dahulu sebelum meneruskan ke tahap yang lebih susah. Kedua, guru perlulah menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) yang lengkap dan sempurna supaya guru dan murid berminat, selamat dan selesa menggunakannya. Bahan bantu mengajar yang baik dapat membantu menjadikan pengajaran lebih berkesan dan menyeronokkan. Ketiga, isi pelajaran yang hendak diajar hendaklah berkait rapat dengan pengalaman dan sesuai dengan perkembangan jiwa murid-murid. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini pada peringkat menyediakan murid, guru perlu mengenal pasti latar belakang murid terlebih dahulu sebelum mula mengajar. Sebagai contoh, jika murid yang hendak diajar ialah murid yang tinggal di pedalaman hutan, guru tidak boleh mengajar perkara yang berkaitan dengan apa yang ada di Bandar besar. Ia tidak sesuai kerana murid tidak dapat membayangkan apa yang di ajar kerana tidak pernah melihatnya. Guru boleh mendedahkan serba sedikit, namun tidak ia tidak boleh dijadikan tajuk pengajaran utama.

Keempat, guru hendaklah sentiasa memberi dorongan dan galakan supaya murid-murid terus berminat untuk membaca. Sebagai contoh, pelaksanaan program Nilam di sekolah, pertandingan bercerita, bengkel Bahasa Melayu dan Minggu Bahasa Melayu. Murid-murid juga perlu sentiasa diingatkan supaya rajin membaca demi masa hadapan mereka kelak. Perkara kelima ialah guru harus kreatif dan inovatif dalam melahirkan idea baru untuk memikirkan teknik dan kaedah terbaik untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca yang berkesan. Guru yang kreatif akan mampu melahirkan murid yang kreatif. Pengajaran yang sama dan tidak ditukar konsepnya akan menyebabkan murid berasa bosan dan pengajaran menjadi hambar. Guru yang bijak akan mampu menghasilkan idea pengajaran yang berbeza namun masih mengekalkan isi-isi pelajaran yang diperlukan. Perkara terakhir yang perlu diambil kira dalam peringkat mendirikan asas bacaan ialah, penggunaan bahan bantu mengajar yang berwarna warni dan menarik untuk memberi semangat kepada murid-murid. Bahan yang berwarna warni dapat menarik minat murid dengan lebih mudah dan murid juga akan berasa seronok untuk belajar dalam suasana yang ceria.

PERINGKAT MELATIH MEMBACA DAN MEMAHAM Ini adalah merupakan peringkat ketiga dalam pengajaran kemahiran membaca. Dalam peringkat ini, bahan dan isi bacaan yang disediakan oleh guru hendaklah sesuai dengan peringkat umur dan kecenderungan murid-murid. Dalam peringkat mendirikan asas bacaan sebelum ini, kita menjangkakan murid sudah mampu mengenal huruf, menyebut huruf, dan membaca suku kata. Jadi, dalam peringkat ketiga ini, guru boleh meneruskan pengajaran kemahiran membaca dengan meningkatkan sedikit demi sedikit tahap dan aras isi kandungan pelajaran. Guru boleh menggunakan Kecerdasan Pelbagai untuk menguji dan mengesan kecerdasan dan kebolehan serta keupayaan murid-murid dalam membaca. Pada peringkat ini, guru tidak lagi mengajar murid membaca dengan menekankan kepada kelancaran mahupun sebutan murid, tetapi ia lebih memfokuskan kepada aspek pemahaman murid terhadap satu-satu bahan bacaan. Soalan-soalan pemahaman yang mudah dan ringkas boleh digunakan bagi pengajaran peringkat ini. Pada peringkat ini, bacaan yang disyorkan ialah bacaan senyap (mentalis) supaya murid-murid dapat melatih diri mereka sendiri untuk faham dan tahu tentang isi kandungan teks yang dibekalkan kepada mereka. Dalam peringkat ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil

serius oleh guru. Pertama, guru perlu memulakan pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca dengan mula membaca setelah murid-murid dapat membaca ayat-ayat ringkas dan mengecamkan perkataan, suku kata dan huruf. Kedua, guru perlu membanyakkan soalan-soalan yang sesuai dan munasabah untuk menguji kefahaman murid-murid selepas membaca. Guru boleh mereka sendiri soalan-soalan yang bersesuaian dengan teks atau guru boleh terus merujuk kepada soalan dan teks di dalam buku latihan. Ketiga, guru mesti memberikan peluang kepada murid-murid untuk membaca bukubuku subjek lain seperti sejarah, sains, pendidikan moral dan lain-lain. Dengan ini, mereka akan memperoleh banyak ilmu subjek lain selain daripada pembelajaran bahasa Melayu di dalam kelas. Keempat, guru perlu menggunakan teknik penyoalan yang membina dan mengikut prinsipprinsip yang betul dan yang terakhir ialah guru boleh menjalankan aktiviti bacaan intensif dan ekstensif.

*Bacaan intesif : bacaan untuk memperkembang kebolehan meneliti, memaham dan mentafsir apa yang dibaca. *Bacaan ekstensif : bacaan meluas menekankan aktiviti membaca luar kelas

PERINGKAT MEMBACA UNTUK HIBURAN DAN MENINGKATKAN PENGETAHUAN Bagi pengajaran peringkat keempat, iaitu membaca untuk hiburan dan meningkatkan pengetahuan, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk merealisasikan tujuan membaca ini. Antaranya ialah guru boleh menyediakan pelbagai jenis buku cerita di sekolah. Guru perlu menyediakan buku yang digemari oleh murid-murid seperti buku-buku fantasi, kartun, animasi dan buku rekaan. Buku yang disediakan haruslah sesuai dengan kumpulan sasaran dan buku itu tidak boleh terlalu mudah dan tidak boleh terlalu susah. Guru perlu bijak memilih buku yang sesuai dengan murid yang mana buku itu perlu menarik tetapi masih mengandungi banyak maklumat berguna. Pihak sekolah juga boleh merancang pelbagai aktiviti untuk menarik minat murid menjadikan membaca sebagai hobi. Langganan surat khabar merupakan satu langkah bijak untuk

menggalakkan murid membaca kerana selain daripada menarik, surat khabar mempunyai pelbagai maklumat baru yang berkisar dengan kehidupan seharian.

PERINGKAT MEMBINA SIKAP GEMAR MEMBACA Guru perlu memupuk minat suka membaca ke dalam diri murid sejak mereka berada pada tahun satu lagi. Usaha ini adalah rentetan daripada peringkat sebelum ini iaitu membaca untuk hiburan dan meningkatkan pengetahuan. Antara faktor murid kurang gemar membaca ialah kerana kurangnya buku yang disediakan di perpustakaan atau buku yang ada tidak diperbaharui dan hanya buku-buku lama yang ada. Oleh itu sudah menjadi tugas guru dan pihak sekolah untuk berusaha mendapatkan serta mengurus bahan bahan bacaan di sekolah. Sikap ini bermula daripada usaha guru sejak awal lagi. Contohnya jika guru menggunakan bahan bantu mengajar berwarna warni, guru harus sentiasa cuba untuk mengekalkan prestasi penggunaan bahan bantu mengajar yang sedemikian rupa supaya minat murid tidak mengendur untuk membaca.

You might also like