You are on page 1of 5

Pengerusi: Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera buat buat hadirin sekalian.

Bersyukur ke hadrat Illahi atas limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama dalam majlis forum yang akan membicarakan satu tajuk yang saya fikirkan amat relevan dengan situasi pada masa kini apabila sejak mutakhir ini kita sering menghadapi masalah kenaikan harga barangan keperluan asas seperti gula, beras, dan pada masa yang sama juga kita dibelenggui peningkatan kos perkhidmatan seperti bekalan air dan elektrik. Justeru, pada pagi ini kami akan membicarakan satu tajuk yang berkait rapat dengan kehidupan kita, iaitu Jimat Cermat Membawa Berkat. Bagi menelusuri tajuk ini, tiga ahli panel akan mengupas secara terperinci topik yang dinyatakan untuk memberi gambaran jelas kepada kita maknamakna tersirat yang terkandung dalam tajuk yang dibicarakan. Baiklah para hadirin yang dihormati, kita mulai sesi pengenalan ahli panel, di sebelah kanan saya gadis mirip anak mami Pulau Pinang, pelajar tingkatan 4, bercitacita menceburi kerjaya jurutera elektrikal, Siti Norafidah binti Abd Rani namanya. Di sebelah kiri saya pula, seimbas pandang kelihatan gadis Melayu kacukan Cina, sebenarnya tidak, beliau gadis Melayu jati, visi pada masa hadapan ahli fizik bertaraf internasional menjadi impian, bernama Norashimah binti Md Salleh, juga pelajar tingkatan 4, dan manakala di sebelah kiri sekali, namanya bermaksud cahaya syurga , bercita-cita menerjuni bidang sains sukan, pelajar tingkatan 4, nama sebenar Nurjannah binti Mohd Arif. Demikianlah tadi sekapur sirih seulas pinang tajuk yang akan dibincangkan dan biodata para ahli panel. Kita mulakan perbincangan kita dengan bertanya ahli panel kita yang bertama, apakah yang dimaksudkan Jimat Cermat Membawa Berkat? AP 1 : Terima kasih saudari Pengerusi, jimat cermat membawa berkat membawa maksud tingkah laku berhati-hati atau berhemat dalam perbelanjaan wang dan penggunaan sesuatu sumber yang pada akhirnya membawa ketenangan dan kebahagiaan kepada mereka yang mempraktikkan amalan ini. Hal ini jelas kepada kita bahawa wang dan sumber kehidupan seperti makanan ibarat irama dan lagu, kedua-duanya amat diperlukan, kegagalan kita mengurus perbelanjaan secara berhemat pasti akan mengundang masalah besar terhadap diri kita sehingga boleh menyebabkan hilangnya ketenangan hidup dan tidak mustahil boleh menjerumus diri kita melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai-nilai moral. Bukankah Nabi Muhammad pernah bersabda yang mafhumnya, Orang-orang yang suka membazir merupakan sahabat syaitan. Begitulah maksud secara umum tajuk yang dibincangkan saudari Pengerusi. Pengerusi: Terima kasih saudari Norafidah, para hadirin yang dihormati, sikap jimat cermat perlu dibudayakan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan dengan tenang, tanpa dimomok dengan mimpi-mimpi ngeri yang mengakibatkan rupa paras kita kelihatan tua sebelum masanya, bagi mengelakkan fenomena ini, kita akan dapatkan penjelasan daripada ahli panel

yang kedua tentang cara-cara menggalakkan sikap berjimat cermat. Silakan saudari Norashimah. AP 2 : Terima kasih Pengerusi, tidak dapat dinafikan sebarang penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia bermula daripada institusi kekeluargaan. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama bagi setiap anak yang dilahirkan sebelum mereka memasuki alam persekolahan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa harus mendidik anak-anak supaya senantiasa berjimat semasa di rumah , misalnya berjimat dalam penggunaan air dan elektrik. Selain itu, anak-anak hendaklah diberi galakan untuk menabungkan wang yang diperoleh oleh mereka dengan menyertai skim simpanan wang kanak-kanak yang disediakan oleh bank-bank seperti Bank Rakyat, CIMB, dan Maybank. Ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak membawa bekal ke sekolah serta mengehadkan pemberian wang kepada mereka. Yang lebih penting lagi, ibu bapa perlu berperanan sebagai role model, khususnya dalam mempratikkan amalan berjimat cermat kepada anakanak sama ada di dalam rumah atau di luar rumah, kerana penerapan nilai murni lebih menampakkan kesannya jika diterjemahkan secara praktikal berbanding secara lisan. Janganlah kita bersikap bagaikan ibu ketam mengajar anaknya berjalan betul. Di samping itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang bagaimana merancang pembelian barang-barang atau keperluan yang hendak dibeli bagi mengelakkan sebarang pembaziran. Jadi, pendidikan awal yang bermula di rumah perlulah dijadikan wahana bagi melahirkan generasi yang membudayakan sikap berjimat cermat.

Pengerusi: Terima kasih saudari Norashimah atas penjelasan yang telah diberikan, para hadirin yang dimuliakan, penjelasan tadi lebih berfokus kepada peranan institusi kekeluargaan, bagaimana pula peranan kalangan masyarakat umum dalam usaha menjanakan anggotanya ke arah komuniti yang mengutamakan sikap jimat cermat dalam kehidupan mereka. Untuk ini, kita dengar pula pendapat ahli panel yang ketiga, dipersilakan. AP 3 : Terima kasih Pengerusi, pada pandangan saya anggota masyarakat yang berbelanja secara bijaksana pada hakikatnya telah membantu negara daripada cengkaman kegawatan ekonomi yang boleh datang melanda pada bila-bila masa akibat ketidaktentuan pasaran global yang sentiasa terdedah kepada spekulasi pasaran mata wang dan tindakan rakus para pengeluar barangan keperluan yang berkecenderungan memanupulasi hasil keluaran mereka untuk mengaut keuntungan yang berlebihan seperti yang kita lihat pada masa kini harga beras dan tepung telah naik secara mendadak sehingga mencetuskan keadaan huru-hara di Pulau Haiti dan di beberapa buah negara Afrika, serta tidak terlepas juga negara jiran kita, iaitu Filipina. Setiap anggota masyarakat perlu melatih diri supaya berjimat ketika membeli barangan keperluan harian dan berbelanja untuk perkara-perkara yang perlu sahaja, sambil menetapkan jumlah tertentu daripada pendapatan bulanan sebagai simpanan bulanan. Mereka juga perlu memastikan diri mereka tidak mudah terpengaruh oleh

iklan-iklan jualan murah di pasar raya yang menggalakkan seseorang berbelanja secara berlebihan melampui keperluan sebenar. Sikap prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh golongan miskin perlu dihayati oleh setiap anggota masyarakat yang berkemampuan demi menimbulkan kesedaran dalam diri mereka tentang pentingnya berjimat cermat. Pihak kerajaan dan NGO juga harus memperbanyak dan menggiatkan kempen berjimat cermat dalam kehidupan seharian, antaranya kempen yang berkaitan dengan penjimatan penggunaan air dan kempen penjimatan penggunaan tenaga elektrik melalui media massa dengan lebih kerap bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat. Insya-Allah, di mana kemahuan, di situ ada jalan. Pengerusi: Terima kasih saudari Nurjannah yang telah mengupas secara terperinci tentang keperluan anggota masyarakat menjiwai sikap berjimat cermat bagi menangkis sebarang bentuk manupulasi dan mengekang kecenderungan sesetengah pihak melakukan spekulasi bagi mengaut keuntungan berganda sehingga menjejaskan keharmonian hidup masyarakat. Ahli-ahli panel telah menjelaskan langkah-langkah bagi menggalakkan sikap berjimat cermat untuk dikongsi bersama-sama dengan para hadirin, sekarang kita dengar pula penjelasan daripada ahli panel yang pertama tentang sikap jimat cermat daripada sudut pandangan Islam. AP 1 : Terima kasih Pengerusi kerana memberi peluang kepada saya untuk memberi penjelasan tentang sikap berjimat cermat daripada sudut pandangan Islam. Berbelanja merupakan satu aktiviti kehidupan harian yang berkaitan langsung dengan aktiviti muamalah sesama manusia. Naluri manusia yang berkaitan dengan kehidupan kebendaan tidak dapat dipisahkan. Secara semula jadi, manusia mempunyai naluri suka akan harta dan kekayaan sebagai memenuhi keperluan dan perhiasan hidup. Memenuhi keperluan hidup seperti makan, minum dan pakaian sebagai sebahagian satu keperluan. Bahkan ia menjadi satu aktiviti ibadah dan menjadi tuntutan agama agar kita sentiasa mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Dalam memenuhi tuntutan perbelanjaan, syaratnya mestilah betul dan berniat ikhlas. Berbelanjalah dalam perkara yang halal dan sentiasa bersyukur agar setiap perbelanjaan yang kita lakukan mendapat keberkatan. Tentunya, kita perlu beringat bahawa apabila berbelanja, kita tidak boleh boros, tamak dan lupa melaksanakan tuntutan ibadah seperti leka dan meninggalkan sembahyang kerana asyik berurusan membeli-belah.Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud : 'Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah'. Surah al-Jumaat: 10. Agama Islam melarang umatNya bersifat malas dan miskin kerana ia boleh memberi beban kepada masyarakat dan adakalanya ia boleh membawa kepada kekufuran.Sebagai pengguna, kita hendaklah bijak mengurus perbelanjaan. Pengguna yang bijak adalah pengguna yang sentiasa berjimat cermat dan mengambil berat untuk menabung, menyimpan atau melabur. Elakkan diri daripada sentiasa memikirkan untuk berhutang dan kalau terpaksa berhutang, kita mestilah mengambil kira kemampuan untuk

membayarnya semula. Kata orang tua memadamkan kerak dengan periuk. Nabi Yusuf a.s ketika menjadi Menteri Kewangan Mesir meminta raja dan rakyat bercucuk tanam dan menyimpannya selama tujuh tahun sebagai keperluan untuk menghadapi musim kemarau, mala petaka dan kebuluran. Firman Allah: 'Yusuf menjawab: Hendaklah kamu menanam bersungguhsungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam, biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.' - Surah Yusuf: 47.bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam, biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.' - Surah Yusuf: 47. Sifat boros dan mengikut nafsu serta tidak bersyukur terhadap kurniaan Allah merupakan sifat yang dibenci Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud: Makan dan minumlah dan jangan kamu boros, sesungguhnya (Allah) tidak menyukai golongan pemboros. - Surah alA'araf: 31. Elakkan diri menjadi seorang pembazir kerana sifat demikian merupakan amalan buruk (amalan syaitan). Firman Allah yang bermaksud: 'Sesungguhnya golongan pembazir adalah sahabat-sahabat syaitan.'- Surah alIsrak: 27. Menurut Imam al-Qurtubi, maksud sahabat syaitan adalah dari segi perlakuan buruk, membelanjakan harta terhadap perkara maksiat dan menunjukkan sifat kufur terhadap nikmat Allah s.w.t dan mengabaikan ketaatan kepada Allah s.w.t. Amalan tamak pula adalah sifat buruk dengan berbelanja mengikut perasaan, berlumba-lumba dan menonjol diri. Apa pun dalam berbelanja, sentiasalah kita amalkan sifat sederhana dan seimbang serta tidak kedekut. Sementara itu, dalam berhutang pula, kita mesti ukur baju ikut badan sendiri. Rasulullah s.a.w mengingatkan ini dalam sabdanya yang bermaksud: Hati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan pada malam hari dan menyebabkan kehinaan pada siang hari.- Hadis riwayat al-Baihaqi. AP 3 : Mohon maaf saudari Pengerusi, izinkan saya memberi sedikit input sebagai lanjutan daripada apa yang diperkatakan oleh saudari Norafidah tentang pandangan Islam terhadap sikap berjimat cermat.

Pengerusi : Silakan, saudari Nurjannah. AP 3 : Tidak dapat dinafikan amalan berjimat cermat dapat menjauhkan diri seseorang daripada belenggu hutang. Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini kita banyak mendengar berita tentang sebahagian daripada anggota masyarakat sering diburu oleh orang upahan Ah Long akibat kegagalan membayar hutang dan yang paling tragis ada dalam kalangan mereka mati dibunuh secara kejam dan kumpulan gengster ini juga sanggup melakukan apa-apa sahaja terhadap ahli-ahli keluarga siberhutang sekiranya siberhutang gagal ditemui. Selain itu, amalan ini dapat membantu kita menghulurkan bantuan kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan. Amalan berjimat cermat juga membolehkan seseorang merancang masa depan sendiri tanpa perlu menyusahkan orang lain kerana Nabi Muhammad saw pernah

bersabda yang bermaksud, orang yang baik ialah ketika hidupnya tidak suka menyusahkan orang lain. Amalan berjimat cermat bukan sahaja berkaitan dengan hal-hal penggunaan wang dan sumber tertentu, tetapi amalan ini mempunyai hubung kait daripada segi penjimatan masa, banyak kerja dapat dilakukan jika masa yang ada dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Pengerusi: Terima kasih, saudari Nurjannah. Para hadirin yang saya hormati, nampaknya kita dihambat oleh masa. Sehubungan itu, majlis forum kita berakhir di sini. Sebenarnya banyak lagi idea dan buah fikiran yang dapat disumbangkan oleh para ahli panel kita. Sebelum menutup tirai, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli panel yang sudi berkongsi pendapat. Kepada para hadirin, saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kerana bersama-sama menjayakan majlis forum kita pada pagi ini. Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Sekian, terima kasih.

You might also like