You are on page 1of 15

Teks Forum Lengkap Pengerusi : Sirih berlipat sirih pinang Sirih dari Pulau Mutiara Pemanis kata selamat

datang Awal bismillah pembuka bicara Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang dan Salam 1 Malaysia saya ucapkan kepada hadirin hadirat yang hadir sekalian.

Warga dewan sekalian, Bersyukur kita ke hadrat Tuhan kerana dengan izin serta limpah kurnia daripada-Nya, dapat kita bertemu kita lagi dalam gelanggang forum bersama saya Mohd Kashful Anuar Bin Joni pada pagi yang sungguh indah ini.

Hadirin sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, izinkan saya untuk memberi mukadimah bagi tajuk forum kita pada hari ini iaitu Wajib Lulus Sejarah Dalam SPM Untuk Layak Dapat Sijil. Topik yang bakal kita bincangkan pada kali ini merupakan satu pengumuman terbaru dan terhangat yang menjadi buah mulut semua warga pendidik dan juga pelajar. Pada 23 Oktober 2010 yang lalu, Timbalan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun membuat pengumuman bahawa sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus untuk mendapat sijil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Pengumuman tersebut diumumkan semasa beliau menyampaikan ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Agung UMNO ke-61. Baiklah, sekarang kita sudah pun mendapat sedikit gambaran mengenai isu yang kita bakal bincangkan sebentar sahaja lagi. Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan 4 orang ahli

panel kita pada hari ini yang kesemuanya terdiri daripada wanita-wanita yang cantik-cantik belaka. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini. Pengerusi :Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, Professor Madya Rebecca Nira yang merupakan profesor dari Jabatan Sejarah Universiti
Malaya (UM). Apa khabar saudari?

Profesor : Khabar baik, tuan pengerusi. Pengerusi : Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju kurung Cik Chuah Qin Ying yang kini memegang jawatan sebagai ketua panitia dari Sekolah

Menengah Kebangsaan Anchi. Selamat datang saudari. Panitia :Terima kasih, tuan pengerusi. Profesor :Di sebelah kiri saya pula Puan Lee Kar Yan yang merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Asajaya. Selamat datang saya ucapkan kepada saudari. PIBG :Terima kasih, tuan pengerusi. Pengerusi :Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak berkata-kata, saudari Pui Chin Yee yang merupakan wakil pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Elizabeth. Selamat datang juga buat saudari. Pelajar : Ya, terima kasih tuan.

Pengerusi : Sebelum saya menyimpang terlebih jauh, maklumlah saya ini orangnya sangat suka bercakap, soalan saya pada panel pertama, apakah pendapat professor mengenai penyataan yang telah dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut berkaitan dengan wajib lulus bagi subjek Sejarah untuk layak mendapatkan sijil? Profesor : Terima kasih, tuan pengerusi. Salam sejahtera kepada tuan

pengerusi dan juga ahli-ahli panel yang hadir pada hari ini. Seperti yang kita tahu, berkumpulnya kita semua di sini adalah untuk membincangkan tentang perkara yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri kita iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana cadangan tersebut dijangka akan berkuat kuasa pada tahun depan iaitu tahun 2013. Suka cita saya nyatakan di sini bahawa saya amat bersetuju dengan rancangan kerajaan yang mewajibkan mata pelajaran Sejarah lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melayakkan para pelajar mendapatkan sijil SPM mereka. Jika kita lihat statistik peratus pelajar lulus untuk mata pelajaran Sejarah dalam SPM adalah sangat rendah iaitu,______ jika hendak kita bandingkan dengan subjek-subjek wajib yang lain seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dengan adanya langkah

seumpama ini, sekurang-kurangnya pihak kerajaan dapat meningkatkan peratus lulus pelajar-pelajar yang mengambil SPM. Menurut Pofesor Madya Datuk Dr.Mohamad Hassan, langkah yang mewajibkan mata pelajaran Sejarah lulus dalam SPM akan menjadikan pelajar-pelajar bersikap lebih serius dan mengambil perhatian terhadap subjek itu. Ada rasionalnya mengapa pihak kerajaan mengambil tindakan sedemikian rupa. Pada pendapat saya, jika pelajar-pelajar yang juga bakal menjadi peneraju negara kita pada masa yang akan datang buta sejarah. Kurangnya penghargaan terhadap apa yang negara kita kecapi pada ketika ini akan berlaku angkara tindakan generasi muda yang tidak jelas dengan asal-usul negara semenjak dari kita dijajah hinggalah ke zaman kemerdekaan kini. Bukan itu sahaja, melalui mata pelajaran ini jugalah para pelajar dapat mengenali asal-usul masyarakat yang berbilang kaum di negara kita. Saya juga ingin berkongsi dengan ahli panel yang ada di sini mengenai kata-kata yang telah dinyatakan oleh Profesor Sosio-linguistik Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Teo Kok Seong yang menyatakan bahawa penekanan dalam subjek Sejarah oleh kerajaan adalah tepat pada masanya. Hal ini kerana sebilangan generasi muda kini semakin buta dengan sejarah negara dan menurut beliau, hal

ini telahpun dibuktikan melalui perdebatan beberapa isu seperti kontrak sosial tersirat dalam perlembagaan negara. Pada saya, semua pihak amnya dan pelajar khususnya harus menyedari bahawa mata pelajaran Sejarah ini merupakan subjek yang amat penting untuk meningkatkan kesedaran kita terhadap perjuangan para pejuang negara yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara kita daripada dijajah. Bukan itu sahaja, mata pelajaran ini juga dapat dijadikan medium untuk kita tingkatkan nilai patriotisme dalam kalangan remaja. Saya berasa terkilan melihat ramai generasi muda kita sekarang yang masih lagi terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti membakar bendera negara iaitu Jalur Gemilang, mengubah sesuka hati lirik lagu Negaraku menjadi Negarakuku. Antara sedar atau tidak, masyarakat yang berkelakuan sedemikian sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kurangnya pemahaman tentang sejarah negara di mana mata pelajaran tersebut banyak menerangkan kita tentang susah payah, jerih-perih pejuang dan pemimpin kita dahulu dalam usaha untuk mendapatkan negara yang aman seperti zaman sekarang. Saya tegaskan sekali lagi bahawa saya sangat bersetuju dengan cadangan yang telah diutarakan oleh pihak kerajaan ini.

Pengerusi :Begitulah ulasan yang diberikan oleh Professor Madya Rebecca Nira mengenai penyataan yang telah dikemukakan oleh Menteri Pelajaran kita. Nampaknya, panel kedua kita kelihatan bersemangat sungguh untuk memberikan pandangan beliau. Baiklah, saudari Cik Chuah Qin Ying, bagaimana pula persepsi ataupun pandangan saudari selaku ketua panitia mata pelajaran sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Anchi? Panitia : Saya amat menyokong cadangan kerajaan bahawa mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus untuk mendapat sijil di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Hal ini adalah kerana semangat cinta tanah air mesti dipupuk dalam kalangan pelajar dan salah satu caranya adalah melalui mata pelajaran Sejarah. Kisah tragis

atau sejarah hitam negara pada masa dulu, jika difahami dengan mendalam oleh pelajar akan menimbulkan kesedaran kepada mereka betapa sukarnya hidup masyarakat zaman dulu ketika negara masih berada di bawah naungan penjajah di samping menyemai rasa cinta terhadap tanah air. Oleh hal itu, subjek ini perlu ditekankan supaya subjek itu mampu memberi impak maksimum kepada para pelajar dalam konteks memahami dan menghayati sejarah negara dan juga peristiwa penting yang perlu diketahui oleh para pelajar. Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Seterusnya, bagaimana pula dengan pandangan panel yang ketiga, iaitu Puan Chuah selaku pengerusi PIBG SMK Asajaya mengenai penyataan yang telah dikemukakan tersebut? PIBG : Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi. Saya selaku Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Sekolah Menengah Kebangsaan Asajaya berasa sangat bertuah dan berbesar hati kerana dapat bersama dengan semua hadirin pada hari ini. Sesungguhnya, saya memang terkejut apabila mendengar tentang berita yang Menteri Pendidikan nyatatakan baru-baru ini.Tidak dapat dinafikan bahawa kita perlu mempelajari sejarah , mengetahui asal usul sejarah , namun persoalannya di sini adalah perlunya sejarah diwajibkan lulus demi mendapat sijil SPM? Adakah tahap pengetahuan sejarah semata-mata yang diuji dalam peperiksaan? Seperti yang kita ketahui , format peperiksaan sejarah SPM mempunyai soalan struktur dan esei yang lebih berfokuskan apa yang ditulis .Oleh itu , pelajar haruslah memahami dan mengingati fakta yang ada. Calon dikehendaki menulis jawapan dengan ejaan yang betul dalam masa yang ditetapkan. Bagi calon yang cemerlang , memanglah hal ini bukan masalah bagi mereka. Namun kita perlu memikirkan situasi calon yang lemah dalam penulisan dan juga dalam menghafal fakta sejarah. Mereka mungkin sudah berusaha menghafal fakta sejarah tetapi keupayaan menjawab soalan adalah terhad sekiranya mereka terlupa akan fakta yang telah dihafal. Mereka yang lemah tidak dapat menyampaikan jawapan yang ingin mereka sampaikan kerana kurangnya fahaman terhadap soalan tersebut. Oleh itu , pada pandangan saya, pengumuman yang mewajibkan sejarah lulus dalam

SPM untuk mendapatkan sijil merupakan satu beban bagi calon yang lemah dan memaksa mereka mengambil jalan lain seperti cubaan meniru dalam peperiksaan. Secara kesimpulannya, saya tidak menyokong perkara yang diusulkan oleh timbalan perdana menteri kita.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel ketiga atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi. Sememangnya setiap individu panel mempunyai pendapat ataupun komen yang berlainan mengenainya. Baiklah, ahli panel kita yang keempat iaitu saudari Pui Chin Yee selaku pelajar, sudah semestinya mereka mempunyai pendapat mereka sendiri mengenai perkara ini. Apakah pandangan saudari selaku wakil pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Elizabeth berkaitan dengan perkara ini. Pelajar : Selamat pagi Tuan Pengerusi dan ahli panel sekalian, saya amat berbangga dapat berkongsi pendapat mengenai isu yang dibangkitkan pada hari ini. Seperti yang diketahui umum, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pendidikan kita iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Pada pendapat saya, keputusan ini merupakan satu beban kepada murid dan pengumuman tersebut telah mengecewakan dan memeranjatkan para pelajar, terutama pelajar yang akan mengambil SPM pada tahun depan. Selain itu, beliau juga mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014. Sejarah merupakan satu saluran atau medium untuk membangkitkan semangat patriotisme dan semangat cinta akan negara dalam kalangan murid, namun apabila subjek Sejarah dijadikan sebagai subjek yang harus lulus dalam ujian semata-mata tanpa memahami kandungan maka para pelajar akan mempelajari dan menghafal fakta Sejarah untuk lulus dalam SPM agar layak mendapat sijil. Tujuan utama subjek ini diperkenalkan pula akan dilupakan dan ditepikan oleh pelajar kerana bagi mereka menghafal

adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan diri daripada gagal dalam hidup.

Pengerusi : Terima kasih saya ucapkan kepada panel yang keempat. Kita telah pun mendengar pelbagai pandangan dan persepsi yang berlainan daripada setiap ahli-ahli panel kita mengenai penyataan tersebut. Kesemua pandangan yang telah diberikan tidak salah, kerana ianya merupakan pendapat bagi setiap individu, tentang apa yang mereka rasa mengenai perkara ini. Seterusnya, di sini, saya ingin mengajukan soalan kepada profesor berikutan wujudnya masalah ada dalam kalangan pelajar yang tidak minat mata pelajaran sejarah ini, apakah cara ataupun inisiatif yang profesor rasakan dapat dipraktikkan dan dilaksanakan bagi memupuk minat pelajaran dalam subjek ini? Dipersilakan. Profesor : Seperti yang kita tahu, mata pelajaran Sejarah ini merupakan satu mata pelajaran yang berbentuk abstrak dan semua isi kandungannya adalah fakta yang tidak boleh digoreng jawapannya semasa menjawab kertas ujian. Saya juga merupakan seorang pelajar suatu ketika dahulu di mana saya pernah mengalami perkara yang kebanyakan pelajar rasai. Tidak dapat dinafikan bahawa subjek abstrak seperti ini amatlah membosankan tambahan pula dengan cara pengajaran guru yang hanya menggunakan buku teks sebagai bahan bantu mengajar, dan kaedah chalk-and-talk sebagai kaedah pengajaran untuk sepanjang tempoh pengajaran sehinggalah seseorang pelajar itu tamat persekolahan. Jika pada zaman dahulu, kaedah seperti ini masih dapat diterima memandangkan teknologi yang ada masih belum mencukupi untuk para guru gunakan untuk mengajar subjek seperti ini. Namun, negara kita sudah pun mencapai tahap negara membangun, di mana kemahiran teknologi yang kita ada sudah semakin maju dan hampir setaraf dengan negara membangun yang lain seperti negara Brunei dan negara

Singapura. bagi saya, tenaga pengajar di negara kita juga sudah tentunya mempunyai basic knowledge mengenai ICT. Oleh itu, terdapat beberapa cara yang guru-guru boleh aplikasikan dalam pengajaran. Contohnya, guru boleh menggunakan kaedah pengajaran berasaskan komputer dalam usaha untuk memperkenalkan para pelajar mengenai tokoh-tokoh sejarah yang terdapat dalam sukatan pelajaran sejarah. Bukan itu sahaja, guru-guru juga boleh menggunakan kaedah audio-visual yang biasanya terdiri daripada bahan-bahan seperti video, dan tayangan gambar. Sebagai contoh, guru boleh membantu pelajarpelajar memahami dan menghayati erti sebuah kemerdekaan dengan membawa pelajar menonton filem yang berkaitan dengan perjuangan para pejuang kita seperti Bukit Kepong dan Leftenan Adnan. Saya rasa tidak sukar untuk guru mendapatkan sumber-sumber seperti itu kerana teknologi yang ada sudah cukup untuk membantu guru mendapatkan bahan-bahan yang dikehendaki. Guru-guru boleh juga melibatkan para pelajar dalam pengajaran mereka di mana guru boleh meminta para pelajar melakonkan peristiwa-peristiwa bersejarah

berdasarkan tajuk-tajuk yang diajar. Terdapat pelbagai jenis lakonan yang dapat digunakan dalam pengajaran seperti pantomin dan drama. Kaedah seperti ini dapat menggantikan kaedah chalk-and-talk yang guru-guru biasa gunakan. Bak kata pepatah, sambil menyelam, minum air. Selain daripada membantu para pelajar meningkatkan minat dan pemahaman dalam mata pelajaran sejarah, guru juga dapat memupuk semangat kerjasama antara murid dan hal ini sekaligus membuatkan para pelajar semakin minat belajar kerana mereka juga turut

menyumbang tenaga dan usaha dalam pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah. Perbincangan juga dapat dilaksanakan sama ada antara guru dengan pelajar ataupun antara pelajar dengan pelajar. Dengan adanya perbincangan semasa mempelajari sejarah, nescaya topik yang diajar akan dapat difahami dengan lebih mudah jika dibandingkan dengan kaedah guru yang hanya menyampaikan pengajaran dan pelajar hanya

mendengar isi yang disampaikan. Kaedah brainstorming iaitu kaedah penyelesaian konflik juga dapat digunakan untuk mencungkil pemikiran pelajar agar mereka dapat memberikan pendapat mereka dalam tajuktajuk tertentu. Akhir sekali, pengajaran berasaskan komputer juga dapa diselitkan dalam sesi pengajaran sejarah. Memandangkan semua sekolah telah pun dibekalkan dengan peralatan komputer oleh kerajaan, jadi saya rasa tidak salah untuk guru-guru sejarah mengaplikasikan penggunaan komputer dalam pengajarannya. Melalui kaedah seperti ini, sudah tentulah para guru yang mengajar menggunakan komputer perlu mempunyai maklumat dan sumber yang bersesuai dengan topik yang diajar. Pengerusi : Terima kasih saya ucapkan kepada profesor. Pelbagai cara yang telah dikemukakan oleh profesor untuk memupuk minat dalam kalangan murid terhadap mata pelajaran Sejarah. Baiklah, sekarang kita beralih pula kepada panel yang kedua. Cik Chuah Qin Ying, selaku ketua panitia dan guru subjek Sejarah, apakah teknik, kaedah, pendekatan ataupun strategi yang boleh dilakukan bagi menjadikan pembelajaran subjek Sejarah satu pembelajaran yang menarik? Panitia : Pendidikan merupakan satu syarat asas untuk meneruskan serta mengekalkan sesuatu kebudayaan. Maka dengan ini sekolah menjadi salah satu agen sosialisasi dan juga merupakan alat bagi menguatkan kawalan sosial. Masalah sukar mengingat fakta sejarah perlu diatasi kerana ia akan menjadi halangan untuk mendapatkan pencapaian yang lebih tinggi dalam mata pelajaran sejarah. Sebagai seorang pendidik, guru boleh menggunakan kaedah mneumonik. Kaedah mneumonik ialah satu kaedah yang boleh membantu ingatan pelajar dengan mengaitkan sesuatu bahan atau rangkai kata berdasarkan huruf-huruf pangkal untuk diingat dengan sesuatu yang bermakna kepada pelajar itu.

Pengerusi : Pandangan yang cukup bernas dan sememangnya boleh diaplikasikan dalam pengajaran subjek ini. Baiklah, seterusnya saudari panel ketiga iaitu Puan Lee Kar Yan. Pada pendapat saudari, apakah kelemahan

ataupun masalah yang saudari panel rasakan yang berlaku dalam pengajaran mata pelajaran sejarah ini di sekolah? PIBG : Saya selaku seorang ibu kepada seorang pelajar perempuan yang kini berada di Tingkatan 4 kerap mendengar raguan anak berkenaan sejarah itu membosankan dan banyak fakta sejarah yang perlu dihafal. Namun , apa yang anak saya kesalkan ialah fakta yang dihafal tidak ditanya dalam peperiksaan malah apa yang tidak dihafal pula yang kebanyakannya disoal. Pada pendapat saya, masalah ini mungkin berpunca daripada kaedah pengajaran guru sejarah. Biasanya , pengajaran sejarah adalah berpusatkan guru serta mementingkan kaedah hafalan manakala penglibatan pelajar kurangnya dititikberatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu , mereka tidak dapat menerima apa yang guru ingin sampaikan dan akhirnya hilang minat terhadap sejarah dan secara automatic mereka menganggap sejarah amat membosankan. Pada persepsi saya, kaedah pengajaran guru boleh diperbaiki dengan mempelbagaikan teknik mengajar , misalnya penggunaan ICT , peta minda , tayangan video clip atau lawatan sambil belajar. Saya percaya sekiranya teknik pengajaran guru berubah serta semakin inovatif dan kreatif , para pelajar akan lebih mudah mempelajari sejarah dan meminati subjek tersebut. Pada masa itu , barulah kita boleh mempertimbangkan sama ada sejarah wajib atau tidak lulus dalam SPM untuk mendapatkan sijil. Pengerusi : Adakah saudari Pui Chin Yee selaku pelajar sekolah mempunyai masalah untuk mempelajari subjek sejarah? Berikan ulasan dan sebab mengapa saudari berpendapat sedemikian. Pelajar : Sebagai salah seorang pelajar, saya membantah cadangan yang mewajibkan subjek Sejarah lulus dalam SPM untuk layak mendapat sijil. Hal ini kerana, pelajar akan terasa terbeban kerana mereka perlu mempelajari Sejarah dengan lebih lagi untuk lulus dalam ujian. Lama-kelamaan, pelajar akan terlalu bersikap exam-oriented iaitu belajar hanya untuk lulus. Sejarah merupakan satu subjek yang membolehkan kita mengenali asal usul sesuatu perkara dan belajar dari kesilapan yang telah dilakukan pada masa lampau. Namun murid rajin menghafal fakta dalam buku teks kerana

mereka lebih mementingkan lulus dalam Sejarah. Secara tidak langsung mereka mengabaikan tujuan sebenar mempelajari Sejarah. Izinkan saya berbicara seketika lagi. Sejarah telah menjadi satu subjek yang tidak diminati oleh pelajar disebabkan oleh kaedah pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang membosankan. Banyak pelajar juga mengadu bahawa mereka menghadapi masalah untuk memahami dan mengingati fakta serta perkara yang diajar dalam Sejarah. Cikgu juga menghadapi kekangan dari segi masa untuk menghabiskan silibus Sejarah. Cikgu akan sepintas lalu mengajar tajuk dalam silibus sejarah untuk menghabiskan silibus manakala pelajar pula akan belajar berdasarkan nota yang diberi supaya mereka dapat menjawab soalan dalam ujian. Pembelajaran Sejarah telah diwajibkan hanya dalam peperiksaan sedangkan nilai yang dipelajari tidak

dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Kebanyakan pelajar hanya menghafal fakta sejarah tanpa memahami dan menghayatinya. Kebanyakan pelajar belajar sejarah hanya untuk lulus! Mungkin juga kebanyakan pelajar tidak tahu kenapa perlunya dan matlamat sebenar subjek sejarah itu diajar. Mungkin pada pendapat mereka, sejarah diajar dan wajib dipelajari kerana guru memaksa mereka lulus dalam subjek tersebut. Selain itu, pelajar juga akan beranggapan bahawa mereka harus cemerlang agar peratusan lulus sejarah kekal 100%. Pada pendapat saya, Sejarah penting dalam kehidupan seharian dan wajar diwajibkan sekiranya rentetan peristiwa sejarah itu sendiri difahami dan dihayati; bukan untuk diwajibkan lulus dalam ujian dan mendapat A+ semata-mata hanya untuk mendapatkan sijil SPM.

Pengerusi : Terima kasih saya ucapkan atas ulasan yang telah saudari berikan. Di sini kita telah sedia maklum setelah mendengar daripada ahli-ahli panel, masalah-masalah yang dihadapi dalam mempelajari subjek ini

khususnya kepada individu pelajar dan apakah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah dan guru dalam membendung dan menjadikan subjek sejarah ini salah satu subjek yang menarik dan seronok untuk dipelajari.

Secara keseluruhannya, adakah saudari setuju ataupun menyokong dengan penyataan yang telah dikemukakan oleh Menteri pelajaran kita? Profesor : Kesimpulan yang dapat saya rumuskan di sini ialah cadangan kerajaan untuk menjadikan subjek sebagai mata pelajaran wajib untuk pelajar layak mengambil sijil SPM mereka adalah satu tindakan yang wajar. Seperti yang telah saya jelaskan pada awal tadi, sejarah merupakan titik permulaan untuk kita mendapatkan sebuah negara yang aman dan damai seperti sekarang ini. Sekiranya pemahaman generasi muda yang bakal menjadi peneraju negara begitu cetek, bagaimana mereka dapat mengekalkan perpaduan negara dan mengenang jasa pejuang kita pada masa dahulu. Sejarah yang diajar semasa di peringkat sekolah bukan sahaja mendedahkan tentang sejarah negara kita, tetapi juga tentang tamadun dan juga tentang penjajahan negara lain terhadap Tanah Melayu. Perkara yang paling penting dalam pengajaran sejarah adalah lebih kepada nilai yang wujud dan juga semangat patriotisme yang ada dalam diri pelajar selepas mempelajari sejarah. Selain itu, para pelajar juga dapat mengenal erti perpaduan yang sebenar kerana mereka diajar untuk menghargai perpaduan yang ada walaupun negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, adat resam dan kepercayaan. Pengerusi : Bagaimana pula dengan pendapat saudari Cik Chuah? Adakah anda setuju dengan tindakan tersebut. Panitia : Seperti yang kita sedia maklum, subjek Sejarah mempunyai kepentingan tersendiri. Sejarah diajar bukan hanya untuk mengimbau kisah menarik dan tragis pada masa lalu, tetapi kepentingannya juga menjangkau kepada usaha menyemai semangat patriotisme yang perlu ada dalam jiwa setiap warganegara terutamanya para pelajar. Kurangnya rasa cinta kepada negara dan pengetahuan sejarah yang lemah dalam kalangan masyarakat akan membawa kesan buruk kepada negara. Perpecahan kaum akibat ketidakseimbangan ekonomi sehingga mencetuskan huru-hara antara kaum, bunuh-membunuh dan memecahkan keharmonian masyarakat juga pernah berlaku di negara kita sehingga kita terpaksa mengenakan perintah

berkurung. Semua ini berpunca daripada sikap acuh tak acuh terhadap sejarah negara. Kita tentunya tidak mahu perkara tersebut berulang. Manamana titik hitam yang pernah tercatat dalam sejarah negara mesti dijadikan iktibar oleh generasi muda. Para pelajar perlu diperkukuhkan pemahaman dan pengetahuan sejarah tanah air mereka dengan harapan mereka akan mengekalkan perpaduan, keharmonian dan semangat cinta akan tanah air. Oleh yang demikian, adalah wajar golongan yang masih berada di bangku sekolah didedahkan dengan sejarah. Subjek ini tidak harus diajar dan dipelajari tetapi pemahaman dan penghayatan mereka terhadap sejarah mestilah dipertingkat sesuai dengan kehendak semasa dan masa depan negara. Pengerusi : Dalam perkara ini, apakah pertimbangan Puan Lee pula? PIBG : Saya telah mendengar pelbagai pendapat tentang kepentingan sejarah lulus dalam SPM untuk mendapatkan sijil dan saya amat hargai semua pendapat tersebut. Namun , bagaimana pula dengan subjek lain , contohnya subjek Bahasa Inggeris yang dikenali sebagai bahasa antarabangsa? Kenapa Bahasa Inggeris tidak diwajibkan lulus untuk mendapatkan sijil? Dengan penggunaan Bahasa Inggeris, kita boleh berinteraksi dengan orang asing kerana pelajar pelajar adalah bakal pemimpin negara mereka perlu fasih berbahasa Inggeris. Oleh itu , adakah Bahasa Inggeris patut diwajibkan lulus dalam SPM juga? Inilah yang menjadi persoalannya. Kesimpulannya , saya masih membangkang keputusan tersebut iaitu sejarah wajib lulus dalam

SPM demi mendapat sijil dan saya berharap rancangan tersebut dapat dipertimbangkan semula kerana saya sama pendapat dengan ktivitis sosial, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu perisian subjek Sejarah diteliti terlebih dahulu sebelum kerajaan betul-betul memutuskan sejarah sebagai subjek wajib lulus untuk mendapatkan sijil dalam SPM.

Pengerusi : Seterusnya tidak ketinggalan saudari Pui Chin Yee. Apakah saudari setuju dengan tindakan tersebut? Pelajar : Seperti yang telah dibincangkan, jika pengajaran Sejarah dapat dipelbagaikan dan pembelajaran menyeronokkan, murid akan terhibur dan

tertarik untuk mempelajari Sejarah. Sejarah harus dipelajari dan dihayati secara sukarela tanpa dipaksa. Murid menghadapi masalah dalam Subjek Sejarah disebabkan mereka terpaksa untuk belajar untuk lulus dalam SPM dan mendapat sijil. Guru harus memberi dorongan dan membimbing murid untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai sejarah dan tidak mengulangi kesilapan masa lampau. Pembelajaran Sejarah harus dipraktik dan diamalkan bukannya dihafal untuk menangani ujian. Saya berharap Sejarah dapat diajar dan diminati oleh ramai murid tanpa perasaan dibebani dan subjek ini ketika mereka menduduki ujian nanti. Apabila sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, maka statusnya sama dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu selain Bahasa Melayu, kelulusan sejarah bukan sahaja diperlukan untuk mendapatkan sijil SPM tetapi juga menjadi syarat asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi, institusi kemahiran, pemberian biasiswa dan tawaran pekerjaan dalam sektor kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta. Masa depan murid untuk meneruskan pengajian akan terjejas hanya kerana gagal dalam subjek Sejarah yang menyebabkan mereka tidak layak untuk mendapat sijil. Secara keseluruhannya, subjek Sejarah merupakan subjek yang wajib diambil oleh semua pelajar dalam SPM, tetapi tidak semestinya mesti lulus untuk mendapat sijil. Pengerusi : Terima kasih saya ucapkan kepada keempat-empat ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini dapat kita renungkan dan berharap agar pihak tertentu bertindak dalam hal ini. Sama ada setuju ataupun tidak, adalah penting bagi masyarakat untuk melakukan sesuatu yang boleh menyumbang dan memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama menepuk tangan tanda terima kasih kita kepada ahli-ahli panel yang sudi meluangkan masa pada hari ini. Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan isu ini haruslah

diberi perhatian bagi memberikan jawapan yang memuaskan hati semua pihak dan memberikan impak yang positif kepada individu pelajar

terutamanya iaitu yang bakal menjadi tonggak negara pada masa hadapan. Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun dari saya,

Tuailah padi antara masak, Esok jangan layu-layuan; Intailah kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan. Bunga dedap di atas para, Anak dusun pasang pelita; Kalau tersilap tutur bicara, Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri. Wallahualam. Terima kasih.

You might also like