You are on page 1of 19

POLITIK DAN EKONOMI DI ASIA TENGGARA SEBULUM ABAD KE-19 1.

0 PENDAHULUAN Istilah Asia Tenggara ini mula digunakan dengan luasnya dalam masa Perang Dunia Kedua dulu yang meliputi negeri-negeri di sebelah timur Tanah Besar Asia, yang terdiri daripada Semenanjung Indo-China, dan gugusan-gugusan Indonesia dan Filipina. Umumnya, Asia Tenggara meliputi dua jenis masyarakat besar iaitu negeri-negeri di Tanah Besar dan negerinegeri kepulauan. Kedua-duanya terdiri daripada Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand, Myanmar, Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina. Sistem politik dan ekonomi negaranegara tersebut hampir sama sehinggalah penguasaan Barat ke atas negara di Asia Tenggara.

2.0 SISTEM POLITIK TRADISIONAL DI ASIA TENGGARA Sistem kerajaan Asia Tenggara pada zaman tradisional boleh dikatakan telah dibentukkan oleh penyerapan pengaruh-pengaruh luaran ke dalam suatu teras yang bersifat asli. Pengaruh utama ini termasuk agama Islam, Hindu-Buddha dan Pagan. Pengaruh-pengaruh agama utama yang datang kemudian telah membawa pengubahsuaian pada negara ini berpadanan dengan pengalaman masing-masing. Oleh itu, ahli sejarah telah menggolongkan negara-negara Asia Tenggara mengikut tradisi agama yang paling menonjol, iaitu negara-negara Buddha Theravada (Burma, Siam, Kampuchea, Laos), negara-negara Islam (Indonesia dan Malaysia), negara Confucianisme (Vietnam) dan negara Kristian (Filipina). Pengaruh ini berjaya mencorakkan konsep kerajaan dan negara di rantau Asia Tenggara. 2.1 Pengaruh Hindu-Buddha Agama Buddha Theravada adalah agama yang dianuti oleh masyarakat di Burma, Arakan negeri Thai dan Kemboja. Sarjana-sarjana Barat telah menggunakan istilah Penghinduan untuk menyatakan kesan pengaruh kebudayaan Hindu ke atas Asia Tenggara. Di Asia Tenggara sistem politik dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha kecuali Vietnam yang mengikut sistem sosiopolitik Confucius seperti yang diamalkan di China. Agama Hindu-Buddha telah mempengaruhi sistem sosiobudaya masyarakat Asia Tengara seperti adat masyarakat Asia Tenggara yang dipengaruhi oleh budaya Hindu seperti Myanmar, Kemboja, Siam dan Jawa tentang undang-undang yang sama yang berasaskan konsep dharmaatau undang-undang sejagat yang membawa maksud tentang tentang tugas dan peranan raja pemerintah yang hanya membuat keputusan berdasarkan konsep dharma (iaitu raja yang penuh dengan kesusilaan dan keadilan) dan bukan membuat undang-undang kepada masyarakat itu sendiri.

Agama Buddha Theravada merupakan amalan hidup penting bagi kebanyakan masyarakat tempatan di Tanah Besar kecuali di Vietnam. Di Burma pula, memang tidak terdapat sebarang

agama rasmi tetapi tumpuan para pemimpin kerajaan agak jelas ditujukan kepada agama Buddha. Pada zaman klasik, kedudukan agama Buddha menjadi semakin kukuh dan dikaitkan dengan konsepsi sosiopolitik yang unggul berteraskan kepada seorang raja yang salih. Seterusnya agama ini akan mewujudkan masyarakat yang makmur kerana hanya masyarakat yang makmur sahaja yang benar-benar bersedia untuk beribadat. Heine-Geldern merupakan sarjana yang pertama sekali mengaitkan unsur-unsur Buddha dengan kerajaan dan pentadbiran seperti yang dapat dilihat di Burma, Thai, Laos dan Kampuchea. Menurutnya, organisasi politik di negeri-negeri ini menganbil model konsep kosmologi serta keselarian di antara makrokosmos ketuhanan (supra human) dan mikrokosmos manusia. Berikutnya, kerajaan itu merupakan miniature kepada kosmos, dengan istana raja yang berada di pusat itu dianggap sebagai Gunung Meru yang menjadi pusat cakerawala yang dianggotai oleh manusia dan juga dewa-dewa yang berbagai-bagai peringkat. Sementara itu raja, pytera-putera raja dan pembesar-pembesar wilayah pula mewakili hierarki yang terdapat di syurga yang bernama Tavatimsa yang didiami oleh Indra, lokapala yang empat dan 28 lagi dewa-dewa yang lebih rendah.

Institusi beraja dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha yang mana semua raja yang beragama Buddha di Asia Tenggara pada zaman tradisional menuntut dirinya sebagai seorang dharma-raja atau kamma-raja dengan memaparkan kuasa moral mereka melalui kegiatan keagamaan seperti membina pagoda, wat atau kuil, memberi dana dan memberi perlindungan diraja kepada institusi agama melalui kekuatan tentera. Pemerintahan raja adalah mengikut prinsip dasabidharajadharma atau sepuluh kebaikan diraja iaitu prinsip mengikut ajaran agama Buddha yang membezakan seorang raja yang baik dengan seorang raja yang kurang bersifat bertanggungjawab. Rakyat Siam yang beragama Buddha mempercayai kedudukan serta keadaan hidup seseorang itu telah pun ditetapkan oleh perlakuannya semasa hidupnya. Mereka juga percaya bahawa manusia itu mempunyai keupayaan yang berbeza. Falsafah Theravada juga menyebut tentang kehidupan manusia itu tidak kekal dan penuh dengan kesengsaraan dan matlamat setiap pengikut aliran ini ialah untuk dikecualikan daripada kesengsaraan dan terus memasuki nipphan (nirwana)

2.2 Pengaruh Agama Islam Kerajaan-kerajaan Islam yang berselerak di Pantai Utara Jawa pada abad ke-16 dan ke-17 serta Kerajaan Islam yang unggul iaitu Mataram yang muncul di bahagian tengah pulau itu dikatakan dibina atas asas Hindu-Buddha yang telah lama wujud. Selepas kedatangan Islam, sistem politik ini juga yang berteraskan raja walaupun raja tersebut tidak lagi dianggap sebagai devaraja. Namun begitu, raja masih lagi dianggap sebagai makhluk paling suci yang dapat dikenali melalui wahyu atau cahaya ketuhanan yang dikurnianya kepadanya.

Pada pertengahan abad ke-18 dan awal abad ke-19, Pattani disifatkan sebagai pusat agama Islam di Asia Tenggara. Warisan inilah yang dijadikan sebagai tali penghubung di kalangan orang Islam Pattani untuk terus menentang kerajaan pusat sejak Pattani dimasukkan ke dalam penguasaan politik Siam semasa pemerintahan Rama I (1782-1809).

Kedatangan agama Islam telah membawa perubahan yang besar dalam bidang politik. Kedatangan agama Islam secara langsung telah memperkenalkan sistem pentadbiran secara kesultanan di rantau ini. Walaupun dikatakan sistem ini dikatakan tidak banyak beza dengan sisten Kerajaan Hindu sebelumnya, tetapi terdapat banyak juga ciri-ciri yang tersendiri. Terdapat juga unsur-unsur yang dicantumkan dengan unsur-unsur baru yang dibawa oleh Islam, umpamanya gelaran-gelaran yang berasal dari Timur Tengah seperti sultan, syah.

Pelaksanaan sistem mufti sebagai penasihat hal ehwal agama Islam khususnya adalah merupakan suatu pembaharuan yang bererti. Malah secara khusus sultan atau raja telah dianggap sebagai khalifah (pengganti Nabi), kadang-kadang sebagai bayang-bayang Tuhan. Tetapi pemakaian khalifah atau ketua agama jika dikaji secara teliti dari aspek konsep politik Islam, mempunyai banyak perbezaan dengan apa yang berlaku di dalam sejarah Nabi Muhammad S.A.W. dan Khulafa Ar-Rasyidin. Sultan atau raja dianggap sebagai pelindung undang-undang Islam, walaupun beliau sendiri yang melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang. Keadaan ini tidak berlaku kepada Khulafa Ar-Rasyidin dan Sultan atau raja tidak memerintah sepenuhnya mengikut syarak Islam. Secara teorinya, kedudukan seorang raja Islam dalam geokosmologi politik dan agama Islam, adalah yang tertinggi sekali dan tidak dapat dipertikaikan. Raja juga dilihat sebagai hidup atau mati sesebuah masyarakat. Kerajaan yang bererti keadaan yang mempunyai raja mencerminkan pentingnya raja dalam sesebuah masyarakat, tanpa raja yang berdaulat, tiadalah negara. Raja juga harus bermoral tinggi dan taat kepada agama. Konsep Perajaan yang difahami dan diamalkan oleh raja-raja di rantau Asia Tenggara mengesahkan dengan nyata tentang pentingnya keperibadian raja kepada jatuh atau bangun masyarakat masing-masing mahupun dalam politik serantau. Raja menjelmakan jiwa negaranya.

2.3 Pengaruh Confucianisme Ajaran Kungfutze yang telah diterapkan ke dalam masyarakat Vietnam dan aliran yang paling berpengaruh ialah yang berasaskan tulisan-tulisan Zhu Tsi ( 1130-1200), seorang ahli fikir yang terkemuka iaitu golongan cendekiawan yang digelar neo-Confucianis. Ajaran Kungfutze mementingkan keharmonian hidup sesama manusia dan manusia dengan alam. Ianya bukan

sahaja menjelaskan bentuk hubungan di antara kumpulan manusia itu sendiri, tetapi juga menuntut pengikutnya mengamalkan jenis-jenis kebaikan seperti kebajikan, menuntut ilmu, bersikap ikhlas dan menjaga adat atau tatausila. Seperti di negara China, pengamalannya dilakukan dengan berasaskan buku-buku klasik yang begitu dimuliakan dan disifatkan sebagai dokumen penting sistem politik dan tindakan moral yang dipercayai sebagai warisan turun temurun zaman kegemilangan raja-raja silam. Pengamalan seperti yang diterangkan di atas memang begitu meluas pada kurun ke-19 di Vietnam terutamanya di kalangan raja dan pegawai-pegawai kerajaan, sebagai tindak balas terhadap penjajahan Perancis. Tindakan-tindakan pegawai tinggi kerajaan sama ada menentang, bekerjasama atau bersara ke desa dilakukan berdasarkan contoh-contoh yang dipetik sebagai pernah berlaku dalam sejarah China silam. Raja-raja Vietnam juga bersikap serupa. Minh Mang (1820-41) misalnya, merasakan kekurangan moral peribadinya bertanggungjawab kepada bencana alam yang berlaku semasa awal pemerintahannya dan juga dengan kedatangan Perancis. Tu Duc(1847-1883) pula asyik mencari petanda-petanda baik atau buruk dan seterusnya menekankan upacara istiadat untuk bersuka atau berduka daripada mengkaji kelemahan sendiri atau kekuatan lawan apabila Vietnam digugat oleh Perancis.

2.4 Hierarki Pentadbiran di Asia Tenggara Masyarakat di Asia Tenggara mempunyai beberapa ciri penting seperti sistem masyarakat yang berhierarki. Seseorang raja itu berkuasa mutlak dan berada di puncak kekuasaan. Struktur ini diikuti oleh golongan bangsawan, petani dan hamba. Kemudian, terdapat pula hubungan yang erat di antara agama dan organisasi politik walaupun keadaan ini tidak berlaku di Vietnam yang lebih banyak menampakkan pengaruh China dalam semua urusan pentadbiran dan kehidupan.

Sementara itu, hubungan antara wilayah dengan istana adalah seperti mandala yang mempunyai bulatan-bulatan yang mempengaruhi pusat yang sama dan biasanya bilangan bulatan ini adalah tiga. Susunan seperti ini dapat dilihat pada zaman Ayudhya dan awal Bangkok. Di pusat bulatan ini terdapat ibu kota dan di tengahnya istana raja. Di bulatan yang kedua pula yakni di empat sudut utama (timur, barat, selatan dan Utara) terdapat muang atau provinsi yang diperintah oleh anak raja ataupun keturunan mereka. Wilayah ini merupakan pemberian daripada raja yang memerintah dan ditadbirkan dengan cara yang sama seperti yang dilakukan di wilayah diraja (dan ibu kota). Di bulatan ketiga tidak terdapat penguasaan politik dari pusat secara terus tetapi sebaliknya hubungan di mana wilayah mengakui ketuanan pusat. Di Burma pula, pentadbiran negara telah diagihkan kepada pengawai-pengawai mengikut fungsi masing-masing seperti Raja Muda, Wungyi (menteri), wundauk (menteri muda), setiausaha-setiausaha dan atwinwun (pengawai istana). Wungyi dan wungdauk juga menjadi anggota Majlis Negara (hluttaw) yang berfungsi sebagai mahkamah agung. Hluttaw berkuasa ke atas beberapa jabatan kerajaan seperti

perbendaharaan serta tempat menyimpan segala kelengkapan tentera dan arang batu. Selain itu, bilangan provinsi yang ada pada zaman klasik adalah 28 buah dan jika ini dicampur dengan empat jawatan menteri serta seorang raja, maka jumlahnya menyerupai bilangan dewa-dewa dan Indra. Perlaksanaan sistem ini ataupun variasinya untuk pentadbiran adalah penting kerana adanya kepercayaan tempatan bahawa ianya berkait rapat dengan kesejahteraan raja, organisasi politik dan rakyat. Sementara itu pada zaman Pagan dan Ayudhya, nama bagi ibu kota pula menjadi nama kepada empayar yang lebih besar dan luas.

2.5 Pengaruh Barat ke Atas Asia Tenggara Seperti yang diketahui, negara-negara di Asia Tenggara juga tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh Barat. Sepanyol telah menguasai Filipina, Belanda ke atas Indonesia, Perancis ke atas Vietnam serta Indo-China dan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Penjajahan Sepanyol di Filipina, jika dipertimbangkan dari segi zaman kemuncak kemajuaannya dan dengan mempertimbangkan jasa buruk dan baiknya dapat setanding dengan usaha-usaha penjajahan Inggeris, Perancis dan Belanda. Sungguhpun ia menjalankan pemerintahannya ke atas mereka tetapi ia mengambil berat tentang menghormati adat resam mereka. Namun, penjajahan ini mempunyai tiga tujuan yang jelas iaitu untuk turut serta dalam perdagangan rempah,untuk mengadakan perhubungan dengan China dan Jepun supaya membolehkan mereka memperkenalkan agama Kristian dan untuk mengkristiankan orang Filipina sendiri. Orang Sepanyol hanya berjaya mencapai tujuan yang ketiga saja.

Penguasaan Belanda ke atas Indonesia pula berdasarkan faktor ekonomi iaitu Indonesia yang terkenal dengan kekayaan rempah-ratus di Aceh, dan Kepulauan Maluku (Ternate Tidore) menyebabkan Belanda ingin mengaut hasil kekayaan Indonesia. Begitu juga perguasaan Perancis ke atas Indo-China adalah berdasarkan keuntungan, walaupun pada awalnya mendapat tentangan hebat dari golongan agama. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kedatangan Barat tidak banyak mengubah sistem politik tradisional masyarakat Asia Tenggara yang berlandaskan kepada agama. Ini disebabkan, Barat menganggap agama hanya menyekat kebebasan mereka semasa mereka berada pada Zaman Gelap. Oleh itu mereka mengamalkan dasar liberal yang memisahkan agama dari sistem pentadbiran.

3.0 EKONOMI DI ASIA TENGGARA MENJELANG ABAD KE-19

Aktiviti ekonomi yang dijalankan di Asia Tenggara menjelang abad ke-19 adalah pelbagai. Kegiatan yang dijalankan meliputi aktiviti pertanian yang merangkumi pelbagai jenis tanaman,

aktiviti perlombongan, perikanan dan juga perhutanan. Aktiviti ekonomi yang diamalkan oleh penduduk di kawasan Asia Tenggara menjelang abad ke 19 masih lagi bersifat tradisional. Ianya hanya tertumpu dalam kawasan satu kawasan tertentu sahaja dan tidak dikomersialkan. Hal ini kerana kegiatan ekonomi yang dijalankan adalah bersifat sara diri di mana hasil yang diperolehi hanya untuk kegunaan sendiri dan tidak mempunyai lebihan hasil untuk di pertingkatkan. Teknologi yang digunakan pada masa itu adalah yang paling asas dan bersifat primitif.

Namun begitu, terdapat juga kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi ini secara besarbesaran seperti di Jawa, Thailand, Burma dan Vietnam yang menjalankan aktiviti pertanian. Manakala di Tanah Melayu pula adalah aktiviti perlombongan secara besar-besaran manakala di Kepulauan Indonesia dan Filipina menjalankan perusahaan gula. Setelah Barat datang ke Asia Tenggara, corak ekonomi telah berubah dan kebanyakannya tidak lagi bersifat sara diri sematamata.

Revolusi perindustrian yang bermula 1760 di Eropah telah membawa satu perubahan yang asas ke atas corak masyarakat yang berlaku di Asia Tenggara. Allan Thompson menjelaskan ia melibatkan satu transformasi kehidupan ekonomi daripada suatu yang berpusat di sekitar pertanian kepada ekonomi industri kota dan ia juga berkait rapat dengan satu-satunya perubahan sosial, politik dan intelektual yang amat luas jangkauannya.

3.1 PERTANIAN TRADISI MASYARAKAT DI ASIA TENGGARA 3.1.1 Padi Padi telah ditanam di Asia Tenggara sejak berabad yang lalu. Padi yang ditanam di Asia Tenggara ini terdapat dua jenis iaitu padi sawah dan padi huma. Kebanyakan negara-negara di Asia Tenggara menjalankan kegiatan pertanian padi sawah yang ditanam di kawasan dataran. Ini kerana kualiti padi sawah lebih baik berbanding dengan huma. Padi huma yang dijalankan di kawasan bukit perlu ditebus dan pembukaan kawasan baru bagi setiap penanaman padi yang ingin dijalankan. Boleh dikatakan hampir setiap negara di Asia Tenggara menanam padi. Ini disebabkan oleh makanan ruji masyarakat Asia Tenggara adalah nasi.

Penanaman padi dijalankan secara tradisinya adalah secara sara diri. Ia ditanam hanya untuk keperluan diri dan keluarga sahaja. Sekiranya terdapat lebihan, beras akan ditukarkan dengan barang keperluan lain iaitu melalui system barter. Menjelang abad ke-19, walaupun terdapat negara yang menjalankan aktiviti dalam saiz yang besar tetapi masih lagi tidak mampu

menampung keperluan penduduk dan terpaksa mengimport dari negara luar. Sebagai contoh, negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu terutama di Negeri-negeri Melayu Pantai Barat, akibat pertambahan pesat penduduk kesan daripada aktiviti ekonomi, pengeluaran beras dalam negeri tidak lagi mampu menampung keperluan penduduk. Keadaan ini juga berlaku di Laos yang terpaksa mengimport beras dari Thai akibat kegagalan untuk menampung keperluan penduduk. Kegagalan untuk menampung keperluan penduduk adalah disebabkan oleh teknologi yang digunakan adalah rendah dan masih menjalankan aktiviti ini secara tradisional.

Setelah kedatangan Barat, penanaman padi di sesetengah tempat telah dikomersialkan dengan pesat sekali. Padi yang merupakan tanaman tradisi ini telah dijalankan secara besar-besaran di Burma, Negara Thai dan Cochin-China, Vietnam dan menjadi pengeksport beras utama. Untuk menambahkan lagi daya pengeluaran padi di negara ini, jurutera-jurutera dari barat telah diberi tanggungjawab untuk menyalirkan kawasan-kawasan paya di Delta-delta Mekong dan Irrawaddy untuk dijadikan kawasan penanaman padi yang luas dengan menggunakan kepakaran dan kemahiran mereka.

Di Burma perkembangan dalam perusahaan beras berlaku dengan pesat. Di Tenasserim pengeluaran bertambah sebanyak 50 peratus di antara tahun-tahun 1845 dan 1852, sementara di Arakan pula, oleh kerana terdapat tenaga buruh dan juga bekalan makanan yang lebih murah, kadar pertumbuhannya adalah lebih pesat. Menjelang tahun 1852, Akyab merupakan pusat pengeksport beras yang terpenting di dunia pada masa itu, manakala kawasan-kawasan yang ditanam dengan padi bertambah empat kali ganda selepas tahun 1830. Perkembangan kilangkilang beras di Burma juga mendapat galakan kemajuan-kemajuan teknik yang terdapat di abad ke-19 ini. Kilang beras yang pertama menggunakan janakuasa telah didirikan di Rangoon dalam tahun 1861.

Negeri Thai merupakan negera pengeluar kelima beras dunia di kalangan Negara-negara pengeluar. Keadaan ini telah menyebabkan pemerintah mengutamakan penanaman padi secara besar-besaran dengan mengunakan teknologi yang lebih tinggi berbanding dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Negeri Thai mengutamakan penanaman padi secara besar-besaran dapat dibuktikan dengan 92 peratus daripada jumlah tanah yang diperuntukkan kepada pertanian. Lebih daripada satu perlima dari tanaman tahunan dihantarkan ke pasaran luar negeri. Perkembangan ekonomi paling jelas dan cemerlang dalam masa seratus tahun berikutnya dengan terbukanya Negara itu kepada perdagangan dan pengaruh Barat ialah perluasan pengeluaran beras dan menjadikan beras tanaman eksport yang utama. Menjelang tahun-tahun 1870-an, hitung panjang 200,000 ton beras setahun telah dihantar ke luar negeri.

Vietnam juga merupakan antara pengeluar utama beras dunia. Beras merupakan menyumbang sebanyak 65 peratus dari jumlah nilai eksport negara itu. Padi meliputi lima perenam dari jumlah kawasan pertanian. Ia juga memainkan peranan yang penting dalam ekonomi dalam negeri sebagai suatu bahan api dan makanan ternak. Pengeluaran beras dari Vietnam bertambah lima kali ganda antara tahun 1870 dan 1930. Dua buah kawasan pengeluaran padi yang utama ialah Delta Song-koi (Sungai Merah) di bahagian utara dan Delta Mekong (Cochin-China).

3.1.2 Tebu Tebu merupakan tumbuhan yang asli bagi kawasan Asia Tenggara. Pengeluaran tebu di Asia Tenggara bermula pada abad ke 17 apabila cara penapisan tebu diperkenalkan di China. Kejayaan kawasan Asia Tenggara dalam penanaman tebu dapat dilihat pada awalnya sangat giat dijalankan di kawasan Jawa di mana kawasan ini kaya dengan volcanic dan dapat menampung terhadap permintaaan.

Perkembangan penanaman yang berlaku di Jawa pada tahun 1830-an dapat menampung dan memperkembangkan lagi penanaman dan perindustrian yang berasaskan tebu. Dianggarkan terdapat beberapa ratus kilang menjelang tahun 1850 dan bertambah berkali ganda pada akhir abad ke 19. Kawasan-kawasan yang diusahakan juga telah bertambah sebanyak18 peratus diantara tahun 1833 dan 1861 dan daya pengeluaran juga telah meningkat sebanyak 300 peratus dalam jangkamasa yang sama. Walaupun pengenalan sistem tanaman kultur diperkenalkan, namun ianya tidak berjaya ekoran kejatuhan harga pasaran dunia.

Pengenalan terhadap kaedah dan teknik penanaman yang lebih baik serta penggunaan jentera yang meluas oleh pemodal Barat menambahkan lagi daya pengeluaran pada ketika itu. Pengenalan kepada teknik dan penggunaan jentera ini menunjukkan bahawa proses modenisasi industri ini meningkat kerana alat teknologi ini diimport untuk kegunaan perusahaan gula. Sebagai bahan makanan, permintaannya semakin meningkat dalam pasaran pengguna. Tanaman ini juga telah berkembang di Thailand dan juga menjadi ekonomi utama di Filipina. Ini menunjukkan bahawa penanaman tebu telah diberi keutamaan khususnya siam dalam meningkatkan kegiatan ekonominya. Namun, dalam abad ke-19 perusahaan ini semakin merosot ekoran daripada persaingan daripada pengeluar dunia lain. Walau bagaimanapun, di Filipina penanaman tebu telah berjaya di mana dasar perdagangan liberal yang diperkenalkan oleh penjajah Barat telah mengembangkan lagi perutanian ini. Dasar cukai yang diperkenalkan oleh Amerika telah memberi peluang pemasaran terhadap tanaman-tanaman dari Filiphina.

Perkembangan dalam penanaman tebu juga berkembang dengan pesat di Tanah Melayu. Ini dibuktikan daripada penaman yang dijalankan di Seberang Perai dimana pada tahun-tahun 1860an tebu yang ditaman telah dijangkiti oleh penyakit. Masalah ini diatasi dengan mengimport tebu dari Maurutius dan Pulau Jawa yang lebih baik mutunya. Benih tebu yang dimaksudkan ialah dari jenis Striped Bourdon yang terbukti dapat melawan penyakit. Selain di Seberang Perai, kawasan Sepetang juga yang merupakan sebuah perkampungan juga banyak ditanam dengan tebu. Keadaan ini menunjukkan bahawa di Pulau Jawa dan Mauritius juga turut menjalankan kegiatan penanaman tebu.

3.1.3 Kopi Abad ke-19 merupakan abad yang gemilang bagi perusahaan kopi, ia berkembang pesat dan mencapai kemuncak kejayaannya dalam tahun 1870-an. Negera pengeluar utama kopi adalah Kepulauan Jawa dan Tanah Melayu. Di Jawa menjelang tahun 1840 matlamat Van Den Bosch untuk mendapatkan sebanyak 400,000 pikul kopi setahun bukan sahaja tercapai malah jumlah keluaran kopi dalam tahun itu telah melebihi setengah kali ganda dari jumlah yang diharapkan oleh beliau. Di Tanah Melayu penanaman kopi secara besar-besaran di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Ia merupakan usaha-usaha orang Eropah yang dulu merupakan peladang kopi di Ceylon (Sri Lanka).

Tahun-tahun yang memperlihatkan kemuncak pengeluaran kopi adalah ialah di antara 1849 dan 1880, iaitu dengan galakan dari kenaikan harga kopi di pasaran dunia akibat permintaan yang semakin meningkat. Selepas tahun 1870 perusahaan kopi mula mengalami kemorosotan. Masalah pertama yang dihadapi adalah penyakit kulat karat yang telah menyerang ladang-ladang kopi di Ceylon kemudian pada tahun 1876 pula telah menyerang Sumatera dan dua tahun kemudiannya menyerang Jawa. Selain itu adalah disebabkan oleh kejatuhan harga di pasaran dunia sebanyak 50 peratus iaitu kesan daripada sumber bekalan baru daripada Amerika Selatan terutama Brazil. Keadaan ini telah menyebabkan perusahaan kopi tidak lagi giat dijalankan dan kebanyakan pengusaha ladang-ladang kopi telah beralih kepada tanaman kontan lain terutama getah yang telah menunjukkan potensi yang baik pada penghujung abad ke-19.

3.1.4 Lada hitam Lada hitam mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk pasaran Eropah. Kawasan Asia Tenggara yang kaya dengan rempah ratus menjadi tumpuan utama dunia dalam mendapatkan bekalan tersebut. Ekoran daripada permintaan yang tinggi terhadap rempah ratus menyebabkan

beberapa kawasan di Asia Tenggara giat menanam lada hitam. Pada permulaannya, tanaman ini diusahakan secara tradisional dan seterusnya diusahakan secara komersil. Penanaman lada hitam dijalankan di kawasan Tanah Melayu dan Kepulauan Sumatera dan Jawa. Di Tanah Melayu, kebanyakan ladang-ladang diusahakan oleh peladang Cina. Kebun-kebun lada hitam di bawah arahan kongsi gelap Cina telah di majukan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Penanaman lada hitam juga berjaya diusahakan di Seberang Perai. Ada pendapat yang menyatakan bahawa penanaman lada hitam amat baik di Seberang Perai disebabkan oleh kedudukan Seberang Perai yang berada bertentangan dengan Pulau Sumatera yang pada ketika itu menjalankan penanaman lada hitam secara besar-besaran. Setelah kedatangan Barat ke Tanah Melayu, kuasa barat ini menyedari bahawa penanaman lada hitam ini mampu menaikkan pendapatan dan hasil kepada mereka. Dengan itu pihak barat telah mengeluarkan modal dan membuka ladang-ladang serta menggalakkan peladang Eropah untuk mengeksport lada hitam yang mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran.

Di Sumatera, penanaman lada hitam juga giat dijalankan. Di Banten umpamanya, sultan telah memerintahkan penduduknya menanam lada hitam dan pembesarnya ditugaskan mengutipnya. Sumatera kekal sebagai pusat pengeluaran yang utama di mana tanaman ini diwajibkan oleh kerajaan sehingga pertengahan abad ke 19. namun, penanaman lada hitan ini dikatakan penggerak kepada kebangkitan kuasa Acheh dan Bantam pada abad ke 16 dan 17. Kepesatan dalam pengeluaran lada hitam ini menyebabakan kuasa Barat khususnya Inggeris dan Belanda untuk menguasai kepulauan ini yang kaya dengan hasil rempah ratus. Dengan kedatangan kuasa barat ini, jumlah pengeluaran semakin meningkat dan Indonesia telah muncul sebagai pengeluar utama tanaman ini. Permintaan dunia terhadap rempah ratus menyebabkan penduduk di kawasan ini menceburkan diri dalam penanaman lada hitam walaupun sebagai pekebun kecil yang amat penting. Lada hitam merupakan tanaman yang paling bernilai dan pasarannya meliputi Eropah, India dan China.

3.1.5 Lain-Lain Tanaman Tanah Semenanjung dikatakan sesuai untuk penanaman tebu, padi dan hasil pertanian lainnya. Sesetengahnya telah ditanam secara meluas di Seberang Perai menjelang abad ke 19. Menjelang tahun 1860, kawasan yang bertanam seluas kira-kira 70,000 ekar lebih dan dari jumlah ini 10,000 ditanam dengan tebu, 12,000 ekar ditanam dengan kelapa sementara selebihnya ditanam dengan lada hitam, pohon buah-buahan serta ubi kayu. Penanaman ubi kayu giat dijalankan oleh saudagar-saudagar yang datang berdagang di Tanah Melayu. Dalam tahun 1848, seorang

saudagar Cina iaitu See Boon Tiong memulakan penanaman ubi kayu secara besar-besaran di Linggi.

Tanaman ini kebanyakannya dipelopori oleh peladang-peladang Cina yang bertindak sebagai peneroka dan golongan ini memilih tanaman yang membuahkan hasil dalam tempoh yang singkat dan tidak memerlukan teknologi yang tinggi serta modal yang banyak. Namun, penanaman ini hanya dihadkan di kawasan Melaka dan kawasan yang bersempadanan di Negeri Sembilan dan Johor. Setelah kemasukan kuasa Barat di Tanah Melayu, tanaman ini merosot akibat daripada pihak British yang mengecam usaha peladang khususnya petani Cina mengenai kaedah tanaman yang dijalankan oleh petani Cina. Kebanyakan petani Cina banyak membuka ladang-ladang baru yang mengakibatkan kawasan hutan rimba terhapus dan kerajaan british menegaskan supaya tanah yang dibuka diusahakan secara kekal.

Penanaman gambir juga merupakan pertanian yang diusahakan secara tradisional di kawasan Asia Tenggara. Di Tanah Melayu contohnya telah diusahakan secara ladang di bawah kongsi gelap Cina. Ladang-ladang gambir yang luas milik pemodal Cina telah dimajukan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Penanaman gambir secara ladang ini berjaya dan melibatkan kawasan yang luas untuk di eksport. Namun setelah kedatangan kuasa kolonial , pengeluarannya semakin merosot kerana pihak kolonial telah menghadkan kawasan penanaman dan pengenalan tanaman yang lain iaitu getah. Selain itu, keluaran hasil pertanian lain ialah rami. Di antara rami yang mendapat permintaan yang tinggi dan kedudukan yang terpenting ialah abaka atau hem di Manila. Bahan ini mula di usahakan dalam tahun 1790-an berikutan terciptanya jentera bagi membersihkan rami.

Indigo adalah tanaman yang menghasilkan nila yang digunakan untuk mewarna baju dan batik. Sepanjang abad ke-18, penanaman indigo di tanam oleh penduduk tempatan khususnya di Pulau Jawa. Pengembangan awal dalam pengeluaran nila di Jawa berlaku pada abd ke 17 lagi. Namun, setelah kedatanagan Stamford Raffles ke kawasan Asia Tenggara menyebabkan perusahaan nila merosot apabila pentadbiran Raffles menggalakkan penggunaan barang-barang kapas Inggeris. Langkah ini menjejaskan perusahaan kain Jawa, tetapi telah pulih semula di bawah pentadbiran DuBus de Gisignies yang mahu meyelamatkan perniagaan Belanda. Namun penanaman ini bangkit semula apabila pengenalan sistem kultur diperkenalkan. Dalam tahun1840, perusahaan ini telah mencapai kemuncaknya tetapi kemudiannya telah diatasi dengan penanaman yang lain.

Kelapa adalah hasil tradisi yang utama bagi rantau Asia Tenggara yang telah mencapai kedudukan dan nilai yang baru akibat revolusi perusahaan. Kelapa yang banyak kegunaannya telah banyak membantu dalam perusahaan sara diri, sementara kelapa kering dan minyak kelapa merupakan bahan yang terpenting dalam perdagangan antara kepulauan Asia Timur Besar dan Filiphina Selatan dalam abad ke 17. Filipina merupakan pengeluar kelapa kering yang terbesar di dunia. Perusahaan kelapa ini giat dijalankan kerana tidak memerlukan modal dan teknologi serta kepakaran yang tinggi dalam pengeluarannya. Peranan yang dimainkan oleh golongan saudagar juga banyak membantu sebagai orang tengah dalam perusahaan ini. Setelah kedatangan kuasa Barat ke Filipina, perusahaan ini telah menarik minat kuasa Barat untuk menguasai ekonomi ini yang dapat menyumbang kepada pendapatan para penjajah Barat. Perusahaan kelapa kering telah dikuasai oleh dua buah syarikat Amerika yang besar. Ini membuktikan bahawa dengan kedatangan kuasa Barat, perusahaan ini telah berkembang ekoran daripada modal dan teknik yang disumbangkan oleh pihak barat khususnya Sepanyol di Filipina.

3.2 PERLOMBONGAN Perlombongan bijih timah di Asia Tenggara telah bermula sejak berabad yang lalu sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat ke Asia Tenggara. Di Tanah Melayu misalnya aktiviti perlombongan ini telah dijalankan sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Walau bagaimanapun aktiviti hanya dijalankan secara kecil-kecilan dan dilakukan sebagai pekerjaan sampingan bagi masyarakat ketika itu. Di Bangka, bijih timah telah dijumpai dalam tahun 1709. Kebanyakan bijih timah yang terdapat di Asia Tenggara datangnya dari Bangka sehingga tahuntahun 1860-an. Lima puluh tahun selepasnya Belitong mula memperlihatkan kekayaannya dalam perlombongan bijih ini. Walau bagaimanapun setelah pembukaan lombong-lombong di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu yang mana permintaannya di pasaran dunia adalah tinggi menyebabkan permintaan dari Bangka ini semakin merosot. Aktiviti ini berkembang setelah Long Jaafar bin Long Abdul Latif yang menjumpai lombong-lombong bijih ini di Larut pada pertengahan abad ke-19. Beliau telah membawa masuk orang-orang Cina untuk bekerja di lombong-lombong ini pada tahun 1848. Di Thai, bijih timah merupakan eksport utama di samping beras pada tahun 1850. Kegiatan melombing bijih ini telah menarik ramai orang Cina ke Negeri Thai. Ia dapat dilihat apabila seramai 28,000 orang Cina di Pulau Phuket yang kebanyakannya bekerja sebagai pelombong bijih timah.

Bijih timah di Asia Tenggara tidak begitu penting kepada British sehingga tahun 1820. Ini disebabkan oleh aktiviti perindustrian di Eropah masih lagi mampu ditampung oleh lombong

bijih timah di Cornwall, England. Walau bagaimanapun selepas 1820, lombong di Cornwall ini tidak lagi mampu menampung jumlah permintaan yang tinggi daripada pengguna-pengguna Eropah kesan daripada revolusi perindustrian yang pada tahun 1760 semakin pesat berlaku di Eropah. Oleh yang demikian pengguna-pengguna bijih timah terpaksa beralih ke Eropah untuk mendapatkan bekalan bahan mentah ini. Sebelum ini negara-negara di Asia Tenggara sukar untuk memasrkan keluaran bijih ini ke Eropah. Harga yang dikenakan juga adalah tinggi. Berbanding selepas 1820, harga dijual adalah lebih murah. Menjelang tahun 1850 Eropah mengimport timah dari Asia Tenggara sebanyak tiga kali ganda dari jumlah yang diimport dari Cornwall.

Sebelum kedatangan Barat, orang Cina menguasai aktiviti perlombongan ini. Teknologi yang digunakan adalah kapal korek. Setelah kemasukan British di dalam bidang ini orang-orang Cina tidak begitu dominan di dalam bidang ini walaupun masih lagi terdapat saudagar-saudagar Cina yang mengusahakan tapak-tapak lombong ini. Keadaan ini adalah disebabkan pemodal-pemodal Eropah mempunyai modal yang lebih besar daripada pemodal Cina. Selain itu, sejak awal tahuntahun 1860-an pemodal Eropah telah memperkenalkan cara-cara mengorek yang baru dan relaurelau untuk melebur yang lebih moden. Pam yang menggunakan kuasa wap telah diperkenalkan dalam dekad berikutnya dan diikuti oleh penggunaan pam kelikir dan sumpit lombong.

Selain perlombongan bijih timah, terdapat sumber galian yang diterokai dan diusahakan di Asia Tenggara ini. Di Sarawak menjalankan aktiviti melombong antinomi dan emas. Pada peringkat permulaan aktiviti ini dijalankan secara primitif. Pada tahun 1896 Syarikat Borneo telah memperkenalkan alat-alat melombong moden dan membuka lombong-lombong baru di Bau. Keadaan ini telah memberi nafas baru dalam perusahaan melombong emas di Sarawak. Bagaimanapun sumber galian di Asia Tenggara yang adalah kurang berbanding dengan Tanah Melayu.

3.3 PERIKANAN Perikanan merupakan aktiviti ekonomi tradisi bagi penduduk di kepulauan Asia Tenggara. Aktiviti perikanan biasanya dijalankan oleh penduduk yang tinggal berhampiran dengan persisiran sungai dan laut. Aktiviti perikanan yang dijalankan adalah merupakan aktiviti sampingan penduduk pada waktu ini. Kegiatan ini dijalankan bagi mendapatkan sumber protein iaitu seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain hidupan lautan.

Di samping itu, lebihan hasil penangkapan ini akan digunakan untuk mendapatkan barang keperluan lain. Alam sekitar yang berbeza dengan penduduk di antara penduduk di persisiran sungai dan pantai dengan penduduk di pedalaman menyebabkan mereka perlu untuk menjalankan sistem barter untuk mendapatkan keperluan tidak ada di kawasan tempat tinggal mereka.

Terdapat juga penduduk yang menjual hasil lebihan tangkapan mereka. Sebagai contoh di Laos, penduduk di negeri itu menjalankan aktiviti perikanan di Sungai Mekong dan cawangancawangannya yang membekalkan tangkapan ikan yang cukup memuaskan pada setiap tahun. Keadaan ini membolehkan para nelayan menjual lebihan ikan tersebut di kampung-kampung mereka. Hasil dari Tonle Sap serta ikan air tawar dari sungai-sungai lain dan ikan air masin dari pinggir laut memberi sumbangan yang besar kepada industri ikan di dalam kedudukan ekonomi sara diri negara itu. Keadaan ini sedikit sebanyak telah dapat mengurangkan bebanan penduduk Kemboja yang kebanyakan adalah daripada golongan miskin. Setelah kedatangan Barat, aktiviti perikanan tidak diberi tumpuan kerana tidak mendatangkan keuntungan kepada pihak penjajah.

3.4 HASIL HUTAN Memungut hasil hutan merupakan aktiviti ekonomi tradisi masyarakat di Asia Tenggara. Aktiviti ini dijalankan hanya untuk keperluan keluarga sahaja. Walau bagaimanapun setelah hasil hutan ini diketahui mempunyai potensi untuk dieksport, aktiviti ini telah dijalankan dengan giat dan tidak lagi hanya untuk keperluan keluarga sahaja.

Setelah kedatangan Barat, kegiatan ini giat dijalankan. Di Borneo misalnya hasil hutan di kawasan ini telah lama menarik minat pedagang asing. Pokok nipah misalnya digunakan sebagai sumber untuk gula. Di Vietnam pula eksplotasi sumber hasil hutan dijalankan secara kecilkecilan sehingga akhir abad ke-19. Walau bagaimanapun akibat daripada perkembangan perindustrian, eksploitasi sumber hutan ini telah meningkat pada abad ke-20. Vietnam telah membekalkan 97 peratus hasil buluh, dua pertiga dari kayu untuk pembinaan serta empat perlima hasil kayu api.

Kayu Jati merupakan asas kepada perkembangan perusahaan membina kapal di Burma dalam abad ke-17 dan telah menjadi objek utama dalam saingan Inggeris-Perancis di dalam abad ke-19. Perusahaan balak telah berkembang dalam tahun 1830-an. Walaupun pada peringkat permulaannya agak lembab dan seterusnya menjadi sumber kekayaan yang paling utama di daerah Tenasserim. Kayu Jati merupakan bahan utama hutan Thai. Walau bagaimanapun

sehingga tahun 1883 jumlah nilai eksport kayu jati tidak pernah meningkat lebih dari setengah juta bahat setahun. Permintaan kebanyakannya hanya dari dalam negeri untuk pembinaan kapal, perabot dan rumah. Negeri Thai tidak dapat menandingi Burma dari segi jumlah eks[ort kerana Kayu Jati di Negeri Thai sukar diperolehi berbanding dengan Burma. Selain itu kuantiti Kayu Jati di Burma adalah lebih besar berbanding dengan Negeri Thai dan pengimport lebih suka mengimport Kayu Jati daripada Burma berbanding Negeri Thai.

3.5 AKTIVITI PERDAGANGAN Perdagangan merupakan unsur yang penting dalam ekonomi Asia Tenggara, ekonomi yang berbentuk perdagangan ini bemula sejak Zaman Neolitik lagi tetapi berkembang di Zaman Logam. Kegiatan perdagangan ini berkembang pesat kerana sebahagian besar Asia Tenggara bersifat kepulauan dan sudah semestinya kerajaan yang wujud ini terikat dengan kegiatan pelayaran. Melalui kegiatan pelayaran inilah wujudnya aktiviti perdagangan. Kerajaan yang wujud pada ketika itu mempunyai pelabuhan sendiri malah mempunyai ibu kota dipinggir sungai dan laut. Ini amat penting bagi memudahkan berlakunya perhubungan perdagangan komersil dengan negara luar melalui pelabuhan. Orang Asia Tenggara juga terkenal sebagai pelayar yang cekap dan handal dalam mengendalikan kapal.

Kegiatan perdagangan dapat berlaku dengan pesat dengan kerana keadaan iklim Asia Tenggara yang sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian, contohnya pertanian tanaman rempah ratus secara komersil telah dilakukan di kawasan kepulauan rempah iaitu Maluku dan Sulawesi yang mana kawasan ini menjadi buruan pedagang barat. Sebelum campur tangan Barat di Asia Tenggara, telah berlaku hubungan perdagangan eksport dengan menjalankan eksport bijih timah, emas, bunga cengkih dan buah pala dari kawasan Maluku, lada hitam dari Sumatera dan kopi dari Jawa Barat. Perlu difahami disini bahawa eksport yang dijalankan adalah eksport bahan mentah dan bukan bahan buatan kerana asas ekonomi yang tidak mengizinkan apa-apa perusahaan selain daripada kegiatan menenun kain. Disamping mengeksport barangan ke luar kegiatan import juga turut berjalan yang mana Asia Tenggara mengimport sebahagian besar kain dan barangan tembikar dari China.

Kerancakan perdagangan menjelang abad ke-19 berlaku disebabkan peranan raja dan pembesar, mereka ini telah menunjukkan minat dalam kegiatan perdagangan eksport kecuali raja dan pembesar di kawasan kepulauan. Hal ini kerana raja dan pembesar di kawasan kepulauan menjalankan dasar monopoli dalam kegiatan ekonomi. Dalam menarik pedagang datang ke negara mereka, pembesar dan raja telah menjalankan perubahan. Sebagai contoh, raja Myanmar telah menghantar utusan ke negara-negara maritim disamping menawarkan konsensi

perdagangan dan pengurangan cukai kastam. Raja Siam pula telah memberi penekanan terhadap perdagangan asing dengan menjadikan Ayudhya sebagai pelabuhan yang paling aktif di tanah besar Asia Tenggara. Di vietnam juga perdagangan turut berlaku yang mana perdagangannya menjurus kepada China tetapi setelah pengasasan Singapura sebagai pelabuhan, Vietnam kerap menghantar kapal kesana untuk ditukarkan dengan candu. Kegiatan perdagangan sutera, teh dan gula di Vietnam dimonopoli oleh raja.

Dalam merancakkan kegiatan perdagangan di Asia Tenggara, golongan saudagar juga turut memainkan peranan penting, sebagai contoh di Sumatera Tengah dan Borneo Selatan mereka telah berjaya menandingi orang cina sebagai orang tengah dalam perdagangan getah pekebun kecil manakala di Jawa saudagar telah menguasai perdagangan dalam negeri di peringkat bawahan dan menjadi perintis kepada perusahaan tenunan kain batik. Pada masa yang lebih awal, saudagar dari kawasan tersebut telah berdagang di sepanjang sebahagian besar pantai Asia Tenggara dan mereka ini selalunya tinggal di bandar pelabuhan buat beberapa bulan sementara menunggu pertukaran angin Monsun. Disamping itu, pedagang tempatan seperti orang Bugis, Melayu, Thai, Vietnam dan Filipina terus menjalankan kegiatan perdagangan mereka di kawasan pantai Semenanjung Tanah Melayu dan Laut China Selatan. Tumpuan urusniaga para pedagang tempatan adalah negara China dan faktor ini yang menarik hubungan serantau Asia Tenggara.

Sebelum kemasukan Barat Asia Tenggara telah berdagang dengan rantau lain seperti China, India dan Timur Tengah. Sebagai contoh perdagangan yang dijalankan dengan orang India, orang India yang datang berdagang ini mempunyai pengalaman sejarah yang lama dalam bidang perdagangan yang luas serta ekonomi yang menggunakan wang. Saudagar dari India telah berniaga kain buatan India. Disamping menjalankan perdagangan dengan negara luar perdagangan di dalam negeri juga berlaku, contohnya di Myanmar terdapat beberapa buah bandar seperti Amarapura, Mandalay dan Rangoon yang menjalankan kegiatan perdagangan antara mereka.

Selain pelabuhan di China, pelabuhan terpenting lain ialah Manila. Dari Manila baragan dagangan seperti hasil hutan, beras, tembikar dan sutera dihantar ke Mexico. Dikatakan pendapatan perdagangan di perairan Laut China Selatan dan China merupakan sebahagian besar pendapatan kerajaan pusat seperti Siam, Manila, Vietnam, Johor-Lingga dan pelabuhan lain di Asia Tenggara. Hal ini menunjukkan perdagangan telah lama berlaku walaupun sebelum penguasaan barat terhadap Asia Tenggara dan perdagangan ini wujud kerana kedudukan Asia Tenggara yang dikelilingi oleh laut yang memudahkan aktiviti pelayaran berjalan. Dijelaskan bahawa sebelum kedatangan Barat kegiatan perdagangan sudah berlaku tetapi setelah kemasukan

Barat kegiatan perdagangan berlaku dengan lebih pesat disebabkan oleh kehendak Barat terhadap kekayaan bahan mentah yang terdapat di Asia Tenggara.

4.0 KESIMPULAN Ekonomi dan politik berkait rapat dalam jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Di Asia Tenggara yang mempunyai hasil bumi yang banyak telah mendatangkan banyak manfaat kepada kerajaankerajaan di Asia Tenggara menjelang abad ke-19. Ini kerana dengan hasil bumi yang ada di Asia Tenggara ini telah menambahkan lagi kekayaan golongan pemerintah terutama Raja. Walau bagaimanapun, akibat daripada keadaan politik dalaman sesebuah kerajaan tidak stabil menyebabkan kuasa Barat telah mengambil peluang campur tangan dalam pentadbiran yang bermatlamatkan untuk mengautkan keuntungan kekayaan ekonomi di Asia Tenggara sematamata. Secara langsung pihak Barat telah menjajah kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara kecuali Negeri Thai yang telah memberi kesan yang mendalam kepada penduduk dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

BIBLIOGRAFI

Abu Talib Ahmad. 1991. Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Abu Talib Ahmad. 2000. Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Andaya, Barbara Watson dan Leonard, Y. (terjemahan). 1983. Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: MacMillan Publisher (M) Sdn. Bhd.

Velekke, Bernard H.M. 1967. Nusantara: Sejarah Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Devillers, Phillippe. (Terjemahan) Ruhanas Harun. 1988. Sejarah Indo-China Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haji Dasuki Haji Ahmad. 1983. Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hall, D.G.E. 1979. Sejarah Asia Tenggara. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.

Khoo Kay Kim. 1984. Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat: Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

Kobkua Suwannathat-Pian. Asia Tenggara : Hubungan Tradisional Serantau. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.2003.

Mills, L.A. 1997. British Malaya. 1824-1867. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Reid, Anthony.1996. Indonesian Heritage: Early Modern History. Jakarta: Glossier International.

Sternberg, D. J. et. al. 1981. Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Tate, D.J.M.1980. Sejarah Pembentukan Asia Tenggara: Perubahan Ekonomi dan Sosial. Jilid Kedua. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 1980.

Wong Geok Lan. 1990. Campur Tangan Inggeris dan Kepentingan Ekonomi: Kes Pahang Corporation Limited, 1880-1888: Kolonialisme di Malaysia dan Negara-negara Lain. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

Zaide, G. F. 1978. Sejarah Politik dan Kebudayaan Filipina. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like