You are on page 1of 10

Pemuliharaan Warisan Muzik Joget di Melaka Melalui Program Latihan Seni

Budaya Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)

Oleh: Azhar Abdul Latiff1

M.A (Malay Studies) UM, B.Eng (Electrical-Electronic) UTM

Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)

1.0 Pengenalan

Melaka merupakan sebuah negeri berbudaya yang kaya dengan seni persembahan seperti
Dondang Sayang, Joget, Dabus, Nazam dan Rebana Keras. Muzik joget dan permainan Joget
Lambak merupakan sebahagian daripada kesenian popular di negeri Melaka yang sering di
mainkan di persembahan-persembahan pentas dan majlis-majlis sosial. Kini kesenian ini
semakin dilupakan masyarakat Melaka dan menghadapi ancaman kepupusan.

Menyedari hal ini Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) yang ditubuhkan sejak tahun
2001 telah memainkan peranan yang aktif mengatur program-program yang bertujuan
memelihara dan memulihara kesenian tradisional khususnya permainan joget. Antara
langkah yang diambil bagi tujuan ini ialah mewujudkan program latihan seni budaya untuk
generasi muda di negeri Melaka.

Selain daripada mewujudkan program latihan, ISMMA turut memainkan peranan


mendokumentasi lagu-lagu joget melalui kaedah notasi. Melalui kaedah ini lagu-lagu joget
digubah semula dalam bentuk skor muzik orkestra dan dipersembahkan di persembahan-
persembahan pentas serta konsert ISMMA.

2.0 Latar Belakang Permainan Joget di Melaka

Menurut Tan Sooi Beng (2004 :82), teks Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah yang bertarikh di
antara kurun ke 17 ataupun 18 masihi ada menyebut tentang nyanyian pantun yang diiringi
dengan alat-alat muzik seperti rebana, gong dan kecapi. Ensambel muzik ini memiliki

1
Penulis adalah jurulatih muzik di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dari tahun 2002-2008

1
persamaan dengan ensambel Ronggeng Asli2 yang menggunakan violin ( menggantikan
kecapi) untuk memainkan melodi. Pengunaan violin dan arkodian bersama-sama dengan
tambur (frame drum) menjadi kebiasaan dalam ensambel muzik Sepanyol dan Portugis,
telah menguatkan pendapat bahawa ensambel Ronggeng terbentuk selepas pendudukan
Portugis di Melaka.

Dari segi sejarah tarian joget pula, Anis Md Nor (2004 :46) telah menyatakan bahawa
tarian joget dipercayai pertama kali dipersembahkan oleh orang Melayu di Melaka semasa
zaman penjajahan Portugis. Ini kerana Joget di anggap sebagai tarian Branyo Portugis versi
Melayu kerana persamaan yang wujud dalam struktur persembahan kedua-dua tarian
berkenaan. Selain itu ada juga pendapat yang menyatakan bahawa joget ialah tarian baru
yang dikoreograf pada kurun ke 16 semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka menerusi
proses sinkretik tarian lama yang dikenali sebagai Tandak.

Walau daripada mana pun asal usul permainan Joget, dari segi struktur
persembahan dan muziknya, muzik Joget jelas menunjukan terhasil daripada pertembungan
elemen budaya Melayu dan Barat bersama-sama dengan India, Timur Tengah dan Cina.

Di Melaka, permainan Joget sering dimainkan di majlis-masjlis sosial seperti majlis


perkahwinan bersama-sama dengan Dondang Sayang. Ensambel muziknya terdiri daripada 2
penyanyi/pemantun, 1 pemain violin, 1 pemain accordion, rebana, tambur dan gong.

3.0 Pemuliharaan Muzik Joget di Institut Seni Malaysia Melaka3

Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971)4 Malaysia telah menggariskan tiga prinsip dalam
menetapkan dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan kebudayaan negara iaitu:

2
Lagu-lagu Ronggeng boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu asli, inang dan joget.
3
Analisis dibuat berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis sebagai Jurulatih Seni Budaya ISMMA
4
Dirujuk daripada http://pmr.penerangan.gov.my/page.cfm?name=DasarNegara

2
(i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi
kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta
Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah
merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini
merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak
zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu
yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan
antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-
persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia,
kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai
keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan
asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu
rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam
pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada
Kebudayaan Kebangsaan.

(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan
sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan
penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang
kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab,
Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam
pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini
adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan
prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan
kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan
- Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses
pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.
Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan
usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi
unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan
kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan
nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-
tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan
Kebangsaan 1971.

ISMMA5 pada awalnya ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan nama
Akademi Seni Melaka (ASM) pada tahun 1994. Aktiviti yang dijalankan pada masa itu ialah

5
Untuk lebih lanjut sila rujuk laman web: ismma.melaka.org.my

3
mengurus tadbir Kumpulan Kebudayaan Briged Seni dan menjalankan kursus kemahiran
seni jangka pendek. Bermula 1996 ASM telah menjalankan program Diploma dalam bidang
seni. Pada tahun 1997 nama ASM ditukar kepada Institut Teknologi Seni Malaysia (ITTSM)
dan insitusi ini berperanan mengembangkan program Diploma yang menjurus ke arah
teknologi seni. Bagi merealisasikan pembangunan yang seimbang nama ITTSM telah ditukar
kepada Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) pada tahun 2001 dengan harapan dapat
melahirkan warga seni Melaka yang mempunyai jati diri dalam pelbagai bidang yang
diamalkan dengan penuh disiplin dan kesopanan. Bermula pada tahun 2001 ISMMA yang di
pengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar telah mula memperluaskan
aktiviti-aktiviti seni budaya yang dijalan meliputi, 1) persembahan, 2) latihan amali, 3)
bengkel, 4) seminar, dan 5) penerbitan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Berpandukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971), ISMMA telah mengenalpasti


beberapa kesenian tradisional negeri Melaka yang perlu dipelihara serta dipulihara dan
salah satu daripadanya ialah permainan Joget. Semenjak ditubuhkan, ISMMA telah
memainkan peranan yang aktif dalam memastikan permainan Joget ini tidak dilupakan
melalui proses-proses yang melibatkan individu-individu dan kumpulan-kumpulan tertentu
seperti 1) karyawan tamu, 2) jurulatih seni budaya, dan 3)pelajar-pelajar didikan ISMMA.(
seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1)

Bagi memastikan kesenian Joget di Melaka tidak dilupakan, ISMMA telah melantik
beberapa karyawan tamu yang terdiri daripada pengiat Dondang Sayang, muzik asli dan
permainan Joget di negeri Melaka. Antara tokoh budayawan yang telah diangkat ISMMA
sebagai karyawan tamu ialah En. Baharim Sharif 6 yang lebih dikenali sebagai Pak Baharim
dan En. Mohammad Moh7 (Pak Mat Tabla)

Sebagai karyawan tamu, Pak Baharim sering dijadikan rujukkan oleh para jurulatih
seni budaya di ISMMA di dalam mempelajari seni budaya tradisional negeri Melaka
khususnya Dondang Sayang dan Joget. Selain daripada menjadi pakar rujuk, Pak Baharim
turut menjadi jurulatih violin dan gendang untuk program latihan seni budaya ISMMA.

Pengalaman dan ilmu Pak Baharim di dalam permainan Joget telah dimanfaatkan
oleh jurulatih ISMMA khususnya jurulatih muzik. Melalui tunjuk ajar yang diberikan oleh Pak
Baharim, jurulatih ISMMA telah menyampaikan ilmu beliau kepada para pelajar program
seni budaya ISMMA melalui latihan yang tersusun menggunakan nota muzik. Sejak
penubuhannya ISMMA telah mengambil beberapa jurulatih muzik daripada dalam dan luar
negara iaitu:

6
En. Baharim Sharif, Juara Dondang Sayang Kebangsaan 1985. Beliau telah menjadi karyawan tamu ISMMA
semenjak tahun 2001.
7
En. Mohammad Moh , seorang pemuzik yang pakar dalam permainan alat perkusi melayu dan tabla.
Berpengalam dalam kumpulan Ghazal dan muzik asli Melayu.

4
1) Jurulatih biola - Rita Dewi (Banda Aceh), Yade Suraya (STSI Padang Panjang), Azhar,
Izmer, Baharim Sharif dan Faizal Awang, dan

2) jurulatih orkestra dan gendang – Drs Andranova (STSI Padang Panjang), Muhammad
Takari, Fadlin Djafar (Universitas Sumatera Utara), Zaini Abas, Mohammad Moh, Drs.
Yoesbar Djailani (UiTM) dan En. Mat Sidek.

Gubahan lagu-lagu joget oleh jurulatih-jurulatih ISMMA telah diperindah lagi dengan
gabungan komponen tarian yang dikoreograf oleh jurulatih-jurulatih ISMMA yang
berpengalaman dan pakar dalam bidang tarian iaitu Rezal (Lhoksumawe Aceh), Dr. Nefi
Imran (Universitas Negeri Padang), Tuan Haji Mohd Yasin dan Puan Noriah Ahmad.

Dengan adanya jurulatih-jurulatih yang berpengalaman, ISMMA telah mewujudkan


program latihan seni budaya dengan mengambil para pelajar terpilih daripada sekolah-
sekolah Menengah dan sekolah-sekolah Rendah di sekitar negeri Melaka. Pemilihan para
pelajar dibuat oleh pihak sekolah yang terlibat dan untuk menjayakan program ini ISMMA
telah mewujudkan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka dan pihak sekolah.

Latihan seni budaya yang diberikan oleh ISMMA terbahagi kepada beberapa siri latihan
dan modul. Bermula dengan latihan asas dan disusuli dengan latihan lanjutan program
latihan ini tidak terhad kepada kepada pembelajaran dalam kelas sahaja. Selain daripada
menghadiri kelas muzik dan tarian, pelajar-pelajar ISMMA juga telah didedahkan dengan
persembahan pentas, konsert, seminar-seminar seni budaya dan lawatan (dalam dan luar
negara). Melalui program-program ini para pelajar ISMMA akan mendapat pendedahan luas
dalam bidang seni budaya khususnya permainan joget yang terdapat di rantau nusantara.

Dua langkah yang dilaksanakan oleh ISMMA bagi memastikan warisan budaya seperti
permainan Joget terus kekal iaitu 1) mengaplikasikan Kerangka Model Latihan Seni Budaya
dan 2) notasi lagu-lagu Joget.

3.1 Kerangka Model Latihan Seni Budaya

Menyedari kepentingan untuk mempertahankan kebudayaan tradisional tempatan


seperti permainan Joget, ISMMA telah memainkan peranan dalam melatih generasi muda
mempelajari permainan joget melalui program latihan yang dirangka khas. Program Latihan
Seni Budaya ISMMA disusun secara kemas dan tersusun melibatkan aktiviti-aktiviti seperti
latihan asas, latihan mingguan, latihan lanjutan, persembahan pentas, ujian penilaian dan
konsert seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.

5
Pengambilan para pelajar ISMMA bermula pada awal tahun penggal persekolahan
iaitu bulan Januari dan program latihannya akan berlangsung selama setahun. Para pelajar
sekolah di sekitar negeri Melaka akan dipilih oleh pihak sekolah untuk menyertai program
Latihan Seni Budaya ISMMA dan mereka dikelaskan mengikut jenis kelas yang akan diikuti
samaada 1) violin, 2) tarian, 3) gendang dan rebana dan 4) vokal. Pemilihan ini dibuat
berdasarkan minat dan bakat yang ada pada para pelajar dan pelajar yang dipilih tidak
semestinya memiliki latar belakang muzik mahupun tarian.

Para pelajar yang terpilih akan menghadiri latihan asas yang diadakan secara
berpusat di Perkampungan Seni Budaya Muara Sungai Duyung. Latihan asas ini akan
diadakan pada hujung minggu selama tiga hari bermula hari Jumaat dan berakhir pada hari
Ahad. Dalam latihan asas ini , para pelajar akan didedahkan tentang asas muzik serta alat
muzik yang dimainkan. Selain itu para pelajar juga akan diberi pengenalan mengenai
kesenian tradisional negeri Melaka seperti Dondang Sayang dan permainan Joget.

Setelah tamat latihan asas, para pelajar akan diberi latihan mingguan yang diadakan
setiap minggu di sekolah-sekolah. Jurulatih-jurulatih ISMMA akan ke sekolah-sekolah yang
terlibat untuk melatih para pelajar yang telah menghadiri latihan asas di Perkampungan Seni
Budaya Muara Sungai Duyung. Melalui cara ini kemahiran para pelajar menguasai lapangan
seni budaya yang dipilih samaada muzik, tarian, gendang mahupun vokal akan
dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Pada setiap cuti penggal persekolahan pula para pelajar akan dijemput untuk
menghadiri siri latihan lanjutan di Perkampungan Seni Budaya Muara Sungai Duyung.
Latihan ini akan diadakan selama 3 – 7 hari dan bersifat intensif. Para pelajar akan
disediakan jadual latihan yang dibimbing oleh para jurulatih ISMMA mengikut jadual latihan
yang padat. Diakhir latihan, para pelajar akan diberi ujian penilaian dan diharuskan
membuat persembahan samaada secara solo mahu pun berkumpulan.

Sepanjang program latihan mingguan dan latihan lanjutan berlangsung, para pelajar
ISMMA akan dilibatkan dengan program-program berbentuk seminar, persidangan seni
budaya dan persembahan pentas. Selain itu para pelajar yang terpilih akan berpeluang
mengikuti persembahan ISMMA di dalam dan luar negara khususnya di sekitar rantau
nusantara. Permainan muzik Joget tidak pernah ketinggalan mengisi acara persembahan
sepanjang ISMMA mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.

Kemuncak kepada program latihan seni budaya ISMMA ialah Konsert Orkestra
ISMMA. Konsert ini akan menggabungkan kesemua elemen kesenian tradisional negeri
Melaka termasuk permainan Joget. Antara tetamu yang diundang untuk menghadiri konsert
berkenaan ialah para pemimpin negeri Melaka seperti Tuan Yang Terutama Negeri Melaka,

6
Ketua Menteri, EXCO kerajaan dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan. Turut diundang ialah para
ibubapa dan guru-guru yang banyak memberi sokongan sepanjang program dijalankan.

Para pelajar yang berjaya mengikuti keseluruhan program ISMMA akan diberi sijil
pengiktirafan yang mengiktiraf para pelajar sebagai seniman muda.

3.2 Notasi Lagu-lagu Joget di Melaka

Selain daripada menerapkan latihan permainan Joget di dalam program latihan seni budaya,
ISMMA turut memainkan peranan aktif dalam mendokumentasi lagu-lagu Joget di Melaka
melalui proses notasi (Rajah 2). Antara lagu-lagu yang telah dijadikan skor ialah lagu-lagu
seperti Serampang Laut, Joget Melaka, Joget Jambu Merah dan Dondang Sayang Joget.

Untuk tujuan ini, jurulatih ISMMA khususnya dalam bidang muzik akan mendapatkan
informasi mengenai lagu-lagu Joget tradisional negeri Melaka daripada Karyawan Tamu
ISMMA seperti Pak Baharim dan Pak Mat Tabla. Lagu-lagu yang dimainkan secara live oleh
Pak Baharim dan Pak Mat Tabla akan dirakam dalam bentuk audio mahu pun video.

Daripada rakaman berkenaan, jurulatih ISMMA akan menggubah semula lagu –lagu
joget dalam bentuk samaada gubahan orkestra mahu pun gubahan pancaragam tradisional
dengan menggunaakan aplikasi MIDI8 dan notasi berkomputer. Antara perisian yang
digunakan untuk proses ini ialah Cakewalk, Cubase, Encore dan Finale. Alatan yang
digunakan untuk proses ini ialah komputer, keyboard/midi controller dan digital audio
interface.

Hasil gubahan ialah skor muzik yang akan digunakan untuk program latihan seni
budaya ISMMA. Gubahan yang dibuat mengambil kira 1) keupayaan tahap pelajar ISMMA,
2) kesesuaian rentak masa kini, dan 3) keaslian lagu yang digubah.

8
MIDI : Music Instrument Digital Interface (Antaramuka digital alat muzik).

7
4.0 Penutup

Dalam era globalisasi ini ISMMA secara tidak langsung memainkan peranannya
dalam mempertahankan kesenian negeri Melaka seperti permainan Joget daripada
dilupakan masyarakat. Dengan pendekatan Social Engineering melalui program latihan seni
budaya untuk generasi muda, ISMMA telah pun melahirkan generasi muda yang menghayati
seni budaya sendiri. Diharap generasi muda ini mampu mempertahankan kesenian-kesenian
tradisional negeri Melaka seperti Dondang Sayang, Joget, Nazam, Dabus mahupun Rebana
Keras daripada dilupakan pada masa akan datang.

Usaha ISMMA mendokumentasi lagu-lagu Joget dalam bentuk rakaman audio, video
dan skor adalah sebagai satu langkah permulaan untuk memastikan warisan muzik joget di
Melaka tidak hilang. Langkah ini harus diteruskan dengan lebih giat dan harus
diperkemaskan lagi menggunakan pendekatan-pendekatan baru yang lebih berkesan dan
lebih relevan.

Di akhir kertas kerja ini, penulis ingin membuat beberapa saranan bagi menyokong
dan memperkembangkan usaha-usaha ISMMA dalam memelihara warisan muzik Joget di
Melaka dan Nusantara iaitu:

1. Program Latihan Seni Budaya ISMMA harus diperkembangkan ke peringkat


antarabangsa khususnya rantau nusantara melibatkan kerjasama luar, latihan
bersama, pertukaran ilmu dan kajian bersama.
2. Mendapatkan sokongan bukan sahaja daripada pihak kerajaan , malah pihak swasta.
3. Penggiat seni khususnya kesenian tradisional harus mencari kaedah-kaedah baru
mempopularkan kesenian tradisional seperti joget sebagai contoh menggunakan
pendekatan digital dan ICT.

5.0 Rujukan
1. Anis Md Nor, 2004. “Malay Folk and Social Dances”, The Encyclopedia Of Malaysia,
Archipelago Press, Singapore.
2. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, 1971. Laman web Kementerian Penerangan
Malaysia: http://pmr.penerangan.gov.my/page.cfm?name=DasarNegara
3. Tan Sooi Beng, 2004. “Social Popular Music”, The Encyclopedia Of Malaysia,
Archipelago Press, Singapore.

8
9
10

You might also like