You are on page 1of 9

3.

1 Sejarah Penggubalan Perlembagaan Malaysia by KULANZSALLEH on 24/07/2010

Sejarah Perlembagaan PersekutuanMalaysia dapat dikatakan berasal sejak Tanah Melayu berlindung di bawah naungan kerajaan Inggeris pada akhir abad ke-19. Menjelang tahun 1895, kerajaan Inggeris telah berjaya menguasai negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sejarah perlembagaan moden negeri-negeri Persekutuan boleh dikatakan bermula pada 10 September 1899 apabila mesyuarat pertama Majlis Negeri Perak dirasmikan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Jepun berjaya menawan Tanah Melayu. Apabila Inggeris kembali, mereka telah merancang untuk memperkenalkan Malayan Union yang kemudiannya mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu. Akibat tentangan orang Melayu, Malayan Union kemudiannya telah dimansuhkan dan digantikan dengan perlembagaan baru iaitu Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan yang dibentuk dalam tahun 1948 ini berjalan dengan beberapa pengubahsuaian yang perlu hingga tahun 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu menamatkan kedaulatan dan bidang kuasa Inggeris di Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan 1957 berkuat kuasa sehingga sekarang dengan beberapa pindaan penting. Antara pindaan yang telah dilakukan ialah Akta Malaysia yang diluluskan pada tahun 1963 meminda inter-alia Perkara 1 (1) dan (2) untuk memasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura serta menukarkan nama Persekutuan kepada Malaysia. Kesatuan Tanah Melayu yang lebih dikenali dengan Malayan Union, merupakan satu cubaan kerajaan British untuk menukar taraf negeri-negeri Melayu yang bernaung sebagai tanah jajahan. Kerajaan British ingin menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai tanah jajahannya seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pihak British akan mempunyai kuasa penuh di Tanah Melayu, dan kedaulatan raja-raja Melayu akan terhapus. Rancangan Kesatuan Tanah Melayu (Malayan Union) merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah Malaysia. Pembentukan Malayan Union telah berjaya memarakkan semangat kebangsaan orang Melayu. Malayan Union juga telah menyatupadukan orang Melayu, sekurang-kurangnya buat beberapa ketika. Mereka memulakan gerakan politik anti-British secara terbuka dan merupakan bibit permulaan bagi perjuangan mencapai kemerdekaan serta menggubal undang-undang tertinggi negara yang mengambil kira unsur-unsur tradisi masyarakat di negara ini.

Secara ringkasnya kronologi penggubalan Perlembagaan persekutuan adalah bermula daripada Perlembagaan Malayan Union dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Malayan Union 1946 Maayan Union diwujudkan pada tahun 1946. Idea dan rancangan menubuhkan Kesatuan Tanah Melayu atau Malayan Union sebagai satu bentuk pemerintahan yang baru bagi Tanah Melayu telah mula dikaji dan disusun oleh pihak Inggeris sejak Tanah Melayu mula jatuh ke tangan Jepun pada awal 1942. Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London secara diam-diam, tanpa menghebohkan kepada Raja-raja Melayu dan orang Melayu, telah mengambil keputusan untuk menubuhkan suatu pemerintahan yang bercorak Malayan Union bagi menggantikan Pemerintahan Tentera yang diperkenalkan oleh mereka. Perjumpaan Kongres Melayu Pertama 1946 Pada 11 Mac 1946, satu perjumpaan telah diadakan dengan menggabungkan 41 pertubuhan Melayu bagi membentuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu. Ia bermatlamat untuk menyatupadukan orang Melayu dalam satu badan penyuaraan yang kuat supaya Malayan Union dimansuhkan. Ketika ini Kongres ini belum mempunyaai sebaaang rancangan kemasyarakatan dan ekonomi yang tertentu sebaliknya hanya mahu memulih kembali kedaulatan raja-raja Melayu dan hak-hak orang Melayu sebagai bumiputera. Penubuhan UMNO 1946 Pada 11 Mei 1946, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan hasil perjumpaan yang diadakan oleh Kongres Melayu Pertama. UMNO banyak memainkan peranan dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru hasil daripada beberapa memorandum yang dikemukakan oleh pertubuhan tersebut kepada pihak British. Pada 2 Jun 1946, Malcolm MacDonald dan Sir Edward Gent memberitahu Persidangan Raja-raja bahawa Kerajaan British bersetuju menimbang syor Raja-raja dan Pertubuhaan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan akan menggubal perlembagaan baru untuk Tanah Melayu. Akhirnya pada 25 Julai 1946, Dato Onn Jaafar dan 11 lagi ahli jawatankuasa lain telah dipertanggungjawabkan untuk menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan Malayan Union. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 Jawatankuasa Kerja telah mengkaji syor dan membuat pindaan perlembagaan yang dicadangkan dan Kerajaan British akhirnya menerima perlembagaan tersebut dan dilaksanakan pada 21 Januari 1948 bagi menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan ini dilakukan melalui perjanjian yang dinamakan Perjanjian Persekutuan. Dalam perjanjian tersebut terdapat beberapa perubahan penting yang dilakukan dalam Perlembagaan Persekutuan 1948. Berikutan perjanjian tersebut Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948. Majlis Perundangan Persekutuan ditubuhkan di mana ia mempunyai kuasa membuat undang-undang. Pesuruhjaya Tinggi pula mempunyai kusa veto (pembatal) untuk menghalang rang undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.

Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Ianya dipinda supaya sesuai dengan kehendak Perjanjian Persekutaun 1948. Pilihanraya Pertama Hasil kegiatan politik dan tuntutan daripada pelbagai parti dan kumpulan politik pada penghujung tahun 1940-an dan awal 1950-an telah memaksa kerajaan Inggeris memutuskan untuk mengadakan satu pilihan raya bagi kawasan Perbandaran Kuala Lumpur pada Jun 1955. Pilihanraya pertama diadakan bagi memilih anggota-anggota Majlis Perundangan Persekutuan yang mengandungi 52 anggota yang dipilih, 34 anggota yang dilantik dan 12 pegawai kerajaan, dan seorang Pengerusi dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi dengan persetujuan Raja-raja. Rundingan Kemerdekaan Pada bulan Januari 1956, Tunku Abdul Rahman telah berangkat ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris tentang kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan tersebut terdiri daripada 4 orang wakil parti Perikatan, 4 orang wakil Raja-raja Melayu dan wakil-wakil kerajaan Inggeris di Tanah Melayu. W akil-wakil Perikatan dan Raja-raja Melayu telah mencapai persefahaman sebelum mereka tiba di London. Dalam rundingan yang berlangsung dari 18 Januari hingga 6 Februari 1956, persetujuan telah dicapai iaitu melaksanakan penubuhan segera Persekutuan Tanah Melayu berpemerintahan sendiri dan kemerdekaan yang sepenuhnya. Suruhanjaya Reid Pada bulan Mac 1956, satu Jawatankuasa Perlembagaan telah dibentuk bagi mengkaji dan merangka Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat. Jawatankuasa yang diketuai oleh Lord Reid ini turut dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mckell, En. B. Malik dan En. Abdul Hamid. Suruhanjaya ini berfungsi untuk mengesyorkan satu Perlembagaan Persekutuan berdasarkan demokrasi berparlimen, mengadakan majlis mesyuarat dwi-dewan dan mempunyai Kerajaan Persekutuan yang kuat. Syor Suruhanjaya ini dibuat dengan mengambil kira unsure-unsur tradisi masyarakat Melayu di Tanah Melayu pada masa tersebut. Suruhanjaya ini juga diminta menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak yang sah kaum-kaum lain. Semasa proses merangka rang undang-undang yang dimaksudkan, suruhanjaya ini telah menjalankan tugasnya pada Jun 1956, dan telah menggemukakan laporannya pada Disember 1956. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 118 kali persidangan telah diadakan. Selain itu, suruhanyaya juga telah menerima 131 memorandum yang dikemukakan oleh parti-parti politik, pertubuhan dan orang ramai. Antara 131 memorandum yang bertulis, dua daripadanya telah dikemukakan oleh Raja-raja Melayu dan parti Perikatan. Menggubal Rang Undang-Undang Perlembagaan Pada bulan Februari 1957, Rang Undang-Undang Perlembagaan yang pertama diumumkan tetapi ia telah mendapat banyak tentangan. Justeru satu lagi jawatankuasa yang terdiri daripada 11 orang ahli, iaitu 4 orang wakil Raja-raja Melayu, 4 orang wakil Kerajaan Perikatan, Pesuruhanjaya Tinggi British, Ketua Setiausaha dan Peguan Negara telah dibentuk untuk mengkaji semula perlembagaan tersebut.

Kemerdekaan Tanah Melayu Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diluluskan pada 27 Ogos 1957 dan dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957. Tarikh penguatkuasaannya adalah bersempena pengisytiharan Kemerdekaaan Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan terbentuk hasil toleransi pelbagai kaum di negara ini, terutamanya tiga kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India. Penubuhan Suruhanjaya Cobbold dan Referendum Di Singapura Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan bertujuan untuk meninjau dan mengkaji pendapat orang ramai di Sabah dan Sarawak tentang cadangan pembentukan Malaysia. Suruhanjaya ini telah memulakan tugasnya dalam bulan Februari 1962 hingga pertengahan bulan April tahun yang sama. Sewaktu bertugas di Sabah dan Sarawak, mereka telah berkesempatan untuk berjumpa dengan lebih 4000 orang dan menerima lebih kurang 2000 memorandum dan surat yang dikemukakan oleh persatuan-persatuan politik, agama, kemasyarakatan dan kesatuan-kesatuan sekerja. Menjelang bulan Jun 1962, Suruhanjaya tersebut telah mengeluarkan satu laporan berhubung dengan maklum balas yang dikemukakan penduduk Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Malaysia. Penubuhan Malaysia Pada bulan Julai 1963, satu lagi perjanjian telah ditandatangani di London, di antara kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Mengikut perjanjian ini Parlimen British akan meluluskan satu undang-undang untuk memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak yang masing-masing akan mempunyai perlembagaan baru. Bagi Persekutuan Tanah Melayu, Parlimen Persekutuan akan meluluskan satu undang-undang yang dipanggil Akta Malaysia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Akta Malaysia ini telah diluluskan pada 26 Ogos 1963.

3.2 KONSEP
MAKNA

PERLEMBAGAAN
DAN PERANAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undangundang dasar yang dianggap penting untuk melicinkan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Perlembagaan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat. Perlembagaan juga mengandungi prinsip yang membentuk institusi-institusi negara seperti eksekutif, perundangan dan kehakiman dengan menyatakan kuasa dan peranan setiap institusi tersebut dalam kerangka pemerintahan dan penradbiran sesebuah negara.Perlembagaan digubal untuk menjadi garis panduan tentang corak pemerintahan sistem politik dan pentadbiran sesebuah negara, di samping memberi jaminan perlindungan kepada rakyat. Perlembagaan juga menyatakan tanggungjawab dan kewajipan setiap warganegara terhadap pemerintah dan negara.

KONSEP

KETINGGIAN

PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi di Malaysia dan menjadi tunggak semua undang-undang, sama ada yang sedia ada atau yang bakal digubal. Semua undang-undang yang digubal tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika wujud percanggahan, undang-undang berkenaan dianggap terbatal setakat bahagian yang bercanggah tersebut. Kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi amat penting bagi sesebuah negara yang mengamalkan Sistem Persekutuan seperti Malaysia. Ini memudahkan Kerajaan Persekutuan menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan licin, tanpa terpaksa bersaing dengan pihak-pihak lain terutama kerajaan negeri.Seiring dengan kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, parlimen memperolehi kuasanya daripada perlembagaan. Parlimen mempunyai kuasa yang terhad dan tidak boleh membuat undang-undang untuk perkara-perkara yang terletak di luar bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya. Makhamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang diluluskan oleh parlimen jika undang-undang tersebut berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna makhamah juga tertakluk kepada kehendak Perlembagaan Persekutuan. Walaupun yang Dipertuan Agong menjadi Ketua Negara, baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati tetapi perlu menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Perlembagaan. Oleh itu, tidak ada institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan. Kuasa tertinggi Perlembagaan ini dikenali sebagai ketinggian perlembagaan.

3.3 UNSUR-UNSUR

TRADISI DI DALAM KONTRAK SOSIAL

PENGENALAN

Jata Negara

Kebanyakan Perlembagaan Persekutuan mengandungi amalan yang diwarisi daripada zaman penjajahan, kecuali peruntukan tentang pentadbiran, parlimen dan kewarganegaran.Terdapat fasal-fasal yang diwarisi sejak zaman penjajahan dan masih dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Unsur-unsur tradisi sebenarnya telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu sebelum pembentukan perlembagaan pada tahun 1957. Ia dianggap sebagai satu kontrak sosial yang meliputi 4 aspek termasuklah institusi beraja, agama islam, bahasa melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu. (Mohd Salleh Abas, 1985) Keempat-empat unsur tradisi ini diserap menjadi sebahagian daripada kandungan penting perlembagaan persekutuan. Ia berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957. (Mohamed Suffian Hashim, 1987). Ini menunjukkan betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga dilindungi di bawah Akta Hasutan dan dianggap sebagai isu-isu sensitif yang dilarang daripada dijadikan isu perbincangan awam. Ia juga merupakan satu pra-syarat dan permuafakatan yang telah dipersetujui dan diterima oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Ini bermakna, orang Melayu diberikan hak istimewa, Islam menjadi agama persekutuan dan Bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan sebagai pra-syarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik bukan Melayu. (Mohd Salleh Abbas, 1985).

Pra-syarat ini menunjukkan bahawa pemimpin terdahulu telah menerima satu formula bagi menyelesaikan masalah yang wujud tanpa melibatkan konflik antara etnik di Tanah Melayu pada ketika itu. ----------------------------------------------------------------------------------------------------------KONTRAK SOSIAL

Muafakat Membawa Berkat

Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. (Sumber: Laman Web Tun Mahathir) Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu. Ini bermaksud Unsur-unsur tradisi dalam kontrak sosial telah disepakati semasa menggubal undang-undang persekutuan. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya

Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal. (Mohamed Jauhar Hassan, 1996)

John Locke

Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk Negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di Negara ini. Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik eropah seperti Thomas Hobbes (Leviathan, 1651) dan John Locke (Two Treaties of Goverment, 1690) ialah bahawa manusia mewujudkan Negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat. Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat tertentu antara dua pihak. Ia juga boleh bermaksud dokumen yang mengandungi syaratsyarat perjanjian atau undang-undang yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan yang melibatkan semua masyarakat

disesebuah Negara. Kontrak sosial di Malaysia lebih merujuk kepada permuafakatan dan perkongsian hidup bersama secara aman harmoni antara penduduk dalam masyarakat majmuk di Negara ini. Kontrak atau perjanjian tidak boleh diubah secara satu pihak sahaja. Semua yang terlibat dalam perjanjian itu mesti setuju kepada perubahan dan pindaan. Apatah lagi kontrak sosial itu telah diinstitusikan dengan menyuratkannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

~~~Sekian ~~~

-Sampai setakat ini sahaja dahulu. Artikel akan datang akan membincangkan sedikit di mana rasionalnya unsur-unsur tradisi itu sendiri pada masa kini.-

RUJUKAN

Mohd Salleh Abas, 1985. Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mohd Suffian Hashim, 1987. Mengenal Perlembagaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. Laman web Tun Mahathir. 2008. Dlm, 1 Klik. Kontrak Sosial dari http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/1224-kontrak-sosial.html Mohd Jauhar Hassan, 1996. Keadilan Sosial dan Hubungan Kaum dalam Konteks Masyarakat Yang Berubah. Dlm, Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar. Keadilan Sosial. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar, hal 147-148.

You might also like