You are on page 1of 9

EKM 331

Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam pengajaran dan


pembelajaran (P & P) akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk
melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi
memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini
tidak lagi dibelenggu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-
mata. Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada pelajar melalui pelbagai
aktiviti pembelajaran. Mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam pengajaran
sebagai rempah hidup di bilik darjah akan dapat mewujudkan keseronokan
dalam pembelajaran dan seterusnya keberkesanan pembelajaran kepada pelajar
itu sendiri .
Dalam penulisan ini, pemfokusan akan diberi kepada usaha-usaha yang
boleh dilaksanakan dalam proses P & P di bilik darjah untuk menarik minat
pelajar untuk belajar.
Pemikiran kreatif adalah kebolehan mengambil kira maklumat tanpa
mengasingkan ke dalam kotak-kotak tertentu. Satu kaedah berfikir yang
memaksa kita mengenal pasti kaitan-kaitan baru antara fakta-fakta yang dilihat
yang dapat menerbitkan idea yang menyimpang jauh daripada idea sedia ada
(Pellegrino dan Politis, 1999). Manakala pemikiran inovatif pula adalah kebolehan
mengubah suai kepada benda yang sedia ada untuk menjadi lebih baik dan
berguna iaitu, sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan
lain-lain yang baru (Kamus Dewan, Edisi Ketiga, 1994).
Guru berperanan menyampaikan pengajaran kepada muridnya. Sejauh
mana tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara
penyampaian guru itu sendiri . Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja
luas dalam ilmu pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah
dan teknik pengajaran yang berkesan .
Antara kaedah dan teknik pengajaran bahasa Melayu yang dikenal pasti
sesuai untuk menarik minat pelajar ialah penggunaan keratan akhbar dalam
pengajaran, kerja kumpulan membina soalan, kaedah hafalan sifir bahasa,
aktiviti minda kreatif dan bimbingan khusus pelajar lemah.

Penggunaan Keratan Akhbar dalam Pengajaran
Satu daripada kaedah yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah melalui
penggunaan bahan bantu mengajar. Penggunaaannya bertujuan menarik
perhatian pelajar supaya meminati pelajaran yang diajarkan. Hal itu dikatakan
demikian kerana pengajaran secara langsung yang berterusan akan
membosankan pelajar dan mampu menghilangkan semangat untuk belajar.

Rasional penggunaan keratan akhbar sebagai bahan bantu mengajar
disandarkan kepada pendapat seorang pakar pendidikan, Edgar Dale (1978)
yang menggariskan tujuh kepentingan penggunaan BBM:
i. merangsang minat yang tinggi dalam kalangan pelajar.
ii. menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman serta corak
pemikiran dan oleh itu mengurangkan pelbagai gerak lisan daripada pelajar.
iii. membekalkan satu dasar untuk perkembangan pemelajaran pelajar dan oleh
itu menjadikan pelajaran mereka lebih kekal.
iv. menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperoleh dengan mudahnya
melalui cara-cara lain.
v. Menolong pelajar dalam kefahaman dan oleh itu mempercepat
perkembangan perbendaharaan kata.
vi. menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian
merangsangkan kegiatan seorang pelajar.
vii. mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikian menambahkan
bacaan sukarela.

Berdasarkan hal yang diperkatakan oleh Dale, nyatalah bahawa bahan
bantu mengajar berupaya menanam minat dan mengembangkan kreativiti pelajar.
Selain itu, bahan bantu mengajar dapat juga memberikan keseronokan kepada
pelajar kerana dengan penggunaannya, pelajar akan mengalami situasi
yang terkeluar daripada suasana pemelajaran biasa dan seterusnya dapat
menghindarkan mereka daripada berasa bosan untuk belajar.

Penggunaan keratan akhbar boleh dijalankan dengan membuat perancangan
pada awal tahun lagi. Setiap pelajar akan diberi tugas secara bergilir-gilir untuk
membuat keratan akhbar, berupa keratan rencana pengarang akhbar. Tarikh
giliran itu ditetapkan oleh guru untuk satu tahun iaitu, satu sesi pengajian.
Keratan akhbar tersebut akan ditampal pada setiap hari di dalam buku khas yang
akan disimpan oleh setiausaha kelas.



Keratan rencana pengarang akhbar dapat memberikan sumbangan yang
besar kepada pelajar dalam aspek pengucapan lisan, terutama pelajar
tingkatan 3 untuk ujian Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Aktiviti
tersebut dapat dijadikan sebagai latihan sebelum mereka diuji untuk PLBS.

Untuk aktiviti lisan, guru hendaklah memastikan setiap pelajar sentiasa
bersedia dengan keratan rencana pengarang akhbar masing-masing. Pada
setiap hari, iaitu pada sepuluh minit pertama masa pengajaran, guru akan

meminta pelajar tampil ke hadapan bagi memperkatakan topik atau fakta yang
terkandung dalam keratan rencana pengarang akhbar yang dibacanya. Fakta
tersebut hendaklah diucapkan secara lisan tanpa merujuk keratan tersebut.

Dengan cara itu, pelajar dapat dilatih menggunakan kreativiti sendiri
untuk berucap di khalayak atau pengucapan awam yang juga dapat menolong
pelajar dalam ujian lisan. Selain itu, cara ini juga dapat melahirkan pelajar yang
petah bercakap.

Keratan rencana pengarang akhbar juga dapat membantu pelajar dalam
penulisan karangan. Melaluinya, guru
hendaklah meminta pelajar menyenaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam
keratan tersebut di dalam buku latihan sebelum ditampal di dalam buku khas
yang disediakan. Semasa pelajar membentangkan keratan rencana pengarang
akhbar di kelas, pelajar yang lain hendaklah membuat catatan di dalam buku
latihan. Kaedah tersebut tentunya menjimatkan masa kerana dalam setahun,
setiap pelajar hanya dikehendaki membuat tujuh hingga lapan keratan sahaja.
Hasil daripada perkongsian antara pelajar, mereka berjaya mengumpul semua
tajuk keratan rencana pengarang akhbar untuk setahun (365 buah keratan
akhbar).

Sepanjang sesi pengajian berlangsung, guru akan memilih tajuk yang
tertentu daripada keratan rencana pengarang akhbar yang dikira penting untuk
perbincangan di kelas bagi aktiviti penulisan karangan. Aktiviti tersebut akan
memberikan keseronokan kepada pelajar kerana mereka dapat berkongsi bahan
dan idea, serta dapat berbincang bersama-sama.


Kerja Kumpulan Membina Soalan
Kerja kumpulan membina soalan boleh dipraktikkan dalam
pembelajaran komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
(KOMSAS). Aktiviti ini memerlukan kreativiti dan mencabar minda pelajar.
Untuk aktiviti ini para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap
kumpulan akan dibekalkan sebuah karya sastera yang terdapat dalam teks
KOMSAS. Setiap anggota dalam kumpulan akan menyumbangkan idea untuk
membina soalan dan menyediakan jawapan bagi setiap soalan yang dibina.
Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk memastikan pelajar-pelajar
membaca karya berkenaan dengan teliti. Hal ini kerana untuk membina soalan
memerlukan `penggubal soalan itu benar-benar memahami jalan cerita dan
setiap aspek sastera yang terkandung di dalamnya. Soalan yang akan dibina
pula sudah tentulah aspek yang penting yang terkandung dalam karya sastera
berkenaan, yakni soalan yang mencabar minda.

Menelaah teks komsas untuk aktiviti membina soalan
Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal pasti
bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan.
Pengalaman di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil
daripada perbincangan dalam kumpulan.

Selepas aktiviti membina soalan dijalankan, sesi kuiz pula diadakan. Guru akan
mengumpul soalan-soalan yang dibina oleh pelajar dan memilih soalan-soalan
yang sesuai untuk dijadikan soalan kuiz dengan sedikit pengubahsuaian. Selain
dapat mencungkil kreativiti pelajar melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar-pelajar
juga akan berasa bangga apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih.
Manakala bagi mereka yang soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada
sesi pembelajaran lain supaya soalan yang dibina akan terpilih. Suasana
pembelajaran seperti ini akan mewujudkan iklim pembelajaran yang sihat kerana
masing-masing pelajar bersaing antara satu sama lain membina soalan yang
berkualiti untuk dipilih sebagai soalan kuiz.


Kaedah Hafalan Sifir Bahasa
Dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu, khususnya dalam tatabahasa yang rata-ratanya pelajar lemah
dalam aspek ini, kaedah hafalan boleh diperkenalkan.
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana hafalan sifir dalam matematik,
mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam bahasa. Hal ini demikian
kerana terdapat banyak pelajar yang tidak mampu menggunakan kata dengan
tepat. Dalam penulisan, penggunaan kata sendi nama dan kata hubung banyak
digunakan. Maka, pelajar mesti cekap dalam kedua-dua penggunaan kata itu
bagi menghasilkan penulisan yang baik, terutamanya dari segi penggunaan kata
dalam ayat. Kata sendi dan kata hubung biasa sangat digunakan dalam
penulisan sebagai perangkai kata atau penanda wacana. Perangkai kata
digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, ayat dengan
ayat dan perenggan dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak menguasai
perangkai-perangkai kata itu, sukar untuk mereka menggunakannya dalam
penulisan.
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan kata yang terdapat dalam
sukatan pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, tetapi kerap
kali pelajar lupa akan fungsi kata bagi setiap kata atau bertukar antara satu sama
lain. Contohnya, antara sendi nama dari dan daripada. Berdasarkan pengalaman
penulis, diperhatikan bahawa pelajar kerap bertukar antara kedua-duanyanya.
Contohnya;
1) *Ahmad menerima surat dari kawannya.
2) *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.

Kedua-dua perkataan sendi nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1)
sepatutnya menggunakan kata sendi daripada manakala bagi ayat (2), kata
sendi yang betul ialah dari. Hal itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana
mereka tidak benar-benar faham akan fungsi atau penggunaan kata sendi
berkenaan. Kata sendi dari hanya boleh digunakan untuk arah datangnya
sesuatu dan untuk menyatakan permulaan masa. Kata sendi daripada pula
digunakan untuk hal-hal lain, seperti orang, perbandingan, asal kejadian, benda
abstrak dan untuk menunjukkan keanggotaan.

Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku inilah memerlukan suatu
perkaedahan dalam pengajaran dijalankan di dalam bilik darjah, salah satunya
melalui aktiviti sifir bahasa.

Operasi Aktiviti Sifir Bahasa

1) Kaedah hafalan atau Sifir Bahasa ini digunakan
untuk mengajarkan kesemua jenis golongan kata.
2) Fokus diberikan kepada kata sendi nama dan kata hubung terlebih
dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap digunakan dalam penulisan sebagai
penanda wacana atau perangkai kata. Kemudian diikuti dengan golongan kata
yang lain pula.
3) Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata hubung berserta
dengan fungsi atau cara penggunaannya untuk dihafal di rumah.
4) Semasa di bilik darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan
hingga 10 minit pertama sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir
bahasa. Guru akan meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan
soalan terbuka menanyakan fungsi kata sendi nama atau kata hubung.
5) Pelajar yang tidak berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu
membuat kerja rumah. Pelajar dikehendaki merujuk kepada lima kata
sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan fungsi setiap kata tersebut.
6) Pada hari-hari yang berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini
di bilik darjah hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama
dan kata hubung.
7) Pada hari-hari seterusnya aktiviti golongan kata yang lain pula dijadikan
sebagai aktiviti seperti sebelumnya.
8) Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Setelah kesemua
golongan
kata telah dijalankan, guru akan membuat ulangan untuk memantapkan lagi
ingatan dan kefahaman pelajar.

Kaedah ini sangat berfaedah kepada pelajar. Suasana yang menyeronok
di bilik darjah dengan sedikit `tekanan (denda) dapat membantu pelajar
menguasai tatabahasa, terutama golongan kata. Dengan menggunakan sifir
bahasa pelajar akan bersedia sebelum memulakan sesi pembelajaran. Lebih
daripada itu, aktiviti ini akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan
pelajar. Mereka akan membuat hafalan sebagaimana mereka menghafal sifir
(kalian) untuk matematik.


Aktiviti Minda Kreatif

Kreativiti pelajar dapat dicungkil seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang
boleh merangsang minda pelajar. Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran
secara biasa tidak mampu menajamkan kreativiti pelajar.

Pelajar yang dikategorikan sebagai remaja merupakan golongan yang
mempunyai tingkat sensitiviti yang tinggi. Sensitiviti yang ada pada para remaja
membolehkan mereka mengungkapkan kata-kata yang menghasilkan pelahiran
perasaan dan membangkitkan rasa keindahan
bahasa. Kalangan pelajar atau
remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 15 tahun berupaya merumuskan kata
yang berkesan sehingga terbentuk satu rangkai kata yang boleh memberikan
maksud dan kesan mendalam berupa kata-kata hikmat. Rasional aktiviti ini
dijalankan adalah untuk penulisan karangan kerana markah bonus ada
diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang mampu memasukkan kata hikmat
dalam penulisan karangan.

Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam bilik darjah. Para pelajar diminta secara
spontan menghasilkan ungkapan penarik atau kata-kata hikmat secara spontan
dalam sesi pembelajaran. Pelajar-pelajar diberikan masa selama lebih kurang 25
minit untuk berfikir dan mengungkapkan kata. Pengalaman penulis mendapati
hasilnya sangat mengagumkan apabila majoriti pelajar dapat menghasilkan kata-
kata hikmat sendiri. Diperturunkan beberapa contoh kata hikmat yang dihasilkan
oleh pelajar.


i. Jadikan hari ini sebagai permulaan
dan hari esok sebagai penentuan hidup
anda.


ii. Orang yang berjaya dengan cemerlang
dalam hidupnya ialah orang yang tidak
pernah memikirkan tentang kegagalan.

iii. Setitis air tidak boleh menjadi selautan
air, tetapi sedikit ilmu boleh menjadi
selautan ilmu.

iv. Latihan berterusan telusnya kemahiran.

v. Setiap langkah adalah permulaan yang
akan menyelesaikan permasalahan.

vi. Menyeru manusia kepada kebaikan adalah
sukar berbanding mengajak manusia ke
arah keburukan.

vii. Pengalaman lalu tidak boleh dijadikan
pengalaman yang abadi untuk dicontohi.

viii. Semalam merupakan kenangan manakala
hari esok merupakan harapan dan pastikan
harapan itu akan menjadi kenyataan.


Aktiviti ini menjelaskan bahawa, pelajar peringkat sekolah pun mampu
berfalsafah jika mereka diberi peluang. Pembaharuan dalam P & P dapat
menggalakkan pelajar untuk menulis kata-kata hikmatnya sendiri yang sudah
tentulah akan dapat membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam
kalangan pelajar.


Bimbingan Khusus Pelajar Lemah

Guru juga tidak seharusnya melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas
yang diajar. Mereka tidak boleh diabaikan dan usaha hendaklah diambil
menangani kelemahan pelajar. Untuk aspek penulisan umpamanya, guru boleh
meminta pelajar menulis karangan dengan bimbingan guru. Misalnya, dalam
penulisan ringkasan karangan, guru boleh membimbing pelajar menulis
ringkasan karangan dengan cara menulis karangan yang tidak lengkap pada
papan kapur. Dua kaedah boleh dijalankan oleh guru seperti di bawah.

1) Mengosongkan bahagian isi dalam karangan
yang perlu dilengkapkan oleh pelajar.

2) Mengosongkan bahagian pangkal ayat untuk
pelajar memasukkan penanda wacana yang
sesuai dalam ayat.

Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh pelajar tanpa jemu-jemu oleh
guru. Pengalaman penulis dalam pengajaran kaedah ini sangat menakjubkan
apabila didapati pelajar mampu menulis karangan dengan baik setelah menjalani
latihan buat beberapa ketika.

Kesimpulan
Kepelbagaian perkaedahan dalam mengajar adalah penting. Kaedah-
kaedah yang telah diutarakan semuanya adalah berpusat kepada pelajar dan
guru sebagai fasilitator, yang lebih menjurus kepada pembudayaan pemikiran
pelajar yang kreatif dan inovatif.
Para pelajar akan seronok belajar apabila guru menggunakan pelbagai
pendekatan dalam pengajaran. Keseronokan dalam menjalankan
aktiviti akan menyebabkan mereka minat untuk belajar dan guru dapat
menerapkan input-input berkaitan dengan kreativiti dan inovasi dalam P &
P, supaya nanti institusi sekolah bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang
bukan sahaja cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi seorang pelajar
yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan dalam usaha membangun
modal insan minda kelas pertama sejajar dengan teras kedua yang terdapat
dalam PIPP. Seterusnya, memenuhi keperluan Wawasan 2020 untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara yang maju.


Bibliografi

Edgar Dale 1978. The Good Mind : Phi Delta Kappa Educational
Foundation.

Izani Hj Daud 2010. Belajar Bahasa dengan Keratan Akhbar. dlm.
Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 05: 5 Mei. hlm. 24-25.

__________ 2009. Sifir Bahasa. dlm. Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 04:
4 April, hlm. 38-39.

Kamus Dewan 1994(Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Pellegrino,Richard & Politis,Michael 1999. Improving Your IQ..New York :
A Simon & Schuster Macmillan Company.

























Rujukan
AKHBAR DALAM DARJAH. Dirujuk pada 17 Jun 2014, dari http://salbiahsaldagmail-
salbiah.blogspot.com/

You might also like