You are on page 1of 14

KESAN MODEL STAD TERHADAP SIKAP DAN KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI

PELAJAR DALAM MATA PELAJARAN SEJARAH



Azwani bin Ismail
Bahagian Sumber Manusia MARA
azwaniha@yahoo.com

Prof. Madya Dr .Datin Zahara Aziz
Universiti Kebangsaan Malaysia

Dr. Sharifah Nor Puteh
Universiti Kebangsaan Malaysia

Prof. Madya Dato Abdul Razaq Ahmad
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan Pembelajaran Koperatif
model Student Team Achievement Division (STAD) terhadap sikap dan
kemahiran berkomunikasi pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah. Reka
bentuk kajian ini ialah kuasi-eksperimen dengan reka bentuk ujian pra-
pasca kumpulan-kumpulan tidak serupa, (Pre Test-Post Test, Non-
equivalent Control Group Design). Sampel kajian ialah pelajar-pelajar
Tingkatan 2 daripada sebuah sekolah di Selangor iaitu seramai 158 orang.
Bagi Kumpulan Rawatan adalah seramai 78 orang pelajar manakala
Kumpulan Kawalan seramai 80 orang. Kajian ini menggunakan pendekatan
kuantitatif dan disokong oleh data kualitatif. Dua kaedah digunakan dalam
pemilihan sampel iaitu pensampelan bertujuan (purposive sampling) bagi
memilih sekolah dan pensampelan rawak mudah (simple random sampling)
bagi memilih kelas untuk membentuk kumpulan. Alat kajian yang digunakan
adalah soal selidik pelajar (ujian pra-pasca), pemerhatian dan temu bual
atas pelajar. Kajian ini dijalankan selama 14 minggu. Dapatan kajian
menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan antara kumpulan bagi
ujian pasca bagi sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah t(133) = -
2.40, p = 0.02. Terdapat perbezaan min yang signifikan antara kumpulan
bagi ujian pasca bagi kemahiran berkomunikasi pelajar dalam mata
pelajaran Sejarah t(156) = -2.47, p = 0.02. Hasil kajian ini telah menjawab
persoalan kajian bahawa kaedah Pembelajaran Koperatif model STAD
berkesan menerapkan sikap yang positif dan kemahiran berkomunikasi
yang berkesan dalam mata pelajaran Sejarah. Berdasarkan analisis temu
bual dengan pelajar dari pelbagai bangsa, jelas menunjukkan para pelajar
menunjukkan perkembangan yang positif setelah menggunakan model
STAD.

Kata kunci: pembelajaran koperatif model STAD, kaedah kuasi-
eksperimen, sikap, kemahiran berkomunikasi.
PENDAHULUAN

Sejarah ialah mata pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
yang wajib dipelajari oleh semua pelajar secara berterusan selama lima tahun. Penyemakan
kurikulum Sejarah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) (2000) bertujuan
memantapkan Akta Pendidikan 1996, memenuhi semangat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) dan menyediakan warganegara Malaysia untuk menghadapi cabaran
pendidikan pada abad ke-21. Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sejarah
seharusnya menjadi sesuatu yang hidup dan boleh menarik minat pelajar. menurut Anuar
Ahmad, Siti Haishah Abd Rahman & Nur Atiqah T. Abdullah. (2009).

Dua prinsip utama yang ditekankan dalam model STAD adalah persandaran positif dan
tanggungjawab individu. Idea utama di sebalik penggunaan model STAD adalah untuk
memberi motivasi kepada pelajar supaya memberi galakan dan bantuan kepada rakan-
rakannya (Effandi 2005). Slavin (2000) menjelaskan bahawa terdapat dua komponen
penting dalam semua kaedah pembelajaran koperatif iaitu struktur insentif koperatif (pelajar
diberi ganjaran berdasarkan pencapaian kumpulan) dan struktur tugasan koperatif (pelajar
menyelesaikan tugasan secara berkumpulan).

Slavin (2006) juga menyatakan kaedah pengajaran yang berpusatkan pelajar yang menarik
akan menyebabkan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas akan lebih menyeronokkan,
malah mengikut Carr (2007) pelajar hendaklah didedahkan dengan pembelajaran yang
berbentuk kumpulan kerana ini akan membantu pelajar untuk belajar membuat keputusan
sendiri. Pembelajaran yang efektif ini akan melahirkan pelajar yang celik sejarah, bersikap
positif, mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi sesama rakan, daya pemikiran dan
seterusnya boleh mengambil iktibar daripada pengalaman sejarah.

PERNYATAAN MASALAH

Kebanyakan pelajar mempunyai tanggapan awal bahawa mata pelajaran Sejarah ialah mata
pelajaran yang membosankan. Tanggapan awal ini akan menyebabkan pelajar kurang
tumpuan dan kurang bermotivasi untuk mempelajari Sejarah. Menurut Abdul Razak dan Ali
(2000) dan Anuar Ahmad, Siti Haishah Abd Rahman & Nur Atiqah T. Abdullah. (2009), mata
pelajaran Sejarah kurang diminati pelajar dan membosankan. Kajian oleh Abdul Razak dan
Abdullah (2000) terhadap 240 pelajar di daerah Petaling Jaya dan Kuala Selangor
mendapati pelajar-pelajar menganggap mata pelajaran Sejarah sebagai subjek sampingan
yang tidak mendatangkan faedah. Tanggapan ini dikaitkan dengan mata pelajaran Sejarah
yang tidak memberikan jaminan pekerjaan dan tidak mempunyai nilai komersial
(Sivachanlingam et al. 2008). Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah adalah
berbeza dengan mata pelajaran lain. Dalam pendidikan mata pelajaran Sejarah, pelajar
tidak sahaja diajar mendapatkan maklumat atau pengajaran dari peristiwa sejarah, malah
apa yang lebih penting adalah untuk membentuk pelajar yang faham makna sejarah dan
seterusnya dapat merealisasikan dalam kehidupan seharian dan merancang kehidupan
akan datang (Sivachanlingam et al. 2008).

Keberkesanan pengajaran Sejarah bergantung kepada perancangan dan kualiti guru
sejarah. Guru sejarah yang baik menunjukkan kebolehan dan keupayaan dari segi kualiti
diri, sosial dan profesional menurut Zahara Aziz (2000). Kelemahan dari segi pengajaran
masih menjadi isu utama yang berkaitan dengan pencapaian pelajar dalam peperiksaan
SPM. Corak pengajaran Sejarah di sekolah masih bersifat konvensional dan membosankan
pelajar. Berasaskan kajian Mohamad Sultan (2000) di sebuah sekolah di daerah Sabak
Bernam, menunjukkan pengajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah berkenaan kurang
berkualiti.

Malah mengikut Hariyono (1995) guru Sejarah jarang memerhatikan sama ada maklumat
tersebut dapat membangkitkan minat atau semangat yang boleh membentuk pelajar yang
faham sejarah. Kenyataan ini telah disokong oleh Khoo Kay Kim (2008) yang menyatakan
pembelajaran mata pelajaran Sejarah lazimnya dijalankan dalam bentuk hafalan. Pelajar
difokuskan dengan menitikberatkan dari aspek mengingati tarikh, fakta-fakta serta
pergolakan dunia yang telah terjadi beribu-ribu tahun yang lampau. Ini akan menyebabkan
mereka mempunyai perspektif yang sempit tentang proses perkembangan masyarakat dan
negara, malah tidak memberi mereka peluang untuk berkomunikasi secara berkesan.

Oleh itu, ramai pelajar mendapati pelajaran Sejarah sangat menjemukan dan tidak
merangsang pelajar untuk berfikir dan berkeyakinan dalam memberi pendapat. Khoo Kay
Kim (2008). Menurut Zahara Aziz (2000) sekiranya guru mementingkan pengajaran yang
memberi latihan kepada pelajar untuk berfikir, maka apabila pelajar meninggalkan alam
persekolahan dan menjejak ke alam baharu, mereka akan berasa lebih yakin kerana
berkebolehan dan berinisiatif dalam menyelesaikan masalah dan berfikiran dengan kritis dan
kreatif. Tanggapan negatif pelajar ini boleh dilenyapkan jika guru berfikiran kreatif dan
inovatif, yang dapat melaksanakan proses pengajaran dengan berkesan berserta dapat
memberi peluang kepada pelajar untuk lebih berinteraksi sesama pelajar dan menimbulkan
keseronokan di dalam kelas.

OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenal pasti tahap sikap dan kemahiran berkomunikasi pelajar dalam mata pelajaran
Sejarah antara pelajar yang menggunakan Pembelajaran Koperatif model STAD dengan
pelajar dalam kumpulan kawalan.
2. Mengenal pasti perbezaan sikap dan kemahiran berkomunikasi pelajar dalam mata
pelajaran Sejarah antara pelajar yang menggunakan Pembelajaran Koperatif model
STAD dengan pelajar dalam kumpulan kawalan.





METODOLOGI

Fokus utama kajian ini adalah untuk menentukan kesan pengajaran menggunakan kaedah
Pembelajaran Koperatif model STAD atas sikap pelajar dan kemahiran berkomunikasi
pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan
Pembelajaran Koperatif model Student Team Achievement Division (STAD). Pembelajaran
Koperatif model STAD menggunakan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar dan
pelajar belajar dalam kumpulan yang berstruktur. Pelajar-pelajar ditugaskan untuk bekerja
dalam satu kumpulan kecil yang terdiri daripada 4 hingga 5 orang pelajar, terdiri daripada
lelaki dan perempuan, pelbagai bangsa dan pelbagai pencapaian akademik. Setelah guru
menyampaikan bahan pelajaran, para pelajar akan berbincang dan bekerjasama dalam
kumpulan masing-masing serta memastikan semua anggota kumpulan akan menguasai
pelajaran itu. Setelah menjalani sesuatu aktiviti setiap anggota kumpulan akan menduduki
ujian secara individu. Markah yang diperoleh oleh setiap ahli kumpulan dicampur untuk
memperoleh markah kumpulan. Kumpulan yang terbaik akan diberikan ganjaran seperti
hadiah yang akan diberikan kepada setiap ahli kumpulan. Oleh itu untuk mendapat markah
yang baik, setiap ahli kumpulan mesti membantu ahli-ahli kumpulannya.

HIPOTESIS KAJIAN

Ho 1: Tidak terdapat perbezaan min yang signifikan untuk sikap pelajar terhadap mata
pelajaran Sejarah antara pelajar yang menggunakan Pembelajaran Koperatif model
STAD dengan pelajar dalam kumpulan kawalan.
Ho 2:Tidak terdapat perbezaan min yang signifikan untuk kemahiran berkomunikasi pelajar
dalam mata pelajaran Sejarah antara pelajar yang menggunakan Pembelajaran
Koperatif model STAD dengan pelajar dalam kumpulan kawalan.

REKA BENTUK KAJIAN

Reka bentuk kajian ini ialah menggunakan kaedah kuasi-eksperimen dengan reka bentuk
ujian prapasca kumpulan-kumpulan tidak serupa (Pre Test-Post Test, Non-equivalent
Control Group Design). Reka bentuk ini dipilih kerana kajian ini menggunakan kelas-kelas
yang sedia ada, iaitu subjek kajian bagi Kumpulan Eksperimen dan Kawalan tidak boleh
dipilih secara rawak kerana terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah (Chua 2006; Lim 2007; Wierma 2000; Johnson & Christensen 2000). Dalam reka
bentuk ini, pengkaji menggunakan pasangan kumpulan responden yang mempunyai ciri-ciri
yang hampir sama iaitu responden dari Kumpulan Eksperimen dan Kumpulan Kawalan.

Selain daripada itu, kaedah kualitatif yang menggunakan temu bual dan pemerhatian juga
digunakan sebagai sokongan kepada hasil kajian yang diperoleh daripada analisis
kuantitatif. Malah mengikut Marohaini (2001) penggunaan teknik temu bual juga
membolehkan penyelidik mengumpul pendapat, pemikiran dan pandangan dalam bentuk
pernyataan langsung daripada peserta kajian sendiri. Kajian kualitatif dijalankan untuk
mendapatkan kefahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang ingin dikaji
kerana banyak perkara tidak dapat dijelaskan hanya merujuk kepada data numerika dalam
penyelidikan kuantitatif sahaja (Marohaini 2001, Chua 2006). Selain itu, kajian kualitatif juga
dijalankan untuk mendapat maklumat terperinci berkaitan sesuatu perkara yang dikaji (Chua
2006).

Rajah 3.1: Reka Bentuk Ujian Pra dan Pasca Kumpulan Rawatan dan Kawalan
Ujian Pra Kaedah Ujian Pasca
Kumpulan rawatan A1 X1 A2
-----------------------------------------------
Kumpulan kawalan A3 X2 A4

Dalam reka bentuk ini, A1 dan A3 adalah merupakan pelaksanaan ujian pra. A2 dan A4
adalah pelaksanaan ujian pasca. Manakala X1 dan X2 adalah kaedah pembelajaran yang
diberikan ke atas Kumpulan Eksperimen dan Kawalan. Ujian pra dijalankan untuk melihat
kesetaraan antara kumpulan, kerana kedua-dua kumpulan pelajar tidak dipilih secara rawak
dan juga bertujuan untuk digunakan sebagai pengawalan secara statistik. Ujian pasca akan
dijalankan setelah kedua-dua kumpulan selesai mengikuti kaedah pengajaran iaitu bagi
Kumpulan Rawatan, pelajar akan didedahkan dengan Pembelajaran Koperatif model STAD
dan Kumpulan Kawalan menggunakan kaedah Pembelajaran Konvensional. Kedua-dua
kumpulan menerima bahan pengajaran yang sama dan jumlah masa pengajaran juga sama.

SAMPEL KAJIAN

Sampel kajian adalah seramai 158 orang, Kumpulan Rawatan adalah seramai 78 orang
pelajar manakala Kumpulan Kawalan seramai 80 orang. Daripada 158 orang pelajar
tersebut, untuk Kumpulan Kawalan seramai 30 orang (18.99%) adalah pelajar Melayu, 25
orang (15.82%) pelajar Cina dan 25 orang (15.82%) adalah pelajar India. Manakala untuk
Kumpulan Rawatan seramai 30 orang (18.99%) adalah pelajar Melayu, 25 orang (15.82%)
pelajar Cina dan 23 orang (14.56%) ialah pelajar India.

DAPATAN KAJIAN

Salah satu andaian untuk kaedah kajian Kuasi Eksperimen ialah kumpulan-kumpulan yang
terlibat dalam kajian adalah setara atau homogen pada peringkat awal kajian. Untuk
memastikan andaian ini dipatuhi analisis statistik inferensi bagi ujian pra dilakukan. Pada
ujian pra andaian adalah tidak terdapat perbezaan min yang signifikan antara kumpulan-
kumpulan yang terlibat dalam kajian. Bagi menguji kehomogenan antara Kumpulan Kawalan
dan Rawatan, Ujian-T digunakan.

Keputusan Ujian-T ke atas kedua-dua pemboleh-pemboleh ubah bersandar kajian
menunjukkan tiada perbezaan min yang signifikan antara Kumpulan Kawalan dan Rawatan
bagi ujian pra untuk pemboleh ubah sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah t(156) = -
0.25, p = 0.80. Tiada perbezaan min yang signifikan antara Kumpulan Kawalan dan
Rawatan bagi ujian pra untuk pemboleh ubah kemahiran berkomunikasi dalam mata
pelajaran Sejarah t(156) = 0.11, p = 0.91.

Jadual 1: Min, Sisihan Piawai dan Tahap bagi Pemboleh-pemboleh ubah Kajian Untuk
Kumpulan Kawalan dan Rawatan Bagi Ujian Pasca
Pemboleh ubah Bersandar Kumpulan Min
Sisihan
Piawai
Tahap
Sikap Terhadap Mata pelajaran
Sejarah
Kawalan 3.62 1.42 Sederhana
Rawatan 3.93 1.20 Sederhana
Kemahiran Berkomunikasi Dalam
Mata pelajaran Sejarah
Kawalan 3.77 1.26 Sederhana
Rawatan 4.03 1.16 Tinggi

Jadual 1 memaparkan secara keseluruhan tahap bagi pemboleh-pemboleh ubah kajian
untuk Kumpulan Kawalan dan Rawatan bagi ujian pasca, secara keseluruhannya dapatlah
disimpulkan, kemahiran berkomunikasi dalam mata pelajaran Sejarah bagi Kumpulan
Rawatan berada di tahap tinggi manakala bagi pemboleh ubah sikap terhadap mata
pelajaran Sejarah berada pada tahap sederhana. Manakala bagi Kumpulan Kawalan pula,
sikap terhadap mata pelajaran Sejarah dan kemahiran berkomunikasi pelajar dalam mata
pelajaran Sejarah berada pada tahap sederhana.

Jadual 2: Keputusan Ujian-T Bagi Ujian Pasca
Pemboleh ubah
Bersandar
df t P Keputusan Hipotesis Rumusan
Sikap Terhadap
Mata pelajaran
Sejarah
132.59 -2.40 0.02 Terdapat perbezaan
min yang signifikan
Ho 1 Hipotesis
ditolak
Kemahiran
Berkomunikasi
156.00 -2.47 0.02 Terdapat perbezaan
min yang signifikan
Ho 2 Hipotesis
ditolak

Jadual 2 menunjukkan keputusan Ujian-T ke atas pemboleh-pemboleh ubah bersandar
sikap pelajar dan kemahiran berkomunikasi dalam mata pelajaran Sejarah untuk Kumpulan
Kawalan dan Rawatan bagi ujian pasca. Terdapat perbezaan min yang signifikan antara
kedua-dua kumpulan bagi ujian pasca untuk sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah
t(133) = -2.40, p = 0.02, dengan ini Ho 1 ditolak. Terdapat perbezaan min yang signifikan
antara kedua-dua kumpulan bagi ujian pasca untuk kemahiran berkomunikasi dalam mata
pelajaran Sejarah t(156) = -2.47, p = 0.02, dengan ini Ho 2 ditolak



Jadual 3: Nilai Min Pemboleh ubah Bersandar Kajian dan Saiz Kesan bagi Ujian Pasca
Kawalan (N =80) Eksperimen (N=78)
Saiz
Kesan
Cohen's d
Pemboleh ubah Bersandar Min Sisihan
Piawai
Min Sisihan
Piawai
Sikap Terhadap Mata pelajaran
Sejarah
39.83 10.93 43.28 6.79 0.38
Kemahiran Berkomunikasi
Dalam Mata pelajaran Sejarah
33.90 6.59 36.31 5.69 0.40

Jadual 3 menunjukkan nilai saiz kesan mengikut kaedah Cohen (Cohens d) dilaporkan bagi
setiap pemboleh ubah (Cohen 1988). Menurut Wolf (1986) secara umumnya nilai Cohens d
yang lebih besar daripada 0.25 boleh menunjukkan kesan rawatan yang signifikan. Nilai
Cohens d bagi pemboleh ubah sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah adalah 0.38
dan bagi pemboleh ubah kemahiran berkomunikasi dalam mata pelajaran Sejarah adalah
0.40. Kedua-dua nilai Cohens d adalah lebih besar daripada 0.25 ini menunjukkan bahawa
kesan Pembelajaran Koperatif model STAD adalah signifikan.

PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI KAJIAN

i) Kesan Pembelajaran Koperatif Model STAD Terhadap Sikap pelajar

Pembelajaran Koperatif model STAD telah memberi satu dimensi baru kepada pelajar dalam
mempelajari bahan-bahan Sejarah dalam persekitaran yang menyeronokkan, diberi
kebebasan untuk meluahkan idea dan kreativiti melalui aktiviti yang pelbagai sekali gus
mengukuhkan pemahaman mereka tentang bahan pelajaran. Pembelajaran melalui kaedah
ini jelas menggembirakan pelajar, meningkatkan keyakinan mereka dan membolehkan
kurikulum Sejarah dikembangkan secara lebih praktikal. Inilah kesan ketara yang dapat
dilihat dan diperhatikan terhadap keseluruhan gerak kerja pelajar sepanjang proses P&P
Sejarah dilaksanakan.

Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan bagi aspek sikap
pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah antara Kumpulan Eksperimen dan Kawalan. Ini
bermakna bahawa Pembelajaran Koperatif model STAD berjaya mengubah sikap pelajar
terhadap mata pelajaran Sejarah menjadi lebih positif walaupun nilainya masih berada pada
tahap yang sederhana. Perubahan sikap ini terjadi kerana pelajar telah diberi peluang
secara terbuka untuk bersama-sama aktif dalam perbincangan kumpulan serta
menggunakan pelbagai keupayaan deria lain yang selama ini kurang digunakan.

Keyakinan diri pelajar semakin meningkat terutamanya ketika mengemukakan soalan dan
pendapat tentang isu-isu sejarah negara. Motivasi untuk belajar juga semakin baik kerana
Pembelajaran Koperatif model STAD lebih mementingkan pergantungan positif antara rakan
dalam kumpulan, pelajar yang lemah telah dibantu oleh pelajar yang lebih berpengetahuan.
Penggunaan Pembelajaran Koperatif model STAD yang berorientasikan pelajar ini, telah
menarik minat pelajar untuk belajar Sejarah. Tanggapan bahawa mata pelajaran Sejarah
membosankan dapat diatasi.

Kajian ini juga menjadi bahan literatur berkaitan penggunaan kaedah Pembelajaran
Koperatif yang dilaksanakan di Malaysia. Pelajar menunjukkan sikap yang lebih positif
terhadap pembelajaran mereka, natijah daripada penggunaan model STAD (Effandi &
Zanaton 2007; Mazlan 2002; Suhaida et al. 2004). Kajian luar negara juga mengesahkan
bahawa pembelajaran melalui kerjasama kumpulan dan aktiviti dapat meningkatkan sikap
positif pelajar terhadap pembelajaran, bersosial dan menjadikan pelajar berfikiran kritikal
yang dinamik (Slavin 2001, Zahara dan Md. Anowar 2011).

Dapatan temu bual dengan pelajar juga mendapati mereka rasa lebih seronok, lebih aktif
dan bersemangat ketika belajar Sejarah. Sedangkan sebelum ini mereka bosan dan
mengantuk kerana guru mengajar secara sehala dan tidak melibatkan mereka secara aktif.
Data pemerhatian pula menunjukkan terdapatnya perubahan sikap yang positif dalam diri
pelajar, mereka saling tolong-menolong dan bersama-sama menyiapkan tugasan yang
diberikan dalam suasana yang seronok, berfokus serta tidak terlalu menekan pelajar.

ii) Kesan Pembelajaran Koperatif Model STAD Terhadap Kemahiran Berkomunikasi
Pelajar

Setelah berada dalam Kumpulan Eksperimen yang menggunakan kaedah Pembelajaran
Koperatif model STAD, pelajar-pelajar didapati menunjukkan peningkatan dari segi
kemahiran berkomunikasi sama ada dengan guru, rakan belajar dan cara berbincang
menggunakan bahan pelajaran. Pelajar didapati lebih berkeyakinan memberikan idea dan
pendapat, disokong oleh persekitaran yang memberi ruang dan peluang untuk mereka
berbincang secara sistematik.

Pelajar-pelajar dari Kumpulan Eksperimen menyatakan mendapat pengalaman yang
menarik sewaktu bekerjasama dalam kumpulan terutamanya semasa berbincang serta
bertukar-tukar pendapat ketika menyiapkan tugasan secara berkumpulan. Pelajar juga
mengakui wujudnya sikap saling bergantung atau bersandar secara positif dalam kalangan
pelajar dalam sesuatu kumpulan bagi mencapai matlamat. Hal ini ada dinyatakan dalam
kajian yang dilakukan oleh Mohd Fadzli dan Normah (2011). Pelajar yang lebih pandai akan
menolong rakan kumpulannya untuk memahami tugasan atau topik yang diberi.
Sebagaimana yang diutarakan oleh Diggins (2004) iaitu pelajar mesti menjadi pendengar
yang baik, berfikir sebelum bercakap, menerima pandangan orang lain, berkeupayaan
menerangkan dengan jelas, berterus terang dan sabar dengan kerenah rakan.

Tugasan berkumpulan seperti mencipta sajak, membuat kad kemerdekaan atau merancang
pembentangan membolehkan pelajar berbincang sesama rakan. Aktiviti ini membantu
pelajar membina sikap tolong-menolong dan memberi peluang kepada pelajar bertanya
serta memberi pendapat mereka kepada rakan sekumpulan sekali gus menyerupai teori
persandaran sosial itu sendiri. Kemahiran-kemahiran koperatif untuk bergaul secara
berkesan dengan orang lain tidak wujud secara semula jadi tetapi memerlukan latihan serta
pendedahan secara sistematik. Pelajar-pelajar mesti diajar dan didorong menggunakan
kemahiran-kemahiran koperatif yang perlu secara produktif. Kemahiran-kemahiran seperti
ini dapat menggalakkan komunikasi, mewujudkan kepercayaan, memperbaiki proses
membuat keputusan, dan melicinkan pengurusan konflik dalam kumpulan (Abdul Rahim &
Siti Norashikin 2010).

Kaedah Pembelajaran Koperatif model STAD berupaya meningkatkan nilai-nilai baik dalam
diri pelajar kerana dengan adanya interaksi sesama mereka memberi kesan kejiwaan dan
emosi kepada pelajar sekali gus membawa perubahan dalam aspek sosial juga afektif dan
kognitif. Merujuk kepada teori perkembangan kognitif, Slavin (1995) dan Effandi (2005)
berpendapat melalui pertukaran pendapat dan perkongsian idea dalam kumpulan, dapat
membantu mereka untuk menguasai konsep-konsep penting.

Woolfolk (2007) menganggap situasi interaksi sesama pelajar (interpersonal) adalah perlu
bagi membantu proses berfikir pelajar. Pandangan Slavin, Effandi dan Woolfolk selari
dengan pernyataan-pernyataan yang diberikan oleh pelajar Kumpulan Eksperimen dalam
kajian ini. Pelajar mengakui bahawa mereka menjadi lebih faham melalui kaedah
perbincangan sesama rakan dalam kumpulan. Mereka boleh bertanya rakan apabila berada
dalam kebuntuan bagi menyelesaikan tugasan atau memahami sesuatu topik.

Dapatan kajian ini selari dengan kajian lepas seperti hasil kajian Atmadinata (2005), Titi
(2007), Zaenab et al. (2004) dan Suhaida et al. (2006) yang menunjukkan bahawa
Pembelajaran Koperatif boleh meningkatkan kemahiran berkomunikasi atas individu dan
kumpulan. Gillies (2002) dan Ray (2008) turut mengukuhkan dapatan kajian ini, pelajar akan
berusaha untuk berkomunikasi secara berkesan seperti mengurus konflik, memimpin,
membuat keputusan, mendengar, memberi galakan dan mengikut giliran. Malah Snowman
et al. (2011) menyatakan komunikasi berkesan antara rakan di dalam kumpulan berperanan
besar dalam meningkatkan motivasi rakan untuk mencapai kejayaan.

Beberapa penyelidik lain seperti Ginsburg-Block et al. (2006) dan Roseth et al. (2008)
menyatakan bahawa melalui Pembelajaran Koperatif banyak kemahiran sosial yang
dipelajari oleh pelajar, antaranya hubungan interpersonal, hubungan antara kumpulan,
penghargaan kendiri, memupuk sikap kerjasama, tolong-menolong, menerima pendapat
atau idea orang lain, saling hormat-menghormati, penggunaan masa yang bijak dan tingkah
laku yang positif dalam bilik darjah.

Implikasinya di sini menunjukkan Pembelajaran Koperatif model STAD boleh dijadikan
sebagai salah satu alternatif kepada strategi yang sedia digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran Sejarah. Begitu juga dengan dapatan kajian yang
menunjukkan kesemua pelajar yang ditemu bual dalam Kumpulan Eksperimen menyatakan
pengalaman awal yang positif terhadap Pembelajaran Koperatif menggambarkan kesediaan
pelajar untuk menerima Pembelajaran Koperatif sebagai salah satu proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas Sejarah. Selain daripada itu, hasil dari temu bual kajian ini juga
menunjukkan kesemua daripada pelajar kumpulan Pembelajaran Koperatif lebih gemar
belajar secara berkumpulan yang memberi peluang kepada mereka untuk menyuarakan
pendapat dan melibatkan diri tetapi mesti di bawah seliaan guru secara terkawal dan
terancang.

Pihak Kementerian Pelajaran, khususnya Bahagian Pendidikan Guru, perlu memberi latihan
dalam perkhidmatan atau kursus jangka pendek kepada guru sejarah bagi membantu
mereka menguasai penggunaan Pembelajaran Koperatif model STAD. Penghargaan perlu
diberikan kepada guru yang berusaha menggunakan strategi pengajaran yang baru. Ini
akan menggalakkan guru untuk bersikap inovatif dan kreatif dalam meningkatkan
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mereka. Pengambilan sekolah anak angkat
bagi melaksanakan program Pengajaran Koperatif mungkin merupakan langkah bijak yang
sewajarnya dilakukan oleh IPT atau IPG. Program tersebut akan menjadi medan sebenar
bagi tujuan pengaplikasian, pemantauan, penilaian, dan penambahbaikan atas manual
pengajaran dan Pembelajaran Koperatif.

Implikasi kajian ini kepada institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pendidikan
guru adalah tentang keperluan memberi pendedahan mengenai Pembelajaran Koperatif
model STAD kepada bakal guru secara formal iaitu dalam bentuk sebahagian daripada
kursus pedagogi. Pembelajaran Koperatif juga perlu dipraktikkan dalam program pendidikan
guru bagi membiasakan bakal guru dengan berbagai-bagai teknik Pembelajaran Koperatif.
Selain daripada itu, bakal guru perlu diberi galakan untuk menggunakan Pembelajaran
Koperatif semasa menjalankan latihan mengajar.

Oleh kerana Pembelajaran Koperatif selari dengan konsep KBSM dan sekolah bestari, maka
pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mewujudkan satu garis panduan sama ada
dalam bentuk modul atau manual untuk guru-guru. Ini adalah kerana konsep dan
pelaksanaan Pembelajaran Koperatif tidak sama dengan kerja berkumpulan tradisional yang
tidak berstruktur. Dapatan kajian ini menunjukkan pentingnya pelajar terlibat secara aktif
dalam kumpulan bagi menjamin kejayaan kumpulannya. Pelajar seharusnya menyedari
bahawa pembelajaran yang pasif iaitu hanya menerima sahaja maklumat diberi, dan terlalu
bergantung pada guru akan menghalang kecemerlangan pembelajaran. Kemahiran generik
seperti cara berkomunikasi yang berkesan dalam kumpulan telah menjadikan pelajar
berupaya memahami konflik sebagai ruang untuk perbincangan dan menghormati
perbezaan sebagai peluang kreatif. Untuk mencapai kejayaan, para pelajar hari ini perlu
menjadi ahli kumpulan yang berupaya memberi sumbangan yang bermakna kepada ahli
kumpulan mereka. Justeru, pelajar harus meningkatkan tahap autonomi, kendiri, dan
proaktif dalam pembelajaran mereka.

Hasil kajian yang menunjukkan pelajar yang didedahkan dengan Pembelajaran Koperatif
model STAD menunjukkan keputusan yang positif. Pelajar perlu mengetahui tentang
kepentingan dan fungsi setiap model dalam Pembelajaran Koperatif serta menggunakannya
secara kerap dan pelbagai. Selain itu, pelajar disarankan supaya sentiasa mencuba strategi-
strategi yang sering digunakan. Melalui cara ini, pembelajaran Sejarah mereka akan menjadi
lebih mudah dan menyeronokkan.

Mereka perlu berusaha mempertingkatkan motivasi dan bekerja dengan lebih rajin untuk
mencapai kejayaan, pengalaman semasa menjalani Pembelajaran Koperatif model STAD ini
banyak mengajar mereka untuk sentiasa meminimumkan kesalahan dan rajin berusaha,
kerana disebabkan kegagalan seorang ahli kumpulan akan menjejaskan prestasi kumpulan
mereka secara keseluruhan. Faktor perbezaan individu, situasi, dan sosial yang
mempengaruhi tahap pembelajaran perlu dimanipulasikan dengan sebaiknya oleh pelajar.

KESIMPULAN

Kejayaan Pembelajaran Koperatif model STAD ini, adalah disebabkan Pembelajaran
Koperatif model STAD mempunyai aktiviti perbincangan kumpulan secara berstruktur.
Aktiviti ini memberi peluang para pelajar untuk lebih berinteraksi, lebih bertanggungjawab
dan berlatih untuk berdikari dan bekerjasama bagi membolehkan kumpulan mereka berjaya.
Pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman terhadap topik yang diajar, malah
dapat menggunakan pengetahuan yang baru diperoleh daripada pembelajaran secara
bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dengan lebih yakin. Struktur ganjaran juga
dilihat memainkan peranan penting dalam meningkatkan motivasi intrinsik dan ekstrinsik
pelajar. Oleh itu, pembelajaran menggunakan Pembelajaran Koperatif model STAD adalah
perlu diamalkan dan digalakkan dalam mata pelajaran Sejarah Tingkatan 2.



















RUJUKAN

Abdul Razaq Ahmad & Abdullah Mohd Noor. (2000). Kepelbagaian gaya pembelajaran
pelajar dan pencapaian akademik. Seminar Prosiding Pendidikan Kebangsaan 2000.

Abdul Razaq Ahmad & Ahmad Ali Seman. (2000). Menangani kepelbagaian pelajar dalam
pendidikan Sejarah. Seminar Prosiding Pendidikan Kebangsaan 2000.
Abdul Rahim Hamdan & Siti Norashikin. (2010). Tahap perpaduan pelajar pelbagai kaum
dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB). eprints.utm.my/ .1-7.
Anuar Ahmad, Siti Haishah Abd Rahman & Nur Atiqah T. Abdullah. (2009). Tahap
keupayaan pengajaran guru Sejarah dan hubungannya dengan pencapaian murid di
sekolah berprestasi rendah. Jurnal Pendidikan 34 (1):53-66.
Johnson, B. & Christensen, L. (2000). Educational Research Quantitative And Qualitative
Approaches. Boston: Allyn and Bacon.
Atmadinata. (2005). Upaya Meningkatkan keterampilan sosial siswa dalam pembelajaran
sejarah melalui cooperative learning. Tesis Ph. D. UPI Bandung.
Carr, Christopher Bowring. (2007). Effective Learning in School- How to Integrate Learning
and Leadership for a Successful School. London: Pitman Publishing.
Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill
(Malaysia) Sdn. Bhd.
Diggins, M. (2004). Teaching and Learning Communication Skills in Social Work Education.
London: Social Care Institute for Excellence.
Effandi Zakaria. (2005). Asas Pembelajaran Koperatif dalam Matematik. Selangor: Karisma
Publication Sdn Bhd.
Gillies, R. M. (2002). The residual effects of cooperative-learning experiences: a two year
follow-up. The Journal of Educational Research 96: 15-16.
Ginsburg-Block, M. D., Rohrbeck, C. A. & Fantuzzo, J. W. (2006). A meta-analytic review of
social, self-concept, and behavioral outcomes of peer-assisted learning. Journal of
Educational Psychology 98(4): 732-749
Hariyono. (1995). Mempelajari Sejarah Secara Efektif. Jakarta: Pustaka Jaya.
Johnson, B. & Christensen, L. 2000. Educational Research Quantitative And Qualitative
Approaches. Boston: Allyn and Bacon.

Khoo Kay Kim. (2008). Sejarah - makna dan gunanya. Dlm. Sivachandralingam Sundara
Raja, Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, Ho Hui Ling, Noraini Mohamed Hassan &
Nurul Asnida Abu Bakar. (pnyt.). Sejarah Masih Relevan. Selangor: Karisma
Publication Sdn. Bhd.
Marohaini Yussoff. (2001). Penyelidikan Kualitatif, Pengalaman Kerja Lapangan Kajian.
Kuala Lumpur: Universiti Malaya

Mohd Fadzli Bin Ali & Normah Binti Salleh. (2011). Mengkaji hubungan di antara
pembelajaran koperatif (Kemahiran Generik) dengan kemahiran menggunakan
pembelajaran di kalangan pelajar yang mengambil subjek telekomunikasi dan
rangkaian di Fakulti Pendidikan. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi
Malaysia.http://eprints.utm.my/11977/1/Mengkaji_Hubungan_Di_Antara_Pembelajar
an_Koperatif.pdf. (12 Jun 2011).
Mohamad Sultan Faujdar. (2000). Kualiti pengajaran sejarah di sebuah sekolah menengah
Daerah Sabak Bernam. Tesis Sarjana. UM
Ray, A. (2008) The benefits of cooperative learning.
http://mobile.associatedcontent.com/article/1052080/the_benefits_of_cooperative_lear
ning.html. (24 September 2008).
Roseth, C. J., Johnson, D. W. & Johnson, R. T. (2008). Promoting early adolescents
achievement and peer relationships: The effects of cooperative, competitive, and
individualistic goal structures. Psychological Bulletin 134(2): 223-246.
Sivachandralingam Sundara Raja. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, Ho Hui Ling, Noraini
Mohamed Hassan dan Nurul Asnida Abu Bakar. (2008). Sejarah Masih Relevan,
Karisma Publication, Sdn Bhd.
Suhaida Abdul Kadir, and Zaidatul Akmaliah Lope Pihie, and Noran Fauziah Yaakub, and
Habibah Elias, and Rohani Ahmad Tarmizi. (2006). Kesan Strategi Pembelajaran
Koperatif terhadap Prestasi Pelajar dalam Pendidikan Perakaunan. Jurnal
Pendidikan, 26 (Malay Language Version) . pp. 37-61
Snowman, Rick McCown, Robert Biehler. (2011), Psychology Applied to Teaching, 13
edition, Cengage Learning, http://college.cengage.com/education/pbl/tc/coop.html,
2011-05-25
Slavin, R. E. (2006). Educational Psychology : Theory and Practice. 8th.ed. United States of
America: Pearson Education, Inc.
Slavin, R. E. (2001). "Cooperative Learning and Intergroup Relations." In Handbook of
Research on Multicultural Education, ed. James A. Banks and Cherry A. McGee
Banks. San Francisco: Jossey-Bass.
Slavin, R. E. (1995). Cooperative learning among students: Theory, research, and
implications for active learning. Dimuat turun daripada http://www.scov.csos
jhu.edu/sfa/cooplearn.htm.
Slavin, R. E. ,(1994). Using student team learning (4th ed.). Baltimore, MD: The Johns
Hopkins Team Learning Project.
Titi Solfitri. (2007). Kesan pembelajaran koperatif jigsaw terhadap motivasi dan
pencapaian Matematik pelajar sekolah menengah atas di Pekan Baru. Tesis
Sarjana, Fakulti Pendidikan, UKM.
Wiersma, William. (2000). Research methods in education: An introduction. 7th edition.
Boston. Allyn and Bacon.
Woolfolk, A. E. , (2007). Educational Psychology. Boston: Pearson, Allyn and Bacon.
Zahara Aziz (2000). Beberapa strategi pengajaran berpusatkan pelajar dan kemahiran
berpikir secara kritis dan kreatif di sekolah menengah di semenanjung Malaysia.
international Conference on teaching and learning in 21
st
century, Putra Jaya. 24-
5 November.
Zahara Aziz dan Isjoni. (2008), Pembelajaran Koperatif, Meningkatkan kecerdasan
Komunikasi Antar Peserta Didik, Pustaka Pelajar, Yogyakarta.
Zahara Aziz, Norazah Mohd. Nordin & Md. Anowar Hossain. (2010). Effects of Cooperative
Learning and Conventional Teaching on Mathematics Achievement in Poal Shura
Patpara High School. The international Jurnal of Humanities. Volume 8, Number 2.
Zahara Aziz & Md Anowar Hossian. (2011). The effects of cooperative learning on
secondary students attitudes toward mathematics in Natore, Bangladesh. The
International Journal of Knowledge, Culture and Change Management 10: 69-82.
Zaenab Hanim. Siti Rahayah Ariffin dan Noriah Ishak. (2004). Penggunaan Kaedah
Pembelajaran Koperatif dalam Pengajaran Matematik Di Sekolah Rendah. Jurnal
Pendidikan Vol 29: 105124.UKM.

You might also like