You are on page 1of 10

EKONOMI ISLAM: PERSPEKTIF DAN CABARAN

Profesor Dato’ Dr. Mansor Md. Isa


Pengarah, Jabatan Pengajian Malaysia, Universiti Kaherah

PENGENALAN
Ekonomi bukanlah persoalan baru dalam Islam. Perancangan dan aktiviti
ekonomi telah berlaku dalam zaman Nabi Yusuf a.s yang menjadi Menteri
Ekonomi pertama di Mesir. Baginda telah meletakkan asas Ilmu Ekonomi
dengan membuat satu perancangan rapi bagi memastikan negara mempunyai
bekalan yang mencukupi apabila menghadapi musim kemelesetan. Namun begitu
kegiatan ekonomi pada awal Islam agak terbatas dengan kegiatan jual-beli sahaja
di pasaran yang mudah. Mulai abad kedua Hijrah bermulalah beberapa kajian
mengenai kegiatan ekonomi secara khusus dan lahirlah tulisan-tulisan mengenai
hukum riba, sistem harga, monopoli, percukaian, zakat, kewangan kerajaan dan
sebagainya. Tulisan-tulisan ini membicarakan hukum hakam muamalat mengikut
mazhab masing-masing.1

Dua tokoh yang sering disebut sebagai bapa Ekonomi Islam ialah Ibni Taymiyah
(1262-1328 Masehi) dan Ibn Khaldun (1332-1406 Masehi). Ibn Taimiyah yang
berpusat di Damsyik adalah terkenal dengan pandangannya mengenai harga
setara, pasaran sempurna, kawalan harga, monopoli, penyorokan dan spekulasi.
Manakala Ibn Khaldun pula, di dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Mukaddimah
Ibn Khaldun, menyentuh banyak perkara ekonomi seperti nilai, buruh, sistem
harga, hukum permintaan dan penawaran, penggunaan dan pengeluaran, wang,
modal, kewangan negara, dll. Beliau yang berasal dari Haramaut dan berpindah
ke Andalus merupakan tokoh ekonomi dengan pemikiran ekonomi yang penting
yang mendahului Adam Smith dengan jarak waktu 400 tahun.

1
Surtahman K.H. dan Sanep Ahmad, Ekonomi Islam: Dasar dan Amalan, DBP, 2005, xx-xxi.

1
Walaubagaimana pun momentum pengembangan ilmu Ekonomi Islam ini
mengalami kemerosotan bersama dengan zaman kejatuhan empayar Islam yang
berlaku disekitar kurun ke 13 Masehi. Inilah zaman kegelapan Islam di mana
masalah politik dan sosial di kalangan umat Islam telah menjadi kucar-kacir
sehingga membantutkan isnstitusi keilmuan. Para ilmuan tidak mampu lagi
mengkaji dan berijtihad. Mereka hanya mampu bertaklid dan dengan rela hati
menutup pintu ijtihad. Ilmu Ekonomi Islam yang yang di asaskan oleh Ibn
Taimiyah dan Ibn Khaldun dan yang lain sebelum mereka tidak dikembangkan
dan hanya tersimpan dalam kitab-kitab kuning tanpa waris untuk menyambung
usaha mereka.2

Selepas dari tempoh ini penumpuan ilmu beraleh ke Barat. Lahirlah tokokh ilmu
ekonomi Barat seperti Adam Smith (1723-1790), David Ricardo (1772-1823),
J.S. Mills (1806-1873), Irving Fisher (1867-1947), John Maynard Keynes (1883-
1946), dan lain-lain. Cendikiawan dari negara Islam pula menghala ke Barat
untuk menuntut ilmu yang kemudiannya diterapkan amalannya di negara
masing-masing. Zaman kejatuhan kegemilangan Islam juga berganti dengan
zaman penjajahan kuasa Barat ke atas negara-negara Islam. Maka dengan strategi
serampang dua mata ini, iaitu melalui penjajahan politik dan penjajahan ilmu,
boleh dikatakan kesemua negara Islam kini mengamalkan sistem pemerintahan
dan sistem ekonomi Barat yang dikatakan sekular itu.

Natijah daripada sejarah pengembangan ilmu yang yang tebantut itu, persoalan
yang mendepani kita ialah apa dia dan di mana dia Ekonomi Islam? Adakah
sistem ekonomi Barat sesuai di amalkan oleh umat, negara dan masyarakat Islam
dengan pengubahsuaian yang sewajarnya (proses Islamisasi)? Atau, adakah
Ekonomi Islam itu merupakan satu bidang ilmu yang sama-sekali berlainan dari
Ekonomi Barat sehinggakan tidak mungkin ianya diubahsuai daripada acuan
ekonomi konvensional? Pendekatan kedua ini kurang praktikal kerana adanya
tempoh beku dalam ilmu ekonomi Islam selepas zaman Ibn Khaldun. Pendekatan

2
Op. cit., halaman xxiii.

2
pertama lebih mudah dan lebih praktikal memandang kepada kemantapan dari
segi teori dan amalan ekonomi konvensional. Para ilmuan Islam boleh
menggunakan ekonomi konvensional sebagai titik tolak dan membuat
penyaringan untuk mengambil perkara yang dibenarkan Islam, mengubahsuai
perkara yang tidak sesuai dan menolak yang jelas tidak dibenarkan.

PERSPEKTIF EKONOMI ISLAM: BEBERAPA ISU


Teori Penggunaan
Apabila membicarakan mengenai ilmu ekonomi kita sebenarnya membicarakan
gelagat manusia untuk memenuhi keinginannya yang tiada berbatas dengan
menggunakan sumbernya yang terbatas. Manusia (atau pengguna) kemudiannya
dikembangkan pula kepada entiti yang lebih luas, iaitu firma dan kerajaan. Inilah
definisi asas Ilmu Ekonomi. Ekonomi Islam pula boleh diberi definisi berikut:
Satu bidang ilmu yang mengkaji gelagat pengguna yang mempunyai keinginan
yang tidak terhad menggunakan sumbernya yang terhad bagi mendapatkan
pahala yang maksimum (kebahagian di dunia dan akhirat).

Apabila kita membuat perbandingan di antara dua definisi di atas, kita dapati
bahawa Islam mengutamakan pahala maksimum bukannya kepuasan maksimum.
Disamping itu Islam juga percaya bahawa setiap manusia itu diperuntukkan
rezkinya oleh Tuhan. Saya berpendapat definisi konvensional lebih mudah kerana
kita memahami proses yang berlaku bagi seorang pengguna dalam memuaskan
kehendaknya. Kita juga boleh memodelkan apa yang dimaksudkan dengan
”penggunaan” yang membawa kepada pencapaian ”kepuasan” atau dalam bahasa
ekonomi disebut ”utiliti”. Model ini merupakan asas kepada teori permintaan dalam
ilmu ekonomi konvensional.

Ekonomi Islam pula menyebut objektif penggunaan sebagai mencapai pahala


maksimum (atau untuk mencpai kebahagiaan di dunia dan di akhirat). Dalam hal ini
pahala adalah urusan Tuhan yang merupakan fungsi kepada beberapa variable lain
yang abstrak seperti keikhlasan, niat, situasi, dan lain-lain. Bagaimanakah objektif

3
penggunaan ini hendak dimodelkan sehingga ia boleh membawa kepada teori
permintaan? Walaupun ada percubaan untuk memodelkan fungsi permintaan Islam
ini tetapi sehingga kini belum diterima dengan meluas.

Teori Pengeluaran
Unsur yang paling penting dalam menetukan teori penawaran ialah hasrat
manusia untuk mendapat untung yang maksimum. Oleh itu firma akan
menjalankan segala usahanya untuk mencapai jumlah hasil yang maksimum
dengan kos yang minimum. Objektif memaksimumkan untung ini merupakan
idea ciptaan Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations yang
diterbitkan dalam tahun 1776. Beliau mengutarakan pandangan bahawa setiap
manusia didorong oleh ”suatu tangan yang tidak kelihatan” untuk melakukan
sesuatu perkerjaan yang pada zahirnya nampak mulia, tetapi sebenarnya orang
itu melakukannya untuk mendapat untung bagi dirinya sendiri. Pengusaha kilang
kasut, contohnya, bukanlah berniat untuk menyediakan pakaian kepada orang
ramai, tetapi beliau membuat kasut demi mencari keuntungan untuk dirinya
sendiri.

Lihat petikan di bawah daripada ”The Wealth Of Nations”:


...every individual necessarily labours to render the annual revenue of
the society as great as he can. He generally, indeed, neither intends to
promote the public interest, nor knows how much he is promoting it. By
preferring the support of domestic to that of foreign industry, he
intends only his own security; and by directing that industry in such a
manner as its produce may be of the greatest value, he intends only his
own gain, and he is in this, as in many other cases, led by an invisible
hand to promote an end which was no part of his intention. Nor is it
always the worse for the society that it was no part of it. By pursuing
his own interest he frequently promotes that of the society more
effectually than when he really intends to promote it. I have never

4
known much good done by those who affected to trade for the public
good.

Ramai para ilmuan Ekonomi Islam mempertikai objektif memaksimumkan


untung ini dengan menekankan bahawa ianya bercanggah dengan Islam. Objektif
ini digambarkan sebagai sesuatu yang tidak bermoral, malah boleh membawa
kepada amalan kegiatan haram seperti penindasan, riba, penipuan dan
sebagainya. Pengeluar Islam boleh menjadikan keuntungan yang berpatutan
sebagai objektifnya, tetapi harus juga mengambil kira aktiviti ekonomi sebagai
suatu ibadat yang harus disertai dengan niat yang ikhlas. Selain dari itu pengeluar
Islam juga harus memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan mematuhi prinsip-
prinsip syariah seperti, keadilan, khidmat masyarakat, keuntungan yang
sederhana, dan sebagainya. Dapat dilihat bahawa ruanggerak pengeluar Islam
mempunyai batasan-batasan yang lebih berbanding dengan kawannya yang
konvensional. Adakah kekangan yang banyak ini menjejaskan kemampuan
pengeluar Islam untuk bersaing dengan rakannya yang konvensional?

Dari segi teori, Metwally (1989) telah memasukkan factor zakat dalam analisis
keluk hasil dan kos dan mendapati titik keseimbangan pengeluar Islam adalah
lebih tinggi berbanding pengeluar konvensional. Ini bermakna jika pengeluar
Islam sememangnya mematuhi kehendak Islam maka kesejahteraan yang dicapai
oleh masyarakat Islam seharusnya lebih baik daripada masyarakat bukan Islam.
Namun begitu kita harus ingat bahawa kebagusan sesuatu teori harus dilandaskan
keatas amalan yang berfaedah. Dan ini memerlukan kajian empirikal yang
khusus dan teliti.

Faktor Pengeluaran
Dalam bidang agihan pendapatan Ekonomi Islam menggariskan adanya pulangan
kepada faktor pengeluaran dan juga ada habuan untuk bukan faktor. Ekonomi
Islam hanya mengiktiraf tiga faktor pengeluaran iaitu, Manusia, Tanah dan
Pengusaha. Ini berbeza daripada Ekonomi konvensional yang menyatakan ada

5
empat faktor pengeluaran, iaitu Boroh, Tanah, Modal dan Pengusaha (ada juga
penulis yang menjadikan Teknologi sebagai faktor pengeluaran kelima).
Walaupun terdapat tiga faktor yang bersamaan, namun terdapat perbezaan yang
ketara mengenai pendekatan Ekonomi Konvensional dan Ekonomi Islam
terhadap faktor-faktor ini.

Tanah merangkumi segala kekayaan dan khazanah yang terdapat di bumi laut
dan udara. Ini adalah anugerah Tuhan kepada manusia. Ekonomi konvensional
hanya menyebut manusia harus mengambil kekayaan bumi ini dan
menggunakannya atau memprosesnya untuk menjadikan barang penggunaan
selagi mana ada permintaan untuknya. Islam juga menggalakkan manusia
menikmati kekayaan ini, tetapi ada batasan dan syaratnya, seperti tidak
merosakkan alam, tidak mengeluarkan barang haram, dan sebagainya. Mengenai
faktor Tanah, nampaknya tiada perbezaan yang ketara di antara ekonomi
konvensional dan ekonomi Islam.

Bagi faktor Modal dan Pengusaha, terdapat perbezaan yang penting di antara
pendekatan ekonomi konvensional dan ekonomi Islam yang mempunyai
implikasi yang besar. Mengenai Modal, Islam tidak tidak mengiktiraf modal
pinjaman sebagai faktor pengeluaran tetapi hanya mengiktiraf modal ekuiti,
manakala ekonomi Islam mengiktiraf hutang dan ekuiti sebagai sumber modal
yang penting. Malah terdapat teori gelagat firma yang agak mantap mengenai
campuran modal, iaitu adanya campuran yang optimum di antara hutang dan
ekuiti. Disebabkan ilmuan ekonomi Islam kini sudah sependapat bahawa faedah
keatas pinjaman adalah riba, maka perbincangan mengenai campuran modal
dalam perniagaan Islam tidak releven kerana kesemua pembiayaan firma adalah
melalui ekuiti. Adakah ini meletakkan firma Islam dalam keadaan kurang
berdaya saing kerana pada teorinya, kos modal ekuiti adalah lebih tinggi
daripada kos hutang.

6
Seperkara yang perlu diberi perhatian oleh ilmuan ekonomi Islam ialah amalan
menyamatarafkan Modal Ekuiti dan Pengusaha (tanpa modal) dalam tuntutan ke
atas keuntungan firma. Prinsip inilah yang mendasari amalan mudarabah oleh
perbankan Islam di mana bank akan menyediakan wang modal dan Pengusaha
akan menyumbangkan usaha dan kemahiran pengurusanya. Kedua-dua pihak
akan berkongsi keuntungan yang terhasil, manakala kerugian sepenuhnya
ditanggung oleh bank. Ini berbeza daripada ekonomi konvensional yang
mengiktiraf penyumbang modal ekuiti sebagai pemilik firma manakala
Pengusaha tanpa modal sebagai pekerja.

Persoalannya di sini ialah model mudarabah dalam pembiayaan firma telah


menemui kegagalan. Ini telah dibuktikan daripada data-data sejarah perbankan
Islam di Malaysia dan di negara lain. Kegagalan ini mudah diterangkan:
Pengusaha (Islam atau bukan Islam) akan cenderung untuk menggunakan
pembiayan mudarabah untuk projek berisiko tinggi, dan menggunakan
pembiayaan konvensional untuk projek berisiko rendah.3

Ekonomi Tanpa Faedah


Pada hari ini nampaknya ilmuan Islam tidak lagi membincangkan status halal
atau haramnya faedah bank, sebaliknya telah sepakat menerima bahawa faedah
bank adalah riba dan ianya haram dalam Islam.4 Namun begitu amalan ekonomi
berasas faedah begitu meluas dan merangkumi sistem ekonomi yang menyentuh
individu, firma dan juga kerajaan. Serentak dengan pengharaman faedah, maka
banyak aspek ilmu ekonomi perlu ditulis semula. Ini termasuklah konsep nilai
masa wang, mekanisma hutang untuk individu firma dan kerajaan, operasi bank
pusat, dan sebagainya.

Sebagai contoh, kadar faedah digunakan sebagai sendi untuk menerangkan


gelagat manusia mengagihkan pendapatan dan perbelanjaan mengikut masa.
3
Dalam ilmu ekonomi konvensional perkara ini dikaitkankan dengan teori ”adverse selection” dan
”moral hazard”.
4
Isu ini hangat diperkatakan pada dekat 70an dan 80an kerana adanya beberap perkara yang meragukan
bahawa faedah bank adalah amalan yang sama dengan riba yang diharamkan dalam Islam.

7
Kadar faedah juga amat penting dalam analisis pelaburan, untuk mendapatkan
nilai kini dan nilai hadapan pelaburan dan membuat perancangan pelaburan.
Kadar faedah adalah penentu asas kepada kadar diskaun dan kadar kompaun
dalam pengiraan nilai masa wang ini. Apakah kadar yang hendak digunakan jika
faedah dikeluarkan daripada kamus ekonomi kewangan Islam?

Satu lagi implikasi penting ialah penghapusan pasaran bon. Pasaran bon
digunakan dengan meluas oleh korporat dan kerajaan untuk mendapatkan dana
bagi membiayai projek-peojek pelaburan. Firma yang ingin menambah modal
atau membiayai projek pelaburan tiada pilihan melainkan menerbitkan ekuiti
tambahan. Ini semestinya merupakan kekangan terhadap operasi firma. Kerajaan
juga tidak lagi dapat menerbitkan bon kerjaan bagi membiayai projek
pembangunan. Jika negara mengamalkan belanjawan kurangan, sumber
kewangan yang terbuka adalah pencetakan wang tambahan dan ekuiti (Habibi
1987). Tapi apakah dia ekuiti kerajaan itu, dan apakah tarikan pelabur untuk
melanggannya?

Bank pusat menggunakan mekanisma operasi pasaran terbuka untuk mengawal


penawaran wang dalam ekonomi. Penghapusan faedah bermakna Bank Pusat
perlu mendapatkan alternatif lain. Dalam hubungi ini para ilmuan Islam telah
mengutarakan berbagai pilihan untuk kerajaan mengamalkannya. Berbagai
pandangan telah diutarakan, terutama oleh Siddqi (1970), Iqbal dan Khan (1981)
dan Chapra (1985). Di antara mekanisma yang dicadangkan termasuklah Nisbah
Pembiayan Semula, Nisbah Perkongsian Untung, Nisbah Rizab dan Sijil
Simpanan Pusat.

Di Malaysia usaha memartabatkan perbankan Islam menunjukkan kejayaan yang


terhad. Ia dimulai dengan penggubalan Akta Perbankan Islam 1983 yang menubuhkan
bank Islam hinggalah kepada beberapa pindaan akta-akta berkaitan bagi membolehkan
bank-bank konvensional turut membuka kaunter yang menawarkan perkhidmatan
perbankan dan kewangan Islam. Di samping itu, pelbagai infrastruktur dan prasarana

8
sokongan kepada industri perbankan Islam turut diperkenalkan seperti penubuhan
syarikat takaful dan mewujudkan pasaran modal Islam. Hingga kini terdapat 30 institusi
kewangan dan perbankan menawarkan produk dan perkhidmatan berasaskan syariat
Islam. Malangnya jika diukur daripada jumlah keseluruhan penguasaan pasaran
perbankan, industri perbankan Islam hanya menguasai sekitar 12 peratus daripada
keseluruhan pasaran dana perbankan (Laporan Tahunan Bank Negara 2005).

Kesimpulan
Kertas ini tidak bertujuan untuk mengupas secara menyeluruh isu mengenai
perspektif dan cabaran ekonomi Islam. Objektif kertas ini hanyalah memberi
beberapa pandangan mengenai beberap isu yang mendasari ekonomi Islam.
Persoalan pokok yang hendak diutarakan ialah sama ada ilmu ekonomi Islam
pada hari ini mampu menyediakan satu alternatif yang lebih baik dari ekonomi
konvensional. Jawapan yang didapati adalah tidak menyakinkan. Setakat ini
ekonomi Islam masih ditahap pengkajian dan percubaan. Ini merangkumi
keseluruhan kerangka ilmu ekonomi daripada ekonomi mikro kepada ekonomi
makro, daripada teori utiliti kepada teori ekonomi pembangunan dan kebajikan.

Terdapat banyak cabaran yang harus dilalui oleh para cendikiawan Islam untuk
mengembangkan dan memantapkan ilmu ekonomi Islam. Setelah menjadi
mantap ia harus pula diyakinkan kepada penggunanya, iaitu individu, negara dan
masyarakat Islam. Cabaran yang amat nyata di sini ialah ekonomi konvensional
itu sendiri telah berakar umbi dikalangan individu dan negara, Islam dan bukan
Islam, dan diamalkan secara meluas dan menyeluruh, walaupun terdapat
beberapa kelemahan dalam perlaksanaannya. Islamisasi yang menyeluruh
hendaklah dilakukan ke atasnya.

Satu contohnya yang khusus ialah mengenai perbankan Islam. Kajian empirikal
mengenai prestasi perbankan Islam di Malaysia dan negara lain yang
mengamalkan dwi sistem mendapati produk perbankan Islam mempunyai tahap
kecekapan yang kurang berbanding dengan produk perbankan konvensional.

9
Model mudarabah dalam pembiayaan perniagaan adalah satu kegagalan tetapi
penulisan mengenai perbankan Islam masih menekankan ianya adalah sesuatu
yang baik. Para penyokongnya mengatakan kelemahan adalah pada perlaksanaan
bukan pada modelnya. Apa baiknya sesuatu model jika tidak dapat diamalkan?

Seperkara yang perlu diberi pertimbangan ialah perlunya gabungan para ilmuan
dua bidang, iaitu ekonomi konvensional dan ekonomi syariah. Ini adalah perlu
kerana bidang pengajian dewasa ini amat menekankan pengkhususan sehingga
seseorang itu menjadi pakar dalam bidang yang amat kecil skopnya. Mana-mana
satu golongan secara bersendirian amat sukar untuk menghasilkan model
ekonomi Islam yang tahan diuji apabila berhadapan dengan ekonomi
konvensional.

Rujukan
1. Sarimah Hanim Aman Shah, ”Ekonomi dari Perpektif Islam”, Penerbit
Fajar Bakti, 2006.
2. Virginia Hooker and Amin Saikal (editors), ”Islamic Perspectives on the
New Millenium”, ISEAS, 2004.
3. Azlan Khalil Shamsudin dan Siti Khursiah Mohd Mansor, “Pengantar
Ekonomi Islam”, iBook, 2006.
4. Surtahman Kastin Kasan dan Sanep Ahmad, “Ekonomi Islam: Dasar dan
Amalan”, Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Kedua, 2005.
5. Mustafa Dakian, “Sistem Kewangan Islam”, Utusan Publications, 2005.

10

You might also like