You are on page 1of 21

STRESS PELAJAR

Siti Nurhidayatul Akmar Binti Esbah

2.1

PENGENALAN

Stress atau tekanan seringkali berlaku dalam kalangan individu. Ianya berpunca
daripada beberapa factor antaranya masalah kehidupan, tempat kerja, tempat belajar
dan sebagainya. Tekanan ini hakikatnya boleh dibendung atau diatasi bagi mereka
yang mengalaminya, akan tetapi jika ianya tidak dapat dikawal maka berlakulah
perkara yang diluar jangkaan individu seperti kemurungan, keganasan dan sebagainya.
Oleh itu, disini penulis akan membincangkan lebih lanjut untuk mengetahui apakah
yang dimaksudkan dengan tekanan, faktor-faktor tekanan, cara mengatasi tekanan dan
sebagainya.
2.2

KONSEP TEKANAN

Kamus dewan (2005) mendefinisikan konsep sebagai pendapat yang terbentuk dalam
fikiran mengenai sesuatu, tanggapan, gagasan dan idea. Mengikut Garrison (2000),
konsep ialah blok binaan bagi teori dan ia berkembang daripada idea-idea yang
dijanakan dengan berasaskan pengalaman langsung. Konsep tekanan menurut Lefton
(1994) sebagai tindak balas emosi di mana tekanan yang dialami oleh seseorang tidak
akan menjadi tekanan kepada orang lain.
Ceccio (1990) menegaskan bahawa tekanan merupakan satu keadaan dinamik
yang wujud dalam diri seseorang individu di sebabkan oleh permintaanterhadap
perubahan atau penyesuaian.Tekanan boleh mewujudkan respons yang positif dalam
erti kata mempertingkatkan kesedaran dan memperbaiki fungsi dan ia juga boleh
menyebabkan hasil keadaan yang negatif seperti ketakutan dan keletihan.
Tekanan atau stress bermaksud tindak balas dan bukan rangsangan yang
membawa kepada kesan negatif mahupun positif. Petunjuk tekanan termasuklah
petunjuk fizikal, petunjuk psikologi dan petunjuk sosial. Sikap negatif akan timbul di

dalam diri penghidap stress di mana kesannya ialah bunuh diri (Anon 2000). Tekanan
juga merupakan tindak balas fizikal, fisiogikal dan psikologikal yang berlaku dalam
diri seseorang yang berpunca atau diakibatkan oleh suasana yang dihadapi yang
dianggapkan sekarang mengancam atau mencabar. Tekanan merupakan normal dalam
kehidupan yang sentiasa dipenuhi dengan kesibukan. Setiap orang akan mengalami
tekanan dalam kehidupan seharian mereka. Tekanan yang berterusan dan keterlaluan
boleh mengganggu kesihatan mental mahupun kesihatan fizikal (Woo 2008).
Manakala menurut Robiah (1997), stress ialah rasa tertekan yang berpunca
daripada masalah yang dihadapi dalam kehidupan. Stress boleh menyebabkan
mangsanya menderita daripada sakit jiwa dan sakit badan, bahkan jika terlalu serius
boleh membawa maut. Hal ini merupakan bentuk tekanan yang negatif. Terdapat juga
tekanan yang positif iaitu mangsa berasa nikmat daripada tekanan yang timbul,
misalnya membantu bekerja lebih tekun dan lebih cepat. Hatta dan Mohamed Hatta
(2002), menjelaskan terdapat pelbagai punca tekanan samada secara langsung atau
tidak langsung, yang mungkin timbul daripada individu itu sendiri atau melibatkan
sekelompok manusia, persekitaran, keluarga dan sebagainya. Beliau juga menegaskan
tekanan mungkin berpunca daripada kebosanan. Kebosanan pula terjadi kerana kita
melalui rutin hidup yang sama setiap hari, disamping kehidupan yang streotaip tanpa
riadah, hiburan atau teman untuk berbicara.
2.2.1 Teori dan Model Tekanan
Perkataan tekanan sebenarnya berasal daripada perkataan eustress yang membawa
maksud dapat menyesuaikan diri atau tekanan yang membina. Ia juga berasal daripada
perkataan distress yang bermaksud tidak dapat menyesuaikan diri ataupun dapat
merosakkan diri. Oleh itu tekanan adalah situasi yang mengganggu ataupun membina
kehidupan seharian.
Menurut Sigmund Freud, mengkategorikan tekanan kepada tiga kelompok
iaitu Tekanan Realiti yang mana berlaku apabila seseorang diancam oleh sesuatu
dipersekitarannya secara fizikal dan psikologi. Kelompok kedua iaitu Tekanan Moral,
ketakutan pada suara hati, yakni seseorang akan rasa bersalah apabila melakukan atau

berfikir tentang sesuatu yang berlawanan dengan nilai-nilai moral. Kelompok ketiga
pula Tekanan Neurotik di mana tekanan ini ialah kebimbangan terhadap naluri yang
tidak boleh dikawal dan mengakibatkan seseorang dihukum (Shaharizan 2009).
Menurut Azhar (2004) tekanan diertikan sebagai desakan yang memberi kesan
kepada kehidupan seharian seseorang. Kesan daripada desakan ini sama ada ianya
baik atau buruk bergantung pada tindak balas kepada faktor-faktor yang menyebabkan
tekanan. Hatta Sidi dan Mohamed Hatta (2002), menyatakan tekanan adalah fenomena
pelbagai dimensi yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kehidupan manusia.
Hal ini dapat dibuktikan dengan pertambahan kadar penyakit psikiatri dan gejala
sosial di kawasan yang terlalu pesat membangun, tanpa mengisi jiwa masyarakatnya
dengan keperluan psikologi, sosial, emosi dan spiritual.
Terdapat pelbagai model dan teori telah dirangkakan untuk menjelaskan
maksud stres, antaranya ialah model respon (Tee 2006). Model ini telah menjelaskan
respon individu terhadap ciri-ciri yang negatif dan yang kurang disenangi dengan
alam persekitaran. Menurut Selye (1976), respon fisiologi itu dikenali sebagai respon
lawan atau lari dan terdiri daripada tiga tahap iaitu:
i.

Respon lawan atau lari, iaitu reaksi berjaga-jaga terhadap perubahan


awal yang berkaitan dengan stressor (penyebab tegangan).

ii.

Pertentangan dan penyesuaian maksimum terhadap rangsangan yang


berpanjangan dan berterusan.

iii.

Kepupusan atau kehilangan penyesuaian diri akibat rangsangan yang


berpanjangan dan berterusan. Pada tahap ini, respon akan beralih
semula ke tahap pertama, tahap kedua dan seterusnya hingga suatu
reaksi yang dapat mengurangkan stressor atau penyebab tegangan
dihasilkan.

Menurut beliau, ketiga-tiga tahap ini dapat membantu seseorang individu


untuk menyesuaikan diri dan seterusnya bertindak balas ke atas stressor. Respon akan
berulangan dari tahap pertama ke tahap ketiga jika sesuatu reaksi yang sesuai tidak
dapat dihasilkan. Ekoran daripada itu, individu tersebut akan berasa letih, penat,

lemah dan seterusnya tahap ketahanannya akan menurun. Keadaan ini amat
membahayakan kerana individu tersebut akan mudah dan berkecenderungan untuk
menjangkit penyakit-penyakit yang berkaitan dengan ketegangan atau stres seperti
barah perut, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, sakit mental dan sebagainya.
2.2.2 Faktor-Faktor Tekanan
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan tekanan emosi yang dialami individu.
Adnan al-Sharif (1987) menyatakan bahawa tekanan bukan sahaja wujud kerana
dipengaruhi oleh gangguan mental dan emosi tetapi tekanan juga wujud apabila
manusia merasa ketidaktenteraman jiwa atau jiwa yang berada dalam keadaan gelisah,
keluh kesah, ketakutan, kecemasan dan was-was. Gangguan dan ketidaktenteraman
jiwa ini berpunca samada dari persekitaran luar mahupun dalam diri manusia itu
sendiri.
Manakala Muhammad Uthman Najati (1992) pula menjelaskan bahawa
manusia menghadapi gangguan jiwa atau emosi apabila berlakunya konflik psikis atau
pertembungan antara dua jiwa manusia iaitu jiwa yang beriman kepada Allah S.W.T
dan jiwa yang menurut hawa nafsu. Keadaan jiwa manusia seperti ini dapat
digambarkan dalam kisah anak Nabi Adam iaitu Qabil yang telah membunuh saudara
kandungnya Habil. Kisah ini terdapat dalam Al-Quran, surah al-Maidah, 6: 27-30.


Berdasarkan kajian-kajian terdahulu mengenai faktor-faktor tekanan emosi,
didapati terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu merasa
tertekan seperti faktor perubahan biologi, personaliti, keluarga, persekitaran, konflik
dan akademik (Windle & Mason 2004; Walker 2002; Needlman 2004). Ball, Sharifah
Muzlia dan Mosselle (1999) dalam satu kajian ke atas 392 orang pelajar Kolej Melayu
yang berumur antara 17 hingga 20 tahun menunjukkan sumber stres yang paling
berpengaruh ke atas stres pelajar ialah konfrontasi harian sebagai pelajar universiti
termasuk tugasan akademik, perasaan tidak yakin sama ada bidang yang diambil dapat
menjamin masa depan yang baik dan konflik keluarga yang tidak diselesaikan.
Kajian Ooi (2002) bertujuan mengetahui punca stres di kalangan pelajar Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan
Sumber Asli dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan (Kimia), Fakulti Pendidikan
di Universiti Teknologi Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor
persekitaran merupakan penyumbang stress pelajar berbanding faktor akademik,
kewangan, keluarga, sosial dan intrapersonal. Bojuwoye (2002) dan Suriani dan
Suraini (2005) dalam kajian mereka mendapati persekitaran pembelajaran merupakan
punca kedua yang utama stres pelajar universiti selepas sumber stres akademik.
Keadaan bilik kuliah yang tidak selesa dan peraturan universiti yang terlalu ketat
antara punca berlakunya stres dalam kalangan pelajar.
Menurut Suriani dan Suraini (2005) dalam kajiannya terhadap 94 orang pelajar
Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapati sumber stres akademik, peribadi dan
universiti dialami oleh 70 peratus hingga 91 peratus manakala sumber stres berkaitan
aktiviti ko-kurikulum, rakan, keluarga dan ibu bapa dialami lebih kurang 60 peratus
hingga 70 peratus pelajar. Kajian ini mendapati akademik merupakan punca utama
stres yang utama terutamanya disebabkan terlalu banyak tugasan, tidak cukup masa
untuk mengulangkaji, mendapat markah yang lemah dalam ujian, sukar memahami

subjek yang diajar, tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan pensyarah,
menunggu keputusan peperiksaan dan tidak dapat memberi tumpuan dan perhatian
kepada pelajaran. Kajian Anderson dan Cole (1988) ke atas 360 orang pelajar
universiti terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan bertujuan mengkaji
pembolehubah-pembolehubah

tertentu

serta

hubungannya

terhadap

prestasi

pembelajaran dan burnout. Sebahagian pembolehubah yang diperolehi memberi kesan


yang ketara terhadap prestasi pembelajaran dan juga burnout. Faktor yang paling
memberi tekanan kepada pelajar ialah peperiksaan akhir.
Ross, Niebling dan Heckett (1999) telah menjalankan kajian terhadap 100
orang pelajar kolej yang berbeza dari segi umur, jantina dan pengkhususan subjek
utama di Universiti Midwestern. Kajian ini telah menggunakan alat ukur Student
Stress Survey (SSS) bagi mengenalpasti punca utama stres berdasarkan 40 situasi yang
berpotensi menyebabkan stres dalam kalangan pelajar. Dapatan kajian menunjukkan
bahawa faktor intrapersonal adalah penyebab utama stres yang sering berlaku dalam
kalangan pelajar. Antara faktor tertinggi yang menyebabkan stres dalam kalangan
pelajar ialah perubahan tabiat tidur dan pemakanan, cuti semester, peningkatan
bebanan kerja dan penerimaan tanggungjawab baru. Kajian Diane, Sergio, Lori, Lisa,
Jan, Jeanee, Julie dan Robert (2000) yang mengkaji tentang tekanan, punca tekanan
dan cara pengurusan tekanan di kalangan pelajar sekolah tinggi. Hasil kajian
mengenai punca tekanan pelajar mendapati terdapat beberapa elemen yang
menyebabkan tekanan pelajar iaitu jangkaan sendiri terhadap kerjaya, rangsangan
masa depan, ujian, keputsan, kerja sekolah, jangkaan sendiri terhadap sekolah dan
tekanan daripada ibu bapa terhadap kehidupan sosial.
Tekanan emosi boleh juga disebabkan oleh faktor luaran seperti faktor
persekitaran. Hubungan antara persekitaran dengan tekanan ialah bagaimana
persekitaran yang melingkungi remaja boleh menyebabkan mereka tertekan seperti
persekitaran yang terlalu padat dengan penduduk, pembangunan yang terlalu pesat,
suasana masyarakat yang kurang baik dan suasana yang bising. Perbandaran yang
terlalu pesat berlaku merupakan penyebab kepada tekanan (Ame Husna & Nadhirah
2010). Menurut beliau lagi faktor keluarga turut menyumbang kepada tekanan emosi
remaja. Sekiranya keluarga bahagia, maka emosi remaja stabil, tetapi jika keadaan

keluarga tidak bahagia dan berada dalam keadaan kucar-kacir, maka mengganggu
emosi remaja. Berhubung dengan faktor keluarga pula banyak aspek yang boleh
mempengaruhi tekanan emosi remaja seperti kestabilan rumah tangga, persekitaran
keluarga, corak tingkah laku ibu bapa, sosio-ekonomi ibu bapa, latar belakang
pendidikan keluarga, kualiti hubungan ibu bapa dan anak serta kualiti hubungan adik
beradik.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Najib, Che Su, Zarina dan Suhanim
(2005) dalam kalangan seramai 1923 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM)
mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara beban tugas dan stres akademik
yang dialami pelajar. Ini bermakna semakin banyak tugasan yang dipikul oleh pelajar,
semakin tinggi stres akademik pelajar. Menurut mereka lagi, pelajar biasanya
mempunyai tugasan yang banyak yang perlu diselesaikan dalam satu-satu semester
bagi setiap kursus. Maka secara tidak langsung bebanan tugas menyumbang kepada
tekanan pelajar. Russel dan Hattie (1991) juga mendapati dalam kajian mereka
bahawa tekanan rakan sebaya, tekanan ibu bapa, kepentingan sekolah dan ketakutan
pada kegagalan merupakan 4 faktor yang signifikan untuk menyumbang kepada
tekanan akademik. Di samping itu pelajar juga menghadapi tekanan terhadap gred
akademik, masa yang tidak mencukupi untuk menyempurnakan keperluan kendiri dan
kebimbangan berkaitan dengan kehidupan masa hadapan.
Mahadir, Shazli Ezzat, Normah dan Ponnusamy (2004) dalam kajian mereka
untuk melihat pengaruh stres hidup dan kesan daya tindak kepada distress psikologi
dalam kalangan pelajar universiti. Kajian ini mendapati stres hidup secara
keseluruhannya menyumbang sebanyak 41 peratus kepada varian distress psikologi.
Punca stres dan reaksi masing-masing menyumbang sebanyak 30.7 peratus dan 38.9
peratus kepada varian distress psikologi. Daya tindak yang tidak produktif pula
menyumbang sebanyak 50.8 peratus kepada reaksi stres dan sebanyak 29.6 peratus
kepada varian distress psikologi.
Kajian Mastura, Fadilah dan Nor Akmar (2007) mengkaji tentang faktor-faktor
yang menyebabkan pelajar universiti tahun dua menghadapi tekanan. Hasil dapatan
kajian mendapati tahap tekanan pelajar universiti adalah sederhana iaitu 23 pelajar

universiti daripada 30 keseluruhannya. Punca berlaku tekanan dalam kalangan pelajar


ialah faktor kerjaya (97.3 peratus), cara menulis resume (86.7 peratus), penggunaan
bahasa Inggeris, cabaran kerjaya, faktor akademik iaitu bebanan kerja yang terlalu
banyak untuk disiapkan dalam masa jangka pendek, faktor pemikiran yang tidak
rasional, hubungan dengan rakan sebaya, hubungan dengan pensyarah dan lain-lain.
Dalam kajian Sayiner (2006) mendapati dua punca utama penyebab tekanan
pelajar universiti ialah faktor persekitaran dan faktor individu termasuk sokongan
sosial, persepsi individu, kepercayaan dan personaliti. Faktor persekitaran salah
satunya ialah kesan budaya yang datang daripada permintaan universiti dan peranan
pelajar universiti yang perlu dipegang oleh mereka adalah berat.
2.2.3 Tanda-Tanda Tekanan
Tanda-tanda atau simptom tekanan boleh dikenal pasti berdasarkan tiga kategori
tindak balas, iaitu fisiologi, psikologi dan tingkah laku. Dalam konteks dakwah
Islamiah pula, pengkajian tentang tanda-tanda tekanan emosi boleh dikaji dalam alQuran yang mengisahkan tentang kisah-kisah Nabi dan umat terdahulu. Misalnya,
kisah yang diceritakan dalam surah Yusuf ayat 12 dan surah Maryam ayat 19 banyak
memaparkan persoalan psikologi manusia termasuk hal yang berkaitan dengan
tekanan. Selain daripada al-Quran, buku-buku sirah Rasul yang banyak menulis
tentang sejarah dan peristiwa-peristiwa yang dilalui dalam penyebaran Islam, boleh
juga dilihat dari aspek psikologi (Fariza 2005).
Tindak balas fisiologi terhadap tekanan ialah menimbulkan simptom-simptom
kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol dan gastrousus seperti
sakit perut, cirit-birit, sembelit, loya dan ulser perut. Rangsangan emosi akibat tekanan
boleh menyebabkan pembebasan hormon katekolamin dan asid urik (Fatimahwati
2002). Orang yang mengalami tekanan emosi sering menghadapi masalah dari segi
kesihatan. Mereka akan mengalami sakit kepala, lenguh-lenguh badan, letih dan sesak
nafas. Kajian yang dibuat oleh Muhammad Shah (1993) mengenai tanda-tanda remaja
mengalami tekanan dari sudut fisiologi ialah mereka yang sering mengalami masalah
kesihatan seperti sakit perut, sakit kepala dan bisa-bisa seluruh badan. Selain itu, kaki

dan tangan kerap berpeluh, cepat berasa letih dan tidak bermaya, tidak nyenyak tidur,
berat badan yang menyusut atau berat badan naik mendadak, berasa sesak nafas dan
tangan sering menggeletar.
Hasil kajian di atas menyamai tanda-tanda yang dikemukakan oleh Kasmini
(1992) dalam bukunya Psikiatri Kanak-Kanak, iaitu, rasa loya, sakit perut, cirit-birit,
muntah, pening kepala, mulut rasa kering, degupan jantung semakin cepat, tapak
tangan seram sejuk, berpeluh, kerap kencing dan rasa hendak pitam. Tindak balas
psikologi pula terhadap tekanan ialah perubahan-perubahan emosi yang berlaku
seperti perasaan tidak puas hati, mudah marah, merasa kecewa dan berputus asa dan
murung. Menurut Hamdan (2002) pula, tanda-tanda psikologi terhadap tekanan ialah
kemurungan dan tidak boleh bertenang.
Mohd Razali (2010) membahagikan kepada tiga kumpulan tanda tekanan iaitu
secara fizikal, perubahan emosi dan tingkah laku. Tanda secara fizikal seperti sakit
kepala, kembung perut, berdebar-debar, sukar menelan, mual, keletihan dan
menggeletar. Perubahan emosi pula seperti mudah meradang, pelupa, rasa takut, risau
dan susah hati. Manakala dari sudut perubahan tingkah laku seperti gelisah, tidak
dapat tidur, mudah lupa, menjadi pemarah dan sebagainya. Tanda-tanda ini juga
merupakan sebahagian daripada gejala kebimbangan dan kemurungan bergantung
kepada keterukannya.
Menurut Pakar Psikiatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),
Ainsah (2001), antara tanda-tanda tekanan dari aspek tingkah laku ialah
penyalahgunaan dadah, meminum minuman keras, menghisap rokok dan bermasalah
dalam perhubungan sosial. Manakala Jacques dan Diana (1990) ke atas 622 remaja
yang tinggal di Ladang Midwestern telah mendapati bahawa tanda-tanda remaja
mengalami tekanan ialah kemurungan, personaliti delinkuen dan penyalahgunaan
dadah. Dalam kajian Lim (2008) tekanan emosi dan remaja dalam kalangan 60 orang
remaja di Bandar Muar, Johor mendapati peratusan yang tinggi terhadap simptom
tekanan remaja ialah dari segi kategori psikologi iaitu cepat marah, tidak dapat
menumpukan perhatian, tidak selesa di depan khalayak, tidak puas dengan kehidupan
kini, daya ingatan yang lemah dan mementingkan kesempurnaan.

10

2.2.4 Strategi Menangani Tekanan


Terdapat pelbagai langkah perlu diambil bagi menangani masalah tekanan yang
dialami oleh seseorang. Dalam hal ini sokongan yang diterima individu boleh
memainkan peranan menjadi pemampan kepada tekanan. Sokongan tersebut boleh
dikategorikan kepada dua iaitu sokongan sosial dan sokongan peribadi. Sokongan
sosial disini meliputi sokongan rakan sebaya, ibu bapa dan sebagainya. Manakala
sokongan peribadi seperti kekuatan diri untuk melawan tekanan emosi, berfikir secara
positif, menjaga pemakanan yang seimbang dan sebagainya.
Mohd Razali (2010) menyatakan antara strategi menangani tekanan ialah
dengan melakukan gaya hidup secara sihat, sentiasa aktif seperti bersenam,
mengambil pemakanan yang seimbang, mengurus masa dengan baik dan tidur yang
cukup. Beliau juga menyatakan mereka yang mengalami tekanan perlu meningkatkan
sokongan sosial seperti berkongsi masalah, mendapatkan sokongan emosi dan
sebagainya. Tekanan juga dapat dihindari jika kita mempunyai kemahiran
berkomunikasi dan penyelesaian konflik peribadi. Selain itu berzikir dan beriktikaf
juga merupakan cara terbaik untuk menghindari tekanan bagi yang beragama Islam
kerana dengan berzikir dan beriktikaf dapat menenangkan fikiran, jiwa, merehatkan
seluruh anggota badan daripada kepenatan dan juga akan meningkatkan iman dan
takwa seseorang.
Menurut Sarason, Levine, Bashom dan Sarason (1983) sokongan sosial boleh
dijadikan sumber utama untuk menghadapi krisis hidup, mengatasi masalah dan
tempat pergantungan untuk mendapatkan kasih sayang. Sokongan sosial ini boleh
diberikan pelbagai pihak seperti ahli keluarga, rakan sekerja, penyelia dan individu
lain yang signifikan kepada individu. Bentuk sokongan yang berbeza memberikan
pengaruh yang berbeza ke atas penerimaan sokongan sosial (Hamdan 2002). Selain
daripada sokongan sosial, sokongan dari dalam diri individu itu turut berperanan
membantu menyelesaikan masalah. Sokongan ini dikenali sebagai sokongan peribadi
yang merupakan rangsangan yang lahir daripada dalam diri individu.

11

Mohan dan Shaughnessy (1999) mengkaji 201 pelajar kolej komuniti di West
Texas untuk melihat tahap tekanan dan usaha respon menangani tekanan mereka.
Dapatan kajian menunjukkan pelaja-pelajar lebih menggunakan respon menangani
tekanan kognitif iaitu dengan menganalisa situasi, mendengar muzik, berdoa,
membuat keputusan dan mengharapkan satu penyelesaian yang ajaib. Mereka kurang
menggunakan strategi tingkah laku untuk mengawal emosi malah mereka lebih
cenderung menangani tekanan secara pasif.
Dalam kajian Murray-Harvey, Slee, Lawson, Silin, Banfield dan Russell
(2000), dua kumpulan guru pelatih dari Universiti Flinders merupakan sampel
kajiannya. Hasil kajian mendapati mereka mengalami tekanan yang tinggi apabila
terdapat harapan yang tinggi terhadap prestasi latihan mengajar, beban pengajaran dan
cuba mengimbangi antara praktikum dan peribadi. Terdapat empat kategori strategi
utama responden menangani tekanan yang dikenalpasti iaitu peribadi, professional,
sosial dan institusi. Strategi yang paling penting ialah guru penyelia pelajar yang
memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar.
Kajian Struthers, Perry dan Menec (2000) pula melihat sejauhmana respon
menangani tekanan akademik pelajar-pelajar universiti menjadi pengantaraan antara
akademik dan pencapaian. Seramai 203 pelajar yang mengambil bahagian dalam
kajian ini. Hasil kajian mendapati respon menangani tekanan akademik yang
berfokuskan masalah memainkan peranan yang lebih terhadap motivasi dan
pencapaian pelajar berbanding dengan respon menangani tekanan berfokuskan emosi.
Diane et al. (2000), dalam kajiannya mendapati pelajar lebih cenderung menggunakan
adaptive coping termasuklah relaxation, distraction, cognitive control, help seeking
dan effective release. Kajian ini mendapati pelajar perempuan lebih tinggi
menguruskan tekanan dengan cara adaptive coping berbanding lelaki. Pelajar biasanya
mengurangkan tekanan dengan membaca buku, menonton televisyen ataupun
mendengar muzik.
Kajian Walton (2002) bertujuan menentukan samada terdapat perbezaan
pengamatan terhadap stress dan cara pengendalian stress di kalangan pelajar junior
dan senior dalam program khidmat sosial dan kejururawatan yang sedang membuat

12

persediaan kursus klinikal di sebuah universiti yang terpilih. Hasil kajian terhadap
cara pengendalian stress mendapati pelajar khidmat sosial lebih bergantung kepada
strategi pnyelesaian pengelakan manakala pelajar kejururawatan menggunakan
strategi penyelesaian masalah. Chan (2002) dalam kajiannya ke atas 83 pelatih guru
Cina di Hong Kong mendapati guru-guru pelatih memperolehi tahap yang tinggi
dalam simptom masalah somatik dan diikuti oleh kebimbangan. Kajian ini juga
mendapati sokongan sosial mengurangkan pengaruh tekanan ke atas kebimbangan.
Dunkley, Zuroff dan Blankstien (2003) telah melaksanakan kajian terhadap 64
orang pelajar lelaki dan 99 orang pelajar perempuan di sebuah universiti bagi
mengenalpasti pengaruh tingkah laku dan situasi terhadap kesempurnaan mengkritik
diri apabila menghadapi stres serta kaedah pengendaliannya. Pendekatan structural
equation modeling menunjukkan bahawa hubungan antara kesempurnaan mengkritik
diri dan kesan seharian boleh diterangkan melalui kebanyakan kecenderungan tingkah
laku maladatif seperti pergaduhan, pengelakan penyelesaian serta rendah dalam
penerimaan sokongan sosial. Strategi pengurusan stres berbentuk penyelesaian
masalah adalah kurang efektif bagi pelajar yang mempunyai kritik diri tinggi
berbanding pelajar yang rendah kritik dirinya. Kajian Mastura et al. (2007) mendapati
antara strategi yang dilakukan pelajar dalam menangani tekanan ialah dengan
menggunakan strategi tingkah laku iaitu tidur, membaiki hubungan dengan keluarga,
pensyarah dan rakan sebaya diikuti aspek kerohanian, strategi pemikiran positif,
kaedah pemakanan seimbang dan berkhasiat.
2.2.5 Kesan Tekanan
Seseorang individu yang mengalami tekanan yang berlebihan (distress) akan
mengganggu sistem-sistem dalam tubuh badan. Maka adalah wajar mereka yang
mengalami tekanan mengetahui kesan-kesan tekanan tersebut agar dapat mengambil
langkah yang sesuai untuk menanganinya (Fiona 2003). Antara kesan tekanan tersebut
ialah:
i.

Sistem Kardiovaskular

13

Individu yang mengalami tekanan berlebihan dalam jangka masa yang lama akan
menyebabkan

individu

berpotensi

mengalami

penyakit

dalam

sistem

kardiovaskular. Penyakit dalam sistem kardiovaskular termasuk masalah yang


berkaitan dengan jantung, sistem pengaliran darah dan tekanan darah. Setiap aspek
ini saling mempengaruhi dan tidak dapat dipisahkan berasingan. Sekiranya
seseorang individu sering mengalami tekanan dalam kehidupannya, pengepaman
darah terpaksa bekerja keras, maka ia akan meletihkan jantung individu dan
seterusnya menyebabkan sistem kardiovaskular terpengaruh.
ii.

Sistem Imun

Stres boleh melemahkan sistem immune badan manusia. Ianya juga dapat
mendorong individu mengamalkan tabiat yang tidak sihat yang boleh
memusnahkan sistem immune, misalnya kurang tidur, kurang bersenam, banyak
merokok, minum alkohol serta tidak menjaga cara pemakanan yang sihat.
Sekiranya stres berlanjutan, sebarang biokimia, organ dan sistem yang terlibat
akan terganggu sehingga kelesuan berlaku. Ini akan menyebabkan jangkitan dan
selesema berlaku.
iii.

Respon Kulit

Kulit mempunyai dua respon asas yang dapat menunjukkan apa yang dialami oleh
badan dan minda seseorang. Salah satu daripadanya adalah electrical language
yang akan berinteraksi dengan individu itu sendiri sekiranya individu itu sendiri
mengambil perhatian ke atasnya. Respon sistem kulit asas kedua adalah suhu.
Terdapat pembuluh darah kecil di bawah kulit yang akan berubah mengikut respon
emosi seseorang individu. Ketika seseorang individu mengalami stress, kecemasan
akan menghalang pengaliran darah, menyebabkan kulit menjadi pucat dan suhu
badan menjadi kurang. Stress yang berlanjutan akan menyebabkan sistem kulit
mengalami malfunction dan seterusnya mewujudkan penyakit seperti eczema,
urticaria (hives), psoriasis dan acne.
iv.

Respon Otak

14

Stres dapat mempengaruhi pembuatan keputusan dan pertimbangan seseorang


individu. Apabila mengalami stres, individu akan berada dalam keadaan cemas
dan pemikirannya terganggu. Selain itu, mereka yang mengalami stres juga boleh
menyebabkan emosinya terganggu dan akan mewujudkan kekeliruan, kegelisahan,
ketakutan, tahap sensitiviti emosi yang tinggi dan berperasaan ego. Mereka yang
tidak mampu untuk menangani stres yang berlebihan boleh menyebabkan sakit
kepala yang amat teruk kepada diri individu tersebut.
v.

Respon Otot

Apabila seseorang individu mengalami stres, otot-ototnya akan menjadi tegang


dan menyediakan individu untuk bertindak terhadap stres yang diterima. Oleh itu,
stres yang dialami akan mengakibatkan individu tersebut mengalami masalah
psikosomatik. Ini termasuklah ketegangan dalam kerongkong dan dada, sakit
kepala, kekejangan tenggorok dan ketegangan otot mata.
vi.

Sistem Gastrointestinal

Stres boleh menyebabkan perubahan berlaku dalam peredaran peristaltic yang ada
dalam usus besar dan usus kecil. Ianya boleh menyebabkan penyakit sembelit dan
cirit-birit.
Kesan-kesan tekanan ini biasa dialami mereka yang pernah mengalami tekanan
dalam kehidupan seharian samada secara positif atau negatif dan samada kesan
tempoh yang panjang atau sementara.

2.3

KAJIAN-KAJIAN LEPAS MENGENAI TEKANAN

Dalam bahagian ini pengkaji akan menyatakan kajian-kajian lepas berkaitan tekanan
mengikut kategori seperti tekanan dan jantina, tekanan dan sosio ekonomi, tekanan
dan pencapaian akademik dan sebagainya.

15

2.3.1 Tekanan Dan Jantina


Terdapat banyak dapatan kajian tekanan untuk mencari perbezaan antara jantina.
Pelbagai hasil dapatan yang diperolehi namun kebanyakannya mendapati tidak
terdapat perbezaan tekanan berlainan jantina.
Kajian Forrest (1997) dalam kajiannya terhadap 420 pelajar universiti dari
Universiti Grand Valley State telah menjadi responden kajian ini. Tujuan kajian ini
ialah untuk melihat kekerapan dan kekerasan punca-punca tekanan di kalangan
pelajar-pelajar universiti mengikut jantina, kaum, agama dan pengajian. Dapatan
kajian menunjukkan pelajar-pelajar tahun pertama mengalami tekanan dan kekerapan
yang lebih berbanding dengan pelajar tahun pengajian yang lain. Selain itu dapatan
kajian ini juga menyatakan bahawa pelajar lelaki lebih kerap mengalami tekanan
berbanding dengan pelajar perempuan. Pelajar perempuan pula mengalami kekerasan
tekanan yang lebih. Pelajar-pelajar Afrika-Amerika dan pelajar-pelajar yang tinggal
diluar kampus mengalami kekerapan dan kekerasan tekanan yang lebih tinggi.
Saraswathy (2000) telah menjalankan kajian kes terhadap guru pelatih untuk
mengetahui tekanan yang di alami oleh mereka. Dapatan kajian menunjukkan seramai
14.2 peratus mengalami tekanan tinggi, 74.4 peratus mengalami tekanan sederhana
dan 11.4 peratus mengalami tekanan rendah. Dapatan ini juga menunjukkna tidak
terdapat hubungan yang signifikan tahap tekanan mengikut jantina dan opsyen yang
diperoleh.
Hudd, Suzanne, Dumlau, Jennifer, Erdmern-Sager, Diane, Murray, Daniel,
Phan, Emily, Soukas, Nicholas, Yokozuka dan Nori (2000) dalam kajiannya
mendapati 63.8 peratus pelajar perempuan selalu meluahkan perasaan stres
berbanding lelaki hanya sebanyak 36.3 peratus yang melaporkan stres. Dapatan kajian
ini menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan mengikut jantina. Kajian
Diane et al. (2000) mendapati tiada perbezaan skor tekanan antara lelaki dan
perempuan tetapi terdapat perbezaan mengikut etnik di mana pelajar kulit putih
menghadapi tekanan lebih tinggi berbanding pelajar kulit hitam.

16

Kajian Nwadiani (2001) dan Misra (2002) mendapati tidak terdapat perbezaan
yang signifikan antara jantina untuk punca tahap tekanan akademik dalam kalangan
pelajar-pelajar. Kajian Ooi (2002) terhadap pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan
(Kimia), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli dan Ijazah
Sarjana Muda Sains Pendidikan (Kimia), Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi
Malaysia juga menjelaskan tiada perbezaan yang signifikan dari segi tahap tekanan
dalam kalangan pelajar mengikut jantina.
Kajian Nor Salmi (2002) mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan
antara pembolehubah jantina dengan faktor stres pekerjaan di kalangan guru seperti
faktor pelajar, faktor peribadi dan tekanan luaran. Hasil kajian mendapati hanya 57
peratus guru perempuan menunjukkan kekerapan berbanding 43 peratus guru lelaki.
Kajian Walton (2002) bertujuan menentukan samada terdapat perbezaan pengamatan
terhadap tahap stres dan cara pengendalian stres di kalangan pelajar junior dan senior
dalam program khidmat sosial dan kejururawatan yang sedang membuat persediaan
kursus klinikal di sebuah universiti terpilih. Hasil kajian mendapati bahawa
pengamatan pelajar bidang khidmat sosial terhadap stres adalah lebih tinggi
berbanding pelajar kejururawatan. Bagi menguruskan stres, pelajar khidmat sosial
dikenalpasti lebih bergantung kepada strategi penyelesaian pengelakan dan pelajar
kejururawatan menggunakan strategi penyelesaian masalah. Namun hasil kajian ini
juga mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara dua kumpulan pelajar
berdasarkan jantina dan umur.
Adi Zuraini (2003), kajian ini melihat hubungan di antara faktor-faktor latar
belakang, persekitaran pembelajaran, pekerjaan dan pencapaian akademik pelajarpelajar yang mengikuti program pendidikan jarak jauh (PJJ) Universiti Teknologi
MARA (UiTM) cawangan Perlis dengan tekanan. Hasil kajian mendapati tidak
terdapat perbezaan tekanan antara faktor jantina. Helvinder (2003), kajian ini
bertujuan mengenalpasti perbezaan di antara punca stres di kalangan guru. Hasil
kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan punca stres kerja di kalangan
guru mengikut jantina. Dari segi min kategori lelaki dan perempuan masing-masing
ialah sebanyak 149.50 dan 146.44.

17

Kajian Chai, Mohammad Fadzil dan Lily Mastura (2004) bertujuan


mengenalpasti tahap stres pelajar di sebuah kolej di Malaysia semasa pengajian
semester 2003/04. Subjek kajian terdiri daripada 53 orang lelaki dan 34 orang
perempuan. Alat ukur Self Report Inventory (DSP) telah digunakan. Keputusan kajian
menunjukkan bahawa tahap stres responden adalah tinggi terutama masalah yang
berkaitan penyesuaian diri, kewangan serta jangkaan keputusan akademik. Tidak
terdapat perbezaan signifikan dari segi jantina, tahun pengajian dan kursus yang
diikuti.
Kajian Pilar (2004), mengkaji tentang perbezaan dalam beberapa proses
tekanan ke atas responden di Spanyol. Kajian ini dijalankan ke atas 2816 responden di
mana 1366 ialah responden perempuan dan 1250 ialah responden lelaki dari peringkat
umur 18 tahun hingga 65 tahun. Hasil kajian mendapati perempuan lebih banyak
menghadapi tekanan harian berbanding lelaki. Tajularipin, Aminuddin, Vizata dan
Saifuddin (2009), bertujuan mengenalpasti hubungan antara tahap tekanan dengan
pencapaian akademik pelajar di sekolah menengah bandar dan luar bandar di
Malaysia. Hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap
tekanan pelajar lelaki dan perempuan sekolah menengah bandar dan luar bandar.
Dalam kajian Sharon (2009) mendapati tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan
dalam tahap tekanan yang dialami pelajar. Tidak kira lelaki ataupun perempuan
masalah ataupun punca berlakunya tekanan adalah sama terutamanya apabila
peperiksaan hampir tiba, tarikh menghantar tugasan sudah dekat ataupunn adanya
tugasan pembentangan.

2.3.2 Tekanan Dan Sosio-Ekonomi


Tan (1994) dalam kajian tinjauannya terhadap 224 orang guru pelatih semester 4
mendapati 63.4 peratus guru pelatih mengalami tekanan sederhana dan 36.6 peratus
mengalami tekanan tinggi. Hasil kajian mendapati elaun kewangan guru pelatih yang

18

tidak mencukupi dan harapan ibu bapa menyebabkan tekanan yang tinggi. Manakala
kajian oleh Nwadiani (2001), dapatan kajian menunjukkan bahawa latar belakang
sosio ekonomi tidak mempengaruhi secara signifikan tahap tekanan akademik dalam
kalangan pelajar tahun pertama di universiti-universiti di Nigeria.
Chai, Mohammad Fadzil dan Lily Mastura (2004), telah menjalankan kajian
dalam kalangan pelajar di sebuah kolej di Malaysia semester 2003/04 yang bertujuan
untuk mengenalpasti tahap tekanan pelajar tersebut. Hasil dapatan menunjukkan tahap
tekanan pelajar tinggi terutama masalah yang berkaitan dengan kewangan.
Kajian Evelyn (2001) mendapati antara punca tekanan pelajar universiti adalah
disebabkan terdapat banyak tugasan pada satu masa, masalah kesihatan dan masalah
kewangan. Kajian Sharon (2009) juga mendapati antara faktor tekanan yang dihadapi
oleh pelajar IPTA dan IPTS dalam kajiannya ialah faktor kewangan.
2.3.3 Tekanan Dan Akademik
Misra, McKean, West dan Russo (2000) telah menjalankan kajian mengenai persepsi
tekanan akademik di kalangan pelajar-pelajar universiti. Responden kajian ini terdiri
daripada 249 pelajar-pelajar universiti dan 67 ahli fakulti dari sebuah universiti di
Midwestern. Hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan antara persepsi pelajar
dengan ahli fakulti dalam tekanan akademik. Ahli-ahli akademik berpendapat pelajarpelajar mengalami tahap tekanan yang lebih dan menunjukkan reaksi yang lebih
kepada punca-punca tekanan berbanding dengan persepsi pelajar-pelajar sendiri.
Selain itu, dapatan dalam kajian ini juga mendapati pelajar-pelajar tahun pertama
mengalami tahap tekanan yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar-pelajar lain.
Manakala pelajar perempuan dilaporkan mengalami tahap tekanan yang tinggi dan
menunjukkan reaksi yang lebih kepada punca-punca tekanan berbanding dengan
pelajar-pelajar lelaki.
Shazia dan Ghazala (2000) menjalankan kajian mereka di Bandar Rawalpindi
dengan 100 pelajar kolej sebagai responden. Hasil kajian ini menunjukkan pelajar
yang optimistik kurang mengalami tekanan dan merupakan pelajar yang mempunyai

19

pencapaian akademik yang tinggi. Sebaliknya pelajar yang pesimistik lebih cenderung
kepada kebimbangan dan ketegangan. Dalam kajian Nwadiani (2001) pula dijalankan
untuk melihat tahap tekanan akademik di kalangan pelajar-pelajar tahun pertama di
universiti-universiti di Nigeria. Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat tahap
tekanan akademik yang tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar tahun pertama. Pelajarpelajar ini mengahadapi masalah tempat tinggal dan sukar untuk membuat proses
kemasukan.
Dalam kajian Indra Devi (2001) telah menjalankan kajian mengenalpasti
faktor-faktor yang menyumbang kepada tekanan dan faktor-faktor peramal kepada
tekanan di kalangan guru pelatih MPIK. Responden kajian ini terdiri daripada 89
orang guru pelatih semester dua. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor
psikologi sosial, kewangan, gerak kerja ko-kurikulum, pengajaran-pembelajaran dan
pencerapan mempunyai korelasi signifikan dengan tekanan. Variable penentu yang
dapat meramalkan tekanan ialah faktor psikologi sosial yang melibatkan kemahiran
interpersonal, kemahiran berkomunikasi dan masalah pergaulan. Kajian ini
menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan dan pencapaian
akademik.
Kajian Misra (2002) bertujuan untuk melihat tekanan akademik pelajar-pelajar
antarabangsa. Seramai 143 pelajar antarabangsa dari dua buah universiti dari kawasan
Midwestern, USA mengambil bahagian dalam kajian ini. Dalam kajian ini punca
tekanan yang utama ialah tekanan hidup iaitu masalah bahasa, penyesuaian budaya,
kebimbangan kewangan dan lain-lain. Hipotesis yang diperolehi dalam kajian ini ialah
tekanan hidup boleh mempengaruhi tekanan akademik. Hasil kajian menunjukkan
pelajar perempuan menunjukkan reaksi yang lebih tinggi kepada punca-punca tekanan
berbanding pelajar-pelajar lelaki.
Kajian Rosni (2003) mendapati kajian penggunaan teknik pengurusan tekanan
terhadap pencapaian akademik dijalankan di Universiti Teknologi Malaysia mendapati
tiada hubungan yang signifikan antara teknik pengurusan tekanan seperti pengurusan
masa, sokongan sosial, senaman dan releksasi dengan pencapaian akademik yang
diperolehi.

20

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Najib, Che Su, Zarina dan Suhanim
(2005) dalam kalangan 1,923 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati
terdapat hubungan yang signifikan antara beban tugas dan stress akademik yang
dialami pelajar. Ini bermakna semakin banyak tugasan yang dipikul oleh pelajar,
semakin tinggi stres akademik pelajar. Hasil Kajian daripada Fariza (2005), bagi
kategori faktor akademik pula, item gagal menunjukkan prestasi akademik yang
baik merupakan perkara yang menyebabkan remaja merasa sangat tertekan,
kemudian diikuti dengan perkara atau item harapan yang terlalu tinggi ibu bapa
dalam pelajaran.
2.3.4 Tekanan Dan Persekitaran
Hasil kajian daripada Fariza (2005), memperlihatkan bahawa setiap faktor ada
menyumbang kepada tekanan emosi remaja. Daripada 30 item yang disenaraikan
didapati item sekiranya ibu bapa meninggal dunia dan item sekiranya ibu bapa
bercerai paling utama menyebabkan remaja sangat tertekan. Hasil dapatan kajiannya
pula berkenaan faktor sosial mendapati sekiranya remaja terlibat dengan masalah
sosial seperti alkohol, rokok dan pelacuran boleh menyebabkan remaja merasa sangat
tertekan. Manakala perkara yang berkaitan dengan disisih rakan sebaya juga boleh
menyebabkan remaja merasa sangat tertekan.
Kajian Mahmood Nazar, Mohamad Taib dan Habshah (1992) mengenai kesan
perubahan persekitaran terhadap anxiety dan tekanan pelajar Institusi Pengajian Tinggi
di Universiti Utara Malaysia mendapati tahap tekanan pelajar ketika keadaan kampus
yang selesa adalah tinggi berbanding suasana yang kurang selesa.
Parameshvara (1979), peningkatan kos hidup dalam bandar menyebabkan
individu berlumba-lumba meningkatkan pendapatan keluarga. Di samping itu,
perbandaran juga menyebabkan individu banyak menghabiskan masa di jalan raya
kerana kesesakan lalu lintas. Situasi ini memberi kesan kepada hubungan dalam
keluarga terutama antara ibu bapa dan anak-anak kerana ibu bapa tidak mempunyai
masa yang banyak untuk berinteraksi dengan anak-anak, menyediakan masakan,
bermain, mendidik dan berbual-bual dengan anak-anak. Keadaan begini menyebabkan

21

anak-anak rasa terpinggir, kecewa dan tidak dipedulikan. Sekiranya ia berlarutan


dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan tekanan emosi kepada anak-anak
remaja (Fariza 2005).
Kajian Ooi (2002) bertujuan mengetahui punca stres di kalangan pelajar Ijazah
Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan
Sumber Asli dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan (Kimia), Fakulti Pendidikan
di Universiti Teknologi Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor
persekitaran merupakan penyumbang utama stres pelajar berbanding faktor akademik,
kewangan, keluarga, sosial dan intrapersonal.
2.4

KESIMPULAN

Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor tekanan pelajar iaitu faktor akademik, faktor
persekitaran, faktor rakan sebaya dan sebagainya. Faktor-faktor tersebut memberi
kesan kepada pelajar secara fizikal dan psikologikal. Faktor-faktor dan kesan tekanan
ini di dapati daripada hasil dapatan kajian-kajian lepas dalam negara dan luar negara.
Walaupun kajian-kajian lepas mengenai tekanan telah banyak dijalankan tetapi kajian
tersebut telah dijalankan berlainan sasaran, tempat dan kaedah mengutip data yang
digunakan. Ianya bertujuan untuk memberi nilai tambah dan sumbangan bagi
membantu mencari satu kaedah mengurangkan tahap tekanan pelajar supaya tidak
mengganggu proses pembelajaran dan kerjaya mereka di masa akan datang.

You might also like