You are on page 1of 28

PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL

Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa


menghiasi lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing
telah menggusarkan masyarakat. Fenomena

ini diibaratkan duri

dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti


rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga
penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh
selepas hujan? Tampaknya, masalah gengsterisme, vandalisme,
samseng jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari rumah sering
berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan
keluarga

amat

signifikan

untuk

mengekang

sindrom

sosial

terutamanya masalah remaja.


Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu
memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak
kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan
agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang
segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak
mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sebagai
contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau
menghantar mereka ke sekolah agama.
membimbing

anggota

keluarga

untuk

sembahyang dan mengaji kitab-kitab.

Ketua keluarga perlu


menjalankan

solat

Sehubungan dengan itu,

anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana


mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.
Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi
pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku
anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan
sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana banyak pengaruh luaran
seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang
bertelinga nipis dan pantang dicabar. Jika rakan sebaya mereka
tidak berperibadi mulia, remaja yang setahun jagung dan darah

setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan


mereka,

seperti

melepak,

berlumba

haram

dan

sebagainya.

Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh


ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga
yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang mulia
sehingga berjaya.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang
lebih tua perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anakanak. Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anakanak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa
sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa, bagaimana acuan
begitulah kuihnya.

Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang

negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web


lucah dan lain-lain lagi.

Bapa borek anak rintik merupakan

peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang
ego, individualistik, materialistik, dan bongkak

akan mencanai

generasi muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.


Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna dan kamil amat
diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar
memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak.
Kejadian

ini berlaku

kerana anak-anak yang kurang mendapat

kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Ibu bapa
perlu sentiasa melayani anak mereka bagai menatang minyak
yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan
mengucapkan

kata-kata

sayang

kepada

anak-anak

mereka.

Sementelahan, ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika


anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara
yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan
seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka
pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan
kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa mereka.

Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk membanteras


kegiatan negatif.

Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi


masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan masalah anak-anak.
Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan
masalah

yang

dihadapi.

Sebagai

contoh,

ibu

bapa

boleh

meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak.


Sebaliknya

anak-anak

perlu

memahami

tanggungjawab

dan

bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu


bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan
mereka. Dengan itu,

setiap anggota keluarga akan berasa diri

mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti


keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan
dari

semasa

ke

semasa

supaya

mengeratkan

silaturahim

sekeluarga.
Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya
sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga
seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan Keluargaku, syurgaku,
dan Semakin hari semakin sayang patut dihayati oleh seisi
komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat.

PERANAN KELUARGA DALAM PEMBENTUKAN SAHSIAH


Dalam era globalisasi, anak-anak muda mudah dipengaruhi unsur
negatif daripada media massa serta bahan-bahan bercetak. Sejajar
dengan itu, ibu bapa perlu sedar tentang peranan mereka terhadap
pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak harus dididik dengan
sempurna supaya menjadi insan beretika dan dapat memberikan
manfaat kepada masyarakat. Golongan muda merupakan harapan
negara, bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara. Oleh itu, mereka harus diberi kesedaran tentang
kepentingan

mengamalkan

prinsip

moral

supaya

dapat

merealisasikan pelbagai wawasan negara kelak.


Sememangnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
menyemai kesedaran tentang pentingnya kehidupan beretika.
Antara caranya ialah mencurahkan kasih sayang kepada anak sejak
mereka

kecil

lagi.

Ibu

bapa

perlu

mengambil

berat

dan

mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak. Sebagai contoh,


ibu bapa patut meluangkan masa bersama-sama anak-anak untuk
memahami serta mengambil berat tentang kehidupan mereka
khususnya pelajaran mereka, hobi serta pergaulan mereka dengan
rakan-rakan. Selain itu, ibu bapa patut menjaga anak masingmasing bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, bercerita
kepada anak-anak yang masih kecil sebelum mereka tidur serta
bergembira sesama anak-anak semasa sambutan hari jadi mereka
atau semasa mereka memperoleh kejayaan. Lantaran itu, anak-anak
akan membesar dan menjadi manusia yang beradab sopan, ceria
serta berkeyakinan diri. Mereka tidak akan melibatkan diri dengan
masalah sosial kerana sedar bahawa perbuatan tersebut akan
menyakiti hati ibu bapa. Sebaliknya, mereka menjadi orang yang

mempunyai sahsiah yang baik, yakni, menghormati ibu bapa,


bersopan santun, dan mendengar nasihat ibu bapa.

Di samping itu, ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik kepada
anak-anak. Ibu bapa patut mengamalkan amalan murni supaya
dapat mempengaruhi anak untuk turut berbuat demikian. Tidak
dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan orang yang dipercayai
anak-anak. Segala tindak-tanduk serta amalan ibu bapa akan
dicontohi anak sejak anak masih kecil lagi. Pendek kata ibu bapalah
idola anak-anak. Jadi, ibu bapa yang mengamalkan pelbagai tabiat
buruk seperti merokok, berjudi, berbohong, mencuri dan mengutuk
rakan sekerja patut menghentikan tabiat buruk tersebut. Hal ini
demikian kerana

Anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa

mereka. Sememangnya, ibu bapa tidak berhak mendisiplinkan anak


yang merokok dan mewarnakan rambut sedangkan diri sendiri juga
berbuat demikian. Anak-anak juga tidak akan mempercayai serta
menghormati ibu bapa seperti yang dinyatakan di atas. Justeru, ibu
bapa harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak supaya
mereka

dapat

membesar

menjadi

manusia

berguna

dan

mengamalkan nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh ibu bapa.


Selain itu, ibu bapa patut memberikan didikan agama kepada
anak-anak.

Ibu

bapa

patut

membawa

anak-anak

ke

tempat

beribadat untuk bersembahyang atau menjalankan pelbagai aktiviti


bermanfaat

seperti

bergotong-royong.

Sebagai

contohnya,

membawa anak-anak ke masjid untuk bersembahyang bersamasma.

Dengan

itu,

anak-anak

sedar

akan

kewajiban

diri

mengamalkan nilai-nilai murni termasuk mentaati perintah agama.


Mereka akan dapat membezakan perkara baik dan buruk serta
mempunyai disiplin diri untuk melakukan perkara yang betul.
Walaupun anak-anak juga sentiasa berhadapan dengan godaan dan
cabaran globalisasi, mudah-mudahan mereka dapat mengawal diri

dan tidak
mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti memeras ugut,
merokok, dan mencuri. Apabila anak-anak mendalami ajaran kitab
berdasarkan agama masing-masing, mereka mendapat panduan
hidup yang baik serta berusaha mengamalkan nilai-nilai murni
kerana sedar bahawa kesudahan yang baik menanti diri mereka.
Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menerapkan didikan agama dalam
hati anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Tambahan pula pendidikan agama akan
menjadi garis pandu kepada

mereka

agar membesar sebagai

insan bijaksana dan beretika.


Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memantau aktiviti yang
dijalankan oleh anak-anak terutamanya golongan remaja. Hal ini
demikian kerana

anak-anak

pada

usia

ini mudah terpedaya

sehingga terpengaruh untuk terlibat dalam gejala negatif seperti


penyalahgunaan dadah dan kumpulan mat rempit dan kaki lepak.
Ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap pergaulan anakanak.

Anak-anak

bermasalah

tidak

kerana

harus

dikhuatiri

bergaul
akan

rapat

dengan

terpegaruh

pelajar

dengan

sikap

mereka. Sebaliknya, apabila pelajar berkawan dengan pelajar atau


rakan yang beradab sopan, mereka akan menjadi orang yang
bersahsiah mulia. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu memantau
aktiviti harian serta pergaulan sosial anak-anak kerana sebagai
insan yang kurang matang, kadang kala mereka mungkin tersalah
langkah.

Jadi,

sebagai

ibu

bapa,

kitalah

yang

paling

wajar

mendorong mereka kepada jalan kebaikan.


Kesimpulannya,

ibu

bapa

perlu

memainkan

peranan

dalam

membesarkan anak menjadi seorang yang bermoral dan bersahsiah


mulia.

Anak-anak

ibarat

mencorakkannya. Jadikan

kain

putih,

ibu

bapalah

sabda

Iman

Al-Ghazali

yang

sebagai

iktibar , iaitu mendidik anak-anak umpama menanam biji

benih. Ianya mesti dibajai, disirami dan dimanja dengan


penuh kasih sayang, agar membesar dengan subur
mengeluarkan

hasil. Begitu

juga

dengan

pendidikan

dan
anak-

anak. Mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang tetapi akan
ditegur

jika

membuat

kesilapan.

Peribahasa

Melayu

menjelaskan, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan


isteri tinggal-tinggalkan. Semoga didikan ibu bapa yang mantap
akan melahirkan anak-anak yang keperibadian terpuji, bersahsiah
dan

dapat membantu negara untuk merealisasikan Wawasan

2020 dan Gagasan Satu Malaysia.

PERANAN KELUARGA MENANGANI MASALAH SOSIAL DALAM


KALANGAN REMAJA
Dasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat Malaysia
isu kebejatan moral dan keruntuhan akhlak para remaja harapan
bangsa yang semakin meruncing. Sering terpampang di dada
akhbar, berita-berita yang menguris hati melibatkan remaja seperti
pergaulan

bebas,

merokok,

melepak

dan

membuang

anak.

Masyarakat menuding jari sesama sendiri menyalahkan orang lain.


Masakan pokok bergoyang, oleh itu pasti terdapat faktor-faktor yang
menyebabkan hal ini terus membarah dalam masyarakat majmuk di
Malaysia. Namun, ibarat meludah ke langit, terkena batang
hidung sendiri apabila ada yang ingin menyalahkan remaja yang
baru

berumur setahun

penyakit

ada

jagung

penawarnya,

penyelesaiannya.

Maka,

setampuk

setiap

jawapan

pinang. Setiap

masalah

yang

ada

dicari-cari

jalan
untuk

permasalahan ini ialah keluarga memainkan peranan yang penting


dalam menangani masalah yang semakin hari semakin parah ini.
Antara

peranan

keluarga

dalam

menangani

polemik

ini

termasuklah memperkukuh institusi keluarga. Institusi keluarga


sebagai institusi tertua di dunia seyogianya mempraktikkan nilainilai murni dalam kehidupan seharian. Hal ini berlaku demikian
kerana nilai-nilai murni adalah vital kepada seseorang agar tidak
terjebak

dengan

perkara

atau

unsur-unsur

yang

negatifnya.

Misalnya , seorang remaja yang berbudi bahasa dan jujur pasti tidak
akan merokok kerana kejujurannya dan janjinya terhadap ibu bapa.
Dengan sifat amanah, remaja itu pasti tidak akan terikut-ikut
dengan anasir negatif kerana berpegang pada amanatnya kepada
nusa dan bangsa untuk menjadi pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Remaja yang mempraktikkan nilai-nilai
murni dalam kehidupan pasti menyedari tanggungjawabnya dalam
mendukung dan seterusnya melestarikan Wawasan 2020. Tokoh
ilmuwan, Hamka pernah mengatakan bahawa, kekayaan seseorang
itu terletak pada tingginya akhlak dan budi bahasanya bukan pada
harta dan pakaiannya. Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa
nilai-nilai murni merupakan elemen penting dalam diri setiap insan
yang

wajar

dipupuk

dari

kecil

oleh

institusi

keluarga

kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nilai-nilai murni


dapat menjadi benteng ampuh dan utuh sekukuh Tembok Besar
China daripada sebarang anasir-anasir luar yang menerjah.
Selain itu, ahli keluarga terutamanya ibu bapa berperanan
menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Hal ini demikian
kerana, ibu bapa seyogianya membetulkan kekhilafan diri sebelum
membetulkan

anak-anak

agar

tidak

seperti ketam

mengajar

anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget. Bak


kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya dan jika
alur di hulunya bersih, pasti air di muaranya bersih. Hal ini secara
eksplisitnya menunjukkan bahawa jika ibu bapanya baik maka anakanaknya juga baik, kerana bapa borek anak rintik. Oleh itu, ibu
bapa dan ahli keluarga yang lain wajar menunjukkan contoh dan
teladan yang wajar diikuti dan mampu dibanggakan. Selain itu,

seorang ayah tidak wajar menegur anaknya yang merokok jika


mereka sendiri yang menunjukkan contoh sedemikian. Masakan
anaknya mendengar nasihat yang boleh ditujukan semula kepada
bapanya. Namun, itulah realitinya, ayah dan anak sama-sama pula
merokok di luar rumah. Oleh hal demikian, ibu bapa sewajarnya
menjalankan tanggungjawabnya sebagai suri teladan yang unggul
dengan menunjukkan contoh yang berhemah dan berwibawa .

Seterusnya,

peranan

keluarga

bagi

menangani

masalah

keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membarah


dalam

masyarakat

ialah

memberikan

kasih

sayang

yang

secukupnya. Dalam era globalisasi ini, ibu bapa berlumba-lumba


mencari kekayaan duniawi sehingga mengabaikan tugasnya sebagai
pendidik kepada anak-anak mereka yang belum mengenal yang
mana intan, yang mana kaca. Selain itu, mereka menyangka
dapat membeli kasih sayang anak-anak dengan material yang
mewah seperti Ipad, Iphone, computer riba dan telefon mudah alih
yang tidak tergambar kecanggihannya. Anak-anak yang hidup
dalam bayang-bayang arus pemodenan yang rancak berlari berasa
terabai dan tidak disayangi, lalu mencari alternatif lain yang boleh
mengundang bahaya dan derita. Sebagai tamsilan, membuli orang
untuk

melepaskan

geram

dan

mencari

perhatian,

rentetan

kurangnya kasih sayang yang diperlukan untuk mengharungi hidup


yang penuh mencabar pada era langit terbuka ini. Dengan kasih
sayang ibu bapa yang bagaikan menatang minyak yang penuh,
hidup remaja akan lebih ceria tanpa mencari alternatif yang lain
bagi merawat dan menampal lubang-lubang kosong di hati anakanak. Oleh hal demikian, kasih sayang merupakan eleman yang
penting dalam diri anak-anak agar tidak berasa diabaikan dan tidak
disayangi, sesungguhnya, anak ibarat kain putih, ibu bapalah
yang

mencorakkannya dan

menentukan

sama

ada

ingin

menjadikan anak-anak mereka Majusi, Nasrani mahupun Yahudi. Ibu

bapa

tidak

sewajarnya

seperti layang-layang
lakukan

perubahan

sayang

yang

membiarkan

terputus

bersama-sama

secukupnya

kepada

anak-anak

mereka

talinya. Berdampinglah
dengan

memberikan

anak-anak

yang

dan
kasih

sentiasa

dahagakan perhatian daripada orang tua mereka.


Dalam pada itu, ibu bapa juga berperanan mengawal perilaku
anak-anak di samping mengetahui pergaulan anak bersama-sama
rakannya. Hal ini demikian kerana rakan merupakan orang yang
sangat berpengaruh dalam diri remaja. Setiap kata rakan-rakannya
menjadi ubat yang mujarab serta azimat penting. Begitulah yang
dapat digambarkan betapa besarnya pengaruh insan yang bernama
rakan. Pepatah Arab ada mengatakan jika berkawan dengan si
pembuat besi, maka kita akan terasa bahang api kepanasannya
manakala jika berkawan dengan penjual minyak wangi, maka akan
melekat bau kewangiannya kepada diri kita secara tidak langsung.
Eksplisitnya, hal ini menunjukkan bahawa jika kita berkawan dengan
rakan yang baik akhlaknya, dia juga akan turut bersahsiah baik
tetapi sebaliknya jika tersalah pilih rakan maka akan terjebaklah ia
ke kancah yang hina. Gurindam Melayu ada menyebut, carilah
olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan ubat, cari olehmu
kawan, pilih segala orang setia kawan. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu
bapa

memainkan

peranan

yang

signifikan

dalam

mengawal

pergaulan anak-anak dengan rakannya kerana menurut seorang


cendekiawan, pengaruh rakan sebaya dalam hidup seseorang
remaja ialah 90 peratus, suatu angka yang besar dan dominan.
Cegahlah

sebelum

terlambat

kerana mencegah

lebih

baik

daripada merawat kerana mantan Perdana Menteri yang keempat,


Tun Dr. Mahathir pernah mengatakan bahawa bahayanya dadah
bukan kepada penagihnya, tetapi kepada orang di sekitarnya.

Selain itu, ahli keluarga perlu memberikan didikan agama yang

cukup untuk menangani masalah kebejatan moral dalam kalangan


remaja. Hal ini berlaku demikian kerana agama merupakan benteng
yang ampuh dan jitu dan nescaya dapat menghalang kemasukan
anasir-anasir jahat. Selain itu, agama adalah perisai yang kuat agar
remaja tidak terdengarkan bisikan syaitan durjana. Sesungguhnya,
dengan agama akan melahirkan jati diri yang kukuh dan akhlak
yang mulia jauh daripada perlakuan negatif dan tidak bermoral.
Sebagai contoh, seorang remaja yang mempunyai moral yang tinggi
tidak

akan

tergengaruh

dengan panggilan-panggilan ke arah

kejahatan kerana keyakinannya yang tinggi terhadap balasan


perbuatan yang jahat dan balasan bagi yang berbuat kebaikan.
Sesungguhnya, dengan iman yang tinggi dapat dijadikan benteng
landaan ombak besar pengaruh Barat yang banyak membawa unsur
negatif seperti keganasan, pergaulan bebas, minum arak dan lainlain. Oleh itu, ibu bapa seyogianya memberikan didikan agama yang
sempurna sama ada secara formal ataupun tidak formal seperti
menghantar anak mereka ke kelas agama agar tidak terjebak ke
dalam kancah yang penuh kemaksiatan.
Peranan keluarga dalam menangani masalah ini juga ialah dari
aspek penyediaan persekitaran yang harmonis. Hal ini demikian
kerana

tokoh

dari

China,

Mao

Tzu

pernah

mengatakan

bahawa kejadian asal seseorang itu ialah baik dan suci dan akan
berubah disebabkan persekitarannya. Dapatlah diambil iktibar di
sini, persekitaran yang selamat atau tidak selamat memberikan
impak kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya memilih kawasan
perumahan yang selamat daripada masyarakat yang mengambil
enteng isu negatif seperti pergaulan bebas. Oleh hal yang demikian,
ibu bapa sewajarnya memilih persekitarannya yang kondusif untuk
kepentingan seluruh ahli keluarga.
Natijahnya, semua pihak terutama keluarga memainkan peranan
yang signifikan dalam mendepani masalah dalam dunia yang

mencabar ini. Semua pihak harus bersatu padu bagai aur dengan
tebing agar tidak
dahulu

terhantuk

pendapatan,

sesal

baru

tengadahkerana sesal

kemudian

tiada

gunanya.

Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur,


semua pihak harus menyedari dan membuat anjakan paradigma
untuk melahirkan remaja pascamerdeka yang berkualiti ke arah
Wawasan 2020. Sasterawan Negara Dato' Dr Usman Awang ada
menyebut, kalau ingin hidup merdeka, tidak tercapai dengan hanya
berkata-kata tetapi ke hadapan maju sekata, maju bersama. Marilah
bersama-sama bergabung tenaga melahirkan pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara yang disegani dan bersahsiah
tinggi.

Peranan Ibu bapa Mendidik Anak-anak


Pernyataan keluarga bahagia tunjang kemakmuran
negara jelas menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan
peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia kanakkanak. Remaja kini sering melibatkan diri dalam masalah sosial

yang telah mencetuskan isu polemik dalam kalangan media massa


yang saban hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus
dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu perkara berlaku
tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon
pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin.
Pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada
institusi keluarga. Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu
bapa masing-masing.
Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri
daripada kerjaya. Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu
mementingkan kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka
di rumah berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan,
anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka
agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal
dan mental. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya
dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara
tidak langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak
mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan
peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan
yang baik sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Anak-anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilainilai murni dan sikap positif ini dalam kehidupan seharian,
seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu bapa
merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal
yang demikian, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan
berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali menjadi seperti ketam
mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri
berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri

anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga khususnya ibu


bapa yang memainkan peranan yang penting.
Di samping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa
mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak
rintik. Ibu bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan
rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa
sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan
nilai-nilai murni ini bagai menatang minyak yang penuh kerana
anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial
dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus
epidemik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anakanak akan tahu cara-cara untukmembezakan antara intan dengan
kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna lagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu
langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak.
Dalam nada yang berbeza, keluarga
yang marem dan sakinah turut merupakan tempat yang paling
baik agar proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam
kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai
dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin kesejahteraan
hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-anak
yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti
diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat
menjadi tunggak negara.
Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran
negara dan menggalas tanggungjawab yang berat untuk mendidik
anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing
dengan tidak melepaskan batuk di tangga. Jikalau anak-anak kini
berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sudah tentu anak
remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi

tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang berkaliber kelak.


Impian mantan Perdana Menteri kita iaitu Pak Lah untuk membentuk
sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat
dimakbulkan, sekali gusmenjadikan negara Malaysia berdiri gah di
persada dunia.

Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi Masalah Sosial


Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.

Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej


kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa
mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai
dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam
delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama
perbualan orang mutakhir ini. Jadi, ibu bapa dilihat sebagai satu
komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup
mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.
Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang
tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian
kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan
perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti
dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap
anak-anak.

Api

kemarahan

dan

benteng

keegoan

yang

menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih


sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak.
Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka
akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong
ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak
dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam
kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian
meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Jadi,
sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan
anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama
anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian
Pembangunan

Keluarga,

Wanita

dan

Masyarakat

yang

telah

mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua


pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan

kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada


ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan
berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa
berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa
anak-anak

melancong,

beriadah

bersama-sama

malahan

menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada


senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk
mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah
kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan
pucuk masing-masing ini perlu dikikis segera bagi memastikan
para remaja tidak terlibat dalam gejala sosial. Maka, jelaslah anakanak

remaja

perlu

dijadikan

prioriti

utama

dalam

usaha

membendung kemelut ini.


Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan
yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi
pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan
kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara
ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu
disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan
anak-anak

mereka

memperoleh

pendidikan

sewajarnya,

selari

dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu


bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal
kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni
selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi
memastikan

kerohanian

yang

mantap

dalam

diri

anak-anak.

Ingatlah, segala-galanya bermula di rumah. Begitulah ungkapan


kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu
bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter
anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari
muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat
menangani masalah ini.
Seterusnya,

ibu

bapa

perlu

mengawasi

perilaku

anak-anak.

Peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tiada angin masakan


pokok akan bergoyang. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh
anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah
menjadi

tanggungjawab

ibu

bapa

untuk

sentiasa

mengikuti

perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas


anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat.
Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu
adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu
meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis
di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di
sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah
umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu
bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung,
mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini.
Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha
membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.
Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas
anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga
dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita.
Oleh itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah tentu anak
remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran
yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan
keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat
tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan
minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting
bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas
tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan
oleh

sekumpulan

mahasiswa

Fakulti

Sains

Kemasyarakatan,

Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih


cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini
pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja
dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan

kepada mereka.
Intihanya,

ibu

bapa

perlu

memantapkan

kemahiran

keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah


ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anakanaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu
remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan.
Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup
syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah
kita berubah, sebelum padi di tangan menjadi lalang dan
ayam

ditambat

disambar

helang,

ayuhlah

berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.


Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.

ibu

bapa,

Peranan anak untuk membahagiakan institusi


kekeluargaan
Setelah mendepani gelombang globalisasi yang penuh dengan
ranjua dan onak duri, hubungan institusi kekeluargaan semakin
renggang. Hal ini turut mencetuskan pelbagai sindram sosial
yang bagai duri dalam daging masyarakat kita, terutamanya
penganiayaan kanak-kanak, lari dari rumah, mat rempit, penagihan
dadah dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, ibu bapa sering
diberikan amanah yang berat untuk memperkukuh ikatan institusi
kekeluargaan.

Bagiamanapun, bertepuk

berbunyi. Anak

yang

masih

kecil

sebelah
juga

tidak

perlu

akan

memikul

tanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Hal ini


seiring dengan kata-kata mutiara, Orang yang paling tidak
bahagia ialah mereka yang paling takut pada perubahan.
Lantaran itu, anak yang kecil juga perlu dicelikkan peranan mereka
dengan mengubah sikap mereka untuk menjayakan program
keluargaku, syurgaku.
Salah satu peranan yang prioriti anak untuk menjamin
kebahagiaan keluarga adalah bersahsiah mulia dan berbudi bahasa.
Hal ini demikian kerana tingkah laku anak yang sopan dapat
melegakan ibu bapa yang menghadapi pelbagai persaingan dalam
kerjaya mereka. Hal ini selaras dengan peribahasa, yang merah
itu saga, yang kurik itu kundi, yang baik itu bahasa, yang
indah itu budi.Sehubungan dengan itu, setiap anak perlu
sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan berhemah tinggi untuk
melayani ibu bapa mereka. Kita tidak patut bertengkar dengan adikberadik sehingga merisaukan orang tua kita. Sebagai jantung hati
ibu bapa, anak hendaklah bersalam kepada orang tua dan mesti
meminta kebenaran daripada mereka sebelum membuat sesuatu
keputusan. Kata-kata hikmat harus sentiasa tertanam dalam bibir

anak, seperti terima kasih, maafkan saya, bolehkah saya,


tolong dan lain-lain lagi. Segala penat lelah ibu bapa akan reda
ketika

menghadapi

anak

mereka

yang

berperangai

murni

Tegasnya, tingkah laku anak yang berjati diri dan berbudi bahasa
dapat meningkatkan keharmonian dalam rumah.
Selain itu, anak perlu mendukung tanggungjawab untuk
meringankan beban ibu bapa dengan melakukan kerja rumah
tangga. Pada alaf baru yang sentiasa berkompetitif, kebanyakan ibu
telah bekerja di luar di samping memainkan peranan sebagai suri
rumah

tangga.

Senario

ini

menyebabkan

mereka

sentiasa

menghadapi lambakan kerja yang tidak pernah habis. Sebagai anak


yang bertimbang rasa, kita juga patut melakukan kerja-kerja rumah
tangga untuk meringankan beban ibu yang disayangi. Sebagai
contoh, kita boleh menyapu rantai, mencuci baju dan kasut
sekolah , mengelap tingkap, mencuci kereta malah memasak.
Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing harus
diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Bagaimanapun, kebanyakan
remaja sekarang meremehkan kerja rumah tangga malah keadaan
bilik mereka berselerakan. Ibu bapa yang penat dan sibuk dengan
kerja rumah tangga pasti tidak mungkin dapat menaruh kasih
sayang kepada anak mereka bagai menatang minyak yang
penuh. Dengan kata lain, anak yang sanggaup melakukan kerjakerka rumah tangga dapat meningkatkan kualiti kesejahteraan
keluarga.
Seterusnya, anak yang bertanggungjawab hendaklah berdisiplin
dan menjauhi kegiatan yang negatif. Sejak kebelakangan ini, ibu
bapa sentiasa gelisah dan risau akan anak mereka yang terlibat
dalam pelbagai kemelut sosial, tamsilnya gengsterime, vandalisme,
melepak, mat rempit, merokok bahkan menagih dadah. Silaturahim
ibu bapa dengan anak semakin tegang dan tidak mesra lagi ketika
ibu bapa asyik menegur perbuatan anak mereka yang tidak sihat.

Sebelum senario ini terjadi, anak yang terdidik perlu ada kesedaran
diri dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Golongan remaja
dan belia harus memiliki keimanan sebagai pedoman bagai jauhari
yang mengenal manikam. Ajakan syaitan dan bisikan iblis harus
dijauhi dengan mendalamkan ajaran agama. Ketika menghadapi
sesuatu dilema, anak perlu meminta nasihat daripada ibu bapa atau
adik-beradik mereka. Seandainya anak dapat mengamalkan prinsip
yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan,
mereka pasti dapat melepaskan diri daripada kepompong sindrom
sosial. Perselisihan dalam keluarga pasti dapat diminimumkan.
Natijahnya, anak yang berdisiplin dapat memastikan keamanan
keluarga mereka.
Di samping itu, salah satu peranan anak adalah menghargai jasa
ibu bapa mereka. Nilai kesyukuran perlu ada pada setiap insan. Kata
orang yang bijak pandai, orang yang bersyukur ialah manusia
yang bahagia kerana dapat menikmati segala kurniaanNya.Rentetan daripada itu, setiap anak perlu menghargai segala
nikmat yang diperoleh. Mereka perlu mengenang jasa ibu bapa
seperti peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi
dibawa mati. Untuk berterima kasih kepada ibu bapa yang
mengasuh, membimbing dan mendidik kita, sebagai anak, kita
harus taat dan hormat kepada mereka. Ketika hari jadi ibu bapa,
anak boleh membuat kad hari jadi kepada mereka. Anak boleh
membeli hadiah kepada ibu bapa dengan wang saku. Kad yang
berharga satu dua ringgit itu membawa makna yang tidak ternilai
kepada penerima kerana anak itu sedar akan kesusahan dan
pengorbanan ibu bapa mereka. Ketika Hari Bapa atau Hari Ibu, adikberadik boleh menyediakan hidangan yang disukai oleh ibu bapa
untuk mengambil hati mereka. Natijahnya, anak perlu menghargai
jasa ibu bapa mereka dan berusaha membahagiakan mereka.
Sementelahan, anak berkewajipan untuk belajar dangan

bersungguh-sungguh.

Anak

yang

cemerlang

dalam

akademik,

kokurikulum dan sukan dapat mengharumkan nama keluarga. Ibu


bapa akan berasa bahagia dan berpuas hati ketika anak mereka
mencapai kejayaan dalam pelajaran. Tidak dapat dinafikan bahawa
senario ini merupakan impian setiap ibu bapa. Mereka bekerja keras
untuk menyekolahkan anak mereka supaya anak mereka dapat
melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai pelajar, anak
perlu memikul tanggungjawab tersebut dengan belajar bersungguhsungguh, ibarat genggam bara api, biarlah sampai jadi arang.
Kepandaian atau kecerdikan setiap orang adalah berbeza tetapi
usaha tangga kejayaan. Jika setiap anak dapat menelaah pelajaran
dengan tekun dan teliti, pelajaran mereka pasti dapat menuju ke
arah kegemilangan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Segala usaha yang pahit dapat melahirkan buah yang manis.
Kecemerlangan anak dalam pelajaran turut membantu mereka
memperoleh biasiswa sehingga meringankan beban ibu bapa untuk
menanggung kos pendidikan anak. Dengan kata lain, anak perlu
belajar dengan tekun untuk mengharumkan nama keluarga.
Secara tuntasnya, anak memainkan peranan yang penting untuk
membahagiakan

keluarga

mereka.

Anak

yang

bersopan,

bertanggungjawab, berdisiplin, rajin dan menghargai jasa ibu bpa


dapat mencambahkan keluarga yang sakinat. Walau bagaimanapun,
setiap anggota keluarga perlu bermuafakat seperti peribasasa,
bulat

air

kerana

pembetung,

bulat

manusia

kerana

muafakat untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang utuh


dan sejahtera. Atas persefahaman dan kerjasama setiap anggota
keluarga, progaram Keluargaku, syurgaku dan Semakin Hari
Semakin Sayang baru dapat direalisasikan.

Peranan Keluarga Terhadap Perkembangan Anak


Keluarga

memainkan

peranan

yang

penting

dalam

perkembangan mental, emosi dan sosial kanak-kanak. Sesebuah


keluarga yang stabil dan hidup aman damai membolehkan kanakkanak berasa seronok tenteram dan selamat. Sebaliknya keluarga
yang hidupnya bermasalah seperti kemiskinan, konflik di antara
suami isteri dan ramai anak berkemungkinan buat sementara waktu
akan menjejaskan kebahagiaan sesebuah keluarga. Dengan itu
secara langsungnya masalah keluarga akan terbawa-bawa oleh
kanak-kanak

semasa

berada

di

sekolah.

Kanak-kanak

akan

menganggap ibu bapa mereka tidak memberi perhatian dan


layanan yang sepatutnya kepada mereka ( Mohd. Salleh Lebar,
1993, muka surat 57 ).
Kajian menunjukkan ada perkaitan di antara konflik dalam
rumahtangga terhadap hubungan ibu bapa-anak. Keadaan emosi di
dalam rumahtangga merupakan pengaruh alam sekeliling yang
mendatangkan kesan yang besar kepada perkembangan anak-anak.
Kanak-kanak bukan sahaja memerlukan keperluan jasmani tetapi
mereka juga memerlukan keperluan psikologi.

Konflik di dalam rumahtangga akibat daripada pertengkaran


antara orang-orang yang penting kepada kanak-kanak seperti ibu
dan bapa akan mengadakan suasana yang buruk kepada kanakkanak. Di dalam keadaan ini kanak-kanak akan merasa terancam
dan tidak mendapat perlindungan. Kalau konflik ini membawa
kepada perceraian, akibatnya akan menjadi lebih besar lagi kepada
sahsiah kanak-kanak yang berkenaan. Kebanyakkan kanak-kanak
yang datangnya daripada keluarga yang bercakaran atau keluarga
yang

berpecah

belah

disebabkan

oleh

perceraian

adalah

mempunyai masalah di dalam kehidupan mereka ( Atan Along,


1978, muka surat 110 ).
Gangguan atau konflik perkahwinan mungkin jelas kelihatan di
mana kedua-dua suami isteri sentiasa berada dalam suasana tidak
harmorni dan konflik. Mereka kelihatan mudah bertengkar, tuduh
menuduh, bermaki hamun dan cepat bercakaran sebaik-baik sahaja
ada perkara yang tidak kena. Biasanya, anak-anaklah yang menjadi
mangsa, bila perkembangan mereka terencat lantaran keadaan
yang tidak mesra di antara kedua-dua ibu bapa mereka yang berada
dalam

suasana

ketidakfungsian

yang

tidak

begitu

nyata.

Perkahwinan yang sentiasa dilanda konflik bercirikan ketegangan


dan pergaduhan yang bertali arus ( Dr. Muhammad Hatta Shaharom,
1989, muka surat 31 ).
Ini akan mempengaruhi perkembangan jiwa kanak-kanak di mana
kecelaruan dalam emosi mereka akan mempengaruhi pemikiran
kanak-kanak tadi terhadap hubungan ibu bapa-anak. Pemikiran
yang negatif di kalangan kanak-kanak ini boleh dinatijahkan oleh
perhubungan ibu bapa kanak-kanak yang tidak stabil pada awal
kehidupan, asuhan tanpa kasih sayang, kehilangan antara satu atau
kedua-dua ( Bowlby, 1980 ). Keseluruhan kesemua ini boleh
menyebabkan kanak-kanak gagal untuk mengikat perhubungan
yang mesra dan lama dalam pertalian peribadi ( Dr. Muhammad

Hatta Shaharom, 1989, muka surat 83 ).


Kajian juga melihat perhubungan antara kasih sayang di dalam
perkahwinan dengan hubungan ibu bapa-anak. Suasana rumah
yang

mesra

dan

harmonis

adalah

menggalakkan

bagi

perkembangan personaliti yang sihat. Perhubungan ibu bapa yang


baik akan menjamin suasana rumah yang tenteram yang amat
diperlukan untuk perkembangan personaliti kanak-kanak ( Ee Ah
Meng, 1991, muka surat 147 ).
Menurut hierarki keperluan Maslow ( 1970 ), keperluan kasih
sayang merupakan satu keperluan yang amat penting kepada setiap
individu. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan penerimaan
daripada ibu bapa dan keluarganya. Sepanjang hidup, manusia
memerlukan

kasih

sayang

dan

penerimaan

masyarakat

bagi

memenuhi proses perkembangan psikologi yang sihat. Kasih sayang


ini

akan

memnyebabkan

manusia

itu

berkembang

dengan

sempurna, terutamanya daripada aspek perkembangan emosi ( Ee


Ah Meng, 1991, muka surat 120 ). Jika keperluan ini tidak dipenuhi,
manusia

akan

berasa

gelisah,

tidak

tenteram

dan

kecewa.

Seterusnya, gangguan emosi akan timbul.


Menurut Eric Berne ( Teori Analisis Transaksional ), menyatakan
skrip kehidupan yang paling mempengaruhi kanak-kanak ialah ibu
bapa. Sejak lahir lagi kebiasaannya ibu bapa telah menunjukkan
contoh, membentukkan keperibadian dan matlamat kehidupan
anak-anak mereka. Cara dan gaya ibu bapa bertindak dan mendidik
akan diprogramkan oleh kanak-kanak apabila mereka meningkat
dewasa.
Kanak-kanak akan berasa sempurna, termilik dan dihargai
sekiranya ibu bapa selalu menyayangi. Kanak-kanak akan membina
skrip dan perancangan hidup yang tidak sempurna dan berbentuk

negatif sekiranya mereka selalu dimarah dan dipandang rendah


oleh ibu bapa. Jadi, hubungan kasih sayang dalam perkahwinan ( ibu
bapa ) serta hubungan kasih sayang ibu bapa dengan anak
mempunyai hubungan yang signifikan.
Ibu bapa akan dapat memberikan sumbangan mereka dengan
sebaik-baiknya kepada kanak-kanak dan masyarakat amnya kalau
mereka dapat memberikan suasana penerimaan terhadap kanakkanak di mana mereka mendapat rasa kasih sayang serta galakan.
Ibu bapa sepatutnya menyediakan satu susunan peraturan dan
ukurtara serta memberikan rasa perlindungan kepada kanak-kanak (
Atan Long, 1978, muka surat 316 ).
Sepasang suami isteri patut sedar bahawa mereka memerlukan
keseragaman konsep dan sikap dalam pengendalian kehidupan
bersama. Di samping itu mereka berfungsi sebagai penyempurna
sifat-sifat pasangan mereka yang masih lemah, lantas saling bantu
membantu, bagai aur dengan tebing ( Dr. Muhammad Hatta
Shaharom, 1989, muka surat 18 ). Ini akan dapat mengelak
berlakunya konflik dalam sesebuah perkahwinan di mana ia ada
hubung kait dalam konflik antara ibu bapa-anak sebagaimana kajian
tersebut.
Pengurusan rumahtangga adalah bidang yang sepatutnya
menerima perhatian kedua-dua suami isteri dengan wajar walaupun
seorang isteri sememangnya menjadi permaisuri dan pengurus
besar rumahtangga. Pada dasarnya mereka ( suami isteri ) patut
berpuas hati dengan pendapat serta konsep tentang kehidupan
yang dianuti bersama. Jika mereka bertelagah tentang perkara yang
asas ini, asas rumahtangga tidak akan kukuh ( Dr. Muhammad Hatta
Shaharom, 1989, muka surat 23 ). Ia juga berhubung rapat dalam
perhubungan antara ibu bapa dengan anak.

Kesimpulanya, apabila berlaku konflik dalam perkahwinan ( ibu


bapa ) akan mempengaruhi hubungan konflik antara ibu bapa
dengan anak. Manakala jika wujud kasih sayang dalam perkahwinan
( ibu bapa ) juga akan mewujudkan hubungan kasih sayang
terhadap hubungan ibu bapa dengan anak.
Justeru itu, peranan ibu bapa amat penting dalam mengendalikan
sesebuah perkahwinan. Keharmonian dalam hubungan perkahwinan
akan melahirkan anak-anak yang mempunyai emosi yang stabil dan
sebaliknya,

jika

ada

konflik

dalam

keluarga,

mempengaruhi proses perkembangan anak-anak.

ia

juga

akan

You might also like