You are on page 1of 3

ARKIB : 09/04/1998

Pendidikan moral tiga masalah punca kegagalan

Kajian tiga penyelidik tempatan, Dr. Nor Hayati Abd. Rasid, Nasriah Haji Maghribi dan
Asmah Mohd. Taib mendapati, masalah utama dalam menjayakan program pendidikan
tersebut datangnya daripada aspek pembelajaran dan pengajaran itu sendiri.

Menurut mereka, guru yang terlibat dalam mengajar mata pelajaran berkenaan mengajar dan
mengulangi benda yang sama untuk beberapa tahun lamanya, sejak daripada sekolah rendah
hinggalah ke sekolah menengah.

''Keadaan ini mengakibatkan ramai pelajar tidak berminat untuk mengikuti pengajaran di
dalam kelas disebabkan cara pengajaran yang statik dan nilai yang hendak disampaikan juga
tidak berubah,'' kata mereka dalam kertas kerja sempena Siri Latihan Pengurus dan
Kepimpinan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands baru-baru ini.

Kertas kerja mereka bertajuk Perbezaan Nilai: Menyelami Amalan Kepimpinan Sekolah
Dalam Dua Sistem juga pernah dibentangkan pada Seminar Serantau Mengenai Nilai
Pendidikan di ASEAN di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Jelas mereka lagi, keadaan ini menjadi bertambah serius disebabkan tidak semua guru yang
mengajar mata pelajaran berkenaan memiliki kepandaian dalam mempelbagaikan kaedah
pengajaran bagi menambah minat pelajar.

Faktor lain adalah kesukaran untuk melihat keberkesanan program Pendidikan Moral itu
sendiri berikutan sukarnya bagi para guru terbabit menilai dan mengukur tabiat dan kelakuan
pelajar mereka.

Ini kerana walaupun mudah untuk melihat perkembangan minda dan tabiat serta perangai
pelajar semasa berada di kawasan sekolah, kesukaran timbul untuk mengukur keberkesanan
pendidikan itu selepas pelajar keluar dari sekolah.
''Sebabnya, guru tidak berpeluang untuk sering mendampingi murid mereka untuk terus
menyalurkan penerapan nilai-nilai itu disebabkan kesuntukan dan keterbatasan waktu dan
keadaan.

''Tambahan pula, kadang-kadang nilai yang diajarkan di sekolah bertentangan dengan apa
yang mereka lihat dan hadapi semasa berada di rumah atau lain-lain kawasan selain daripada
sekolah,'' jelas mereka.

Misalnya, ketika di sekolah murid dilarang merokok dan mengambil minuman keras kerana
tabiat itu tidak baik untuk kesihatan mereka. Tetapi perkara sebaliknya berlaku semasa
mereka berada di rumah, di mana ibu bapa mereka yang merokok dan mengambil minuman
keras.

Keadaan ini menyebabkan pelajar-pelajar ini berada dalam dilema kerana meskipun mereka
diajar bahawa dua tabiat di atas adalah tidak baik, ibu bapa mereka tetap melakukannya.

Selain itu, kesukaran untuk mengawal bahan yang disiar dan diterbitkan oleh media massa
juga merupakan faktor kegagalan program berkenaan dalam melahirkan generasi pelajar atau
generasi muda negara yang beretika dan mempunyai nilai baik.

Kegagalan pihak berwajib mengawal unsur-unsur tidak baik itu telah mendedahkan pelajar-
pelajar sekolah dengan pelbagai elemen negatif yang disiar atau diterbitkan oleh pihak media
dalam semua peringkat umur dan keadaan.

Jelas penyelidik itu lagi, banyak adegan dalam majalah dan rancangan-rancangan televisyen
yang tidak sesuai, tetapi tetap disiar dan diterbitkan membantu pembentukan nilai dan sikap
yang tidak baik di dalam diri pelajar.

Sehubungan itu mereka menggesa pihak berwajib melakukan sebarang tindakan yang sesuai
untuk menghentikan atau setidak-tidaknya mengawal penyaluran keluar bahan-bahan dan
unsur-unsur yang tidak sihat ini daripada terus tersebar di kalangan pelajar.

''Tidak dinafikan program ini sangat penting ke arah pembentukan masyarakat yang
bertamadun, tetapi kejayaannya bergantung penuh kepada kerjasama semua pihak bermula
daripada sekolah hinggalah kepada masyarakat seluruhnya,'' kata mereka.
Oleh: YULPISMAN ASLI

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=1998&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_04.htm#ixzz4VWnIkq
PD
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like