You are on page 1of 1

ABSTRAK

Penggulungan syarikat berlaku disebabkan ketidakmampuan syarikat untuk membayar hutang


kewangan atau syarikat tersebut mengalami tekanan kewangan yang serius. Berdasarkan
statistik daripada tahun 1998 hingga 2013, syarikat yang digulungkan secara purata adalah
sebanyak 1166 buah syarikat setiap tahun. Rekod tertinggi sebanyak 1824 syarikat pada Mei
2012 dan terendah sebanyak 503 buah syarikat pada Februari 1999. Jika senario ini berlaku
secara berterusan dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan, perkara ini akan memberi kesan
negatif kepada ekonomi negara. Corak penggulungan syarikat atas perintah mahkamah di
Malaysia masih belum diteroka disebabkan data tersebut tidak dibuka secara umum. Oleh itu,
kajian ini menggunakan teknik perlombongan data petua sekutuan ke atas data penggulungan
syarikat daripada tahun 2001 hingga 2005 bagi mendapatkan corak penggulungan syarikat yang
berlaku di Malaysia dengan melihat hubungan antara atribut-atribut daripada data tersebut.
Sehubungan itu, kajian ini dijalankan untuk membuat penerokaan pengetahuan ke atas data
penggulungan syarikat menggunakan algoritma Apriori dalam teknik perlombongan data petua
sekutuan. Metodologi kajian ini melibatkan tiga proses penting iaitu kajian kesusasteraan,
pembangunan model dan pembangunan prototaip sistem sokongan keputusan. Pembangunan
model ini melibatkan perlombongan data dan penglibatan pakar untuk mengesahkan dan
mendapatkan pengetahuan domain berkenaan penggulungan syarikat. Proses perlombongan data
melibatkan aktiviti pra-pemprosesan data, penjanaan petua sekutuan, penganalisaan petua dan
penerokaan pengetahuan daripada set data tersebut. Penglibatan pakar dalam domain kajian perlu
bagi memandu dan memberi pandangan dalam menghasilkan set petua yang menarik. Pakar turut
memberikan input berkenaan kriteria kualitatif terhadap risiko penggulungan syarikat.
Pengetahuan daripada perlombongan data dan teknik kualitatif diekstrak bagi menghasilkan
kriteria bagi menilai risiko penggulungan syarikat. Sumbangan kajian ini adalah pengetahuan
berkenaan corak penggulungan syarikat di Malaysia. Hasil kajian ini mendapati terdapat
hubungan yang signifikan antara atribut dalam data penggulungan syarikat. Antara hasil kajian
adalah terdapat hubung kait antara usia syarikat dan nisbah hutangnya. Sumbangan kedua kajian
ini adalah membangunkan sistem sokongan keputusan daripada pengetahuan perlombongan data
dan cadangan pakar telah menghasilkan kriteria kuantitatif dan kualitatif bagi menilai risiko
penggulungan syarikat.

You might also like