You are on page 1of 6

Remaja Berwawasan Aspirasi Negara

Cuba kita fikir sejenak, zaman remaja yang ditonjolkan oleh Bekas Presiden Amerika
Syarikat, Abraham Lincon yang punya hati budi membantu orang lain walaupun
dirinya juga dihambat kemiskinan. Malah, lakaran kemurnian zaman remaja turut
ditunjukkan oleh Perdana Menteri kesayangan kita, Datuk Seri Najib Tun Abdul
Razak, yang menyerlahkan kridibeliti dan karisma kepimpinan sehingga akhirnya
beliau diangkat menjadi menteri cabinet yang termuda dalam meneraju Negara.
Seterusnya, hakikat tidak pernah berdusta, apabila mengangkat Rasulullah sebagai
rollmodel dan contoh tauladan kerana semasa zaman remaja baginda, keunikan
dalam gerak kerja dan tindakan, sifat dalaman dan penampilan telah pun mewarnai
diri Rasulullah....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis, barisan panel hakim yang
sentiasa berasimilasi dengan kebenaran, saudara penjaga masa yang cakna dengan
randiknya, warga pendidik yang bermisi, seterusnya warga intelektual penerus
wawasan Negara.

Asslammualaikum w.t.w dan salam perjuangan di bumi Tuhan.

Remaja Berwawasan Aspirasi Negara, begitulah indahnya mauduk pidato yang


bakal menitip di bibir saya. Namun, sebelum ledakan hujah menghujani sesisi
dewan, mohon izin untuk melakukan dua bentuk pendefinisian terhadap mauduk
pidato saya iaitu secara literal mahupun secara leksikal. Remaja, menurut kamus
dewan edisi keempat yang merujuk kepada seseorang yang sudah akhil baligh.
Sementara itu, berwawasan pula merupakan suatu yang bermatlamat untuk
mencapai cita-cita. Aspirasi merupakan suatu bentuk keinginan dan Negara merujuk
kepada suatu masyarakat yang menduduki suatu kawasan yang diperintah oleh
sesebuah kerajaan. Oleh itu, secara generalisasinya, remaja masa kini yang bakal
menerajui Negara pada masa akan datang dengan cirri-ciri kepimpinan dan
kewibawaan yang lengkap serta mantap demi mencapai misi dan visi Negara untuk
menjadi Negara maju selaras dalam wawasan 2020.

Sidang saksi yang bervisi,

Indikator saya yang pertama, di bawah lembayung kata Remaja berintelek,


penjana wawasan Negara. Hari ini, kita melihat, kebijaksanan dan ilmu merupakan
perencah untuk mencapai matlamat Negara. Kita perlu sedar, kita memerlukan
resepi kepintaran yang wujud di dalam diri remaja untuk menjadi acuan ke arah
Negara maju. Hari ini, bersaksikan warga dewan sekalian, beberapa nama sudah
berpuing-puing dalam pusaran Negara . Lihat sahaja kepintaran semula jadi adik Nik
Nur Madhiah dan adik Azli Azali yang membentangkan hasilan usaha yang mereka
cipta. Mereka ini bakal menjadi asset terpenting Negara dalam usaha mengejar
impian. Lihat sahaja keutuhan pemimpin kita yang begitu gigih menjulang sebelum
diangkat menjadi pemimpin Negara. Betullah apa yang pernah dikatakan oleh Tun
Dr. Mahathir Muhamad jika ingin menjulang api kemajuan, nyalakan ilmu sebelum
berjuang.

Sidang dewan yang dikasihi sekalian,

Remaja berkaliber, peneraju pemimpin Negara, menjadi kata kunci saya yang
kedua. Tokoh-tokoh besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Uthaman bin Affan,
Usamah bin Zaid, Umar bin Abd Aziz, Uqbah bin Nafi dan Qutaibah al-Baakhily
adalah sebahagian generasi remaja islam yang memiliki semangat kepimpinan
yang tinggi. Tidak hanya berhenti disitu, semangat kepimpinan dan kegagahan ruh
perjuangan, terus meresap ke dalam diri Salahuddin Al-Ayubi dalam
mempertahankan Negara walaupun usia baru setampuk jagung. Kaliber dan
karisma kepimpinan terus mencetuskan kegemilangan apabila konstantinopel
Berjaya dibuka oleh Sultan Muhammad Al-Fateh semasa usianya masih 20-an.
Sedarilah, sekiranya remaja mempunyai sikap kepimpinan yang tinggi, Negara pun
turut menjadi lebih bervisi.

Sidang dewan yang penuh santun,

Indikator saya yang ketiga di bawah kata kunci Kekuatan fizikal dan mantel remaja,
menjana Negara maju. Akademik yang cemerlang tidak akan berguna sekiranya
tidak disepadukan dengan kesihatan fizikal dan mental remaja. Pada era globalisasi
yang penuh kompetitif ini, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan
bersemangat waja agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
remaja di Negara maju. Oleh itu, sememangnya remaja yang meyatupadukan
kekuatan ini terus menaikkan nama Negara di seantero dunia. Lihat sahaja
kelincahan dan ketangkasan ahli-ahli sukan Negara yang akhirnya dinobat sebagai
juara nombor satu dunia. Kekuatan fizikal dan kekukuhan mantel yang dimiliki oleh
ratu syuasy dunia, Datuk Nicol ann David, mampu menghambat pihak lawan yang
dihadapinya. Datuk Lee Chong Wei mampu tersenyum dalam stretegik dan
kekuatan pergelangan tangannya, Azizul Awang hasni yang melakukan kayuhan
emas dalam acara pecut dan keirin, terjunan akrobatik penuh bergaya Pandalila
Riong yang membuka mata masyarakat dunia merupakan contoh nyata yang
menunjukkan kekuatan fizikal dan mantel adalah suatu perkara yang signifikan.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Ketahanan rohaniah remaja, menjana pembangunan Negara, menjadi kata kunci


saya yang keempat. Tidak dapat dinafikan, ramai remaja yang tersungkur kerana
ilmu di dada masih tidak disepadukan dengan iman yang hakiki. Oleh itu,
menyedari hakikat pentingnya iman dan ketahanan rohaniah, maka, kerajaan
dengan sokongan pelbagai agensi yang lain telah mengadakan program dan kem
penghayatan islamiah untuk memantapkan iman golongan remaja. Tidak cukup
dengan itu, maka, wujudlah rancangan imam muda yang menjadi fenomena yang
menilai kefahaman ilmu dan iman dalam meniti kehidupan. Ali Bin Abi Talib menjadi
khalifah termuda mempunyai formulanya sendiri dalam mempertahankan syiar
islam iaitu menjadikan iman yang dipandu oleh Al-Quran dan Assunnah sebagai
wadah pemerintahan Negara. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa iman
yang terdapat dalam diri remaja mampu menerbitkan seorang remaja yang
berwawasan.

Hadirin yang penuh santun,

Sebelum saya menoktahkan pidato ini, saya menyeru kepada semua masyarakat
terutamanya golongan remaja untuk sama-sama mencanai minda, memajukan
Negara. Namun kita perlu sedar, gaya hidup remaja yang tidak sihat dan diliputi
dengan cara hidup hidonisme boleh membantutkan pembangunan insaniah remaja.
Oleh itu, pelbagai gelaran yang tercipta seperti Mat Rempit, Mat Gian,
Samseng Jalanan, bosiah, bohjan, kaki lepak perlu dihapuskan. Hal ini
demikian kerana, ianya akan memberi gambaran buruk terhahap masa hadapan
Negara dan umat. Ayuh, remajaku, gegar dunia mengharumkan nama Negara.

Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum w.t.w


MALAYSIA DI PENTAS DUNIA

Teringat ketika tangan ini menyelak sebuah buku atlas di perpustakaan, mengamati
betapa kerdilnya Malaysia yang terpelosok di tenggara dunia. Namun, jangan
disangka cili tidak berapi, kini Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang gah di
seantero dunia. Bak kata orang tua-tua duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Fikir-fikirkan...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Jutaan apresiasi kepada pimpinan majlis, saf hakim yang sentiasa cakna dengan
keadilan dan berintegriti, saudara penjaga masa yang semestinya menjunjung
prinsip Al-Asr, barisan warga pendidik budiman, seterusnya generasi pendukung
wacana wawasan negara.

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatu dan salam perdana lakaran 1


Malaysia.

Malaysia Di Pentas Dunia, begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya
hidangkan kepada hadirin untuk menjadi santapan minda di pagi yang gemilang ini.
Sebelum, menjelmakan butir-butir bicara bermadah, mohon diizinkan untuk
melakukan pendefinisian terhadap mauduk pidato saya daripada aspek hurufiah
mahupun secara generalisasi. Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di
Asia Tenggara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pentas pula
merujuk kepada tempat berdirinya seseorang melakukan acara.
Manakala dunia merujuk kepada kawasan yang luas di muka bumi ini. Oleh itu,
secara holistiknya, Malaysia Di Pentas Dunia membawa konotasi yang mendalam
iaitu, keadaan Negara yang kita cintai ini semakin dipandang tinggi oleh
masyarakat dunia lantaran keberjayaan Malaysia mencipta nama dan mencorak
mutiara berharga dalam semua lapangan sama ada ekonomi, politik dan social.
Maka, pada hari ini, saya akan mengetengahkan fenomena anjakan paradigma
Malaysia setelah 5 darsawarsa pasca merdeka.

Bersaksikan warga dewan yang penuh bervisi,


Di bawah lembayung kata Ekonomi Malaysia terus kukuh dan teguh menjadi hujah
saya yang pertama. Berbicara tentang ekonomi, maka kekuatan Malaysia tidak
boleh disangkal lagi. Kita singkap sedekad yang lalu apabila satu persatu Negara
serantau dunia jatuh tersungkur ekoran kegawatan ekonomi yang melanda dunia.
Hakikatnya, ketika itu juga, Malaysia hampir tersungkur dek pelukan IMF. Namun,
kepintaran pemimpin kita ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, begitu bijak
mengemplementasikan tambatan ringgit untuk mengurangkan beban Negara.
Kejituan ekonomi Negara terus diwarnai dengan pelantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
sebagai Gabenor Bank wanita pertama Malaysia dalam meneruskan wadah
perjuangan ekonomi negara. Lantaran dengan kondusi ekonomi Negara yang kukuh
dan teguh, menjelma pujian dari Negara barat mengiktiraf ekonomi Malaysia
sebagai ekonomi gergasi dunia.

Sidang hadirin yang budiman,

Indikator saya yang kedua ialah di bawah kata kunci politik di Malaysia lambang
keamanan dunia. Hari-hari, kita sering mendengar pergolakkan yang wujud di
seluruh dunia. Malah, kekacauan yang melanda diterjemahkan melalui rusuhan
berdarah dan ledakan senjata. Lihat sahaja kepimpinan Husni Mubarak di Mesir
yang telah pun tumbang, getaran pergolakan politik acuan Muammar Gadafi di
Libya semakin hari semakin pudar. Malah, Negara maju seperti Perancis dan Rusia
turut menerima bahangnya. Di Malaysia, dengan konsep demokrasi dan raja
berpelembagaan, Negara mampu mengerakkan politiknya di mata dunia. Ikatan
tiga kompenen utama iaitu UMNO, MIC dan MCA di bawah bumbung Barisan
Nasional mampu menjana kemajuan politik negara. Sukar untuk menjentik
kekukuhan Negara yang kini tidak dapat di nafikan lagi.

Sidang hadirin yang santun budi,

Sains dan teknologi Negara adalah kelas pertama, menjadi inti hujah saya yang
ketiga. Kini, Negara kita semakin ampuh di pentas dunia kerana inovasinya dalam
penciptaan mahupun penyelidikan. Kejayaan pensyarah Universiti Kebangsaan
Malaysia baru-baru ini di Geneva dalam konvensyen sains dan teknologi merupakan
wadah pembuka mata masyarakat dunia. Hasilnya, Negara mampu mengenggam 3
kilauan emas berharga, mengalahkan Negara maju yang lain dalam penghasilan
ciptaan bermutu. Kejayaan demi kejayaan terus terungkai dan menjadi keutuhan
apabila, Dr sheikh Muzafar Sukor Berjaya menjejak kaki ke angkasa. Tetapi, ada
yang cuba memberikan tomahan bahawa itu kejayaan biasa. Namun, sedar atau
tidak, kejayaan itu adalah satu pintu permulaan Negara kita dalam perlumbaan
meneroka sains angkasa. Malah, ianya tidak termampu untuk direalisasikan oleh
negara yang seusia dengan Malaysia. Syabas dan tahniah kepada angkasawan
pertama Negara. Saya tetap teguh di belakang Dr.

Sidang hadirin yang penuh intelektual,

Kata kunci saya yang keempat di bawah lembayung kata Sukan dan Negara kita
semakin ke hadapan. Dulu, ketika berbicara tentang sukan olimpik, maka ligat
minda memikir Negara Amerika Syarikat dan China. Pabila melihat catat pungutan
emas yang berbutir-butir banyaknya, Kita hanya mampu mengigit jari tanpa sekerat
pingat dikalungkan. Namun, dersawarsa ini, kita semakin mendapat perhatian di
mata dunia. Hasilnya, kita mampu menghasilkan atlit tersohor bertaraf bintang
nombor satu dunia. Ligat dengan pukalan silang membenam lawan di gelanggang
kaca, itulah Dato Nicol Ann David pemain skuays nombor 1 dunia. Teknik bertahan
dan menyerang di samping smash lintang yang mengerunkan, itulah Datuk Lee
Chong Wei, badminton di dalam genggaman, memecut laju bagai kipas kudung di
arena baledroom, itulah roketmen Malaysia, Azizul Awang Hasni menjadi sebutan.
Dan pelbagai hambatan kecemerlangan yang muncul digenggam Malaysia. Malah,
Sorakan gooolll, terus meniti di bibir peminat sukan bola sepak negara, pabila
pasukan harimau Malaya bangkit menunjukkan taringnya.

Sidang pendengar yang setia

Di penghujung kalam, kita perlu sedar, kematangan Negara semakin menyerlah dek
semangat waja yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dan disepadukan dengan
keazaman rakyatnya tercinta. Suka saya mengajak seisi dewan sekalian, untuk
sama-sama menabur bakti, menghulurkan secebis kekuatan untuk merealisasikan
hasrat Negara. Beringatlah, jangan pisang berbuah dua kali, apabila kita terlalu
mudah diperbodohkan oleh penjajah yang silih berganti, menjadikan kita sebagai
kuli di Negara sendiri. Tanamkan tekad di dalam hati, bulatkan azam penuh bermisi,
jadikan Negara Malaysia, Negara tersohor di mata dunia.

Saya akhiri pidato saya dengan Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum


w.t.w.

You might also like