You are on page 1of 8

Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)

ISSN: 2231-9425

KESAN PEMBELAJARAN KOPERATIF MODEL STAD KE ATAS


SIKAP TERHADAP MATEMATIK
(The Effects of STAD Cooperative Learning Model on Students
Attitude towards Mathematics)

Zainun Ismaon , Zanaton Iksan, Norziah Othman


Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK
Kajian ini menentukan kesan pembelajaran koperatif dengan menggunakan model Student-Team-
Achievement-Division (STAD) ke atas sikap pelajar terhadap mata pelajaran matematik. Kajian kuasi
eksperimen ini melibatkan penggunaan instrumen soal selidik dan temu bual ke atas 82 orang pelajar
Tahun 5 dari dua buah kelas di sebuah sekolah di negeri Kedah. 42 orang pelajar berada dalam kumpulan
rawatan (kumpulan koperatif) dan 40 orang lagi dalam kumpulan kawalan yang diajar dengan kaedah
konvensional. Keputusan Ujian-t menunjukkan perbezaan yang signifikan dari segi sikap pelajar terhadap
matematik di antara kumpulan rawatan dan kawalan. Perbezaan ini ditunjukkan bagi kategori
keseronokan dalam matematik dan aktiviti sosial dalam matematik. Tiada perbezaan yang signifikan
ditunjukkan bagi kepentingan/nilai dalam matematik. Keseluruhan 90.5% pelajar mempunyai persepsi
positif terhadap pembelajaran koperatif model STAD ini. Bagaimanapun, pengetahuan dan kemahiran
yang mencukupi perlu ada dalam kalangan guru agar pembelajaran sebegini dapat dilaksanakan dengan
penuh yakin dan tersusun.

Kata kunci: Pembelajaran koperatif, STAD, sikap terhadap matematik.

ABSTRACT
This study investigates the effect of the cooperative learning model Student-Team-Achievement-Division
(STAD) on students attitude towards mathematics. This quasi-experimental study used a questionnaire
and interview as a research instrument. Participants consisted of 82 year 5 students from two classes in a
school in Kedah. 42 students were involved the experimental group (the cooperative learning group) and
another 40 students were in the controlled group who was taught using the conventional method. Results
of the t-test indicated a significant difference on attitude towards mathematics between the experimental
and controlled group. Difference existed in the category of fun in learning mathematics and social
activities in mathematics. There was no significant difference in values in mathematics. Overall, 90.5%
of students showed positive perception towards cooperative learning with STAD model. Thus, teachers
must be knowledgeable and skillful in order to continuously implement this type of learning with full of
confidence and systematically.

Key words: Cooperative learning, STAD, attitude towards mathematics

PENGENALAN

Matlamat pendidikan amat jelas untuk mendidik pelajar, mengukuhkan kemahiran


membaca, menulis dan mengira di samping pembinaan budi pekerti yang baik.
Kurikulum matematik pula dirangka bertujuan untuk membentuk individu yang
berpemikiran matematik dan mampu mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran
Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)
ISSN: 2231-9425

dalam menyelesaikan masalah matematik di samping menghargai kepentingan dan


keindahan matematik (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001).

Ramai pelajar beranggapan bahawa matematik sebagai subjek yang sukar, malah
membosankan (Wan Zah et al., 2005). Masalah yang melibatkan pengiraan menuntut
komitmen yang tinggi serta kerja keras menyebabkan pelajar mudah keliru dan
merasakan ia suatu aktiviti yang membosankan. Identiti matematik yang terlalu abstrak
dikatakan tiada kaitan dengan kehidupan seharian (Marzita, 2002). Pelajar cuba
mengelak daripada menjawab soalan untuk apa belajar matematik oleh kerana
kekeringan idea ke mana dan bagaimana boleh mereka mengaplikasikan ilmu tersebut
dalam kehidupan (Keitel, 2003). Mereka beranggapan penggunaan ilmu matematik itu
sendiri sangat terhad dan tidak mampu pergi lebih jauh melainkan jika mereka bercita-
cita menjadi ahli matematik. Pelajar juga bermasalah apabila mempunyai persepsi yang
negatif terhadap matematik terutamanya kalkulus yang merupakan tajuk wajib dipelajari
di sekolah dan institut pengajian tinggi (Ahmad Fauzi, Wong Su Lian, & Norhayati,
2005). Pelajar juga tidak mampu menguasai kemahiran asas matematik seperti asas
algebra, persamaan serentak dan persamaan kuadratik (Mazlini & Effandi, 2009).
Mereka gagal untuk meringkaskan jawapan dan sering melakukan kesilapan akibat
faktor kecuaian diri sendiri. Oleh itu, pelbagai strategi dan pendekatan perlu difikirkan
agar masalah ini dapat diatasi dengan segera.

Guru matematik semestinya berpengetahuan luas dalam matematik yang diajar (Wu
Thiam Yew, Sharifah Norul Akmar, & Lian, 2011). Guru perlu mempunyai
pengetahuan matematik yang komprehensif agar mereka berupaya menyusun
pengajaran dan pelajar boleh belajar matematik dengan lebih bermakna. Strategi yang
digunakan oleh guru dalam pengajaran haruslah berupaya memberi kesedaran kepada
pelajar perlunya kepercayaan terhadap matematik yang akan mengubah dan
memperbaiki gaya pembelajaran supaya menjadi yang lebih berkesan. Jurang yang
wujud dalam pencapaian pelajar lemah dan cemerlang harus dikurangkan agar
keyakinan dalam menyelesaikan masalah diperoleh bersama (Siti Mistima & Effandi,
2009).

Guru berperanan menerangkan kepada pelajar bagaimana menggunakan kaedah dan


pendekatan yang betul. Penerangan yang baik dengan menggunakan kaedah yang sesuai
akan merangsang pelajar berfikir dan beriltizam untuk memperkayakan diri dengan
pelbagai ilmu kemahiran dan membina peribadi yang baik. Pembelajaran berkesan
melibatkan kegiatan melihat, mendengar, berfikir, dan manipulasi tangan (Khalijah,
1999). Hafalan tidak bermakna ilmu pengetahuan telah difahami dengan baik dan tidak
menjamin pelajar itu memperoleh pencapaian yang cemerlang. Latihan pula membantu
pelajar menjadi cekap, namun minda mereka tidak perlu bekerja keras dengan tangan
secara tanpa sedar tahu apa yang harus dilakukan terlebih dahulu mengikut tertib.
Apabila pelajar menjadi cekap, beban tugas menjadi ringan dan keseronokan akan
tercapai dan secara tidak langsung motivasi juga meningkat. Menurut Khalijah lagi,
masalah dalam mempelajari matematik disebabkan oleh tiada kemahiran belajar,
masalah berfikir secara analitis, masalah membina konsep, dan skema ilmu di samping
pelajar sendiri yang kurang jelas dengan sifat sesuatu ilmu.

12
Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)
ISSN: 2231-9425

Guru perlu memahami teori pembelajaran yang mendefinisikan bagaimana proses


pembelajaran berlaku dan kaedah serta pendekatan terbaik bagi menghasilkan
pembelajaran berkesan. Pentas pendidikan adalah wahana paling ideal dalam
melaksanakan hasrat pendidikan negara. Pelaksanaan kaedah tradisional yang
berorientasikan peperiksaan, hafalan dan latih tubi sudah tidak lagi relevan dengan
kehendak semasa (Sahidan, 2009). Pedagogi bestari yang berfokuskan pelajar dan
berorientasikan aktiviti wajar dilaksanakan sebagai pendekatan pengajaran dan
pembelajaran alternatif terbaik.

Kaedah tradisional menunjukkan guru lebih mendominasi aktiviti bilik darjah


sedangkan keupayaan pelajar untuk mengembangkan kemahiran belajar terbatas.
Kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, mampu berkomunikasi, kemahiran
menyelesaikan masalah perlu ada sebagai persediaan melangkah ke alam pekerjaan
kelak. Pembelajaran koperatif yang menggalakkan perbincangan dalam kumpulan tanpa
mengira latar belakang jantina, bangsa dan kebolehan menyediakan peluang terbaik
bagi pelajar untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah
matematik bersama (Effandi & Zanaton, 2007). Perbincangan dan perkongsian ilmu
pengetahuan merangsang sikap yang positif terhadap matematik melalui Pembelajaran
koperatif (Mazlan, 2002).

Pembelajaran koperatif merupakan kaedah pembelajaran yang memerlukan pelajar


berada dalam kumpulan kecil seramai 4 hingga 5 orang dan bekerja bersama dalam
mencapai matlamat yang sama (Effandi & Zanaton, 2007). Model Student-Team-
Achievement-Division (STAD) antara model lain yang digunakan dalam Pembelajaran
koperatif selain JIGSAW, Team-Accelerated-Instruction (TAI), Team-Games-
Tournament (TGT) dan Learning Together. STAD melibatkan guru sebagai fasilitator
menerangkan objektif pembelajaran dan meminta pelajar dalam kumpulan membuat
persediaan untuk kuiz yang menggalakkan perbincangan sesama mereka dalam
menyelesaikan masalah matematik yang diberikan. Ganjaran berupa hadiah atau
pengiktirafan diakhir sesi pembelajaran disediakan. Pembelajaran koperatif merupakan
salah satu kaedah pembelajaran yang mampu menerapkan nilai-nilai murni. Aktiviti
perbincangan ini menghasilkan minat kepada mata pelajaran dan membangkitkan rasa
penghargaan sesama pelajar dalam kumpulan (Nor Azizah, Siti Rahayah & Musa,
2001). Pelajar yang mengamalkan pembelajaran koperatif juga menunjukkan sikap yang
positif terhadap mata pelajaran sains (Abdul Halim, 2000). Secara khususnya, persoalan
kajian adalah seperti berikut:

(a) Apakah kesan pembelajaran koperatif model STAD ke atas sikap pelajar
terhadap matematik?
(b) Apakah persepsi pelajar terhadap pembelajaran koperatif dalam matematik?

METODOLOGI

Kajian berbentuk kuasi eksperimen ini melibatkan pelajar daripada dua buah kelas
Tahun Lima di sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Nerang, Kedah. Kelas rawatan
terdiri daripada 42 orang pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif
menggunakan model STAD, manakala kelas kawalan terdiri daripada 40 orang pelajar
yang menggunakan kaedah pembelajaran konvensional. Tempoh masa kajian adalah
13
Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)
ISSN: 2231-9425

selama 5 minggu dan sesi pengajaran bagi kedua-dua kelas rawatan dan kawalan
dilaksanakan oleh guru matematik yang sama.

Dua buah instrumen digunakan dalam kajian ini iaitu, Instrumen Soal Selidik Sikap
Murid Terhadap Matematik (Pensri & Krongthong, 1995) dengan nilai
kebolehpercayaan pekali Cronbach Alfa 0.81 dan instrumen Soal Selidik Persepsi
Murid Terhadap Matematik (Kamarudin, 1999) dengan nilai kebolehpercayaan pekali
Cronbach Alfa 0.82. Instrumen Soal Selidik Sikap Murid Terhadap Matematik
diberikan kepada pelajar di kedua-dua kelas rawatan dan kawalan sebelum dan selepas
eksperimen. Data dianalisis menggunakan ujian-t (pra dan pos) menggunakan perisian
SPSS.

DAPATAN KAJIAN

Kesan Pembelajaran Koperatif ke atas Sikap Pelajar terhadap Matematik

Jadual 1 Perbezaan Min Sikap Kumpulan Rawatan Sebelum dan Selepas Eksperimen

Kategori Ujian n Min Sisihan t p


Kumpulan Piawai
Keseronokan Pra 42 3.26 0.49 6.435 0.000*
Pos 42 3.45 0.35
Kepentingan Pra 42 3.20 0.32 0.354 0.786
Pos 42 3.12 0.23
Aktiviti Sosial Pra 42 3.11 0.37 5.876 0.000*
Pos 42 3.27 0.31
Purata Pra 42 3.19 0.29 5.170 0.000*
Keseluruhan
Pos 42 3.31 0.26
*Signifikan pada paras p<0.05

Merujuk kepada Jadual 1, keputusan ujian-t menunjukkan tidak terdapat perbezaan min
yang signifikan di antara kumpulan rawatan dan kawalan dari segi sikap terhadap
matematik sebelum eksperimen dijalankan. Namun, selepas eksperimen, terdapat
perbezaan min yang signifikan di antara kedua-dua kumpulan rawatan dan kawalan dari
segi sikap bagi kategori keseronokan mempelajari matematik (t=6.435, p=0.000<0.05)
dan aktiviti sosial dalam matematik (t=5.876, p=0.00<0.05). Walau bagaimanapun,
tiada perbezaan min yang signifikan wujud ke atas sikap pelajar bagi kategori
kepentingan matematik (t=0.354, p=0.786>0.05). Pelajar mungkin mendapati
perbincangan dan ganjaran menjadikan pembelajaran koperatif lebih menyeronokkan
namun kesedaran tentang peri pentingnya matematik masih pada takuk yang sama
walaupun pendekatan yang digunakan dalam pembelajaran berbeza. Kesimpulannya,
terdapat peningkatan dari segi skor min sikap terhadap matematik bagi kumpulan
rawatan. Ini bermakna Pembelajaran koperatif telah memberi kesan yang positif ke atas
sikap murid terhadap matematik.

14
Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)
ISSN: 2231-9425

Persepsi Pelajar dari Segi Minat terhadap Pembelajaran koperatif dan Kesesuaian
Pembelajaran koperatif Model STAD

Jadual 2 Persepsi Pelajar dari Segi Minat terhadap Pembelajaran Koperatif Model STAD

No Item Soal Selidik Peratusan Responden

. Sangat Setuju Kurang Tidak


Setuju Setuju Setuju
1 Saya suka belajar matematik kaedah 88.1 11.9 0 0
pembelajaran koperatif
4 Kaedah pembelajaran koperatif menjadikan 54.8 38.1 7.1 0
saya menunggu-nunggu pelajaran matematik di
sekolah
5* Saya kurang berminat menyertai aktiviti 2.3 11.9 28.6 57.1
pembelajaran matematik yang dijalankan.
8 Pelajaran matematik di kelas saya adalah lebih 47.6 30.9 14.3 7.2
menarik dengan pelaksanaan kaedah
pembelajaran
10* Kaedah pembelajaran koperatif tidak sesuai bagi 0 4.8 26.2 69
saya
13 Kaedah pembelajaran koperatif telah 69 23.8 2.3 2.3
menambahkan minat saya

Nota: * menunjukkan item soal selidik dalam bentuk pernyataan negatif

Berdasarkan Jadual 2, analisa terhadap persepsi pelajar mendapati 92.8% orang pelajar
pembelajaran koperatif telah meningkat minat mereka terhadap matematik. Sebilangan
kecil pelajar sahaja (14.2%) yang kurang berminat menyertai aktiviti yang disediakan.

Jadual 3 Persepsi Pelajar terhadap pembelajaran koperatif Model STAD dari segi

No Item Soal Selidik Peratusan Responden

. Sangat Setuju Kurang Tidak


Setuju Setuju Setuju
2 Kaedah pembelajaran koperatif menjadikan 78.6 21.4 0 0
matematik lebih mudah difahami
3 Saya rasa lebih yakin menjawab soalan-soalan 40.5 57.1 2.4 0
matematik sekarang
6 Saya rasa pembelajaran saya dalam mata 52.4 35.7 11.9 0
pelajaran matematik meningkat
7* Saya masih menghadapi banyak masalah 11.9 23.8 45.2 19
memahami pelajaran matematik
9 Kaedah pembelajaran koperatif membantu saya 61.9 33.3 4.8 0
mengingat fakta matematik

Nota : *menunjukkan item soal selidik dalam bentuk pernyataan negatif

15
Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)
ISSN: 2231-9425

Jadual 4 Persepsi Pelajar terhadap Pembelajaran koperatif Model STAD dari segi
Penyertaan dan Interaksi dalam Kelas

No Item Soal Selidik Peratusan Responden

. Sangat Setuju Kurang Tidak


Setuju Setuju Setuju
11 Kaedah pembelajaran koperatif memberi saya 66.7 31 2.3 0
lebih banyak peluang untuk mengambil bahagian
aktif dalam pelajaran matematik
12 Kaedah pembelajaran koperatif memberi saya 66.7 23.8 4.8 4.8
lebih banyak peluang berkenalan dengan rakan-
rakan dalam kelas

Berdasarkan Jadual 3 dan 4, didapati 97.6% orang pelajar merasa lebih yakin menjawab
soalan matematik dan sebanyak 95.2% daripada pelajar bersetuju pembelajaran
koperatif membantu mereka mengingat fakta matematik. Seramai 97.7% orang pelajar
pula mengatakan pembelajaran koperatif memberi peluang kepada mereka untuk
penglibatan aktif dalam kelas.

Namun, terdapat beberapa aspek dalam pembelajaran koperatif ini yang kurang
digemari pelajar seperti suasana bilik darjah menjadi bising, perbincangan di luar tajuk
pembelajaran, segelintir ahli kumpulan yang kurang memberi kerjasama dan
penglibatan pasif beberapa orang pelajar dalam menjawab soalan kuiz. Secara
keseluruhannya, 90.5% orang pelajar memberikan maklum balas yang positif terhadap
pelaksanaan pembelajaran koperatif dalam bilik darjah matematik. Matematik lebih
mudah difahami, pembelajaran matematik lebih menyeronokkan, boleh berbincang
dan berkongsi pendapat dengan rakan merupakan antara pendapat positif pelajar
berkenaan pembelajaran koperatif.

PERBINCANGAN

Dalam kajian ini, kumpulan rawatan telah didedahkan kepada pembelajaran koperatif
model STAD dalam pembelajaran matematik. Keputusan analisis menunjukkan
pembelajaran koperatif memberikan kesan yang baik dalam menukar sikap pelajar
terhadap matematik. Ini selari dengan kajian oleh beberapa orang penyelidik sebelum
ini yang mendapati pembelajaran koperatif memberikan banyak kelebihan dan
sumbangan yang positif kepada pengajaran dan pembelajaran (Effandi & Zanaton,
2007; Mazlan, 2002).

Kaedah pembelajaran koperatif banyak memberi peluang kepada pelaksanaan


pembelajaran berpusatkan pelajar. Ini bermakna guru perlu mempunyai kemahiran
bertindak sebagai fasilitator dalam bilik darjah. Bagaimanapun, pemilihan tajuk dengan
mengambil kira faktor masa mempengaruhi pelaksanaan kaedah ini. Oleh itu, guru
digalakkan mengadakan program perkongsian ilmu contohnya, lesson study dalam
kalangan mereka agar percambahan idea dan pengukuhan teknik pengajaran dapat
difikirkan bersama (Lieberman & Mace, 2010).

16
Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)
ISSN: 2231-9425

Pendidikan bersepadu yang menjamin kesepaduan antara ilmu dan sahsiah membawa
kepada pembangunan tamadun dan insan sebagai tunggak atau nadi kepada
keharmonian sejagat. Masyarakat yang berilmu dan mempunyai nilai etika yang tinggi
mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Oleh itu kesepaduan
antara pengetahuan, penguasaan kemahiran dan penerapan nilai harus dilaksanakan oleh
guru dalam pengajaran (Munirah, 2004). Pengembangan idea, konsep, prinsip dan
aktiviti bersepadu dalam pendidikan matematik membolehkan pelajar menghayati
keindahan dan kepentingan matematik sekali gus mampu menguasai kekuatan
intelektual, akhlak dan rohani.

Keperluan memberi tumpuan saling hubungan antara pelbagai topik matematik,


mengembangkan pemikiran matematik merentasi kurikulum, dan menyediakan aktiviti
yang bermakna dilakukan agar pelajar dapat melihat matematik sebagai satu bidang
yang berkaitan dengan kehidupan seharian (Nik Azis, 2009). Sikap yang positif
terhadap penyelesaian masalah adalah perlu agar pelajar seronok untuk belajar
matematik. Lebih banyak masalah diselesaikan, maka pelajar akan menjadi lebih
berpengetahuan dan tentunya punya kemahiran menyelesaikan masalah dalam
kehidupan mereka pada masa akan datang.

RUJUKAN

Abdul Halim Mohd Noh. (2000). Satu kajian kes terhadap pembelajaran koperatif
dalam mata pelajaran sains KBSM Sekolah Bestari Di Sekolah Menengah
Kebangsaan Telok Datok, Selangor : Kaedah Kumpulan Perbincangan (Projek
Sarjana Pendidikan), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor,
Malaysia.
Ahmad Fauzi Mohd Ayub, Wong Su Lian, & Norhayati Mukti. (2005). Students'
Attitudes Toward Calculus: A Preliminary Study among Diploma Students at
Universiti Putra Malaysia. Jurnal Teknologi, UTM, 42(E),4960. doi:
10.1177/1469787409355867
Lieberman, A. & Mace, D. P. (2010). Making Practice Public: Teacher Learning in the
21st Century. Journal for Teacher Education, 61(1-2), 77-88.
Effandi Zakaria, & Zanaton Iksan. (2007). Promoting Cooperative Learning in Science
and Mathematics Education: A Malaysian Perspective. Eurasia Journal of
Mathematics, Science & Technology Education, 3(1), 35-39.
Kamarudin Taib (1999). Kajian keberkesanan pembelajaran koperatif model STAD ke
atas pencapaian murid Tingkatan 2 dalam mata pelajaran sains KBSM.
(Laporan Penyelidikan). Maktab Perguruan Ampuan Afzan, Kuantan
Keitel, C. (2003). Values in Mathematics Classroom Practice: The Students'
Perspective. Paper presented at the Learner's Perspective Study International
Research Team, University of Melbourne, Australia.
Khalijah Mohd. Salleh. (1999). Metodologi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik: Satu Pendekatan yang Praktikal. In Mohd Yusof Othman (Ed.), Siri
Wacana Sejarah dan Falsafah Sains Jilid 7 (ms 61-83). Kuala Lumpur,
Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Marzita Puteh. (2002). Factors Associated with Mathematics Anxiety (Edisi Pertama.).
Perak, Malaysia: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

17
Jurnal Pendidikan Matematik, 1 (1), 11-18 (2013)
ISSN: 2231-9425

Mazlan Ibrahin. (2002). Amalan Pembelajaran koperatif oleh Guru-Guru dan Kesan ke
atas Sikap Pelajar terhadap Matematik (Projek Sarjana Pendidikan), Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
Mazlini Adnan, & Effandi Zakaria. (2009). Kepercayaan Guru terhadap Matematik,
Pengajaran Matematik dan Pembelajaran Matematik. Paper presented at the
Prosiding Persidangan Kebangsaan Pendidikan Sains dan Teknologi, Universiti
Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Malaysia.
Munirah Ahmad Masduki. (2004). Penerapan nilai-nilai murni dalam prosess
pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru di lapan buah Sekolah
Menengah di Jitra, Kedah. Universiti Teknologi Malaysia, Johor, Malaysia.
Nik Azis Nik Pa. (2009). Nilai dan etika dalam pendidkan matematik. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.
Nor Azizah Salleh, Siti Rahayah Ariffin, & Miusa Daia. (2001). Penerapan Nilai Murni
Melalui Pembelajaran-Koperatif dalam Sains. Jurnal Pendidikan, 2, 47-57.
Pensri Teeravarapaug & Krongthong Khairiree (1995). Cooperative learning in
mathematics, Penang : SEAMEO RECSAM
Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Kemahiran Berfikir dalam Pengajaran dan
Pembelajaran. Kementerian Pendidikan Malaysia
Sahidan Hashim. (2009). Kreativiti Guru Menjadikan Pengakaran dan Pembelajaran
lebih Efektif, Menarik dan Menyeronokkan. Jurnal Paradigma IPG Tuanku
Bainun, Bukit Mertajam, 8, 63-69.
Siti Mistima Maat, & Effandi Zakaria. (2009). Mathematics Beliefs and Achievement
among Engineering Technology Students. The International Journal of
Learning, 16, (7), 39-47.
Wan Zah Wan Ali, Sharifah Kartini Said Husain, Habsah Ismail, Ramlah Hamzah, Mat
Rofa Ismail, Mohd. Majid Konting, & Rohani Ahmad Tarmizi. (2005).
Kefahaman Guru Tentang Nilai Matematik. Jurnal Teknologi, Universiti
Teknologi Malaysia, 43(E), 45-62.
Wu Thiam Yew, Sharifah Norul Akmar Syed Zamri, & Lian, L. H. (2011). Preservice
Secondary School Mathematics Teachers' Subject Matter Knowledge of
calculating Perimeter and Area. Academic Research International Journal, 1(2),
276-285.

Maklumat lanjut, boleh hubungi:


Zanaton Iksan
Jabatan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mail: naim@ukm.my

18

You might also like