You are on page 1of 6

SEJARAH RINGKAS ETNIK ROHINGYA DI ARAKAN (BURMA):

4.1. Dari segi sejarahnya, etnik Rohingya yang beragama Islam di Negara Myanmar tinggal di utara
Negeri Rakhine yang terletak di Barat Myanmar bersempadan dengan Negara Bangladesh. Rakhine
dulunya dikenali dengan nama Arakan. Arakan pernah menjadi Kerajaan Kesultanan Islam pada abad
ke-7, iaitu selama 350 tahun dan pernah menjadi pusat tamadun Islam di Nusantara pada masa itu
sehinggalah ia dijajah oleh British pada tahun 1784. Pada awal abad ke-7 itu Arakan telah menjadi
penempatan pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam, namun bukti sejarah tersebut adalah
amat sedikit. Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia
Selatan, terutamanya orang Benggali.Sebahagian orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah
berketurunan orang Arab, orang Parsi dan orang Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era
pemerintahan Empayar Monghul.

4.2. Salah seorang Rohingya yang terkenal zaman dahulu ialah Sultan Mahmood, iaitu seorang yang
kaya dan berpengaruh. Beliau pernah menjadi setiausaha politik dalam kerajaan Burma pimpinan U
Nu dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Orang Islam Rohingya lain dalam kerajaan
U Nu yang menjadi setiausaha parlimen antaranya ialah Sultan Ahmed dan Abdul Gaffar. Abdul
Bashar, Zohora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan, Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine) ialah
ahli-ahli parlimen dalam kabinet U Nu.

4.3. Arakan asalnya adalah negara Islam. Perkataan Arakan berasal dari bahasa Arab yang ertinya
ialah rukun.Buktinya ialah wang logam yang digunakan pada masa itu adalah dinar.Pada satu sisi
mata wang dinar itu ialah kalimah 'Lailahaillah' dan satu sisi lagi ialah gambar sultannya.Berita
tentang kewujudan orang Islam di Arakan ini telah diputar belitkan oleh media kepunyaan kerajaan
Buddha Burma hingga berita sebenar telah digelapkan. Orang-orang Arakan dikatakan datang
setelah penjajahan Inggeris di Burma pada abad ke 17 padahal faktanya mereka telah berada di
Arakan semenjak abad ke 7 lagi.

4.4. Orang Rohingya telah lama menetap di Arakan, sehinggalah penaklukan oleh orang-orang
Burma yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Chittagong, daerah di bawah
kekuasaan British yang berjiran dengan Arakan. Arakan adalah wilayah yang sedang bergolak
sekarang ini.Dan secara mudahnya, etnik Rohingya merujuk kepada golongan Islam yang pernah
menetap di Arakan dan kemudian berhijrah ke Chittagong sebelum kembali semula ke Arakan.

5. KENAPA ETNIK ROHINGYA ISLAM DI BENCI:


5.1. Semasa penjajahan British di India, pihak British telah menggalakkan orang-orang Bengal,
terutamanya dari Chittagong untuk berhijrah ke Arakan untuk menguruskan tanaman dan bercucuk
tanam di sana. Disebabkan British memerlukan tenaga buruh murah untuk menguruskan tanaman
padi di Burma, kemasukan imigran dari Bengal ke Burma meningkat dengan
mendadaknya.Penghijrahan yang berlaku ini melibatkan seluruh wilayah di Burma dan tidak hanya
terhad di Arakan sahaja.Akibat penghijrahan secara beramai-ramai ini, orang Bengal menguasai
ekonomi dan sosio-politik di Burma.Keadaan ini telah menyemai rasa rendah diri, kebencian dan
perkauman agama di kalangan penduduk peribumi Burma yang beragama Buddha.

5.2. Kebencian orang Buddha terhadap orang-orang Rohingya bertambah kritikal ketika penaklukan
Jepun di Asia. Orang-orang Rohingya majoritinya menyokong pakatan yang diketuai pihak British,
sedangkan etnik Rakhine yang beragama Buddha menyokong penuh penjajahan Jepun ke atas
Burma.Akibat daripada perbezaan ideologi ini, ribuan etnik Rohingya dibunuh dengan kejamnya oleh
kedua-dua pihak Rakhine dan tentera Jepun.Ramai orang-orang Rohingya telah melarikan diri ke
Chittagong.

5.3. Negara Myanmar di ketahui sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama
Buddha. Selain dari faktor di atas, kebencian orang Myanmar kepada etnik Rohingya adalah juga
kerana kalimah tauhid mereka iaitu, Lailahailallah Muhammad Rasulullah. Agama Islam tidak
diterima di sana. Mereka telah menjadikan agama Islam dan penganutnya sebagai musuh mereka.
Jika ada orang Islam yang murtad keluar dari Islam maka mereka akan selamat di sana. Situasi ini
menggambarkan seolah-olah adalah menjadi satu dosa besar jika beragama Islam. Adakah Islam
begitu hina pada pandangan orang Buddha Myanmar?.

6. PENINDASAN KE ATAS ETNIK ROHINGYA:

6.1. Etnik Rohingya sudah lama teraniaya, tertindas dan dizalimi serta hidup dalam kesempitan dan
penderitaan di bumi Myanmar. Tragedi demi tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam
Rohingya telah berlaku semenjak tahun 1938 lagi apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Islam
telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968 dan
1992. Cuma kebelakangan ini, telah berlaku suatu perubahan apabila kesengsaraan mereka telah di
bawa ke pentas dunia.Pertempuran antara penganut agama Buddha Rakhine dan minoriti Rohingya
Islam kerap berlaku sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

6.2. Penderitaan dan kesengsaraan etnik Islam Rohingya di Myanmar bertambah hebat pada 1982
apabila secara tiba-tiba orang Islam Rohingya diisytiharkan pendatang asing di negara sendiri.
Mereka telah ditindas melalui undang-undang yang dikenali dengan nama Burma Citizenship Law of
1982 yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi yang diluluskan oleh pemerintah
junta tentera Burma pada tahun 1982. Undang-undang ini tidak mengiktiraf mereka sebagai
warganegara Myanmar, sebaliknya mereka diisytiharkan sebagai pendatang di tanahair mereka
sendiri.Ekoran dari itu hak mereka sebagai warganegara telah dinafikan oleh pemerintah. Malahan
ada yang ditangkap, dipukul dan pelbagai kekejaman lain yang dikenakan kepada mereka.

6.3. Sejak diluluskan Burma Citizenship Law ini juga, anak-anak Islam Rohingya telah dinafikan hak
pelajaran mereka. Undang-undang ini telah menyebabkan bukan sahaja mereka tidak dapat
menyambung pelajaran, malah ada yang langsung tidak dapat belajar ekoran daripada tekanan
ekonomi, sosial, penangkapan, penyeksaan dan seumpamanya. Yang menyedihkan lagi ialah wanita
Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, didiskriminasi,
dirogol dan sebagainya.Bahkan orang Islam turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di
hospital mahupun di klinik-klinik. Mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi
untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka perolehi.

6.4. Orang Islam juga dinafikan hak untuk menunaikan haji ataupun menyembelih korban semasa
menyambut Aidiladha. Dengan segala sekatan ini menjadikan mereka tidak dapat menjalani
kehidupan sebagai seorang Islam yang bebas untuk melaksanakan ajaran dan tuntutan agama Islam.
Penindasan berterusan ini menyebabkan orang Islam Rohingya tidak ada pilihan melainkan terpaksa
melakukan penghijrahan dengan menjadi pelarian ke negara-negara lain seperti di Bangladesh,
Pakistan, United Arab Emirates, Arab Saudi, Thailand dan juga Malaysia. Dianggarkan lebih dari
400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 di Thailand, 150,000 di
Pakistan, ribuan lagi di Malaysia. Puluhan ribu pelarian di kem pelarian di Kutupalong dan Coax Bazar
di Bangladesh berada dalam keadaan sangat daif dan menyedihkan kerana pihak berkuasa
Bangladesh tidak memberi bantuan kepada mereka.

6.5. Pada awal Jun tahun 2012 telah tercetus satu lagi perbalahan besar apabila seorang wanita
etnik Rakhine dirogol dan dibunuh. Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh beberapa lelaki daripada
etnik Rohingya.Sebagai tindak balas dendam, puak etnik Rakhine beragama Buddha telah
mengepung dan menyerang sebuah bas serta membunuh sepuluh orang lelaki Rohingya kerana
menyangkakan merekalah yang bertanggungjawab membunuh dan merogol wanita etnik Rakhine
itu.Ini adalah salah satu taktik etnik Rakhine yang jahat mahu mencipta isu.Ia bertujuan untuk
menghalalkan perbuatan jahat mereka. Selepas kejadian itu, kekejaman puak Rakhine telah
bermaharajalela. Krisis ini menjadi semakin parah dan berlarutan apabila ia bertukar menjadi lebih
ganas dengan pembunuhan etnik Rohingya secara berkumpulan dan sistematik oleh puak Rakhine.

6.6. Selain dari membunuh dan membakar hidup-hidup etnik Rohingya mereka juga telah membakar
kampong halaman dan masjid yang bertujuan untuk mengusir etnik ini lari dan keluar dari
penempatan mereka. Etnik Rakhine mengambil kesempatan ini untuk menebus dendam mereka
terhadap etnik Rohingya yang telah disimpan sekian lama.Keadaan menjadi bertambah buruk kerana
pihak tentera dan polis yang beragama Buddha turut bekerjasama dalam pembunuhan dan
pengusiran etnik Rohingya ini.

6.7. Amnesty International melaporkan kemungkinan ribuan umat Islam Rohingya telah dibunuh
oleh puak pelampau Rakhine. Pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa pihak polis, tentera dan
etnik Rakhine menembak penduduk kampung dengan sesuka hati mereka.Setelah dibunuh mayat
mereka dibiarkan berselerak dimana-mana.Mayat mereka dilarang pihak berkuasa untuk
dikembumikan.Ia dibiarkan begitu saja hingga mayat-mayat tersebut dimakan oleh anjing-anjing liar.
Malah mereka juga dikatakan tidak boleh memiliki telefon bimbit.Ada kes mereka yang ditangkap
dan dipenjara hanya kerana memiliki sebuah telefon bimbit.

6.8. Apa yang sedang berlaku di Myanmar kini bukan sekadar perbalahan antara dua agama, iaitu
Islam dan Buddha. Ia sudah mula menjurus kepada tindakan penghapusan etnik (ethnic cleansing)
seperti mana yang telah berlaku di di Bosnia Herzegovina, Yugoslavia dan Chechnya, Rusia satu
ketika dahulu. Sehingga kini, dilaporkan seramai lebih satu juta umat Islam Rohingya telah menjadi
pelarian di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.Dianggarkan seramai dua juta lagi masih berada di
Arakan.

6.9. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rohingya adalah salah satu minoriti di
dunia yang paling teruk ditindas. Elaine Pearson, Timbalan Pengarah Bahagian Hak Asasi Manusia
Watch Asia telah berkata; Sudah bertahun-tahun berlaku diskriminasi, penyalahgunaan dan
pengabaian terhadap etnik Rohingya dan ia akan meletup pada satu masa nanti, dan itulah apa yang
kita lihat sekarang. Yang lebih menyedihkan ialah kerajaan Myanmar telah mengklasifikasikan etnik
Rohingya sebagai pendatang kepada Myanmar dan dengan itu mereka tidak layak untuk menjadi
warganegara Myanmar walaupun telah tinggal di sana beratus tahun lamanya.

Kenyataan Presiden Myanmar, Jeneral Thein Sein dalam menjelaskan pendirian kerajaan Myanmar
terhadap isu Rohingya ini memberikan gambaran negatif terhadap masa depan etnik Islam
Rohingya. Beliau dilaporkan pernah berkata:, "Kita mahu menghantar semua orang Rohingya ke
mana-mana negara yang sudi menerima mereka." Pendekatan yang diambil oleh pihak junta tentera
ialah menjadikan agama Buddha dan perkauman sebagai senjata untuk mereka terus berkuasa.

AUNG SAN SUU KYII

7.2. Lebih mengejutkan dan menyedihkan lagi adalah kenyataan ikon demokrasi Myanmar, Aung
San Suu Kyii yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan pencinta keamanan turut diam
membisu dalam isu ini. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan, apabila ditanya
tentang isu orang Rohingya, adakah wajar mereka diberi taraf kerakyatan, beliau hanya mampu
menjawab, "Saya tidak bertanggungjawab."Pilihanraya tahun 2015 dilihat sebagai penyebab utama
kepada kebisuan beliau.Parti yang dipimpin oleh Suu Kyii amat bergantung kepada sokongan orang-
orang Buddha untuk memenangi pilihanraya pada kali ini.

8. APAKAH REAKSI DUNIA TERHADAP PENDERITAAN DAN

KESENGSARAAN MEREKA:

8.1. Seperti yang kerap berlaku apabila sesuatu tragedi atau krisis yang menimpa umat Islam,
masyarakat antarabangsa sangat lembab dan perlahan dalam memberikan bantuan serta
pertolongan. Lazimnya pemimpin negara umat Islam hanya akan mengeluarkan kenyataan kecaman
dan amaran. Namun ada juga beberapa pemimpin Islam yang lantang mengkritik dan mengecam
tindakan kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Jeneral Thein Sein yang seakan-akan merestui
tindakan ganas etnik Rakhine Buddha terhadap umat Islam Rohingya.

8.2. Lebih malang lagi, Bangladesh selaku jiran yang terdekat dengan mereka telah menolak dengan
tegas pelarian Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di Bangladesh.
Mereka tidak mengaku etnik Rohingya mempunyai pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina,
Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh wartawan Al-Jazeera berkaitan isu pelarian
Rohingya ini dengan bersahaja menyatakan bahawa membantu atau menyelesaikan krisis pelarian
Rohingya bukan tanggungjawabnya. Sedangkan sehingga kini, Bangladesh sudah pun menampung
lebih 300,000 pelarian Rohingya.

8.3. Dalam keadaan reaksi dunia Islam yang amat lemah dan memalukan, tiba-tiba muncul Negara
Turki menjadi sebagai wira membela umat Islam Rohingya. Turki secara konsisten dan keras sekali
telah mengecam kerajaan junta tentera Myanmar atas layanan buruk mereka terhadap umat Islam
Rohingya. Pada 10.8.2012 Emine Erdogan, isteri Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan
bersama-sama dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu telah mengadakan lawatan
kemanusiaan ke Myanmar. Bersama-sama mereka ialah bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk
umat Islam Rohingya.Kedudukan Turki di sebelah benua Eropah dan sangat jauh dengan umat Islam
di Myanmar tetapi mereka tetap memberikan perhatian khusus kepada sesama saudara Islamnya.
Bukankah ini yang difirmankan Allah dan sabda Rasulullah di atas?.Sesungguhnya persaudaraan
sesama Islam itu wajib merentasi sempadan wilayah atau negara.

Tindakan kerajaan Turki ini dilihat amat tepat kerana ia boleh melambangkan persaudaraan Islam
yang melewati sempadan benua dan wilayah. Kerajaan Turki dibawah pimpinan Recep Tayyip
Erdogen berjaya menunjukkan kehebatannya di pentas politik antarabangsa.Turki kini tidak lagi
dilihat sebagai sebuah negara lemah oleh Barat. Sebaliknya kini ia dilihat sebagai sebuah negara
yang terkehadapan dalam memperjuang dan membela nasib umat Islam di dunia. Dunia Barat dan
Yahudi kini sedang memerhatikan Turki dengan penuh minat dan berhati-hati sekali.

8.5. Negara-negara lain seperti Malaysia, Arab Saudi, Indonesia telah menyatakan pendirian tegas
mereka terhadap isu Rohingya ini. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan telah dilancarkan oleh
pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan.Namun tiada satu pun yang dapat menandingi
usaha Kerajaan Turki dalam membela saudara Islamnya.

You might also like