You are on page 1of 4

MINIT MESYUARAT AGUNG PERTAMA

ALUMNI SMK SEKSYEN 7, SHAH ALAM

Tarikh : 26 Ogos 2011 (Jumaat)


Masa : 09:30 pagi
Tempat : Bilik Mesyuarat, SMK Seksyen 7

Kehadiran: 5 orang pihak pengurusan:


- Puan Hajjah Salehah binti Mohd Amin (Pengetua)
- Encik Abdul Ghaffar bin Bakar (Guru Penolong Kanan Akademik)
- Puan Rohana binti Mat Sah (Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid)
- Puan Che Sapora binti Ibrahim (Guru Penolong Kanan Kokurikulum)
- Encik Mohamad bin Mustafa (Kaunselor Sekolah)

15 orang ahli persatuan alumni


(rujuk Lampiran )
13 orang wakil pelajar tingkatan 5

Agenda:

1. Ucapan alu-aluan Pengetua sekolah.


Puan Hajjah Salehah binti Mohd Amin selaku pengetua sekolah mengalu-alukan
kedatangan ahli jawatankuasa alumni sekolah dan mengucapkan tahniah atas
pengesahan pendaftaran alumni sebagai sebuah entiti. Beliau juga menyokong
pembentukan alumni dari segi hubungan yang berterusan antara pihak sekolah
dengan bekas-bekas warga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 di samping
menyumbang untuk dana sekolah. Ahli jawatankuasa dinasihatkan supaya
berunding dengan pihak sekolah sebelum menjalankan sebarang aktiviti yang
berkaitan dengan sekolah dan para pelajar.

2. Ucapan oleh Guru Penolong Kanan Akademik.


Encik Abdul Ghaffar bin Bakar memaklumkan matlamat sekolah untuk menjadi salah
sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SPT) menjelang tahun 2014. Beliau
menekankan bahawa persatuan alumni dan sekolah bukanlah entiti yang berlainan.
Justeru, pihak sekolah memerlukan kerjasama persatuan dalam mengorak langkah
mencapai matlamat berkenaan serta membantu dalam pemarkahan Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Pada tahun 2011, Sekolah Menengah
Kebangsaan Seksen 7 berada di tempat ke 374 antara sekolah-sekolah di Malaysia.

3. Ucapan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.


Puan Rohana binti Mat Sah mengucapkan tahniah atas penubuhan alumni yang
teratur dengan perlembagaan yang lengkap serta proses pendaftaran yang lancar.
Ahli jawatankuasa penaja alumni diminta supaya lebih menguar-uarkan aktiviti yang
akan dijalankan kepada bekas warga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7
dan dapat menjadi contoh kepada para pelajar sekolah masa ini.
4. Ucapan Guru Penolong Kanan Kokurikulum.
Puan Che Sapora binti Ibrahim menyatakan harapan beliau agar alumni yang telah
ditubuhkan dapat membantu memajukan sekolah dan ahli persatuan dapat
menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing dalam memperkenalkan
peluang kerjaya kepada para pelajar yang masih menuntut di sekolah.

5. Ucapan Kaunselor Sekolah.


Encik Mohamad bin Mustafa meminta semua ahli jawatankuasa yang hadir untuk
memperkenalkan diri kepada pihak pengurusan sekolah.

6. Ucapan Pengerusi Persatuan.


Saudara Ahmad Syazwan bin Marzuki meneruskan mesyuarat dengan
memaklumkan kejayaan persatuan ini didaftar secara sah. Beliau juga menyentuh
hal berkenaan ahli jawatankuasa persatuan, kewangan, dan aktiviti yang bakal
dijalankan.

Ahli mesyuarat dimaklumkan bahawa sebarang perkara yang diketengahkan pada


mesyuarat berkenaan hanya boleh digunapakai sehingga bulan Mac tahun 2012
sahaja. Beliau juga menekankan semula bahawa persatuan ini ditubuhkan bertujuan
untuk bekas warga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 berjumpa semula
dengan kenalan lama, membantu sesama ahli persatuan yang memerlukan, dan
memberi khidmat dan sumbangan kemasyarakatan terutamanya kepada sekolah.

Mesyuarat juga bersetuju untuk mengekalkan sebahagian besar ahli jawatankuasa


penaja sebagai ahli jawatankuasa rasmi persatuan untuk tahun pertama berdasarkan
komitmen dan persetujuan oleh ahli-ahli yang hadir.

7. Pengenalan alumni kepada wakil-wakil pelajar.


Wakil-wakil pelajar yang hadir diminta untuk menyampaikan maklumat berkenaan
alumni ini kepada rakan-rakan serta 11 buah kelas tingkatan 5. Mereka diberi
penerangan bahawa pelajar tingkatan 5 yang bakal meninggalkan sekolah tidak lama
lagi layak untuk terus mendaftar selepas tamat persekolahan.

8. Cadangan berkenaan persatuan.


Saudara Mirzad Farhan bin Murhan Mukhoyiddin telah mencadangkan supaya
pembayaran yuran bagi pelajar tingkatan 5 pada masa akan datang dibuat pada
wakil masing-masing iaitu saudara Ariff bin Alias dan saudari Nawal Aqilah binti
Abdul Rahman yang telah dipilih melalui keputusan sebulat suara ahli mesyuarat.

Saudara Ahmad Syazwan bin Marzuki membuka peluang kepada ahli mesyuarat
untuk mengemukakan sebarang cadangan untuk persatuan. Antara cadangan-
cadangan yang dikemukakan adalah percetakan kemeja T untuk ahli, penganjuran
majlis makan malam, dan percutian.

Saudari Nurdiyanah binti Md Yunus mencadangkan supaya ahli-ahli jawatankuasa


dan ahli persatuan alumni sekolah dapat menyumbangkan ilmu pengetahuan yang
ada berkenaan program-program yang ditawarkan oleh Institut Pengajian Tinggi
Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasra dan peluang pekerjaan yang mungkin
menanti pelajar sekolah semasa mengikut bidang masing-masing.

Saudara Faris Aiman bin Elias mencadangkan supaya alumni sekolah dapat
mengedarkan risalah kepada para pelajar untuk menarik minat pelajar akan aktiviti-
aktiviti yang sedang atau bakal dianjurkan oleh persatuan. Beliau juga meminta ahli
jawatankuasa penaja persatuan untuk mencari jalan untuk menyumbang kepada
pembinaan dewan baru di sekolah.

9. Perkara-perkara berbangkit.
Sehingga tarikh mesyuarat berkenaan, semua ahli jawatankuasa penaja masih akan
dikekalkan dalam lembaga penaja walaupun terdapat sedikit perubahan. Semua
yang telah dilantik sebagai timbalan akan diserap sebagai ahli jawatankuasa biasa.
Penambahan seorang lagi ahli jawatankuasa penaja yang telah dipersetujui oleh ahli
mesyuarat adalah saudari Ain Syazwani binti Mohammad Fauzan.

Isu berkenaan yuran sekali lagi diketengahkan pada mesyuarat kali ini. Ahli
mesyuarat sebulat suara bersetuju dengan kutipan sebanyak RM 20.00 untuk yuran
tahunan dan RM 30.00 untuk yuran pendaftaran / ahli seumur hidup.

Sekali lagi ahli mesyuarat dimaklumkan semula terutama untuk wakil-wakil pelajar
yang hadir bahawa persatuan ini turut mempunyai akaun di laman sosial Facebook di
bawah nama Alumni SMK Seksyen 7, Shah Alam. Selain itu, capaian atas talian bagi
persatuan ini adalah di blog Alumni7s (http://alumnisevens.wordpress.com).
Sebarang pertanyaan atau apa jua hal yang ingin diajukan berkaitan persatuan boleh
dihantar kepada alamat e-mel rasmi persatuan iaitu alumnisevens@gmail.com.
Pelajar yang baru ingin mendaftar boleh berbuat demikian dengan mengisi borang
yang telah tersedia di blog persatuan.

Ahli mesyuarat dikehendaki mengajukan sebarang komen atau cadangan di blog


persatuan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, menerusi e-mel
ataupun terus rujuk kepada kaunselor sekolah, Encik Mohamad bin Mustafa.

10. Penangguhan mesyuarat.


Mesyuarat seterusnya berkemungkinan dijadualkan pada bulan Februari atau Mac
2012. Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11:45 pagi.
Laporan disediakan oleh, 09 OKTOBER 2011.

_____________________
(NURDIYANAH BINTI MD YUNUS)
Setiausaha Kehormat,
Ahli Jawatankuasa Alumni SMK Seksyen 7, Shah Alam.

Laporan disahkan oleh,

_____________________
(AHMAD SYAZWAN BIN MARZUKI)
Pengerusi,
Ahli Jawatankuasa Alumni SMK Seksyen 7, Shah Alam.

You might also like