You are on page 1of 5

Cara-cara Memulihara Alam Sekitar

Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, sering kali kita melihat dan menatap pelbagai
berita yang berkaitan alam sekitar. Berita tentang alam sekitar yang menghiasai paparan media
elektronik ini juga turut menjadi bualan masyarakat di mana-mana sahaja. Sebagai spesis yang
paling berkembang di muka bumi, adalah amat penting bagi kita untuk berusaha melindungi dan
memelihara penghuni lain di bumi ini. Bumi kita mempunyai sistem yang kompleks dan pelbagai
hasil daripada hubungan simbiosis dan saling kebergantungan. Setiap spesis mempunyai
tempatnya sendiri dan biasanya tidak boleh ditukar ganti. Sebagai contoh, jika serangga menjadi
pupus, banyak tumbuhan tidak akan dapat membiak dan ini mengakitbatkan binatang pemakan
tumbuhan kebuluran. Secara langsung, ini akan menjejaskan binatang lain ataupun manusia yang
menjadikan binatang tersebut sebagai sumber makanan. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita
untuk bergiat aktif dalam usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.

Antara langkah memulihara alam sekitar ialah dengan mengadakan aktiviti gotong- royong
membersihkan kawasan persekitaran. Gotong-royong ini boleh dilakukan dalam kelompok yang
kecil iaitu hanya melibatkan ahli keluarga ataupun dalam bentuk kelompok yang besar yang
melibatkan masyarakat atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Peribahasa sepakat
membawa berkat membuktikan sekiranya kita mengadakan aktiviti gotong-royong, kita dapat
membersihkan kawasan persekitaran kita agar alam sekitar kita lebih bersih dan secara tidak
langsung dapat menjamin kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Antara aktiviti gotong-royong
yang boleh dijalankan untuk memulihara alam sekitar ialah membersihkan kawasan perumahan,
kawasan pantai, kawasan rekreasi dan sebaginya. Jelaslah bahawa aktivti gotong royong adalah
salah satu cara untuk memulihara alam sekitar.

Selain itu, pemuliharaan alam sekitar juga boleh dilakukan dengan mengadakan aktiviti
penanaman semula pokok. Pokok sangat berguna kepada kehidupan manusia. Kepentingan
pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebing iaitu saling memerlukan. Selain
daripada membekalkan oksigen, pokok juga boleh bertindak sebagai penampan kepada kekuatan
angin dan membantu menyeimbangkan ekosistem alam. Hari ini peratus pokok yang hidup
semakin berkurangan akibat daripada pembalakan haram, penerokaan hutan dan pembukaan
kawasan untuk pembangunan. Oleh itu, kita seharusnya menyahut seruan atau menyokong
kempen penanaman pokok yang dijalankan oleh kerajaan bagi memulihara alam sekitar.

Cara-cara memulihara alam yang seterusnya ialah dengan penguatkuasaan undang-undang.


Pelbagai undang-undang telah digubal dan dipinda untuk memastikan alam sekitar kita
dipulihara dan terpelihara. Namun undang-undang tersebut hanya menghiasi di dada-dada
helaian kertas dan tidak dikuatkuasakan hingga mengakibatkan manusia semakin rakus
menjalankan akitiviti yang merosakkan alam. Undang-undang berkaitan dengan penerokaan
hutan, pencemaran alam sekitar, pembuangan sampah dan sebagainya harus dikuatkuasa dengan
sepenuhnya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam
sekitar. Kita tidak mahu sikap sudah terhantuk baru terngadah menjadi amalan dalam kehidupan
kita. Jelaslah bahawa, penguatkuasaan undang-undang sangat penting untuk memulihara alam
sekitar.
Cara-cara memulihara alam sekitar yang seterusnya ialah peranan yang perlu dimainkan oleh
media massa sama ada ada media elektronik ataupun media cetak. Media masa adalah wahana
yang menghubungkan masyarakat dengan dunia luar. Media massa berperanan memberi
kesedaran dan info-info tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat. Media
masa juga perlu membuat liputan yang meluas tentang kempen, program-program dan usaha-
usaha yang dijalankan oleh kerajaan atau pihak swasta yang menjurus kepada pemuliharaan alam
sekitar. Sikap seia sekata dan sederap melangkah antara media massa dan agensi pemuliharaan
alam sekitar dapat merealisasikan keinginan kita untuk memulihara alam sekitar. Dengan
kerjasama yang diberikan ini, secara tidak langsung media massa dapat menyampaikan mesej
yang jelas kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Daripada huraian yang dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita usaha-usaha memulihara alam
sekitar ini bukan kerja mudah dan perlu digembeleng oleh semua pihak sama ada pihak ibu bapa,
masyarakat, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan juga pihak swasta. Jika kita
mengamalkan sikap berpeluk tubuh atau hanya sebagai pemerhati tidak akan memberi apa-apa
sumbangan dalam memulihara alam sekitar. Untuk menjamin kelangsungan hidup yang
sejahtera, aman dan sihat sewajarnya kita membuat anjakan paradigma dengan berusaha
memulihara alam sekitar kita. Janganlah setelah nasi menjadi bubur, barulah kita cuba berusaha
melestarikan alam sekitar yang sangat bermakna ini. Marilah sama-sama kita berazam untuk
terus memulihara alam sekitar yang dikurniakan oleh Allah ini dengan sebaik mungkin.

Usaha-usaha memelihara Alam sekitar(Karangan Matang)

Bumi yang tiada rimba


Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa

Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin pasti kita sedar akan
mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia.Bait-bait awal
dalam lagu tersebut memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya
makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan
alam sekitar yang tidak terbanding ini.Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak
acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri
akan menerima padahnya. Oleh itu usaha-usaha untuk memelihara alam sekitar perlu diberi
perhatian dan melibatkan oleh semua pihak.

Antara usaha yang praktikal ialah mengitar semula barang terpakai.40 peratus sampah
sarap seperti tin,besi buruk ,botol,kertas dan barangan plastik boleh dikitar semula. Dengan
mengitar semula satu tin aluminium kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik
tiga jam untuk televisyen .Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum kita dapat
mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok . Dengan mengitar
semula satu botol kaca kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik mentol lampu
100 watt selama empat jam.Tegasnya amalan kitar semula seumpama serampang
dua mata,menyelamatkan alam sekitar dan dapat pula mengurangkan kos sumber tenaga serta
menambah pendapatan keluarga.
Selain itu,elakkan pembakaran terbuka.Biasanya pembakaran terbuka ini dilakukan oleh
petani yang memugar hutan untuk tanaman padi bukit ,jagung dan getah. Ada juga petani yang
membakar jerami padi selepas musim menuai.Sebagai akibatnya berlakulah pencemaran udara
dan jerebu. Pembakaran terbuka mestilah dihalang melalui penguatkuasaan undang-undang
memandangkan proses pembakaran akan meningkatkan karbon dioksida seterusnya akan
menyebabkan kesan rumah hijau.Kesan rumah hijau pula akan menyebabkan pemanasan
global.Tuntasnya jika pembakaran terbuka dapat dibendung maka alam sekitar pasti terpelihara.
Akhir sekali,semua pihak mestilah menyahut seruan kerajaan dalam program tanam
semula pokok.Sebagai contoh,Kempen Tanam 26 Juta Pokok Menjelang 2015,Kempen Hari
Bumi ,Kempen Tanam 50 Jenis Pokok Hutan UPM 2011 dan Kempen Tanam Pokok Bakau
Melaka 2010. Pokok-pokok terutamanya bagi Hutan Hujan Topika amat penting untuk menyerap
karbon dioksida yang dilepaskan oleh kenderaan,kilang dan pembakaran terbuka.Pokok-pokok
juga melepaskan gas oksigen untuk kehidupan makhluk di bumi,menghalang hakisan,zon
penampan ribut atau tsunami dan memulihkan ekosistem bumi yang kian terganggu.Tegasnya
program tanam semula pokok mestilah dilakukan dengan konsisten agar alam sekitar dapat
diselamatkan daripada pemanasan global.Jangan terhantuk baru tengadah,cuaca panas di
Cameron Higlands wajar menjadi iktibar kepada semua pihak agar lebih serius dalam
memelihara alam sekitar.
Kesimpulannya, memelihara alam sekitar menjadi tanggungjawab semua pihak
bertepatan dengan pesanan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,Tan Sri Joseph
Kurup. Beliau berkata semua pihak tanpa mengira umur,sektor swasta atau kerajaan perlu
bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi memelihara , memulihara alam sekitar yang
semakin terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana
alam yang lain.Sesungguhnya alam sekitar ini bukanlah milik kita,tetapi dipinjamkan oleh
generasi yang akan datang.Oleh itu kita mestilah amanah dalam menjaga dan memelihara alam
sekitar.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Menjelang abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin maju, kita dapati bahawa tapak bumi
ini telah menjadi mangsa dalam arus permodenan ini. Sering meniti dari bibir ke bibir
masyarakat mengenai isu pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air, udara dan darat.
Antaranya, isu jerebu yang mengancam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan telah
menjadi topik hangat yang dibincang dari kedai kopi hingga ke parlimen. Kalau tidak kerana
angin, masakan pokok bergoyang. Sikap manusia zaman moden yang asyik mengejar fata
morgana sehingga mengabaikan isu pencemaran alam sekitar, merupakan faktor yang
menyebabkan keadaan ini semakin merosot. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang
akan menerima padahnya pada suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka pelbagai
langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah
yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam sekitar? Jawapannya terletak pada kita
semua. Tidak kira siapa, yang pastinya semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk
mengatasi masalah ini.

Pepatah Melayu ada mengatakan tiada penyakit yang tiada penawarnya. Usaha untuk
mengatasi pencemaran alam sekitar ini sepatutnya dimulakan daripada institusi keluarga.
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang
terdekat kepada anak-anak sepatutnya mendidik mereka untuk menghargai dan mencintai alam
sekitar sejak dari kecil lagi. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu yang berbunyi melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa haruslah sentiasa mendedahkan anak-anak tentang isu-
isu pencemaran alam sekitar yang terkini untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan
menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak cukup, ibu bapa juga harus menjadi teladan
kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah di
merata-rata tempat dan melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara.
Dalam hal ini, sikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul tidak harus diamalkan oleh
ibu bapa, iaitu mengajar anak menjaga kebersihan alam sedangkan mereka sendiri tidak
berbuat demikian. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri menjadi teladan, maka anak-anak juga akan
terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa. Dengan ini, nescaya pencemaran alam sekitar akan
dapat diatasi.

Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para pelajar. Oleh itu, pihak sekolah
juga berperanan besar dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang
boleh dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk
semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata pelajaran seperti
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, pendidikan alam sekitar secara
langsung dapat diberi kepada para pelajar. Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu
kepada pelajar seperti meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu
pencemaran alam sekitar dan menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas.
Secara tidak langsung, mereka dapat disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa oleh
pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya kesedaran ini, barulah mereka akan mencurahkan
usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan
melalui penubuhan Kelab Alam Sekitar. Tamsilnya, Kelab Alam Sekitar boleh mengadakan
pelbagai program seperti ceramah dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah dengan
tujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar secara intensif. Lantaran itu, tidaklah
keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah juga dapat membantu mengatasi
masalah pencemaran alam sekitar.

Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga merupakan salah satu langkah yang
dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah
mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai
Reduce, Reuse, Recycle. Reduce ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber
yang terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan
bahan sumber yang saban hari kian berkurangan seperti petroleum dan arang batu. Reuse
pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah
fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan
bahan sumber sekali gus mengurangkan sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran
alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu
mengguna semula bahan baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan
majalah lama untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah malah
dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah, berjimat sebelum kena,
ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap isu-isu pencemaran
alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi semakin serius.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam sekitar kebanyakannya
berpunca daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Menyedari
kesan-kesan negatif yang dibawa oleh pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah
menguatkuasakan undang-undang untuk menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri
dalam daging negara yang sedang membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan
bahawa hukuman mandatori lima tahun penjara terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan
presiden sesebuah syarikat yang melanggar undang-undang alam sekitar. Mereka akan diberi
amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan melepaskan asap hitam dan
sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi berlaku, tindakan yang tegas
akan dikenakan terhadap mereka seperti yang diputuskan oleh kabinet. Pengusaha-pengusaha
kilang haruslah menapis asap hitam dan menggunakan alternatif lain untuk menghapuskan
sisa-sisa toksik kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi kesenangan diri.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuasa untuk mendakwa pihak yang mencemarkan alam sekitar
dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar. Dengan itu, diharapkan pencemaran alam sekitar
dapat diatasi dengan penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.

Kesimpulannya, masalah pencemaran alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan
segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah
dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya
dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus
pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya
akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah
pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan
kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera.
Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan
kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan
generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kelstarian alam sekitar yang
dianugerahkan kepada manusia.

You might also like