You are on page 1of 13

Tasawwur Islam: Ciri-ciri dan Keistimewaan

Perbincangan tentang ciri-ciri dan keistimewaan Islam dalam tasawwur tidak diperoleh secara
khusus dalam al-Quran, al-Hadith mahupun penulisan para ulama silam. Namun, berdasarkan
pemerhatian dan kajian yang teliti, mendalam serta objektif terhadap ajaran dan isi kandungan
Islam, maka kita dapat simpulkan bahawa Islam mempunyai beberapa ciri dan keistimewaan
unggul yang membezakannya daripada ajaran-ajaran lain. Ciri-ciri dan keistimewaan Islam ini
dapat dapat dirumuskan seperti berikut:

Rabbani (Ketuhanan)

Rabbani atau ketuhanan bermaksud segala hukum, konsep, nilai dan peraturan yang terdapat di
dalam Islam adalah ditetapkan dan diwahyukan oleh Allah s.w.t. Ia bukanlah hasil pemikiran dan
ciptaan manusia. Peranan manusia hanyalah sekadar memahami, memperkembangkan dan
melaksanakannya dalam kehidupan mereka. Manusia, walau setinggi mana pun kedudukannya,
tiada hak untuk campur tangan dalam urusan ketuhanan seperti penentuan hukum haram, halal,
dosa, pahala, nilai baik, buruk, jahat dan sebagainya.

Ciri-ciri rabbani ini dinyatakan oleh Allah s.w.t. pada banyak tempat di dalam al-Quran.
Antaranya, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu kitab (al-Quran) dengan kebenaran, maka
taatlah kepada Allah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya, ingatlah bahawa agama yang
bersih (benar) itu adalah milik Allah.

(Surah al-Zumar: 2 3)

Al-Thabat wa al-Murunah (Tetap dan anjal)

Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah. Dalam konteks ajaran Islam, ada perkara yang telah
tetap dan tidak boleh dipinda dan diubah-ubah dasar, prinsip dan perlaksanaannya. Antara
perkara yang termasuk dalam konsep thabat adalah aspek akidah dan hukum-hakam amaliyyah
yang dinyatakan secara qati (pasti) dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Konsep al-thabat dalam aspek akidah dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap Allah s.w.t.
yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Perkara-perkara berkaitan akidah adalah tetap dan
tidak boleh dipinda atau diubah-ubah. Sementara dalam konteks amaliyyah seperti ibadat solat,
puasa, haji dan zakat telah ditetapkan cara dan waktu perlaksanaan dalam syariat Islam. Begitu
juga beberapa prinsip dalam muamalat seperti pengharaman riba, gharar (unsur-unsur yang tidak
ketentuan), kewajipan saling meredai dalam berakad dan lain-lain. Selain itu, hukum jenayah
yang diwajibkan dalam al-Quran dan al-Hadith seperti hukum hudud dan qisas tidak boleh
diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi perkara-perkara yang dijelaskan
oleh al-Quran dan al-Sunnah seperti khinzir, minum arak, berjudi dan riba. Perkara-perkara ini
ditentukan secara qati dan tidak mungkin berubah sampai bila-bila.

Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain daripada perkara-perkara pokok dan dasar
yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara ranting dan cabang yang boleh berubah
mengikut kesesuaian dengan perubahan maslahah manusia sepanjang peredaran zaman. Hal ini
menjadikan agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sentiasa sesuai dan bersifat senang
dan mudah untuk diamalkan. Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali menyusahkan
umatnya dalam mengamalkan segala ajarannya. Sebagai contoh, solat adalah wajib dan perlu
dilaksanakan mengikut ketetapan rukun. Walaubagaimanapun, jamak dan qasar dibenarkan
dalam solat sekiranya seseorang itu bermusafir. Ini terbukti bahawa hukum Islam tidak statik,
sebaliknya bersifat anjal dan fleksibel dengan memberi keutamaan kepada keselesaan
penganutnya.

Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:

Allah tidak sesekali memberatkan seseorang itu kecuali dengan kadar upayanya. Baginya
(pahala) bagi kebaikan yang dikerjakannya, dan ke atasnya (dosa) bagi kejahatan yang
dikerjakannya. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami atas apa yang kami terlalai atau
silap padanya. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan pekerjaan yang berat ke atas kami
sebagaimana yang Engkau bebani ke atas mereka yang sebelum daripada kami.

(Surah al-Baqarah: 286)


Waqiyyah (Realistik)

Waqiyyah bermaksud ajaran Islam bersifat praktikal dan realistik iaitu bersesuaian dengan
realiti kehidupan manusia. Ajaran Islam sentiasa seiring dengan kenyataan hidup manusia.
Dalam menetapkan sesuatu hukum atau peraturan, Islam sentiasa mengambil kira realiti semasa,
setempat dan adat yang diamalkan. Umpamanya, jika sesuatu masyarakat telah mengamalkan
sesuatu adat atau budaya tertentu dalam menjalankan aktiviti ekonomi atau perniagaan antara
mereka, dan adat itu pula tidak mendatangkan sebarang keburukan dan tidak bertentangan
dengan prinsip-prinsip Islam, maka ia diiktiraf dan diterima dalam Islam.

Selain itu, dalam memerintahkan ketaatan manusia kepada hukum-hukumnya, Islam tidak
membebankan manusia dengan hukuman yang tidak realistik sehingga manusia tidak mampu
menunaikannya. Misalnya, Islam tidak memerintahkan manusia untuk beribadat sepanjang masa
sehingga mengabaikan kerja-kerja harian untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri,
keluarga, masyarakat dan negara. Malah, kerja-kerja harian ini jika dilakukan dengan betul dan
memenuhi syarat-syaratnya, turut dianggap sebagai ibadat dan pelakunya diberi pahala yang
banyak.

Islam merupakan agama yang sangat mementingkan keadilan. Namun begitu, pada masa yang
sama, Islam mengiktiraf bahawa dalam realiti kehidupan manusia di alam ini terdapat perbezaan,
baik dari segi jantina, keupayaan fizikal dan mental, taraf ekonomi dan lain-lain. Dengan itu,
dalam menunaikan keadilan ekonomi umpamanya, Islam tidak menuntut agar harta kekayaan
dibahagikan sama rata antara manusia. Hal ini kerana realitinya, manusia tidak sama dari segi
keupayaan fizikal, mental, kreativiti, kerajinan, tanggungjawab dan lain-lain. Oleh itu, anugerah
dan habuan ekonomi juga berbeza-beza berdasarkan perbezaan setiap individu dari segi usaha
dan kesungguhan, kerajinan, kreativiti, tanggungjawab yang dipikul dan lain-lain.

Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Dan Allah melebihkan sesetengah daripada kamu ke atas yang lain (dari segi anugerah) rezeki.

(Surah al-Nahl: 71)


Namun begitu, Islam juga memerintahkan agar manusia yang dianugerahkan dengan kelebihan
rezeki itu tidak melupai golongan yang kurang bernasib baik. Realiti dalam kehidupan manusia
menunjukkan bahawa sentiasa terdapat golongan miskin dan kurang bernasib baik yang perlu
dibantu. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan anda berzakat dan memberikan pahala/ganjaran yang
besar kepada mereka yang bersedekah.

Secara ringkasnya, semua bukti menunjukkan bahawa Islam adalah realistik, malah telah berjaya
diamalkan dengan baik sehingga Islam dapat membina tamadun yang cemerlang serta menjadi
pelopor dalam pelbagai bidang kehidupan.

Tawazun (Keseimbangan)

Tawazun bermaksud ajaran Islam memberikan perhatian yang seimbang kepada semua aspek
kehidupan manusia; dari segi individu dan masyarakat, rohani dan jasmani, kebendaan dan
kerohanian serta dunia dan akhirat.

Islam tidak membenarkan umatnya mementingkan diri sehingga mengabaikan kepentingan


masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Islam juga tidak membenarkan umatnya mementingkan
aspek kerohanian semata-mata sehingga mengabaikan aspek jasmani dan kebendaan dan begitu
juga sebaliknya. Islam tidak membenarkan penganutnya mementingkan aspek kehidupan dunia
sehingga mengabaikan kehidupan akhirat, begitu juga sebaliknya.

Islam memerintahkan agar kesemua aspek hidup manusia mestilah digabungkan dalam satu
gabungan yang seimbang, harmonis dan sepadu supaya kehidupan manusia menjadi sempurna
dan sejahtera.

Kepentingan ciri tawazun ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah yang bermaksud:

apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu
mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.
Apabila solat telah dilakukan maka bertaburanlah kamu di muka bumi, carilah kurniaan Allah
dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.
(Surah al-Jumuah: 9 10)
Ayat di atas dengan jelas memerintahkan umat Islam untuk memberi perhatian yang sewajarnya
kepada kedua-dua aspek kehidupan di dunia dan akhirat.

Syumul (Menyeluruh)

Syumul bermaksud Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh serta mencakupi
segala aspek kehidupan setiap manusia.

Allah s.w.t. memiliki segala sifat kesempurnaan dan pengetahuan. Semua aspek kehidupan
manusia dijelaskan dan diberikan panduan oleh Allah s.w.t. dalam wahyu-Nya. Oleh itu, Islam
mempunyai peraturan hidup yang serba lengkap, merangkumi semua aspek kehidupan manusia
dari segi kepercayaan, pemikiran, akhlak, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan,
alam sekitar, kesihatan dan lain-lain. Jika prinsip dan panduan ajaran Islam ini dihayati
sepenuhnya dengan bijaksana, maka ia berupaya menyelesaikan segala masalah yang dihadapi
manusia.

Namun begitu, tidak semua aspek kehidupan manusia ini dijelaskan dengan terperinci dalam al-
Quran dan al-Hadith. Hal ini kerana perjalanan hidup manusia akan berterusan manakala wahyu
al-Quran dan al-Hadith pula terhenti dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, sebahagian
besar panduan yang berkaitan aspek kehidupan manusia dinyatakan dalam wahyu secara umum
dan prinsipnya sahaja. Perinciannya dibiarkan kepada manusia mengikut kesesuaian masa dan
suasana kehidupan mereka. Inilah yang menjadikan ajaran Islam itu sentiasa sesuai untuk semua
manusia pada semua zaman. Contohnya, pelaburan duit di dalam insurans nyawa dan Amanah
Saham Bumiputera (ASB).

Kesempurnaan ajaran Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadith itu dapat
dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan kami turunkan ke atas engkau kitab (al-Quran) sebagai penjelasan bagi semua perkara.
(Surah al-Nahl: 89)

Alamiyyah (Sejagat)
Alamiyyah bermaksud Islam merupakan agama yang universal, tidak terikat dengan masa,
tempat dan ruang. Malah, Islam sesuai untuk semua manusia, setiap bangsa dan tidak terbatas
pada masa-masa tertentu. Aspek alamiyyah merangkumi tiga bidang utama iaitu syariah, akhlak
dan akidah.

Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai kedudukan yang
sama di sisi Allah s.w.t. Tidak ada bangsa yang lebih mulia daripada bangsa lain kerana faktor
bangsa atau warna kulit atau bahasa semata-mata. Faktor tunggal yang membezakan seseorang
dengan yang lain ialah tahap ketakwaan kepada Allah s.w.t. Semakin bertakwa, maka semakin
tinggilah kedudukan orang tersebut di sisi Allah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya yang terlebih mulia daripada kalangan kamu ialah yang paling bertakwa.

(Surah al-Hujurat: 13)

Wasatiyyah (Kesederhanaan)

Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam Islam. Islam menolak semua unsur
ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek
kehidupan di dunia seperti pemakanan, mengumpul harta dan sebagainya. Malahan, dalam aspek
keakhiratan seperti beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak
dibenarkan.

Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat kesederhanaan ini
sesuai dengan fitrah manusia. Dalam aspek pemakanan umpamanya, Allah s.w.t. menyuruh
manusia makan dan minum dari makanan dan minuman yang baik. Namun pada masa yang sama
juga Allah s.w.t. mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

dan makanlah dan minumlah dan (tetapi) jangan kamu melampaui batas kerana Ia (Allah)
tidak suka orang yang melampaui batas.
(Surah al-Araf: 31)

Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, termasuk dalam pemakanan merupakan
sesuatu yang membahayakan diri manusia. Hal ini termasuk melakukan ibadat. Sikap melampaui
batas dalam beribadat akhirnya akan menyebabkan seseorang berasa susah, tertekan dan
akhirnya menjadi jemu.

Namun ini tidak pula bermakna umat Islam mesti bersederhana dalam melaksanakan akidah
Islamiyyah. Ertinya beriman kepada semua rukun iman secara sederhana sahaja dan tidak benar-
benar yakin. Keimanan kepada Allah dan semua rukun iman mestilah dilakukan dengan penuh
yakin tanpa sebarang keraguan. Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima oleh
Allah s.w.t.

Sabar cara berkesan bukti kesyumulan Islam

Akhlak yang baik mampu mengubah seseorang ke arah kebaikan. Kebaikan akan meresap ke
dalam hati manusia secara perlahan-lahan walaupun ada kalanya perbuatan itu nampak kecil,
tetapi meninggalkan kesan yang besar.
Contohnya, apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mempersendakan Islam atau ajarannya,
kita sepatutnya sabar dan membalas tindakan mereka dengan kebaikan. Sabar dan kebaikan ini
bukan bermakna kita tidak melawan, ia strategi halus boleh menyentuh perasaan secara perlahan-
lahan. Kebaikan yang ditunjukkan melalui penjelasan untuk memberi kefahaman kepada salah
faham itu jika dilakukan secara istiqamah, lama kelamaan membuka mata mereka untuk melihat
kemurnian Islam.

Contohilah Rasulullah SAW yang mampu memberi senyuman kepada orang kafir Quraisy
walaupun mereka melemparkan batu dan najis kepada Baginda. Walaupun kisah ini sudah
beratus tahun lamanya, hingga hari ini ia masih disebutkan di dunia Islam, malah oleh bukan
Islam.

Menghormati semua bangsa

Perbezaan agama adalah perbezaan ajaran dan cara amalan keseluruhannya. Ia mungkin
dianggap pelik daripada ajaran kita. Namun, kita diwajibkan menghormati mereka tanpa
sebarang alasan. Jika ingin agama kita dihormati, jangan memperkecilkan kepercayaan orang
lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan
berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang
berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Kebanyakan pengakuan mereka yang mendapat hidayah Allah mengaku mereka sentiasa
didedahkan mengenai unsur keganasan, diskriminasi terhadap wanita dan salah faham lain
terhadap Islam tanpa tanpa memahami hakikat sebenarnya.

Maknanya, disebabkan bukan Islam didedahkan kepada perkara negatif yang direka atau fitnah
musuh Islam, maka kebenaran tertutup. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk menjernihkan
pemahaman dan memperbetulkan salah faham itu.

Selain penjelasan, cara berkesan untuk menunjukkan kesyumulan Islam ialah melalui tindakan.
Maka tunjukkan keindahan atau hikmah di sebalik segala perintah Allah. Kebanyakan yang
menerima Islam kerana tertarik dengan kebaikan tersembunyi di sebalik ajaran Islam.

Serlahkan keindahan Islam

Ramai yang tidak nampak keindahan Islam kerana hanya Islam pada nama. Seharusnya kita
berasa bertuah terhadap nikmat iman yang diberikan Allah SWT. Menjadi umat yang terpilih ini
menuntut usaha untuk berdakwah kepada Muslim dan bukan Muslim.

Umat Islam perlu menjaga keharmonian hidup bersama dengan bukan Islam dalam keadaan
prinsip Islam dijaga. Umat Islam juga dilarang menimbulkan perselisihan dan mencetuskan
permusuhan dengan orang yang bukan Islam.
Bermula hari ini, mari kita bermuhasabah diri, sejauh mana akhlak kita telah fahami dan amalkan
serta pamerkan dalam muamalah dengan semua orang. Semaikan dalam hati dan minda bahawa
kita wajib berlaku baik kepada semua orang demi memelihara kesucian Islam.

Cabaran Pelaksanaan Syariah Islam

MAHKAMAH SYARIAH

Dalam menjalani kehidupan seharian di bumi yang fana ini, sebagai seorang muslim sudah tentu
akan ada masa-masa kita ditimpa masalah. Maka, mahkamah syariah diberi kuasa untuk
menguruskan hal ehwal orang islam iaitu hukum syarak berkenaan harta wasiat, pertunangan,
perkahwinan, perceraian, nafkah, pengambilan anak angkat, pembahagian harta, menghukum
orang islam yang melanggar undang-undang islam dan sebagainya. Mahkamah syariah
berperanan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang bersangkut paut dengan akidah umat
islam serta memastikan perkara yang diputuskan adalah selari dengan kehendak syarak.

Sungguhpun bidang kuasa dikurniakan kepada mahkamah syariah tidaklah seluas mahkamah
sivil, namun dalam bidang kuasa yang terhad itu, apabila dilaksanakan dengan adil, maka ianya
pasti akan mendapat pengiktirafan masyarakat serta diberi kepercayaan untuk menyelesaikan
masalah-masalah yang dibawa bidang kuasa mahkamah ini. Namun harus kita ingat, ianya tidak
memberi maksud bahawa mahkamah sivil itu bercanggah dengan islam, kerana badan kehakiman
pada dasarnya adalah bertujuan untuk memberi keadilan kepada pihak yang terlibat dalam proses
perundangan tersebut. Harus kita beri perhatian bahawa undang-undang dalam badan kehakiman
mempunyai satu tujuan besar, iaitu memberi keadilan.

PERBANKAN ISLAM

Perbankan Islam adalah satu sistem perbankan berlandaskan lunas dan prinsip Syariah dan
didukung oleh sistem ekonomi Islam. Mengharamkan pengambilan riba (mengumpul dan
memberi faedah), pengenaaan kadar faedah yang terlalu tinggi kepada pinjaman dan perniagaan
yang tidak halal di sisi Islam. Sistem kewangan islam ini adalah satu inisiatif oleh umat islam
bagi melepaskan diri dari jerat penindasan yang umumnya terdapat dalam system konvetional
yang mengenakan riba pada peminjamnya. Sistem ini dilihat sebagai satu alternatif baik yang
mendapat sambutan hangat dalam kalangan umat islam dan bukan islam.

Terdapat 10 konsep yang biasa digunakan dalam perbankan islam seperti mudharabah
(perkongsian untung), murabahah (kos tokok), wadiah (simpanan), musyarakah (usaha sama),
bai bithaman ajil (pembayaran jualan tertangguh), wakalah(agensi), qardhul hassan (pinjaman
ihsan), ijarah thumma al bai(sewa beli), bai al-inah (perjanjian jual dan beli balik), hibah
(hadiah).

Dengan beroperasinya perbankan islam yang didakwa menepati kehendak syariah islam, satu
penyelesaian sangat baik yang ditawarkan ini wajar diambil dalam menyelesaikan perkara yang
bersabit dengan urusan jual beli agar kita bebas daripada cengkaman riba, lalu membawa kita
kepada menimbulkan kemurkaan Allah s.w.t kerana Allah s.w.t dan rasulNya mengistiharkan
perang kepada umat islam yang enggan meninggalkan riba serta diberi penegasana bahawa jika
seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya pasti akan menitikberatkan soal
riba dan meninggalkan serta merta apabila mengetahui dirinya terlibat dengan riba.

ASPEK PENDIDIKAN

Dalam bidang pendidikan kita mementingkan cara mendidik dengan betul. Mendidik dalam
konteks islam bukanlah untuk menghasilkan manusia yang cemerlang dunia sahaja, bahkan
cemerlang dunia dan akhirat menjadi sasaran kerana hidup di kahirat adalah suatu hidup yang
kekal abadi. Kebahagiaan atau kesengsaraan hidup di dunia dan akhirat bergantung kepada cara
seseorang itu memahami tujuan dia diciptakan serta tujuan akhirnya dalam hidup. Perkara inilah
yang dididik ke dalam diri seseorang insan sebagai seorang muslim.

Tujuan pendidikan adalah untuk menghasilkan manusia yang baik. Sudah tentu manusia yang
baik merupakan manusia yang mempunyai adab dalam setiap perbuatannya mahupun
pergaulannya sesama insan bahkan menjaga hubungan dengan Allah sesuai dengan dirinya
sebagai hamba. Itulah makhluk yang beradab, yang mengenali dirinya dan meletakkan dirinya
pada tempat yang betul. Dengan ilmu yang betul, manusia akan dapat mengenali semua itu.

Untuk mengenali tempat diri sendiri, ini perlukan ilmu, iaitu hasil dari proses pendidikan yang
dijalani oleh seseorang. Oleh itu menurut Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas (1980),
pendidikan adalah penyemaian dan penanaman adab dalam diri seseorang individu. Adab ini
dalam erti kata tindakan yang betul, selaras dengan keadilan. Keadilan itu bermaksud suatu
keadaan perkara itu berada pada tempatnya yang betul. Apabila kita beradab pada sesuatu, maka
kital letakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul, contohnya melayan ibu bapa kita atau ister
dan anak-anak kita, apabila kita melakukan perka yang betul, keadaan yang terhasil dari kita
melakukan perkara yang betul itu dipanggil adil. Sesuailah dengan pernyataan yang berbunyi
syariah itu asas keadilan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya kita dapat lihat bahawa hujah-hujah dan contoh yang diberi menunjukkan
bahawa syariah islam adalah bersifat menyeluruh dalam menguruskan segenap aspek kehidupan
manusia.

Dalam menguruskan masalah keluarga serta perkara yang menyentuh masalah akidah umat
islam, kita akan merujuk kepada mahkamah syariah. Dari segi kewangan pula, ilmuan islam
memberi satu alternatif dengan menawarkan sistem perbankan islam agar umat islam melakukan
urusan jual beli, pelaburan dan sebagainya selari dengan kehendak syariah islam. Seterusnya,
dalam islam mendidik umatnya agar menjalani hidup di dunia dengan menyedari bahawa dunia
ini adalah sementara dan ada akhirat yang kekal abadi sebagai balasan kepada amalan hidup di
dunia.

Dengan mempunyai didikan yang baik serta ilmu yang benar, umat islam akan dapat menyedari
dan meyakini dengan seyakinnya bahawa syariah islam adalah lengkap dan merupakan satu-
satunya jalan penyelesaian bagi memimpin manusia ke arah kebahagiaan yang hakiki.
Sebagai penutup bicara setiap daripada kita haruslah bersungguh-sungguh mengamalkan gaya
hidup islam dengan cara menyelsaikan perkara dengan merujuk kepada al-Quran dan sunnah
nabi Muhammad s.a.w agar cara kita menjalani hidup kita mempamerkan kesyumulan ajaran
islam itu sendiri.
(2851 patah perkataaan)
RUJUKAN

1. Syed Muhammad Naquib al-Attas.(1980), The Concept of Education in Islam :A Framework for an
Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur : HAKIM.

2. Syed Muhammad Naquib al-Attas.(2002), Mana Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam.
Kuala Lumpur : ISTAC.

3. Imran Nazar Hossein.(1997), The Prohibition of Riba in The Quran and Sunnah. Kuala Lumpur :
Ummavision.

4. Muhammad Asad.(1999),The Principles of State and Government in Islam. Kuala Lumpur : IBT

5. Siti Shamsiah.(2013), Bidang Kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia : Satu Pengenalan Ringkas.
Dimuat turun pada 1 Mac 2015 daripada
http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7185-bidang-kuasa-mahkamah-syariah-di-malaysia-satu-
pengenalan-ringkas

6. Info Perbankan.(2007), Fahami Perbankan Islam. Dimuat turun pada 1 Mac 2015 daripada

http://www.bankinginfo.com.my/03_discover_islamic_banking/0301_syariah_concepts/syariah_concepts.
php?intPrefLangID=2&

You might also like