You are on page 1of 5

Muhammad Rashid Ridha dan al-Manar

Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front

Muhammad Rashid Ridha (1865-1935) adalah sosok pembaharu yang telah melakarkan sumbangan
bermakna dalam gerakan pembaharuan di dunia Islam. Pemikiran islah yang digagaskannya
merumuskan fikrah tajdid yang ideal yang terkesan daripada gagasan pan-Islam yang dicetuskan oleh
Jamal al-Din al-Afghani dan Imam Muhammad Abduh. Ide–ide brilian yang dikemukakan Al-Afghani
dan Abduh dan tulisan-tulisan radikal yang dimuatkan dalam jurnal al-Urwat al-Wuthqa telah
memberikan impak yang signifikan terhadap aspirasi dan cita-cita pembaharuan Ridha yang
dilanjutkan lewat Majallah al-Manar.

Asal usul

Rashid Ridha dilahirkan di daerah Qalamun, berhampiran wilayah Tripoli, Lebanon pada 27
Jamadil Awal 1282/1865Muhammad Rashid Ridha dilahirkan di daerah Qalamun, berhampiran
wilayah Tripoli, Lebanon pada 27 Jamadil Awal 1282/1865. Beliau mengikuti pengajian awalnya di
madrasah tradisional (kuttab) di desa Qalamun, dan seterusnya melanjutkan pengajiannya ke
Madrasah al-Wataniyyah al-Islamiyyah yang didirikan oleh pemerintah Uthmani di kota
Tripoli.Madrasah ini diselenggarakan oleh Syaikh Husayn al-Jisr (1845-1909), yang terpengaruh
dengan agenda pembaharuan dan modernisme. Di sini, Ridha mempelajari ilmu alam, geografi,
matematik, bahasa Arab, Perancis dan Turki dan berjaya menamatkan pengajiannya dengan
memperoleh diploma “‘alim” pada 1897. Beliau menceburi bidang kewartawanan, sebagai kerjaya
utamanya setelah dinobatkan sebagai “shaikh” dan “alim”, dan menghasilkan al-Manar yang
menganalisis falsafah pemikiran dan perkembangan-perkembangan yang signifikan dalam dunia
Islam.

Rida merupakan penulis yang prolifik, yang telah menghasilkan karya-karya besar dalam
pemikiran tafsir, hadith, politik, dakwah, kalam, perbandingan agama, fiqh dan fatwa. Antara
tulisannya termasuklah Tarikh Al-Ustadh Al-Imam Al-Syaikh Muhammad ‘Abduh (Biografi Imam
Muhammad Abduh), Nida’ li Jins al-Latif (Panggilan terhadap Kaum Wanita), Al-Wahyu Muhammadi
(Wahyu Nabi Muhammad), Yusr Al-Islam wa Usul At-Tashri‘ Al-‘Am (Kemudahan Islam dan Prinsip-
prinsip Umum dalam Syari’at), Al-Khilafah wa Al-Imamah Al-‘Uzma (Khalifah dan Imam-Imam yang
Besar), Muhawarah Al-Muslih wa Al-Muqallid (Dialog Antara Kaum Pembaharu dan Konservatif), Zikra
Al-Maulid An-Nabawiy (Memperingati Hari Kelahiran Nabi Muhammad), dan Haquq Al-Mar’ah As-
Salihah (Hak-hak Wanita Muslim).

Dalam kiprah politiknya, beliau memperlihatkan pengaruh yang luas dengan keanggotaan
yang aktif dalam organisasi Islam, seperti menjadi Presiden Kongres Syria (1920), menganggotai
delegasi Palestin-Syria di Geneva (1921), Jawatankuasa Politik di Kaherah (1925), dan menghadiri
Konferens Islam di Mekah (1926) dan Jerusalem (1931). Ridha turut menyumbangkan peranannya
dalam bidang pemikiran, pendidikan dan agama. Dalam bidang pendidikan, beliau menekankan
pembangunan institusi-institusi pendidikan bagi memajukan ide dan mengembangkan praktis dan
kurikulum pendidikan yang menyatukan pengetahuan agama dan sains.
Dengan matlamat ini, beliau mendirikan Jam‘iyyat Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah pada tahun 1318/1880
bersama Muhammad Abduh dan Madrasah al-Da‘wah wa’l-Irshad (Society for Propaganda and
Guidance) pada tahun 1912 di Kaherah. Ridha menggesa umat Islam untuk menumpukan usaha
mereka kepada kerja kebajikan yang paling murni itu, yakni, mendirikan sekolah..Tentang aspirasi
pendidikan yang digagaskan ini, Charles C. Adams menyebut dalam bukunya Islam and Modernism: A
Study of the Modern Reform Movement Inaugurated by Muhammad Abduh: “Rashid Ridha, dalam
setiap penulisan dan pidato umumnya, seperti juga Muhammad ‘Abduh sebelum beliau, menggesa
umat Islam untuk menumpukan usaha mereka kepada kerja kebajikan yang paling murni itu, yakni,
mendirikan sekolah. Mendirikan sekolah, katanya, adalah lebih baik daripada mendirikan masjid,
kerana solat orang yang jahil dalam sebuah masjid adalah tidak bernilai, sementara, dengan
pembinaan sekolah, kejahilan dapat dibanteras dan dengan itu kedua-dua kerja agama dan dunia
(sekular) dapat dipenuhi dengan sempurna.”

Warisan dan legasi pemikiran Ridha banyak mempengaruhi corak dan kerangka pemikiran ulama’ dan
idealog Islam yang terkemuka seperti pengasas Ikhwan, al-syahid Hasan al-Banna, dan pendiri Jama‘at
Islami, Abu’l A‘la al-Mawdudi, pengasas Muhammadiyyah Ahmad Dahlan dan mantan Presiden Parti
Islam se-Malaysia – PAS - Dr Burhanuddin al-Helmy,

Pengaruh yang besar ini diungkapkan oleh Shaykh Mustafa al-Maraghi (1881-1945) yang
pernah menjawat jawatan Rektor al-Azhar tentang kesan perjuangan dan fikrah pembaharuannya
mengatakan: “as-Sayyid Rashid berjaya dan para pendukung dan pengikutnya telah bercambah, ketika
mana pernah beliau hanya meraih beberapa kalangan pengikut dan murid, dan dalam lingkungan
akademik ditemui mereka yang mengusung prinsip dan mengikut jejaknya, dan di kalangan orang
awam yang pandangannya telah terbuka kepada cahaya, dan awan kejahilan dan kebatilan terluput
daripada hati mereka.”

Al-‘Urwa Al-Wuthqa

Pendedahan awal Ridha terhadap gerakan politik dan islah tercetus setelah terbaca jurnal al-
‘Urwa al-WuthqaPendedahan awalnya terhadap gerakan politik dan islah tercetus setelah terbaca
jurnal al-‘Urwa al-Wuthqa yang diterbitkan pada tahun 1884 (yang dikeluarkan secara berkala selama
8 bulan) di Paris, oleh Jamal al-Din al-Afghani yang mengungkapkan ide-ide pembaharuan dan
mengapungkan faham anti kolonialisme, pemberdayaan reformasi dan pemacuan ijtihad. Ridha
menjelaskan tentang idealisme pemikiran yang dizahirkan dalam al-‘Urwa al-Wuthqa dengan katanya:
“Aku menemui salinan al-‘Urwa al-Wuthqa daripada kertas-kertas dalam simpanan ayah. Setelah aku
membaca artikel-artikelnya yang menyeru kepada gagasan Pan-Islamisme, meraih semula
kegemilangan, kekuatan dan keunggulan Islam, penemuan semula ketinggian dan kedudukan yang
pernah dimilikinya, dan pembebasan umatnya daripada dominasi luar, aku sangat teruja sehingga
seperti memasuki fasa baru dalam hidupku. Dan aku sangat tertarik dengan metodologi yang
diketengahkan dalam artikel-artikel ini dalam melakar dan membuktikan hujahnya dalam perbahasan
dengan bersandarkan ayat-ayat al-Qur’an, dan tentang tafsirnya yang tiada seorang mufassir telah
menulis sepertinya.”
Ridha turut menghuraikan kekuatan al-‘Urwa al-Wuthqa sebagai hasil pemikiran yang penting yang
menggariskan manhaj perjuangan yang berkesan dalam menangani kepincangan budaya dan politik
dan mengangkat harakat pemikiran dan menggarap permasalahan umat yang mendasar: “antara poin
yang terpenting yang menzahirkan keunggulan al-‘Urwa al-Wuthqa dan kekuatannya yang tersendiri
adalah: (1) (penekanannya terhadap) ketentuan Allah terhadap makhlukNya dan sistem aturan dalam
masyarakat manusia, dan sebab kebangkitan dan kejatuhan sesuatu bangsa sepertimana juga
kekuatan dan kelemahan mereka; (2) penjelasan bahawa Islam adalah agama yang mempunyai
kedaulatan dan kuasa, yang merangkul kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dan menegaskan bahawa
ia adalah agama yang menggabungkan nilai spirituil dan sosial, sivil dan militer, dan bahawa kekuatan
militernya adalah untuk melindungi keadilan undang-undang, petunjuk dan wibawa umat, dan bukan
untuk mengerahkan kepercayaan dengan paksa; dan (3) bagi umat Islam tidak ada faham kebangsaan
dan nasionalisme kecuali terhadap agama mereka, oleh itu mereka semuanya bersaudara di mana
perbezaan ras dan darah keturunan tidak harus memisahkan kesatuan mereka, tidak juga perbezaan
bahasa dan kerajaan mereka.”

Semangat yang dipugar daripada pembacaan al-‘Urwa al-Wuthqa ini terus menggilap karakter
dan mengukuhkan daya perjuangan Ridha, yang mengilhamkannya untuk berhijrah ke Mesir dan
bergabung dengan al-Afghani dan Abduh bagi melanjutkan perjuangan Pan-Islamisme: “Setelah beliau
[al-Afghani] meninggal, harapanku semakin tinggi untuk menemu wakilnya Shaykh Muhammad
Abduh untuk meraih ilmu dan pandangannya tentang reformasi Islam. Aku menunggu sehingga
terbukanya peluang pada bulan Rajab tahun 1315 (1897) dan itu adalah sebaik saja aku menamatkan
pengajian di Tripoli, memperoleh status ‘alim, dan tauliah untuk mengajar secara bebas, daripada
mentor-ku, Shaikh Husayn al-Jisr. Kemudian itu aku lansung berhijrah ke Mesir dan melancarkan al-
Manar untuk menyeru kepada pembaharuan.”

Majalah al-ManarAl-Manar

Al-Manar, adalah majalah bulanan yang membahaskan idealisme pembaharuan dan tajdid di
Kaherah. Ia mengungkapkan tradisi pemikiran yang segar yang diasaskan daripada ide-ide
pembaharuan yang dipelopori oleh Jamal al-din al-Afghani dan Muhammad Abduh dalam al-‘Urwa al-
Wuthqa. Fokusnya adalah usaha pembaharuan dan dakwah.

Sementara akhbar lain membicarakan kebobrokan dan kegawatan di dunia Islam, Al-Manar
mencadangkan penyelesaiannya yang umum, dan memberikan formula yang mendetil. Pengaruh al-
Manar yang signifikan ini diungkapkan oleh Shaykh Husayn al-Jisr ketika mengulas tentang keluaran
pertama al-Manar dan ketahanan gerakan islah yang dibawa oleh Ridha: “Al-Manar telah muncul,
menyerlah dengan cahaya yang luar biasa dan menyenangkan, hanyasanya cahaya ini telah dipantul
oleh sinar yang kuat yang hampir mencederakan pandangan.”

Al-Manar menggerakkan perbincangan tentang dakwah, idealisme dan islah, menerangkan dasar-
dasar Pan-Islamisme, meneroka persoalan-persoalan yang berkait dengan ajaran aqidah dan hukum,
membincangkan faham modernisme, sekularisme, nasionalisme dan mempelopori dialog dan
pertukaran ide antara budaya, dan meneropong pemikiran baru berkait dengan falsafah agama dan
budaya dan menangani isu-isu sosial dan peradaban.
Al-Manar pertama kali diterbitkan pada 21 Shawal 1315 H (17 Mac 1898) sebagai jurnal mingguan
yang memuatkan lapan halaman, menyiarkan telegram-telegram mingguan dan berita-berita
mutakhir, di samping artikel-artikel utama yang ditulis oleh ketua editor iaitu Ridha sendiri. Bermula
pada tahun kedua, ia dikeluarkan setiap bulan, dan tersebar dengan meluas ke seluruh jajahan Islam
dalam wilayah Turki, India, Mesir, Syria, Maghribi dan turut diseludup ke arkipelago Melayu dan Tanah
Jawa. Pada tahun kedua belas keluarannya (1909), salinan-salinan yang berbaki daripada keluaran
pertama telah dijual empat kali ganda daripada harganya yang asal.

Dalam mukaddimah ringkasnya memperkenalkan al-Manar, Ridha menulis: “Demikian ini


adalah suara yang menyeru dengan lidah Arab yang jelas, dan seruan kepada kebenaran yang sampai
ke telinga mereka yang bercakap dengan huruf dad [masyarakat Arab] dan ke telinga seluruh
penduduk Timur, memanggil dari tempat yang dekat [Mesir] dari mana kedua-dua bangsa di Timur
dan Barat dapat mendengar, dan ia menyebar luas supaya dengan itu penduduk Turki dan Parsi juga
dapat menerimanya. Ia menyeru: “Wahai, bangsa timur yang sedang lena dibuai mimpi yang enak,
bangun, bangun! Tidurmu telah melampaui batas rehat.”

Menurut C.C. Berg dalam kajiannya tentang sejarah Indonesia, gerakan pencerahan yang
dicetuskan oleh al-Manar telah melahirkan kelompok pembaharu yang mempelopori perjuangan
kaum muda di Indonesia: “Al-Manar tidak memberikan pencerahan kepada masyarakat Mesir sahaja.
Ia mencerah pemikiran masyarakat Arab di dalam dan di luar; umat Islam dari rantau arkipelago
Melayu yang menuntut di Universiti al-Azhar atau di Mekah, dan bekas pelajar dari Indonesia yang
masih memelihara keakraban hubungannya dengan dunia Islam setelah pulang ke sempadan
negaranya di Dar al-Islam…dan kesemua orang-orang ini kini melihat Islam dalam rangka cahaya yang
baru…kalangan yang telah menyelami dan mempertahan cahaya al-Manar di Mesir, menjadi
kelompok “Manar” kecil untuk lingkungannya, setelah pulang ke Indonesia.”

Menerusi Majallah al-Manar, Ridha mengusung pemikiran Imam Muhammad Abduh dengan
menyediakan ruangan khas, bermula daripada tahun ketiga keluarannya, untuk menerbitkan siri-siri
Komentar al-Qur’an oleh Abduh yang disampaikannya di Jami‘ al-Azhar, Kaherah. Ruangan khas ini
turut memuatkan fatwa-fatwa Abduh, atau keputusannya tentang persoalan menyangkut hukum atau
agama yang dikemukakan oleh pembaca; selain seksyen yang memuatkan perkembangan dan ide-ide
baru di dunia Islam, serta ulasan-ulasan buku dan publikasi yang lain. Ayat-ayat yang dikupas oleh
Imam Muhammad Abduh merangkumi surah-surah pendek yang meliputi tafsir surat al-‘Asr, tafsir Juz
‘Amma, tafsir surah al-Fatihah, tafsir ayat 78-79 dari surah al-Nisa’, tafsir ayat 52-55 dari surah al-Hajj,
dan tafsir ayat 37 dari surah al-Ahzab yang kemudiannya digazetkan dalam Tafsir al-Manar.

Manhaj yang digariskan oleh Imam Muhammad Abduh dalam tafsirannya adalah berteraskan
metode al-adabi al-ijtima‘i (sosial dan budaya) yang menekankan hubungan ayat dengan kondisi sosial
dan upaya meraih hidayahnya dan kritikan yang keras terhadap budaya taqlid yang membengkak
dalam masyarakat. Tekanan yang penting diberikan terhadap tradisi aqliah dan ijtihad, seperti
dinyatakan dalam huraiannya terhadap ayat 38-42 daripada surah ‘Abasa:
“Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, tertawa, lagi bersuka ria, dan muka
(orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh debu, diliputi oleh kesuraman dan kegelapan. Mereka
itulah orang yang kafir, yang derhaka.”

Imam Muhammad Abduh mengulas: “Sesiapa yang ketika hidup di dunia berusaha mencari kebenaran
dengan akal fikiran yang dianugerahkan kepadanya tanpa terikat dengan titik bengek adat, kebiasaan
atau pandangan sesiapa kecuali Rasulullah, serta tidak angkuh dalam menerima kebenaran apabila
dihadapkan padanya, akan bergembira di akhirat kelak, kerana hasil usaha mereka dapat dilihat di
hadapan mata.”

“Manakala sesiapa yang ketika hidup di dunia tidak menghargai aqalnya, reda dengan kejahilan,
enggan terima kebenaran, sekalipun telah terbukti jelas kerana taksub dengan pendapat
pimpinannya, malah sedaya upaya mempertahankannya dengan takwil dan penaka helah yang batil,
kelak di akhirat akan mendapati segala amalan yang disangka akan menguntungkan sebenarnya
menjadi punca kecelakaan dan sengsara, lalu wajah menjadi hitam dan gelap kerana kecewa dan
dukacita yang amat.”

Cahaya Obor al-Manar

Perjuangan Shaykh Muhammad Rashid Ridha untuk memimpin perubahan telah


memperlihatkan kesan yang dramatik di negara-negara umat Islam. Peranan jurnal al-Manar dalam
mengangkat martabat dan harakah perjuangan cukup dirasai di seluruh rantau Islam, khasnya di
Nusantara.

Kemantapan fikiran dan idealisme yang dicetuskan oleh Ridha telah berhasil memperkasa
umat dan melahirkan golongan pembaharu yang meneruskan perjuangannya membanteras taqlid,
membebaskan fikiran daripada kepercayaan jelek, tahyul dan khurafat, dan memperbaharui tekad ke
arah memantapkan solidaritas dan merapatkan perselisihan mazhab. Peranan kita di bumi kita adalah
untuk melanjutkan perjuangan dan meneruskan iltizam Ridha untuk mengembangkan pengaruh
Madrasah Imam Muhammad Abduh dan menyalakan obor perjuangannya ke seluruh dunia.

You might also like