You are on page 1of 1

KEBAIKAN SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DI SEKOLAH

Hari kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan
kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu
disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara
dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis
perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya.
Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi
tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.

Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk
semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun
kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan
hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta,
iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna
melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau
menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.

Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk
perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan
bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita
dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau
turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa
perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun
kemerdekaan negara.

Melalui sambutan hari kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang
jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan
serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka
sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk
menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Jasa mereka patut
dikenang kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk
mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila.

Intihanya, hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara
ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui
media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan hari
kemerdekaan tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh
pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum.
Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari
kepentingan sambutan hari kemerdekaan negara.

You might also like