You are on page 1of 12

3.

0 MODEL DISIPLIIN ASERTIF CANTER

Model Disiplin Asertif Canter merupakan model disiplin yang berasaskan peneguhan
terhadap tingkah laku yang diingini serta penerimaan murid terhadap akibat daripada
tingkah laku yang ditunjukkan. Canter berpendapat guru mempunyai hak untuk
menentukan peraturan-peraturan di dalam bilik darjah serta memastikan murid
mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Model disiplin ini dilihat lebih
menyerupai Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner, namun model ini lebih
menekankan penetapan dan penguatkuasaan peraturan serta memastikan murid-
murid mematuhi peraturan tersebut dengan tegas . Model ini juga melibatkan
ganjaran dan dendaan akibat daripada peraturan yang ditetapkan.

Dalam model Disiplin Asertif, guru perlu mengendalikan bilik darjah dengan
berinteraksi secara tenang, serius dan konsisten dengan murid. Canter menyatakan
bahawa murid-murid berhak untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang tenang
dan teratur manakala guru pula berhak untuk mengajar tanpa gangguan. Canter
berpendapat pihak pentadbir sekolah dan ibu bapa murid-murid perlu memberikan
sokongan terhadap sistem pengurusan guru di dalam bilik darjah.

Menurut Canter, murid-murid memilih untuk bertingkah laku . Oleh yang demikian,
guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu murid
memilih tingkah laku yang sesuai dan bermanfaat. Untuk mencapai persekitaran yang
kondusif, keperluan-keperluan guru dan murid perlu dipenuhi melalui pengurusan bilik
darjah yang asertif. Hal ini boleh dilakukan dengan mengadakan peraturan tingkah
laku yang jelas di dalam bilik darjah. Apabila murid-murid mematuhi peraturan-
peraturan yang telah ditetapkan, guru memberikan peneguhan seperti penghargaan
dan pujian. Sebaliknya apabila murid melanggar peraturan, guru mengenakan
peneguhan negatif yang berstruktur, iaitu murid-murid sedaya upaya akan mengelak
daripada akibat dengan mematuhi peraturan.

Dalam Model Asertif ini, guru-guru diberikan cadangan mengenai cara-cara untuk
membimbing murid-murid supaya murid-murid dapat menunjukkan tingkah laku yang
diingini. Perhatian yang positif perlu sentiasa diberikan kepada murid-murid,
berinteraksi dengan murid-murid serta mewujudkan hubungan saling mempercayai
dan menghormati antara satu sama lain.

Konsep utama dalam Model Disiplin Asertif Canter, ialah guru mempunyai hak untuk
mengajar secara professional dan tanpa gangguan. Murid-murid pula mempunyai hak
untuk belajar dalam keadaan yang selamat dan tenang. Hak-hak ini boleh
dilaksanakan sekiranya guru bertanggungjawab memastikan tiada perkara atau
tindakan yang boleh menghalang murid-murid daripada mendapatkan hak mereka.
Model Asertif Disiplin menggariskan tiga jenis guru iaitu guru yang agresif, guru yang
tidak asertif dan guru yang asertif.

a) Guru yang agresif

Jenis guru yang agresif merupakan kalangan guru yang garang , kasar, tidak mesra,
tidak bertimbang rasa dan sering menganggap murid sebagai musuh. Guru yang
bersifat agresif ini berpendapat, untuk mengekalkan dan menguruskan aktiviti bilik
darjah, mereka sebagai guru mesti menunjukkan kuasa dengan menetapkan
peraturan dan tidak perlu bertolak ansur dengan murid. Mereka hanya memberikan
arahan dan murid-murid perlu mengikut arahan tanpa bantahan. Ekspresi muka
mereka sentiasa serius dan tegas. Guru-guru ini selalu menggunakan arahan-arahan
yang keras dan tegas seperti ‘Duduk’, ‘Diam’, ‘Dengar sini!’..Arahan-arahan sebegini
tidak menunjukkan kemesraan dan membuatkan murid berasa terancam dan
menjadikan murid-murid hilang minat untuk belajar.

b) Guru yang tidak asertif

Jenis guru yang kedua pula ialah merupakan guru yang menggunakan pendekatan
yang pasif terhadap murid. Guru jenis ini gagal membantu murid-murid untuk
membuat jangkaan tingkah laku yang diingini dan tidak konsisten dalam menangani
tingkah laku murid. Kadangkala guru yang tidak asertif ini membenarkan suatu tingkah
laku yang ditunjukkan di dalam bilik darjah tetapi pada masa yang lain mereka
memarahi murid yang melakukan tingkah laku terssebut. Mereka selalu menggunakan
frasa-frasa seperti ‘Tolonglah berkelakuan elok sikit’ atau ‘Berapa kali cikgu cakap,
tolong diam!’. Mereka kelihatan kelam-kabut, tidak konsisten, tidak tegas dan sampai
ketikanya murid-murid tidak akan lagi menghormati guru jenis ini. Kadangkala guru
jenis ini akan menjadi putus asa dan tiba-tiba menjadi terlampau garang dengan
murid-murid, tindakan guru yang tidak konsisten ini akan menyebabkan murid keliru
dengan jangkaan dan tindakan guru. Hal ini menyebabkan aktiviti P&P gagal dan tidak
mencapai objektif yang disasarkan.

c) Guru yang asertif

Seterusnya, jenis guru yang asertif pula merupakan guru yang Jelas, yakin dan
menyatakan jangkaan dan arahan yang konsisten dengan tegas. Guru yang asertif
sering membina hubungan saling mempercayai dengan murid-murid dan
membimbing murid-murid cara untuk menunjukkan tingkah laku yang menggalakkan
kerjasama antara gur dengan murid-murid. Canter berpendapat pendekatan yang
terbaik untuk menguruskan disiplin bilik darjah adalah dengan menggunkan
pendekatan asertif. Guru yang mengamalkan pendekatan asertif ini tahu perkara yang
diingini daripada murid-muridnya. Mereka akan menyatakan dengan jelas kemahuan
mereka terhadap tingkah laku murid dan menyokong tindakan-tindakan mereka
dengan perlakuan yang boleh diterima oleh murid. Sebagai contoh, rutin dan perturan
bilik darjah ditetapkan dengan jelas dan diterangkan kepada murid-murid tentang
kepentingan rutin dan peraturan tersebut. Murid-murid juga diberitahu perasaan guru
sekiranya mereka mematuhi atau melanggar peraturan tersebut. Murid-murid
diterangkan akibat-akibat yang munasabah sekiranya mereka melanggar peraturan.
Penjelasan guru diterangkan secara perbincangan dengan murid-murid dan bukannya
berbentuk ancaman.

Murid-murid juga sedar dan jelas sebab peraturan tersebut diadakan dan tahu akan
kesan apabila peraturan tersebut tidak dipatuhi. Guru yang asertif akan membantu
murid-muridnya untuk memahami bentuk tingkah laku yang dapat membawa kejayaan
dan tingkah laku yang menyusahkan dan ke arah kegagalan. Guru asertif tidak
membawa imej yang garang, kasar atau terlampau tegas. Mereka dapat mengenal
pasti peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh murid-murid dan pada masa yang
sama mengambil berat dan berlaku adil terhadap semua murid. Mereka memberikan
arahan dengan jelas dan tegas. Contohnya,‘Peraturan kelas kita ialah angkat tangan
untuk menjawab soalan’ atau ‘Angkat tangan dan tunggu dengan senyap, cikgu akan
panggil awak’.
Setiap jenis guru ini akan memberikan kesan kepada pengurusan disiplin di dalam
bilik darjah. Guru yang agresif akan menjadikan bilik darjah suram dan tidak
menyeronokkan dan murid berasa takut dan terancam dengan perwatakan guru dan
sering berasa tidak selesa. Hal ini akan menjadi penghalang kepada hubungan baik
antara guru dengan murid. Hasilnya murid akan memberontak dan menunjukkan
kelakuan negatif terhadap pembelajaran dan guru.

Guru yang tidak asertif pula akan menjadikan murid berasa kurang selamat dan
berputus asa di dalam bilik darjah. Guru dalam kategori ini tidak dapat memenuhi
keperluan murid dan seterusnya akan memberikan tekanan kepada kedua-dua belah
pihak. Kadangkala jenis guru tidak asertif ini suka bertindak dengan tegas dan
kadangkala hanya membiarkan sahaja tingkah laku tersebut berlaku di dalam bilik
darjah. Hal ini akan menyebabkan murid berasa keliru dan akan membuatkan hilang
rasa hormat murid terhadap guru.

Guru yang asertif pula akan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak guru
dan murid. Guru asertif memberikan peluang kepada guru dan murid untuk memenuhi
keperluan masing-masing. Mereka menggalakkan kerjasama dan membantu murid-
murid mengaplikasikan tingkah laku yang diingini. Guru boleh diharapkan untuk
memberikan jangkaan yang sesuai kepada tingkah laku dan kebolehan mereka. Guru
asertif bersifat konsisten, adil dan boleh memenuhi kehendak murid. Hal ini dapat
membantu membina persekitaran pembelajaran yang tenang dan menyokong
perkembangan pembelajaran murid.

Cara pengurusan disiplin asertif dapat dirumuskan melalui konsep yang telah
dibincangkan. Canter mencadangkan guru-guru perlu membuat perancangan disiplin
secara bertulis dan formal yang menyatakan dengan jelas peraturan dan rutin,
pengiktirafan dan akibat daripada salah laku. Peraturan dinyatakan dengan jelas
tentang tingkah laku yang diingini daripada murid, iaitu tingkah laku ini boleh
diperhatikan dengan jelas oleh guru dan tidak berbentuk akademik seperti meminta
murid menghantar latihan yang sudah siap kepada guru dan mengambil latihan
pengayaan bagi memenuhi masa yang ada.

Menurut Canter, pengiktirafan perlu digunakan selalu bagi meningkatkan konsep


kendiri dan keyakinan diri murid. Pengiktirafan dilihat merujuk kepada perhatian
khusus yang diberikan oleh guru apabila murid menunjukkan tingkah laku yang
diingini. Dengan cara ini, guru dilihat sebagai penggalak kepada tingkah laku yang
diingini dan boleh membina persekitaran pembelajaran yang positif. Cara yang boleh
digunakan untuk memberikan pengiktirafan kepada murid termasuklah memberikan
galakan, menghargai tingkah laku murid, memberikan komen positif dan
memaklumkan tingkah laku murid yang baik kepada ibu bapa.

Akibat atau tindakan pembetulan boleh dikenakan kepada murid-murid yang


mengganggu hak murid-murid lain untuk belajar dengan selesa. Tindakan pembetulan
bukanlah bertujuan untuk mendera murid secara fizikal atau psikologi walaupun
kadangkala tindakan pembetulan akan menimbulkan rasa kurang selesa murid.
Canter menegaskan matlamat tindakan pembetulan dapat memberikan keadilan
kepada semua dan tindakan itu perlu konsisten. Apabila tindakan pembetulan hendak
dikenakan kepada murid, murid tersebut perlu diberitahu bahawa disebabkan tingkah
laku yang ditunjukkan oleh mereka bercanggah dengan peraturan yang telah
ditetapkan, maka tindakan pembetulan ini perlu dilaksanakan. Guru perlu merancang
dan melaksanakan pelan-pelan pengurusan disiplin bagi menjelaskan peraturan-
peraturam yang dilaksanakan.

Guru-guru boleh menggunakan langkah-langkah bagi menerangkan pelan-pelan


pengurusan disiplin kepada murid-murid. Pertamanya, guru perlu menerangkan
kepada murid-murid mengapa peraturan-peraturan tersebut diperlukan. Hal ini
bertujuan memberikan pemahaman kepada murid-murid mengenai kehendak guru
terhadap murid-murid. Seterusnya, guru perlulah menerangkan kepada murid-murid
bagaimana peraturan yang telah dibuat itu perlu dilaksanakan supaya murid-murid
faham dan jelas akan tanggungjawab yang perlu dibuat berdasarkan peraturan
tersebut. Guru perlu menyemak kefahaman murid terhadap peraturan yang telah
diterangkan. Guru perlu menerangkan ganjaran yang akan diperoleh oleh murid-murid
jika mengikut peraturan ataupun melanggar peraturan. Seterusnya, tindakan
pembetulan perlu dikenakan kepada sesiapa yang melanggar peraturan dan guru
harus menerangkan dan menunjukkan mengapa pembetulan perlu dikenakan.
Seterusnya, guru perlu menyemak semula kefahaman murid sama ada murid lebih
memahami atau sebaliknya dan tindakan susulan perlu dilakukan sekiranya murid
masih tidak memahami.

1.0 Konsep Tingkah Laku Bermasalah


Tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku yang tidak normal atau terkeluar
dari nilai norma sosial masyarakat termasuk sekolah. Mohd. Nazar Mohamad (1990)
menyatakan bahawa tingkah laku bermasalah seseorang individu sebagai tingkah
laku yang mengganggu perjalanan kehidupannya. Manakala di bawah konteks
pendidikan pula, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku
murid yang boleh menjejaskan kelicinan ataupun keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran terutamanya di dalam bilik darjah.

2.0 Jenis-jenis Tingkah Laku Bermasalah


Tingkah laku bermasalah boleh diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu
tingkah laku bermasalah negatif dan tingkah laku bermasalah positif. Dimana tingkah
laku bermasalah negatif merangkumi tingkah laku yang menghalang (bergantung),
tingkah laku yang mengganggu (disruptif), dan tingkah laku antisosial (distruktif).
Manakala tingkah laku positif merangkumi tingkah laku ingin tahu, cepat belajar, pintar
cerdas, dan proaktif (Mok Soon Sang, 2011).

Di dalam tingkah laku bermasalah negatif, tingkah laku bergantung merupakan


kelakuan yang membahayakan diri dan tidak mengganggu murid yang lain. Misalnya
mereka yang berkelakuan kebimbangan, pergantungan berlebihan, pengunduran diri
dan pengasingan diri telah dikategorikan dalam tingkah laku bermasalah bergantung.
Seperkara lagi, tingkah laku disruptif bukan sahaja membahayakan diri tetapi
membahayakan murid lain. Hal ini kerana murid yang hiperaktif sering bertindak tanpa
memikirkan akibatnya. Manakala tingkah laku distruktif merupakan tingkah laku yang
berbahaya. Ini kerana tingkah laku ini merupakan aktiviti jenayah dimana ia akan
mengancam keselamatan orang lain serta kemudahan-kemudahan sekolah.

Tambahan pula, tingkah laku bermasalah positif iaitu tingkah laku ingin tahu
boleh merujuk kepada murid-murid bersikap ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu
perkara yang dilihat. Misalnya, murid-murid menyentuh barang tanpa mendapat
kebenaran daripada guru. Tingkah laku ini akan menimbulkan situasi yang berbahaya
terutamanya dalam makmal. Selain itu, murid-murid yang mudah memahami sesuatu
konsep dengan cepat telah dikategorikan dalam tingkah laku cepat belajar. Misalnya,
murid yang cepat belajar akan berasa bosan dan tidak akan memberi tumpuan lagi
apabila guru mengulangi penerangannya.

Bagi murid-murid yang bertingkah laku pintar cerdas pula, mereka mempunyai
kebolehan dalam aktiviti intelek seperti pemikiran abstrak, pemikiran logik, kemahiran
lisan dan mempunyai daya reka cipta yang tinggi. Jadi, mereka akan cepat memahami
terhadap konsep-konsep yang disampaikan oleh guru. Ini akan menyebabkan mereka
hilang penumpuan sekiranya kaedah pengajaran guru adalah lambat. Manakala bagi
murid yang bertingkah laku proaktif pula, mereka adalah sentiasa aktif dan bertindak
dengan penuh semangat serta jarang menunggu arahan untuk melakukan sesuatu.
Misalnya, selepas mereka memerhati sesuatu demonstrasi di dalam makmal, mereka
ingin menjalankan uji kaji dengan serta merta.

3.0 Cara-cara Mengenal Pasti Murid yang Bermasalah Tingkah


Laku
Guru boleh mengenalpasti murid-murid yang bermasalah tingkah laku melalui
pelbagai kaedah iaitu melalui ujian, bukan ujian, dan kajian. Di dalam kaedah ujian,
ahli psikologi atau kaunselor sekolah akan mentadbirkan ujian-ujian psikologi dan
diagnostik ini. Penilaian psikologi dilaksanakan terhadap muid-murid yang
menunjukkan isu emosi dan isu tingkah laku. Penilaian ini biasa terdiri daripada sesi
temuduga dan analisa latar belakang. Antara penilaian psikologi biasanya terdiri
daripada perasaan, personaliti, tekanan, stail dan kebolehan untuk berkait kepada
orang lain, serta tingkah laku bermasalah dan emosi. Tujuan utama bagi penilaian
psikologi adalah untuk mendapat sesuatu gambaran bagi tingkah laku klien atau tahap
emosi distres dan juga menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid secara
keseluruhan (Ragbir Kaur, 2012).

Bagi penilaian diagnostik pula, ia berfokus kepada menilai ciri-ciri biasa dan
tidak biasa mengenai fungsi keseluruhan seseorang individu. Dimana penilaian
diagnostik daripada komponen-komponen temuduga klinikal, peperiksaan status
mental, dan satu atau lebih peperiksaan psikologikal. Tambahan pula, penilaian ini
boleh disingkatkan dengan ujian psikologikal yang terhad kepada aspek-aspek
spesifik. Ia juga boleh terdiri daripada penilaian komprehensif yang terdiri daripada
ukuran personaliti yang panjang dan terperinci. Biasanya, ahli-ahli psikologi sekolah
atau kaunselor sekolah yang akan mentadbirkan penilaian diagnostik kerana ujian ini
agak menyukarkan guru kelas. Hal ini kerana guru-guru kelas tiada masa untuk
mentadbirkan begitu banyak komponen dalam penilaian diagnostik.

Kaedah bukan ujian iaitu melalui pemerhatian dan temubual juga boleh
digunakan untuk mengenalpasti murid-murid yang bermasalah tingkah laku. Dimana
pemerhatian merupakan sesuatu kaedah kajian yang boleh digunakan oleh guru
untuk mencari kebaikan dan kelemahan murid-murid dan menentukan faktor-faktor
yang menyebabkan sesuatu tingkah laku bermasalah berlaku. Kaedah pemerhatian
ini adalah penting bagi guru untuk menentukan kekerapan, tempoh langsungnya serta
intensiti sesuatu salah laku murid yang telah dikenal pasti. Data yang dikumpul melalui
teknik pemerhatian adalah penting bagi seseorang guru. Hal ini kerana guru boleh
merancang tindakan susulan untuk menyelesaikan salah laku di dalam bilik darjah. Di
samping itu, ia juga boleh menolong guru mengawal tingkah laku bermasalah di dalam
bilik darjah. Bagi kaedah temubual pula, ia merupakan satu siri penyoalan dan
perbincangan antara guru bimbingan dengan murid bermasalah, ibu bapa, penjaga,
rakan sebaya dan pihak lain untuk mendapat maklumat.

Seperkara lagi, guru-guru juga boleh menggunakan kaedah kajian untuk


membuat analisis yang terperinci mengenai murid-murid yang menunjukkan tingkah
laku bermasalah di dalam bilik darjah. Dimana metodologi yang boleh digunakan ialah
kajian rentasan, kajian membujur, kajian kes, dan kajian dokumen. Penyelidikan kajian
rentasan melibatkan pemerhatian sasuatu sampel populasi. Di mana kumpulan-
kumpulan yang berlainan boleh dibandingkan pada peringkat-peringkat umur tertentu
berdasarkan angkubah-angkubah seperti IQ dan memori. Dalam kajian rentasan,
guru-guru akan mengkaji murid-murid bermasalah pada peringkat-peringkat umur
yang tertentu sahaja. Misalnya, guru-guru mengambil sampel kanak-kanak yang
mempunyai tingkah laku bermasalah daripada peringkat umur yang berlainan untuk
dikaji. Perubahan-perubahan dalam tingkah laku bermasalah diukur dengan
membandingkan perlakuan murid-murid dari suatu peringkat umur ke peringkat umur
yang lain.

Di samping itu, kajian membujur merupakan satu kajian korelasi yang


melibatkan pemerhatian berulang mengenai item-item penyelidikan yang sama untuk
satu jangka masa yang lama. Data kajian membujur boleh dipungut melalui soal
selidik atau data pentadbiran. Melalui kajian membujur, murid-murid bermasalah yang
diperhatikan dalam jangka masa yang panjang oleh guru-guru untuk menilai semua
perubahan tingkah lakunya. Kajian ini melalui pemerhatian kepada tingkah laku murid
bermasalah untuk mendapat maklumat terperinci mengenai perubahan-perubahan
dalam tingkah lakunya. Kajian ini memerlukan masa yang panjang dan perbelanjaan
yang tinggi.

Tambahan pula, guru-guru boleh menjalankan kajian kes untuk menganalisa


tingkah laku bermasalah secara terperinci khususnya bagi murid-murid yang
mempunyai salah laku yang serius. Kajian kes ini biasanya melibatkan sasuatu kajian
membujur secara mendalam mengenai sesuatu kes. Kajian kes merupakan suatu
kaedah yang sistematik unuk melihat kejadian, mengumpul dan menganalisa data
serta melaporkan keputusan tersebut. Melalui kajian kes, setiap aspek hidup dan latar
belakang individu telah dianalisis untuk melihat corak dan faktor-faktor penyebab
tingkah laku. Di samping itu, tujuan utama menjalani kajian kes ialah generalisasi yang
dibuat pada satu kes boleh digeneralisasikan kepada banyak kes yang lain. Guru-guru
juga boleh menggabungkan kaedah kajian seperti temubual dan pemerhatian dengan
rakan sebaya untuk membina kajian kes yang kuat. Terdapat suatu kelemahan bagi
kajian kes ini, dimana ia mengambil masa yang panjang untuk mendapat keputusan
kajian. Kadang-kadang, keputusan kajian kes juga susah untuk digeneralisasikan
kepada populasi yang lebih besar.

Bagi kajian dokumen pula, ia merupakan analisis bertulis yang dibuat oleh
guru-guru terhadap sesuatu tingkah laku bermasalah berdasarkan dokumen-
dokumen yang dikumpulkan mengenai murid-murid yang biasa menunjukkan salah
laku di sekolah. Dimana kajian dokumen ini boleh dibahagikan kepada dua kategori
iaitu rekod awam dan dokumen peribadi. Tambahan pula, dokumen peribadi ialah
akaun orang pertama atau pengalaman dan kejadian yang telah berlaku. Dokumen
kehidupan ini termasuk punca diari, portfolio, gambar, kerja lukisan, jadual, buku
skrap, dan suratkhabar. Dokumen-dokumen ini juga mengandungi anekdot, borang
maklumat murid, laporan-laporan pemerhatian dan temuramah serta dokumen yang
mengandungi maklumat mengenai tingkah laku dan perkembangan murid
bermasalah. Dokumen-dokumen ini amat berguna dalam sesuatu projek penyelidikan.
Hal ini kerana ia membekalkan maklumat yang mengenai budaya sekolah dan ahli
yang terlibat dalam sesuatu projek bagi seseorang guru.

4.0 Pengurusan Tingkah Laku Bermasalah


Dengan diagnosis dan analisis dokumen-dokumen ini, guru boleh memperkenalkan
teknik-teknik modifikasi tingkah laku untuk menangani tingkah laku bermasalah murid-
murid. Dimana pengurusan tingkah laku boleh dirujuk sebagai sesuatu rancangan
untuk memodifikasi tingkah laku bermasalah ke matlamat yang ditetapkan dengan
menggunakan teknik-teknik atau kaedah-kaedah yang sesuai seperti peneguhan
positif dan negatif. Tujuan utama bagi pengurusan tingkah laku adalah untuk
mengurangkan dan melupuskan tingkah laku negatif yang tidak diingini serta
memupuk tingkah laku laku positif yang diingini (Mok Soon Sang, 2010). Melalui
rancangan berkenaan, guru-guru harus memberitahu murid-murid tentang tingkah
laku yang harus diamalkan di sekolah serta peraturan-peraturan sosial yang harus
ditunjukkan dalam bilik darjah. Selain itu, guru-guru harus membetulkan tingkah laku
murid yang salah dengan menunjukkan mereka tingkah laku yang betul. Hal ini kerana
terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak ini mungkin mengalami
masalah kesihatan mental pada kelak nanti.

Terdapat tiga peringkat yang telah ditetapkan dalam proses memodifikasikan


tingkah laku murid-murid iaitu taksiran, “intervensi”, dan penilaian. Pada peringkat
awal, seseorang guru harus mengenalpasti tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan
oleh seseorang murid. Jadi, guru boleh menetapkan objektif tingkah laku yang sepatut
ditunjukkan oleh murid tersebut. Tingkah laku bermasalah akan dinilai supaya
masalah dapat ditangani untuk membawa perubahan pola tingkah laku kepada murid-
murid yang bermasalah. Dalam proses “intervensi” pula, seseorang guru boleh
menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku untuk memperbetulkan tingkah
laku yang salah. Dalam tahap ini, guru mestilah memodifikasikan tingkah laku
bermasalah supaya mereka tidak bergantung kepada ganjaran-ganjaran ekstrinsik
tetapi menunjukkan tingkah laku yang betul. Manakala dalam tahap penilaian pula,
guru berkenaan menilai hasil kesemua intervensi tingkah laku dan membuat
kesimpulan yang mengenai program modifikasi tingkah lakunya (Ragbir Kaur, 2012).

Sebagai rumusan, dalam proses modifikasi tingkah laku, guru-guru mestilah


mengikut langkah-langkah yang berikut iaitu membuat pemerhatian awal dan
penilaian terhadap tingkah laku bermasalah. Seterusnya, mengenalpasti dan
menentukan objektif tingkah laku positif yang perlu dicapai oleh murid-murid.
Kemudiannya, menunjukkan satu set tingkah laku positif iaitu sama ada dengan
kaedah model atau pemberitahuan. Akhirnya, memberikan ganjaran atau peneguhan
untuk tingkah laku positif secara tekal dan konsisten. Jikalau murid-murid masih
menunjukkan tingkah laku bermasalah walaupun pelbagai teknik dan “intervensi”
digunakan, jadi mereka perlu mendapat nasihat dan bantuan dari para professional.

Terdapat beberapa prinsip yang boleh diamalkan untuk mengekalkan dan


meningkatkan tingkah laku yang diingini dalam sesebuah sekolah. Dimana guru boleh
mengamalkan prinsip bersiri anggaran untuk mengajar murid yang bermasalah untuk
beraksi dalam satu cara yang dia tidak pernah melakukan sebelum ini. Guru juga
boleh memberikan ganjaran secara bersiri sehingga masalah tingkah laku ditangani.
Misalnya, seseorang murid yang suka bercakap dengan kuat dan kurang berminat
untuk belajar. Dalam pengaplikasian prinsip ini, guru boleh memberi ganjaran kepada
murid tersebut apabila dia bercakap dengan perlahan atau mengangkat tangan untuk
menjawab soalan (Ragbir Kaur, 2012).
Di samping itu, prinsip peneguhan berterusan juga perlu diamalkan untuk
mengekalkan dan meningkatkan tingkah laku yang diingini. Apabila guru ingin
membangunkan satu tingkah laku yang baru terhadap seseorang murid yang belum
menunjukkan sebelum ini, beliau akan memberikan ganjaran dengan serta merta
secara berterusan semasa tingkah laku yang betul dipertunjukkan oleh murid tersebut.
Sebagai contoh, seorang murid yang gagal dalam mata pelajaran sains, guru akan
memberikan ganjaran setiap kali murid tersebut boleh menjawab satu set soalan sains
dengan betul. Ini akan menggalakkan murid untuk mencuba dan membuat lebih
banyak soalan sains dan seterusnya menikmati kejayaan dalam mata pelajaran
tersebut.

Bagi prinsip peneguhan negatif pula, guru-guru akan memastikan murid


menunjukkan peningkatan tingkah laku untuk mengelakkan daripada hukuman ringan
yang telah ditetapkan oleh seseorang guru. Misalnya, jika seorang murid tidak ingin
pergi ke bilik Guru Besar, dia perlulah duduk dengan diam sepanjang pengajaran
dijalankan. Dalam prinsip peningkatan peneguhan, seseorang guru ingin
menggalakkan murid untuk terus berusaha membuat satu tingkah laku yang telah
dilazimkan dengan ganjaran, beliau akan meningkatkan jangka masa bagi murid
tersebut untuk terus menunjukkan sesuatu tingkah laku yang positif. Misalnya,
seorang kanak-kanak membuat 20 soalan matematik dan menerima pujian daripada
guru. Menurut prinsip ini, guru akan meningkatkan kerja rumahnya kepada 50 soalan
matematik serta menggalakkan untuk menjawab dengan betul sebelum murid
tersebut pada kali yang berikutnya (Ragbir Kaur, 2012).

Manakala bagi tujuan mengurangkan dan melupuskan tingkah laku yang tidak
diingini. Seseorang guru boleh mengamalkan prinsip penghapusan. Jika guru ingin
seorang murid untuk bertindak laku dalam cara tertentu, dia boleh mewujudkan situasi
dimana murid-murid tidak mendapatkan sebarang peneguhan atau perhatian selepas
menunjukkan sesuatu tingkah laku bermasalah. Bagi prinsip pengelakan pula, guru
ingin mengajar murid-murid untuk mengelakkan sesuatu situasi negatif yang tertentu,
guru dikehendaki memastikan stimuli tersebut dielakkan dengan sesuatu stimuli yang
kurang selesa. Misalnya, seorang murid yang sentiasa lewat masuk ke bilik darjah.
Guru akan memaklumkan bahawa jika dia lambat lagi, dia perlu memberi ucapan pada
hari perhimpunan sekolah. Prinsip ini akan dikuatkuasakan dan murid tersebut akan
datang dengan awal untuk mengelakkan daripada memberi ucapan pada hari
perhimpunan sekolah.

Tambahan pula, guru juga boleh mengamalkan prinsip pengurangan ketakutan


bagi mengurangkan dan melupuskan tingkah laku yang tidak diingini. Hal ini kerana
guru yang ingin membantu seseorang murid untuk mengatasi perasaan ketakutan
dalam sesuatu situasi, guru itu dikehendaki meningkatkan pendedahan kepada situasi
tersebut sehingga murid tersebut berasa selesa. Sebagai contohnya, seorang murid
yang takut untuk menjawab soalan di dalam bilik darjah, guru boleh menggalakkan
murid tersebut menjawab soalan di dalam kumpulan kecil terlebih dahulu. Ini dapat
membina keyakinan sebelum mencuba untuk menjawab soalan di dalam bilik darjah.
Prinsip hukuman juga boleh diamalkan oleh seseorang guru untuk mengurangkan dan
melupuskan tingkah laku yang tidak diingini. Apabila guru ingin memberhentikan
tingkah laku bermasalah yang serius, hukuman seperti merotan perlu
dijalankan. Seperkara lagi, teknik-teknik disiplin yang keras seperti dendaan dan
hukuman akan membawa kesan-kesan negatif kepada murid-murid. Jadi, guru-guru
perlu didedahkan kepada teknik modifikasi tingkah laku yang boleh memodifikasikan
tingkah laku murid-murid dengan cara-cara yang positif.

Terdapat pelbagai teknik boleh digunakan oleh guru-guru untuk


memodifikasikan tingkah laku yang negatif. Antaranya ialah peneguhan,
dendaan, reverse psychology, shaping, token economy,kontrak secara lisan atau
bertulis, time-out, modeling, kawalan kendiri, pengurusan kendiri, peneguhan kendiri
dan pengasingan (Ragbir Kaur, 2012). Dimana peneguhan merupakan sesuatu
tingkah laku yang dihasilkan adalah memuaskan, peluang mengulang tingkah laku
tersebut akan bertambah. Ia juga boleh dibahagikan kepada peneguhan positif dan
peneguhan negatif. Peneguhan positif menyediakan pencetus yang terancang dan
sesuai serta memungkinkan pengulangan tingkah laku yang diingini. Stumphauzer
(1985) menyatakan bahawa dalam konteks modifikasi tingkah laku, pencetusan yang
disediakan seperti ganjaran dan harapan kepada remaja akan mengekalkan tingkah
laku yang baik atau mengubah tingkah laku yang bermasalah dengan mengikut
norma. Manakala peneguhan negatif merupakan stimuli yang dipindahkan dengan
tujuan menguatkan tingkah laku positif supaya ia dapat diteruskan. Selain itu, terdapat
juga peneguhan negatif yang boleh menyakiti seseorang individu kerana tingkah laku
operannya kurang sesuai. Misalnya guru mengejek kesilapan seseorang murid di
hadapan orang ramai.

Seperkara lagi, dendaan juga merupakan salah satu teknik modifikasi tingkah
laku (Ee Ah Meng, 2001). Skinner menyatakan bahawa dendan hanya boleh
membawa kesan dalam tempoh yang singkat sahaja. Selepas itu, tingkah laku yang
tidak diingini biasanya akan diulangi. Di samping itu, murid yang didenda kerana tidak
menguasai sesuatu kemahiran, ini akan menyebabkan murid tersebut menimbulkan
sikap kebencian terhadap pembelajarannya. Bagireverse psychology pula, ia
memerlukan kemahiran guru memahami psikologi, sikap, pandangan dan pemikiran
murid berkenaan. Tujuan utama bagi teknik ini adalah mencabar murid agar
melepaskan sikap negatif dan memupuk sikap positif demi membentuk tingkah laku
yang diingini. Sebagai contohnya, jika seorang guru ingin murid berdiam, beliau
mungkin mengatakan dengan suara yang tegas seperti berikut, “Teruskan dan buat
bising sekuat yang anda semua boleh.” Murid-muridnya akan diam dengan serta-
merta kerana mereka memahami maksud sebenar yang disampaikan oleh guru.
Justeru, dalam reverse psychology guru mengatakan sesuatu untuk mendapat suatu
reaksi yang bertentangan.

Selain itu, teknik shaping juga merupakan salah satu teknik modifikasi tingkah
laku. Menurut Mok Soon Sang (2011), teknikshaping digunakan untuk mengajar
haiwan secara berperingkat supaya melakukan aktiviti permainan seperti dalam
sarkas dan zoo. Di dalam sebuah makmal, Skinner memasukkan seekor tikus ke
dalam sebuah kotak khas yang dikenali sebagai “Skinner Box” yang terdiri daripada
tombol, alat memberi makanan, bekas makanan, lampu yang dapat dikawal
nyalaannya. Disebabkan dorongan lapar, tikus berusaha keluar untuk mencari
makanan. Semasa berusaha keluar dari kotak, tikus tertekan tombol dan makanan
keluar. Semenjak itu, tikus menekan tombol apabila lapar dan makanan keluar secara
beperingkat dengan berdasarkan peningkatan tahap pelaziman tikus tersebut, proses
ini juga dikenali sebagai shaping. Justeru, ahli-ahli psikologi menyatakan bahawa
proses shaping ini juga boleh digunakan untuk membentuk tingkah laku manusia yang
diingini.

Guru juga boleh menggunakan teknik token economy untuk memodifikasikan


tingkah laku murid-murid. Token economymerupakan satu sistem yang meneguhkan
tingkah laku positif dengan memberikan token atau hadiah kepada murid-murid yang
mencapai tingkah laku yang diingini. Misalnya, guru memberi bintang kepada murid-
murid yang mendapat markah yang ditetapkan. Setelah murid berjaya mengumpulkan
10 bintang, dia boleh menukarkan hadiah seperti sekotak pensil warna daripada
gurunya. Satu lagi teknik modifikasi tingkah laku yang boleh diamalkan oleh guru-guru
adalah kontrak secara lisan atau bertulis. Dimana guru boleh membuat satu
persetujuan di antara guru dengan murid setelah guru membincangkan dengan murid
berkenaan. Jika kontrak dibuat secara bertulis, kontrak itu perlu ditandatangani oleh
kedua-dua pihak dan jika murid melanggari, dia akan dihukum seperti yang ditetapkan
dalam kontrak tersebut (Ee Ah Meng, 1999).

Time out juga merupakan satu teknik modifikasi tingkah laku murid-murid.
Dalam teknik ini, jika murid tidak menunjukkan tingkah laku yang diingini, dia akan
dihantar ke satu lokasi yang ditetapkan oleh guru. Misalnya bagi murid yang tidak
menyiapkan kerja rumah, guru boleh mengarahkan murid tersebut melengkapkannya
dalam ruang time out. Murid tersebut dibenarkan masuk ke bilik darjahnya apabila dia
berjaya menyiapkan kerja rumahnya. Time out ini adalah berkesan bagi murid-murid
yang berumur di antara 4 hingga 12 tahun sahaja. Dimana masa yang diperuntukkan
bagi teknik ini adalah bergantung kepada darjah keseriusan masalah tingkah laku
murid tersebut. Seperkara lagi, modeling juga merupakan salah satu teknik modifikasi
tingkah laku. Dimana ia juga dikenali sebagai pembelajaran pemerhatian. Hal ini
kerana guru menunjukkan suatu tingkah laku yang baik di kalangan murid-murid yang
bermasalah dengan menyuruh mereka membuat pemerhatian. Selepas itu, mereka
akan disuruh untuk membuat simulasi menegnai keadaan yang diperhatikan supaya
murid-murid boleh menunjukkan tingkah laku positif yang sama.

Teknik modifikasi pengurusan kendiri, peneguhan kendiri dan pengawalan


kendiri mempunyai pendekatan yang sama dengan teknikmodeling. Dalam
memodifikasikan teknik ini, guru-guru dikehendaki memodelkan sesuatu jenis tingkah
laku positif dan menerangkan secara eksplisit langkah-langkah yang harus
ditunjukkan oleh murid-murid dalam mengikuti tingkah laku tersebut. Manakala
pengurusan kendiri harus diimplementasikan sebelum tingkah laku bermasalah
berlaku. Ketiga-tiga teknik modifikasi tingkah laku ini mengajar murid-murid untuk
melengkapkan tugasan sendiri dan mengambil peranan yang aktif untuk memantau
dan meneguhkan tingkah laku kendiri. Teknik pengasingan merupakan teknik yang
terakhir bagi modifikasi tingkah laku murid-murid. Dalam teknik ini, murid-murid
disuruh keluar daripada bilik darjah atau dimasukkan dalam kelas detensi untuk
menjalankan hukuman yang ditetapkan oleh guru. Guru-guru membiarkan tingkah
laku murid-murid yang bermasalah negatif dengan tidak memberi sebarang perhatian
kepadanya. Teknik ini berdasarkan andaian bahawa tingkah laku yang tidak
diteguhkan akan terhapus dengan sendirinya.

5.0 Kesimpulan
Tingkah laku bermasalah tidak boleh memandang remeh. Hal ini kerana ia akan
menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Setelah suatu tingkah laku
bermasalah dikenalpasti, guru seharusnya menggunakan teknik modifikasi tingkah
laku yang sesuai untuk menangani masalah tersebut. Pengajaran dan pembelajaran
akan dijalankan dengan lancar apabila tingkah laku bermasalah diselesaikan. Guru
juga dikehendaki menunjukkan amalan nilai-nilai murni atau teladan sebagai contoh
kepada murid-murid. Pandangan dan kajian dari tokoh-tokoh juga boleh dijadikan
sebagai panduan oleh pihak sekolah bagi merancang strategi-strategi untuk
meningkatkan keberkesanan mengatasi tingkah laku bermasalah di kalangan murid-
murid.

You might also like