You are on page 1of 23

Penulisan 16 : Dimensi Masyarakat : Usaha Membantu Orang Kelainan Upaya

(OKU)

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)


merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini
memberikan sumbangan berkesan kepada negara.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk
membantu golongan ini?

Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang
cacat keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit
tertentu. Kecacatan fizikal dan mental ini menghalang mereka daripada melakukan
aktiviti-aktiviti normal seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan pekerjaan. Golongan
Orang Kelainan Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua
kumpulan utama, iaitu kelainan upaya secara kekal dan kelainan upaya secara
sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada, masyarakat kelainan upaya ini
tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara.
Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU meneruskan
kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima
kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka
menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini demikian kerana masyarakat perlu
sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah
mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain.
Tidak kupinta lahir ke dunia,
Tidak kuduga cacat begini,
Tiada insan yang mahu dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna justeru
golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut
mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah
dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa
dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi
tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya. Dalam hal ini, ibu bapa
berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih
sayang, simpati, belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU
dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak
juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak
media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap
lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkan
kisah sedih dan pilu OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini, perasaan
masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan
terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak
media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh
hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada
masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu OKU dengan memberi
peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam
pelbagai bidang. Golongan Kelainan Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan
kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok
dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang
Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini, OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran
supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga
sendiri. Setelah mantap dalam bidang pekerjaan,mereka akan duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi
menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan
memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit, makanan dan
minuman, pakaian, tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan
khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,
MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU
malah dapat menggembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di dunia
ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu
perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang
susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha memberi
bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan
daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat
penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa
bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung
pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu
diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai
anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan dengan itu,
kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang
setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan
tempat atau kuota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada
OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan
Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi
pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa
akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU
untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini
kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk
memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai
operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani walhal sebelum ini kerja sebegini
hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Selain itu, usaha murni Pasar raya
Besar Carrefour yang telah menyasarkan lima peratus daripada pekerjanya ialah OKU
haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu
mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua
untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk
merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat
mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak
bersungguh-sungguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam
era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat
membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha
membantu golongan OKU.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
Penulisan 15 : Dimensi Masyarakat : Usaha Memupuk Minat Orang Ramai
Membaca Karya Sastera

Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini


semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk
menarik minat orang ramai membaca karya sastera.

Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki
sebuah komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari
maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca
karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah
lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti
Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh
dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa
yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera
ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang
ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya
Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan
karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh
A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan
‘Tulang-tulang Berserakan’oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang
untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel,
sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan para pelajar
untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan
yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan
semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap
kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar
untuk menghayati karya sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak
sekolah memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap
karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera
rakyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan
silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah
anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu,
ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya
mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada
anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang
hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku
mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah
perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-
karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh
pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya
sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam
mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera.
Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada
masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan
masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran.
Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya
sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang
ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih
mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki
atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak
media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk
membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan
kempen menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat
berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan
pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi
memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk
dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai
penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar
semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki
karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut
memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih
banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit
boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera.
Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis.
Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis
supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi
membolehkan para peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan
juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan
bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya
sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak
menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang
ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka supaya
langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya
direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya
sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
THURSDAY, 1 NOVEMBER 2012
Penulisan 14 : Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa Menggalakkan
Penggunaan Barangan Buatan Malaysia

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi


menggalakkan anak-anak menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-
anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju
menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan
pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita
agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini
sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk
keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi yang
tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan
negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang
tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu
bapa perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan
sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan
bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling
dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak
diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai
dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walau
bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan
dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan
kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan
Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic,
Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak
mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-
anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi
demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya
mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka.
Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui
mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada
raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu
bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana
rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya,
dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri
seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir
yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat melalui Dasar Pandang Ke
Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan
taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta
akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa
hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan
golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan
negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka
suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa
bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh
Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival
sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan
harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan dan batik, yang merupakan budaya
yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan
pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang
tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa
haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan barangan
buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan.
Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-
pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang
berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya
mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli
barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa
perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak
generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya,
menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah
memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja
kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup
murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang
telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk
memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan
Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran
juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada
anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membina semangat Malaysia Boleh dari serba-
serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa
berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia
kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan
mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya
yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan
menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita
bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan
buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih
murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang
baik. Walau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak
mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia
Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai
satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan
Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat
agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
Penulisan 13 : Dimensi Masyarakat : Semangat Kejiranan

Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin


longgar.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh
pelbagai pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat
ditingkatkan?
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan
dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara
yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana
merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila
kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran
sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan
supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan penduduk setempat?
Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan
kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat
daerah, negeri atau kebangsaan. Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat
perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang
diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan
semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Usaha sama sebegini yang wajar diambil
contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat
kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan
janganlah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya, kempen yang dijalankan ini
dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.
Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah
mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat
berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu
dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh
diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan
hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan
dan meningkatkan hubungan negara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The
Times’ di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan
antara aktiviti yang terbaik di dunia.
Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam
meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah
boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh
menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan. Media elektronik pula
boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media
massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah.
Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah
menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha
Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong. Justeru, semangat hati
gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui
media massa.
Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan
memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah
terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih
dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang
untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan
rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri,
Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan.
Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu
muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung dan Jawatan Kuasa Kemajuan
Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,
semua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak,
memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari
Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah
anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, taman
rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang
erat antara jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan
ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa
Melayu, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri
dalam aktiviti seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah
membentuk satu persatuan yang mempunyai satu organisasi yang teratur. Persatuan
atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini,
banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun
Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat
Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga,
masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk
mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam
peribahasa Melayu, ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-
menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi
dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat
kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui
aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.
Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran
kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat
lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada
prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita
mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan
dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap
tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah
Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal
ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan
perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh
bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan
akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa
berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita
sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
Penulisan 12 : Dimensi Diri : Usaha-usaha memartabatkan permainan
tradisional

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.


Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan
permainan tradisional di negara kita.

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat
berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan
disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah
merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan
pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah
panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya.
Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini
membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman
jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai
khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya
mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional


adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada
masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan.
Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman.
Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa
saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas
kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan
tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat
memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara
kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan
pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud
kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini
bagi menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.

Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan
tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan
sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan
moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-
cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan
memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan
permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama
sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak
dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran
yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan
tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah
permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.

Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar


sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan
tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan
menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan
tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara
tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar.
Saya juga akan menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat
sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang
boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan
demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik
minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat
dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah,
tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan
dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam
secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah
memartabatkan permainan tradisional.

Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat
cinta akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan
tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan
dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu
dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini
tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah
bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa
jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan
tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan
budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional
akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan


tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati
masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda
perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan
tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti.
Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah
ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai
pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
Penulisan 11 : Dimensi Diri : Usaha-usaha membantu pihak sekolah
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah.


Jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir
ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam
media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan
semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada
masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk
budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan
bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-
usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Satu
daripada caranya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam
keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber
yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan
pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam
keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas di
atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan
selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar
semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih
dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam
untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh
membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk
kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan
dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program
Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk
dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat
penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca,
seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak
kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang
berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak
pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk
kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang
boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai
informasi terkini. Saya akan membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu
dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan
pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung
keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar
berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan
budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi
pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan
sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata
peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra
daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci
untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak
sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar.
Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya
mereka lewat atau sengaja tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh
yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak
sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk
membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya
penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku
dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah
bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang
memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘scaning’.
Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana
para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan
buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber
pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi
pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang
pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah
minda. Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
Penulisan 10 : Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.


Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan
harapan mereka itu tercapai.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini
jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama.
Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita dan membesarkan
kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita.
Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang lebih berharga yang
diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang
mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan ibu bapa dalam
mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Sebagai anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa
bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang
derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam
kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup.
Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan
ibu bapa tercapai?
Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa
tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang
mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya
kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang
akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka
yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah.
Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan
keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini, amat penting bagi
seseorang mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain
terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan
pencapaian akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya
meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh
itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya
dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di
situ pasti ada jalan.. Pada masa yang sama, saya juga akan memberi perhatian pada
perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar
bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya. Seorang insan yang berjaya
perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya, saya akan belajar dengan tekun dan
berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa.
Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi
bahasa dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah,
tidak berputus asa dan berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini
demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja
perlu cemerlang dalam bidang akademik, malahan perlu menjadi seorang yang
cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI
yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan
sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga dan
orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya
dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya
juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti
mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan
menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik
seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam
diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi
penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat
bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk, walau betapa cemerlang pun
pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya, amalan
berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama
sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan
saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya
daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang
teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan
serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana
Tuhan sentiasa menyeru hambanya untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi
perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri
saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat
penting dalam menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Pendidikan agama yang
saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang
yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak
baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan
keluarga. Tegasnya, saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat
mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai
keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa
kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan
seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca
dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup
saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka,
saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat
menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta
lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung,
pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan
dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam
pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan
mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya
tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan
terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung
kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan
menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya
untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang
berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala
sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang
akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan
dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia
agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup
saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan.
Ibnu Khaldun pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan
seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara”. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan
kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan
pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan
tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang
dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut
juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara
langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba
memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap
malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi
seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar
perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu
bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan
mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya
akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan
sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar
bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan
dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan
mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih
tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa
mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka,
wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan
menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat
seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga dan dorongan saya untuk
mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa
mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya.
Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian
saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan
berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai
impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-
sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan
cita-cita saya tercapai dan sekali gus, saya juga dapat memenuhi impian dan harapan
ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah
pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat
menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan
mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus
memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita sebagai
kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
Penulisan 9 : Dimensi Keluarga : Usaha Ibu Bapa Menjadikan Anak-anak
Insan yang Berguna

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang


berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk
memastikan harapan mereka itu tercapai.

Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman


setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan
hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna
kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian
itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika
hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat
direalisasikan. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa
untuk memastikan harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-
anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang
saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan
perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada
berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak
berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa
haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan
hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat
keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu
bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-
anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan
usaha, tangga kejayaan. Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi
sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di
samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya. Sebagai
contohnya, banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak
kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih
dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya, anak-anak akan
menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika
keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa
perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi
keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan
damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah
mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan
kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat
daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah
menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang
mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen
atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman
yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah.
Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif
seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-
bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu
bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya
mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi
keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap
ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak
mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh
biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang
sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping
membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat
membantu anak-anak untuk membezakan baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-
anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga
tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu
bapa mempunyai pegangan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan
mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu
juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama,
anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-
foya dan sebagainya. Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan
impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam
mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh
terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya
mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak
rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan
ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu
bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri
teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, ibu
bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang
kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa
menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus
menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan
berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran
daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati
terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka
menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka
apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu
bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan
yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain
orang lain” dalam masyarakat adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah
menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah
segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan
sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk
membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan
teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru tengadah” sewajarnya menjadi
panduan kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-
anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap
prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka
diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha
meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum.
Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap
sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik
dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu
bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-
anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan
akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah
laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga
perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang
lewat. Tuntasnya, ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah
anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk
membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan
kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna
bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan
sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan
sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqamah untuk mendidik anak-anak
menjadi insan yang berguna. Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat
memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah
keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah
masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada
masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita.
Posted by ayaHUda nAs No comments:
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions:
Penulisan 8 : Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa Memupuk Minat
Membaca

Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak


remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan
peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-
karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai
hasrat tersebut.

Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk
menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda
pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat
khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku yang
sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri,
falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam, dan Anis kurang
diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah
tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap
berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan majalah
atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan
bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa
pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa
merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan
dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh
ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah
membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku
Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke
pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan
dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca.
Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini,
peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-anak agar dapat memilih buku
yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-
anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan,
falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan
ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk
membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan
pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar. Tegasnya, usaha ibu bapa membawa
anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang
melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat
buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek
membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan
menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat anak-anak untuk membaca
buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar pada
setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca
pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana
acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman
ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang
berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak-anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-
buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas
pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca
bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam
hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul,
sedangkan diri sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca
bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut.
Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu
bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan
menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata
pepatahkalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke
udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli
banyak buku atau majalah yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh
mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca
jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan
mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan
bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan
Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara harian.
Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah
yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka.
Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa
mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati
diri unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan
berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku
sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau
peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-
buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-
anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa.
Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal
maka tak cinta.
Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku
dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam
kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan
buku yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah
yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli
kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku.
Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu
dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang
berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat
atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak
menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai
pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan sahaja
mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh
manfaatnya. Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-
kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-
anak membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan
yang mulia dan disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi
bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya
agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri selain buku pelajaran dan
buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca buku-buku
yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan
memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan
mini di rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau majalah
ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan
menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar
rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang
banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam
perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat
menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca,
bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat
khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu, anak-anak akan biasa
berbuat demikian dan menjadikan membaca sebagai amalan rutin harian kerana alah
bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada masa terluang dan
mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa
mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan
awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam
memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak.
Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku
dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa
membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan
mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan
ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan
sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat
remaja yang yang menyalahgunakan Internet seperti melihat gambar-gambar lucah.
Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu
bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul buku ilmiah yang
terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini
dapat menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan
ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang
terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan
peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa
harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca
akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak
mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam
bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn
Khaldun dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu
bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi
arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

You might also like