You are on page 1of 24

Metodologi Pengkajian Sejarah dan Tamadun Islam

PPPQ 6023

PENSYARAH :

Dr. AZMUL FAHIMI BIN KAMARUZAMAN

Dr. ERMY AZZIATY BINTI ROZALI

TAJUK:

Tafsiran dan Analisis Sejarah Islam

DISEDIAKAN OLEH:

FAIZATUL AKMA BINTI AHMAD SAKRI

P77880
Analisis dan Tafsiran Sejarah Menurut Ibnu Khaldun

1.0 Pendahuluan

Dalam sejarah, fakta-fakta yang telah dikumpul sesuai dengan sudut pandang yang telah ada
yang disebut sebagai sumber-sumber sejarah. Manakala sumber-sumber sejarah hanya mencatat
fakta-fakta yang yang cukup menarik untuk ditulis. Ia hanyalah memaparkan peristiwa-peristiwa
politik, peperangan, tokoh-tokoh terdahulu terutamanya dari kalangan pemimpin dan ilmuwan.

Historiografi Islam pula didasari beberapa aspek dalam menghasilkan sebuah kajian
terbaik. Pertama menceritakan peristiwa-peristiwa mengikut susunan kronologi tahun tanpa
sebarang ulasan dan kritikan. Kedua menumpukan kepada analisis sejarah, kenapa dan
bagaimana peristiwa berlaku, penyelesaiannya dan kesan peritiwa tersebut. Berdasarkan aspek
tersebut, para sejarawan bukan hanya berfungsi sebagai pengumpul, pencatat, dan penulis
maklumat sejarahbahkan mempunyai tugas signifikan untuk menganalis setiap peritiwa sejarah
yang berlaku. Proses analis menjadikan historiografi Islam bukan sekadar himpunan naratif atau
susunan kronologi sejarah semata-mata tetapi merupakan satu karya dan penulisan sejarah yang
dihasilkan mengikut kerangka idea seorang sejarawan.

Menurut Prof. S M Naquib al-Attas beliau mengatakan “Bahwasanya ternyatalah konsep


tugas seorang ahli sejarah itu bukanlah mengkaji, mencatat, dan melaporkan segala hal yang
terjadi dalam meriwayatkan dan menafsirkan kehidupan dan nasib sesuatu bangsa; akan tetapi ia
harus memilih apa yang hendak dikajinya, ia harus mengasingkan apa yang hendak dicatatnya
dari bahan-bahan tiada terbatas itu, ia harus merumuskan apa yang hendak dilaporkannya dengan
tujuan bagi menayangkan gambaran yang terdiri daripada sifat-sifat tertentu yang akan
merupakan hakikat bangsa itu.” (Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, hal. 2-3)

1.2 Pengertian umum tafsiran dan analisis sejarah

Tafsiran sejarah bererti memberi kesan, pendapat atau pandangan kritis terhadap sesuatu fakta
sejarah dan kata yang menjadi padanan untuk tafsiran ialah interpretasi. Tafsiran bertujuan
menafsirkan fakta sejarah dan merungkai fakta tersebut sehingga menjadi satu kenyataan yang
harmoni dan masuk akal. Ia juga merupakan gabungan dan himpunan antara andaian dan telahan
bagi membantu melahirkan sesuatu pantafsiran. Tanpa keduanya proses pentafsiran sukar
dilaksanakan kerana tidak mempunyai maklumat untuk dibuktikan sebagai suatu fakta sejarah
yang boleh dipercayai benar. Oleh itu, andaian dan telahan dan penafsiran perlu dilakukan
kerana pengkaji sejarah ingin mengetahui selengkap mungkin sejarah yang ingin dikajinya demi
mendapatkan iktibar, perbandingan peristiwa dan sebagainya.

Para sejarawan menganggap ia merupakan bahagian akhir yang menyempurnakan metod


pengkajian sejarah. Tafsiran dan interpretasi adalah menafsirkan fakta sejarah dan
merungkaikannya sehingga memenuhi 2 ciri penting. Ciri pertama ialah penemuan tentang sebab
yang membolehkan penjelasan terhadap sesuatu perkara. Dan yang kedua ialah, kenyataan
daripada penilaian yang dibuat oleh ahli sejarah.

Manakala untuk pengertian umum analisis sejarah pula ialah suatu kaedah yang
sistematik untuk memahami sesuatu perkara dengan melihat kepada unsur-unsur yang ada iaitu
sumber dengan melakukan analisis bukti, membahagikan kepada bab-bab tertentu, melakukan
perbandingan antara semua fakta, menggabungkan fakta-fakta dalam bab tertentu dan akhirnya
menyusun semua di dalam satu penulisan yang sistematik dan berstruktur (Kitson, 1967 : 164)

Analisis merupakan kajian kepada sumber yang mengandungi maklumat sejarah untuk
mendapatkan kesimpulan yang kuat dan tepat. Analisis juga mesti dilakukan dengan pemerhatian
dan penjagaan yang teliti kerana ia adalah proses yang memerlukan kemahiran mengolah, dan
memahami sesuatu fakta sejarah. Tafsiran dan analisis digunakan secara bersama untuk proses
memaknai fakta-fakta sejarah dan menjadikan fakta-fakta yang asalnya berasingan kerana
diambil dari sumber-sumber yang berlainan disatukan menjadi suatu hubungan yang saling
berkaitan. Ia juga sebagai langkah untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan dari topik yang kita
teliti dan memerlukan penghuraian data-data atau sumber-sumber yang kita dapati.

Pengkaji sejarah perlu memahami bahawa sejarawan dan penulis sejarah terdahulu
mungkin mempunyai pandangan yang berbeza-beza semasa mencatatkan peritiwa sejarah. Oleh
itu, pengkaji sejarah memerlukan kepada kaedah tafsiran dan analisis dalam menentukan fakta
dan sumber mengikut kehendak pengkajian. Dalam melakukan proses tafsiran dan analisis, kita
harus memiliki kemampuan dalam membaca dan memahami sumber sejarah kerana kedua-
duanya dibina atas kemahiran kefahaman.

Pada tahap permulaannya, penulisan sejarah memerlukan kewujudan bukti. Apabila


wujud bukti, barulah tafsiran dan analisis boleh dikendalikan dan terhasilnya penulisan sejarah.
Hasil kajian pengkaji sejarah perlu bersandarkan kepada apa yang didapatinya benar dan bukan
apa yang difikirkannya benar berdasarkan sumber yang ada.

Menurut National Standards for History di akhir proses penafsiran dan analisis yang baik
akan menghasilkan beberapa perkara, antaranya ialah :

1) Perbandingan dan perbezaan idea-idea, nilai, personaliti, kecenderungan dan institusi dengan
mengenal pasti persamaan dan perbezaan.

2) Pertimbangan-pertimbangan dari pelbagai perspektif dan dari pelbagai bangsa di masa lalu
dengan menunjukkan perbezaan kepercayaan, minat, harapan dan kebimbangan.

3) Menganalisis hubungan sebab dan akibat dari pelbagai penyebab termasuklah tentang
kepentingan individu dalam sejarah dan pengaruh idea-idea dan kepercayaan.

4) Membuat perbandingan merentasi zaman dan wilayah untuk menentukan isu-isu yang
berbentuk jangka panjang.

5) Mencabar sejarah dengan merangka contoh, bagaimana pilihan yang berbeza boleh membawa
kepada akibat yang berbeza.

6) Memegang tafsiran sejarah sebagai suatu perkara yang sementara, ia tertakluk kepada
perubahan maklumat baru yang ditemui, dan juga tafsiran yang baru.

Di dalam kaedah pengkajian sejarah Islam, proses tafsiran dan analisis sejarah sering
dikaitkan dengan falsafah sejarah. Falsafah sejarah membolehkan seorang pengkaji sejarah
memberikan tafsiran dan tidak mengulang catat himpunan petikan naratif daripada teks-teks
sejarah. Manakala Colingwood menjelaskan falsafah sejarah adalah suatu yang mencerminkan
pemikiran. Definisi ini juga merujuk kepada pemikiran pengkaji sejarah dalam mentafsirkan
peristiwa sejarah masa lalu secara saintifik, bersifat penyelidikan dan memerl ukan kepada bukti-
bukti yang dipercayai bagi menyokong hujahnya.

Perbahasan mengenai peritiwa sejarah seperti peperangan, pemerintahan, perkembangan


sains dan lebih utama tentang konflik manusia boleh dilihat dalam semua karya sejarah. Namun,
perbahasan sejarah tidak akan mengutarakan sebarang penyelesaian atau kesimpulan terhadap
peristiwa yang disampaikan kerana ia tidak termasuk dalam ruang lingkup sejarah. Sebaliknya
kajian mengenai sebab-sebab, serta kemungkinan untuk melakukan penyelesaian dan ulasan itu
adalah bidang kajian ilmu falsafah sejarah.
Ilmu falsafah sejarah Islam mempunyai metode yang tersendiri dalam proses penyampaian
maklumat di mana ia tidak tertakluk kepada metodologi ilmu sejarah yang mengutamakan aspek
siapa, bila dan di mana. Begitu juga ia berbeza dengan ilmu pensejarahan yang menekankan
perincian fakta. Sebaliknya falsafah sejarah lebih memfokuskan kepada impak dan ibrah yang
boleh dijadikan panduan.

Syeikh al-Sharqawi menjelaskan bahawa fungsi falsafah sejarah Islam bukan sekadar
membuat tafsiran atau analisis tentang apa yang berlaku seperti yang dilakukan oleh sebahagian
tokoh falsafah sejarah Barat. Sebaliknya, ia bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan
keinsafan umat manusia tentang kewujudan al-Khaliq dan semua yang berlaku di ala mini ada
kaitan dengan qudrah dan iradah. Biarpun yang melakukannya adalah terdiri dari tangan-tangan
manusia itu sendiri.

1.3 Pengenalan Falsafah Sejarah

Secara umumnya, falsafah sejarah ialah suatu kajian mengenai fakta-fakta sejarah dan ulasan
yang dikemukakan oleh para pengkaji mengenai sesuatu peristiwa. Ini bermakna falsafah sejarah
adalah bidang kajian yang tidak tetap dan boleh berubah mengikut selera pengkaji atau
penganalisis. Pendekatan serta aspek yang dilihat oleh seorang pengkaji itu amat berpengaruh
dalam menentukan keputusan kajian. Oleh sebab ia bergantung kepada interpretasi dan analisis
pengkaji semata-mata, maka falsafah sejarah merupakan suatu subjek yang sukar untuk
ditentukan ruang lingkupnya iaitu apakah ia sama dengan perbahasan ilmu sejarah itu sendiri
atau ia lebih condong kepada perbahasan sejarah yang tidak terikat dengan fakta.

Di dalam Kamus Dewan perkataan „falsafah‟ diberi makna ; pengetahuan yang


mendalam tentang sesuatu perkara atau pencapaian sesuatu ilmu di tahap yang tertinggi (Kamus
Dewan : 321). Berdasarkan makna tersebut, falsafah sejarah boleh difahami sebagai satu ilmu
yang bertujuan untuk menganalisis segala peristiwa yang berlaku dalam masyarakat, sama ada
dalam perkara-perkara yang menyentuh persoalan agama, politik, ekonomi budaya dan
sebagainya. Segala penerangan dan ulasan yang dikemukakan oleh pengkaji berhubung dengan
sebab-sebab serta kesimpulan tentang sesuatu kejadian atau peristiwa sejarah adalah termasuk
dalam bidang kajian falsafah sejarah.
Falsafah sejarah Islam membentang pandangan yang sama sekali berbeza dengan falsafah
sejarah Barat. Spengler merupakan seorang sejarawan Jerman memandang masyarakat dan
budaya sebagai hidupan yang hanya mempunyai satu putaran kehidupan. Seperti kehidupan
manusia yang mempunyai zaman kanak-kanak, remaja, hari tua dan kematian yang sudah tidak
boleh dihidupkan semula. Begitu juga keadaannya dengan budaya dan masyarakat yang sudah
mati, ia tidak boleh dihidupkan semula. Ia adalah proses pertumbuhan dan pengakhiran semula
jadi. Ini memberi makna bahawa kemampuan kuasa untuk setiap budaya dan masyarakat adalah
terhad dan tidak ada cara untuk mengulang semula proses tersebut untuk kembali.

Tanggapan yang falasi ini telah membuatkan Spengler terburu-buru dalam membuat
kesimpulan bahawa semua tamadun mesti menghadapi putaran hidup dan mati. Sedangkan
hakikatnya budaya dan masyarakat bukanlah seperti tanggapan beliau. Menurut penyelidik
Karoner beliau menyatakan bahawa kebanyakan tamadun yang hebat telah melalui kitaran hidup
dan mati berulang kali dan pelbagai aspek tamadun seperti, ekonomi, politik, ilmu dan sosial
melalui jatuh bangun di dalam kehidupan jangka panjang dan bukan semata-mata satu kitaran
sahaja. (Abdul Hameed, 1955)

Berbeza dengan konsep falsafah sejarah Islam yang mana tumpuan kajian diberikan
terhadap manusia dengan mengambil kira persekitaran yang mengelilinginya. Manusia
mempunyai kekuatan untuk menentukan kehidupannya namun mereka dipengaruhi oleh pelbagai
aspek sama ada ia membawa kepada kebaikan atau keburukan. Oleh itu, falsafah sejarah Islam
bererti memberi nasihat kepada manusia supaya mengambil pengajaran dari masa lalu yang
dikenali sebagai Ibra. Ia adalah proses untuk membawa situasi sekarang kepada masa lalu untuk
membincangkan pengajaran yang terhasil selepas melihat kedua-dua situasi tersebut.

Falsafah sejarah Islam juga boleh diistilahkan sebagai tafsiran moral sejarah untuk
merawat manusia sebagai makhluk yang mempunyai moral (Abdul Hameed, 1955). Dan ia
berkait rapat dengan sejarah umat Islam itu sendiri namun bidang kajiannya jauh lebih luas
daripada ilmu sejarah yang hanya tertumpu kepada persoalan di sekitar fakta, masa dan tempat
sesuatu peristiwa itu berlaku. Dengan kata lain, falsafah sejarah merujuk kepada keinginan
semula jadi manusia untuk mengetahui jawapan yang memuaskan terhadap sesuatu peristiwa
sejarah iaitu tentang persoalan kenapa ia berlaku dan bagaimana ia berlaku.
Menurut Murtadha Mutahhari, ada tiga cara yang mendefinisikan sejarah, yang pertama
sejarah tradisional iaitu pengetahuan tentang kejadian-kejadian, peristiwa dan keadaan
kemanusiaan pada masa lampau dalam kaitannya dengan keadaan masa kini. Kedua sejarah
ilmiah, iaitu pengetahuan tentang hokum-hukum yang menguasai kehidupan masa lampau yang
diperoleh melalui pendekatan dan analisis atas peristiwa masa lampau. Ketiga, falsafah sejarah,
iaitu pengetahuan tentang perubahan-perubahan bertahap yang membawa masyarakat dari satu
tahap ke tahap lain, ia membahas hokum-hukum yang menguasai perubahan-perubahan ini.
Dengan ini ia adalah ilmu tentang menjadi masyarakat, bukan tentang kewujudannya sahaja.

Walau bagaimanapun, suatu hal yang jelas ialah bidang kajian falsafah sejarah jauh lebih
luas daripada bidang kajian sejarah itu sendiri. Dengan itu, permasalahan yang dihadapi oleh
tokoh-tokoh yang terlibat dalam bidang falsafah sejarah adalah lebih mencabar daripada tokoh-
tokoh bidang sejarah. Ini kerana tokoh falsafah sejarah lebih bebas dalam membuat ulasan dan
risiko untuk berbeza pendapat juga lebih tinggi.

1.4 Kepentingan Falsafah Sejarah

Ilmu falsafah sejarah bukan sahaja penting dalam metodologi pengkajian sejarah, tetapi ia
merupakan perkara asas yang perlu diketahui dan juga diberi perhatian sewajarnya. Ini kerana, di
dalamnya mengandungi pelbagai manfaat dan kebaikan yang boleh diambil oleh semua orang.
Falsafah sejarah juga merupakan suatu aset dan khazanah yang sangat bernilai kepada umat
Islam,terutamanya bagi proses pembinaan ummah. Kita sebagai umat Islam perlu bersyukur
kerana diberi panduan al-Quran dan Sunnah untuk menjalani kehidupan di dunia. Melalui kisah-
kisah dari al-Quran kita dapat mengetahui pengajaran yang boleh dijadikan renungan. Dalam
catatan sejarah juga pelbagai contoh yang digambarkan di dalam kisah-kisah sejarah itu dapat
membuktikan bahawa kebanyakan kemusnahan yang berlaku ke atas umat terdahulu adalah
disebabkan oleh sikap sombong serta degil mereka dalam menangani dugaan. Ia merupakan
proses yang membolehkan manusia mengetahui suatu perkara atau peristiwa yang berlaku sama
ada kesusahan atau kerosakan, kejahatan atau kebaikan yang diakhiri kesimpulan serta nasihat
yang dibuat dapat mempengaruhi hati manusia dan menjadi tunduk kepada pencipta.

Namun falsafah sejarah hanya bergantung kepada sejauh mana pengkaji dapat
memahaminya dan sebanyak mana keinginannya untuk mengambil iktibar daripada kisah-kisah
sejarah itu. Andainya seseorang itu hanya sekadar tahu membaca sahaja, tetapi ia tidak mampu
untuk memahaminya dengan baik, maka apa yang didapatinya tidak lebih daripada sekadar
hiburan dan cerita semata-mata. Pada ketika itu fungsi falsafah sejarah akan hilang dan ia akan
menjadi bahan yang tidak berfaedah. Demikian juga kepentingan sejarah itu tidak dapat difahami
oleh semua orang, sebaliknya ia cuma bernilai kepada orang yang mengetahui dan berakal
sahaja.

1.5 Falsafah Sejarah Menurut Ibnu Khaldun

Secara umumnya membezakan dengan adanya dua aspek sejarah, iaitu sejarah luaran dan sejarah
dalaman. Sejarah luaran lebih bersifat deskriptif, sekadar berisi fakta dan maklumat yang secara
amnya berhubung kait dengan masalah politik sahaja. Aspek luaran ini mempunyai makna yang
menghiburkan bagi orang ramai, menyenangkan sesiapa sahaja yang mengkajinya, yang
memberi fahaman kepada mereka tentang masalah manusia. Aspek luaran inilah yang banyak da
kadang-kadang memberikan makna yang sempit kerana seringkali mengharuskan pembacanya
untuk berpihak menurut selera penulisnya. Manakala aspek dalaman sejarah pula berperanan
mengkaji, menganalisis dan memperjelaskan segala perkara yang berkaitan dengan fakta sejarah.

Pembahagian dua aspek iaitu aspek luaran dan dalaman ini meletakkan subjek sejarah
dan falsafah sejarah seolah-olah dua ilmu yang berbeza. Sedangkan kedua-dua ilmu ini saling
lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Dengan kata lain, tanpa sejarah tidak akan wujud
falsafah sejarah dan tanpa falsafah sejarah, sesuatu fakta sejarah akan beku dan sukar untuk
dijadikan iktibar kerana iktibar itu hanya boleh didapati melalui renungan dan penganalisaan
secara serius.

Cetusan idea falsafah sejarah oleh Ibnu Khaldun ini dapat difahami apabila kita melihat
situasi politik dan pentadbiran yang mengelilingi kehidupan beliau. Suasana kerajaan Islam
Andalus yang semakin merosot oleh kerana berlaku perebutan kuasa, sikap pentingkan diri
sendiri ditambah pula tekanan daripada luaran iaitu kuasa Kristian telah menyebabkan beliau
berhijrah ke Kaherah dan mengagumi keindahan wilayah Lembah Nil itu. Iklim politik di Mesir
tidak serumit Andalus, dan disinilah Ibnu Khaldun mendapat inspirasi untuk menulis tentang
sejarah.
1.5.1 Biografi Ibnu Khaldun

Nama lengkap beliau ialah Abdurrahman Bin Muhammad Bin Khaldun tetapi lebih dikenali
dengan nama Ibnu Khaldun. Ibnu Khaldun lahir di Tunisa pada awal Ramadhan 732H bersamaan
1332M dan berasal dari satu keluarga keturunan Andalusia dari daerah selatan Mesir (Ismail
Ya‟kub, 1982: 2) Beliau bukanlah anak jati Tunisia tetapi berasal dari Hadramaut iaitu sebuah
daerah di selatan Semenanjung Arab. Ibnu Khaldun dipercayai mempunyai pertalian
kekeluargaan dengan Wa‟il Bin Hajr iaitu salah seorang sahabat Rasulullah yang terkenal.

Keluarga Ibnu Khaldun mempunyai kedudukan yang penting dalam arena pemerintahan
kerajaan-kerajaan Islam al-Murabitun dan al-Muwahhidun. Tetapi setelah pemerintahan tersebut
dijatuhkan oleh kuasa Kristian, keluarga Ibn Khaldun telah mengambil keputusan untuk
meninggalkan bumi Andalus dan berhijrah ke Tunisia. Di Negara itu, keluarga Ibn Khaldun telah
medapat penghormatan yang luar biasa daripada pemerintah Tunisia di mana datuknya telah
dilantik sebagai menteri kewangan dan ayahnya pula memegang jawatan penting dalam angkatan
tentera.

Ibnu Khaldun mendapat pendidikan tradisional Islam seperti kebiasaan yang berlaku
dalam negara-negara Islam dan ayahnya adalah merupakan guru pertama yang mendidiknya
secara tradisional. Beliau mempelajari ilmu-ilmu agama seperti Fiqh, Tafsir, Hadis, dan
menghafal al-Quran serta tajwidnya. Masjid pada ketika itu menjadi pusat pembelajaran yang
efektif, dan menjadi tempat kebiasaan Ibnu Khaldun menuntu ilmu dari guru-gurunya.

Tempoh pendidikan Ibnu Khaldun ialah dalam jangka selama 18 tahun iaitu dari tahun
1332 hingga 1350 dan beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan sejumlah guru, antaranya
ialah Abu Abdillah Muhammad Ibn al-Arabi al-Hashayiri dan Abu al-Abbas Ahmad Ibn al-
Qushar dalam bidang bahasa. Dalam bidang Hadis pula beliau mempelajarinya dari Syamsuddin
Abu Abdillah al-Wadiyasyi, mengenai Fiqh dari Yalah Abu Abdillah Muhammad al-Jiyani,
manakala bidang ilmu rasional, falsafah, teologi, astronomi dan matematik beliau
mempelajarinya dari Abu Abdillah Muhammad Ibn Ibrahim al-Alibi, dan Ibnu Khaldun sangat
mengagumi gurunya yang terakhir ini.
Tunisia pada ketika itu merupakan kawasan utama berkumpulnya ulama dan sasterawan
di Maghribi. Dari ulama dan sasterawan inilah Ibnu Khaldun mempelajari bidang agama dan
beliau juga mahir dalam bidang bahasa, syair, falsafah dan mantiq. Oleh kerana keluarga dan
keturunan Ibn Khaldun mempunyai kedudukan yang tinggi, beliau berpeluang untuk menuntut
ilmu daripada guru Afrika Utara yang terbaik pada masa itu. Ibnu Khaldun memiliki ramai guru
yang berjasa dalam perkembangan intelektualnya, beliau tidak pernah bosan dengan pendidikan
dan dengan guru-gurunya, bahkan pendidikan yang diperolehinya semakin mendalam dan luas.

Dengan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi yang dimilikinya itu, Ibnu Khaldun
berjaya menceburi bidang pekerjaan dengan kerajaan Marinids di Morocco. Namun apabila
keadaan politik menjadi tidak stabil dan belaku percaturan politik hingga menyebabkan beliau
dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun. Pada tahun 1362 beliau berangkat ke Andalusia dan
berpeluang mendapat pekerjaan sebagai pegawai khas kepada Sultan Muhammad V iaitu
pemerintah Banu al-Ahmar. Semasa bertugas dengan pemerintah Granada ini Ibnu Khaldun
berjaya melaksanakan tugas dalam rundingan dengan raja Castilla dan diberi tanah yang luas
oleh pemerintah Granada. Tetapi anugerah tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang oleh
para pembesar Granada yang lain. Bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini
berlaku beliau telah meninggalkan Granada dan menuju al-Jazair.

Di sana beliau mendapat kepercayaan sultan Bougi dan menjawat jawatan sebagai
perdana menteri. Kehidupan sebagai ahli politik sememangnya terlalu banyak ujian dan cabaran,
pada ketika beliau menjadi perdana menteri juga beliau tidak terlepas dari kerencaman dunia
politik. Disebabkan itu, Ibnu Khaldun mengambil keputusan untuk bersara dari dunia politik dan
pentadbiran lalu menumpukan sepenuh perhatiannya dalam bidang penulisan di mana beliau
telah berjaya melahirkan beberapa buah buku dari hasil pengalamannya dalam pelbagai dimensi
hidup. Pada ketika itu, kecemerlangan Ibnu Khaldun dalam bidang keilmuan mula terserlah .

Pada 1382M Ibnu Khaldun telah kembali semula dalam dunia politik dan pentabiran
sebaik sahaja beliau tiba di Kaherah. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara oleh
pemerintah Mamluk. Malangnya, pemerintahan beliau tidak disenangi oleh sebahagian ahli
politik di Mesir. Menyedari situasi yang kurang baik itu beliau membuat keputusan untuk
meletak jawatan dan belayar menuju ke tanah suci Mekah pada tahun 1387 untuk menunaikan
ibadat haji. Beliau sekali lagi ditawarkan jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan di
Timurlane kerana kejayaan beliau dalam rundingan antara kerajaan mamluk dan timurlane
namun beliau menolak tawaran tersebut dengan hormat dan pulang ke Mesir.

Setelah pulang ke Mesir beliau dilantik semula menerajui jawatan Ketua Hakim Negara
di mana beliau kekal dengan jawatan tersebut hingga tahun 1400M. Selepas itu beliau
menumpukan kegiatannya dalam bidang akademik dan penulisan sehingga ke penghujung
hayatnya. Ibnu Khaldun meninggal pada Ramadhan 808H bersamaan 1406H ketika berusia 74
tahun. Jenazahnya telah disemadikan di tanah perkuburan al-Sufiyyah yang terletak di pinggir
kawasan penempatan awam Bab al-Nasr, Kaherah.

Minat beliau kearah penulisan adalah cetusan daripada pengalaman dan pembelajaran
beliau dalam disiplin-disiplin ilmu dan pengetahuan semasa, khusus dalam bidang politik. Hasil
gabungan di antara ilmu dan pengalaman ini menyebabkan beliau lebih peka dengan makna dan
pengertian sejarah. Tambahan pula pada masa itu umat Islam sedang mengalami kemerosotan
kuasa akibat daripada ancaman dari Barat. Oleh itu peradan Islam semakin terancam. Keadaan
ini telah membangkitkan semangat beliau untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam
tentang serti dan maksud tamadun yang sebenar berdasarkan perubahan-perubahan yang berlaku
dalam sejarah manusia.

Kecemerlangan Ibnu Khaldun dalam penulisan ialah ketika umurnya menjangkau 45


tahun, pada ketika ini pengetahuannya sudah matang dan dimensi persepsinya semakin meluas.
Pemikiran yang banyak mempengaruhi penulisan Ibnu Khaldun antaranya ialah Lisanuddin Ibnu
al-Khatib yang merupakan salah seorang penyair dan penulis Andalusia. Karya al-Khatib yang
berjudul al-Ihathah fi Akhbari Gharnathah iaitu tentang sejarah Granada telah memberikan
inspirasi kepada Ibnu Khaldun semasa menulis (Fathiyah Hasan Sulaiman, 1987). Pemikiran
falsafah beliau pula sangat terkesan dengan tokoh hujjatul Islam iaitu al-Ghazali walaupun
hakikatnya al-Ghazali sangat menentang keras pemikiran rasional dan logik namun Ibnu
Khaldun begitu menghargai sumbangan beliau.

Ibnu Khaldun dilihat sebagai pemikir Islam yang mencipta metod penulisannya sendiri,
yang belum pernah digunakan oleh orang lain sebelumnya. Beliau menyampaikan idea beliau
dengan menggunakan pendekatan pada fakta-fakta sejarah Islam. Penulisannya yang terawal
ialah Kitab al-Ibar wa diwan al-Mubtada‟ wa al-Akhbar Fi Ayyam al-Arab wa al-Ajam wa al-
Barbar wa man Asarahum Min Dhawi al-Sultan al-Akhbar ia merupakan penulisan Ibnu Khaldun
yang panjang mengenai sejarah umat Islam. Bahagian awal dari kitab ini yang dinamakan
Muqaddimah sebenarnya merupakan buku pengantar bagi karyanya yang pertama. Namun
melihat kepada pentingnya isi kandungan karya ini maka ia dipisahkan dari buku pertama. Ia
jelas membicarakan suatu ilmu yang baru dan dirangkumkan menjadi ilmu politik, falsafah
sejarah dan sosiologi.

Sebahagian besar sejarah yang ditulis orang sebelumnya disusun secara kronolgi iaitu
susunan tahun demi tahun, kejadian-kejadian sejarah yang terjadi di dalam satu tahun atau
tempoh tertentu dikumpulkan menjadi satu walaupun tempat kejadian berbeza dan tidak ada
hubungan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Namun Ibnu Khaldun menulis
sejarahnya dengan cara baru iaitu terbahagi kepada beberapa bahagian yang masing-masing
berhubungan antara satu dengan yang lain. Beliau juga menulis sejarah tiap negara dengan
terperinci sejak dari permulaan hingga penutup. Ia jelas menunjukkan kecerdikan beliau dalam
menyusun peristiwa, mencari kaitan dan tekun dalam mengatur bab demi bab serta bijak dalam
mengolah isi yang ingin disampaikan kepada pembaca.

1.5.2 Falsafah Sejarah Ibnu Khaldun

1) Perbahasan Ibar

Kata kunci dalam penulisan buku Ibnu Khaldun yang bertajuk Kitab al-Ibar wa diwan al-
Mubtada‟ wa al-Akhbar Fi Ayyam al-Arab wa al-Ajam wa al-Barbar wa man Asarahum Min
Dhawi al-Sultan al-Akhbar seolah-olah mengandungi beberapa isyarat dan ibarat yang bukan
„sejarah‟ iaitu perkataan Ibar. Perkataan ini bermakna melalui, melepasi, melintasi, melangkaui
dan semua perbuatan ini biasanya dikaitkan dengan tebing atau tembok sebatang sungai atau
gaung. Dengan kata lain ia bermakna mengembara, merentasi, melepasi dan menembusi dari luar
ke dalam sesuatu.

Hanya setelah melihat keseluruhan penggunaan perkataan ibra, sejarah dan aplikasinya
dalam pelbagai bidang barulah Ibnu Khaldun memilih perkataan itu sebagai kunci bagi tajuk
penulisan, isi kandungan dan tujuan buku itu dapat difahami dan menjadi jelas. Beliau
membezakan penulisannya sebagai sebuah buku sejarah daripada semua buku sejarah yang lain.
Ibar membincangkan aspek luaran dan dalam sejarah, ia dibangunkan daripada kesedaran Ibnu
Khaldun tentang keperluan sifat kritis terhadap maklumat sejarah dan mencari sifat sebenar dan
sebab kepada peristiwa sejarah dengan cara yang terperinci dan tersusun.

Tujuan utama Ibnu Khaldun bukan hanya untuk menceritakan sejarah, tetapi juga untuk
menembusi peristiwa sejarah. Beliau ingin mempelajari sesuatu daripada sejarah dan bukan
hanya membacanya semata-mata. Beliau menafsirkan sejarah dan mendedahkan rahsianya
melalui perbandingan, pemahaman teori dan analisis sifat dan sebab peristiwa sejarah.

Apabila membincangkan sejarah dengan cara ini, peristiwa sejarah dari aspek luaran
bukan lagi menjadi tujuan utama atau matlamat kepada penyelidikannya. Tetapi itu hanyalah
membekalkan sesuatu untuk membentuk tafsiran dan peraturan umum yang ada di sebalik
peristiwa tersebut. Ibra menjadi jambatan yang merentasi antara peristiwa sejarah dan sifat serta
sebab dan kembali kepada peristiwa. Maka ibra juga boleh diertikan dengan penaakulan dan
kefahaman dengan penerangan tentang peristiwa sejarah melalui pemahaman yang telah
difahami oleh akal.

2) Sosiologi

Penulisan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah ini terbahagi kepada 3 bahagaian besar iaitu
pertama perbicaraan tentang historiografi, prinsip dan dasarnya dengan disertakan kesalahan-
kesalahan yang sering dilakukan oleh sejarawan Arab. Bahagian yang kedua pula tentang
perbicaraan tentang budaya, peradaban dan interaksi masyarakat. Manakala pada bahagian akhir
yang ketiga ialah tentang insititusi keilmuan dan ilmu-ilmu yang berkembang hingga abad ke 14
(Ahmad Syafii, 1996 : 24)

Menurut prof. Charles Issawi falsafah sejarah yang dicetuskan oleh Ibnu Khaldun
tertumpu kepada 2 unsur utama iaitu manusia dan masyarakat yang lebih mudah disebut ilmu
sosiologi. Beliau mengkaji perubahan pada perlakuan manusia yang akan menggambarkan punca
kejatuhan atau kebangkitan sesuatu peradaban (Baharuddin Ahmad, 2009). Hal ini penting
kerana manusia merupakan paksi kepada masyarakat, dan secara logiknya baik buruk manusia
itu telah dipengaruhi atau akan mempengaruhi masyarakatnya. Oleh sebab itu Ibnu Khaldun
membicarakan perkembangan masyarakat secara umum yang secara semula jadinya sudah
mempunyai ciri-ciri ketamadunan.

Ini dibuktikan dengan suatu usaha pembahagian fokus perbahasan dalam penulisan beliau yang
dilakukan oleh prof. Charles Issawi yang telah membahagikannya kepada 6 bahagian, iaitu :

1) Mengenai pola hidup masyarakat manusia berdasarkan bentuk geografi yang berbeza.

2) Mengenai kehidupan masyarakat Badwi yang sentiasa berpindah randah dari suatu
tempat ke suatu tempat yang lain

3) Mengenai konsep kenegaraan, politik dan kefahaman metafizik.

4) Mengenai situasi masyarakat Hadhari serta perkembangan bandar-bandar dalam


wilayah pentadbiran Islam.

5) Mengenai perkembangan sektor ekonomi serta ruang lingkupnya termasuk pertanian,


perdagangan, perindustrian dan sektor perburuhan.

6) Mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dan kesannya terhadap umat manusia serta
proses perkembangannya di Negara Islam.

Dalam pandangan Islam tingkah laku manusia sebenarnya banyak dipengaruhi oleh
faktor persekitaran. Ia merupakan faktor luaran yang boleh memberi kesan terhadap tingkah laku
manusia sama ada akan melakukan kebaikan mahupun kejahatan. Antara faktor persekitaran
yang mempunyai peranan besar terhadap tingkah laku manusia ialah pendidikan awal kanak-
kanak, pengaruh kemewahan dan kepentingan material serta perngaruh iklim terhadap tingkah
laku manusia.

Dalam membincangkan tentang pendidikan kanak-kanak Ibnu Khaldun menyarankan


supaya ibu bapa seharuskan menyediakan pendidikan agama kepada anak-anak. Pendidikan ini
haruslah dimulakan dengan mengajarkan al-Quran kerana apa yang disebatikan dalam jiwa anak-
anak pada peringkat awal ini akan menjadi asas dan tapak kepada pembentukan malakah (bakat)
dan tabiat anak-anak. Pelajaran al-Quran dapat mengukuhkan aqidah Islam dan juga merupakan
faktor penentu kepada keberkesanan pendidikan yang diterima oleh anak-anak (Ibnu Khaldun,
1993). Selain itu Ibnu Khaldun turut menyarankan supaya anak-anak diberikan pendidikan
dengan teknik pengajaran yang berkesan bagi memastikan tabiat dan bakat anak-anak yang ingin
dibentuk dapat dicapai dengan sempurna. Kaedah pengajaran ini haruslah berbeza mengikut
keperluan masyarakat setempat agar ilmu yang diberikan kepada mereka tidak menimbulkan rasa
bosan dan mereka mudah untuk mengamalkan ilmu tersebut.

Peranan yang kedua yang menjadi pengaruh terhadap tingkah laku manusia ialah
pengaruh kemewahan dan kepentingan material. Bagi Ibnu Khaldun kemewahan daripada aspek
positif merupakan perkara yang harus dikejar oleh manusia bagi menjamin kelangsungan hidup
manusia di dunia ini. Ini membuktikan bahawa Ibnu Khaldun tidak menghalang manusia untuk
mengejar kemewahan dunia tetapi ia mestilah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup manusia
dan meningkatkan pendapatan sesebuah negara seperti penglibatan manusia dalam bidang kraf
tangan, pertukangan, pertanian dan sebagainya. Tetapi beliau turut menerangkan kemewahan
dari aspek negatif iaitu kemewahan yang tidak mendatangkan keuntungan kepada manusia malah
mendatangkan mudarat kepada individu, masyarakat dan juga negara umpamanya sikap
mengejar kemajuan material tanpa disandarkan kepada sifat kehambaan kepada Pencipta. Beliau
juga menerangkan implikasi yang terjadi apabila manusia menjadikan kemewahan dan
kepentingan material sebagai objektif utama, maka keadaan ini akan melemahkan masyarakat
dan Negara kerana masing-masing sudah mempunyai perasaan tamak, sifat membazir, sifat
bakhil dan segala yang negatif di dalam kehidupan.

Faktor pengaruh iklim juga turut mempengaruhi tingkah laku manusia menurut Ibnu
Khaldun. Melalui pemahaman beliau terhadap perubahan cuaca, beliau telah menghuraikan
pandangannya tentang pengalaman manusia dan cuba memahami fitrah manusia dan tingkah
laku mereka. Sekiranya sebuah tempat mengalami iklim sederhana, maka beliau menggambarkan
keadaan kehidupan masyarakat itu dalam suasana harmoni. Karakter manusia dan keadaan ini
digambarkan dengan tanah yang subur, perumahan yang teratur serta terdiri dari bahan binaan
yang baik dan sebagainya. Bagi penduduk yang mengelami iklim yang terlampau panas atau
sejuk beliau menggambarkan watak bangsa ini lebih cenderung kepada perwatakan buas. Mereka
juga mengalami tamadun yang agak mundur iaitu menetap di gua, hutan belukar, serta tidak
bergaul antara satu sama lain. Beliau juga membuat perkaitan antara iklim dan akhlak manusia
yang memberi impak terhadap cita rasa dan minat masyarakat. Hal ini dapat dilihat dengan reka
bentuk bangunan yang mengambil kira iklim dan cuaca setempat. Reka bentuk ini kemudiannya
disesuaikan dengan cita rasa dan minat masyarakat, maka ia bermakna cita rasa manusia perlu
akur kepada iklim.

3) Pendekatan Kaedah Rasional

Ibnu Khaldun menggunakan kaedah rasional dalam mengkaji tingkah laku manusia dalam misi
untuk mengetahui sifat maklumat sejarah yang sampai kepadanya. Kaedah ini membuatkan
beliau mengulas tentang ideanya tanpa banyak kaitan dengan perundangan dan prinsip Islam.
Untuk memberi penerangan umum terhadap konteks rasional ini, beliau menekankan 2 ciri
utama, pertama ialah kesesuaian laporan sejarah dan kedua penetapan sifat sesuatu perkara.

a) Kesesuaian Laporan

Pada permulaan karyanya, Ibnu Khaldun menyatakan bahawa beliau menumpukan kajian untuk
melihat semula sejarah melalui analisis terhadap kuasa sosial, sebab dan akibat. Beliau sekali
kali tidak akan menggunakan cara yang sama seperti sejarawan terdahulu yang hanya bergantung
kepada laporan semata-mata tanpa menilai kandungan dan kebolehlaksanaan peristiwa yang
berlaku. Bahkan beliau mahu mengkaji semula peristiwa sejarah melalui konteks analis is
rasional.

Beliau menggunakan terma tabiat ( „ada ) dan prinsip tabiat ( usul al-„ada ) dan kedaulatan
politik ( qawa‟id al-sasa ) untuk menyampaikan idea dan menggunakan akal untuk menilai
kebenaran dalam sejarah. Ibnu Khaldun juga tidak mempercayai maklumat sejarah yang
disampaikan tanpa terlebih dahulu membandingkannya dengan perkara lain yang mengelilingi
maklumat sejarah tersebut. Ia adalah suatu cara untuk menilai kemungkinan kejadian sejarah itu
sama ada benar atau sebaliknya.

Contoh yang berkaitan dalam situasi ini ialah tentang bilangan orang Israel apabila mereka tiba
dari padang pasir. Mas‟udi dan sejarawan yang lain melaporkan bahawa ia berjumlah 600,000
atau lebih lelaki dewasa, berusia 20 tahun atau lebih. Berdasarkan Ibnu Khaldun, jumlah i ni telah
diperbesar-besarkan. Beliau mengetengahkan pelbagai hujah untuk menyokong pendapatnya
dengan menggunakan analisis rasional. Antara hujah yang digunakan beliau ialah hujah tentang
strategi peperangan, sepasukan tentera seramai itu secara rasionalnya tidak boleh berjaya dalam
peperangan. Selain itu hujah berdasarkan ilmu genealogi turut digunakan iaitu dengan
menyatakan bahawa Musa hanyalah generasi keempat selepas Ya‟kub, dan tidak ada manusia
yang boleh berlipat kali ganda bilangannya dengan terlalu cepat dalam tempoh empat generasi.
Beliau terus menggunakan contoh ini sebagai asas kritikan terhadap kelemahan sikap ahli sejarah
yang kurang berfikir dan kurang kajian yang menggalakkan penerimaan terhadap pemalsuan.

Di sini dapat kita lihat bahawa Ibnu Khaldun bukan hanya mengulas tentang kesesuaian
maklumat sejarah itu untuk berlaku, namun beliau membuat pertimbangan dengan kaedah
rasional dan ilmu genealogi untuk mendokong hujahnya. Beliau juga mengesahkan pendiriannya
dalam melihat semula sejarah tersebut. Di dalam contoh yang lain beliau mengkritik maklumat
sejarah yang disampaikan secara keterlaluan seperti jumlah kutipan cukai dan perihal tentera
dinasti. Beliau berhujah antara sebab berlakunya kenyataan berlebih-lebihan itu ialah kerana
masyarakat lebih berminat mendengar keajaiban dan berita yang luar biasa. Oleh sebab itu semua
maklumat dan catatan sejarah mesti disiasat dan diperiksa.

Ini membuktikan bahawa Ibnu Khaldun menggunakan kaedah rasional yang berasaskan kepada
kesesuaian dan pertimbangan yang wajar terhadap sesuatu maklumat sejarah yang sampai
kepadanya.

b) Penetapan sifat sesuatu perkara

Bagi Ibnu Khaldun, peristiwa sejarah adalah hasil daripada sifat dan sebab yang menjadi asas
utama. Untuk mengenal pasti sesuatu sejarah, beliau mengambil langkah yang cermat dan teliti
dengan meneroka sebab yang memungkinkan kemunculan peristiwa. Sebagai contoh kajian
terhadap kemunculan sesuatu kerajaan, beliau meneroka semangat perpaduan kumpulan yang
dipanggil „asabiyah yang menjadi sebab kepada kemunculan mana-mana kerajaan dan seterusnya
mewujudkan sebuah negara.
Namun beliau menyatakan semangat perpaduan ini juga boleh menjadi sebab kepada kejatuhan
sesuatu kerajaan dan negara apabila mengubah haluan dan menjadikan „asabiyah sebagai objektif
perjuangan mereka. Ringkasnya, faktor „asabiyah itu boleh jadi positif jika ia digunakan pada
jalan yang baik, tetapi ia juga boleh bertukar menjadi negatif apabila digunakan pada jalan yang
keji. Dan sifat „asabiyah yang keji itulah yang sebenarnya dilarang sama sekali oleh agama
Islam.

4) Kitaran Tamadun

Dalam menghuraikan perkembangan sesebuah tamadun, Ibnu Khaldun telah mengemukakan satu
teori yang dikenali teori kitaran. Teori ini berlaku dalam tiga generasi atau peringkat dan setiap
generasi mengambil tempoh paling maksimum iaitu 40 tahun. Oleh itu tempoh terpanjang bagi
satu kepimpinan tamadun menurut Ibnu Khaldun adalah memakan masa selama 120 tahun.
Analisis beliau terhadap perkembangan tamadun bukan berdasarkan pandangan peribadinya
malah dalam al-Quran telah dijelaskan bahawa proses kitaran tersebut sebagai satu Sunnah yang
bersifat pasti berlaku bagi tujuan untuk membersihkan anasir tidak baik dan memberi harapan ke
arah perjuangan dan jihad kebaikan atau dengan istilah lain ia bersifat al -Hatmiyyah al-
Tafa‟uliyyah iaitu yang bermaksud kemestian jatuh untuk harapan bangun.

Proses ini berkaitan dengan elemen perubahan, iaitu akan berlaku perubahan pada nilai dan
perlaksanaan kerja ke arah kebaikan untuk kebangkitan pada sebuah kaum dan pada masa yang
sama terdapat perubahan kepada nilai dan budaya kerja yang buruk pada kumpulan yang mana
akan mengakhiri tempoh kepimpinannya dan kecemerlangan tamadunnya. Surah al-Maidah ayat
54 menyatakan :

“Wahai orang-orang yang beriman ! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi
murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia cintai dan kaum tersebut
mencintai Allah, mereka adalah orang-orang yang lemah lembut kepada sesama orang mukmin
dan sangat kuat -ditakuti- oleh orang-orang kafir. Mereka berjihad dijalan Allah, dan mereka
tidak takut terhadap cacian orang yang mencaci.”

Ayat ini menjelaskan tentang kebangkitan sesuatu masyarakat atau tamadun untuk berada di
puncak kekuasaan dan kecemerlangan akibat berlaku perubahan ke arah kebaikan dan
penghayatan kepada nilai positif dari sudut persaudaraan, perpaduan, komitmen, dan daya usaha
kerja. Dalam masa yang sama terdapat kumpulan yang berada di kemuncak kepimpinan sedang
berubah ke arah nilai buruk, rendah dan negatif.

Kronologi kejatuhan tamadun Ibnu Khaldun turut dijelaskan oleh Syed Omar bahawa ia bermula
dengan keinginan manusia yang sering mengejar kesenangan dan kemewahan dalam kehidupan
mereka dan seterusnya akan menghasilkan krisis keruntuhan moral. Manakala faktor terakhir
yang turut menjadi punca kejatuhan tamadun adalah berpunca daripada krisis kewangan yang
melanda sebuah pemerintahan akibat dari sikap pemerintah yang suka membazir dan tidak
pandai mengurus kewangan negara.

5) Umran Sebagai Asas Falsafah Sejarah Islam

Al-Umran merupakan istilah yang diperkenalkan oleh Ibnu Khaldun bagi menggambarakan
perkembangan sesebuah masyarakat yang tinggal secara menetap di dalam sebuah bandar yang
memiliki prasarana yang lengkap. Dengan itu, sistem kehidupannya dilihat berbeza dengan
kehidupan masyarakat badwi yang sentiasa berpindah-randah dari suatu kawasan ke suatu
kawasan yang lain. Ini bermakna masyarakat yang tidak mempunyai bandar tidak dianggap al -
Umran.

Dengan itu apabila bandar menjadi paksi utama al-Umran, maka keseluruhan ciri kehidupan
bandar itu perlu dikaji dan dianalisis secara menyeluruh, terutama pada sistem nilai, politik dan
ekonomi yang menjadi faktor pemisah paling asas di antara masyarakat bandar dan desa. Di
dalam penulisannya beliau telah menjelaskan secara terperinci tentang perbezaan aspek yang
wujud di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar sama ada dari sudut budaya, politik dan
juga ekonomi.

Ciri terbesar yang dibahas kan oleh Ibnu Khaldun dalam al-Umran ialah ciri ekonomi kerana ia
merupakan aktiviti semua lapisan masyarakat. Adapun aspek lain seperti politik hanya
melibatkan sebahagian lapisan masyarakat sahaja kerana kegiatan politik pada masa itu masih
mengamalkan system monarki. Menurut beliau manusia itu secara semula jadinya adalah terikat
dengan kegiatan ekonomi. Kerana kehidupan manusia itu memerlukan kegiatan ekonomi untuk
memenuhi keperluan hidup manusia.
Maka serentak dengan bermulanya kegiatan ekonomi itu, wujudlah permasalahan yang berpunca
daripada sektor tersebut dan seterusnya menggoncang keharmonian hidup manusia. Oleh sebab
itu, Ibnu Khaldun berpendapat bahawa masalah harta sering menimbulkan pergeseran di
kalangan manusia Malah perkara yang sama juga yang berlaku di dalam dunia Barat hingga
timbul kepercayaan bahawa faktor ekonomi merupakan punca segala permasalahan dan
peperangan yang berlaku dalam masyarakat mereka seperti yang diutarakan oleh Karl Marx
melaui bukunya De Capital

Lalu falsafah sejarah mula mengambil tempat setelah berlakunya peristiwa pergaduhan di
kalangan umat manusia akibat berebut sumber kekayaan. Ibnu Khaldun mengaggap ekonomi
sebagai salah satu faktor penentu terhadap kemajuan atau kemunduran serta jatuh bangunnya
sesebuah Negara atau tamadun.

Hakikat ini didasarkan kepada fakta sejarah yang berlaku di kebanyakan negara Islam di mana
ternyata rakyat umum yang terpinggir daripada menikmati ekonomi tentunya tidak akan prihatin
dengan permasalahan politik yang dihadapi oleh golongan pemerintah kerana mereka tidak
merasakan tautan kasih antara mereka dengan pemerintah. Dengan kata lain pemimpin yang
hanya mementingkan diri sendiri akan disisih dan dipinggirkan oleh rakyat terutama apabila ia
menghadapi tekanan daripada musuh. Ketika itu barulah timbul rasa penyesalan, tetapi ia sudah
terlambat kerana kehancuran sudah berada dihadapan.

1.5.3 Kesalahan Sejarawan Dalam Penulisan Sejarah

Tujuan terpenting yang mendorong Ibnu Khaldun melakukan pembaharuan di dalam melakukan
penulisan sejarah adalah kerana munculnya keinginan untuk membebaskan
perbahasanperbahasan sejarah dari maklumat dan sumber yang tidak benar disamping dorongan
untuk menarik ilmuan Islam untuk masuk ke dalam penulisan sejarah, untuk dapat membezakan
beritaberita yang tidak benar dengan berita-berita yang jujur dan benar. Oleh itu beliau telah
menyenaraikan kekeliruan atau kesalahan yang sering dilakukan oleh sejarawan terdahulu untuk
dijadikan peringatan oleh ahli sejarah pada masa akan datang.

1) Semangat berbentuk kumpulan, parti atau kekitaan kepada suatu kepercayaan atau pendapat.
Apabila seseorang mempunyai fikiran yang jernih dalam menerima suatu keterangan, dengan
pantas dapat menyiasat dengan kemas bagi memisahkan kebenaran daripada kesalahan. Namun
apabila pemikiran itu sudah bias kepada sesuatu pihak atau kumpulan maka dengan serta merta
akan menerima keterangan atau huraian yang menguntungkan golongan atau kumpulannya dan
menolak semua yang dilihat sebagai merugikan. Realiti ini akan menutup kemungkinan adanya
upaya untuk menyiasat secara jujur, dan rasional.

2) Terlalu percaya kepada sumber-sumber dari seseorang, tanpa mempertimbangkan hujah-hujah


yang berbeza dan menyiasat secara serius, akhirnya kebohongan yang ada boleh dianggap
sebagai sumber kebenaran kerana sifat percaya kepada sumber tersebut.

3) Seseorang tidak mampu memahami apa yang dimaksudkan. Seseorang hanya akan
membenarkan apa yang difikirkan bukan apa yang sebenarnya berlaku daripada apa yang
didengar mahupun apa yang dilihat.

4) Kepercayaan yang salah kepada kebenaran. Pada umumnya ini boleh terjadi kerana seseorang
terlalu percaya kepada sumber-sumber daripada seseorang. Maklumat yang ada kemungkinan
tidak benar, tidak lengkap atau tidak menyeluruh.

5) Ketidakmampuan seseorang menempatkan sesuatu kejadian dalam hubungan rentetan


kejadian yang sebenarnya. Hal ini boleh terjadi kerana pemerhatian yang kabur terhadap
keadaan. Ekorannya, kejadian yang utama menjadi tidak bermakna kerana diletakkan dalam
urutan yang keliru. Sebaliknya peristiwa yang tidak bererti menjadi demikian penting kerana
diletakkan sebagai peristiwa strategi dan bermakna.

6) Mempunyai keinginan untuk mengambil hati pihak-pihak yang berkuasa atau berkedudukan
tinggi. Umpamanya seseorang memuji-muji dan memandang baik segala perbuatan dan
memberikan tafsiran yang menguntungkan dan menyiarkan kebaikan yang telah dilakukan oleh
seseorang yang berkuasa. Dengan menanam perlbagai kebaikan tersebut, seseorang pencatat
sejarah tadi akan mendapat imbuhan yang diperlukan bagi keselesaan walaupun dengan
mengorbankan makna kebenaran yang ada.

7) Faktor terpenting bagi Ibnu Khaldun adalah ketidaktahuan seseorang tentang hukum-hukum
mengenai perubahan masyarakat umat manusia. Sebab setiap sesuatu di alam ini, baik berupa
benda ataupun perbuatan, akan tunduk kepada hukum tersebut. Bila seorang pakar sejarah
memahami hukum tersebut dengan mudah dia boleh memahami perubahan-perubahan yang
berlaku.

Sikap yang tidak mengenal letih untuk melakukan pembaikan-pembaikan daripada gagasan
mahupun tulisannya dapat dikaji dari dua lagi huraiannya mengenai dua perkara yang
menyebabkan penulisan sejarah menjadi terpesong. Pertama ialah sikap yang gemar
membesarbesarkan suatu perkara dan yang kedua pengabaian perubahan yang terjadi yang selari
dengan adanya perubahan zaman dan manusia.

Berdasarkan kepada usaha-usaha Ibnu Khaldun ini ada yang menyatakan bahawa pandangan
Ibnu Khaldun ini memang bernas dan merupakan sebuah landasan yang paling baik bagi
menghasilkan sesebuah karya sejarah yang sepenuhnya objektif (Muhammad Yusof
Ibrahim,1986). Dikatakan juga kebolehan Ibnu Khaldun dalam mengendalikan teori persejarahan
adalah lebih cermat, jitu dan sistematik serta mudah difahami dan dilaksanakan (Mahayudin
Yahya, 1988).

1.6 Kesimpulan

Dapat disimpulkan bahawa falsafah sejarah adalah kajian mengenai peristiwa serta permasalahan
yang wujud dalam masyarakat yang kebanyakannya berpunca daripada tindakan manusia itu
sendiri. Hakikat ini dipaparkan secara jelas dalam kitab-kitab sejarah tentang jatuh bangun
manusia dan masyarakat. Malah sebab kejatuhan juga diberi penjelasan dan boleh diambil iktibar
kepada sesiapa yang membaca dan memahaminya. Maklumat yang diperoleh tentang Ibnu
Khaldun jelas menunjukkan bahawa beliau adalah ahli sejarah yang patut dikagumi kerana
keaslian, ketulenan, keluasan dan kematapan pemikirannya semasa mencipta suatu bentuk sains
baru iaitu sains social untuk memahami sejarah dan tamadun dunia.

Ibnu Khaldun merupakan ahli sejarah yang kritis yang telah Berjaya menggabungkan pelbagai
disiplin ilmu sains social, falsafah dan agama dalam bentuk kesatuan sejarah. Sesungguhnya asas
pemikiran sejarah Ibnu Khaldun adalah berpunca daripada ajaran-ajaran alQuran, kerana beliau
mengasaskan teorinya kepada tindak tanduk dan perkembangan manusia atau masyarakat. Al -
Quran yang merupakan sumber utama sejarah Islam juga menganggap manusia sebagai watak
utama dalam pementasan sejarah.

Rujukan

A. Mukti Ali. 1976. Filsafat Islam Tentang Sejarah. Jakarta: Penerbit Tintamas.

Abdul Hameed Siddiqui. 1955. A Philosophical Interpretation of History. Lahore: Idara


Nashriyat-I-Islam.

Ahmed Ibrahim Abushouk. 2003. Ibn Khaldun and Muslim Historiography. Malaysia: IIUM
Reseach Centre.

Ahmad Sunawari Long. 2015. Falsafah Ibnu Khaldun. Malaysia: Institut Terjemahan & Buku
Malaysia.

Aziz al-Azmeh. 1981. Ibnu Khaldun in Modern Scholarship. London: Third World Centre for
Research & Publishing.

Fuad Baali. 1978. Ibn Khaldun’s Science Human Culture. New Delhi: S. Sajid Ali.

Gilbert J. Garraghan. 1946. A Guide to Hostorical Method. United States: Fordham University
Press.

Ismail Bakar. 2009. Falsafah Sejarah Islam. Bangi: UKM

Mahayudin Haji Yahaya & Muhd. Yusof Ibrahim. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan
Ketokohan dan Karya. Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd Yusuf Ibrahim. 1975. Pengertian Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhsin Mahdi. 2014. Falsafah Sejarah Ibnu Khaldun : Kajian Tentang Dasar Falsafah Ilmu
Budaya. Malaysia: ITBM.
Osman Bakar & Baharudin Ahmad. 2009. Ibn Khaldun’s Legacy And Its Significance. Malaysia:
ISTAC

Robert Jones Shafer. 1974. A Guide to Historical Method. Dorsey.

S.M.A Imam. 2000. Some aspects of Ibn Khaldun’s Socio-Political Analysis of History. Delhi :
Khureji Khas.

Syed Muhammad Naguib al-Attas. 1972. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
Malaysia: UKM

Ulis Dwi Wardani. 2009. Studi Mengenai Pemikiran Ibnu Khaldun Dalam Penulisan Sejarah
Tahun 1374-1382 M. Disertasi. Surakarta: Universitas Sebelas Maret.

W.J Van Der Dussen. 1991. Philosophy of History and Culture.New York: Leiden.

_____.2009. Al-Quran dan Terjemahannya. Malaysia : Khazanah Rabbani Publisher.