PENDEKATAN PSIKO-PENDIDIKAN DALAM MENINGKATKAN PENCAPAIAN
AKADEMIK PELAJAR ASRAMA DI DAERAH PEDALAMAN SARAWAK
Aizuddin Ghazali, Zuria Mahmud
Abstrak
Psikopendidikan merupakan salah satu cabang dalam kaunseling kelompok yang
menawarkan pelbagai maklumat dan informasi berkaitan pendidikan, vokasional, peribadi dan lain-lain kepada semua ahli kelompok dalam usaha meningkatkan kesedaran serta membimbing mereka untuk mengambil langkah yang terbaik bagi situasi yang sedang dihadapi. Kajian ini membentangkan mengenai pengalaman pengkaji yang telah menjalankan program psikopendidikan terhadap 7 orang murid tahun 6 di salah sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman Sarawak. Pelajar-pelajar ini dipilih oleh Guru Besar sekolah tersebut yang amat risau akan prestasi mereka dalam peperiksaan sebenar UPSR. Justeru beliau mengharapkan dengan penglibatan murid-murid dalam program psikopendidikan yang dijalankan oleh pengkaji, mereka dapat melengkapkan diri bagi menghadapi peperiksaan. Program psikopendidikan ini mempunyai 6 modul yang dikendalikan dalam 6 sesi kelompok. Modul-modul yang diketengahkan merangkumi aktiviti mengenal kekuatan diri, menguruskan masa, mencari sumber inspirasi kejayaan, menyelesaikan ‘unfinished business’, menstruktur jadual harian serta penetapan sasaran yang ingin dicapai. Sepanjang sesi ini dijalankan pengkaji berjaya merekodkan cara pelajar menguruskan masa mereka, mengenalpasti insan yang menjadi sumber kekuatan untuk menggapai kejayaan, seterusnya kebolehan mereka untuk mengatur strategi bagi memaksimumkan pencapaian dalam akademik. Di akhir program, semua pelajar menyatakan penglibatan mereka dalam program psikopendidikan berjaya mengubah cara berfikir dan lebih yakin dengan potensi diri mereka untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Dalam peperiksaan sebenar UPSR, 6 orang pelajar yang mengikuti program ini telah mendapat keputusan lulus penuh dan seorang pelajar hanya gagal dalam 1 matapelajaran berbanding keputusan mereka sebelum mengikuti program ini.
Kata Kunci : Psikopendidikan, Kaunseling Kelompok, UPSR