You are on page 1of 4

Sejarah China tercatat dalam rekod-rekod sejarah tradisional yang wujud sejak dari zaman Tiga

Tokoh Mulia dan Lima Maharaja pada sekitar 5,000 tahun dahulu, dan disokong oleh rekod-
rekod arkeologi yang wujud sejak abad ke-16 SM. China merupakan salah satu tamadun
berterusan yang tertua di dunia. Kulit kura-kura dengan tanda-tanda yang membangkitkan
kenangan tulisan Cina kuno daripada Dinasti Shang wujud pada sekitar 1500 SM, mengikut
pentarikhan karbon. Peradaban Cina berasal daripada negara-negara kota di lembah Sungai
Kuning. Tahun 221 SM biasanya diterima sebagai tahun ketika China disatukan di bawah sebuah
kemaharajaan besar atau empayar. Dinasti-dinasti berturut-turut dalam sejarah China telah
mengembangkan berbagai-bagai sistem birokrasi untuk membolehkan maharaja China
menguasai wilayah yang besar.

Asas-asas tamadun Cina terdiri daripada pengenaan sistem tulisan yang sama oleh maharaja
Dinasti Qin pada abad ke-3 SM serta perkembangan ideologi negara berdasarkan
Konfusianisme pada abad ke-2 SM. China mengalami zaman-zaman yang berselang-seli antara
perpaduan dan perpecahan, dengan kekadangnya penaklukan oleh orang-orang asing.
Sebilangan penakluk diasimilasi ke dalam kaum Cina. Pengaruh-pengaruh kebudayaan dan
politik dari banyak bahagian di Asia membawa gelombang-gelombang penghijrahan, peluasan,
dan asimilasi yang berturut-turut untuk mencipta sebuah kebudayaan Cina.

Daripada pemburu-pengumpul kepada petani


Apa yang kini merupakan China dihuni oleh Homo erectus melebihi sejuta tahun dahulu. Kajian
yang baru-baru ini menunjukkan bahawa alat-alat batu yang ditemui di tapak Xiaochangliang
telah wujud sejak 1.36 juta tahun lagi, menurut pentarikhan magnetostratigraf. Tapak arkeologi
di Xihoudu, Provinsi Shanxi merupakan rekod terawal tentang penggunaan api oleh Homo
erectus dan ditetapkan tarikhnya sebagai 1.27 juta tahun dahulu. Ekskavasi-ekskavasi di
Yuanmou dan kemudiannya di Lantian menunjukkan penghunian awal. Spesimen Homo erectus
yang termasyhur yang ditemui di China pada tahun 1923 ialah apa yang telah digelar Lelaki
Peking. Dua buah bekas tembikar yang digali di Gua Liyuzui yang terletak di Liuzhou, Provinsi
Guangxi masing-masing wujud sejak 16,500 SM dan 19,000 SM. Bukti terawal untuk
penanaman sekoi menetapkan tarikhnya pada sekitar 7000 SM. Alat-alat muzik yang boleh
dimain, peringkat terawal sistem tulisan bahasa Cina (masih diperdebatkan) dan pengeluaran
wain terawal di dunia telah ditemui di tapak Jiahu. Jiahu merupakan peringkat terawal
kebudayaan Peiligang di kaunti Xinzheng, Henan, dan hanya 5% telah diekskavasi sehingga
tahun 2006. Dengan pertanian datangnya banyak penduduk, dengan keupayaan menyimpan
dan mengagih-agihkan tanaman mendukung para tukang dan pentadbir. Pada lewat zaman
Neolitik, lembah Sungai Kuning mula memperkukuh kedudukannnya sebagai suatu pusat
kebudayaan, dengan desa-desa pertama ditubuhkan. Desa-desa yang paling penting dari segi
arkeologi ialah desa-desa yang ditemui di Banpo, Xi'an.

Prasejarah
Sejarah awal China dirumitkan oleh ketiadaan bahasa tuliasan pada zaman ini, serta dokumen-
dokumen dari zaman-zaman kemudian yang cuba memerihalkan peristiwa-peristiwa yang
berlaku berabad-abad dahulu. Dari sesetengah segi, masalah ini terdiri daripada penyelidikan-
penyelidikan fikiran dan perasaan diri sendiri oleh orang-orang Cina yang mengaburkan
perbezaan antara fakta dan fiksyen tentang sejarah awal mereka. Menjelang tahun 7000 SM,
orang-orang Cina telah menanam sekoi yang menimbulkan kebudayaan Jiahu. Kebudayaan
Yangshao kemudian digantikan dengan kebudayaan Longshan pada sekitar 2500 SM. Tapak-
tapak arkeologi seperti di Sanxingdui dan Erlitou membuktikan sebuah tamadun Zaman Gangsa
di China. Pisau gangsa terawal yang wujud sejak 3000 SM ditemui di Majiayao yang terletak di
provinsi Gansu dan Qinhai.

Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja


Catatan Ahli Sejarah Agung, karya menyeluruh tentang sejarah China terawal, ditulis oleh Sima
Qian, ahli sejarah Cina, pada abad ke-2 SM, manakala Catatan Tahunan Buluh mengesani
sejarah Cina sejak dari sekitar 2800 SM dengan pemerihalannya tentang zaman Tiga Tokoh
Mulia dan Lima Maharaja. Pemerintah-pemerintah ini adalah raja-raja tokoh bijaksana separa
mitos serta contoh-contoh kesusilaan. Tradisi menganggap Maharaja Kuning, salah satu
daripada pemerintah-pemerintah tersebut, sebagai leluhur bangsa Han.

Sima Qian mengatakan bahawa sistem kerajaan pewarisan telah diasaskan semasa Dinasti Xia,
dan model ini kemudian dikekalkan oleh Dinasti Shang dan Dinasti Zhou. Adalah semasa zaman
Tiga Dinasti (pinyin: sāndài) ini ketika China sejarah termuncul.

Sejarah kuno

Dinasti Xia
Pemerihalan Sima Qian dan Catatan Tahunan Buluh menetapkan tarikh pengasasan Dinasti Xia
pada 4,200 tahun dahulu, tetapi tarikh ini masih tidak dapat disahkan. Terdapat 17 orang raja
dalam Dinasti Xia yang terdiri daripada 14 generasi, bermula dengan Yu Agung sehingga Jie dari
Xia, menurut Sima Qian dan rekod-rekod lain pada Dinasti Qin yang kemudian.
Penduduk-penduduk Shang dan Zhou telah wujud sejak permulaan Dinasti Xia dan merupakan
negeri-negeri lindungan Xia. Tempoh Dinasti Xia yang tepat masih susah untuk ditetapkan,
tetapi kini terhad kepada dua pilihan, iaitu 431 tahun atau 471 tahun.

Kebanyakan ahli arkeologi kini mengaitkan Dinasti Xia dengan ekskavasi-ekskavasi di Erlitou
yang terletak di provinsi Henan tengah, dengan sebuah relau lebur gangsa dari sekitar tahun
2000 SM ditemui di sana. Tanda-tanda awal yang ditemui pada tembikar dan cengkerang dari
zaman ini telah dikatakan merupakan leluhur askara-askara Cina moden. Dengan tidak adanya
banyak rekod tertulis yang sepadan dengan tulang-tulang orakelS Shang atau tulisan-tulisan
bekas gangsa Zhou, zaman Xia masih tidak dapat difahami dengan memuaskan.

Dinasti Shang
Rekod tertulis yang terawal yang ditemui tentang masa lampau China datangnya daripada
Dinasti Shang, mungkin pada abad ke-13, dan mengambil bentuk ukiran-ukiran rekod
peramalan pada tulang dan cengkerang haiwan — apa yang dipanggil tulang orakel. Dapatan-
dapatan arkeologi yang memberikan bukti terhadap kewujudan Dinasti Shang antara sekitar
1600 SM–1046 SM dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama dari zaman Shang
yang lebih awal (k.k. 1600–1300 SM) berasal daripada sumber-sumber di Erligang, Zhengzhou,
dan Shangcheng. Kumpulan kedua dari zaman Shang atau Yin yang kemudian terdiri sebahagian
besarnya daripada sekumpulan tulisan tulang orakel yang besar. Anyang di Henan masa kini
telah disahkan sebagai ibu kota terakhir antara sembilan buah ibu kota Shang (k.k. 1300–1046
SM). Adanya 31 orang raja dalam Dinasti Shang, bermula dengan Raja Tang hingga Raja Zhou,
dengan dinasti ini merupakan dinasti yang kekal paling lama dalam sejarah Cina.

Catatan Ahli Sejarah Agung menyatakan bahawa Dinasti Shang memindahkan ibu kotanya
sebanyak enam kali. Pemindahan terakhir dan terpenting ke Yin pada 1350 SM menghasilkan
zaman kegemilangan dinasti ini. Istilah 'Dinasti Yin' merupakan sinonim untuk dinasti Shang
dalam sejarah, walaupun pada akhir-akhir ini, ia telah digunakan khusus untuk merujuk kepada
separuh kedua Dinasti Shang.
Ahli-ahli sejarah Cina yang hidup pada zaman-zaman kemudian telah membiasakan diri dengan
tanggapan satu dinasti mewarisi satu dinasti, tetapi keadaan politik sebenar pada zaman China
yang awal diketahui adalah jauh lebih rumit. Oleh it, sebagaimana yang dicadangkan oleh
sesetengah cendekiawan China, Dinasti Xia dan Dinasti Shang mungkin merujuk kepada entiti-
entiti politik yang wujud sezaman, seperti dengan Dinasti Zhou awal (negara pewaris Shang)
yang diketahui wujud pada zaman yang sama dengan Dinasti Shang.
Rekod-rekod tertulis yang ditemui di Anyang mengesahkan kewujudan dinasti Shang.
Bagaimanapun, cendekiawan-cendekiawan Barat seringnya meragui tentang perkaitan antara
petempatan-petempatan sezaman petempatan Anyang dengan dinasti Shang. Umpamanya,
dapatan-dapatan arkeologi di Sanxingdui membayangkan peradaban berteknologi maju yang
tidak sama dengan Anyang dari segi kebudayaan. Bukti-bukti yang ada tidak dapat
membuktikan dengan muktamad tentang betapa jauh alam Shang terbentang dari Anyang.
Hipotesis terutama adalah bahawa Anyang, yang diperintah oleh dinasti Shang yang sama
dalam sejarah rasmi, wujud bersama-sama dan berdagang dengan banyak petempatan yang
mempunyai berbagai-bagai kebudayaan di kawasan yang kini dirujuk sebagai China wajar.

Dinasti Zhou
Menjelang akhir milenium ke-2 SM, Dinasti Zhou mula bangkit di lembah Sungai Kuning dan
menakluki dinasti Shang. Dinasti Zhou kelihatan memulakan pemerintahannya di bawah sebuah
sistem separa feudal. Masyarakat Zhou merupakan penduduk-penduduk di barat Shang,
dengan ketuanya dilantik sebagai "Pelindung Barat" oleh Shang. Raja Wu, pemerintah Zhou,
dengan bantuan Duke Zhou, bapa saudaranya yang merupakan pemangku raja, dapat
menewaskan Shang dalam Pertempuran Muye. Raja Zhou ketika itu mempergunakan konsep
Mandat Syurga untuk mewajarkan pemerintahannya, satu konsep yang kemudian
dipergunakan oleh hampir setiap dinasti yang berikut. Dinasti Zhou pada asalnya memindahkan
ibu kotanya ke barat di kawasan dekat Xi'an masa kini yang berhampiran dengan Sungai Kuning,
dan mengawal satu siri peluasan masuk ke lembah Sungai Yangtze dari sana. Ini merupakan
penghijrahan pertama antara banyak penghijrahan dari utara ke selatan dalam sejarah Cina.

You might also like