You are on page 1of 12

MERAYAKAN HARI KEBESARAN AGAMA

ORANG BUKAN ISLAM MENURUT


PERSPEKTIF ISLAM
Oleh :
Mohd Rus bin Yunus
(Bahagian Hadhari dan Pembangunan Insan, JAKIM)
Zulfagar bin Mamat (Bahagian Penyelidikan, JAKIM)

Abstrak

Sambutan Rumah Terbuka Nasional merupakan usaha yang baik untuk


memupuk perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang
kaum. Melalui sambutan ini mereka akan berpeluang berinteraksi sambil
mengenal hati budi serta budaya yang diamalkan oleh kaum masing-
masing. Walau bagaimanapun timbul persoalan tentang sejauh mana Islam
membenarkan umatnya menyertai perayaan agama lain. Ini disebabkan
terdapat kesamaran dari sudut aqidah apabila dikatakan masyarakat
Islam yang menyertai sambutan tersebut seolah-olah telah bersubahat
atau meredhai acara agama lain. Persoalan ini bertambah gawat apabila
timbul polemik antara pihak yang melihat usaha ini atas nama pembentukan
bangsa dan perpaduan Negara sementara di satu pihak lain melihatnya
sebagai usaha untuk meneuteralkan pegangan agama masyarakat Islam
yang akhirnya akan menyuburkan fahaman pluralisma di kalangan mereka.
Bagi menjawab persoalan tersebut artikel ini mengemukakan hujah-hujah
syarak serta pendapat ulama yang membenar atau melarang seterusnya
mencari kewajaran apakah masyarakat Islam dibenarkan menyertai
sambutan perayaan tersebut. Kesimpulannya mana-mana masyarakat
Islam yang mahu menyertai majlis tersebut dinasihati supaya terlebih dahulu
merujuk kepada garis panduan dan mendapat pandangan ulamak. Dengan
itu penyertaan mereka dalam merayakan Rumah Terbuka Nasional tidak
tersasar daripada kehendak agama di samping terus berusaha memelihara
perpaduan untuk pembinaan masa depan Negara Malaysia yang lebih
Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

83
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

PENDAHULUAN
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan mulai tahun 2001 telah bersetuju mengadakan majlis-majlis
perayaan sama ada di peringkat nasional, negeri, daerah dan lain-
lain terhadap enam perayaan utama di Negara ini. Perayaan tersebut
adalah Hari Raya Idul Fitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta
Kaamatan, Hari Gawai dan juga Hari Krismas. la disambut melalui
konsep penganjuran "Rumah Terbuka Nasional" di mana ianya terbuka
kepada semua anggota masyarakat, selain itu para pelancong domestik
dan asing juga turut dijemput meraikannya (Jawapan Parlimen Oleh
Menteri Kebudayaan, Kesenian Dan Pelancongan- Dato' Abdul Kadir Hj.
Sheikh Fadzir dlm http://www.sabah.org.my/mpgaya/governmentlparlimen1
qa120011maclrumah terbuka ... 41412007) .
Tujuan penganjuran rumah terbuka nasional ini adalah bertujuan
untuk meningkatkan persefahaman dan sikap toleransi di kalangan
masyarakat pelbagai kaum serta fahaman agama di negara ini. Peng-
anjurannya juga bagi memberi kesempatan kepada pelancong asing
mengalami keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di Negara ini
semasa menyambut perayaan masing-masing (Ibid).
Bagi masyarakat Islam timbul persoalan tentang apakah hukum
turut sama merayakan perayaan agama lain. Mereka bimbang perbuatan
tersebut boleh menjejaskan akidah atau secara tidak langsung akan
membawa kefahaman bahawa semua agama adalah sama.
Artikel ini akan membincangkan perspektif Islam berhubung
persoalan menyambut perayaan atau hari kebesaran agama lain, selain
itu artikel juga akan memperincikan beberapa perbuatan yang dianggap
tidak sesuai dilakukan oleh seseorang muslim semasa menyambut
perayaan atau hari kebesaran agama lain tersebut.

PANDANGAN ULAMA TENTANG HUKUM MENYAMBUT


HARI KEBESARAN AGAMA ORANG BUKAN ISLAM
Secara amnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum
tentang orang Islam turut merayakan hari perayaan atau kebesaran
orang hukan Islam.
i. Pandangan yang membenarkan
ii. Pandangan yang tidak membenarkan

84
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

Pandangan Yang Membenarkan


Terdapat beberapa pandangan ulama yang membenarkan umat Islam
meraikan hari kebesaran agama lain, antaranya ;
Dr. Mustafa al-Zama ketika menjawab persoalan yang ditanya oleh
seorang muslim dari negara Jerman mengenai mengucapkan tahniah
dan menghantar kad ucapan kepada orang Nasrani telah menyatakan
seperti berikut;
Mengucapkan tahniah atau selamat hari raya Krismas kepada
kenalan Kristian yang merayakan hari Kelahiran Al-Masih a.s.
pada pendapat saya termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah)
dan keelokan dalam pergaulan. Sesungguhnya Islam tidak melarang
kita daripada berbuat baik seumpama ini terhadap mereka lebih-
lebih lagi Isa Al-Masih itu dalam akidah Islam kita, baginda
adalah salah seorang Rasul Allah, termasuk dalam golongan Ulul-
Azmi. Baginda juga dimuliakan dalam Islam, akan tetapi mereka
(kaum Kristian) berlebih-lebihan dalam mengagungkan mereka
dan beriktikad bahawa Isa itu adalah tuhan, Maha Tinggi Allah
daripada apa yang mereka perkatakan.
Sesiapa yang keliru, dengan mengatakan haram menyambut hari
kelahiran Isa ini kerana ianya mempunyai kaftan dengan akidah
Kristian tentang ketuhanan Isa. Orang yang beriktikad macam ini
adalah salah. Mujamalah seumpama ini tidak ada kaitan dengan
perincian akidah mereka terhadap Nabi Isa dan sikap keterlaluan
mereka dalam persoalan akidah.
Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW tatkala baginda
bersama-sama sahabat, melintas dihadapannya satu jenazah
Yahudi, baginda SAW lantas berdiri. Berdiri Rasulullah SAW itu
adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian
itu, tidak ada kaitan dengan akidah jenazah tersebut (yakni bukan
kerana hendak menghormati akidah jenazah tersebut) .
Orang-orang Islam dituntut menzahirkan kebaikan dan ke-
sederhanaan Islam kepada non-muslim, tidak boleh seorang
pemimpin Islam memaksa rakyatnya yang non-muslim atau ahli
zimmi supaya memeluk Islam. Bahkan, hendaklah bertasamuh
(toleransi) dengan mereka dan biarkan mereka dengan agama
mereka.

85
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

Tambahan pula, orang Islam di serata dunia pada masa ini dalam
keadaan lemah, berbanding bangsa-bangsa lain, negara-negara
besar membuat konspirasi ke atas negara muslim dan menuduh
mereka sebagai pengganas. Tugas utama muslim sekarang ialah
membersihkan gambaran negara mereka yang telah diletakkan oleh
negara Barat.
Lebih-lebih lagi, pada hari raya `Idul Fitri dan `Idul Adha, mereka
sering dikunjungi oleh sahabat-handai yang beragama Kristian
bagi meraikan dan mengucapkan selamat hari raya. Jika pada hari
raya mereka (Kristian) , orang-orang Islam tidak pula menziarahi
mereka, maka mungkin menjadi tanggapan bahawa benarlah apa
yang dituduh ke atas Islam selama ini, dan juga orang-orang Islam
tidak bersedia untuk bercampur dan bergaul dengan mereka.
Hukum yang disebut tentang hari raya kelahiran Isa (Krismas) ,
adalah sama juga dengan hukum perayaan menyambut tahun baru
kerana ianya tiada kaitan dengan akidah. Ia sekadar permulaan
sejarah (tarikh) sahaja. Para sahabat, tatkala Saidina Omar r. a.
mengumpulkan mereka untuk berbincang bagi menentukan peristiwa
manakah yang patut diambil bagi menetapkan permulaan tahun
hijrah, mereka mengetepikan pendapat-pendapat yang bergantung
kepada tarikh-tarikh Rom atau tarikh Yahudi. Jika sekiranya
perkara ini haram, suclah tentu mereka tidak mencadangkannya
sejak awal lagi.
Apabila kita telah mengetahui hukum syara' tentang mengucap-
kan tahniah (mengucapkan selamat hari raya) , maka secara tidak
langsung kita juga tahu hukum mencetak dan meniagakan kad-kad
tersebut (kad hari raya Krismas sebagai contoh, atau kad selamat
tahun baru). Kerana selagimana ianya daripada jalan yang harus,
maka is menjadi harus.
Perlu diberi perhatian bahawa, mengucapkan Selamat hari
Krismas kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga
persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar akidah) adalah
harus, tetapi merayakan Tahun Baru dengan pengisian-pengisian
mungkar di dalamnya, itu adalah haram. Ini yang jelas bagi raya,
Allah SWT raja yang lebih mengetahui.
(http:11www. islamonline net' servletISatellite ? cid=112252860903
4 &Pagename=lstamOnli. . 4/4/2007)

86
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

Dr. Yusof al-Qaradawi berkata;


Adalah menjadi hak setiap kaum merayakan hari kebesaran mereka
selama mana tidak menyakiti kaum lain, begitu juga menjadi
hak kaum lain untuk mengucapkan tahniah kepada kaum yang
merayakan hari kebesaran mereka. Tidaklah menjadi halangan
bagi orang-orang Islam untuk mengucapkan tahniah kepada jiran
dan warga negara Nasrani yang menyambut perayaan mereka,
ia termasuk dalam kebaikan sebagaimana Firman Allah SWT
dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud "Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu),
dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil"
Lebih-lebih lagi jika mereka turut melayan baik dan mengucapkan
tahniah sempena hari raya orang Islam. Firman Allah SWT dalam
surah al-Nisa' ayat 86 yang bermaksud "Apabila kamu diberi
penghormatan dengan suatu ucapan hormat ( seperti memberi
salam) , maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih
baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama) .
Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap-tiap sesuatu" .
Sungguhpun begitu, umat Islam tidak boleh bersekongkol dalam
upacara yang melibatkan upacara keagamaan yang khusus untuk
orang Kristian.
(http:11www. islamonline net' servledSatellite? cid=112252861503
6&pagename=IslamOnli.. . 4/4/2007)

Dr. Abdul Sattar Fathullah Said, seorang Profesor Tafsir Dan Ulum
al-Quran di Universiti al-Azhar berpendapat;
Untuk menjawab persoalan mengenai hukum mengucapkan tahniah
kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka memerlukan
kepada sedikit pendetailan.
Mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam tanpa apa-
apa perkara yang menyalahi syariat adalah harus kerana ia
termasuk dalam bab kebaikan akhlak dan sebahagian daripada
jalan dakwah secara berhikmah. Adapun ucapan tahniah yang
menyalahi syariat maka ianya ditegah kerana ucapan tersebut ,
seperti kata-kata "Allah memberkati kamu, keluarga dan harta-

87
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

harta kamu" kerana doa keberkatan tidak sayugia diucapkan


kepada orang bukan Islam.
Ucapan tahniah mengandungi bersama-samanya hadiah juga
diharuskan dengan syarat hadiah tersebut adalah benda yang halal.
Apabila seseorang muslim pergi ke rumah orang bukan Islam (pada
hari kebesaran mereka) atau ke gereja maka tidak halal baginya
duduk di tempat yang diharamkan oleh agama Islam seperti patung-
patung, salib atau tempat yang bercampur lelaki perempuan yang
melampaui Batas dan seumpamanya (Ibid) .

Menurut Dr. Ahmad al-Syarbashi seseorang Islam boleh turut


menyertai hari perayaan orang bukan Islam atas dasar kenalan, kawan
sepejabat, jiran dan sebagainya setelah memastikan majlis yang dihadiri
itu tidak mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan akidah
atau upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti penyajian
arak, dadah dan seumpamanya (Dr Ahmad al-Syarbashi, Yas'alunaka
Fid Din Walhayah, Hlm. 390, jilid 4, Dar al-Jail, Beirut) .
Dr. Abdul Hayei pula berkata, kekeliruan dari sudut hukum
tentang merayakan hari perayaan agama lain atau dalam konteks masa
kini "rumah terbuka nasional" adalah berpunca daripada fahaman
yang kurang jelas terhadap maksud merayakan atau mengucapkan
ucapan selamat hari kebesaran kaum lain itu. Jika maksud merayakan
itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran orang bukan
Islam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka ia
adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Sebaliknya jika merayakan
hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau
menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan
sesama manusia maka ia adalah di luar daripada konteks meraikan
akidah mereka atau merelakan agama mereka. (Hukum Merayakan
Perayaan Kaum-kaum Bukan Islam, Dr. Abdul Hayei bin Syukor, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya)

Pandangan Yang Tidak Membenarkan


Walaupun ramai ulama yang membenarkan kita merayakan hari
kebesaran orang bukan Islam, ada juga segelintir ulama yang tidak
membenarkannya ;
Ibn Qayyim al Jauziyyah telah menyatakan haram ucapan tahniah
dibuat kepada orang bukan Islam yang menyambut perayaan mereka.

88
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

Di dalam kitab Ahkam Ahl al- Zimmah, secara jelas beliau berpandangan
perbuatan mengucapkan tahniah kepada syiar-syiar kafir secara
khusus hukumnya adalah haram dengan kesepakatan para ulama'.
Ibn Qayyim memberikan perumpamaan ucapan tahniah contohnya
dengan mengatakan "Selamat Hari Raya ke atas kamu" atau "semoga
bergembira dengan perayaan ini" dan seumpama dengannya. Ibn
Qayyim menjelaskan lagi jika sekiranya pengucap terselamat daripada
kekufuran sekalipun tetapi perbuatan seperti ini tetap termasuk di
dalam perkara- perkara yang haram (Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Ahkam
Ahl al-Zimmah, Jld 1, Hlm. 162, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut).
Abu al-Qasim Hibbatullah Bin al-Hussain Bin Mansur al-Tabari
berkata, tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang
bukan Islam kerana kemungkaran mereka. (Ibid, Hlm. 156) .
Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan
orang bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana is akan melibatkan
orang yang melakukannya kepada dosa. (Al-Syeikh Ahmad bin Abdul
Razak, Fatawa al-Lujnah al-Daaimah lil Buhuth al-Ilmiah wal , Jld 3,
Hlm. 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh).
Majlis Fatwa Dan Kajian Eropah selepas memfatwakan keharusan
ucapan selamat kepada non-muslim sama ada secara lisan atau kad
ucapan yang tidak mengandungi simbol agama semasa perayaan
mereka ada memberi komentar tentang pendapat Ibn Qayyim dan
yang sependapat dengannya seperti berikut ;
Kami juga ingin menyebut beberapa fuqaha seperti Ibn Taymiyyah
dan Ibn Qayyim yang mengenakan syarat yang ketat dan
menghadkan kebenaran dalam hal ini dan penglibatan muslim dalam
perayaaan non-muslim. Kami mengambil pendirian yang sama
dengan menasihatkan orang Islam jangan merayakan perayaan
non-muslim sama ada musyrikin atau ahli kitab, sepertimana kita
mendapati beberapa orang Islam yang sesat merayakan Krismas
seperti mereka merayakan Idul Fitri atau Idul Adha. Ini adalah
haram kerana kita mempunyai perayaan kita sendiri. Sungguhpun
begitu, kami berpandangan tiada halangan dalam mengucapkan
selamat kepada non-muslim semasa perayaan mereka sekiranya
terdapat jalinan hubungan dan persahabatan dengan mereka. la
merupakan interaksi sosial yang positif dan persahabatan baik yang
diiktiraf oleh urf yang sihat.
(http://www. darulkautsar coml pemurniansy ariatl ray a .htm 4/4
2007)

89
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

Pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam dalam muzakarahnya kali ke-12 bersidang pada 21- 22
Januari 1985 ketika membincangkan kertas mengenai "Pembinaan
Rumah Ibadat Bukan Islam Di Atas Tanah Kerajaan" ada menyentuh
mengenai sikap yang hams diambil oleh pemimpin Islam dalam
menghadiri upacara agama lain. Keputusan tersebut menyebut;
Pemimpin-pemimpin masyarakat sama ada di pihak atasan atau
bawahan dan juga pihak-pihak berkuasa yang berkenaan adalah diminta
supaya berhati-hati sebelum meluluskan permohonan untuk membina
gereja, kuil, candi dan tokong serta hendaklah juga tidak menghadiri atau
merasmikan upacara-upacara agama bagi kaum yang bukan Islam.
Sementara itu, dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-63 yang bersidang
pada 18 Mei 2004 telah membincangkan kertas "Hukum Orang
Islam Turut Merayakan Hari-Hari Kebesaran Agama Orang Bukan
Islam". Walaubagaimanapun Muzakarah telah bersetuju agar ke-
putusan ditangguhkan dan meminta Bahagian Penyelidikan, JAKIM
mengemukakan senarai perkara-perkara yang termasuk dalam keper-
cayaan dan keagamaan di samping perkara-perkara yang tergolong dalam
adat dan kebudayaan untuk dijadikan satu garis panduan umum.
Sehubungan itu, saw "Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan
Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam" telah dikemukakan
kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam kali ke-68 yang bersidang pada 14 April 2005.
Muzakarah telah bersetuju meluluskan penggunaan Garis Panduan
tersebut kepada umat Islam dengan beberapa pindaan dibuat.

GARIS PANDUAN ORANG ISLAM TURUT MERAYAKAN


HARI KEBESARAN AGAMA ORANG BUKAN ISLAM
Dalam artikel ini disertakan beberapa isi penting dalam Garis Panduan
yang telah dibincang dan diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam. Garis
Panduan ini boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat
Islam d clam inenyertai majlis perayaan orang bukan Islam supaya
tidak berlaku perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Garis
Panduan ini juga menjadi asas rujukan kepada agensi-agensi kerajaan

90
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

yang berkaitan dalam menganjur majlis perayaan orang bukan Islam


bersama dengan orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan syubhat
atau acara yang bercanggah dengan prinsip dan nilai-nilai Islam.

Kriteria Perayaan Orang Bukan Islam Yang Boleh Dihadiri Oleh


Orang Islam
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam boleh dihadiri oleh
orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan
supaya is tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria
tersebut adalah seperti berikut;
Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang
bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud "bertentangan dengan akidah Islam" ialah sesuatu perkara,
perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan
tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
a. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang
lampu, lilin , pokok krismas dan sebagainya.
b. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
c. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau
tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
d. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada
agama orang bukan Islam.
e. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati
upacara agama orang bukan Islam.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan


dengan syarak
Maksud "bertentangan dengan syarak" ialah sesuatu perkara, perbuatan,
perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan
ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contohnya:
a. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau
pakaian lain yang melambangkan agama;
b. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan
dan seumpamanya;
c. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gerej a,
pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

91
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

d. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan,


pemujaan, khurafat dan sebagainya.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan "perbuatan yang ber-


canggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam" di
negara ini.
Maksud "bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya
masyarakat Islam" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau
keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan
norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada
ajaran Islam berdasarkan ahli sunnah wal jamaah.
Contohnya:
a. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
b. Berpakaian yang menjolok mata;
c. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur
lucah serta pemujaan;
d. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga
ayam dan sebagainya.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh


"menyentuh sensitiviti masyarakat Islam"
Maksud "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam" ialah sesuatu
perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan
menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan
mereka.
Contohnya:
a. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan
bukan Islam;
b. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
c. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
d. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan
agama masyarakat Islam.

Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan


para alim ulama atau pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau
menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

92
JURNAL PENYELIDIKAN ISLAM

KESIMPULAN
Melihat kepada realiti di Malaysia, golongan bukan Islam di Malaysia
dapat dikategorikan di dalam kumpulan yang tidak memusuhi
Islam secara umumnya. Mereka bukan sahaja patuh kepada arahan
kerajaan dan sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada orang Islam
bahkan mereka dilihat turut berusaha mengekalkan kesejahteraan
dan keharmonian Negara. Aspek ini dilihat bersesuaian dengan roh
syariat yang digambarkan dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 seperti
dinyatakan sebelum ini.
Hujah golongan ulama yang membenarkan perayaan orang bukan
Islam disambut oleh orang Islam dalam batas-batas yang dibenarkan
dilihat lebih releven diamalkan buat masa ini kerana orang Islam
dituntut menzahirkan kebaikan dan kesederhanaan Islam kepada orang
bukan Islam. Orang Islam juga mesti menunjukkan teladan yang baik
kepada orang lain selama mana perbuatan tersebut tidak melanggar
batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.
Sehubungan itu, ucapan selamat dan saling bertukar hadiah semasa
perayaan dibenarkan oleh kebanyakan ulama kontemporari.
J ika dilihat secara tersiratnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Maj lis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam bersetuju membenarkan
orang Islam menghadiri perayaan hari kebesaran agama lain tetapi
mestilah berhati-hati dan mendapat nasihat para alim ulama sekiranya
terdapat perkara-perkara yang meragukan sebelum hadir ke majlis
tersebut. Garis Panduan yang disediakan di atas sedikit sebanyak dapat
menjadi rujukan kepada orang ramai dalam menentukan kriteria
perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam.
Wallahua'lam.

93

You might also like