You are on page 1of 7

1.

1 PENGENALAN

Masalah ponteng sekolah sememangnya sudah lama menjadi “duri dalam daging” dalam
sistem pendidikan di negara kita. Masalah ini membawa impak negatif kepada
pembangunan dan kemajuan negara kita pada masa hadapan. Ponteng didefinisikan
sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran (Kamus Dewan, 1996).
Menurut Rasidah bt Omar (2005) pula, ponteng sekolah boleh ditakrifkan sebagai
ketidakhadiran pelajar ke sekolah dengan sengaja tanpa sebarang alasan yang
munasabah (dalam Bakhtiar Mansor, 2004). Secara umum, ponteng sekolah ialah tidak
hadir ke sekolah tanpa sebab yang munasabah dan di luar pengetahuan ibu bapa atau
penjaga. Ponteng juga sering dikaitkan dengan isu yang menampilkan pelajar yang tidak
berdisiplin dan bermoral rendah. Sebelum meneroka punca dan langkah penyelesaian
kepada isu ini, teori etika moral perlu diteliti terlebih dahulu.

2.1 FAKTOR GEJALA PONTENG.

2.1.1 Sikap Pelajar.

Faktor sikap pelajar merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan pelajar-
pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Punca berlakunya ponteng di kalangan
pelajar sekolah mungkin kerana perasaan ingin mencuba sesuatu yang tidak pernah
mereka lakukan tanpa mengira kesan baik atau buruknya daripada perbuatan tersebut
(Awang Ahmad, 1986). Pelajar-pelajar yang ponteng adalah terdiri daripada mereka yang
mempunyai personaliti tidak baik dan perbuatan mereka itu tidak dapat diterima. Mereka
tidak mempunyai motivasi untuk belajar kerana menganggap belajar itu tidak penting dan
mereka lebih rela tidur daripada bangun awal pagi untuk ke sekolah atau mengulangkaji
pelajaran (Azizah Salleh, 1992).

2.1.2 Pengaruh Rakan Sebaya.

Faktor rakan sebaya merupakan faktor yang mempengaruhi gejala ponteng sekolah
di kalangan pelajar. Sesuatu perbuatan yang baru bagi seseorang pelajar biasanya
mempunyai kaitan dengan perbuatan kawan yang lain (Awang Hassan, 1986). Sekiranya
seseorang pelajar tidak mengikut perlakuan kawan, pelajar tersebut akan berasa bimbang
dan kemungkinan tidak mendapat kawan yang ramai. Jadi menganggotai sesuatu
kumpulan merupakan jalan untuk mencapai objektif pelajar tersebut. Pelajar yang ponteng
adalah mereka yang mempunyai pendirian yang lemah. Lemahnya pendirian seseorang
akan menyebabkan seseorang itu mudah dipengaruhi oleh orang lain (Mohd Amin, 1998).
2.1.3 Faktor Ekonomi Keluarga.

Kajian yang dilakukan oleh Mohamad Yunus (1977) menyatakan salah satu sebab
berlakunya ponteng sekolah ialah ibu bapa tidak mampu membeli perkakasan sekolah
seperti buku, alat tulis dan pakaian sekolah. Dapatan daripada analisis kajian ini
mendapati pelajar-pelajar tidak datang ke sekolah sebab ibu bapa menyuruh mereka
menjaga adik-adik apabila mereka keluar bekerja. Ramai ibu responden bekerja sambilan
untuk membantu meringan beban keluarga. Jadi terpaksa anak-anak yang lebih dewasa
membantu menjaga adik-adik dirumah (Hamdan, 1999). Selain itu, pelajar-pelajar juga
tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa membantu keluarga membuat kerja harian
dirumah. Status sosioekonomi keluarga yang ditentukan oleh pekerjaan ibu bapa menjadi
penyumbang kepada pelajar untuk melakukan salah laku ponteng sekolah. Daripada
dapatan kajian ini juga mendapati ibu bapa responden tidak dapat memberikan duit poket
yang mencukupi untuk berbelanja di sekolah. Mutalib (1986) menyatakan bahawa saiz
keluarga ada hubungan dengan kehadiran pelajar ke sekolah. Keluarga besar didapati
mengalami masalah kesulitan wang dan aspek sosiologi yang tidak teratur.

2.1.4 Peranan Guru.

Faktor guru merupakan faktor yang utama yang menyebabkan pelajar-pelajar terlibat
dengan gejala ponteng sekolah. Dapatan kajian ini menunjukkan guru-guru suka
mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar semasa memarahi pelajar-pelajar (Awang
Ahmad, 1986). Ini akan menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru seterusnya
menyebabkan mereka tidak suka untuk datang ke sekolah. Peraturan dan disiplin yang
ketat boleh mengakibatkan berlakunya ponteng (Ismail Darus, 1981). Corak kawalan yang
membenarkan hukuman fizikal boleh mengakibatkan pelajar tidak suka terhadap sekolah
dan seterusnya mendorong pelajar melakukan salah laku ponteng sekolah.

3.1 INTERVENSI PONTENG MELALUI PENERAPAN TEORI ETIKA MORAL.

3.1.1 Teori Etika.

Teori etika adalah “a systematic exposition of a particular view about what is the
nature and basis of good or right” (K.Bertens, 2007). Teori etika memberikan sebab-sebab
atau norma untuk menimbangkan sama ada satu tindakan betul atau salah dan cuba
memberi justifikasi atas norma itu. Teori etika terdiri daripada dua pandangan utama, iaitu
Teori Teologikal (Consequentialist Theory) dan Teori Deontologikal (Non-consequentialist
Theory) (J. Krihsna Kumary a/p Juval et. al., 2018). Teori Teologikal ialah hasil atau akibat
sesuatu tindakan manakala Teori Deontologikal ialah tindakan atau jenis tindakan itu (K.
Bertens, 2003). Seorang pelajar harus mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi agar
dapat membuat keputusan tanpa merugikan diri sendiri dan orang lain.

3.1.2 Teori Kemoralan Sosial.

Teori ini cenderung mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika. Ia


merujuk kepada standard atau ukuran moral yang merangkumi nilai-nilai yang
mementingkan masyarakat. Nilai atau peraturan adalah ukuran dan persetujuan
masyarakat manakala individu bukanlah matlamat kemoralan. Kemoralan Sosial berkait
rapat dengan peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau
tatatertib masyarakat. Teori ini juga mengutamakan kepentingan dan faedah masyarakat,
bukan kepentingan diri seseorang individu. Peraturan masyarakat biasanya menyerupai
tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod etika, nilai dan pantang larang (J. Krihsna Kumary
a/p Juval et. al., 2018). Sebagai seorang pelajar, individu tersebut haruslah mematuhi
semua peraturan dan etika yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah agar gejala ponteng
sekolah dapat dibendung.

3.1.3 Teori Keperibadian Mulia (Virtue).

Menurut teori keperibadian mulia, etika adalah berkaitan dengan keperibadian,sifat


perangai dan ciri watak yang mulia. Teori ini pada awalnya diperkenalkan oleh Aristotle.
Teori ini menatakan bahawa setiap keperibadian yang mulia merupakan “jalan tengah”,
iaitu suatu nilai yang diamalkan itu adalah tidak berlebihan dan tidak juga terlalu kurang.
Teori ini juga menyatakan bahawa “kecenderungan untuk mencapai sesuatu tujuan akan
menjadikan seseorang itu manusia yang sempurna” (Dian Ibung, 2009). Keperibadian
mulia ialah teori yang menekankan sifat peribadi untuk mencapai kehidupan yang baik.
Seorang pelajar harus mempunyai sifat peribadi yang mulia agar tidak mengambil jalan
mudah apabila berhadapan dengan masalah. Bagi guru di sekolah pula, mereka haruslah
memupuk sikap baik hati agar dapat mendidik pelajar di samping menarik minat mereka
untuk hadir ke sekolah.

3.1.4 Teori Teologikal.

Teori ini mengatakan bahawa nilai “betul” atau “salah” bergantung kepada kesan
sesuatu perbuatan. Keputusan yang terakhir bergantung kepada jumlah perbandingan
perkara-perkara baik atau betul yang yang dilakukan, sama ada secara langsung atau tidak
langsung, iaitu perbandingan antara baik dan buruk atau betul dan salah. Teori ini amat
mementingkan hasil akibat sesuatu tindakan. Ia boleh dilihat daripada dua perspektif, iaitu
utilitarianisme dan egoism (Vishalache Balakrishnan, 2009). Semua pihak sekolah, guru,
pelajar dan ibu bapa khususnya harus dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya.
Misalnya, ibu bapa haruslah mengutamakan pendidikan anak-anak mereka berbanding
mencari pendapatan. ibu bapa harus juga memikirkan tentang kehidupan harian anak-anak
sama ada dirumah atau pun di sekolah. Sungguhpun demikian ibu bapa perlu perlu
memberi perhatian yang lebih kepada anak-anak yang kian meningkat remaja supaya
mereka tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat (Dian Ibung, 2009).

3.1.4.1 Utilitarianisme

Teori Utilitarianisme adalah berkaitan dengan tindakan seseorang yang berasaskan


tujuan memaksimumkan kebahagiaan atau keseronokan majoriti. Hal ini bermaksud,
individu patut melakukan sesuatu tindakan yang menghasilkan kebaikan maksimum
kepada setiap orang atau membawa kebahagiaan maksimum kepada majoriti. Sesuatu
perlakuan itu dianggap baik atau benar mengikut kadar atau pertimbangan kebahagiaan
yang diharapkan dapat diperoleh (K. Bertens, 2003). Ia terbahagi kepada dua, iaitu
utilitarianisme tindakan dan utilitarianisme peraturan. Di bawah utilitarianisme tindakan,
setiap orang patut melakukan tindakan yang membawa kebaikan maksima untuk setiap
orang yang dipengaruhi oleh tindakan tersebut. Peraturan tidak diperlukan untuk tindakan
kerana setiap situasi dan orang adalah berlainan. Manakala utilitarianisme peraturan pula
menyatakan bahawa setiap orang patut membentuk dan mengikut suatu peraturan atau
peraturan-peraturan yang akan membawa kebaikan maksima bagi semua orang terlibat
(K. Bertens, 2007). Melalui teori ini, pemilihan rakan sebaya yang sesuai akan dapat
meningkatkan prestasi pelajar dalam pelajaran. Ia juga penting bagi mempertingkatkan
mutu pencapaian pelajaran.

3.1.4.2 Egoisme.

Ia merupakan satu teori yang menyatakan bahawa sesuatu tindakan itu adalah “betul;”
jika ianya membawa kebaikan kepada diri sendiri dan sesuatu itu “buruk” jika ia membawa
keburukan kepada diri sendiri. Teori egoism bertujuan untuk realisasi kendiri (self-
realization) dan terbahagi kepada egoisme psikologi dan egoisme etika (Vishalache
Balakrishnan, 2009). Maka, pelajar-pelajar seharusnya bijak untuk mencari siapakah
rakan-rakan yang sepatutnya dijadikan kawan sewaktu berada di sekolah kerana kawan
yang baik akan sentiasa berada di sisi kita walau dalam apa pun keadaan.

3.1.5 Teori Deontologikal.

Teori ini bercanggah dengan teori teologikal. Dalam teori ini, akibat atau kesan sesuatu
perlakuan adalah tidak dititikberatkan (J. Krihsna Kumary a/p Juval et. al., 2018). Apa yang
lebih penting ialah sifat perlakuan atau ciri-ciri peraturan itu. Teori ini menegaskan bahawa
sesuatu perlakuan sama ada baik atau buruk, benar atau salah adalah berdasarkan prinsip
moral dan kewajipan moral yang bernilai intrinsic, tidak berdasarkan atau ditentukan oleh
akibat-akibat tindakan tersebut. Ia juga mempunyai dua aspek, iaitu tindakan dan peraturan
(J. Krihsna Kumary a/p Juval et. al., 2018).

3.1.5.1 Teori Deontologi Tindakan.

Ia menegaskan bahawa semua pertimbangan keputusan moral bersifat spesifik,


menitikberatkan apa yang berlaku atau bertindak dalam situasi tertentu. Misalnya, “Pelajar
itu pelajar kelas hujung dan bermasalah disiplin, mustahil untuk aku ajar dia. Abaikan saja
dia.”. Tindakan ini dilakukan untuk menyesuaikan keadaan tanpa merujuk sebarang
peraturan (J. Krihsna Kumary a/p Juval et. al., 2018). Peranan guru dalam menangani
ponteng sekolah amat diperlukan. Guru merupakan model bagi pelajar-pelajar untuk
meneruskan kerjaya mereka dimasa hadapan. Jadi guru-guru haruslah sentiasa
menunjukkan teladan dan contoh yang baik kepada semua pelajar bagi meneruskan
harapan negara untuk melahirkan insan yang cemerlang.

3.1.5.2 Teori Deontologi Peraturan.

Teori ini pula mengatakan bahawa kepiawaian tentang betul atau salah sesuatu
tindakan terdiri daripada satu atau lebih peraturan. Peraturan itu adalah asas dan tidak
berpunca daripada situasi tertentu. Di bawah teori ini, ia dibahagikan pula kepada dua
prinsip utama iaitu Prinsip Eksistensialisme dan Prinsip Kewajipan. Prinsip
Eksistensialisme menegaskan bahawa nilai baik buruk mesti berasaskan pilihan individu
secara bebas. Manakala Prinsip Kewajipan pula menurut Immanuel Kant (1724-1804)
menegaskan “duty for the sake of duty” dan membawa maksud tanggungjawab
dilaksanakan semata-mata kerana amalan itu merupakan satu tanggungjawab. Menurut
beliau lagi, sesuatu tindakan yang betul perlu selari dengan kemoralan universal. Seperti
mana dalam teori deontologi tindakan, guru perlu mendidik pelajar bukan atas dasar
tanggungjawab semata-mata, namun guru juga perlulah mendidik pelajar dengan penuh
kasih sayang agar mereka tidak kekok dengan guru. Hal ini sekaligus dapat mengurangkan
tekanan kepada para pelajar dan dapat mengurangkan gejala ponteng sekolah.

4.0 PENUTUP.

Ponteng sekolah merupakan satu masalah disiplin yang semakin serius dikalangan pelajar
sekolah menengah. Masalah-masalah disiplin yang lain akan timbul sekiranya masalah
ponteng ini tidak dibendung dan dikawal. Semua pihak mestilah bekerjasama dan
berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini. Penerapan dan pengamalan nilai-nilai
moral nescaya dapat membantu dalam mengurangkan masalah ponteng sekolah.
Rujukan

Awang Ahmad Awang Husin (1986). “Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Berlakunya


Ponteng Sekolah Dikalangan Para Pelajar Sekolah Menengah – Satu Kajian Kes Di
Sekolah Menengah Seri Ampang, Kuala Lumpur.” Universiti Pertanian Malaysia: Tesis
Sarjana Muda.

Azizah Salleh (1992). “Konsep Kendiri Remaja Nakal Yang Melanggar Disiplin Sekolah
Ditinjau Dari Aspek Ponteng Sekolah.” Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Ma.Ed

Bakhtiar Mansor (1994). “Ponteng, Satu Pendekatan Secara Kaunseling.” Jurnal dalam
Aminah Hj.Hashim “Bimbingan dan Kaunseling di Malaysia” Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka. 165 – 176

Dian Ibung. 2009. Mengembangkan Nilai Moral pada Anak. Jakarta: PT Elex Media
Komputindo.

Hamdan bin Mis (1999). “Fenomena Ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah
Teknik Alor Gajah”. Tesis B,Ed. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Latihan
Ilmiah yang tidak diterbitkan.

J. Krihsna Kumary a/p Juval et. al. 2018. Modul Pengajian Umum MPU2052 Pendidikan
Moral. Cyberjaya: Institut Pendidikan Guru Malaysia.

K. Bertens. 2007. Etika. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.

K Bertens. 2003. Keprihatinan Moral, Telaah atas Masalah Etika. Yogyakarta: Penerbit
Kanisius.

Vishalache Balakrishnan. 2009. Pendidikan Moral untuk Universiti dan Kolej. Selangor:
Arah Pendidikan Sdn. Bhd.

You might also like