You are on page 1of 1

Azpilicueta tuntut pemain bersatu

LONDON: Cesar Azpilicueta menggesa rakan sepasukannya supaya


menunjukkan sokongan terhadap Maurizio Sarri selepas peminat kelab itu
menuntut pemecatan pengurus itu ketika Chelsea meraih kemenangan
sukar ke atas Cardiff, semalam.

Gol lewat Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek menyelamatkan Chelsea


daripada kekalahan sekali gus meneruskan pemburuan kedudukan empat
teratas Liga Perdana Inggeris.

Begitupun, kemenangan 2-1 yang dianggap kontroversi itu tidak dapat


menampung persembahan buruk Chelsea yang menyaksikan segelintir
penyokong mula menyuarakan kekecewaan terhadap Sarri dan mahu
pengurus dari Itali itu disingkirkan.

Sarri mengakui dia memahami reaksi peminat tetapi turut mencipta


kontroversi apabila berkata “mungkin lebih baik untuk mereka (peminat)
tunggu sehingga perlawanan selesai.”

Bekas pengurus Napoli itu turut meningkatkan rasa marah peminat


terhadapnya sebelum perlawanan apabila meletakkan Eden Hazard dan
N'Golo Kante di bangku simpanan selain gagal memberikan pemain muda
England, Callum Hudson-Odoi penampilan sulung dalam kesebelasan
utama di Liga Perdana.

“Kami perlu memberikan peminat apa yang mereka jangkakan dan pada
tempoh yang sukar, kami semua perlu bersatu padu,” kata Azpilicueta yang
menyarung lilitan kapten.

“Kami tidak gembira dengan cara kami bermain dan kami kehilangan
banyak mata, terutama di gelanggang lawan. Kita semua berada dalam
kapal yang sama dan akan terus berusaha ke arah yang sama.

“Saya tahu peminat mahu kami menang, dan apabila tidak mendapat
keputusan yang diharapkan, kami semua bertanggungjawab. Mereka
menunjukkan perasaan mereka tetapi kerja kami adalah terus bekerja
keras.” - AFP

You might also like