You are on page 1of 3

Teks Ucapan NYDP PIBG

Sempena Mesyuarat Agung PIBG kali ke-20

Terima kasih Pengacara Majlis,


Yang Berusaha
En Samsol bin Mamat, Pengurus Bank Islam Cawangan
Muadzam Shah.
Yang Dihormati, En Ahmad Shakri bin Hamzah, Guru Besar SK
(LKTP) Keratong 7, En Johari bin Ahmad, GPK Pentadbiran,
Pn Zuwariah bt Mahmud, GPK HEM, Pn Suriani bt Abdullah @
Mohd, GPK Kokurikulum, Ahli Jawatankuasa PIBG SK (LKTP)
Keratong 7, Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Agung PIBG kali
ke-20, guru-guru, ibu bapa dan tuan puan yang dihormati
sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat
sejahtera.
Saya melahirkan perasaan bersyukur ke hadrat Allah S.W.T
kerana kita dapat bersama-sama dalam Mesyuarat Agung
PIBG kali ke-20 ini. Saya amat mengalu-alukan Yang
Berusaha, En Samsol bin Mamat kerana dapat bersama-sama
dengan kita pada hari ini. Di sebalik kesibukan tugas, Tuan
dapat hadir ke majlis yang telah dirancangkan ini. Kami berasa
berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima
kasih dan penghargaan atas sokongan dan prihatin Tuan
terhadap kami.
Bagi pihak PIBG sekolah, saya yakin dengan kehadiran
Tuan akan dapat menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan
masyarakat Felda Keratong 7 untuk melibatkan diri secara aktif
dalam program pendidikan. Kita sedar bahawa dunia
pendidikan mengalami banyak perubahan dari semasa ke
semasa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya
bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang
cemerlang. Pendidikan adalah bidang dinamik serta penuh
cabaran di mana ia menuntut perancangan strategik yang teliti
dan pragmatik, kos yang besar serta jentera pelaksana yang
cekap. Pendidikan juga terdedah dan terpengaruh dengan
tuntutan perubahan selaras perkembangan global dan regional
atau serantau. Antara cabarannya adalah melestarikan tahap
profesyen dan menjadikan kualiti perkhidmatan serta
kecemerlangan sebagai identiti. Negara akan kehilangan daya
saing, ketinggalan atau terpinggir dari kemajuan global jika
bidang pendidikan tidak menjadi keutamaan atau tidak
diuruskan dengan cekap dan berkesan.
Tahniah, saya ucapkan kepada para pelajar dan waris pelajar
yang telah berjaya mencapai kecemerlangan. Semoga
kejayaan demi kejayaan yang dicapai pada masa sekarang
akan menjadi pendorong dan pencetus budaya cemerlang demi
mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Tuan Pengurus dan hadirin yang dihormati sekalian,
Insya-Allah pada petang ini kita akan bermesyuarat dan
bersama-sama menentukan komitmen PIBG untuk membantu
pihak sekolah. PIBG bukan sahaja membantu dengan
memberi sumbangan wang atau dana daripada tuan-tuan dan
puan-puan kepada pihak sekolah, malah antara perkara utama
yang saya harapkan selaku NYDP PIBG ialah pandangan dan
pemikiran membina ke arah membantu pihak sekolah dalam
meningkatkan potensi anak-anak kita khususnya dalam bidang
akademik dan dunia pendidikan. Komitmen tuan-tuan dan
puan-puan adalah kebanggaan saya.
Saya suka menyentuh beberapa isu utama yang perlu
diberi perhatian oleh kita sebagai waris SK Keratong 7. Kita
yakin, tanpa disiplin yang tinggi, pasti kejayaan dan
kecemerlangan tidak akan tercapai. Kita juga mesti sedar,
kebanyakan sekolah juga tidak terlepas daripada ledakan isu-
isu yang berkaitan pelajar. Para waris semestinya sedar dan
prihatin mengenai masalah ponteng, datang lambat ke sekolah,
merokok, buli, melawan guru, personaliti diri, mencuri dan
seumpamanya. Walaupun masalah ini bukan sesuatu yang
serius di sekolah ini, keperihatinan para waris akan
menatijahkan sesuatu yang bermakna untuk sekolah.
Saya percaya di bawah kepimpinan dan keprihatinan Tuan
Guru Besar SK Keratong 7, En Ahmad Shakri bin Hamzah, kita
boleh mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam semua
aspek. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih
sekali lagi kepada En Samsol, Tuan Guru Besar, Ahli
Jawatankuasa PIBG, Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Agung
PIBG kali ke-20, para waris SK Keratong 7 dan hadirin yang
dihormati sekalian. Terima kasih atas kesudian tuan-tuan dan
puan-puan bersama-sama berada dalam majlis kita pada hari
ini. Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya
terdapat salah dan silap. Apa yang saya perkatakan datangnya
dari hati saya yang ikhlas demi melihat kemajuan anak-anak
kita jua.
Sekian.Wabillahi taufiq wal hidayah wasalammualaikum
Warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
PN SARIMAH BT OTHMAN.
NYDP PIBG, SK (LKTP) KERATONG 7.
SESI 2018 / 2019.

You might also like