You are on page 1of 7

1.

0 Pendahuluan

Agama Islam merupakan agama yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak
manusia dalam hidup berpasangan. Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan
masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Islam telah menetapkan syarat-
syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan
pertengahan yang lebih wajar bagi memastikan amalan poligami secara lebih adil dan dapat
menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang
lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.
Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami ialah firman Allah
SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 bermaksud:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu
berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang
kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di
antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan
hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya
kamu tidak melakukan kezaliman ”.
( Sura An-Nisa’ : Ayat 3 )

2.0 Syarat-syarat Poligami (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor)

Berdasarkan permasalahan Encik Radhi berpandukan Enakmen Undang-undang


Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Encik Radhi perlu mendapatkan kebenaran terlebih
dahulu secara bertulis daripada Mahkamah Syariah. Merujuk Portal Jabatan Agama Islam
Selangor, sekiranya ingin memohon kebenaran berpoligami, beliau perlu mengikuti sesi
kaunseling untuk perbincangan, nasihat dan untuk mendapatkan panduan berumah tangga.
Beliau juga harus mengisi borang IB, iaitu borang permohonan berpoligami dan membuat Akuan
Bersumpah dengan membawa dua orang saksi lelaki. Permohonan berpoligami perlu dibicarakan
di Mahkamah Rendah Syariah kerana ia telah diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam Selangor (1) "Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang lain dalam
masa ia masih beristerikan isterinya yang sedia ada kecuali dengan terlebih dahulu mendapatkan
kebenaran secara bertulis daripada Hakim Syariah”. Berdasarkan Enakmen(1) tersebut jelaslah
bahawa Encik Radhi tidak dibenarkan berkahwin sedangkan beliau masih beristerikan Puan
Radhiah kecuali beliau mendapatkan kebenaran daripada pihak mahkamah serta dibenarkan
oleh isterinya.

Namun begitu, masalah utama Encik Radhi untuk berpoligami ialah apabila Puan Radhiah
tidak membenarkan beliau untuk berkahwin lagi. Utusan Malaysia (2005) menyatakan bahawa
kebenaran untuk berpoligami daripada isteri yang sedia ada sebenarnya bukan merupakan salah
satu syarat yang utama dalam meluluskan permohonan seseorang lelaki untuk berpoligami.
Walaubagaimanapun, berdasarkan peruntukan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
Selangor, (4) “Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah
mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu iqrar menyatakan alasan-
alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan
pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang
patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang
tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau
pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap
perkahwinannya yang dicadangkan itu”. Berdasarkan penyataan tersebut, Encik Radhi perlu
memenuhi beberapa syarat-syarat yang telah ditetapkan dan salah satunya meminta izin isteri.
Tanpa kebenaran Puan Radziah, Encik Radhi tidak dibenarkan untuk berkahwin lagi. Menurut
Latifah Arifin (2018), perasaan isteri dalam perkahwinan poligami yang dirancang oleh suami
diambil kira oleh Mahkamah Syariah. Tetapi ia bukanlah bermakna jika isteri sedia ada tidak
bersetuju, Mahkamah Syariah akan turut tidak bersetuju. Persetujuan isteri hanyalah salah satu
perkara yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah. Mahkamah Syariah masih boleh memberi
kebenaran bagi suami untuk berpoligami sekiranya isteri sedia ada tidak bersetuju ke atas
permohonan poligami suami mengikut beberapa syarat-syarat yang telah dinyatakan oleh pihak
mahkamah.

Sekiranya dilihat daripada bilangan anak Encik Radhi iaitu seramai 6 orang, Encik Radhi
dikhuatiri tidak akan berlaku adil dari segi memberi nafkah ke atas anak-anaknya serta ke atas
isteri-isterinya. Seksyen (5) (b) menyatakan bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang
membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan
orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya
berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu. Berasaskan syarat ini adalah haram
berpoligami bagi mereka yang merasa dirinya tidak mampu melaksanakan keadilan antara isteri-
isteri mereka seperti ketidakadilan dalam memberi nafkah. (Yusuf al-Qardawi( 2000).Jika Encik
Radhi mampu untuk menanggung kedua-dua pihak iaitu isteri pertama dan bakal isteri,
mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas dengan syarat-syarat yang
dinyatakan itu. Oleh hal demikian butir-butir kewangan perlu dinyatakan oleh Encik Radhi seperti
yang dinyatakan di dalam seksyen (4) yang meminta beliau mengemukakan butir-butir
komitmennya. Hal ini bagi mengelakkan ketidakadilan berlaku pada masa hadapan kelak.

Salah satu seksyen (5) di dalam Enakmen ini adalah Mahkamah Syariah hendaklah
memanggil suami, isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana pihak
yang mahkamah fikir patut untuk memberi keterangan tentang perkahwinan poligami ini. Perkara
ini membolehkan perkahwinan ini diketahui oleh semua pihak yang terbabit dan tidak berada di
dalam keadaan rahsia. Zainul Rijal(2017) berpendapat bahawa syarat ini dapat mengelakkan
kes-kes di mana isteri sedia ada tidak mengetahui suami telah berkahwin lain, suami yang menipu
mengenai status kahwinnya yang sebenar kepada bakal isteri, suami berbohong dalam borang
permohonan kahwin dan ketidakadilan ke atas anak-anak kerana tidak mendapat nafkah
secukupnya. Hal ini kerana ramai suami yang berkahwin tanpa pengetahuan si isteri serta tidak
memaklumkan sudah beristeri kepada isteri baru.

3.0 Pro dan Kontra Tindakan Si Suami Berpoligami Berpandukan Dalil-dalil Syarak Serta
Peruntukan Dalam Undang-undang Sedia Ada.

3.1 Pro

3.1.1 Meyambung keturunan


Berdasarkan pengetahuan tentang kauseling Islam, tindakan Radhi untuk berpoligami
membantu beliau menyambung keturunannya sekiranya didapati isterinya sakit, mandul atau
sebab-sebab tertentu yang menghalang dari melahirkan zuriat. Faktor usia juga menjadi
penghalang kepada Puan Radhiah untuk melahirkan zuriat sekiranya Puan Radhiah berumur 40
ke atas. Maka, tidak mempunyai jalan lain untuk melahirkan zuriat lagi iaitu berkahwin dengan
isteri baru sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan bermaksud:
Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan
baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa
(menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).
(Surah al-Furqan: 54)

Oleh itu jelaslah bahawa dengan adanya perkahwinan, maka zuriat seseorang akan berkembang.

3.1.2 Mengelakkan diri daripada melakukakan maksiat

Selain itu, poligami juga turut membantu Encik Radhi mengelakkan diri daripada
melakukan maksiat dengan gadis sepejabatnya. Menurut Syeikh Muhamad(2016), lelaki
dikurniakan lebih akal tetapi kekurangan nafsu .Lelaki hanya ada satu nafsu dan sembilan akal,
tetapi nafsu yang satu itu selalu gagal dipelihara. Maka itu lelaki sukar untuk mengawal nafsu
berbanding wanita. Oleh hal demikian Encik Radhi mempunyai dua pilihan sama ada melepaskan
syahwatnya dengan cara haram atau melalui ikatan suci dengan gadis tersebut. Allah SWT
berfirman :

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang
keji. Dan suatu jalan yang buruk.

(Surah al-Israa’ :32)

Hal ini jelaslah bahawa matlamat Islam mengharuskan poligami bertujuan menghindar
lelaki daripada berzina dan melindungi perempuan daripada menjadi mangsa akibat kerakusan
hawa nafsu yang mengakibatkan kesusahan dan kesengsaraan. Ia juga bertujuan melindungi
masyarakat daripada penyelewengan, kerosakan dan kecelaruan akhlak. Justeru, jalan yang
terbaik ialah melalui perkahwinan daripada memilih jalan haram seperti melakukan maksiat atau
berzina.

3.2 Kontra

3.2.1 Ketidakadilan Memberi Nafkah

Namun begitu, terdapat juga kontra sekiranya Encik Radhi berpoligami seperti
ketidakadilan nafkah, ketidakadilan dalam giliran dan pergaduhan keluarga. Kontra berpoligami
yang pertama ialah apabila nafkah yang diberikan kepada isteri tidak diberi sama rata mengikut
keperluan, bilangan tanggungan si isteri dan sebagainya. Encik Radhi tidak boleh mengurangi
nafkah dari salah seorang isterinya dengan alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber
kewangannya, kecuali sekiranya isteri itu redha. Suami sememangnya boleh berbincang dengan
isterinya untuk membantu dalam soal nafkah tetapi tanpa paksaan. Memberi nafkah yang lebih
kepada seorang isteri dari yang lain-lainnya diperbolehkan dengan sebab-sebab tertentu.
Misalnya, si isteri tersebut sakit dan memerlukan kos rawatan sebagai tambahan.
Namun begitu, isu yang sering timbul pada masa kini ialah ketidakadilan dari segi nafkah
iaitu dari segi kewangan disalah ertikan oleh si suami. Si suami memberi nafkah sama rata
kepada isteri tanpa mengambil kira tanggungan serta sebab-sebab tertentu. Sebagai contoh RM
1000 diberikan kepada kedua-dua isteri tetapi isteri pertama Encik Radhi mempunyai 6 orang
anak manakala isteri kedua tidak mempunyai anak. Perkara ini jelas bahawa Puan Radhiah
memerlukan kewangan yang lebih dalam menguruskan hal-hal keperibadian anak-anaknya
manakala isteri kedua tiada keperluan yang menyatakan bahawa dia memerlukan kewangan
yang lebih daripada isteri pertama. Hal ini disokong oleh Wahbah al-Zuhayliy. (2002), iaitu suami
berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia mempunyai
seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan-minum,
pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi
layanan seks kepada isteri.

Allah SWT juga ada berfirman :


Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap
Iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah
memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. tidaklah diberatkan
seseorang melainkan menurut kemampuannya. janganlah menjadikan seseorang ibu itu
menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana
anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika
keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah
dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada
salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang
patut. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, Sesungguhnya Allah sentiasa
melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
( Surah Al-Baqarah : Ayat 233 )
Oleh itu jelaslah bahawa bahawa tanggungjawab seorang suami adalah memberi nafkah kepada
keluarganya.

3.2.2 Ketidakadilan Bermalam

Setiap isteri mempunyai hak yang sama rata daripada si suami. Salah satu
tanggungjawab suami ialah menyediakan tempat tinggal yang tersendiri untuk tiap-tiap isteri
berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan suami. Oleh hal demikian, Encik Radhi perlu
menyediakan tempat tinggal untuk isteri barunya seperti mana beliau menyediakan tempat tinggal
untuk isteri pertama. Hal ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri
serta mengelakkan timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini antara madu.
Demikian juga, isteri berhak mendapat giliran suaminya menginap di rumahnya sama tempoh si
suami dengan waktu menginap di rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami
mesti menginap di rumah seorang isteri satu hari satu malam atau 2 hari 2 malam atau 3 hari 3
malam. Begitu juga pada isteri-isteri yang lain. Walaupun ada di antara mereka yang dalam
keadaan haid, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini. Allah SWT berfirman:

"Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu dalam
masalah bermalam dan nafkah), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah)
hamba-hamba perempuan yang kamu miliki
(Surah an-Nisaa' ayat 3)

Oleh itu jelaslah bahawa lelaki hendaklah adil dalam mengatur giliran bermalam bersama-
sama isterinya.

3.2.3 Pergaduhan Keluarga

Sekiranya Encik Radhi meneruskan juga perkahwinan beliau dengan gadis di pejabatnya
tanpa pengetahuan isteri pertama, maka berkemungkinan akan mencetuskan pergaduhan
terutamanya antara Encik Radhi dan Puan Radhiah serta antara Puan Radhiah dan isteri
barunya. Hal ini berkemungkinan terjadi apabila rahsia beliau terbongkar dengan Puan Radhiah.
Malahan, Puan Radhiah juga akan sukar menerima isteri baru suaminya kerana beranggapan
bahawa isteri baru Encik Radhi perampas kepada kebahagiaan keluarga mereka. Menurut Fairus
(2002), masalah ini juga turut memberi kesan kepada anak-anak mereka terutamanya anak-anak
yang masih kecil serta kurang mendapatkan kasih sayang daripada ayah mereka. Tambahan
pula pada usia kecil, mereka telah menyaksikan pergelutan dan perpecahan keluarga. Hal ini
boleh menyebabkan mereka fobia untuk mendirikan rumah tangga kelak.

4.0 Penutup
Di dalam syariah Islam, poligami bukanlah suatu prinsip yang wajib dilaksanakan
sehingga boleh menyebabkan berdosa jika tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan
perkara harus dalam keadaan tertentu. Jelasnya di sini bahawa ia bukanlah membawa kepada
makna wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati ia boleh membawa kepada suatu tegahan dan
haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya berlaku adil dan mengakibatkan
penganiayaan terhadap isteri yang dikahwini ( Poligami Satu Keharusan Bersyarat,2011 ). Tetapi,
islam sama sekali tidak akan menghalalkan sesuatu perkara melainkan perkara yang baik lagi
bermanfaat. Islam juga tidak akan tidak mengharamkan melainkan yang keji dan membawa
kerosakan dan kemudaratan. Malah poligami adalah amalan bangsa yang bertamadun dan maju.
Hal ini jelaslah bahawa poligami juga mempunyai pro dan kontra dari setiap syarat-syarat yang
dinyatakan mengikut Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri di Malaysia.

You might also like