You are on page 1of 29

MERUNGKAI BEBERAPA PERSOALAN TENTANG HADIS/SUNNAH YANG

DITIMBULKAN OLEH GOLONGAN ANTI HADIS

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Benarkah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya melarang


menulis serta membukukan hadis?

Sebahagian pihak dari kelompok-kelompok beraliran sesat dan menyimpang


seperti golongan Anti Hadis dan kelompok Liberal seringkali menyatakan
bahawa pembukuan hadis adalah tidak dibenarkan. Malah, mereka juga
mendakwa bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya
sendiri melarang menulis serta membukukan hadis-hadis. Ini tidak lain adalah
kerana mereka mahu bermudah-mudah dalam mengambil agama seterusnya
mengajak umat Islam lainnya untuk berlepas diri (meninggalkan agama)
bermula dengan meninggalkan hadis dan sunnah yang sahih satu demi satu.

Pencerahan:

Dalam Islam, sebelum diterima dan diperhujahkan sesuatu kisah atau riwayat,
wajib disemak dan dikaji isnadnya (jalur sanad periwayatan) terlebih dahulu.
Apabila didapati sahih maka hendaklah riwayat tersebut difahami bersama-
sama riwayat-riwayat yang lainnya, kemudian barulah dirumuskan dengan suatu
kesimpulan tertentu. Kita tidak boleh menerima dengan sewenang-wenangnya
sesuatu kisah atau riwayat sebagaimana yang ada dan kita tidaklah boleh
membuat sesuatu rumusan/kesimpulan semata-mata berdasarkan satu riwayat
sahaja dan mengabaikan riwayat yang lain.

Dakwaan di atas dapat dijawab melalui dua bahagian. Pertamanya, larangan


menulis hadis oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan kedua,
larangan menulis dan menyebarkan hadis di zaman Abu Bakar dan Umar al-
Khattab radhiyallahu ‘anhuma.

Pertama: Larangan menulis hadis oleh Rasulullah,

Riwayat hadis yang dimaksudkan sebagai larangan penulisan hadis-hadis


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seperti berikut:

Berkata Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, telah bersabda Rasulullah


Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah
menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya.
Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan
itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia
akan menemui tempatnya di dalam api neraka.” (Sahih: Hadis dari Abu Said al-
Khudri radhiyallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, ad-Darimi dan
lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 3004. (Kitab az-Zuhud dan Raqa’iq, Bab
Kedudukan hadis dan penulisannya))

Hadis di atas tidaklah melarang penulisan hadis secara mutlak tetapi ia


sebenarnya hanyalah melarang penulisan hadis di atas kertas atau lembaran
yang sama dengan al-Qur’an. Penjelasan ini dapat kita fahami berdasarkan
hadis berikut dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

“Adalah kami menulis apa yang kami dengar dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam. Maka di satu hari beliau datang kepada kami dan berkata:

“Tulisan-tulisan apakah ini?”

Maka kami menjawab: “Apa yang kami dengar dari engkau”.

Lalu beliau berkata: “Tulisan bersama Kitab Allah (al-Qur’an)?”

Kami menjawab: “(Ya!) iaitu apa yang kami dengar (dari engkau)”.

Lalu bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Tulislah Kitab Allah (al-
Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Jagalah ketulenan kitab Allah dan
janganlah mencemari ia”.” (Hasan: Sebahagian dari hadis yang panjang dengan
3 jalan periwayatan)

Di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahan-bahan tulis seperti


kertas papri sudahpun wujud (Montgomery Watt & Richard Bell – Introduction
to The Qur’an, pg. 31-33) dan digunakan untuk menulis surat-surat rasmi,
perlembagaan negara, dan al-Qur’an. Akan tetapi jumlahnya agak terhad dan
tidak memungkinkan penulisan hadis-hadis secara berasingan di atasnya. Ini
menyebabkan sesetengah sahabat telah mencatit al-Qur’an dan hadis-hadis
Rasulullah di atas lembaran kertas yang sama, sebelah menyebelah. Lebih-lebih
lagi diingatkan bahawa apabila baginda Rasulullah membaca dan mengajarkan
ayat-ayat al-Qur’an kepada para sahabat, beliau mengajar 10 ayat diikuti
dengan penerangan, penjelasan, dan pengamalannya, yakni teori dan
praktikalnya. Beliau tidak akan melangkah ke 10 ayat seterusnya selagi 10 ayat
yang sedang diajarnya itu tidak difahami benar-benar maksud dan kaedah
pengamalannya. (Tafsir Ibnu Katsir, jld 1, m/s. 6 (bhgn. muqaddimah))

Sesetengah sahabat mencatit ayat-ayat al-Qur’an yang dibacakan Rasulullah


dan pada waktu yang sama mencatit juga keterangan dan kaedah
pengamalannya yang berupa hadis Rasulullah. Apabila hal ini diketahui oleh
Rasulullah, beliau tegas melarangnya kerana bimbang hadis-hadisnya akan
bercampur dan disalah anggap sebagai ayat-ayat al-Qur’an juga. Inilah yang
dimaksudkan beliau: “Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan
Kitab Allah. Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia...” iaitu
kertas-kertas yang ditulis ayat-ayat al-Qur’an, hendaklah ia mengandungi ayat-
ayat al-Qur’an sahaja dan tidak ada apa-apa yang selainnya.

Jika seseorang sahabat ingin menulis hadis secara berasingan dari al-Qur’an,
maka ia sememangnya dibenarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Perhatikan riwayat berikut dari Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu:

“Aku biasa menulis segala yang aku dengar dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum Quraisy menegahku dengan berkata:

“Apakah kamu menulis segala sesuatu? Bukankah Rasulullah seorang manusia


yang berbicara pada waktu marah dan senang juga?” Maka aku berhenti
sebentar dari menulis sehingga aku menemui Rasulullah dan mengkhabarkan
beliau tentang hal ini. Beliau memberi isyarat kepada mulutnya lalu bersabda:

“Tulislah! Demi Dzat yang jiwaku berada di kekuasaan-Nya, tiadalah yang


keluar dari mulut ini kecuali yang hak (yakni yang benar)”.” (Sahih: Hadis
dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan lain-lain, dinilai sahih oleh
Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani di dalam Silsilah Hadis Sahih, no.
1532)

Selain itu, perlu diperbetulkan beberapa kesimpulan yang dilakukan oleh


Golongan Anti Hadis bahawa memandangkan Rasulullah melarang penulisan
hadis-hadisnya, ia bererti bahawa Rasulullah sendiri tidak mahu hadis-hadisnya
dijadikan sebahagian dari sumber syari’at Islam. Kesimpulan seperti ini tidak
benar kerana jika dikaji semula hadis di atas akan kita dapati bahawa di sebalik
larangan menulis hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetap
menganjurkan umat untuk menyebarkannya kepada orang ramai. Berikut kita
lihat semula hadis tersebut dan perhatikan pada bahagian yang digariskan:

Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah
menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya.
Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan
itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia
akan menemui tempatnya di dalam api neraka.

Pada ketika yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah
bersabda:

“Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sebuah hadis dari aku
lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada orang lain.” (Sahih: Sebahagian
dari hadis yang panjang dari Zaid bin Thabit radhiyallahu ‘anhu, dikeluarkan
oleh at-Tirmizi dan ad-Dhiyaa’, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam
Jamii-us-Sagheir, no. 9264 dan disahihkan oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin
al-Albani di dalam Sahih Jamii’-us-Sagheir, no. 6763)
“Kalian mendengarkan (hadis aku), lalu akan didengarkan dari kalian,
selanjutnya akan didengar pula dari orang yang mendengar dari kalian.” (Sahih:
Hadis dari Abdullah ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad,
Abu Daud, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hibban dan ath-Thabarani. Dinilai sahih
oleh Sheikh Syu’aib al-Arnouth dalam Sahih Ibnu Hibban,no. 062. (Kitab al-Ilmu,
Bab Memperingatkan Sunnah-sunnah dari (melalui) pendengaran...))

Oleh itu sekali lagi diulangi bahawa yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah menulis hadis-hadisnya di atas lembaran
yang sama dengan tulisan al-Qur’an.

Kedua: Larangan menulis dan menyebarkan hadis oleh Abu Bakar dan Umar
al-Khattab,

Hampir semua riwayat-riwayat yang menerangkan bahawa Abu Bakar dan Umar
al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma melarang penulisan dan penyebaran hadis di
zaman pemerintahan mereka adalah dhaif. Antara yang masyhur dikatakan
tentang Abu Bakar adalah kononnya beliau telah mengumpul 500 buah hadis
dalam sebuah buku lalu akhirnya beliau membakarnya. (Dhaif: Dikeluarkan oleh
al-Hakim dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s.
10-11 dari jalan Musa bin Abdullah bin Hasan bin Hasan, dari Ibrahim bin Umar
bin Ubaidullah at-Taymi, diceritakan kepada aku oleh al-Qasim bin Muhammad,
bahawa berkata A’isyah radhiyallahu ‘anha ....... sepertimana mana di atas.

Isnadnya dhaif kerana memiliki beberapa kecacatan, iaitu:

[1] Ali bin Saleh – berkata Ibnu Katsir: Tidaklah dia dikenali. (Lihat: al-Hindi –
Kanz al-Ummal – no. 29460)

[2] Musa bin Abdullah - beliau diperselisihkan, lihat Lisan al-Mizan, jld. 6, ms
123, perawi no: 465; al-Kamil fi ad-Dhuafa’ al-Rijal, jld. 6, ms 346, perawi no:
1826 dan Dhaif al-Uqaili, jld. 4, m/s. 159, perawi no. 1730.

[3] Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah – beliau tidak dikenali. Biografinya tidak
disebut atau dibicarakan oleh mana-mana ahli hadis.

Oleh itu berkata adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s. 11, setelah
mengemukakan riwayat ini: “Maka riwayat ini – tidaklah ia sah, Dan Allah
sahaja yang lebih mengetahui”. Dan berkata Ibnu Katsir sebagaimana nukil al-
Hindi dalam Kanz al-Ummal – no: 29460: “Hadis dengan wajah seperti ini
adalah aneh”)

Sementara dalam satu riwayat lain kononnya Abu Bakar telah berkata: Maka
janganlah kalian menceritakan hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam sesuatu apapun. Jika sesiapa yang bertanya kepada kalian, berkatalah
antara kami dan kamu ada Kitab Allah, maka apa yang kalian dapati dihalalkan
maka halalkanlah ia dan apa yang diharamkan maka haramlah ia. (Dhaif:
Dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s. 9, dan berkata
adz-Dzahabi: “Maka adalah ia mursal (iaitu isnadnya terputus)”. Oleh itu
riwayat ini adalah dhaif juga). Kedua-dua riwayat ini adalah tidak benar kerana
isnadnya memiliki beberapa kecacatan.

Umar al-Khattab pula kononnya didakwa telah memenjarakan beberapa orang


sahabat seperti Abdullah ibnu Mas’ud, Abu Darda’ dan Abu Mas’ud al-Anshari
radhiyallahu ‘anhum kerana banyak menyampaikan hadis. (Dhaif: Dikeluarkan
oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath – no. 3449 dan dinukil oleh adz-
Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld. 1, m/s. 12, dan dalam Siyar A’lam an-
Nubala, jld. 7, m/s. 206. Juga dikeluarkan oleh an-Nasa’i dan dinukil oleh adz-
Dzahabi dalam Siyar A’lam an-Nubala, jld. 11, m/s. 555. Kedua-duanya dari
jalan Abdullah bin Idris, dari Syu’bah, dari Sa’ad ibnu Ibrahim, dari ayahnya,
bahawasanya Umar al-Khattab... sepertimana di atas. Isnadnya dhaif juga
kerana beberapa sebab:

[1] Syu’bah – adalah beliau diragukan. Lihat Ibnu Hazm – al-Ihkam fi Usul al-
Ahkam, jld. 2, m/s. 256-258.

[2] Ibrahim bin Abdul Rahman bin Auf, beliau tidak pernah bertemu dengan
Umar al-Khattab. Ibrahim lahir pada 20H manakala Umar meninggal dunia pada
23H. Tidak mungkin Ibrahim meriwayatkan hadis pada umur 3 tahun melainkan
beliau mendengarnya dari seseorang lain yang tidak diketahui. Justeru isnad
riwayat ini terputus. Lihat Majma’ az-Zawaaid, jld. 1, m/s. 149)

Selain itu disebut dari Urwah bin al-Zubair bahawa kononnya Umar pernah
merancang untuk menulis sunnah-sunnah secara formal lalu beliau
bermesyuarat dengan para sahabat dan mereka semua menyetujui rancangan
tersebut. Akan tetapi sebulan selepas itu Umar membatalkan rancangannya.
(Daif: Dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20484. Juga
secara ringkas oleh Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 3, ms 287.
Semuanya dari jalan Ibnu Shihab az-Zuhri, dari Urwah al-Zubair, bahawa Umar
al-Khattab ........ Isnad ini terputus kerana Urwah bin al-Zubair (93H) tidak
pernah bertemu dengan Umar al-Khattab (23H))

Disebut juga dari al-Qasim bin Muhammad bahawa: Sesungguhnya hadis telah
menjadi persaingan (menjadi banyak) (Demikian lafaz yang dinukil oleh adz-
Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 5, ms 59) di masa Umar bin al-Khattab.
Maka diumumkan kepada orang ramai supaya mereka membawanya (hadis-
hadis tersebut, yakni dalam bentuk tulisan). Maka apabila telah dibawa
kepadanya (Umar), diperintahkan agar ia diselidiki lalu kemudiannya ditahan ia
(tulisan tersebut) dari mereka (iaitu tidak dikembalikan). Berkata Umar: Dua
(kitab) pada waktu yang sama sebagaimana dua (kitab) pada waktu yang sama
(seperti perbuatan) Ahli Kitab? (Daif: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad dalam
Tabaqat al-Kubra, jld 5, ms 188 dengan isnad yang terputus juga kerana al-
Qasim bin Muhammad (106H) tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab
(23H))

Ketiga-tiga riwayat di atas adalah daif dan tidak boleh dijadikan hujah dan
dakwaan. Hanya sahaja dalam bab ini terdapat dua riwayat lain yang sahih
yang perlu kita beri tumpuan dan penjelasan yang sebenarnya. Riwayat-riwayat
yang dimaksudkan adalah:

Riwayat Pertama:

Umar al-Khattab pernah mengutus Qurzhah bin Ka’ab dan beberapa orang Ansar
radhiyallahu ‘anhum dari Madinah ke Kufah dan beliau menerangkan bahawa di
sana akan ditemui satu kaum yang masih keras lagi kasar bacaan al-Qur’an
mereka. Maka berpesan Umar: Maka persedikitkanlah riwayat dari Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan aku (Umar) bersama kalian dalam hal ini.
(Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad, Ibnu Majah, al-Hakim, Ibnu Abdil Barr dan
ad-Darimi, dinilai sahih oleh Muhammad an-Nasr dalam Sunan Ibnu Majah – no:
028 (Bab Kehati-hatian Sahabat dalam meriwayatkan hadis dari Rasulullah))

Pesanan Umar ini tidaklah bererti melarang sepenuhnya penyampaian dan


penggunaan hadis-hadis Rasulullah tetapi ia sekadar memberi priority kepada
kaum yang baru belajar Islam agar mereka memberi tumpuan kepada sebutan
ayat-ayat al-Qur’an dan asas-asas agama yang terkandung di dalamnya.
Perhatikan bahawa Umar tidak melarang sepenuhnya penyampaian hadis
Rasulullah tetapi hanya sekadar dikurangkan jumlahnya.

Sekali lagi ditekankan bahawa tidak boleh membuat kesimpulan yang mutlak
bahawa Amirul Mukminin Umar al-Khattab telah menyekat perkembangan,
periwayatan dan pembelajaran hadis-hadis serta sunnah-sunnah Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam semata-mata berdasarkan satu riwayat di atas.
Umar sendiri apabila mengutus para sahabat menjadi gabenor wilayah-wilayah
yang baru dibuka oleh Islam, telah menanggung-jawabkan mereka dengan tugas
mengajar agama Islam termasuk sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam. Ini jelas terbukti dalam salah satu khutbah Umar di penghujung era
pemerintahannya, di mana antara yang beliau katakan adalah: Ya Allah!
Saksikanlah Engkau atas para gabenor wilayah bahawa sesungguhnya aku telah
mengutus mereka untuk mengajar manusia agama mereka dan sunnah Nabi
mereka. (Sahih: Sebahagian dari teks khutbah Umar al-Khattab radhiyallahu
‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam
Musnad Ahmad – no: 341. (Musnad Umar al-Khattab, hadathana Muhammad bin
Ja’far......))

Riwayat Kedua:

Umar al-Khattab pernah berkata kepada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:


Engkau (perlu) benar-benar berhenti meriwayatkan hadis dari Rasulullah atau
aku akan mengusir kamu ke daerah Daus. (Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Asakir
dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 50, ms 172 dan dinukil oleh Ibnu Katsir dan adz-
Dzahabi. Isnadnya sahih sebagaimana nilai Syu’aib al-Arnuth dalam Siyar A’lam
Nubala, jld 2, ms 600-601. Dalam bab ini terdapat dua riwayat lain bahawa Abu
Hurairah kemudiannya tidak lagi meriwayatkan hadis di zaman Umar kerana
takut dirinya dipukul oleh Umar. Kedua-dua riwayat tersebut adalah daif,
keterangannya seperti berikut:

[1] Dari Muhammad bin Ajalan, dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam
Nubala, jld 2, ms 601. Muhammad bin Ajalan tidak pernah bertemu dengan Abu
Hurairah, justeru isnad riwayat ini terputus sebagaimana terang Syu’aib al-
Arnuth.

[2] Dari Ibnu Shihab az-Zuhri, dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf
– no: 20496. Saya berkata, isnad riwayat ini juga terputus kerana Ibnu Syihab
az-Zuhri yang lahir pada tahun 50H tidak sempat meriwayatkan dari Abu
Hurairah yang meninggal dunia pada tahun 59H. Perhubungan yang sahih antara
Ibnu Syihab dan Abu Hurairah adalah melalui perantaraan seorang perawi yang
lain, tidak secara terus.)

Riwayat ini adalah sahih tetapi ancaman tersebut adalah tidak lebih sekadar
kekhuatiran Umar akan adanya hadis-hadis yang disampaikan bukan pada
tempatnya sehingga mungkin dipermainkan oleh orang ramai atau terjadi
kekeliruan di dalamnya. (Sebagaimana terang Ajaj al-Khatib dalam Hadits Nabi
Sebelum Dibukukan, ms 495. Lebih lanjut lihat Bidayah wa Nihayah, jld 8, ms
107-108) Oleh itu ancaman Umar adalah lebih kepada peringatan kepada Abu
Hurairah supaya berhati-hati dalam menyampaikan hadis, menerangkannya
secara formal dan tersusun disertai penjelasannya; bukan melarang secara
mutlak.

Penjelasan di atas disokong oleh satu riwayat yang lain di mana Umar sendiri
telah menerima hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. (Dalam satu
riwayat lain, Umar sendiri telah membenarkan Abu Hurairah meyampaikan
hadis dengan kata beliau: Jika demikian, maka pergilah dan riwayatkanlah
hadis. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dan dinukil oleh adz-Dzahabi
dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 603 dari jalan Yahya bin Ubaidullah, beliau
dinilai terpercaya oleh Ibnu Hibban tetapi dilemahkan oleh lain-lain ahli hadis.)
Dalam satu perjalanan menuju Kota Mekah, rombongan Umar telah dihalangi
oleh suasana angin ribut yang kencang. Lalu Umar bertanya kepada
rombongannya: Adakah sesiapa yang boleh meriwayat hadis tentang angin
kepada kami? Maka tidak ada sesiapapun yang mengetahui adanya hadis
Rasulullah tentang angin kecuali Abu Hurairah, beliau menunggang kepada
Umar lalu berkata: Wahai Amirul Mukminin, dikhabarkan kepada aku bahawa
engkau bertanya tentang angin dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
Angin itu adalah dari Rahmat Allah. Ia datang dengan membawa rahmat dan ia
datang dengan membawa kesiksaan. Maka jika engkau melihatnya maka
janganlah engkau mencaci-makinya dan mohonkanlah kepada Allah
kebaikannya dan mohonlah perlindungan kepada-Nya dari keburukannya.
(Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam
Musnad Ahmad – no: 7619. Musuh-musuh Abu Hurairah mungkin berkata hadis di
atas sengaja dicipta oleh Abu Hurairah untuk mendapatkan tempat di sisi Umar
al-Khattab. Tuduhan ini adalah tidak benar kerana hadis yang sama di atas juga
telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah kepada beberapa orang lain tanpa
diminta atau ditanya oleh Umar, lihat Sahih Sunan Abu Daud – no: 5097 dan
Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud, jld 14, ms 1.Malah hadis di atas juga
diriwayatkan oleh tiga orang sahabat yang lain radhiyallahu ‘anhum, iaitu
A’isyah dalam Sahih Muslim – no: 899-1; Ubay bin Ka’ab dalam Sahih Sunan
Tirmizi – no: 2252 dan Abu Darda dalam Musnad ‘Abad bin Hamid bin Nasr – no:
199) Umar tidak menolak hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah ini.)

Harap penjelasan ringkas di atas dapat membersihkan pelbagai dakwaan


bahawa kononnya para Khalifah ar-Rashidun Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-
Khattab radhiyallahu ‘anhuma telah melarang aktiviti penulisan dan
penyampaian hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di zaman
pemerintahan mereka. Membuat satu rumusan semata-mata berdasarkan satu
atau dua riwayat sahaja adalah seumpama seseorang yang membaca sepatah
ayat al-Qur’an:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat (al-Ma’un, 107: 04) lalu
terus dibuat rumusan bahawa mendirikan solat adalah satu pekerjaan yang
dicela lagi tidak dituntut oleh Islam. Rumusan ini dibuat berdasarkan satu ayat
di atas sahaja dan dilupakan pelbagai ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an yang
menerangkan kewajipan dan kemulian mendirikan solat. Ayat di atas
sebenarnya hendaklah difahami dengan sambungan ayat seterusnya:

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat; laitu mereka yang
berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (Juga bagi) orang-orang
yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). (al-Ma’un,
107: 4-6)

Demikianlah juga hendaknya sikap kita terhadap beberapa riwayat yang


menerangkan tindakan para Khalifah ar-Rashidun ke atas sunnah-sunnah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kita tidak boleh membuat rumusan
bahawa mereka secara mutlak telah melarang aktiviti penulisan, periwayatan,
pengembangan dan pengajaran sunnah-sunnah Rasulullah semata-mata
berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja padahal dalam waktu yang sama
terdapat banyak riwayat-riwayat lain yang menerangkan kesungguhan mereka
menghidup dan menyebarkan sunnah-sunnah Rasulullah di zaman pemerintahan
mereka. Lebih dari itu terdapat ratusan hadis-hadis Rasulullah yang mereka
riwayatkan sendiri sebagaimana yang nyata tercatit di dalam kitab-kitab hadis.
(Terdapat 81 buah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar yang tercatit di
dalam Musnad Ahmad manakala dalam Musnad Abu Bakar as-Siddiq oleh al-
Mawarzi terdapat 143 buah. Dari Umar al-Khattab pula terdapat lebih 300 buah
hadis dalam Musnad Ahmad. Dalam Jamii’ al-Musnaidi wa as-Sunan oleh Ibnu
Katsir pula terdapat banyak lagi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh kedua
sahabat ini sama ada terus dari Rasulullah atau riwayat bersama melalui para
sahabat lainnya.) Oleh itu adalah sangat tidak benar rumusan dan dakwaan
Golongan Anti Hadis yang mengatakan para Khalifah ar-Rashidun telah
menghalang dan melarang aktiviti-aktiviti ilmiah yang berkaitan dengan
sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Hadis dan sunnah hanya menjadi rujukan umat Islam setelah dipelopori oleh
Imam Syafi’i kira-kira 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam. Sebelum itu umat hanya merujuk kepada al-Qur’an sahaja.

Jawapan:

Hujah di atas dapat disangkal dengan tiga fakta berikut:

[1] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah telah mula
diperintahkan oleh al-Qur’an sejak bermulanya kerasulan Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sama ada sebelum atau selepas tahun 200 hijrah,
umat Islam seluruhnya mentaati, merujuk dan mengikut hadis dan sunnah
Rasulullah, bukan kerana Imam Shafi’i tetapi kerana ia adalah perintah Allah
Tabaraka waTa’ala di dalam al-Qur’anul Karim.

[2] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jelas terbukti dalam kitab al-Muwattha’ Imam
Malik bin Anas, sama ada dalam bentuk riwayat hadis Rasulullah atau kisah para
sahabat dan tabiin yang mempraktikkan sunnah Rasulullah. Intisari dan
kandungan kitab al-Muwattha’ telah mula diajar oleh Imam Malik pada tahun
120-130 hijrah (Habib-ur-Rahman Azami – The Sunnah in Islam, pg 33.) dan ia
lengkap dibukukan pada tahun 150 hijrah. (Yasin Dutton – The Origins of Islamic
Law: The Qur’an, The Muwattha’ and Madinan Amal, pg 26-27) Ini jelas
menunjukkan bahawa Imam Syafi’i bukanlah merupakan orang pertama yang
mempelopori ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah
Rasulullah.

[3] Menurut dakwaan pihak yang menolak hadis, sebelum tahun 200 hijrah umat
Islam seluruhnya hanya merujuk kepada satu sumber – yakni al-Qur’anul Karim.
Jika dakwaan ini adalah benar, kita bertanya – bagaimana mungkin seorang
Imam bersama sebuah kitabnya berjaya mempengaruh dan menukar dasar
agama dan rujukan ratusan ribu umat selama 200 tahun dari al-Qur’an sahaja
kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah? Sudah tentu ini mustahil
mengingatkan budaya hidup dan peradaban umat ketika itu yang tidak memiliki
sebarang kemudahan media cetak, elektronik dan multimedia. Lebih dari itu,
pasti ratusan ribu umat Islam di saat itu akan bangkit membantah dan menolak
konsep al-Qur’an dan sunnah Nabi secara besar-besaran.

Bagi menggambarkan betapa besarnya kemustahilan Imam Syafi’i mengusulkan


konsep “baru” al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di zaman 200 hijrah, marilah
kita bandingkan dengan usaha Golongan Anti-Hadis masa kini di zaman
peradaban yang serba moden lagi canggih. Umpamakan usaha mereka
mengusulkan konsep al-Qur’an sahaja di kalangan umat masa kini yang
berpegang kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah seperti usaha Imam Shafi’i
mengusulkan konsep al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di kalangan umat tahun
200 hijrah yang berpegang kepada al-Qur’an sahaja. Dapat kita perhatikan
bahawa Golongan Anti-Hadis masa kini dengan segala medium serba moden
yang mereka gunakan, seperti internet, buku bercetak, risalah percuma,
poster-poster, artikel akhbar, rencana majalah dan wawancara radio
televisyen, tetap tidak dapat mengubah pegangan umat dari al-Qur’an dan
sunnah Rasulullah kepada al-Qur’an sahaja. Usaha mereka siang dan malam
selama bertahun-tahun secara berkumpulan hanya membuahkan hasil yang
minimum.

Nah! Jika dengan segala kelengkapan moden ini gagal menukar pegangan umat
masa kini, maka bagaimana pula dengan Imam Syafi’i seorang, bersama sebuah
kitabnya yang berjudul al-Risalah yang dicatit tangan, tanpa media cetak,
internet, radio, televisyen dan sebagainya mampu hendak mengubah pegangan
umat di zaman 200 hijrah? Sudah tentu bertambah mustahil. Justeru ketahuilah
– bahawa Imam Syafi’i bukanlah orang yang pertama mengusulkan konsep hadis
dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an kepada umat Islam. Yang benar
adalah konsep hadis dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an telah bermula
sejak saat-saat pertama agama Islam bermula. Inilah hakikat yang sebenarnya.

Hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak ditulis sehingga kira-


kira 200 tahun selepas kewafatan beliau. Sepertimana yang diketahui, dalam
tempoh 200 tahun pertama sejarah Islam, telah terjadi pelbagai perbalahan
dan pertarungan politik yang amat buruk sehingga menyebabkan umat saling
berbunuhan. Bagaimana mungkin di dalam tempoh ini kita dapat mempercayai
para perawi yang menyampaikan sesebuah hadis kerana pasti sahaja setiap dari
mereka mempunyai motif dan hajat politik tersendiri. Sudah tentu dalam
tempoh yang lama tersebut, pelbagai kepalsuan telah menyelinap masuk ke
dalam hadis-hadis tersebut sehingga ia tercatit bersama di dalam kitab-kitab.

Jawapan:

Dalam tempoh 200 tahun pertama sejarah Islam,memang telah berlaku


beberapa pergeseran politik di kalangan umat akan tetapi adalah sangat tidak
benar untuk dikatakan bahawa pergeseran tersebut telah memporak-
perandakan seluruh umat dan mengubah mereka dari sifat ketaqwaan kepada
sifat kemunafikan. Contohnya apabila kita membaca dalam akhbar hari ini
berlakunya rompakan di Kuala Lumpur, kes pecah rumah di Miri dan kes
kecurian di Alor Setar, kita tidak boleh mengandaikan bahawa seluruh Malaysia
sedang berada dalam keadaan yang sangat tidak selamat dengan pelbagai kes
jenayah berlaku di sana sini dalam setiap jam atau minit. Demikianlah juga,
apabila kita membaca dalam sejarah Islam beberapa pergeseran politik, kita
tidak boleh mengandaikan bahawa pergeseran tersebut melibatkan seluruh
umat sehingga tidak seorangpun dari mereka yang bebas dari pengaruhnya.

Adalah sangat tidak benar dakwaan bahawa hadis-hadis tidak ditulis selama 200
tahun selepas kewafatan Rasulullah sallalahu-alaihi-wasallam. Aktiviti
penulisan dan pencatitan hadis telahpun bermula sejak dari zaman kehidupan
Rasulullah. Catitan dan penulisan ini dilakukan secara kecil-kecilan sahaja
kerana kebanyakan dari ucapan dan perbuatan Rasulullah masih segar di
ingatan para sahabat dan ia diterjemahkan melalui percakapan dan perbuatan
harian mereka. Perbuatan ini seterusnya diturunkan ke generasi tabiin dan
tabiin muda. Adalah juga tidak benar untuk dikatakan bahawa catitan formal
hadis-hadis Rasulullah hanya bermula lebih 200 tahun selepas kewafatannya
kerana jelas tercatit dalam kitab-kitab sejarah Islam mahupun dengan
penemuan-penemuan manuskrip lama, bahawa aktiviti mencatit hadis-hadis
secara formal telahpun bermula sejak pertengahan kurun pertama Islam, yakni
kira-kira 50 tahun selepas kewafatan Rasulullah. (Lihat hasil-hasil kajian
berikut:

[1] Nadia Abbott – Studies in Arabic Literary Papyry. 3 jld, lihat jilid pertama.
(Chicago Univ. Press 1957).

[2] Fu’ad Segzin – Geschichte des Arabischen Schrifttums. 9 jilid, lihat jilid
pertama. (Leiden 1967).

[3] Mustafa Azami – Studies in Early Hadis Literature – with A Critical Edition of
some Early Text. (Indiana: American Trust Publication 1968).

[4] Muhammad Hamidullah – Sahifah Hammam bin Munabbih. (England: Apex


Books 1979).

[5] Harald Motzki – The Musannaf of ‘Abd al-Razzaq al-San’ani as a Source of


Authentic Ahadis in The First Century A.H. (Journal of Near Eastern Studies –
edisi 50, 1991))

Sepertimana kata as-Syafi’i, apabila Allah Azza wa Jalla memerintahkan


ketaatan kepada Rasul-Nya berulang-kali di dalam al-Qur’an, maka perintah ini
ditujukan-Nya kepada umat seluruh zaman sehingga ke Hari Akhirat. Bagi
membolehkan umat seluruh zaman mentaati Rasulullah, pasti sahaja Allah –
dengan segala kekuasaan-Nya yang Maha Besar lagi Maha Luas – akan
menggubah cara-cara serta kaedah supaya hadis dan sunnah Rasulullah dapat
sampai kepada umat seluruh zaman. Oleh itu tidak perlu diragui kaedah catitan
dan perkembangan hadis Rasulullah di zaman awal Islam kerana ia sentiasa
berada di bawah pengawasan dan pengurusan Allah Azza wa Jalla. (Lihat Daniel
Brown - Rethinking Tradition, pg 15)

Seperkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah, ditulis atau tidak hadis
Rasulullah di zaman awal Islam tidaklah menjadi faktor yang utama kerana
yang penting adalah kejujuran dan sikap adil orang yang membawa hadis-hadis
tersebut. Tidak ada jaminan ketulenan dan keaslian hadis sekalipun ia telah
ditulis sejak dari awal jika yang menulisnya adalah seorang pendusta. Demikian
juga tidak ada kecacatan pada hadis jika yang menghafal dan
mempraktikkannya sehari-harian, sekalipun ia meliputi orang perseorangan dari
beberapa generasi, adalah terdiri dari orang-orang yang jujur, adil, beriman
lagi bertaqwa sepenuhnya. Bezakanlah ia!

Sahih atau tidak sesuatu hadis bergantung kepada jujur atau tidak para
perawinya. Ini sudah tentu satu kaedah yang amat longgar kerana kejujuran
seseorang hanyalah didasarkan kepada penilaian orang lain dan ini sudah tentu
relatif kepada banyak faktor dan keadaan.

Jawapan:

Menentukan kesahihan sesuatu hadis berdasarkan sifat para perawinya memiliki


dasar dalam al-Qur’an itu sendiri. Perhatikan bahawa apabila al-Qur’an
menetapkan hukuman bagi jenayah zina, ia mensyaratkan persaksian 4 orang
saksi, dan para saksi ini hendaklah dari kalangan orang yang beriman, baligh,
berakal, jujur, benar, adil, beramanah dan bertaqwa. Sifat-sifat yang
mengikitiraf seseorang saksi tersebut ditentukan pula berdasarkan pengamatan
orang-orang di sekitarnya yang juga perlu terdiri dari orang-orang yang
memiliki sifat tersebut. Maka jika kaedah menentukan sifat seseorang saksi
sebegini diiktiraf oleh al-Qur’an untuk menjatuhkan hukuman jenayah –
sehingga ke tahap hukuman bunuh – sudah tentulah pula hadis yang dibawa
oleh orang – orang yang beriman, baligh, berakal, jujur, benar, adil,
beramanah dan bertaqwa dapat diterima sebagai sesuatu yang benar-benar
berasal dari mulut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Ringkasan dari
keterangan Muhammad bin Idris as-Syafi’i dalam al-Umm, jld. 7, m/s. 82-83.
Lihat juga Mustafa as-Siba’i – al-Hadis sebagai Sumber Hukum: Kedudukan as-
Sunnah dalam Pembinaan Hukum Islam, m/s. 214)

Dalam riwayat yang masyhur disebut bahawa Imam Bukhari telah menapis
sebanyak 600,000 buah hadis dan beliau hanya memilihi 9,000 yang sahih untuk
dimuatkan dalam kitabnya Sahih Bukhari. Jumlah 600,000 ini jelas
menunjukkan bahawa berlakunya penciptaan hadis-hadis palsu secara besar-
besaran di zaman awal Islam.

Jawapan:
Terdapat dua perkara penting yang perlu diterangkan dari hujah atau dakwaan
di atas:

Pertama: Apabila dikatakan wujudnya 600,000 hadis, ia bukanlah bermaksud


ada 600,000 sebutan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tetapi adalah
600,000 jalan-jalan periwayatan hadis-hadis Rasulullah. Perlu diterangkan
bahawa para tokoh hadis tidak mengira hadis menurut jumlah sebutan yang
berasal dari Rasulullah tetapi adalah menurut jumlah jalan-jalan
periwayatannnya. Jumlah jalan-jalan periwayatan hadis adalah sangat besar
bilangannya kerana jumlah bilangan orang yang meriwayatkannya dari generasi
ke generasi adalah banyak dan ia bertambah secara gandaan. (Mustafa as-Siba’i
– al-Hadis sebagai Sumber Hukum, m/s. 313-317; juga Mustafa Azami – Studies
in Hadis Methodology and Literature, pg. 26)

Sebagai contoh, kita umpamakan seorang sahabat Rasulullah yang masyhur


bernama Abdullah ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu. Katakan beliau memiliki 50
orang murid dari generasi tabiin dan 50 orang ini selepas mendapat ijazah dari
Ibnu Mas’ud akan menjadi guru pula dengan setiap dari mereka memiliki 50
orang murid dari generasi selepas tabiin. Setiap dari 50 orang ini selepas
mendapat ijazah dari guru mereka masing-masing akan mengajar pula dan
setiap dari mereka memiliki 50 orang murid juga dari kalangan generasi
berikutnya dan demikianlah seterusnya. Berdasarkan contoh yang dijadikan
contoh di atas, pada ketika generasi ketiga sahaja sudah ada kira-kira 125,000
orang yang meriwayatkan hadis padahal mereka semua mungkin hanya
meriwayatkan 100 ucapan yang berasal dari mulut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam. Maka bilangan 125,000 inilah yang menjadi kiraan dan perhatian
para tokoh hadis kerana mereka akan menapis dan menelusuri orang-orang
yang terkandung dalam jumlah 125,000 tersebut untuk mencari yang jujur,
amanah dan sebagainya untuk diambil hadis yang mereka riwayatkan.

Kedua: Apabila dipilih 9,000 dari 600,000 jalan periwayatan hadis, tidaklah
bererti bahawa baki 591,000 jalan periwayatan hadis yang disisih adalah terdiri
daripada orang-orang fasik yang sengaja berdusta dan mencipta hadis sesuka
mereka. Syarat pilihan sesuatu hadis yang sahih adalah sangat tinggi lagi ketat.
Ia wajib terdiri dari orang-orang yang kuat imannya, tinggi ketaqwaannya,
berdisiplin dalam ilmu-ilmu agama, jujur, amanah, adil, berperibadi mulia,
kuat ingatan atau tahu apa yang dicatitnya, faham akan maksud hadis yang
dihafal atau ditulisnya, benar-benar menerima hadis dari mulut gurunya dan
pelbagai lagi. Tidak semua orang yang meriwayatkan hadis dapat menepati
syarat-syarat yang ketat ini, justeru itulah mereka diketepikan. Oleh itu
bezakanlah, apabila disisihkan 591,000 jalan periwatan hadis, ia bukan kerana
para perawinya terdiri dari orang-orang yang berdusta, mencipta hadis sendiri
atau sebagainya.

Sesetengah hukum yang terdapat di dalam hadis-hadis, seperti hukum jenayah


zina dan murtad, berasal dari hukum kaum Yahudi dan Nasrani sebagaimana
jelas tertera di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil. Ini tidak lain menunjukkan
bahawa dalam himpunan hadis-hadis, terdapat beberapa ajaran dari agama lain
yang telah “terlepas masuk” sehingga dianggap sebahagian dari ajaran Islam
pula. Berbeza halnya dengan al-Qur’an, ianya semua adalah asli dan tulen,
100% ajaran Islam sahaja.

Jawapan:

Tidaklah sesuatu yang memeranjatkan apabila terdapat beberapa hukum atau


ajaran di dalam himpunan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
yang menyerupai syari’at agama Yahudi dan Nasrani. Ketiga-tiga agama ini,
iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, adalah agama-agama samawi yang pada
asalnya disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Setiap darinya
diturunkan oleh Allah kepada umat tersendiri melalui para rasul mereka
tersendiri, di awali dengan Nabi Musa ‘alaihi salam kepada umat Yahudi,
kemudian disusuli dengan Nabi Isa ‘alaihi salam kepada umat Nasrani (Kristian)
dan diakhiri dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada umat
Islam. Setiap dari tiga agama ini memiliki ciri-ciri syari’at yang berbeza, tetapi
tidak dapat dinafikan juga bahawa antara ketiga-tiga agama ini terdapat juga
beberapa kesamaan. (Mohamed S. El-Awa – Punishment in Islamic Law, pg. 17)

Penerangan di atas tidak khusus kepada hadis-hadis Rasulullah sahaja, tetapi ia


juga adalah benar kepada al-Qur’anul Karim kerana jika kita menyelusurinya
dan membandingkan dengan ajaran Yahudi dan Nasrani, akan didapati
beberapa persamaan. (Lihat Abraham I. Katsh – Judaism in Islam: Biblical and
Talmudic Backgrounds of The Koran and It’s Commentaries) Contohnya ibadat
puasa itu sendiri, di mana al-Qur’an sendiri telah menerangkan bahawa ia
adalah merupakan suatu ibadah yang juga telah disyari’atkan kepada umat-
umat terdahulu. (Lihat Encyclopedia of Islam (edisi Cdrom dibawah tajuk
Sawn)) Justeru ada kesamaan dalam perintah berpuasa antara agama Islam dan
agama-agama sepenuhnya sebagaimana yang diisyaratkan oleh ayat berikut:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana


diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu
bertaqwa. (al-Baqarah, 2: 183)

Seperkara lain yang perlu diingatkan, bahawa kitab-kitab Taurat dan Injil yang
wujud kini, mahupun 1400 tahun yang lalu, tidak dijamin keaslian dan
ketulenannya, sekalipun oleh para sarjana Barat. Oleh itu apabila didapati
adanya kesamaan antara ajaran hadis-hadis Rasulullah dengan ajaran kitab
Taurat dan Injil, seseorang tidak boleh terburu-buru mengatakan bahawa hadis
adalah tiruan dari kedua kitab tersebut. Kerana objek yang dijadikan ukuran,
yakni kitab Taurat dan Injil, adalah sesuatu yang diragui ketepatannya sehingga
tidak boleh dimutlakkan rumusan semata-mata berdasarkannya. Malah jika ada
persamaan antara ajaran hadis Rasulullah dengan ajaran kitab Taurat dan Injil,
maka hadis tersebut menjadi pembukti terhadap kebenaran ajaran yang
dikandung sama oleh kitab Taurat dan Injil tersebut. Apa-apa ajaran di dalam
kitab Taurat dan Injil yang tidak wujud sama di dalam hadis-hadis Rasulullah,
maka ajaran-ajaran tersebut diragui ketepatan atau kebenarannya. Keterangan
yang sama juga mewakili persamaan ajaran antara yang terdapat di dalam al-
Qur’an dengan yang terdapat di dalam kitab Taurat dan Injil.

Hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam banyak yang bercanggah


dan berlawanan antara satu sama lain. Oleh itu adalah mustahil untuk merujuk
dan menukil sesuatu hukum atau kefahaman dari hadis-hadis.

Jawapan:

Satu perkara yang tidak dinafikan tentang hadis-hadis Rasulullah Shallallahu


‘alaihi wa Sallam adalah terdapatnya beberapa percanggahan, pertentangan
dan pertembungan antara satu sama lain. Hal ini terjadi kerana beberapa
sebab, yang utama adalah kerana Rasulullah mendakwahkan Islam selama 22
tahun lebih dan sepanjang tempoh yang lama tersebut, bicara dan dakwah
ditujukan kepada sekian banyak orang atau kumpulan yang terdiri dari pelbagai
peringkat keimanan dan daya intelek dan semua ini pula dilatar belakangkan
dengan pelbagai persoalan, kes, keadaan dan suasana yang saling berbeza-
beza. Faktor-faktor ini telah menyebabkan hadis-hadis pada zahirnya nampak
seolah-olah berbeza-beza dan saling bercanggah antara satu sama lain. Bagi
mengkaji dan menyuraikan “percanggahan” ini, para ilmuan Islam telah
menggariskan beberapa langkah dan kaedah seperti berikut:

[1] Langkah pertama ialah memastikan bahawa antara dua hadis yang
bercanggah setiap darinya memiliki status kekuatan yang sama. Jika yang
bercanggah adalah antara hadis sahih dengan hadis daif, maka percanggah
ditamatkan dengan mengambil hadis sahih sahaja. Jika kedua-dua hadis adalah
sahih maka kaedah selanjutnya adalah:

[2] Mengkaji bilakah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyabdakan


hadis-hadis tersebut. Adakalanya dua hadis bercanggah antara satu sama lain
kerana yang pertama disabdakan oleh Rasulullah di zaman awal Islam manakala
yang kedua disabdakan beliau di zaman pertengahan atau akhir Islam. Hadis
yang terakhir tersebut membatalkan hadis yang pertama. Hadis yang
membatalkan disebut nasikh manakala hadis yang dibatalkan disebut mansukh.

Hikmah wujudnya nasikh dan mansukh adalah kerana Islam mendidik,


mentarbiyah, membina dan membangun umatnya secara berperingkat-
peringkat, tidak secara mendadak dan terburu-buru. Oleh itu ada ajaran Islam
disyari’atkan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan suasana umat,
masyarakat dan kekuatan Islam di ketika itu.

Sebelum seseorang membezakan antara hadis nasikh dan hadis mansukh wajib
dia mencari bukti dan petunjuk terlebih dahulu bahawa hadis yang awal
tersebut (hadis mansukh) telah benar-benar dibatalkan oleh Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis yang terakhir (hadis nasikh).

[3] Kaedah ketiga adalah dengan mengkaji kepada siapakah sesuatu hadis itu
ditujukan. Kadang-kadang dua hadis nampak bercanggah kerana ia ditujukan
oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada dua individu atau
kumpulan yang berlainan. Ketahuilah bahawa salah satu kebijaksanaan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah beliau sentiasa memperhatikan
kepada siapa dia mengajar dan dari siapa dia menerima soalan. Dengan
kebijaksanaan ini beliau dapat menjadi guru dan pemimpin yang bermanfaat
kepada semua lapisan masyarakat, sama ada yang tua atau muda, lelaki atau
wanita, yang bijak atau yang jahil, yang baru memeluk Islam atau sudah lama
dan seterusnya.

[4] Sebab percanggahan sesuatu hadis juga boleh “dirungkaikan/dileraikan”


dengan mengkaji suasana dan keadaan sekeliling apabila sesuatu hadis
disabdakan. Adakalanya wujud percanggahan kerana satu hadis disabdakan
dalam suasana perang dan hadis yang lain pula dalam suasana damai. Boleh
juga terjadi percanggahan antara hadis yang disabdakan Rasulullah dalam
khutbah kepada orang awam manakala ada hadis yang disabdakan dalam
ceramah kecil yang dihadiri oleh beberapa sahabat senior. Dengan mengkaji
perbezaan suasana dan keadaan sekelling, dapat difahami kenapa wujudnya
percanggahan dan ditemui kefahaman yang sebenar.

[5] Sebab terakhir wujudnya percanggahan adalah kerana kurangnya kefahaman


kita sendiri sama ada dari sudut memahami bahasa Arab, perbandingan dengan
hadis-hadis lain atau kefahaman kepada seluruh ruh dan tujuan syari’at. Bagi
mengelak masalah ini hendaklah seseorang itu memahirkan diri dalam bahasa
Arab dahulu. Kemudian apabila berhadapan dengan hadis yang bercanggah,
hendaklah dicari semua hadis-hadis yang termasuk dalam bab yang
dibincangkan kemudian digarap kefahaman darinya.

Sebagai contoh perhatikan semula perbincangan sebelum ini dalam bab


larangan penulisan hadis. Terdapat dua hadis Rasulullah yang bercanggah, yang
pertama dari Abu Sa’id al-Khudri yang melarang penulisan hadis manakala yang
kedua dari Abdullah bin ‘Amr yang membenarkan penulisan hadis. Akan tetapi
setelah dikaji hadis lain dari Abu Hurairah, dapat kita fahami bahawa yang
sebenarnya dilarang oleh Rasulullah adalah menulis hadis di atas lembaran yang
sama dengan al-Qur’an hingga mungkin menyebabkan percampuran.

Demikian 5 kaedah dan langkah bagi mengkaji dan meleraikan permasalahan


hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang kelihatan bercanggah.
Tidak dinafikan bahawa untuk menguasai sepenuhnya bidang ini seseorang itu
perlu memiliki ilmu menyemak isnad serta pengetahuan yang luas dalam
keseluruhan hadis-hadis Rasulullah dan syari’at Islam. Seandainya tidak
berkemampuan menguasai bidang ini maka rujuklah kepada para pakarnya,
janganlah terburu-buru berkata bahawa disebabkan wujudnya percanggahan
mustahil untuk menukil hukum dan kefahaman.

Hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam banyak yang aneh lagi


pelik. Dalam sudut syari’at Islam umpamanya, kita dapati ada hadis yang
berkata sesiapa sahaja yang akhir ucapannya adalah “La ilaha illallah” akan
masuk syurga!! Hadis ini sudah tentu aneh jika dibandingkan dengan pelbagai
syarat dan kewajipan yang telah digariskan oleh al-Qur’an untuk seseorang itu
layak masuk syurga. Dari sudut sains pula, kita dapati ada hadis-hadis yang
menyalahi penemuan ilmiah yang sah lagi terbukti seperti hadis yang berkata
tidak ada penyakit yang berjangkit. Kita juga dapati ada hadis-hadis yang
mentsabitkan diri Rasulullah dengan perbuatan yang zalim lagi kejam seperti
hadis yang mengatakan Rasulullah telah menghukum beberapa orang dengan
mencungkil keluar mata mereka dan membiarkan di tengah gurun sehinggalah
ajal menemui mereka.

Bagi kami, contoh-contoh di atas dan banyak lagi sebenarnya bukanlah


merupakan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetapi adalah rekaan
orang-orang terkemudian lalu didustakan atas nama Rasulullah. Rekaan dan
kedustaan terlepas masuk ke dalam kitab-kitab hadis yang sahih lagi masyhur.
Hadis-hadis seperti ini tidak meninggalkan kita apa-apa pilihan kecuali menolak
keseluruhan hadis-hadis kerana ia sebenarnya hanyalah rekaan dan dustaan
manusia selepas kewafatan Rasulullah.

Jawapan:

Letak kesilapan Golongan Anti Hadis di sini ialah terburu-buru membuat


kesimpulan semata-mata berdasarkan ilmu pengetahuan yang sangat terbatas
tanpa mahu mempelajari ilmu hadis secara mendalam terlebih dahulu, seperti
mengkaji sebab kelahirannya (asbabul wurud), kaedah lafaz bahasa Arabnya,
tujuan atau maksud disebaliknya dan perbandingan dengan hadis-hadis yang
lain. Lebih memudahkan adalah bahawa setiap dari hadis-hadis yang didakwa
“aneh dan pelik” itu telahpun dijelaskan oleh para ilmuan Islam dalam kitab-
kitab syarahan hadis. Tanpa berlengah lagi marilah kita mengkaji dan
menjelaskan hadis-hadis “aneh dan pelik” yang disebut di atas.

Pertama: Sesiapa yang akhir ucapannya: “La ilaha illaLlah” akan masuk syurga.

Berikut adalah teks sebenar hadis yang dimaksudkan. Sabda Rasulullah


sallallahu-alahi-wasallam:

Barangsiapa akhir perkataannya adalah “La ilaha illallah” maka dia masuk
syurga. (Sahih: Hadis dari Muadz bin Jabal radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh
Ahmad, Abu Daud, al-Bazzar, ath-Thabarani (Mu’jam al-Kabir), al-Baihaqi
(Syu’aib al-Iman) dan al-Hakim, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam
Jamii-us-Sagheir – no: 8965 dan dipersetujui sahih oleh al-Albani dalam Sahih
Jamii-us-Sagheir – no: 6479. Lihat juga Sunan Abu Daud – no: 2987 (Kitab
Jenazah, Bab Talqin) dan an-Nawawi – Kitab al-Adzkar, m/s. 373)

Hadis di atas sebenarnya disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa


Sallam di zaman awal Islam di Kota Makkah. Berkata Ibnu Syihab az-Zuhri
(124H), seorang tokoh generasi tabiin: Hadis sebegini hanya pada permulaan
Islam sebelum turunnya kewajipan-kewajipan dan larangan. (Dikeluarkan oleh
Muhammad bin Isa at-Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, jld. 4, m/s. 449 tanpa isnad.
Saya berkata isnad atsar ini telah diisyaratkan kedaifan atau ketidak pastiannya
memandangkan at-Tirmizi telah mendahuluinya dengan kata-kata: Dan
sesungguhnya diriwayatkan dari az-Zuhri.... Qadi Iyadh dalam Ikmal al-Mu’lim
bi-Fawa’idi Muslim (juga dikenali sebagai Syarah Sahih Muslim lil Qadi Iyadh),
jld. 1, m/s. 254 berkata bahawa ini adalah juga merupakan pendapat majoriti
generasi salaf (yakni mereka yang hidup sebelum tahun 300H), di antaranya
ialah Sa’id ibnu Musayab (94H), namun Qadi Iyadh juga tidak mengemukakan
isnadnya. Oleh itu status riwayat ini kita biarkan terbuka sehingga dapat
ditemui isnadnya. Bandingkan juga dengan Syarah Sahih Muslim an-Nawawi, jld.
1, m/s. 63 dan seterusnya) Yakni di zaman permulaan Islam di mana pada saat
itu belum disyari’atkan pelbagai ibadah, kewajipan, larangan dan hukuman
kecuali sekadar mentauhidkan Allah ‘Azza wa Jalla dan meninggalkan segala
amalan syirik yang mereka praktikkan sebelum itu. Pada waktu itu mereka yang
baru memeluk Islam diugut dan dipaksa agar meninggalkan Islam dan sesiapa
yang enggan – mereka disiksa hingga ke tahap dibunuh dengan kejam. Ketika
sedang diugut, disiksa dan sesaat sebelum dibunuh, tiada yang diucapkan oleh
mereka kecuali “La ilaha illallah” – Tiada Tuhan selain Allah – secara berulang-
ulang sehinggalah mereka dibebaskan atau sehingga maut menemui mereka.

Terhadap umat Islam inilah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah “La ilaha illallah” maka dia masuk
syurga dan memang benar bagi mereka adalah ganjaran syurga kerana
menegakkan ketauhidan Allah ‘Azza wa Jalla sehingga ke akhir hayat mereka.
Senada dengan hadis ini adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat
berikut yang juga diturunkan di Kota Makkah:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata:


“Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak
ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka
pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di
dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.
(al-Ahqaf, 46:13-14)

Adapun kedudukan hadis ini pada masa kini, maka berkata para ilmuan bahawa
ia tetap sah diperlakukan. Sesiapa sahaja yang mentauhidkan Allah Subhanahu
wa Ta’ala secara yakin dan benar sehingga ke akhir hayatnya, syurgalah
balasannya. Seandainya ada dosa-dosa besar, maka mereka akan diazab
setimpal dengan kadar dosa masing-masing dan akhirnya tetap akan
dimasukkan ke dalam syurga Allah Tabaraka wa Ta’ala. (at-Tirmizi – Sunan
Tirmizi, jld. 4, m/s. 449)

Kedua: Tidak ada penyakit berjangkit.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dimaksudkan adalah seperti


berikut:

Tidak boleh menjangkitkan penyakit, dan tidak boleh mengundi nasib, dan
tidak boleh mempercayai Hama (Hama berasal dari satu adat Jahiliyah yang
mempercayai ruh seseorang yang mati dibunuh akan keluar dari kuburnya
dalam bentuk jelmaan manusia atau burung dan ia akan mencela tuannya yang
mati terbunuh itu. Demikian terang Mahmoud Matraji dalam Sahih Muslim yang
beliau terjemahkan, jld. 3B, m/s. 465), dan tidak boleh mempercayai
(kecelakaan) bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana
kamu lari dari seekor singa. (Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu,
dikeluarkan oleh al-Bukhari sahaja dengan lafaz di atas. Lihat Sahih Bukhari –
no: 5707. (Kitab at-Tibb, Bab (Penyakit) Kusta). Hadis seumpama juga
diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Umar dan Anas bin Malik radiallahu ‘anhuma
dan dikeluarkan oleh Malik, Ahmad, Bukhari, Muslim dan ramai lagi)

Perkataan Laa ‘Udwa (?? ????) biasanya diterjemahkan sebagai tiada penyakit
berjangkit atau tidak ada penyakit berjangkit. Akan tetapi dalam kaedah
bahasa Arab, perkataan Laa tersebut boleh memiliki dua erti, yang pertama
sebagai menunjukkan satu “peniadaan” (nafyun) dan yang kedua sebagai
menunjukkan satu “larangan” (nahyun). Kaedah bahasa Arab ini boleh juga kita
lihat dalam ayat al-Qur’an berikut:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang
termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan
niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan
tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa
mengerjakan ibadat Haji. (al-Baqarah, 2: 197)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas bukanlah bermaksud satu peniadaan


seperti tidak ada persetubuhan, tidak ada kemaksiatan dan tidak ada
pertengkaran kerana tiga perkara ini memang sentiasa wujud dan tidak boleh
dihapuskan begitu sahaja. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah larangan, iaitu
jangan bersetubuh, jangan bermaksiat dan jangan bertengkar.

Perhatikan pula sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis


berikut:

Tidak boleh membuat mudharat dan tidak boleh memudharatkan. (Sahih: Hadis
mutawatir dikeluarkan oleh Ahmad, ad-Daruquthni, Ibnu Majah dan lain-lain,
dinukil dan dinilai hasan oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 9899 juga
dinilai sahih oleh al-Albani dalam Irwa’-ul-Ghaleel – no: 896) Sekali lagi
perkataan Laa tidak bermaksud peniadaan kerana unsur mudharat memang
sentiasa wujud. Yang dimaksudkan adalah larangan iaitu jangan melakukan
sesuatu yang memudharatkan diri sendiri dan jangan pula melakukan sesuatu
yang memudaratkan orang lain.

Kembali kepada hadis asal di atas, yang dimaksudkan oleh Rasulullah


Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah tidak boleh membiarkan penyakit
menjangkit, membiak, menjalar, menular dan merebak. (Abdullah bin Ali an-
Najdy al-Qushaimy – Memahami Hadits-hadits Musykil, m/s. 101-107. Dalam bab
ini terdapat beberapa pendapat lain sebagaimana yang telah dihimpunkan oleh
Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari, jld. 11, m/s. 407-411. Lihat juga
al-‘Aini: Umdat al-Qari, jld. 14, m/s. 749-752, as-Suyuti: at-Tausih, jld. 8, ms
3552-3554, al-Qari – Mirqatul Mafatih Syarah Misykah al-Masabih, jld. 8, m/s.
341 dan seterusnya dan kitab-kitab syarah yang lain) Hadis tersebut tidak
bererti bahawa penyakit berjangkit tidak wujud. Bukankah di penghujung hadis
sedia terdapat petunjuk bahawa wujudnya penyakit yang berjangkit, iaitu
apabila Rasulullah menyuruh kita menjauhkan diri dari penyakit Kusta?
Perhatikan juga hadis-hadis di bawah ini sebagai penyokong kepada keterangan
penulis di atas, bahawa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah adalah
jangan membiarkan sesuatu penyakit itu menjangkit, merebak dan menular.

Janganlah orang yang sakit mengunjungi orang yang sihat. (Sahih: Hadis dari
Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Bukhari dan Abu Daud, lihat
Sahih Bukhari – no: 5771 & 5774. (Kitab at-Tibb, Bab Tidak boleh
menjangkitkan penyakit).)

Apabila kamu mendengar satu wabak penyakit berjangkit di sesuatu daerah


maka janganlah memasuki ia (daerah tersebut). Dan apabila kamu berada
dalam daerah yang sedang dilanda wabak penyakit berjangkit maka janganlah
kamu keluar darinya. (Sahih: Hadis dari Abdurrahman bin ‘Auf dan Sa’ad
radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Uwanah, Bukhari, Muslim
dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari – no: 5728 & 5729. (Kitab at-Tibb, Bab Apa
yang diperkatakan tentang wabak penyakit))

Ketiga: Kezaliman hukuman Rasulullah.

Dakwaan kezaliman ini merujuk kepada keterangan Anas bin Malik radiallahu
‘anhu dalam hadis berikut:

Bahawa datang beberapa orang yang sakit (kepada Rasulullah) dan mereka
berkata: Wahai Rasulullah, berilah kami tempat berlindung dan makanan.
Setelah itu mereka menjadi sihat semula, lalu mereka kata pula: Cuaca
Madinah kurang sesuai untuk kami.

Maka Rasulullah menghantar al-Harra (Beliau juga dikenali sebagai Yasar an-
Nubi yang berasal dari selatan Mesir. Beliau adalah adalah salah seorang budak
kerja Rsulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang mengembala unta-unta
tersebut. Demikian terang Jala Abu al rub dalam kitab Za’adul Ma’ad yang
diterjemahnya, jld. 1, m/s. 179) bersama beberapa unta betina kepunyaan
baginda dan berkata: Minumlah susu (dan air kencingnya). (Dalam beberapa
riwayat lain disebut dengan tambahan “dan air kencingnya”. Lihat Sahih
Bukhari – no: 5686. (Kitab at-Tibb, Bab Mengubati dengan air kencing unta))
Kemudian setelah menjadi sihat semula, mereka membunuh pengembala Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan menghalau unta-unta tersebut.

Lalu Rasulullah mengantar beberapa orang untuk mengejar mereka dan setelah
berjaya ditangkap, baginda memerintahkan agar tangan dan kaki mereka
dipotong dan mata mereka dicucuk dengan besi panas.

Aku (Anas bin Malik) melihat mereka menjilat tanah dengan lidah (kerana
dahaga) sehinggalah mereka mati. (Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad,
Bukhari, Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza-beza tetapi
dengan maksud yang sama. Lihat Sahih Bukhari – no: 5685. (Kitab at-Tibb, Bab
Mengubati dengan susu unta))

Sekali imbas kelihatan hukuman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas


adalah kejam lagi zalim. Akan tetapi bertenanglah kerana hukum tersebut
sebenarnya adalah Qishash atau timbal balik dari apa yang mereka lakukan ke
atas unta-unta dan pengembala Rasulullah yang bernama al-Harra. A’isyah
radiallahu ‘anha menerangkan bahawa unta-unta tersebut telah disiksa terlebih
dahulu sebelum dihalau. (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan an-
Nasai – no: 4048. (Kitab tentang darah yang diharamkan, Bab beberapa
perbezaan Thalhah bin Musharif.......)) Mereka kemudian memotong tangan
dan kaki pengembala Rasulullah (Disebut oleh Ibnu Ishaq dan dinukil oleh Ibnu
Qayyim dalam Hasyiyah Ibnu Qayyim Syarah Sunan Abu Daud, jld. 12, m/s. 18)
dan menyucuk matanya dengan besi panas. (Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dan
an-Nasai, lihat Sahih Muslim – no: 1671-7. (Kitab Perjanjian, Hukuman
Pembunuh, al-Qishash dan Diat, Bab Hukum pembunah dan orang murtad))
Setelah itu semua mereka murtad dari Islam dan mula memerangi umat Islam
lainnya. (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan an-Nasai – no: 4042.
(Kitab tentang darah yang diharamkan, Bab Beberapa perbezaan nukilan khabar
Humaid dari Anas))

Maka atas kekejaman mereka inilah Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa sallam


menghukum mereka dan hukuman yang dijatuhkan adalah serupa dengan
tindakan mereka sendiri. (Lebih lanjut lihat Ibnu Hajar al-Asqalani – Fathul
Bari, jld. 11, m/s. 286-288; al-‘Aini – Umdat al-Qari, jld. 14, m/s. 674-676 dan
lain-lain kitab syarah)

Demikian penjelasan bagi tiga hadis yang dikatakan aneh dan pelik, yang
pertama dijelaskan dari sudut sejarah kelahirannya (asbabul wurud), yang
kedua dari sudut kaedah bahasa Arab dan yang ketiga dari sudut himpunan dan
kajian lain-lain riwayat yang rapat berkaitan. Tiga kaedah ini jugalah yang
harus ditempuhi oleh sesiapa yang ingin mencari penjelasan bagi mana-mana
hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang pada awalnya kelihatan
aneh dan pelik. Janganlah terburu-buru membuat kesimpulan bahawa hadis-
hadis seperti ini adalah semata-mata rekaan dan dustaan orang-orang selepas
kewafatan Rasulullah kerana ini tidak lain hanya membuktikan kejahilan diri
sendiri sahaja.

Terdapat hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang


menceritakan tentang urusan dan perkara-perkara ghaib seperti azab dalam
kubur, peristiwa dalam syurga dan neraka, pengkhabaran syaitan dan jin dan
ramalan tentang perkara-perkara masa depan yang bakal terjadi. Padahal Allah
Subhanahu wa Ta’ala telahpun menerangkan dalam al-Qur’an bahawa urusan
dan perkara ghaib tidak dapat diketahui oleh sesiapa jua. Firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala:

Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui


perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah
masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). (an-Naml, 27:
65)

Demikian juga para Nabi dan Rasul Allah, mereka semua tidak mengetahui
perkara-perkara ghaib. Seandainya mereka berkata mereka mengetahuinya,
tergolonglah mereka di kalangan orang-orang yang zalim. Hal ini diungkapkan
oleh Allah Azza wa Jalla dalam ayat berikut melalui lisan Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam:

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan
Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan
aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata
terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah
tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa
yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian,
nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim. (Hud, 11: 31)

Oleh itu tidak syak lagilah bahawa hadis-hadis perkara ghaib ini bukanlah
berasal dari ajaran Rasulullah tetapi sebenarnya adalah rekaan dan dustaan
orang-orang selepas kewafatan baginda sekalipun ia memang tercatit dalam
kitab-kitab hadis yang sahih.

Jawapan:

Memang benar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengetahui akan


urusan dan perkara ghaib – kecuali apa yang diketahuinya dari wahyu dan
pengkhabaran Allah Tabaraka wa Ta’ala sendiri. Memang benar bahawa hanya
Allah Azza wa Jalla sahaja yang mengetahui urusan dan perkara ghaib akan
tetapi ketahuilah bahawa Allah adakalanya membuka pintu-pintu ilmu ghaib ini
kepada para Rasul-Nya. Hal ini dikhabarkan sendiri oleh Allah Subhanahu
waTa’ala melalui firman-Nya:

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak


memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun;
melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya; maka Ia mengadakan di
hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan
mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang
berkenaan). (al-Jinn, 72: 26-27)

Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an telahpun menerangkan bahawa Dia


mengajar Rasul-Nya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam perkara-perkara
yang tidak diketahuinya dan mewahyukan kepada baginda beberapa perkara
dan berita ghaib. Perhatikan dua ayat berikut:

Dan Allah telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran)


serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa
yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-
Nya kepada kamu amatlah besar. [an-Nisaa’ 4:113]

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa)


perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-
perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku
ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. (al-
An’aam 6: 50)

Oleh itu apa yang diterangkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
tentang urusan dan perkara ghaib bukanlah berasal dari pengetahuan atau
khayalannya sendiri dan bukan juga berasal dari rekaan serta dustaan orang-
orang selepas baginda. Ia sebenarnya berasal dari pengajaran dan wahyu yang
diwahyukan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada baginda.

Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebenarnya telah


mengakibatkan umat Islam menjadi mundur, jumud lagi terbatas fikiran
mereka. Ini adalah kerana dengan fahaman “mengikut sunnah Rasulullah” maka
umat Islam telah membataskan diri mereka kepada segala tradisi, perbuatan
dan tingkah laku Rasulullah sahaja, tidak lebih dari itu. Maka tinggallah umat
Islam masa kini mundur dengan fikiran dan perbuatan 1400 tahun yang lalu
manakala umat lain terus maju ke hadapan.

Jawapan:

Sebenarnya amalan “mengikut sunnah Rasulullah” bukanlah merupakan rekaan


manusia semata-mata tetapi adalah berdasarkan prinsip yang digariskan oleh
al-Qur’an sendiri. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan
yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan
(balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab, 33: 21)

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah
daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (‘Ali Imran, 3:
31)

Dua ayat ini jelas menyuruh kita umat Islam untuk mengikut dan mencontohi
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu mengikuti dan meneladani
percakapan, perbuatan, pengiktirafan, jalan pimpinan, etika, dan tatacara
baginda. Inilah yang dimaksudkan sebagai sunnah Rasulullah. Ikutan dan
teladan ini bukanlah sekadar satu anjuran sahaja tetapi adalah merupakan
prasyarat bagi seseorang itu membuktikan kasih sayangnya kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala. Inilah maksud ayat 31 surah ‘Ali Imran di atas, di mana
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman melalui ungkapan kata-kata Rasulullah,
bahawa seandainya seseorang itu mengasihi Allah maka hendaklah dia
membuktikan kasih sayang tersebut dengan mengikuti sunnah Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Perkara yang tidak disedari oleh Golongan Anti Hadis dan mungkin juga
sesetengah kita adalah bahawa sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
yang perlu kita ikuti hanyalah sunnah dalam urusan agama dan syari’at
manakala sunnah dalam urusan duniawi, kita diberikan kelonggaran. Dalil yang
membahagikan keumuman ayat-ayat Allah Ta’ala di atas kepada “dua jenis”
sunnah adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri:

Sesungguhnya aku hanyalah manusia, apabila aku memerintahkan kalian


sesuatu berkenaan agama kalian maka berpeganglah kalian dengannya dan
apabila aku memerintahkan kamu sesuatu daripada pandangan persendirian
maka aku hanyalah seorang manusia. (Sahih: Hadis dari Rafi bin Khadji
radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2362. (Kitab
al-Fadail, Bab Kewajipan Mengikuti Rasulullah dalam Urusan Agama dan Bebas
Mengikut Fikiran Sendiri dalam Urusan Lain). Terdapat juga hadis senada dari
Musa bin Talha radiallahu-anhu, Sahih Muslim – no:2361.)

Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian. (Sahih: Hadis dari Anas
bin Malik radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Malik dan Muslim, lihat Sahih
Muslim – no: 2363. (Kitab al-Fadail, Bab Kewajipan Mengikuti Rasulullah dalam
Urusan Agama dan Bebas Mengikut Fikiran Sendiri dalam Urusan Lain))

Kedua-dua hadis ini berasal dari peristiwa penanaman pokok kurma. Pernah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat orang-orang sedang
memindahkan debunga kurma antara pokok ke pokok bertujuan mempercepat
dan memperbanyakan penghasilan buah kurma. Melihat demikian Rasulullah
berkata: Aku tidak melihat adanya faedah padanya. Lalu mereka meninggalkan
usaha tersebut dan nyata selepas itu hasil kurma mulai berkurangan. Rasulullah
diberitahu akan akibat ini lalu baginda bersabda seperti dua hadis di atas.

Kedua-dua hadis ini jelas menerangkan bahawa umat Islam tidak diwajibkan
mengikuti keseluruhan perintah dan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam. Hadis-hadis ini menerangkan bahawa dalam perintah dan perbuatan
Rasulullah atau tepatnya – sunnah Rasulullah – terdapat dua kategori, yang
pertama adalah berkenaan risalah syari’at Islam dan yang kedua adalah
berkenaan pendapat dirinya sendiri sebagai seorang manusia. Yang pertama
wajib diikuti oleh semua umat Islam manakala yang kedua tidak wajib dikuti
melainkan dalam beberapa kes tertentu di mana baginda telah
memerintahkannya secara tegas.

Contohnya dalam urusan makanan, umat Islam boleh makan apa yang mereka
suka dengan cara masakan yang mereka gemari tanpa terikat kepada sunnah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Akan tetapi mereka wajib memastikan
bahawa makanan yang diperolehi adalah dari kaedah yang halal, iaitu halal
sembelihannya dan halal cara perolehannya dan wajib menyuap ke mulut
dengan tangan kanan tanpa mengira sama ada mengunakan jari-jari sendiri
atau dengan menggunakan perkakas sudu, garpu dan pisau. Juga dilarang
makan di atas perkakas yang diperbuat dari logam berharga. Disunatkan juga
untuk berdoa sebelum dan selepas makan, tidak makan secara berlebihan,
hendaklah berkongsi makanan, menghabiskan (melicinkan) semua yang
tertinggal dipinggan dan jari, dan beberapa lagi – semua ini dikatakan wajib
dan sunat hukumnya kerana ia telah diperintah, dilarang dan dianjurkan secara
terperinci oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Contoh kedua ialah dalam urusan peperangan di mana umat Islam bebas
menggunakan apa sahaja senjata dan strategi peperangan tanpa terikat kepada
pedang, lembing dan anak panah sebagaimana yang digunakan oleh Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan umat Islam di zaman baginda. Akan tetapi
umat Islam tetap wajib mengikuti beberapa sunnah Rasulullah dalam urusan
peperangan, antaranya memberi masa tiga hari kepada pihak musuh untuk
berserah diri sebelum menyerang mereka, tidak membunuh wanita serta kanak-
kanak dan tidak merosakkan tanaman dan harta benda. Semua ini wajib diikuti
kerana telah diperintah dan dilarang secara terperinci oleh Rasulullah.

Contoh ketiga ialah dalam kaedah pengubatan penyakit. Umat Islam tidak
diwajibkan berubat dengan perubatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
seperti berbekam, minum madu bagi sakit perut, bercelak bagi menjaga
penglihatan mata, minum air Habatus Saudah bagi penyakit umum dan pelbagai
lagi. Akan tetapi umat Islam tetap terikat dengan beberapa sunnah Rasulullah
dalam urusan perubatan ini kerana ia telah diperintahkan secara khusus oleh
beliau, antaranya ialah wajib berubat bagi setiap yang sakit, tidak boleh
berubat dengan bahan yang diharamkan dan orang yang mengubati (doktor)
mestilah yang bertanggung jawab dalam kerjanya.

Demikian tiga contoh bagi membezakan antara sunnah duniawi Rasulullah


Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang wajib dan tidak wajib diikuti. Umumnya
sesuatu sunnah Rasulullah dalam konteks beliau sebagai seorang manusia biasa
tidak wajib kita ikuti kecuali jika sunnah tersebut memiliki perintah atau
larangan yang tegas di dalamnya. Jika seseorang itu dapat membezakan antara
“dua jenis” sunnah ini seperti siang dan malam, maka tidak akan timbul lagi
dakwaan bahawa mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
bererti mengikut tamadun dan peradaban yang 1400 tahun terkebelakang.

Adalah juga tidak benar dakwaan bahawa sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam telah menyebabkan umat Islam jadi mundur dan tidak maju. Perlu
ditentukan apakah faktor sebenar yang menyebabkan kemunduran tersebut,
adakah sunnah Rasulullah atau sunnah umat Islam masa kini yang tidak berilmu,
tidak kreatif, tidak inisiatif, serba malas, serba lemah rohani dan jasmani, suka
bertengkar, leka dengan dunia, tamak dengan harta, memikirkan diri sendiri
dan pelbagai lagi.

Sebenarnya jika dikaji, ditelaah dan diselidiki sunnah-sunnah Rasulullah


Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan didapati bahawa ia sangat-sangat
menganjurkan umat Islam ke arah kemajuan dan kejayaan. Sebagai langkah
pertama, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan umatnya
menuntut ilmu. Perintah beliau:

Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim. (Sahih: Hadis mutawatir
dikeluarkan oleh Ibnu Adiy, al-Baihaqi, ath-Thabarani, al-Khatib dan lain-lain,
dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 5264 dan
dipersetujui sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii-us-Sagheir – no:
3913)

Orang yang memiliki ilmu adalah lebih utama kedudukan mereka dari orang
yang beribadah sahaja, sebagaimana yang dineracai oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam:

Keutamaan ilmu adalah lebih baik dari keutamaan ibadah dan sebaik-baik
agama kalian adalah bersifat wara’. (Hasan: Hadis dari Hudzaifah bin al-Yaman
radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath dan
al-Bazzar, dinukil dan dinilai hasan oleh al-Mundziri dalam at-Tarhib wat-
Targhib – no: 103 (Kitab al-Ilmu, Bab Anjuran dalam berilmu.......) dan
dipersetujui hasan oleh pentahqiq Samir Ahmad al-‘Atha dan rakan-rakan.)

Pasti sahaja yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah orang-orang yang
menyibukkan diri dengan ibadah sunat sahaja, yang wajib tetap wajib. Selain
itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga sangat menganjurkan umatnya
untuk berfikir, berikhtiar, kreatif lagi inisiatif. Anjuran ini dapat kita fahami
dari hadis baginda yang tidak mahu umatnya mengikut dirinya sahaja semata-
mata tetapi terus maju ke hadapan dalam urusan duniawi masing-masing:

Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menganjurkan umat Islam untuk


mencari, mengambil dan memanfaatkan ilmu, kepakaran dan pengetahuan dari
sesiapa sahaja termasuk dari orang-orang bukan Islam asalkan ilmu tersebut
tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sabda baginda:

Kalimah al-Hikmah ialah barangan orang Islam yang hilang, di mana sahaja
kamu menjumpainya kamulah yang lebih berhak terhadapnya.

Seterusnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sangat menganjurkan umat


Islam untuk berkerja. Adalah tidak benar dakwaan dan tafsiran segelintir umat
Islam bahawa sunnah Rasulullah hanya menekankan kehidupan di Akhirat dan
meremehkan kehidupan di dunia. Perhatikan sabda Rasulullah berikut ini:

Seandainya Hari Kiamat (hampir) datang dan di tangan seseorang kalian


terdapat sepohon kurma yasng hendak ditanamnya, jika dia mampu
menanamnya sebelum Kiamat tersebut maka hendaklah dia menanamnya.
(Sahih: Hadis dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, at-
Taylisi, al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad - no: 479 dan lain-lain, dinilai sahih
oleh Nasiruddin Albani dalam Silsilah Hadis Sahih – no. 09)

Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sebenar adalah hendaknya


setiap orang Islam berkerja di dunia ini dan perkerjaan tersebut hendaklah
dilakukan sebaik mungkin, secara profesional, bijak, cekap dan kompeten.
Kecekapan seseorang Muslim itu diumpamakan oleh Rasulullah seperti orang
yang dapat membunuh cicak dengan sekali pukulan maka dia mendapat sekian-
sekian markah manakala sesiapa yang berjaya membunuh hanya selepas dua
kali cubaan maka dia mendapat markah yang kurang dan begitulah seterusnya.
Kecekapan dan kehandalan seorang mukmin itu juga mengelak diri mereka dari
melakukan dua kesilapan yang sama secara berulang, diumpamakan oleh
Rasulullah seperti orang yang tidak akan disengat dari satu sarang binatang dua
kali.

Perhatikan hadis-hadis berikut:

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu berkerja, dia berkerja
dengan cemerlang. (Sahih: Hadis dari A’isyah radiallahu ‘anha, dikeluarkan
oleh Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad an-Nadwi
dalam Jamii’ li Syu’aib al-Iman – no: 4930 (Bab Tentang Amanah...))
Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berkerja, apabila dia berkerja dia
melakukannya secara ihsan (sebaik-baiknya, sesempurna mungkin). (Hasan:
Hadis dari Kulaib bin Shahab, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-
Kabir dan al-Baihaqi dalam Jamii’ li Syu’aib al-Iman – no: 4932, isnadnya daif
sepertimana terang Mokhtar Ahmad al-Nadwi. Namun penulis menilainya hasan
kerana matannya disokongi oleh sebuah hadis lain dari Syaddad bin Aus dalam
Sahih Muslim – no: 1955 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan
dalam segala hal. Jika kalian membunuh (binatang buruan) maka hendaklah
dibunuh dengan ihsan. Jika kalian menyembelih, sembelihlah dengan ihsan.
Hendaklah seseorang kamu menajamkan pisaunya dan mengistirehatkan
sembelihannya (terlebih dahulu))

Sesungguhnya Allah Ta’ala mencintai seseorang mukmin yang profesional.


(Hasan: Hadis dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, dikeluarkan oleh
ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dan al-Baihaqi dalam Syu’aib al-Iman,
dinukil dan dinilai daif oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 1873. al-
Munawi telah membincangkan kedaifan isnadnya dalam Faidh al-Qadir Syarah
Jamii-us-Sagheir, jld 2, ms 290-291 dan beliau menukil kata-kata as-Sakhawi
bahawa hadis ini memiliki beberapa penguat (syawahid). Penulis berkata,
penguatnya adalah dari sudut matan di mana ia selari dengan hadis-hadis lain
yang telah dinukil dalam bab ini di mana semuanya menganjurkan orang Islam
berkerja dengan sebaik-baiknya)

Sesiapa yang membunuh seekor cicak dengan sekali pukulan maka baginya
sekian-sekian kebaikan. Dan sesiapa yang membunuhnya dengan pukulan yang
kedua maka baginya sekian-sekian kebaikan, kurang dari yang pertama tadi.
Dan jika seseorang dapat membunuhnya dengan pukulan yang ketiga maka
baginya sekian-sekian kebaikan, kurang dari yang kedua tadi. (Sahih: Hadis dari
Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan lain-lain,
lihat Sahih Muslim – no: 2240. (Kitab as-Salam, Bab Dorongan membunuh
cicak).)

Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang
binatang) yang sama. (Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu
dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2998.
(Kitab az-Zuhud dan Kata-kata yang melembutkan hati (ar-Raqaiq), Bab
Seorang mukmin tidak akan disengat dua kali .......))

Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga tidak menghalang


seseorang itu dari memiliki harta, asalkan sahaja harta tersebut diperolehi
secara halal dan dimanfaatkan secara halal juga. Dia tidak kikir dan tidak
boros, tidak leka dan tidak terlalu khusyuk dengannya. Inilah maksudnya harta
yang dimiliki oleh seorang yang soleh sebagaimana sabda baginda:

Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh.
(Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari ‘Amr al-Ash radiallahu-anhu,
dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Ya’la, dinilai sahih oleh al-Haithami dalam
Majma az-Zawaaid – no: 6242)

Demikian beberapa hadis terpilih dari puluhan lain yang sedia ada, semuanya
menganjurkan kita untuk menjadi umat yang berilmu, berfikir, berkerja dan
sentiasa berusaha ke arah kejayaan. Terdapat beberapa hadis lain yang pada
zahirnya seolah-olah menyuruh umat untuk menyisihkan dunia dan segala
urusannya. Hadis-hadis seperti ini sebenarnya tidak terlepas dari dua
penjelasan:

[1] Isnadnya daif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Hadis-hadis sebegini memang
banyak disebarkan oleh segelintir ahli zuhud, ahli tereqat dan mereka yang
sempit pandangan tentang Islam. Hadis-hadis ini tidak boleh dijadikan hujah.

[2] Jika isnadnya sahih, maka yang dimaksudkan adalah memberi peringatan
kepada umat supaya tidak terlalu leka dan taksub dengan urusan duniawi
sehingga lupa tentang kehidupan Hari Akhirat. Islam mengajar umatnya supaya
berusaha untuk kejayaan dunia dan Hari Akhirat, tidak dunia sahaja atau Hari
Akhirat sahaja. Islam juga mengajar umatnya bahawa berusaha di dunia
bukanlah untuk meraih ganjaran duniawi semata-mata tetapi ia hanya satu
jalan untuk mencapai ganjaran yang hakiki di Hari Akhirat kelak.

Dalam Sirah Nabawiyah kita dapat melihat bagaimana Rasulullah Shallallahu


‘alaihi wa Sallam dalam masa 23 tahun telah menukar satu generasi manusia
yang berpuak-puak, jahil lagi mundur menjadi satu generasi yang bersatu, maju
lagi berjaya. Ini adalah bukti terkuat tentang peranan yang dimainkan oleh
sunnah Rasulullah dalam membimbing umat ke arah kejayaan. Oleh itu sangat
perlu dibezakan apakah faktor sebenar yang menyebabkan kemunduran umat
masa kini. Tegasnya kemunduran umat masa kini bukanlah kerana mengikuti
sunnah Rasulullah tetapi adalah kerana meninggalkannya atau tidak
memahaminya dengan pemahaman yang sebenar.

You might also like