You are on page 1of 2

Dalam meniti arus pemodenan, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering sahaja

menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama pada dada-dada akhbar tempatan di Malaysia. Fenomena ini
kian berada pada zon kritikal dan secara tidak langsung menggusarkan fikiran masyarakat. Senario yang
menggemparkan ini tidak wajar dibiar secara berterusan. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, usaha-
usaha pragmatik perlu diimplimentasikan oleh masyarakat bagi mengatasi masalah ini daripada terus menular.

Usaha primer dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya ialah dengan memperbaiki disiplin
pemandu itu sendiri. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu yang
dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, majoriti pemandu masih menggunakan
telefon bimbit ketika memandu di mana secara tidak langsung menjadi punca mereka kehilangan fokus dan
berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikuti
peraturan jalan raya perlu hadir dalam diri setiap masyarakat kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang
digubal kerajaan bagai hujan jatuh ke pasir sahaja. Setiap masyarakat wajar mendisiplinkan diri ketika berada
di atas jalan raya bagi menjamin keselamatan bersama dengan mengikuti undang-undang di jalan raya.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Anak-anak
diumpamakan seperti kain putih, ibu bapa yang perlu mencorakkannya. Oleh itu, dalam konteks ini, ibu bapa
perlu menjadi ‘role model’ kepada anak-anak. Ibu bapa sewajarnya mematuhi undang-undang ketika berada
di atas jalan raya agar dapat dicontohi oleh anak-anak kelak mereka dewasa. Penerapan nilai-nilai murni serta
kesedaran mengenai kepentingan mematuhi keselamatan jalan raya ini dapat disemai dalam jiwa anak-anak
melalui pelbagai kaedah. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah sentiasa bertolak ansur ketika berada di jalan
raya yang sesak. Sekiranya anak-anak melihat ibu bapa mereka memotong barisan kereta dengan menggunakan
lorong kecemasan, secara tidak langsung persepsi mereka akan berubah kepada negatif. Oleh hal yang demikian,
sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memainkan peranan yanag sangat penting dalam usaha mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya ini. Pendedahan awal kepada anak-anak amat vital kerana pada ketika inilah
mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada
rebungnya.

Usaha seterusnya dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran
kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Modus operandi utama
kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika ketika berada di
atas jalan raya dalam kalangan masyarakat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi
sekolah, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Kempen ini tidak tertumpu kepada badan kerajaan sahaja,
masyarakat setempat atau pihak swasta turut boleh berganding bahu menjalankan tanggungjawab sosial
mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar
mahupun medium internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan
bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batuk di tangga. Secara tidak langsung,
masyarakat akan menyedari bahawa pihak kerajaan mahupun penganjur kempen kesedaran ini bersungguh-
sungguh dan bertegas dalam usaha mengurangkan isu kecelakaan jalan raya.

Usaha lain yang boleh diimplikasikan ialah masyarakat memainkan peranan melakukan aduan secara
atas talian mahupun bertulis mengenai isu-isu keselamatan jalan raya kepada pihak bertanggungjawab untuk
tindakan selanjutnya. Misalnya, mengenai struktur jalan raya. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik
sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja,
keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu turut berisiko kepada pengguna jalan raya
terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta
mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan
berlaku sekiranya kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan
dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya seperti peribahasa sediakan payung sebelum hujan.
Masyarakat sewajarnya memberi kerjasama dengan melaporkan setiap isu yang berisiko mengundang
kemalangan jalan raya untuk menjamin keselamatan bersama.
Intihannya, masyarakat perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap usaha yang
diambil mendatangkan kesan yang positif dan efektif secara majoriti kepada masyarakat. Sekiranya segala
usaha telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai
ini berkembang dengan pesat menuju ke arah status negara maju seperti peribahasa duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu
bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini secara total. Ingatlah, “pandu cermat, jiwa
selamat!”

You might also like