You are on page 1of 9

Banjir Kilat: Peningkatan Risiko dan Pendedahan Masyarakat Bandar

Chan Ngai Weng

Chan Ngai Weng, PhD (Middx.) ialah Profesor Madya di PP Ilmu Kemanusiaan dalam bidang Geografi

Di Malaysia, risiko dan terdedahnya manusia kepada bahaya banjir kilat, khasnya di kawasan
bandar-bandar besar yang mempunyai taburan penduduk yang padat serta kadar binaan yang
tinggi, telah meningkat dengan signifikannya dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Hal ini terbukti
oleh kejadian-kejadian banjir kilat yang serius di sekitar bandar utama negara seperti Kuala
Lumpur, Georgetown, Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain (Chan, 1996a).

Biasanya, sebab utama banjir kilat ialah aliran permukaan pesat akibat perubahan guna tanah
(dari permukaan telapair seperti hutan kepada permukaan tidak telapair seperti konkrit, simen
dan asphalt), alur-alur sungai dan longkang yang tersekat, berkurangnya keupayaan sungai melalui
pemendapan kelodak dan kejadian hujan ribut seperti hujan ribut perolakan yang lebat.

Lazimnya, banjir kilat berlaku dengan pesat (iaitu beberapa minit hingga setengah jam selepas
hujan berlaku) tetapi juga berakhir dengan cepat (iaitu jangka hidupnya adalah dari setengah jam
hingga sehari).

Manusia kini telah tiba pada satu peringkat evolusinya apabila kemajuan teknologi
membolehkannya mempengaruhi dan mengawal banyak aspek alam semula jadinya. Justeru itu,
manusia telah dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam penetuan masa depan tamadun.
Walaupun manusia masih belum dapat mengawal berbagai-bagai fenomena alam semula jadi
seperti kejadian hurikan, taufan, letusan gunung berapi dan gempa bumi, kemajuan teknologi
telah membolehkan manusia memodifikasikan dan mengubahkan pelbagai fenomena alam seperti
hujan (melalui pembuatan ‘hujan tiruan), aliran permukaan (melalui pengawalan guna tanah),
kemarau dan bekalan air (melalui pengairan dan saliran), cuaca dan iklim (melalui pencemaran dan
pembandaran) dan lain-lain.

Di dalam kes banjir kilat, memang terdapat pelbagai cara struktur dan bukan struktur untuk
mengawasinya. Pengurusan banjir yang cekap dengan menggunakan teknologi semasa patut dapat
mengurangkan kejadian banjir kilat. Namun begitu, beberapa aspek banjir kilat seperti magnitud,
kekerapan dan tempoh kejadian didapati terus meningkat di kebanyakan tempat di Malaysia,
khasnya di bandar-bandar besar yang mengalami pembangunan pesat (Jamaluddin, 1985).

Banjir bulan September 1995 di Pulau Pinang dan banjir bulan Disember 1995 di Shah Alam dan
Kuala Lumpur ialah contoh-contoh yang ketara (Chan dan Goh, 1995a). Di Georgetown, khasnya di
sekitar Jalan P. Ramlee dan Jalan Perak, banjir kilat sering berlaku di kebanyakan tempat setiap
kali hujan lebat berlaku untuk beberapa jam.

Keadaan ini juga berlaku di Kuala Lumpur di sekitar Jalan Kelang Lama, Kampung Baru, Pantai
Dalam dan Kampung Haji Hukum Abdullah. Di bandar-bandar tersebut, banjir kilat telah menjadi
begitu kerap sehingga alasan pihak-pihak berkenaan bahawa banjir disebabkan oleh ‘tindakan
Tuhan’ tidak dapat diterima lagi.

Rakyat kini adalah lebih berpendidikan, lebih sedar akan masalah alam sekitar dan juga mendapat
maklumat semasa dengan lebih kerap. Mereka lebih yakin bahawa kejadian banjir kilat
disebabkan oleh kesilapan manusia dan kegagalan pengurusannya daripada hasil ‘Tuhan’ atau hasil
fenomena semula jadi.

Banjir kilat bukan seluruhnya dihasilkan oleh ‘tindakan manusia’ mahupun oleh ‘tindakan semula
jadi’. Tanpa hujan ribut, dataran banjir mungkin tidak begitu kerap ditenggelami. Namun begitu,
pilihan manusia untuk mendiami dan membangunkan dataran banjir dengan pesat, khasnya di
bandar-bandar besar, merupakan sebab utama meningkatnya kejadian banjir kilat. Masalah ini
kian meruncing kerana manusia berterusan membangunkan dataran banjir, memusnahkan kawasan
hutan dan memotong cerun bukit untuk pembangunan.

‘Bahaya banjir’ merupakan satu fenomena atau kejadian yang mewujudkan ancaman atau bahaya
kepada manusia. Banjir bukannya ‘bahaya’ dalam semua konteks pada semua masa. Misalnya, banjir
yang berlaku di kawasan bakau dan paya yang tidak didiami orang bukannya suatu bahaya.
Sebaliknya, ia mungkin dikelaskan sebagai suatu ‘sumber’ alam kerana banjir itu dapat menjadikan
tanah di sekitarnya lebih subur dengan membawa masuk zat-zat dari tempat lain.

Banjir hanya menjadi bahaya apabila melibatkan masyarakat manusia, khususnya kejadian banjir
yang berlaku di kawasan berpenduduk padat yang berpotensi mengakibatkan kehilangan nyawa
dan kemusnahan harta benda. Oleh itu bahaya banjir ialah potensi ancamannya.

Bahaya banjir boleh berubah menjadi buruk sehingga dianggap ‘bencana banjir’, apabila kesannya
mengakibatkan kemusnahan besar dan/atau kehilangan nyawa manusia yang signifikan. Dalam
sesuatu bencana banjir, hampir seluruh masyarakat manusia menjadi mangsa. Sistem-sistem
sokongan dalam masyarakat tersebut menjadi terjejas dan mekanisme penyesuaiannya juga
musnah. Lazimnya, kehilangan nyawa adalah tinggi.

Kerugian Banjir Kilat

Di Malaysia, kematian yang diakibatkan oleh banjir kilat tidaklah sebesar seperti yang dialami
oleh Bangladesh, iaitu beratus-ratus ribu nyawa sering terkorban.

Namun begitu, kerosakan kepada harta benda, kemusnahan infrastruktur, kehilangan perniagaan
dan kehilangan nyawa adalah signifikan (Chan, 1995). Misalnya, walaupun tiada kajian teliti yang
dijalankan, jumlah kerugian dalam banjir 1971 di Kuala Lumpur, banjir Jun 1991 dan banjir
September 1995 di Pulau Pinang, dan banjir Disember 1995 di Shah Alam, Selangor dianggarkan
berjuta-juta ringgit.

Kos tahunan yang dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia dalam mengendali operasi bantuan bencana
banjir (persiapan, penyelamatan, pemindahan, penempatan sementara, pembekalan makanan dan
pakaian, serta pemuliharaan mangsa-mangsa banjir) adalah besar. Dari segi kehilangan nyawa,
hampir setiap tahun di merata tempat di Malaysia terdapat mangsa yang terkorban.

Biasanya, kerugian akibat banjir yang dianggarkan oleh pihak kerajaan (misalnya oleh Jabatan
Pengairan dan Saliran atau oleh Kementerian Pertanian) tertumpu pada kerosakan tanaman,
ternakan, infrastruktur awam dan bangunan awam.

Setakat ini, tiada kajian mendalam yang meneliti kerugian yang dialami oleh pihak swasta dan
orang awam. Jika kerugian swasta dan orang awam dikira, maka jumlah kerugian akibat banjir
mungkin menjadi sangat besar. Misalnya, kajian kerugian banjir yang dijalankan oleh Japan
International Cooperation Agency (JICA) menunjukkan bahawa purata potensi kerugian bagi satu
kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam 10 adalah kira-kira RM500 juta dalam nilai
mata wang 1988. Nilai ini akan meningkat sehingga kira-kira RM1,000 juta dalam tahun 2005.
Jika sesuatu kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam 200 tahun berlaku, maka jumlah
kerugian akan meningkat menjadi RM2,500 juta dalam tahun 2005.

Kerugian akibat banjir pada harta benda swasta, perniagaan dan industri juga sangat signifikan.
Kerugian yang dialami termasuklah kerugian langsung dan kerugian tidak langsung, kerugian boleh
dikesan (tangible loss) dan kerugian tidak boleh dikesan (intangible loss). Misalnya, Chan (1995)
mendapati bahawa purata kerugian sesuatu banjir yang dialami oleh sebuah isi rumah dalam tahun
1993 adalah dalam lingkungan RM1,393.

Jumlah kerugian ini nampaknya tidak besar tetapi apabila dibandingkan dengan purata
pendapatan isi rumah yang menetap di dataran banjir, maka ia akan menjadi signifikan. Dalam
kajian ini, hampir separuh daripada isi rumah yang dikaji mempunyai purata pendapatan bulanan di
bawah RM500.

Di dalam kajian yang sama terhadap perniagaan, didapati bahawa hampir semua kedai perniagaan
telah mengalami kerugian akibat banjir kilat. Kira-kira 58.9% daripada bilangan pemilik
perniagaan yang dikaji mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian melebihi RM1,000
dalam banjir kilat yang baru berlaku.Kira-kira 58.9% daripada bilangan pemilik perniagaan yang
dikaji mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian melebihi RM1,000 dalam banjir kilat
yang baru berlaku.

Yang lebih signifikan ialah bahawa 9.3% daripada pemilik perniagaan mengalami kerugian melebihi
RM10,000. Kerugian yang dialami oleh industri juga amat besar. Ini demikian kerana banjir sering
menyebabkan terganggunya syif kerja dan mengakibatkan kerosakan bahan mentah, barangan
siap dan jentera. Memandangkan Pulau Pinang banyak bergantung pada sektor industri, maka
kesan banjir kilat menjadi amat penting diketahui.

Kajian ini menunjukkan bahawa kerugian akibat banjir yang dialami oleh industri adalah antara
RM10,000 hingga RM500,000 setiap kilang. Jumlah kerugian biasanya bergantung pada jenis dan
saiz kilang, dan juga magnitud dan tempoh banjir.

Sebab-sebab Meningkatnya Risiko dan Terdedahnya Masyarakat Bandar pada Banjir Kilat

Malaysia mengalami rejim iklim khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun. Ciri utama
iklimnya ialah jumlah hujan tahunan lebat di antara 1,500 mm hingga melebihi 3,500 mm (Rajah
1). Yang lebih penting ialah kejadian tempoh-tempoh hujan lebat berterusan, biasanya selama
beberapa hari dengan intensiti hujannya adalah lebat. Misalnya, jumlah hujan sebanyak 610 mm
dalam masa 24 jam merupakan suatu kelaziman.

Pada umumnya, kejadian hujan ribut perolakan semasa musim-musim peralihan monsun pada bulan-
bulan April dan Oktober adalah serentak dengan kejadian banjir kilat. Namun begitu, banjir kilat
juga sering berlaku di pantai timur semasa musim monsun timur laut. Di pantai barat
semenanjung, kejadian banjir kilat juga berlaku pada musim monsun barat daya di negeri-negeri
utara semenanjung seperti Kedah dan Perlis.
Semasa musim monsun barat daya, angin barat selatan yang diikuti kejadian ‘badai selari’ (line
squalls) yang dikenali sebagai ‘Angin Sumatra’ juga membawa hujan lebat di pantai barat
semenanjung, khasnya di Pulau Pinang dan sepanjang pantai Kedah dan Perlis. Pada masa itu,
banjir kilat sering berlaku.

Banjir kilat juga telah menjadi semakin kerap pada tahun-tahun kebelakangan ini dan
menyebabkan meningkatnya risiko, terdedahnya manusia atau vulnerabiliti manusia kepada banjir.
Kawasan dataran banjir memang telah lama merupakan kawasan penempatan yang menarik bagi
penduduk Malaysia.

Dari segi sejarah, penduduk awal telah menetap di tepi sungai, muara sungai dan di sekitar
dataran banjir berhampiran sungai. Cara penempatan ini mungkin disebabkan oleh kemudahan
bekalan air, pertanian dan pengairan, perikanan, pengangkutan dan perhubungan, perlombongan
(bijih timah) dan pertahanan. Oleh sebab kebanyakan penempatan terletak di tepi sungai, maka
dataran banjir merupakan kawasan yang padat dengan penduduk.

Pada masa ini, telah dianggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 2.5 juta orang yang
menetap di dataran-dataran banjir di Malaysia. Mereka inilah yang mengalami risiko tinggi dan
yang terdedah kepada bahaya banjir. Dataran banjir juga merupakan kawasan tertumpunya
kebanyakan aktiviti ekonomi.

Jadual 2 menunjukkan taburan pusat-pusat bandar di kawasan dataran banjir di Malaysia. Tiga
pusat yang terbesar terletak di kawasan dataran banjir.mDi samping itu, lima daripada 10 pusat
yang terbesar juga terletak di kawasan dataran banjir dan setengah daripada semua pusat
bandar terletak berhampiran dengan sungai. Justeru itu, maka tidak hairanlan bahawa risiko dan
terdedahnya masyarakat manusia kepada banjir adalah tinggi.

Pembangunan pesat yang diiringi oleh kadar pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia pada tahun-
tahun lewat 1980-an hingga sekarang makin meruncingkan masalah banjir kilat.

Dari 1988 hingga 1995, ekonomi Malaysia telah tumbuh pada kadar 8.0% setahun dan tanda-
tanda menunjukkan bahawa ia akan tumbuh dengan lebih pesat lagi pada tahun-tahun yang akan
datang. Dengan kadar pembangunan yang begitu pesat menuju ke arah pencapaian matlamat
negara sebagai negara perindustrian baru (NIC), maka lebih banyak kawasan bandar akan
berkembang dan lebih banyak kawasan dataran banjir juga akan dimajukan.

Penghijrahan penduduk desa-bandar juga mempengaruhi taburan penduduk yang padat di kawasan
dataran banjir bandar. Memandangkan dasar kerajaan menggalakkan penduduk luar bandar
meningkatkan taraf hidup mereka, maka ramai penduduk luar bandar telah berhijrah ke bandar-
bandar untuk mencari kemewahan.

Kebanyakan penghijrah ini kemudian tertumpu di kawasan setinggan di bandar-bandar besar. Di


Kuala Lumpur, penghijrah-penghijrah biasanya didapati menetap di kawasan setinggan di sekitar
Kampung Baru, Kampung Abdullah Haji Hukum. Kampung Pantai Dalam, Jalan Kelang Lama dan
Brickfields dan kesemua kawasan berhampiran sungai yang sering dilanda banjir kilat.

Pertumbuhan penduduk bandar yang disebabkan oleh penghijrahan desa-bandar dan pertumbuhan
semula jadi telah membawa kepada tekanan-tekanan terhadap tempat kediaman. Kekurangan
rumah kos rendah telah menyebabkan proses persetingganan menjadi semakin tidak terkawal.
Dari 1911 hingga 1990, kadar pembandaran telah meningkat dari 10.7% hingga 44.7%. Bilangan
pusat-pusat bandar juga telah bertambah lebih daripada lapan kali (Jadual 3). Misalnya,
pembangunan adalah begitu pesat sehingga pusat-pusat bandar Kuala Lumpur-Petaling Jaya-Shah
Alam -Kelang akan menjadi satu konurbasi berterusan di sepanjangnya lurah Kelang menjelang
tahun 2020. Telah dianggarkan bahawa jumlah keluasan kawasan bandar di bahagian tengah lurah
Kelang pada tahun 2005 ialah 80.0%.

Di kebanyakan bandar di Malaysia, bencana banjir kilat semakin meningkat dari segi kekerapan
dan magnitud kerana manusia memilih untuk menetap di dataran banjir, tidak mengambil berat
tentang bahaya banjir, mengurus banjir dengan tidak baik, memajukan tanah dengan berlebihan
(khasnya tanah bukit), dan memusnahkan sumber hutan dalam kadar yang pesat. Di Georgetown
dan Kuala Lumpur, pembangunan pesat di dataran banjir telah mencetekkan dasar sungai;
pembuangan sampah sarap menghalang aliran sungai; dan penggunaan tebing sungai untuk
pertanian haram, perumahan haram (setinggan) dan tujuan lain sekurang-kurangnya telah
mengakibatkan meningkatnya kekerapan banjir kilat (Chan, 1996a dan 1996b).

Dalam usaha giat mencapai taraf perindustrian, Malaysia mungkin akan terjatuh ke dalam ranjau
seperti yang telah menimpa kebanyakan negara maju pada suatu ketika dahulu. Misalnya, Britain
dan Amerika Syarikat telah mengalami pertambahan kadar kerosakan harta benda dan kehilangan
jiwa sebagai akibat kejadian banjir dan hal ini terjadi kerana kadar pembangunan yang pesat di
dataran-dataran banjir.

Tambahan lagi, pembangunan yang pesat lazimnya menitikberatkan aspek-aspek ekonomi dengan
mengorbankan aspek-aspek perlindungan banjir. Hal ini mewujudkan strategi pembangunan tidak
seimbang yang mengorbankan prinsip-prinsip perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar.

Berdasarkan hasrat dan objektif kerajaan yang terkandung di dalam wawasan 2020nya, Malaysia
akan meningkatkan lagi usaha-usahanya di dalam perindustrian dan mempercepat lagi kadar
pembangunan ekonominya dalam tahun-tahun 1990-an sehingga tahun 2020.

Justeru itu, semakin banyak kawasan dataran banjir akan dibangunkan dan lebih banyak harta
benda, kemudahan awam dan infrastruktur akan menjadi terdedah kepada banjir.

Walaupun wawasan 2020 merangkumi aspek-aspek perlindungan alam sekitar, proses lain seperti
pertumbuhan penduduk yang pesat dan migrasi desa-bandar, dan perkembangan sektor swasta
dalam perniagaan, perdagangan, perumahan dan industri akan mendedahkan lebih ramai penduduk
kepada risiko dan bahaya banjir. Sehubung dengan itu, vulnerabiliti penduduk yang tinggal di
dataran banjir terhadap banjir akan menjadi lebih tinggi.

Selain sebab-sebab yang dinyatakan di atas, bergantinya hutan khatulistiwa yang padat dengan
permukaan-permukaan tiruan yang tidak telapair seperti simen, konkrit, asphalt, tar dan tanah
terdedah telah meningkatkan risiko, terdedahnya penduduk pada banjir kilat di bandar-bandar
utama di Malaysia.

Permukaan-permukaan tiruan mengurangkan dengan signifikannya masa tangguhan titisan hujan


tiba ke dalam sistem saliran (sungai atau longkang). Di dalam sebuah ekosistem hutan semula jadi,
titisan-titisan hujan terpaksa melalui beberapa proses fizikal yang memanjangkan masa air hujan
tiba ke dalam sistem saliran. Tambahan lagi, hutan dan tanah juga berupaya menyerap sebahagian
daripada hujan. Justeru itu, hanya sebahagian kecil air hujan yang turun dalam ekosistem semula
jadi akan masuk ke dalam sistem saliran.
Sebahagian besar telah diserap oleh tumbuhan dalam hutan dan juga oleh tanah sebagai simpanan
air tanah. Maka hutan bukan sahaja memanjangkan masa tangguhan tetapi juga menyerap banyak
hujan. Sebaliknya, di bawah keadaan permukaan tiruan yang tidak telapair di bandar, hampir
kesemua air hujan yang turun akan masuk ke dalam sistem saliran pada tempoh masa yang
singkat. Akibat nya masa tangguhan kadangkala cuma beberapa minit sahaja. Aliran yang begitu
pesat ke dalam alur-alur sungai dan longkang-longkang saliran akan menyebabkan banjir kilat
berlaku.

Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait dengan pengawalan banjir


yang kurang efektif juga merupakan salah satu sebab meningkatnya kekerapan banjir kilat.
Misalnya, walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ialah pihak berkuasa yang
bertanggungjawab terhadap pengawalan banjir, ia langsung tidak mempunyai kuasa undang-undang
apabila tiba masa membuat keputusan-keputusan yang berkait dengan pembangunan sungai, tanah
tepi sungai atau tanah dataran banjir.

Dalam hal-hal begini, Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkuasa tempatan seperti Majlis
Perbandaran dan Pejabat Daerah lazimnya merupakan badan-badan berkuasa dalam menentukan
kelulusan sesuatu projek pembangunan.

Dalam hal pembangunan tanah di dalam sebuah negeri, malah Kerajaan Persekutuan pun sering
tidak mempunyai sebarang kuasa kecuali jika tanah diperlukan untuk membina lebuh raya,
bangunan kerajaan atau binaan awam yang lain. Mengikut peraturan pembangunan tanah dataran
banjir yang melibatkan saliran atau pengawalan banjir, Kerajaan Negeri perlu meminta nasihat
daripada pihak JPS. Justeru itu, JPS akan menilai projek tersebut dari segi keperluan saliran
dan pengawalan banjir dan kemudian menyerahkan laporannya kepada pihak Kerajaan Negeri.

Namun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa laporan JPS itu hanya ‘nasihat’ dan bukan peraturan
yang perlu diikuti dari segi undang-undang. Oleh sebab faedah-faedah ekonomi dan kewangan
adalah sentiasa lebih dipentingkan daripada pertimbangan-pertimbangan saliran, nasihat JPS
mungkin diketepikan. Justeru itu, maka tidak hairanlah bahawa sesetengah projek pembangunan
masih terus berjalan walaupun spesifikasi-spesifikasi saliran dan pengawalan banjirnya adalah
tidak mencukupi.

Sebagai akibatnya, penguatkuasaan peraturan-peraturan saliran dan pengawalan banjir adalah


kurang efektif. Jikalau pun pihak Kerajaan Negeri rela menerima dan mengikut nasihat JPS,
syarikat-syarikat pembangunan swasta juga sering tidak mematuhi peraturan-peraturan yang
ditentukan. Misalnya, mereka tidak menutup kawasan terdedah dengan kain plastik atau menanam
semula rumput di atasnya, kurang menanam pokok di kawasan perumahan dan tidak menyediakan
longkang dan sistem saliran yang mencukupi.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, telah berlaku beberapa peristiwa buruk yang melibatkan
tanah runtuh dan banjir. Salah satu ialah keruntuhan Highland Towers di Kuala Lumpur dalam
tahun 1993 (dianggarkan 70 orang telah terkorban), tragedi tanah runtuh Genting Highlands (20
orang telah terkorban), banjir kilat September 1995 di Pulau Pinang dan banjir kilat di Shah
Alam dalam Disember 1995.

Kesemua peristiwa tersebut mungkin dapat dielakkan jika JPS mempunyai kuasa undang-undang
untuk memastikan peraturan-peraturan guna tanah kawasan bukit, saliran dan pengawalan banjir
diikuti. Buat masa kini, JPS hanya merupakan sebuah badan ‘nasihat’ sahaja. Walaupun terdapat
banyak implikasi politik, JPS haruslah diberi lebih banyak kuasa undang-undang untuk mengurus
dan membuat keputusan di dalam hal-hal yang berkenaan dengan pembangunan tanah di dataran
banjir, khasnya yang berhampiran dengan sungai.

Hal yang berkait rapat dengan tidak berkesannya penguatkuasaan peraturan-peraturan


pengawalan banjir ialah pembangunan tanah bukit. Misalnya, di Pulau Pinang, permintaan
perumahan yang tinggi disebabkan oleh kekurangan tanah pamah. Hal ini telah menyebabkan
pemaju-pemaju perumahan mencari alternatif tanah di kawasan berbukit. Justeru itu, banyak
tanah bukit telah dan sedang dimajukan di Pulau Pinang.

Kebanyakan projek pembangunan tidak mematuhi undang-undang yang berkait dengan syarat-
syarat pembangunannya, malah dimajukan juga projek di tanah bercerun melebihi 20o. Misalnya,
di projek perumahan besar Paya Terubong, kerja-kerja pembinaan dijalankan di tanah yang
bercerun di antara 50o hingga 70o (Rajah 2). Oleh sebab itu, kawasan luas ini terdedah pada
hakisan unsur-unsur cuaca dan hal ini mungkin akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Selain
pembangunan di kawasan ini, terdapat juga pembangunan di sekitar Bukit Teluk Bahang, Bukit
Tanjung Bungah dan Bukit Bendera.

Pembangunan tanah bukit yang berskala besar mungkin merupakan satu faktor penyumbang
peningkatan risiko, dan vulnerabiliti manusia terhadap banjir.

Hal ini demikian kerana pembukaan tanah bukit untuk pembangunan (khasnya untuk perumahan,
pertanian dan rekreasi) akan mempercepat kadar hakisan dan kadar air larian permukaan,
meningkatkan tanah runtuh dan mencetekkan dasar sungai akibat pemendapan kelodak.

Kesemua hal tersebut akan membawa bertambahnya kekerapan banjir kilat. Misalnya, di dalam
banjir September 1995 di Pulau Pinang, kira-kira 60 tanah runtuh telah berlaku di sekitar Bukit
Bendera.

Setinggan haram merupakan proses sosial yang telah diperkukuh oleh kuasa-kuasa sosioekonomi
dan politik yang lebih menyeluruh (Wan Abdul Halim Othman, 1982). Penempatan di zon-zon
dataran banjir bandar yang bahaya (yang sering dibanjiri) oleh setinggan haram turut
menyumbang peningkatan risiko, pendedahan dan vulnerabiliti manusia kepada banjir.

Kemunculan koloni-koloni setinggan haram di dataran banjir bandar sejak tahun-tahun 1970-an
akibat migrasi desa-bandar merupakan satu tindak balas terhadap seruan Kerajaan Persekutuan
untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Sebagai akibat meningkatnya taraf pendidikan, maka pemuda-pemudi luar bandar kini tidaklah
ingin mengikuti langkah ibubapa mereka untuk menjadi petani, nelayan, buruh kasar atau
penternak. Malah mereka langsung tidak mahu hidup di kampung.

Setiap tahun berpuluh-puluh ribu pemuda-pemudi desa berhijrah ke bandar-bandar besar untuk
mencari kemewahan. Malangnya, bukan semua daripada mereka berjaya. Sebenarnya, segolongan
besar terpaksa memilih perumahan murah yang biasanya terdapat di koloni-koloni setinggan.

Di Kuala Lumpur, kawasan-kawasan setinggan terdapat di Kampung Baru, Brickfields, Kampung


Haji Hukum Abdullah, Jalan Kelang Lama dan Kampung Pantai Dalam, iaitu kesemuanya terletak di
tepi Sungai Kelang. Justeru itu, koloni-koloni setinggan tersebut sering dilanda banjir dan
merupakan kawasan-kawasan bahaya.
Di Pulau Pinang, kawasan setinggan juga di dapati di sekitar Sungai Air Itam (di sekitar stadium)
dan Sungai Pinang. Kawasan-kawasan tersebut juga mengalami kekerapan banjir kilat yang tinggi.
Baru-baru ini satu fenomena baru telah muncul, iaitu yang berkaitan dengan bertambahnya
koloni-koloni setinggan pendatang asing Indonesia di sekitar Kuala Lumpur dan bandar besar lain.

Di Pekan pula, terdapat satu koloni setinggan yang terdiri daripada orang pelarian Kampuchea di
Pulau Pekan Baru, sebuah penempatan yang dibina di dalam air cetek beting selatan Sungai
Pahang.

Kesimpulan

Rencana ini menunjukkan bahawa risiko dan terdedahnya manusia pada bahaya banjir kilat di
merata tempat di Malaysia, khasnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai kadar
binaan padat, telah meningkat dengan besarnya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Sebagai akibat meningkatnya tahap kesedaran awam melalui pendidikan dan sebaran maklumat
yang lebih baik, orang awam kini memandang banjir kilat sebagai peristiwa yang bukannya berasal
daripada alam semula jadi.

Mereka semakin sedar bahawa sebab akibat banjir, khasnya di kawasan bandar raya, adalah lebih
sering disebabkan oleh kesilapan manusia dan pengurusan yang tidak cekap daripada sebab-sebab
semula jadi. Justeru itu, tuntutan ahli-ahli politik bahawa banjir kilat ialah ‘tindakan Tuhan’
memang tidak dapat diterima.

Rakyat memerlukan akauntabiliti daripada pemimpin dan pihak yang bertanggungjawab ke atas
pengawalan banjir. Banjir kilat bukannya ‘tindakan Tuhan’ ataupun ‘tindakan kuasa-kuasa semula
jadi’. Ia sebenarnya hasil interaksi antara sistem peristiwa semula jadi dengan sistem gunaan
manusia.

Interaksi begini boleh menghasilkan kesan negatif seperti banjir ataupun hasil positif seperti
tanah subur, iaitu satu sumber semula jadi. Namun begitu, pilihan manusia untuk mendiami dan
membangunkan dataran banjir dengan pesat telah mengakibatkan banyak kesan negatif, terutama
meningkatnya kejadian banjir kilat. Masalah ini kian meruncing kerana manusia terus
membangunkan dataran banjir, memusnahkan hutan dan memotong cerun bukit untuk
pembangunan.

Manusia patut mempelajari cara-cara memaksimumkan sumber semula jadi dan meminimumkan
bahaya dan bencana semula jadi. Akan tetapi, manusia sering tidak belajar dengan cepat tetapi
lazim mengulangikan kesilapan-kesilapan dahulu.

Krisis alam sekitar yang dialami oleh kebanyakan negara maju di barat (disebabkan oleh
eksploitasi revolusi perindustrian) telah terbukti oleh kejadian bencana alam yang semakin teruk.
Namun begitu, kebanyakan negara sedang membangun hanya memilih untuk melihat faedah-
faedah positif pembangunan industri dan ekonomi yang dipamerkan oleh negara-negara maju
tetapi menjadi buta pada kesan-kesan negatifnya. Beginilah pandangan umum kebanyakan negara
membangun yang sedang mengejar dunia maju supaya taraf pembangunan yang setanding
tercapai.
Malaysia tidaklah harus memilih langkah pembangunan sebegini. Strategi pembangunannya
haruslah diseimbangkan oleh perlindungan kepada alam sekitar dan pemeliharaan sumber alamnya.
Dalam hal itu, Malaysia perlu mencipta suatu dasar pembangunan yang menintikberatkan
pembangunan lestari.

Namun begitu, di bawah suasana ekonomi yang baik dalam tahun-tahun kebelakangan ini, semua
lapisan masyarakat sibuk mengejar kemewahan. Malah pihak kerajaan juga sibuk mengejar
wawasan 2020. Justeru itu, soal banjir menjadi kurang penting di sebalik soal ekonomi,
kemewahan dan pembangunan yang menujui arah pencapaian matlamat negara industri baru (NIC).
Bagi sebahagian besar rakyat dari segenap lapisan hidup, soal banjir memang kurang penting
dibandingkan dengan soal keuntungan kewangan yang mungkin diperoleh, kecuali mereka yang
terpaksa menetap di dataran banjir yang berbahaya.

Bibliografi

Chan, N.W. (1995). A Contextual Analysis


of Flood Hazard Management in
Peninsular Malaysia. Tesis Ph.D.,
Middlesex University (UK).

Chan, N.W. (1996). Vulnerability of Urban


Areas to Floods. The Star, 26 Jan. 1996,
m.s. 4-6.

Chan, N. W. (1996). Floods: Who's to Blame?


The Star, 24 Jan. 1996, m.s. 1, 7-8.

Chan, N.W. and Goh, B.L. (1995). Slip Sliding


Away, The Sun Megazine, 21 Nov. 1995,
m.s. 4-9.

International Law Book Services (1991).


Malaysia Kita, Panduan dan Rujukan untuk
Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur:
International Law Book Services.

Jamaluddin M.J. (1985). Flash Flood Problems


and Human Responses to the Flash Flood
Hazard in Kuala Lumpur Area. Akademika
26 (Januari), m.s. 45-62.

Karim, G. (ed.)(1990). Information Malaysia


1990-91 Yearbook. Kuala Lumpur: Berita
Publisihing.

Oii, J.B. (1979). Semenanjung Malaysia.


Kuala Lumpur: Longmans.

Wan Abdul Halim Othman (1982). Squatter


Communities in the Federal Territory.
Siri Monograf No. 6, Pusat Penyelidikan
Dasar, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

You might also like