You are on page 1of 10

PKB 3107 (Kemahiran Asas Untuk Berdikari)

Pengenalan
Kemahiran asas adalah amat penting dalam kehidupan. Tanpa kemahiran ini, seseorang
individu itu mungkin sukar menjalani kehidupan seharian dan terpaksa bergantung harap
dengan orang lain. Menurut Kamus Dewan edisi empat, “kemahiran” bermaksud kecekapan
atau kepandaian, “asas” pula bermaksud alas, dasar atau tapak, manakala “berdikari” pula
memberi maksud berdiri di atas kaki sendiri ataupun tidak mengharapkan pertolongan orang
lain serta belajar hidup. Kemahiran asas untuk berdikari adalah suatu kemahiran yang
membolehkan seseorang itu dapat menguruskan sendiri kehidupan seharian mereka tanpa
pertolongan orang lain. Bagi individu yang normal, kemahiran asas ini mungkin tidak
menjadi masalah kepada mereka. Namun, bagi golongan kurang upaya dan mempunyai
masalah mental mereka perlu mendapatkan bantuan atau khidmat orang lain untuk mengajar
bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan normal seperti individu lain kerana mereka
tidak bileh mengharapkan orang sepanjang hayat mereka. Bagaimana jika orang yang mereka
bergantung harap itu mendapat kecelakaan atau meninggal dunia? Tidakkah hal ini akan
membebankan diri sendiri dan juga orang sekeliling? Jadi, mereka perlu dididik dengan
kemahiran asas ini sejak kecil lagi ataupun ketika berada di sekolah rendah. Pada usia ini
mereka lebih mudah diajar dan dibentuk.

Kemahiran asas untuk berdikari boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu pengurusan
diri, kemahiran manipulatif, kemahiran hidup, dan pengurusan tingkah laku. Pengurusan diri
membolehkan mereka berdikari dan menjalani kehidupan harian di samping menyediakan
mereka untuk menghadapi situasi sebenar dalam hidup dam mengamalkan kebersihan dan
kesihatan yang baik untuk diri sendiri dan juga orang sekitar. Kemahiran manipulatif pula
menitikberatkan pada proses berfikir dan pengamatan serta meningkatkan daya kreativiti.
Manakala, kemahiran hidup pula lebih menekankan pada pengetahuan asas dalam kehidupan
seperti memasak, menjahit, mendobi, berkebun, memelihara haiwan, dan bertukang.
Pengurusan tingkah laku pula membolehkan murid-murid mengurus dan mengawal emosi,
meningkatkan kemahiran sosiologi serta menjaga keselamatan diri dan orang sekitar.
Keempat-empat kemahiran ini, jika dipraktik dan diamalkan, murid-murid dapat menghadapi
kehidupan di luar bilik darjah dengan baik dan membantu mereka meneruskan kehidupan
yang lebih sempurna serta memajukan diri untuk hidup.

1
a. Cara-cara berbelanja dengan jimat cermat
Salah satu kemahiran asas untuk berdikari yang perlu dipelajari adalah berbelanja dengan
jimat cermat. Menurut Kamus Dewan edisi empat, “berbelanja” bermaksud membeli barang-
barang keperluan dengan mengeluarkan wang untuk membayar. Manakala “jimat cermat”
pula bermaksud menggunakan wang dengan penuh berhemah dan mengawasi perbelanjaan
supaya tidak boros atau berlebih-lebihan dalam berbelanja. Penggunaan wang dengan cermat
adalah amat penting pada masa ini kerana hanya disebabkan wang pelbagai perkara boleh
berlaku seperti peras ugut, kecurian, pembunuhan, rasuah, penipuan, dan seterusnya
bankrupsi. Keadaan ini mungkin akan meningkatkan lagi kadar jenayah di dalam negara.
Malah, bagi golongan kurang upaya, kes penipuan sering terjadi di kalangan mereka kerana
mereka tidak pandai menguruskan wang dengan baik dan juga menghitung jumlah sebenar
yang perlu dibayar ketika membeli. Jadi, bagi yang suka mengambil kesempatan inilah
peluang keemasan mereka untuk menunjukkan belang masing-masing. Oleh sebab itu,
golongan kurang upaya perlu diasuh dan dididik terlebih dahulu sebelum dibenarkan pergi ke
tempat-tempat awam walaupun hanya ke kedai runcit di depan rumah. Langkah berjaga-jaga
ini dapat menyelamatkan individu ini daripada teraniaya dan terus dianiaya.

Sekilas mengenai sejarah matawang Negara, terdapat satu buku terbitan Jabatan Warisan
Negara (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) yang berjudul “Sejarah
Matawang Negara” yang menceritakan sejarah penggunaan matawang di Malaysia iaitu pada
masa dahulu, sistem penggunaan wang belum lagi diperkenalkan tetapi mereka megamalkan
sistem barter iaitu sistem pertukaran wang. Oleh sebab sistem ini mempunyai kelemahan iaitu
bergantung kepada keperluan individu dan kesukaran pembahagian, manusia mula
menggunakan media tukaran iaitu Siput Gerus dan manik, dan seterusnya bertukar bentuk
kepada duit syiling dan wang kertas. Akhbar Berita Harian Online bertarikh 3 Mac 2009 turut
memaparkan informasi mengenai wang kertas Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1967
yang mengandungi jenis nilai $1, $5, $10, $50, $100 dan seterusnya muncul $1000, $20 dan
$500. Pada wang kertas tersebut turut mengandungi potret DYMM Yang Di-Pertuan Agong
yang pertama dan perkataan Bank Negara Malaysia serta tandatangan Gabenor BNM.
Kemudian nilai dollar ditukar kepada Ringgit Malaysia (RM) sekarang beserta reka bentuk
baru yang mencerminkan kebudayaan Malaysia. Jika dahulu nilai RM500 dan RM1000
masih digunapakai namun sekarang nilai tersebut diberhentikan penggunaannya disebabkan
krisis ekonomi pada tahun 1998.

2
Betapa bersejarah sekali matawang dan krisis ekonomi negara sehingga menyebabkan dua
nilai matawang dimansuhkan penggunaannya serta berlakunya inflasi sifar bagi menangani
masalah ekonomi tersebut. Sejarah ini perlu diketahui oleh generasi baru bagi menyediakan
diri menghadapi kemungkinan kegawatan ekonomi seterusnya. Kanak-kanak terutamanya
perlu dilatih cara penggunaan wang yang berhemah dengan menggalakkan aktiviti menabung
pada peringkat awal sambil menyatakan kepentingan menabung dan fungsi wang dalam
kehidupan. Pemahaman ini amat penting kerana pada peringkat umur sebegini kanak-kanak
lebih mudah memproses apa yang diajar dan disimpan di dalam otak. Peringkat seterusnya
lebih kepada murid-murid sekolah rendah dengan membantu mereka mengenalpasti jenis-
jenis wang, nilai-nilai wang, dan penggunaan tambah (+), tolak (-), bahagi (÷), dan darab (×)
bagi mejana otak untuk mengingat dan mengira. Latihan ini boleh dijalankan di dalam bilik
darjah, selain melakonkan proses jual beli yang melibatkan penggunaan wang mainan. Selain
menunjukkan kreativiti masing-masing ketika berlakon, murid-murid dapat mengaplikasikan
perkara yang dipelajari ketika berada di kantin atau koperasi sekolah bagi menbolehkan
mereka mendapat pengalaman sebenar berbelanja dengan jimat cermat.

b. Menggalakkan murid-murid memakai pakaian batik


Batik merupakan kraftangan Melayu tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri
khususnya dari segi motif, teknik pembuatan serta nilai keindahan. Keunggulan batik amat
dikagumi bukan sahaja di kalangan pencinta seni tempatan tetapi juga turut mendapat
perhatian luar di peringkat global. Sejak abad ke 15 Masihi, manusia telah menemui kaedah
pembuatan batik secara tradisional. Namun, masyarakat Melayu telah mewarisi kemahiran
membatik dan mempunyai rangkaian sejarahnya yang tersendiri iaitu sejak abad ke-13
Masihi dengan menjadikan batik sebagai cenderamata utama oleh kerajaan Srivijaya kepada
Maharaja China semasa dinasti Sung yang memerintah antara tahun 960 Masihi hingga 1279
Masihi (Zaliha et al., 2007). Keadaan ini menjelaskan bahawa pertalian dan kedudukan batik
sudah lama wujud dan sangat hampir dengan cara hidup masyarakat di rantau ini. Jika pada
masa dahulu, masyarakat Melayu hanya menggunakan bahan alam semulajadi dalam
pembuatan batik contohnya penggunaan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini alatan
moden telah mengambilalih sepenuhnya proses pembuatan batik. Pemodenan alatan
membatik telah berjaya mengeluarkan batik yang bermutu dalam kuantiti yang banyak
dengan cepat dan hal ini dapat mengetengahkan nilai suatu warisan seni agar terus hidup dan
subur malah terpelihara agar tidak luput ditelan zaman.

3
Kebanyakan kilang-kilang perusahaan batik di awal perkembangannya didirikan berhampiran
dengan tebing-tebing sungai seperti di Kota Bharu yang melitupi 14 kilometer persegi di
tebing Sungai Kelantan kerana air amat diperlukan untuk membersihkan bahan lilin serta
membasuh kain yang telah dicelup (Zaliha et al., 2007). Tempat-tempat ini merupakan
permulaan sejarah pembuatan batik yang asalnya batik hanyalah terdiri daripada kain benang
kapas bewarna putih yang dicorak dengan aneka warna sama ada dilukis atau ditera dengan
lilin. Mencorak batik melalui proses penggunaan lilin hanya menggunakan menitik pada
permukaan kain melalui sejenis alat yang dinamakan ‘canting’. Selain itu, ada juga batik
yang dicorak dengan menggunakan teknik cetakan seperti blok batik yang diperbuat daripada
kayu, tembaga atau besi. Teknik cetakan skrin pula mulai berkembang dengan kemasukan
bahan pewarna dari Eropah. Pengusaha batik juga dari Kelantan dipercayai terlebih dahulu
mempelopori teknik ini kerana dikatakan bahawa teknik ini telah dibawa masuk dari Thailand
sekitar tahun 1900an (Zaliha et al., 2007). Selain dapat menghasilkan batik dengan cepat,
batik jenis ini juga jauh lebih murah berbanding batik cop dan batik pelangi. Justeru, tidaklah
sukar untuk mempraktikkan pemakaian batik di kalangan pelajar kerana kini, batik mudah
didapati dan kosnya tidak membebankan para murid sekolah disebabkan batik begitu utuh
dan boleh diwarisi oleh generasi seterusnya.

Penggunaan motif batik juga masih dikekalkan dengan unsur-unsur alam semulajadi seperti
flora, fauna dan kesan tinggalan sejarah yang menciri-cirikan kebudayaan negara serta
menjaga identiti dan nilai-nilai astetik batik. Kehalusan pembuatan batik ini menunjukkan
keunggulan seni warisan negara yang kaya dengan sumber motif dan nilaian estetik. Keadaan
ini membuatkan batik mampu mengangkat martabat budaya bangsa. Ia telah digunakan
secara meluas di negara Malaysia sama ada untuk membuat baju, kain sarung ataupun batik
lepas. Pemakaian batik juga telah diwajibkan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan pada
hari tertentu. Manakala para pramugari kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) juga turut
memperagakan batik sebagai pakaian seragam mereka. Begitu indah dan cantik sekali apabila
batik disarung pada badan., Terasa begitu megah dengan diri sendiri kerana batik merupakan
warisan tradisi sejak zaman berzaman. Siapakah lagi yang harus membudayakan pemakaian
batik dengan memakainya jika bukan kita, warga Malaysia semua? Seharusnya, pemakaian
batik ini hendaklah dimulakan pada peringkat sekolah rendah lagi iaitu di kalangan murid-
murid agar mereka memelihara jati diri sebagai warganegara Malaysia yang kaya dengan seni
warisan tradisional.

4
c. Pengurusan ruang
Ruang memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak kurang upaya untuk
membina modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek
selain menjadi medan perjuangan utama kerjaya seorang guru yang harus menangani segala
tekanan dan masalah yang timbul dari anak didik masing-masing kerana mengurus dan
mengajar murid-murid istimewa tidaklah semudah murid-murid normal tetapi boleh menjadi
mudah jika guru tersebut seorang yang penyabar dan kuat dari segi mental dan fizikal. Oleh
itu, persekitaran amat mempengaruhi keadaan ini. Cuba bayangkan jika tempat pengajaran
yang tidak tersusun dan buku serta sampah bersepah di dalam kelas. Bagaimana seorang guru
itu dapat memulakan pengajaran dengan baik? Dengan itu, pengurusan ruang dengan baik
adalah perlu untuk diterapkan di kalangan guru dan juga murid. Setiap ruangan mempunyai
fungsi tersendiri seperti ruang tidur adalah tempat untuk tidur yang menempatkan katil, tilam
dan bantal manakala ruang bermain adalah tempat untuk bermain dengan barang permainan
yang disediakan. Antara ruang yang biasa ada di sekolah adalah ruang luar dan dalam kelas
serta ruang penyediaan makanan.

Ruang dalam kelas boleh digunakan untuk aktiviti kumpulan dan individu, aktiviti
pembelajaran berasaskan komponen-komponen, menempatkan alatan mainan, bahan rujukan
dan bahan bacaan serta menyimpan barang. Dengan adanya ruang ini murid-murid dapat
bercerita, memulakan perbualan pagi, menyanyi, bergerak mengikut muzik, berlakon dan
aktiviti seni lain. Manakala, ruang luar kelas pula boleh digunakan untuk aktiviti yang
perlukan pergerakan yang lebih bebas, sama ada secara individu ataupun berkumpulan dan
menempatkan alat permainan luar seperti buaian, papan gelongsor dan terowong. Di sini,
mereka dapat bermain pasir jika disediakan untuk menjana kreativiti, permainan air, aktiviti
manipulative seperti pertukangan atau berkebun, memerhati dan membuat percubaan serta
lawatan persekitaran. Jika terdapat ruang yang lebih besar, satu taman mini boleh didirikan
bagi mengajar murid-murid ini mengenalpasti pokok herba seperti serai, kunyit, cili, limau
dan lain-lain dapat dilakukan, diikuti dengan penanaman pokok, penjagaan dan pembajaan,
seterusnya penuaian hasil tanaman. Hasil tanaman ini dapat digunakan di ruang seterusnya
iaitu ruang penyediaan makanan. Di ruang ini, murid-murid akan diajar cara penyediaan
bahan-bahan untuk dimasak, memasak makanan, menghidang di atas meja termasuk cara
menyusun sudu, garpu, pinggan, mangkuk dan juga gelas minuman. Cara ini dapat memberi
pengalaman kepada mereka untuk diaplikasikan ketika berada di rumah nanti.

5
Walau bagaimanapun, ruang-ruang ini perlu disusunatur dengan bijak seperti keluasan kelas
hendaklah bersesuaian dengan saiz perabot yang diletakkan di dalam kelas agar dapat
memberi efek yang luas selain membolehkan murid-murid bergerak bebas dan senang
berinteraksi dengan bahan pembelajaran yang disediakan (Chritine dan Chris, 2003).
Penyusunan perabot di dalam bilik darjah boleh dilakukan bersama-sama dengan murid-
murid agar mereka turut menyumbang tenaga kerja dan juga kreativiti. Namun begitu, aspek
keselamatan perlu diambil kira dan ditekankan bagi mengelak berlakunya kecederaan dan
kemalangan ketika aktiviti ini berlangsung dan juga tugasan yang diberi hendaklah
bersesuaian dengan keupayaan murid-murid. Antara tugasan yang murid-murid dapat lakukan
adalah dalam proses menghias kelas seperti membuat lukisan dan motif flora fauna yang
kemudiannya digunting untuk ditampal di dinding kelas, mengangkat perabot yang ringan,
susun buku di atas rak, membuat ruangan membaca mereka sendiri dengan menggunakan
kreativiti masing-masing. Dengan ini, mereka akan berasa lebih bangga melihat hasil kerja
mereka dan proses pengajaran dan pembelajaran akan berlaku dalam suasana yang harmoni
dan menggembirakan.

d. Kebersihan diri
Kebersihan bermaksud keadaan bersih menurut Kamus Dewan edisi empat. Diri yang berada
dalam keadaan tidak bersih amat mudah diserang pelbagai penyakit berjangkit yang berpunca
dari kebersihan diri, air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, disentri hepatitis A
dan tifiod. Ketiga-tiga punca ini berkait rapat antara satu sama lain. Jika salah satu tidak
dijaga dengan betul, maka akan ada penyakit yang akan menular. Untuk mencapai objektif
kesihatan, penjagaan dan kebersihan diri perlu diutamakan iaitu bermula dari hujung rambut
hingga ke hujung kaki dan juga pakaian. Bagi menjaga kebersihan diri, murid-murid
hendaklah mandi setiap hari dengan menggunakan sabun atau syampu mandian yang sesuai
dan juga membasuh rambut dengan menggunakan syampu rambut yang sesuai serta sentiasa
dirapikan dengan sikat setelah selesai mandi. Kuku tangan dan kaki pula hendaklah dipotong
pendek kerana kuku yang panjang akan membuatkan seseorang itu kelihatan seperti seorang
yang pengotor serta ia mungkin akan mencederakan orang di sekeliling. Anggota tangan
terutama jari jemari perlu diibersihkan sebelum dan sesudah makan serta selepas keluar dari
tandas manakala kaki pula perlu beralas dengan kasut atau selipar ketika berjalan untuk
mengelak berlaku kecederaan. Sebaik-baiknya, kaki hendaklah dibersihkan terlebih dahulu
sebelum memasuki rumah agar rumah tidak dikotori dan dimulai dengan kaki kanan.

6
Bagi menjaga kebersihan diri yang lebih maksimum, murid-murid hendaklah menitikberatkan
penjagaan kebersihan pada mata, hidung, telinga dan juga gigi. Mata hendaklah dibersihkan
dari tahi mata dengan kain yang lembut dan bersih bagi mengelak kecederaan pada mata.
Sementara itu, kebersihan dalam hidung dijaga bagi membolehkan seseorang itu dapat
bernafas dengan baik. Bahagian telinga pula sebaiknya dibersihkan setiap kali selepas mandi
pada bahagian luar atau cuping telinga dengan menggunakan kain lembut. Kebersihan gigi
adalah penting kerana gigi berkait rapat dengan penggunaan untuk mengunyah makanan,
bercakap dan membantu mengingat pergerakan fizikal (Christine dan Chia, 2003). Cara yang
terbaik untuk membersihkan gigi adalah dengan meletakkan kuantiti ubat gigi yang
berpatutan pada berus gigi dan memberus keseluruhan gigi. Jika didapati susah diikuti,
mereka boleh memberus gigi bermula pada gigi hadapan diikuti dengan gigi kanan dan kiri.
Pembahagian ini dapat memudahkan mereka memberus gigi serta mengelak ada bahagian
gigi tertinggal untuk dibersihkan. Jika gigi tidak dibersihkan dengan betul selepas makan
serta sebelum dan selepas tidur, mulut akan berbau busuk kerana terdapat pembentukan
bacteria yang terhasil daripada sisa makanan yang dimakan. Keadaan ini akan membuatkan
orang di sekeliling menjauhkan diri daripada pelajar kerana terganggu dengan bau buasuk
tersebut terutama sekali ketika berbual sesama mereka.

Untuk kebersihan diri yang menyeluruh, pakaian juga hendaklah bersih, selesa, tidak terlalu
ketat dan sentiasa kemas di samping dipakai mengikut keadaan dan cuaca serta ditukar setiap
hari. Pakaian yang telah dipakai pula perlu dibasuh bersih, jemur hingga kering sebelum
dipakai kembali atau dilipat dan dengan rapi. Murid-murid pendidikan khas bolah diajar cara
berpakaian terlebih dahulu sebelum memilih pakaian yang betul untuk sebarang acara.
Selalunya membuka pakaian lebih mudah diajar terlebih dahulu berbanding memakai pakaian
(Christine dan Chia, 2003) di samping memberi kata-kata yang positif kepada pelajar setelah
mereka berjaya melakukan sesuatu tugasan seperti “Bagus, awak sudah berjaya memakai
kasut kanan pada kaki kanan dan kasut kiri pada kaki kiri.”.kerana kata-kata dapat membantu
mereka mengingat kembali pengajaran sebentar tadi dan melakukan tugasan tersebut dengan
lapang dada tanpa sebarang paksaan. Pergerakan yang berlaku semasa berpakaian dapat
membantu murid-murid memanipulasi penggunaan anggota badan masing-masing seperti jari
jemari, keseluruhan tangan dan juga kaki. Pemilihan pakaian pula dapat menjana pemikiran
dan daya kreativiti mereka untuk mendapatkan pakaian yang sesuai dan memadankan baju
dan seluar yang hendak dipakai.

7
e. Adab bertatasusila
Kemahiran bersopan santun dan menjaga adab terutama kepada orang yang berada di
sekeliling adalah penting bagi membantu menjalani kehidupan seharian dengan mudah,
tenang, tenteram dan gembira. Penerapan peribadi unggul ini amat perlu di kalangan murid-
murid pendidikan khas agar mereka tidak dipinggirkan oleh masyarakat. Walaupun tidak
cukup sifat, namun dengan adanya nilai-nilai murni dalam diri mereka mungkin akan lebih
disayangi oleh masyarakat dan seterusnya mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain.
Cuba bayangkan jika sesorang itu mempunyai sikap buruk seperti suka menyakiti hati orang
lain, marah tanpa sebab dan selalu menyalahkan orang lain sudah pasti individu ini dijauhi
dan dibenci oleh masyarakat seterusnya menyebabkan dia tertekan dengan sikap sendiri serta
murung dan mengalami masalah psikologi yang lebih teruk. Istilah kesopanan dan kesusilaan
turut diletakkan dalam prinsip Rukun Negara yang ke lima yang menekankan perkembangan
personality dan tingkah laku seseorang rakyat. Prinsip ini bertujuan untuk membentuk warga
negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen “Budi Bahasa dan Nilai
Murni” yang dijalankan sekarang. Sifat ini dapat menjaga perhubungan antara satu sama lain
dalam masyarakat yang berbilang bangsa di negara Malaysia.

Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan terutama bagi kanak-kanak atau murid-
murid sekolah bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta
bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.
Menurut Kamus Dewan edisi empat, “adab” bermaksud tingkah laku serta tutur kata yang
halus dan sopan, berbudi bahasa serta kesopanan. “Tata” pula memberi maksud peraturan,
acara, kaedah, susunan dan sistem manakala “susila” bermaksud baik budi bahasanya,
beradab, sopan dan tertib. Guru-guru boleh mengasuh murid-murid pendidikan khas
menggunakan bahasa yang sopan untuk membina peribadi yang bersopan santun kerana
“bahasa jiwa bangsa” yang bermaksud bahasa mencerminkan peribadi dan cara hidup sesuaru
bangsa(Robiah, 2003). Ungkapan seperti “terima kasih”, “tolong”, “minta maaf kerana
mengganggu”, “boleh izinkan saya” dan “maafkan saya” adalah ungkapan asas yang
menandakan peribadi baik seseorang, diikuti dengan menggabungkan nama orang yang
terlibat untuk menyempurnakan lagi ungkapan tersebut kerana orang berbudi, kita berbahasa.
Jadi, belajarlah mengenang budi agar menjadi orang yang berbudi. Begitu juga dengan
pergaulan dan tingkah laku kerana kelakuan fizikal lebih menampakkan kesopanan dan
kesusilaan mereka terhadap orang di sekeliling.

8
Rumusan keseluruhan
Secara keseluruhan, kemahiran asas untuk berdikari adalah suatu perkara yang penting untuk
dipelajari dan diamalkan oleh murid-murid pendidikan khas kerana tanpa belajar dan
amalkan mereka akan berasa sukar untuk menjalani kehidupan di dalam kelompok individu
yang normal lain disebabkan pada zaman kini banyak berlaku persaingan walaupun dengan
individu kurang upaya untuk memperoleh kehidupan yang senang. Berjimat cermat penting
bagi membolehkan murid-murid berurusniaga dengan penjual jika ingin membeli barang
manakala pemakaian batik pula dapat menonjolkan keunggulan warisan seni negara. Ruang
yang kemas adalah hasil daripada pengurusan yang baik. Selain dapat mencetuskan kreativiti
murid-murid, mereka juga dapat menguruskan ruang di sekitar mereka dengan teratur dan
yang penting tanpa mengharapkan pertolongan daripada orang lain. Kebersihan diri
merupakan permulaan kepada penjagaan kesihatan diri. Diri yang bersih menjamin kesihatan
yang baik. Oleh itu, murid-murid ini perlu mementingkan kebersihan diri walau di mana
mereka berada kerana mendapat penyakit akan memberi kesan kepada orang sekeliling sama
ada mereka akan dijangkiti dengan penyakit tersebut atau menjauhkan diri daripada pesakit.
Akhir sekali, adab bertatasusila bukan sahaja merangkumi tutur kata yang sopan tetapi juga
dari segi pergaulan yang baik dan tingkah laku yang santun. Semua kemahiran ini perlu
diasuh di kalangan murid-murid pendidikan khas agar mereka dapat berdikari pada masa
sekarang dan juga untuk masa depan mereka nanti. Selain itu, kemahiran ini memerlukan
interaksi antara kedua-dua pihak iaitu murid-murid dan guru-guru supaya mereka berjaya
mencapai kehidupan yang harmoni di samping suasana pengajaran dan pembelajaran yang
komprehensif.

9
Rujukan
1. Berita Harian Online. 3 Mac 2009. Sejarah wang kertas Malaysia. Didapati pada 8
Mac 2011 daripada http://berita-harian-online.com/sejarah-wang-kertas-malaysia/
2. Christine Peck and Chia Swee Hong. 1989. Living skills for mentally handicapped
people. Chapman & Hall, London, United Kingdom.
3. Kamus Dewan edisi empat. 2008-2011. Dewan Bahasa dan Pustaka. Didapati pada 8
Mac 2011 daripada http://prpm.dbp.gov.my/
4. Robiah Kulop Hamzah. 2003. Teknik dan strategi membimbing remaja: pengurusan
diri. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., Bentong, Pahang.
5. Rukun Negara (Kesopanan & Kesusilaan). Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional (Jabatan Perdana Menteri). Didapati pada 8 Mac 2011 daripada
http://www.jpnin.gov.my/web/guest/kesopanan_kesusilaan
6. Sejarah matawang Malaysia. Jabatan Warisan Negara (Kementerian Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan). Didapati pada 8 Mac 2009 daripada
http://www.warisan.gov.my/index.php?
option=com_content&view=article&id=86&Itemid=125
7. Zaliha Hussin et al., 2007. Batik merbok: menelusiri tradisi seindah seni murni
budaya dan warisan sepanjang zaman. MPH Groupp Publishing Sdn. Bhd. Petaling
Jaya, Selangor.

10

You might also like