Professional Documents
Culture Documents
Soalan di atas ialah Bahagian A, kertas Percubaan negeri Kelantan SPM 2008. Saya
berpendapat bahawa soalan mirip tema ini amat maslahat, yakni industri
pelancongan di Malaysia akan disoal dalam SPM 2008. Perhatikan Karangan
contohnya seperti di bawah.
Karangan Contoh:
Sejak 1990-an lagi, Malaysia sudah pun berjaya menganjurkan kempen Tahun
Melawat Malaysia. Kejayaan ini diteruskan sekali demi sekali sehingga kini. Tahun
2007 sekali lagi dikenali sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan slogan "Malaysia
Truly Asia" Keaslian Malaysia sebagai negara Asia yang termaktub dalam lagu tema
kempen ini sekali gus membuka mata dan minda seantero dunia. Walau
bagaimanapun, banyak pihak berpendapat bahawa langkah yang diambil untuk
memajukan industri pelancongan sebelum ini belum sampai tahap berprestij dan
kurang efektif. Oleh hal yang demikian, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah
sampai lengan.
Malaysia sememangnya nusa bertuah kerana iklimnya yang panas dan lembap
sepanjang tahun. Kehidupan flora dan fauna yang terpulihara menjadikan Malaysia
kaya dengan destinasi ekopelancongan utama dunia. Penaiktarafan kawasan
pelancongan di seluruh negara dengan chalet, hotel dan kemudahan penginapan
lain dapat memberi bonus kepada Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan
pelancong. Aspek kebersihan di kawasan pelancongan janganlah dipandang enteng
kerana industri pelancongan menyediakan pelbagai peluang perniagaan dan
pekerjaan kepada penduduk tempatan. Oleh itu, hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalih. Malaysia pasti boleh!
Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam usaha
memperkembangkan industri pelancongannya. Yang paling penting, rakyat dan
kerajaan perlulah mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong. Saya
berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah yang sesuai seperti
dinyatakan di atas untuk merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai
pembangunan dalam bidang pelancongan yang bertaraf dunia. Sebenarnya,
genggam bara api, biarlah sampai jadi abu. Kita mestilah berusaha sehingga
nama Malaysia tersohor di seluruh dunia.