You are on page 1of 16

Tambahan cuti bersalin tak jejas daya saing

2010/06/13

Majikan dakwa rugi RM2.35 bilion setahun jika pekerja wanita rehat 90 hari lepas lahir anak.Isu pemberian cuti bersalin 90 hari bukan baru diperkatakan di negara ini kerana sejak 90-an lagi ia sudah dibincangkan dan puluhan memorandum dihantar oleh mereka yang memperjuangkan nasib pekerja wanita dan golongan ibu di negara ini kepada majikan dan kerajaan.

Kini isu sama muncul kembali dengan nada lebih jitu, selain ada petanda kesediaan kerajaan melaksanakan pakej 90 hari cuti bersalin dengan bergaji penuh. Sebelum ini, kerajaan diperkatakan dalam dilema untuk melaksanakan pertambahan cuti itu kerana perlu menimbangkan sama ada pertambahan cuti 30 hari itu wajar diberikan gaji penuh, tanpa gaji atau dikongsi antara suami dan isteri. Bagi majikan, mereka terang-terangan menyatakan majikan terpaksa menanggung kos cuti bersalin yang dianggarkan mencecah RM2.35 bilion setahun sekiranya cuti bersalin 90 hari dengan gaji penuh dilaksanakan kerajaan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata jumlah itu adalah pertambahan sebanyak RM780 juta daripada anggaran kos ditanggung majikan berdasarkan cuti bersalin 60 hari yang dilaksanakan pada masa ini iaitu RM1.57 bilion setahun.

Majikan juga menyatakan pertambahan cuti memberi kesan negatif kepada daya saing Malaysia yang baru-baru ini yang berada pada tangga ke-10, berbanding tangga ke-18 tahun lalu. Lebih menyedihkan MEF menyatakan sebarang penambahan cuti bersalin akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada wanita, seterusnya membantutkan usaha kerajaan meningkatkan penyertaan kaum wanita dalam pasaran buruh yang pada masa ini hanya berada pada kadar 46.7 peratus.

Itu pendapat majikan, yang pastinya tidak mengambil kira kesan pertambahan cuti bersalin itu kepada nilai tambah aspek kekeluargaan, pembangunan modal insan dan kesihatan reproduktif penduduk. Untuk melahirkan pekerja produktiviti,

kesihatan perlu diberikan keutamaan dan kebahagiaan keluarga akan menjaminkan suasana kerja yang baik. Harus diingat bahawa perlindungan ibu bersalin yang bersesuaian adalah perlu untuk melindungi maruah ibu dan menggalakkan penyusuan susu ibu sepenuhnya untuk bayi yang baru dilahirkan, malah ia dapat meningkatkan kesejahteraan keluarga dan rakyat umumnya.

Bagi Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Noorlaila Aslah, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara termasuk India dan Indonesia yang membayar gaji penuh cuti bersalin.

"Penambahan cuti bersalin kepada 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini mesti dibayar penuh. Jika ada penambahan kos, majikan perlu mengambil kira kesan jangka panjang yang mana anak dilahirkan itulah yang akan menjadi sumber tenaga kerja pada masa hadapan.

MTUC juga menggesa pelaksanaan ini dilaksanakan secara menyeluruh kerana tugas dan kesakitan yang ditanggung selepas bersalin sama saja bagi wanita sama ada di sektor kerajaan atau swasta," katanya.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata sejak dari dulu lagi majikan sentiasa tidak menyokong usaha penambahan cuti bersalin kerana alasan mengurangkan produktiviti pekerja serta menyekat peluang pekerjaan kepada wanita. Katanya, alasan lapuk itu sebaiknya dilupakan dalam era serba moden ini kerana daya saing bukannya berdasarkan gender, sebaliknya cara kerja, kreativiti, inovasi dan produktiviti dihasilkan.

Banyak negara maju sudah melaksanakan cuti bersalin tiga bulan atau lebih dan mereka tidak menghadapi masalah penurunan produktiviti. Sebaliknya, pemberian cuti bersalin tiga bulan dan lebih dapat menyediakan pekerja wanita yang lebih sihat seterusnya meningkatkan produktiviti syarikat.

Dalam tempoh tiga bulan, ibu bukan saja dapat membina hubungan dengan anak serta memberi susu ibu, malah dapat memastikan diri mereka benar-benar sihat sebelum kembali bekerja. Jika badan tidak benar-benar pulih bagaimana mahu bekerja dengan sebaiknya.

Adalah lebih baik, ibu yang bersalin diberikan rehat secukupnya dan apabila kembali bekerja tidak lagi menghadapi masalah kesihatan yang seterusnya menjejaskan produktiviti yang tentunya memberi masalah kepada tempat kerja, katanya yang pernah terbabit dalam kempen cuti bersalin 90 hari ketika bersama dengan Majlis Perundingan Wanita Islam.

Berdasarkan kenyataan itu, jelas bahawa jika masalah produktiviti dibangkitkan dan wanita bersalin dipersalahkan, maka ia hanya satu diskriminasi serta alasan majikan supaya pelaksanaan cuti bersalin 90 hari dengan gaji penuh tidak akan dilaksanakan. Berdasarkan kepada statistik, ketika ini, seramai 5.1 juta wanita bekerja menggerakkan operasi pelbagai sektor, jabatan serta perkhidmatan di negara ini. Jadi, jika nasib golongan wanita tidak diambil perhatian bagaimana produktiviti negara dapat ditingkatkan.

Jika kita membuat perbandingan dengan negara lain, Malaysia jelas ketinggalan. Negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja sudah melaksanakan cuti bergaji selama 90 hari, manakala Singapura lebih ke depan dengan memberi keistimewaan kepada ibu bersalin dengan cuti bergaji selama empat bulan. Negara Asia seperti India dan China sudah melaksanakan pemberian cuti tiga bulan dengan gaji penuh. Belanda sama seperti Singapura memberi cuti bersalin selama empat bulan dengan gaji penuh, manakala Jepun cuti empat bulan dan dibayar sebanyak 60 peratus daripada gaji penuh.

Ireland adalah negara yang menawarkan pakej cuti bersalin yang paling mesra keluarga dengan menawarkan cuti enam bulan dua minggu (26 minggu) dibayar gaji penuh dan layak menerima cuti empat bulan tanpa gaji yang dilaksanakan sejak 2007. Malah dibawah undang-undang Perlindungan Wanita Bersalin (Pindaan) 2004, ibu yang bekerja boleh mengambil cuti dua minggu sebelum tarikh dijangka bersalin, dan cuti boleh dilanjutkan sehingga empat minggu daripada tarikh kelahiran bayi.

Mengikut Konvensyen Organisasi Buruh Antarabangsa terhadap Perlindungan Ibu-Ibu Bersalin 2000 (No. 183), wanita bekerja berhak mendapat sekurang-kurangnya 14 minggu cuti bersalin. Ketika ini, wanita bekerja di negara ini mendapat kurang enam minggu daripada 14 minggu ditetapkan itu. Sayangnya, sehingga hari ini Malaysia masih belum menandatanganinya konvensyen berkenaan.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia mendapati cuti bersalin yang tidak mencukupi menyebabkan bayi tidak disusukan sepenuhnya dan data menunjukkan hanya seorang daripada tujuh bayi diberikan susu ibu secara sepenuhnya selama enam bulan pertama kehidupan mereka pada 2006. Analisis Kementerian Kesihatan mengenai data penyusuan susu ibu kebangsaan 2008 mendapati kadar penyusuan susu ibu sepenuhnya di negara ini adalah tinggi dalam masa dua bulan yang pertama, tetapi menurun secara mendadak selepas dua atau tiga bulan, iaitu masa cuti bersalin tamat dan ibu yang bekerja terpaksa kembali semula kepada pekerjaan mereka.

Strategi Global Pemakanan Bayi dan Anak-Anak Kecil WHO/UNICEF pula menyarankan supaya kanak-kanak diberikan penyusuan susu ibu sepenuhnya dalam masa enam bulan yang pertama kehidupan, dan kemudian terus menyusu dengan pemakanan tambahan yang mencukupi sehingga berumur dua tahun ke atas.

Hasilnya, bayi akan lebih sihat dengan risiko yang rendah untuk mendapat penyakit seperti jangkitan telinga dan respiratori, cirit-birit dan obesiti, manakala ibu pula mendapat manfaat dengan mempunyai risiko yang rendah terhadap kanser ovari dan kanser payudara sebelum berhenti haid. Justeru, kita perlu melihat bahawa kanak-kanak dan wanita yang lebih sihat membawa manfaat kepada semua orang kerana ia akan mengurangkan perbelanjaan negara untuk penjagaan kesihatan, yang mana lebih sedikit bilangan wanita yang tidak hadir bekerja, meningkatkan kesetiaan pekerja dan melahirkan pekerja lebih produktif.

KETIDAKSEIMBANGAN BOLEH PINCANG PERKHIDMATAN AWAM


28 Februari 2010 Berita Harian Zainul Arifin zainul@nstp.com.my 28/2/2010

Apabila Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zain menyatakan kebimbangannya mengenai dominasi wanita dalam perkhidmatan awam, yang jauh lebih tinggi daripada nisbah wanita di negara kita, ramai yang marah. Beliau berkata, hampir tiga perempat jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dipenuhi oleh wanita.

Pegawai PTD selalunya mempunyai peluang yang baik untuk menjawat jawatan penting di dalam kerajaan, oleh itu, dasar kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan penting kerajaan akan mudah tercapai. Kini lebih ramai ketua pengarah dan ketua setiausaha wanita dalam perkhidmatan awam. Mungkinkah kenyataan Ahmad Shah adalah luahan kebimbangan kaum lelaki atas asakan wanita ke dalam kelab eksklusif mereka? Kenyataan seperti ini selalunya mendatangkan masalah selalunya ia dikategorikan sebagai seksis dan kolot. Saya rasa sudah tentu pegawai kesatuan sekerja itu mendapat reaksi yang lebih daripada itu hasil kenyataannya.

Baru-baru ini, beliau dilaporkan menjelaskan kenyataannya dengan berkata dia tidak ada masalah dengan wanita dalam perkhidmatan awam, cuma untuk jangka masa panjang, dominasi wanita tidak baik untuk negara. Katanya, cara wanita bekerja serta sifat semula jadi wanita, termasuk perlukan cuti bersalin, adalah antara sebab. Saya tidak tahu sama ada kenyataan itu membantunya, atau menambah masalah. Saya tidak tahu sama ada dia seorang yang berani ataupun tidak tahu menahu kesannya apabila berkata demikian. Namun kenyataan sudah keluar, rasanya elok kita bincangkan.

Dia juga mencadangkan satu dasar untuk mendapatkan lebih banyak lelaki dalam perkhidmatan awam yang bukan saja berlandaskan kejayaan akademik, yang mana perempuan lebih menyerlah. Boleh juga kita tanya beliau kenapa tiada masalah apabila lelaki dominan dalam perkhidmatan awam? Kenapa kita tidak perlu bimbang perangai pegawai atasan lelaki seperti gemar bermain golf akan mempengaruhi perkhidmatan awam? Lebih ramai wanita memohon untuk menyertai perkhidmatan awam boleh dikaitkan dengan lebih ramai wanita di institusi pengajian tinggi, di mana hampir dua pertiga pelajar di institusi pengajian tinggi awam adalah wanita. Maka adakah kita perlu juga menyelesaikan 'masalah' ini? Adakah anak lelaki kita kurang minat bersekolah atau sekolah tidak memenuhi cita rasa mereka? Salah satu kejayaan negara kita ialah bagaimana kita mampu menaikkan martabat kaum wanita bukan saja di dalam masyarakat, malah juga di tempat kerja.

Wanita kini mempunyai peluang pekerjaan yang sama, serta gaji dan kedudukan sama rata. Saya pernah diberitahu oleh seorang jurutera Jabatan Kerja Raya mengenai kemasukan jurutera wanita mampu memperbaiki perkhidmatan mereka. Beliau menceritakan bagaimana tandas wanita, contohnya sebelum itu kurang memenuhi keperluan wanita kerana jurutera lelaki tidak faham kehendak dan keperluan wanita, contohnya berbanding lelaki, mereka perlu lebih masa di bilik air. Pencapaian besar wanita juga oleh kerana sikap praktikal masyarakat kita. Kini kurang didengar orang tidak mementingkan pelajaran anak perempuan mereka atau pun menyatakan dengan terbuka tempat wanita adalah di dapur.

Semua yang mampu akan menentukan anak perempuan mereka mampu belajar setinggi upayanya. Kita tahu di sekolah kini lebih ramai guru wanita daripada lelaki. Ini mungkin memberi kesan kerana anak kita juga perlukan kepemimpinan lelaki di sekolah dan bukannya kerana guru lelaki lebih baik daripada guru wanita. Antara kesan, sebagai contoh, tiada guru lelaki membimbing pasukan bola sepak. Tetapi ada penyelesaiannya. Ada sekolah menggaji jurulatih luar atau ada bapa menawarkan perkhidmatan melatih pasukan. Jelas kita mampu mencari penyelesaian jika dikatakan ramai wanita ambil cuti bersalin akan menjejaskan perkhidmatan.

Masalah itu bolehlah diatasi kerana bukan sekarang baru wanita mengandung dan melahirkan anak. Kita kini ada Gabenor Bank Negara, ketua penguat kuasa industri sekuriti, ketua polis negeri dan hakim-hakim yang menjadi bukti jelas kemajuan yang dicapai di negara kita pada masa yang singkat. Ini adalah sesuatu yang perlu dirai dan bukan untuk dibimbangkan. Juga kebanyakan wanita yang bekerja sudah menjadi macam 'superwoman' yang boleh menjadi ketua di tempat kerja, menjadi ibu dan isteri di rumah. Tetapi kita mesti jujur di dalam polemik

kita. Memanglah kita patut menolak kenyataan yang mengatakan wanita boleh merendahkan mutu perkhidmatan ataupun pegawai atasan wanita kurang upaya daripada lelaki, ini semuanya tidak boleh diterima.

Namun, kita perlu terima hakikat apa-apa yang tidak ada keseimbangan adalah tidak baik dan perlu diimbangi. Dalam hal ini, Cuepacs juga perlu, sebagai contoh, menimbulkan ketidakseimbangan pecahan kaum dalam perkhidmatan awam. Kurang sangat orang bukan Melayu yang berkhidmat dan ini sudah tentunya menjejas keupayaan perkhidmatan awam jika hanya segelintir saja daripada bukan Melayu, manakala mereka hampir 40 peratus rakyat negara kita. Mungkin ego lelaki terguris apabila wanita memimpin di tempat kerja dan mesti juga ada yang berasa seperti melawan lumrah dunia atau agama untuk dipimpin wanita. Rasanya kita perlu ingat di dalam polemik wanita ramai dalam perkhidmatan awam, bukan orang lelaki diketepikan.

Mereka yang layak sama ada lelaki atau wanita akan terpilih. Ada yang berkata, banyak tidak mahu wanita memimpin kerana mereka selalunya lebih tegas. Ada juga berkata, wanita susah dirasuah, walaupun ini tidak semestinya betul. Tetapi jika betul adakah tidak rugi bagi kita. Namun kita mesti lihat kenyataan Ahmad Shah secara objektif. Walaupun banyak tidak setuju kita mesti boleh berbincang dan cuba untuk memahami kenapa dia mengeluarkan kenyataan itu.

Jangan kita terlalu cepat mengutuknya kerana itu adalah satu tindakan yang teramat mudah. Saya berharap apabila dia menyatakan masalah dominasi wanita dalam perkhidmatan awam, dia tidak merujuk kepada keupayaan atau kebolehan wanita. Saya percaya beliau mahukan keseimbangan kerana jika ada ketidakseimbangan sesuatu mesin tidak boleh berfungsi baik. Begitu juga jika perkhidmatan awam yang kurang bukan Melayu, kurang orang muda, kurang pengalaman dan lain-lain.

Pelantikan hakim wanita pecah dominasi lelaki dalam organisasi mahkamah syariah
2010/07/08

Usaha kerajaan mantapkan martabat pentadbiran kehakiman daripada anggapan berat sebelah. Ketika menandatangani Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita 1979 pada 1995, Malaysia tidak mengguna pakai beberapa artikel dalam konvensyen itu termasuk persetujuan melantik wanita bagi jawatan dalam perkhidmatan awam sama seperti lelaki.

Ini berikutan pernyataan itu dikatakan bertentangan dengan prinsip syariah, iaitu wanita tidak boleh dilantik sebagai hakim syarie, imam dan mufti. Walaupun tidak dipersetujui sepenuhnya, tetapi mengambil kira pandangan beberapa pihak dan keperluan semasa wanita mentadbir urus kehakiman syariah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke73 yang bersidang pada 4 hingga 6 April 2006, memutuskan wanita dibenarkan dilantik sebagai hakim syarie dengan syarat tidak mengendalikan kes berkaitan hudud dan qisas.

Umum mengetahui kes dibicarakan di Mahkamah Syariah hanya membabitkan kesalahan takzir dan mal saja. Sebagai permulaan, pelantikan hakim syarie wanita sudah tentu tidak sepadan dengan dominasi gender dalam organisasi kehakiman syariah.

Tetapi, penambahbaikan yang dibuktikan dengan adanya wanita dalam jawatan itu tentu mencetuskan senario baru sedikit masa lagi. Meskipun boleh dilantik, tidak ramai wanita yang layak disebabkan syarat lain tidak memungkinkan ia menjadi realiti.

Contohnya, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2006 memutuskan wanita boleh dilantik sebagai hakim syarie, hanya 30 peratus daripada 200 kakitangan perkhidmatan itu adalah wanita. Pembabitan wanita dalam perkhidmatan sebagai

pegawai syariah hanya bermula sekitar 1994.

Sebahagian besar daripada mereka baru saja berkhidmat, sedangkan syarat dilantik ialah mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang, selain mempunyai pengalaman kerjaya selama 10 hingga 15 tahun sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah. Walaupun terlambat berbanding negara lain seperti Mesir, Sudan, Maghribi, Palestin, Pakistan, Brunei dan Indonesia, pelantikan wanita sebagai hakim syarie adalah usaha mengotakan janji kerajaan bahawa wanita negara ini tidak di diskriminasi dalam perkhidmatan awam jika mempunyai kelayakan untuk memegang portfolio itu.

Ia usaha yang boleh memantapkan martabat pentadbiran kehakiman syariah yang selama ini dipandang berat sebelah dan bersifat patriarki, berikutan dikatakan kurang sensitif dalam memberi keadilan kepada wanita dan tidak mengikut ketetapan agama.

Pandangan yang meletakkan perbezaan gender sebagai kayu pengukur dalam menilai keupayaan dan kemampuan seseorang wajar diketepikan kerana ia akan membantutkan kemajuan sebuah negara. Pelantikan ini bukan memberi keistimewaan kepada wanita, tetapi sedikit sebanyak membuka ruang lebih luas untuk mengenalpasti punca dan sebab wanita alah terhadap sistem kehakiman syariah di negara ini.

Mungkin ia berlaku tanpa disedari, maka sistem dan prosedur dalam kehakiman syariah sedikit sebanyak membuatkan wanita gerun untuk berurusan, tambahan pula sifat pentadbiran undang-undang sedia ada tidak mesra wanita. Perlu difahami, jawatan hakim syarie wanita tidak bermakna wanita diberi kelebihan dalam penghakiman. Ia tidak menunjukkan banyak kes diadili sebelum ini tidak memihak kepada wanita disebabkan alasan penghakiman tidak munasabah diputuskan hakim lelaki.

Dengan perkembangan dan kemajuan ilmu dan teknologi, pembuktian dalam kesalahan jenayah, transformasi perlu dilakukan bagi memberi keadilan kepada setiap individu, tanpa membezakan jantina. Usaha itu tidak akan kesampaian tanpa sensitiviti terhadap keperluan perlindungan undang-undang yang hanya mampu

dilihat secara bersama oleh hakim lelaki dan wanita.

Paling utama ialah hakim yang dilantik mampu memberi tafsiran sebelum memutuskan sesuatu penghakiman berdasarkan nas dan dalil secara adil tanpa memberatkan mana-mana pihak atau bersifat berdasarkan jantina seperti undangundang Barat.

Tinjauan Mengenai Kemajuan Wanita dan Halangan yang Masih Ada Dan Menangani isuisu berkenaan peluang sama rata, kesihatan dan keganasan gender
26 Februari 2010 Oleh Jane Morse Washington Pada bulan Mac, dunia memperingati Hari Wanita Antarabangsa dan di Amerika Syarikat pula ia merupakan Bulan Sejarah Wanita. Walaupun wanita telah mencapai banyak kemajuan di dalam pelbagai bidang yang mana mereka dahulu agak terpinggir, masih banyak kerja yang perlu dilakukan di bidang-bidang lain termasuk pendidikan, kesihatan dan isu keganasan gender.

Setiausaha Negara Hillary Rodham Clinton telah berjanji untuk menjadikan isu-isu wanita sebagai isu penting dalam tempoh beliau menjawat jawatan setiausaha. Semasa pengesahan perlantikan jawatan, Clinton telah memberi perhatian beliau terhadap nasib golongan wanita dan gadis yang sebahagian besarnya merupakan golongan yang tidak berpendidikan dan tidak sihat di dunia.

"Jika separuh daripada penduduk dunia masih terdedah kepada penindasan ekonomi, politik, undang-undang dan sosial, harapan kita untuk memajukan demokrasi dan kesejahteraan akan kekal berada dalam tahap serius," katanya. "Jalan kita masih panjang. Amerika Syarikat perlu terus menjadi suara yang jelas dan tegas untuk menyokong hak-hak wanita di setiap pelusuk negara, wilayah dan benua."

Pentadbiran Obama masih agresif mempromosikan isu-isu wanita, baik di Amerika Syarikat atau di luar negara. Pada peringkat awal beliau menjadi Presiden, Presiden Obama telah mewujudkan jawatan baru di Rumah Putih - kini dipegang oleh Lynn Rosenthal - untuk menasihati presiden dan wakil presiden tentang keganasan domestik dan isu-isu keganasan seksual di Amerika Syarikat. Presiden juga mewujudkan jawatan baru di Jabatan Negara AS iaitu Duta Besar untuk Isu-isu Wanita Global. Melanne Verveer, yang mempunyai kerjaya panjang dalam usaha memajukan wanita, dilantik memegang jawatan tersebut bagi menggerakkan

sokongan kuat di seluruh dunia untuk hak-hak wanita dan memerangi keganasan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam segala bentuknya.

Tumpuan Clinton terhadap isu wanita digariskan semasa kunjungannya ke Afrika pada tahun 2009, di mana keganasan terhadap wanita di daerah berkonflik merupakan satu masalah. Di sana, beliau memberikan bantuan kepada mangsa keganasan gender dan mengumumkan program bantuan untuk membantu mereka. Sambil memuji satu resolusi Majlis Keselamatan PBB, Clinton menekankan bahawa keganasan terhadap wanita tidak boleh dipandang sebagai ciri budaya yang tidak diingini, tetapi sebagai satu kesalahan jenayah.

Selain memastikan bahawa wanita di seluruh dunia selamat daripada keganasan gender, Jabatan Negara di bawah Clinton telah menumpukan kepada meningkatkan peluang ekonomi wanita - seterusnya diikuti dengan hak dan kebebasan lain. Dalam ucapan di hadapan Kongres pada bulan Oktober 2009, Verveer berkata wanita dari seluruh pelosok dunia adalah "pemacu pertumbuhan ekonomi" dan cenderung untuk melaburkan kembali pendapatan yang mereka dapat ke dalam keluarga dan masyarakat.

"Apabila wanita diberikan hak-hak mereka dan peluang yang sama dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan mendapatkan pekerjaan, mereka akan memacu kemajuan ekonomi dan sosial," tegas Clinton dalam ulasan musim panas yang lalu. Clinton akan menghadiri beberapa acara untuk memperingati Hari Wanita Antarabangsa.

Pada 10 Mac di Washington, Clinton akan menjadi tuan rumah untuk acara tahunan Anugerah Keberanian kepada Wanita Antarabangsa di Jabatan Negara. Anugerah ini diperkenalkan pada bulan Mac 2007 oleh Setiausaha Negara yang lalu, Condoleezza Rice, sebagai mengiktiraf golongan wanita di seluruh dunia yang telah menunjukkan keberanian luar biasa dan kepimpinan dalam advokasi hak asasi manusia. Ini adalah satu-satunya anugerah Jabatan Negara bagi mengiktiraf peranan pemimpin wanita di seluruh dunia. Ia mengiktiraf keberanian dan kepimpinan yang mereka tunjukkan dalam berjuang untuk keadilan sosial dan persamaan hak.

Pada 10 Mac, Clinton akan menyampaikan anugerah Global Trailblazer kepada Melinda Gates dari Yayasan Bill dan Melinda Gates pada sambutan tahunan Anugerah Kepimpinan Vital Voices Global di Pusat Kennedy di Washington. Vital Voices adalah pertubuhan bukan kerajaan yang mempromosikan penyertaan wanita di dalam proses politik di negara mereka. Clinton membantu penubuhan Vital Voices Global Partnership pada tahun 1997 selepas Persidangan Dunia Keempat mengenai Wanita yang diadakan di Beijing. Dalam pidato penuh semangat di persidangan PBB, Clinton, Wanita Pertama ketika itu, membuat satu kenyataan hebat iaitu: "Hak asasi manusia adalah hak-hak wanita dan hak-hak wanita adalah hak asasi manusia."

Sejak tahun 1987, Amerika Syarikat telah menyambut Bulan Sejarah Wanita pada setiap Mac. Pentadbiran Obama, dalam usaha yang dipelopori oleh Clinton, telah menjadikan isu-isu wanita sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian sepanjang tahun.

"Saya yakin puteri-puteri kita boleh memberi sumbangan yang banyak kepada masyarakat seperti juga putera-putera kita," kata Presiden Obama. "Kesejahteraan umum akan menjadi lebih baik dengan membolehkan seluruh golongan manusia lelaki dan wanita - untuk mencapai potensi penuh mereka."

GENDER TAK PENGARUHI PRODUKTIVITI


25 Februari 2010 Berita harian Oleh Jami'ah Shukri jamia@bharian.com.my 25/2/2010

Kuota wanita pembuat dasar belum dicapai tepis kegusaran CuepacsMEMANG tidak dinafikan wanita kini sudah menguasai banyak bidang bukan saja dalam perkhidmatan awam, perguruan selain institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Trend ini sudah nampak sejak lebih sedekad lalu dan peningkatan penyertaan wanita dalam pelbagai sektor berlaku dari semasa ke semasa. Ia juga sudah menjadi fenomena global. Di sesetengah jabatan di Putrajaya misalnya, kakitangannya di kalangan wanita melebihi 70 peratus. Bagaimanapun, Cuepacs berpendapat antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan jumlah wanita dalam sektor awam ialah sistem pengambilan kakitangan awam berasaskan pemprograman komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik sehingga menyebabkan kebanyakan calon lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi.

Mungkin apa yang disuarakan oleh Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, itu cuma ingin meluahkan kebimbangan kerana keadaan itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan serta pertumbuhan negara. Namun, ada juga yang menyifatkan Ahmad Shah sebagai mendiskriminasi wanita dan mempertikaikan kewibawaan golongan hawa. Begitu pun, sesetengah pendapat mengatakan wanita kerap mendatangkan masalah seperti selalu cuti sakit atau cuti beranak dan dalam pantang untuk tempoh lama hingga boleh menjejaskan sistem penyampaian awam atau operasi sesebuah syarikat. Apapun, isu gender masih menjadi tembok penghalang. Kerajaan bersetuju menetapkan 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Bagaimanapun sehingga ini, kuota 30 peratus wanita dalam pembuat dasar masih jauh untuk dicapai.

Malaysia cuma ada dua menteri wanita dan lapan timbalan menteri wanita, manakala di dalam Parlimen jumlah wakil rakyat wanita juga jauh lebih rendah berbanding Ahli Parlimen lelaki. Oleh itu, Dasar Wanita Negara Kedua, iaitu kesinambungan Dasar Wanita Negara pertama 1989 dengan jelas mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang terhadap peranan wanita.

Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar itu memperjuangkan matlamat kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari. Ketua Pusat Penghayatan Sejarah Impek Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), Datuk Prof Dr Ramlah Adam, dalam reaksinya berhubungan isu itu menjelaskan kenyataan Cuepacs bersifat remeh dan tidak sepatutnya dibangkitkan ketika negara berdepan banyak lagi masalah perpecahan dalam politik, ekonomi dan sosial.

Sikap kebiasaan masyarakat terhadap nilai budaya yang melihat perempuan hanya layak duduk di rumah dan menghayun buaian masih terbawa-bawa sehingga apabila wanita mula mempamerkan kecemerlangan dalam sesuatu jawatan, maka rasa tidak selamat menyelubungi diri. Ramlah berpendapat sepatutnya semua pihak tanpa mengira gender bangkit dengan mencergaskan anjakan paradigma ke arah memajukan diri, bukannya mengeluarkan kenyataan remeh. "Jangan terus letakkan wanita berada pada kelas kedua. Isu seumpama ini sepatutnya sudah tamat. Soal penting adalah untuk membangunkan negara, melahirkan pekerja berkualiti dan ada daya kepemimpinan. "Teori maskulin yang menganggap lelaki hebat sering berakar umbi.

Apa yang jelas wanita menunjukkan kecekapan dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Wanita lebih komited dan sedia berkorban. "Penguasaan wanita memang tidak dapat dielakkan. Dalam bidang pendidikan saja kita dapat lihat dengan jelas ramai pelajar perempuan memasuki universiti. Malah ada di sesetengah institusi pengajian tinggi, 80 peratus wanita dan mereka lebih cemerlang daripada lelaki," katanya. Pengarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran Politik, Universiti Malaya, Dr Makmor Tumin pula melihat tidak adil menjatuhkan hukuman kepada wanita kurang produktiviti kerana banyak cuti bersalin, sebaliknya ia terletak pada individu sendiri. Masalah penurunan kualiti dan produktiviti adalah sikap dan masalah penjawat awam sendiri yang tidak ada kena mengena dengan isu gender. "Ramai juga penjawat awam lelaki yang tidak ada kualiti.

Oleh itu, Cuepacs tidak sepatutnya membuat kesimpulan dan isu sebegitu adalah hujah lapuk," katanya. Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid, menganggap kenyataan Cuepacs itu adalah pandangan yang tidak berasas, rambang dan berat sebelah.

Kenyataan berkenaan juga sudah jelas membayangkan tanggapan yang tidak benar dan perlu diperincikan serta menunjukkan kebimbangan lelaki sendiri terhadap kredibiliti dan keupayaan wanita yang semakin menonjol dalam pelbagai bidang. "Saya tidak tahu yang dibimbangi lelaki ini, sedangkan di Malaysia kuota 30 peratus wanita terbabit dalam pembuat dasar belum pun berjaya dicapai. Mengapa mereka sudah memberi pandangan negatif terhadap keupayaan wanita. "Pada saya, ketika ini hanya guru wanita saja yang dilihat tinggi dalam jawatan perkhidmatan awam, berbanding lelaki sedangkan dalam kebanyakan sektor wanita juga masih berada pada paras bawah 30 peratus," katanya. Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan pula melihat kesediaan wanita yang benar-benar komited seratus peratus dan memenuhi kriteria bagi melonjakkan jawatannya masih belum mencapai tahap disasarkan. "Memang jumlah penjawat awam sekarang ramai wanita berbanding lelaki, tetapi yang benar-benar menonjol tidak begitu banyak dan mungkin kerana itu peratusan mengisi jawatan tinggi tidak menampakkan peningkatan ketara," katanya.

You might also like